Content feed Comments Feed

Coretan Sebuah Idea Kepemimpinan

Thursday, May 7, 2009

Terkadang perlu juga saya menjadikan blog saya ini sebagai medan perkongsian kuliah-kuliah saya, juga sebagai rujukan memudahkan saya kelak jika tajuk yang sama diperlukan. Berikut adalah beberapa coretan tasawwur penting mengenai "Kepimpinan Dalam Islam", 30 % dari kandungan penuh kertas kerja telah saya sampaikan kepada rakan-rakan aktivis penggerak GMI di UPM :


MUQADDIMAH :

"....Kalau kita berbicara tentang anak muda, kita tidak boleh menempatkan diri pada lapangan lokal saja, tetapi harus dilihat pada lapangan global, sekurang-kurangnya benua Asia. Kerana anak muda dihajatkan tidak hanya di dalam negeri, tapi juga di seluruh DUNIA.” – Dr. Anes Baswedan, Rektor Universiti Paramida Indonesia, Kepemimpinan Pemuda Abad 21 Memerlukan Kompetensi Tinggi


MENDEFINISI SEMUA MAFHUM KEPIMPINAN

Gerakan Mahasiswa Islam (GMI) pada saat ini mengalami krisis KEPEMIMPINAN (qiyadiyyah) yang agak meruncing. Kepemimpinan yang dimaksudkan bukanlah semata KEPIMPINAN (qiyadah) dalam kerangka suatu posisi pengurusan, hierarki mahupun struktur yang tinggi dalam organisasi GMI, tetapi kepemimpinan ini bermaksud fungsi, pengisian, dan proses pengupayaan menjadi problem-solver ummah di kampus, lantas berupaya mempengaruhi orang-orang sekeliling dengan idea-idea pemerkasaan gerakan yang segar-bugar.

“Kepimpinan itu posisi (structural), kepemimpinan itu proses (functional). Tiada guna mempunyai pemimpin, tetapi proses ‘mengajar’ pemimpin itu tidak berlaku”

Tiada guna berbangga dengan jumlah kepimpinan yang ramai, tetapi yang benar-benar mempunyai pakej kepemimpinan hanya seorang dua figure sahaja, manakala yang lain hanya menjadi “jaguh kampung”, hidup terus menerus dengan mentaliti “syok sendiri”. Walhal “leader is reader” (pemimpin adalah pembaca). Dunia kampus mestilah dilihat sebagai “training ground” yang sangat ampuh untuk dijadikan medan latihan dan belajar, bukannya merasakan kampus adalah segalanya, fullstop kepada misi membaiki dan mengajar diri sendiri erti sebuah perjuangan dan kepimpinan.

"Belajar sambil mencabar, pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang, bangsamu tidak termaju tanpa pemimpin berpengalaman (mencabar) dan terpelajar.- Prof. Ungku A. Aziz (1973) -

Kepemimpinan yang dimaksudkan adalah individu-individu yang lahir dari suatu kesedaran dan kecerahan minda yang sangat tinggi (mampu menggunakan pancaindera keenam iaitu matahati) kepada permasalahan ummah yang berlaku di sekeliling mereka, sehingga daya kecaknaan itu menatijahkan semangat untuk berdakwah dan memimpin dakwah tersebut, ibarat sebiji bola yang ditekan masuk ke dalam air, makin kuat ditekan ke dalam, makin kuat lantunan ke luar bola itu.

RUKUN IMAN KETIGA : BERIMANLAH DENGAN CARA KEPIMPINAN RASULULLAH

Durus terpenting permulaan surah Ar-Rum adalah suatu gambaran minda siasah dan daya kecaknaan isu yang sangat luarbiasa ada pada Rasulullah S.A.W dan para Sahabah, walaupun tidak ada sebarang teknologi maya mahupun satelit, namun kecepatan informasi kekalahan Rom sangat cepat sampai ke telinga mereka, bahkan menimbulkan keresahan dan kebimbangan (emotional responses) kepada hati-hati para Sahabah.

"Alif Laam Miim. Telah dikalahkan bangsa Rumawi. Di negeri yang terdekat dan mereka sesudah dikalahkan itu akan menang. Dalam beberapa tahun lagi. Bagi Allah-lah urusan sebelum dan sesudah (mereka menang). Dan di hari (kemenangan bangsa Rumawi) itu bergembiralah orang-orang yang beriman." Surah Ar-Rum: 1-5.


Inilah sifat ‘madrasah’ tarbiyah Rasulullah, madrasah yang membentuk para Sahabah yang bukan sekadar mengambil TAHU apa yang berlaku di sekeliling sehingga melahirkan simpati, bahkan mampu menyentak emosi kesedihan yang mampu membuahkan tindakan(empati), walaupun yang mengalami kekalahan itu bukannya tentera Islam itu sendiri.

Inilah ‘manhaj tarbiyah’ yang sifatnya seperti apa yang disebut Almarhum Bapak Nasir:

Tiada percetakan dalam kepimpinan. (Lantaran) Pemimpin tidak lahir di bilik kuliah (formal institution) tetapi tumbuh sendiri dalam hempas pulas kancah, muncul di tengah-tengah pengumpulan masalah, menonjol di kalangan rakan seangkatan lalu diterima dan didukung oleh umat.”

Inilah ‘madrasah’ sebenar lahirnya sebuah pasukan kepimpinan paling hebat di atas dunia yang dididik oleh tangan suci Rasulullah S.A.W. Mereka lahir dari hempas pulas kancah perjuangan di Makkah. Dari merekalah, lahirnya sebaik-baik 300 kurun ‘pasukan kepimpinan’ terbaik yang ‘dicetak’ oleh Nabi Muhammad S.A.W.


Rasulullah S.A.W dilantik sebagai pesuruh Allah dan pemimpin segala para Nabi berpedomankan suatu asas permulaan dari “Iqra” (bacalah). Ini menggambarkan kepentingan pembacaan suasana (qiraatul zuruf) yang mendalam kerana di situlah lahirnya pemimpin yang tulen, yang meyakini pada dirinya ada idea penyelesaian untuk dikemukakan kepada ummah sebagai tawaran untuk memulihkan keadaan. Itulah yang berlaku kepada Nabi Muhammad S.A.W. Gua Hira adalah “room for improvement”, tempat beliau bertafakkur bertahun-tahun lamanya, mencari ketenangan dan penyelesaian, selepas sedih dan pilu “Iqra” suasana masyarakat Arab Jahiliyyah.

Inilah konsep kepimpinan yang diserlahkan juga oleh dari Nabi Allah Yusuf alaihissalam. Baginda tahu benar permasalahan yang bakal berlaku 7 tahun kedua selepas 7 tahun pertama kesenangan menimpa rakyat negara Mesir. Lantas keupayaan, idea “problem-solving” dan kepakaran pengurusan ekonomi yang ada pada baginda hasil anugerah Allah S.W.T, baginda menawarkan diri menjadi pemimpin Mesir. Sejarawan menyatakan Nabi Yusuf menerima jawatan Menteri Kewangan Mesir pada usia 24 tahun !
Kincir air zaman Nabi Yusuf

Justeru, kepimpinan hakikatnya adalah keupayaan mencipta pengaruh (John C. Maxwell) berasaskan pengetahuan dan pendidikan masing-masing. Lantas setiap individu itu berpotensi menjadi pemimpin (born to be a leader), dalam erti kata mencipta pengaruh kepada orang lain. Samada ada pengaruh itu baik atau buruk kepada organisasi, ia tetap akan disebut sebagai pemimpin atau individu yang percakapannya, perbuatannya mampu memberikan kesan kepada orang lain (pengaruh), sama ada sedikit atau ramai jumlah yang terkesan.

Setiap kamu adalah pemimpin. Dan setiap kamu mestilah bertanggungjawab kepada yang dipimpinnya.” (Al-Hadis)

Sebab itulah wujudnya istilah “opinion leader” iaitu pemimpin pandangan, yakni pandangan yang diberikan mendapat sokongan banyak pihak, walaupun yang melontar pandangan itu tidak berada pada posisi kepimpinan atasan sekalipun. Inilah beza besar apa yang dikatakan “pemimpin” (leader) dengan “pengurus” (manager).

Nabi S.A.W telah berupaya menjadi pemimpin yang tulen, dalam erti kata pemimpin yang berjaya mencipta pengaruh walaupun tidak memegang sebarang jawatan besar di dalam struktur kepimpinan masyarakat Jahiliyah Makkah. Kuasa “al-Amin” yang ada pada Rasulullah S.A.W tak mampu ditandingi kuasa pemerintahan yang ada pimpinan politik Arab Makkah pada masa itu. Peristiwa baginda diberikan mandat untuk menyelesaikan konflik peletakan Hajarul Aswad adalah sebesar-besar pengajaran kepada kepimpinan GMI bahawasanya selemah-lemah kepimpinan adalah yang bergantung pada jawatan untuk memimpin (mencipta pengaruh)”

Sebaik-baik pemimpin adalah yang mampu mencipta pengaruh berdasarkan kepakaran dan pengetahuannya, Selemah-lemah kepimpinan adalah yang bergantung kepada jawatan untuk mencipta pengaruh.” – Ustaz Hasrizal Jamil, Yusuf Memimpin Dengan Kualiti dan Pengaruh, Saifulislam.Com

Sebab itu saksikan pengiktirafan seorang pengkaji teori “pengaruh” yang beragama Kristian, Michael H. Hart apabila membuat kajian mengenai 100 Pemimpin Paling BERPENGARUH di atas dunia, anehnya beliau tidak meletakkan Nabi Isa di tangga nombor satu, mahupun tokoh-tokoh besar dunia seperti Newton (2), Einstein (10), Alexander The Great (33), Aristotles (13), Konstantine Rome (21), Caesar (18), Napoleon Benoparte (34), tetapi yang diletakkan adalah Nabi Muhammad S.A.W sebagai pemimpin paling dahsyat pengaruhnya, sehingga kekal ke hari ini. Bila ditanya kenapa, Michael Hart menyatakan :

“Nabi Muhammad lahir di daerah paling terkebelakang di dunia. Namun, hanya dalam masa sekelumit abad, hanya 23 tahun sahaja, beliau telah mengubah sepertiga peta dunia. Muhammad lah orang pertama dalam sejarah, berkat kekuatan imannya pada Tuhannya, memimpin pasukan Arab yang sangat kerdil jumlahnya melakukan penaklukan yang menyebabkan sejarah tercengang. Di Timur, kerajaan Parsi yang luas tumbang di bawahnya. Di Barat, Rom Byzantium kuasa tentera terkuat dunia tunduk di bawah tapak kakinya. Penggantinya pula menyapu bersih Afrika Utara hingga Lautan Atlantik, dari Selat Gibraltar sehinggalah ke Visigot di Sepanyol.”

“Nabi Muhammad S.A.W adalah pemimpin sejati yang melengkapi kesemua 5 tingkatan kepimpinan agung. Baginda melepasi tingkatan pertama iaitu pemimpin yang diikuti dan ditaati pengikutnya. Baginda melepas tingkatan kedua iaitu pemimpin yang dicintai pengikutnya. Baginda melepasi tingkatan ketiga iaitu pemimpin yang amanah, berintegriti dan berprinsip. Baginda melepasi tingkatan keempat iaitu pemimpin yang mencetak generasi. Akhirnya baginda melepasi tingkatan kelima iaitu pemimpin yang pengaruhnya kekal abadi.” – Dr. Ary Ginanjar Agustian, Rahsia Membangun ESQ

0 Responses to Coretan Sebuah Idea Kepemimpinan

Posting Sebelumnya

Integriti Maya

Sebarang pengambilan mana-mana bahagian daripada tulisan di sini adalah sangat digalakkan untuk disebarkan, namun perlulah mendapat izin daripada Iskandarfateh.

Ataupun, sila beri kredit bahawa anda mengambil mana-mana kenyataan tersebut dari Blog
Iskandarfateh ini.

Terima kasih. Saya sangat hargai kunjungan anda.

Montaj IPTC

Twitter With Me

Profail Blogger


Syaari Ab. Rahman merupakan seorang perunding motivasi terlatih. Profail lengkap beliau di "Hubungi Saya"