Saya jarang menulis dalam blog saya mengenai kisah-kisah Baitmuslim saya bersama isteri saya, Nurul. Walaupun saya akui kekadang saya 'cemburu' dengan sahabat-sahabiyah baik saya yang sering
update blog mereka dengan gambar-gambar aksi anak mereka yang baru dilahirkan, sehingga saya sendiri kekadang terfikir bila pula giliranku untuk merasai nikmat kegembiraan seperti mereka, anak pewaris perjuangan kini sudah di sisi.
Saya kekadang rasa bersalah, sering bercakap mengenai Muhammad al-Fateh, tetapi saya sendiri belum 'mencetaknya' pemikiran, sikap dan jasadnya dengan airtangan saya sendiri.
Sudah pasti firman Allah di penghujung surah Adh-Dhuha (
wa amma bi ni'mati rabbika fa haddis) menjadi pembakar semangat kepada mereka untuk berkongsi dan mengumum kegembiraan itu di alam maya.
End In MindDi sebalik kesempatan masa menulis mengenai kisah Baitmuslim saya, pasti tetap akan ada elemen 'motivasi' yang saya mahu selitkan pada isteri saya dan lebih penting lagi para pembaca blog saya.
Elemen 'motivasi' inilah yang mungkin ada segelintir adik-adik aktivis gerakan Islam di kampus tidak memperolehinya. Jika termotivasi sekalipun, silapnya yang mereka dapat gambaran hanyalah terhenti setakat "mencetak generasi" atau kelahiran zuriat-zuriat cahaya mata.
Lebih jauh dari itu seperti perancangan membina masyarakat (mujtama' muslim), membina negeri dan negara dengan "aura" Baitmuslim itu juga, seakan pudar tidak kelihatan dan tidak termotivasi ke arah itu.
Saya pernah menulis dalam posting sebelum ini, kenapa kita tidak belajar dari Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan mungkin juga tidak salah saya sebutkan di sini Barrack Obama (ambil sisipan positif) yang sentiasa tidak pernah melupakan isteri dan anak-anak masing-masing dalam postur gambar-gambar penting untuk diabadikan oleh media-media dalam isu-isu penting negara.
Bermula Dari Masalah PersepsiLantas akibat keterbatasan perkongsian pengalaman Baitmuslim dari senior-senior masing-masing, maka ada yang terperangkap dalam pelbagai persepsi yang silap mengenai Baitmuslim, atau mencipta persepsi sendiri. Lantas, mulalah episod "bermusuh" dengan persepsi silap yang dicipta sendiri.
Pepatah Arab menyebut : "
Manusia sering bermusuh dengan perkara yang mereka jahilkan."
Albert Einstein pula menyebut : “
The only thing that interferes with my learning is my education.” (musuh kepada perkembangan intelektualku adalah sistem pendidikan yang aku lalui di masa silam).
Lantas...Di situlah munculnya penulisan saya apabila menyinggung bab Baitmuslim. Sememangnya saya sukakan keunikan dan kelainan ketika bloggers pasangan mutazawijain yang lain juga ada pendekatan masing-masing dalam berkongsi pengalaman hidup berumahtangga ini. Sudah pasti, masing-masing berhak dengan keunikan pendekatan masing-masing.
Jika tidak, usahlah dinamakan "blogspot" jika 'kebebasan" menulis catatan peribadi ini dinafikan, dan kemudian dibanding-bandingkan dengan blog para asatizah yang sememangnya telah
well-established dan
well-organized melalui puluhan tahun asam garam rumahtangga, berbanding saya dan isteri yang baru setahun jagung mendirikan dan menyesuaikan tapak 'masjid' Baitmuslim yang kami dirikan ini.
Perbezaan Pendekatan Antara Blog KamiSememangnya jiwa lelaki mencapah dan bersifat "
goal-minded", manakala jiwa perempuan bersifat
mikro (menumpu) dan "
relationship oriented" sebagaimana ulasan John Gray dalam "
Man Are From Mars, Women Are From Venus".
Pengiktirafan saintifik kelebihan dan keunikan pasangan Adam dan Hawa inilah yang kini saya rasai bersama isteri, dan kami mahu buktikan kepada rakan-rakan aktivis yang akan mengikut jejak langkah mendirikan rumahtangga.
Manakala yang belum bersedia, bacalah supaya ia boleh menambahbaik mentaliti dan
worldview kita jika ditanggapi dengan positif dan terbuka, serta dengan bekalan iman pada Tuhan. Bukankah Allah memerintahkan kita "Iqra" apa sahaja, tetapi dengan "Bismirabbika...."
Sememangnya benar, pembaca blog terdiri dari mereka yang pelbagai tahap iman. Justeru kami hadapkan kisah-kisah kami dengan pendekatan bahasa orang yang ada iman di jiwanya.
Orang yang tidak ada iman sekelumitpun di jiwanya, hadapkanlah kepadanya kisah-kisah kehebatan seorang muslimah mahupun seorang mujahidin di sebuah blog Islamik sekalipun, nilaian nafsu syahwat pasti akan menjadi persoalan akhirnya juga.
Justeru, bukan kita yang menentukan tahap iman, apatah lagi kualiti jihad dan perjuangan seseorang penulis blog, apatah lagi kualiti Baitmuslim sepasang bloggers.
Andaikata sehingga memalitkan perkataan "tercemar" pada sesebuah rumahtangga Baitmuslim hanya kerana mereka berkongsi pengalaman perjuangan bersama di blog masing-masing, dibimbangi pertuduhan seperti itu tidak adil dan akan dipertanggungjawabkan di hadapan Tuhan nanti.
Sejauhmanakah kita arif dan melihat kerja khairat dan perjuangan belakang tabir orang lain ?
Terbatasnya Sebuah KemampuanSeseorang itu sangat terbatas masanya untuk menulis apabila masanya untuk aktivisme adalah lebih menjadi keutamaan.
Justeru, penulisan di blog bukanlah menyerlahkan segala diari kehidupan. Justeru, "d
on't judge the bookl by its covers." Berpadalah dalam membuat penghukuman berdasarkan apa yang terzahir sahaja, janganlah sampai tersasar menghukum apa yang ada di batin dan sanubari ini, apatah lagi menyangkut paut soal iman dan jihad seseorang.
Yang wajib dilakukan oleh seseorang mukmin kepada mukmin saudaranya adalah menasihati saudaranya andaikata jelas tersimpang. "Berilah nasihat dengan kebenaran (objektif), berilah nasihat dengan kesabaran."
Sememangnya ada teguran dari sahabat-sahabat sebelum ini yang saya dan isteri terima dengan lapang dada dan positif, dan kami lakukan perubahan demi kebaikan kami sendiri.
Please Read Behind The LinesKekadang saya sentiasa dirundung rasa bersalah andaikata pengalaman manis dalam Baitmuslim ini tidak saya kongsikan. Usahlah didefinisikan "manis" itu sebagaimana definisi perkahwinan dalam tamadun Westernisasi Barat yang mempertuhan seksual.
"Manis" bagi kami adalah sudah pasti apabila dikaitkan dengan perjuangan sama ada di pentas dakwah, tarbiyah mahupun politik. Justeru, jika dibaca secara mikroskop, tidak pernah posting kami mengenai Baitmuslim akan berakhir sekitar cerita seorang suami mahupun seorang isteri sahaja. Justeru, bacalah sehingga habis, jangan sekerat-kerat.
Jika diamati dengan objektif, jauh dari prejudis dan emosi, membaca yang tersurat dan tersirat, akan didapati dari penulisan kami beberapa mesej. Antaranya masing-masing mesti istiqomah dan meningkatkan komitmen perjuangan masing-masing walaupun sudah bergelar suami isteri.
Kekadang sesuatu mesej itu bila disampaikan dalam bentuk naratif sebuah dialog atau penceritaan berdasarkan pengalaman sendiri, tanpa menyebutkan secara tekstual petikan dari ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis Sahihah mahupun teks-teks sirah Nabawiyah, ia tetap menyampaikan mesej dakwah yang Nabi S.A.W sebutkan secara tersurat dalam sumber-sumber utama tersebut. Lantaran kami telah mengishytiharkan bahawa posisi blog kami bukanlah blog ilmiah mahupun blog PMI mahupun blog "tempat rujukan fatwa".
Apakan Daya KamiRamai bloggers yang berkongsi pengalaman "
real" dalam arena tarbiyah dan dakwah dengan anak-anak mereka sendiri. Ustaz Hasrizal sendiri banyak berkongsi pengalaman hidup beliau mutakhir ini, dengan kisah dakwah bermula dari karenah anak-anaknya sendiri. Demikianlah
qudwah bil hal sebagai setajam-tajam bicara mempengaruhi qalbu insan.
Namun apakan daya saya. Pada saat ini, saya belum lagi dikurniakan lagi dengan cahaya mata pewaris perjuangan. Saya telah merasai "separuh ketaqwaan" yang disabdakan Nabi, namun saya belum merasai "zuriat penyejuk mata" yang juga disabdakan Nabi. Namun saya yakini masa itu akan datang jua.
Jadi apa yang mampu saya kongsikan di alam maya mengenai Baitmuslim saya hanyalah kisah isteri saya. Siapa lagi yang lebih dekat dengan saya. Adakah saya perlu bercerita lagi mengenai sahabat-sahabat baik saya dahulu di kampus yang mesyuarat bersengkang mata bersama, tidur sekatil, makan sedulang, ifthar bersama dan berjuang ketawa dan menangis bersama.
"Apabila anda berkahwin, sebelah kaki anda telah berada dalam keluarga isteri anda", demikianlah kata-kata ibu saya untuk memudahkan kita faham besarnya perbezaan "mindsetting", "worldview" dan tanggungjawab antara seorang yang telah bergelar suami, yang terikat dengan amanah dan nafqah kehidupan di depan matanya, dengan seorang yang bergelar teruna, yang masih bebas mencorak kehidupan bersama rakan-rakan seperjuangannya.
Apabila telah berkahwin, isterilah 'teman dan sahabat' yang paling dekat dengan kita, bukan orang lain.
3 Asas KamiNamun, apa yang penting di sebalik kebebasan bercerita mengenai Baitmuslim, adalah proses penceritaan itu mestilah bukan sekadar mengikut lunas-lunas Islam, bahkan menjaga lunas-lunas ahli gerakan Islam. Inilah pegangan saya dan isteri apabila menulis mengenai Baitmuslim.
Objektif kami menulis mengenai Baitmuslim, samada secara tersurat atau kebanyakannya tersirat adalah :
- dengan harapan pembaca dari kalangan aktivis mahasiswa Islam
akan bersemangat untuk memilih pasangan sesama ahli gerakan sendiri (jika boleh dan melalui prosedur syar'ie yang munasabah), dan bukan sebaliknya. Kerana ramai yang dahulunya aktif menjadi aktivis dakwah di kampus, namun kerana 'silap' memilih pasangan, mereka tumpas seketika mahupun selamanya dari pentas perjuangan sebenar.
- dengan harapan pembaca yang telah melunaskan tanggungjawab Baitmuslim tidak lupa untuk terus meningkatkan aktivisme dakwah masing-masing dalam apa jua cara dan sumbangan yang boleh diberikan selagi kudrat tenaga dianugerahkan Tuhan. Jika saya dengan dengan I.P Minda dan Akademi Kepimpinan Pemuda, isteri saya pula dengan Ma'ruf Club dan SIGMA.
Yang penting,
kedua-dua suami dan isteri mestilah mendaftarkan diri sebagai 'aktivis' dalam agensi-agensi strategik perjuangan Islam di mana sahaja bumi dipijak. Janglah selepas mendirikan rumahtangga, salah seorang sahaja yang aktif dan seorang lagi 'direhatkan'.
- dengan harapan pembaca yang bakal atau belum mahu mendirikan rumahtangga, akan mendapatkan sedikit tips-tips semasa, pengajaran dan 'testimoni' "live" dari kami khususnya dalam usaha kami bertatih melakukan "
balancing" antara komitmen suami dan isteri dalam karier akademik dan perjuangan sekaligus.
Kami akui kami bukanlah yang terbaik bahkan kami ada terlalu banyak kelemahan dan kekurangan, namun dengan wasilah blog ini kami "meriwayatkan" kisah-kisah kami sebagai pengajaran buat peminat blog kami, sebagaimana Nabi S.A.W tidak segan silu memberikan tips-tips memenangi hati isteri dan mengendalikan rumahtangga bahagia dalam hadis-hadis sahih dari baginda buat pedoman ummatnya.
Pentingnya Saling Menghargai Antara Suami Isteri Sebagaimana Sesama Sahabat Baik
Adakah apabila mendirikan rumahtangga, pendekatan penulisan blog saya atau isteri saya perlu menjadi seperti dahulu juga (zaman bujang) ?
Sudah pasti kehidupan blogger yang sedang melalui asam garam berumahtangga jauh berbeza dari blogger yang masing bujang. Susah senang yang dihadapi bersama buat pertama kali, kekadang memerlukan 'hadiah' pengiktirafan berbentuk naratif penulisan di maya sebagai penghargaan.
Yang penting penghargaan yang diberikan membuahkan komitmen dan semangat kerja amal Islami sama ada di pihak isteri mahupun di pihak suami, yang kualitinya lebih baik dari hari semalam.
Justeru, salahkah blog menjadi medan memotivasikan suami ataupun isteri sendiri dengan pulangan juga kembali kepada gerakerja perjuangan itu sendiri ? Berapa ramai yang 'down' apabila berdepan dengan sesuatu tekanan kerja dan cabaran, mereka tidak temui kaedah yang sewajarnya untuk mengatasi tekanan dan cabaran tersebut.
Yang penting, sama-sama menjauhi dari penyakit hati, yang bisa menyerang ahli gerakan tanpa mengira bagaimana statusnya sekalipun.
Kekadang PelikKekadang saya juga pelik, penulisan dan letusan idea saya mengenai politik, pemikiran baru, sejarah dan beberapa pandangan-pandangan kritis mengenai isu-isu semasa tidak mendapat sambutan komentar pembaca yang banyak, tetapi apabila menulis mengenai Baitmuslim, ada sahaja yang akan tidak senang dan semacam mahu mengkritik tetapi tidak jelas kritikan itu.
"Ia adalah untuk dijadikan bahan kita renungkan, bahawa menegur itu sebuah kebaikan, tetapi ia hanya jadi kebaikan apabila ia diluahkan dengan lengkap. Tidak harus kita biarkan pemikiran ‘etika bebas’ sebagai sebab untuk membiarkan komen dan tulisan terluah tanpa panduan semata-mata dengan alasan, semua orang bebas bercakap dan berfikir.
Supaya kebebasan itu menjurus kepada manfaat, satu sahaja yang saya tekankan iaitu, sertakanlah bersama luahan rasa tidak suka itu dengan SEBABnya, agar dapat difahami, dan boleh dimanfaatkan untuk pembaikan diri." - www.saifulislam.com (link)
Justeru, saya tidak pasti sekiranya tulisan saya mahupun isteri saya mengenai kisah Baitmuslim yang meletakkan 3 asas di atas adalah suatu yang bercanggah dengan syara' dan etika ahli gerakan. Sekiranya ada kenyataan kami yang terbukti sedemikian, tegurlah dengan hikmah dan objektif, sebutkan dengan jelas melalui email terlebih dahulu, nescaya kami sangat terbuka untuk mengakui kesilapan kami.
Akhir KataJika blog kami tidak diminati, kenapa perlu terus membacanya jika ia boleh menyakitkan hati.
Beralihlah pada ribuan blog ahli sejarah Islam dalam pelbagai bahasa jika aspek sirah yang mahu diteladani. Bahkan boleh beralih pada blog sejarah yang saya bangunkan iaitu Read1453 jika blog catitan peribadi saya tidak diminati.
Beralihlah pada blog para ulama jika aspek hukum hakam yang menjadi perhatian setiap kali membuka laptop dan internet.
Beralihlah pada ratusan blog pasangan Baitmuslim yang lain jika perkongsian pengalaman dari kami tidak memberikan faedah. Kenapa perlu terus memprotes kewujudan penulisan Baitmuslim kami sedangkan kami hanyalah picisan kecil sahaja dalam segmen maya blogspot ini.
Jika penulisan Baitmuslim saya dirasakan "melekakan, melalaikan" dan "tidak membangkitkan lagi semangat perjuangan zaman Nabi dan para sahabat....", maka saya ingin bertanya, kenapa tidak dibaca posting saya mengenai "Obaida Asy-Syahid...".
Sudahkah yang mendakwa itu membaca lagi 80 % posting saya mengenai ulasan isu semasa, politik gerakan Islam, sejarah Islam dan Usmaniah, kajian-kajian strategik, kajian-kajian tokoh dan pemikiran, bedah buku dan sebagainya sebelum menghukum penulisan saya sedemikian rupa?
Bahkan saya menukar templates baru dengan tujuan akan nampak jelas kesemua bentuk penulisan saya yang pelbagai sudut, bukan hanya satu sudut Baitmuslim sahaja.
Jika tidak meminati penulisan Baitmuslim dari isteri saya, kenapa tidak membaca pandangan-pandangan akademik atau idealisme kemahasiswaan beliau yang boleh dimanfaatkan juga. Berikan kritikan membina sama hebat dengan kritikan terhadap penulisan Baitmuslim beliau jika ada.
Tulisan ini sebenarnya TIDAK ditujukan kepada peminat dan pembaca umum blog saya dan isteri saya. Saya hanya tujukan pada "yang berkenaan" sahaja sebagai suatu pandangan peribadi dan penjelasan kepada apa yang pernah ditimbulkan.