Content feed Comments Feed

Erti "Tangga" Kepada Sebuah Rumahtangga

Sunday, January 15, 2012



3 tahun usia perkahwinan kami, saya 'beriman' dengan prinsip bahawa sebaik-baik rumahtangga adalah rumah yang benar-benar mempunyai 'tangga-tangga' untuk didaki. Ertinya, membina rumahtangga bukanlah segalanya, namun segalanya bermula dari membina rumahtangga. Sebab itu saya semakin memahami maksud 'tangga' pada rumahtangga. Ia bermaksud berumahtangga bukanlah sebuah kesempurnaan hidup, namun permulaan kepada proses belajar menyempurnakan hidup.


Bagi saya, ada EMPAT anak tangga yang mesti didaki. Pendakian menuju ke mana ? Ke bumbung rumah ? Pendakian menuju kepada matlamat hidup berpasangan, mencapai matlamat ketenangan (sakinah), ketenteraman (sakinah) dan keberkatan (rahmah), itulah kehendak Pencipta kehidupan.


1) Physical (PQ) : "RUMAH ADALAH PEJABAT, PEJABAT ADALAH RUMAH"

Semua orang mempunyai cara tersendiri untuk membina kekayaan secara halal. Saya memilih untuk melakukan bisnes secara SOHO (Small Office Home Office), masa 'kerja' yang fleksibel dan tidak terikat dengan sesiapa. 

"PQ" juga merujuk pada dapur yang 'efektif' membekalkan makanan minuman yang sentiasa menyihatkan sekeluarga di samping sentiasa meningkatkan 'kreativiti' isteri menjadi Masterchef buat suami.

Rumahtangga yang tidak didaki 'tangga' PQ adalah rumahtangga yang tidak berlaku peningkatan dalam akaun 'saving' ekonomi rumahtangga, bahkan hidup penuh hutang-hutang lapuk yang tidak diselesaikan. Juga sebuah rumahtangga yang tidak menitikberatkan soal kebersihan, kesihatan dan senaman, lebih berbahaya lagi apabila "makan di luar" lebih banyak dari makan masakan sendiri di rumah.


2) Intellectual (IQ) : "RUMAH ADALAH PERPUSTAKAAN DAN CYBER CAFE"

Lengkap dengan kemudahan Internet untuk akses maklumat semasa.

Bilik yang selesa untuk membaca, mengkaji, menulis dan menyempurnakan projek penulisan buku, dan terpenting sekali membaca untuk 'sharpen the saw' modul-modul latihan.


Rumahtangga yang tidak didaki 'tangga' IQ adalah rumahtangga yang penuh romantika, tetapi sedar tidak sedar mematikan semangat untuk belajar dan melanjutkan pengajian hingga ke peringkat Master dan PhD, sama ada suami atau isteri atau kedua-duanya, atau sekurang-kurangnya mematikan semangat membaca buku, prestasi pembacaan yang kian merosot atas nama kesibukan, samada sibuk di dunia kerjaya atau sibuk di dunia aktivisme jamaah.


3) Emotional (EQ) : "RUMAH ADALAH SYURGA"

Segala tekanan ketika berada di luar rumah hilang, atau berjaya dihilangkan atau berkurangan bila pulang ke rumah. Asasnya adalah sikap menangguhkan kemarahan, menyimpan kemarahan di hati dan jangan sekali-kali melafazkan, dan yang lebih baik adalah memaafkan pasangan, dan yang terlebih baik adalah sentiasa 'melihat' isteri dan anak dengan pandangan matahati, dalam apa jua situasi.


Rumahtangga yang tidak didaki 'tangga' EQ adalah bukan rumahtangga sama sekali, meskipun membabitkan "ana" dan "anta", "ustaz" dan "ustazah". Ini adalah akar tunjang sebuah rumahtangga dan matlamat asas perkahwinan. Kesungguhan meningkatkan prestasi "seek to understand then to be understood" seorang suami seperti saya adalah penting untuk mengelakkan slogan hidup berbahaya sebuah Baitmuslim iaitu "nak buat macamana, life must goes on...".


Tidak minat membaca buku-buku yang membabitkan kajian perbandingan otak dan sikap lelaki dan perempuan, meskipun dari Barat, adalah tanda-tanda rumahtangga yang tidak serius menuju penambahbaikan kualiti komunikasi, psikologi dan saling menghargai perbezaaan antara lelaki bernama suami dan perempuan bernama isteri.


Segala puji bagi Allah yang sudi menjadikan anak sulung kami, Fatihah Wajihah sebagai asbab kami semakin rapat dan memahami, sentiasa membaiki hubungan dari hari ke hari. Siapa sangka, kehadiran Fatihah Wajihah jua menyebabkan kami lebih banyak travel ke luar negara dan semakin 'berukhuwwah' sesama kami. Sedangkan, hidup 2 tahun, antara tempoh berkahwin dan sebelum mendapat zuriat, kami belum diberikan rezeqi oleh Allah untuk ke luar negara.



4) Spiritual (SQ): "RUMAH ADALAH SURAU"

Menjadikan solat berjamaah, ma'thurat atau bertilawah dan berdoa bersama isteri dan anak kecil di sisi, sebagai 3 polisi asas spiritual di rumah.

Kejayaan meraih keselesaan hidup tidak menentukan kejayaan meraih keberkatan hidup. 'Tangga' SQ adalah tangga terpenting kukuhnya sebuah rumahtangga, meskipun ia adalah aspek yang tidak nampak jelas implikasinya di mata kasar. Namun, sebuah perkahwinan yang menjangkau 51 tahun, tiada perpisahan berlaku antara suami dan isteri melainkan kematian yang memisahkan mereka, itulah perkara yang paling besar saya belajar.


Belajar dari siapa ? Tidak perlu pergi terlalu jauh, saya belajar dari mereka yang terlalu dekat dengan saya, itulah ibu dan ayah mertua saya. Ayah mertua saya pulang ke rahmatullah selepas meninggalkan contoh terbaik sebuah Baitmuslim untuk kami. Ibu dan ayah mertua ketika hidup tidak pernah meninggalkan bacaan Yaasin selepas Subuh. Sedar tidak sedar, bacaan Yaasin setiap hari selepas menunaikan solat Subuh itu rupanya faktor yang sama sekali tidak boleh diremehkan, kerana ia menegakkan sebuah rumahtangga hampir separuh abad lamanya.


2012, saya berazam meningkatkan kualiti 'kepimpinan' rumahtangga saya dalam pendakian anak-anak tangga P.I.E.S di atas.


Dan setiap kali sebelum tidur, sebelum menutup mata, saya akan tanyakan dalam diri saya, sejauhmana saya "lebih baik dari hari semalam" dalam 4 perkara ini ;


P : Adakah hari ini, komitmen saya kepada kerjaya dan karier saya sebagai trainer lebih baik dari semalam ? Adakah hari ini, usaha saya membina income untuk keluarga lebih baik dari usaha isteri saya ?


I : Adakah hari ini, komitmen saya pada pembacaan buku, akhbar, berita semasa lebih baik dari hari semalam ? Adakah hari ini, pembacaan saya mengenai isu semasa di Internet lebih baik dari isteri saya ?


E : Adakah hari ini, saya memberikan "telinga" saya kepada isteri lebih baik dari hari semalam ? Adakah hari ini, "memberi" saya kepada isteri saya lebih baik dari hari semalam ? Adakah hari ini, saya memberikan "tangan" saya kepada anak saya lebih baik dari semalam ?


S : Adakah hari ini, amalam kerohanian dan penyucian hati saya lebih baik dari hari semalam ? Adakah solat berjamaah saya dan isteri lebih baik dari semalam ? Adakah kualiti khusyuk solat saya hari ini lebih baik dari hari semalam ? Adakah hari ini prestasi saya ke surau dan masjid lebih baik dari hari semalam ? Adakah hari ini tahap "ketenangan" saya lebih baik dari hari semalam ?


"Hari semalam" dan "isteri" sentiasa menjadi bahan perbandingan saya untuk menjadi lebih baik. Inilah kelebihan muhasabah diri, dan inilah kelebihan muhasabah diri selepas berkahwin.


Rabbana, Waj'alna lil muttaqiina IMAMAN.
(Ya Tuhan Kami, jadikanlah kami pemimpin bagi keluarga dan ummat kami, menuju ketaqwaan kepadaMu)


Abu Fatihah,
Gombak, 
15 Januari 2012

Integriti Maya

Sebarang pengambilan mana-mana bahagian daripada tulisan di sini adalah sangat digalakkan untuk disebarkan, namun perlulah mendapat izin daripada Iskandarfateh.

Ataupun, sila beri kredit bahawa anda mengambil mana-mana kenyataan tersebut dari Blog
Iskandarfateh ini.

Terima kasih. Saya sangat hargai kunjungan anda.

Montaj IPTC

Twitter With Me

Profail Blogger


Syaari Ab. Rahman merupakan seorang perunding motivasi terlatih. Profail lengkap beliau di "Hubungi Saya"