Content feed Comments Feed


Cabaran terbesar sebagai trainer adalah memilih topik-topik 'terpenting' dari 'penting' untuk disesuaikan bagi meraikan masa yang singkat (program sehari) dan kehendak penganjur. Alhamdulillah, kami telah lakukan yang terbaik untuk menerapkan elemen terbesar yang disuntik masuk dalam diri Sultan Muhammad al-Fateh iaitu pemikiran positif dan sangka baik kepada Tuhan dan para guru-guru yang mendidik. Itulah yang kami mampu lakukan baru-baru ini bersama anak-anak kakitangan Bank Islam Malaysia Berhad.


Meskipun kami tidak paparkan kisah dan modul Muhammad al-Fateh dengan mendalam dan khusus yang kebiasaannya kami lakukan jika program tersebut adalah program korporat, atau program remaja yang memakan masa 3 hari 2 malam (kami paparkan pada hari kedua malam biasanya), namun dalam bicara penutup program saya membongkarkan apa yang telah dilalui oleh anak-anak adalah sebahagian dari proses penghebatan potensi diri anak yang telah dilakukan oleh Sultan Murad dan Syekh Syamsudin dalam proses melahirkan karakter luarbiasa Sultan Muhammad.


Terima kasih kepada Encik Zikry Shairy dan Ust Ali serta seluruh krew I.P Minda dan Kelab Kebajikan BIMB serta ibu-ibu ayah-ayah yang telah memberikan kepercayaan kepada saya untuk membina potensi anak-anak anda semua. Mereka adalah hero pada zaman mereka nanti insya-ALlah.




TESTIMONI KEM MOTIVASI REMAJA UNGGUL
(BASIC AL-FATEH VALUES : SPIRITUAL QUOTIENT)

ANAK-ANAK KAKITANGAN BANK ISLAM MALAYSIA BERHAD
Tarikh : 16 Disember 2010 (program sehari)
Tempat : Ibu Pejabat BIMB



Cara-cara fasilitator menyampaikan ceramah mereka begitu bersemangat dan berwibawa. Akhir sekali, mereka juga mencabar untuk kami terus berjaya pada masa hadapan kelak. Insya-Allah, saya mahu menjadi ikon remaja yang terbaik sempena awal muharram ini (Nusaibah Sakinah bt Hashim, Sekolah Agama Menengah Rawang)


Cara-cara penceramah menyampaikan ceramah begitu bersemangat sekali.” (Syahzanani Izzati bt Shukri, Sekolah Kebangsaan (2) Gombak )


Cara fasilitator memberi ceramah dengan penuh bersemangat dan banyak mendorong kepada kebaikan.” (Fatimah Azzahraa bt Rosli, SMK Gombak Setia)


Selepas saya melihat video selepas aktiviti “the mummy”, pandangan hati saya telah terbuka, saya terharu melihat bayi yang tak berdosa itu, saya patut bersyukur kerana saya dapat dilahirkan di dunia ini...... “ (Muhd Luqmanul Hakim b. Abd Hamid, SK Seksyen 7)


Program ini dapat mendidik saya untuk menjadi yang terbaik dalam kehidupan seharian. Dan tidak berputus asa kerana ada orang yang kekurangan tetapi boleh mendapat kejayaan yang lebih cemerlang. Saya telah menyaksikannya dalam program ini. Kini saya mahu berusaha bersungguh-untuk untuk mencapai sesuatu matlamat dan tidak melupakan ibu bapa apabila berjaya.” (Nur Hanis Binti Rahimmuddin, MRSM Alor Gajah)


Antara yang paling menyedarkan saya dalam program ini adalah video-video yang ditayangkan cukup menyentuh hati dan membuka minda. Saya ingin berazam dan berusaha untuk mendapat 5A dalam UPSR tahun hadapan yang akan saya lalui.” (Afiqah Zahiyah binti Rosli, SK Semenyih)


Sebab perkataan yang disebut dari mulut mereka (fasilitator) sangat jelas dan juga senang untuk kami faham. (Nur Adlina binti Zainal Fitri, SK Seafield)


Dengan kefasihan penceramah menyampaikan isi ceramah yang menyentuh hati dan segala maklumat serta informasi yang memebuka minda saya. Saya ingin bangkit sebagai pelajar dan insan yang cemerlang dari segala aspek selain membalas jasa kedua ibu bapa saya.” (Nur Amirah Adlina binti Suhaini, SM Sains Bagan Datoh, Perak)


Saya rasa program seperti ini banyak membantu diri saya menjadi lebih positif kerana program ini membuatkan saya to always thinking positively.” (Muhammad Arif b Awang Bakar, SM Islam Puchong)


Kredit Gambar kepada Puan Atikah Abdullah


Semester 'demokrasi' melabuhkan tirainya kini. Pilihanraya kampus akan sekali lagi diadakan bagi memilih calon-calon terbaik dari kem-kem mahasiswa atau atas tiket individu untuk berada dalam kerusi Majlis Perwakilan Pelajar.


Dalam konteks gerakan Islam di kampus, PRK bagi saya sangat signifikan dan mampu menoktahkan beberapa titik-titik penting untuk mengukur kekuatan dan kekurangan PENGARUH gerakan mahasiswa Islam ke atas jamahir (massa).



Jangan salah faham, pengaruh yang saya maksudkan bukan soal populariti yang didasarkan pada kelebihan fizikal atau 'politik wajah' mahupun kepetahan berbicara menyusun kata manifesto yang berapi-api.


Tetapi dilandaskan kepada integriti (amanah) dan kompetensi (quwwah) calon-calon dari gerakan mahasiswa Islam, sebagaimana yang ditonjolkan oleh Muhammad bin Abdullah Rasulullah S.A.W yang berjaya menawan hati seluruh jamahir Makkah dan pimpinan mereka untuk menyelesaikan konflik perbalahan antara puak-puak dalam isu Hajarul Aswad.



Bagi saya, Pilihanraya Kampus adalah satu pentas terbaik untuk meletakkan KPI pengaruh gerakan Islam di kampus, adakah kalian benar-benar diterima sebagai "al-Amin" jamahir kampus atau anda hanya al-Amin dalam kelompok anda semata (ekslusif).


Marilah semua abnaul harakah ahli gerakan mahasiswa Islam, maknakan PRK ini lebih dari semata atas dasar tanggungjawab menggunakan kuasa untuk menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar, suatu jawapan fundamental yang sangat mudah dituturkan (atau mungkin kerana sudah dihafal) tetapi tidak jelas apakah gambar besar di fikiran di sebalik kenyataan itu.


Sesungguhnya apa yang anda lihat menentukan apa yang anda akan dapat (what you see determine what you get).


Rumusnya, mari sama-sama menjadikan PRK sebagai :


1. Mengukur sejauhmana kefahaman demokrasi dan pendidikan politik jamahir (political education)


- adakah yang meminati (penonton) atau menyertai (pemain) politik kampus kelompok majoriti atau minoriti ?

- adakah % keluar mengundi meningkat atau merosot = menonjolkan tahap kesedaran untuk mahasiswa berfikir di luar dari kerangka "ananiah" dan penyakit anak-anak muda Jepun yang digelar "hikikikomori" serta sindrom 3 K (kelas-katil-kafe) ?

- adakah yang mendabik dada menyatakan kemenangan itu, anda menang secara pertandingan atau menang tidak bertanding, manakah kerusi yang lebih dominan di dalam MPP (usah bicara soal demokrasi matang jika majoriti kerusi dalam MPP adalah kerusi menang tanpa bertanding atau 'lantikan') ?

- adakah pertandingan diadakan secara anak jantan dan padang yang sama rata ?







2. Medan membuat KAJIAN PERSEPSI jamahir kepada penerimaan kepada gerakan Islam (melalui kekuatan undi yang diberikan)

- sejauhmanakah undi-undi yang diberikan jamahir benar-benar atas dasar kekuatan parti / kekuatan kem mahasiswa itu sendiri yang mencetuskan FENOMENA luarbiasa yang diterima baik dan positif oleh massa di kampus,

atau sebenarnya kemenangan calon-calon gerakan Islam atas 'kelebihan kebetulan' yang ada pada individu calon-calon tersebut (seperti rekod pembabitan dalam aktivisme kemasyarakatan dan kebajikan pelajar, kecemerlangan akademik penerima anugerah dekan dan seumpamanya - kecuali inilah FENOMENA yang berlaku kepada majoriti ahli gerakan Islam yang memberikan ukuran kepada KUALITI PENTARBIYAHAN yang mereka lalui selama ini, bagaimana ia diterjemahkan secara terancang sejak dari awal sebelum PRK, bukan spontan dan kebetulan)


sejauhmana berlaku satu FENOMENA DAKWAH yang DAHSYAT berjaya dicipta oleh gerakan Islam yang menyebabkan jamahir mahukan wakil gerakan Islam memimpin mereka dan kampus berbanding mereka yang tidak ada idealisme perjuangan (sekadar nak dapat sijil-sijil penting ko-kurikulum untuk membantu proses interview selepas graduat) apatah lagi 'upahan'.


- maka di sini akan teruji adakah anda selama ini merapati dan menyantuni mad'u dan jamahir atas dasar keikhlasan untuk berdakwah atau anda mempunyai motif singkat iaitu meraih undi mereka.

Adakah anda menyantuni mereka jauh berbulan-bulan sebelum PRK lagi atau anda dilihat rancak turun padang mutakhir kini kerana ini adalah semester politik penting untuk kem anda ? jamahir mampu menjadi hakim, cukup dengan mendengar apakah perkataan pertama yang keluar dari mulut mereka sebaik sahaja mereka membuka pintu untuk menerima anda yang mengetuknya berkali-kali


- undi yang diberikan kepada calon gerakan Islam adalah KPI terbaik untuk membuat penilaian sejauhmana golongan berkopiah dan bertudung labuh diterima dengan baik oleh jamahir, atau adakah sebaliknya kalian 'makhluk asing' kepada jamahir yang dakwah yang anda mahu sampaikan terlalu jauh dari meraikan dunia jamahir yang terlalu ganas dengan gelombang Facebook dan Youtube


3. Medan melatih kader-kader untuk berani dan berjihad



- medan apakah lagi di kampus yang menguji kader-kader mahasiswa Islam untuk bekerja secara luar biasa (jihad) jika tidak dalam pilihanraya kampus. Ramai boleh melakukan kerja-kerja biasa dalam gerakan Islam, tetapi belum tentu mereka itu mampu melakukan kerja-kerja di luar dari kebiasaan (normal capacity mentally and physically)

- pengalaman adalah sebaik-baik guru kehidupan (menjaga keselamatan banner di waktu malam, keselamatan calon, aksi-aksi intelegensia dakwah yang memaksa kader-kader tebal muka dan menjadi 'tabligh' mengetuk pintu ke pintu untuk kempen

- PRK adalah medan yang menyebabkan semua pintu bilik jamahir akhirnya dimasuki oleh jejak-jejak sang daie, sedangkan selama ini 'memilih bulu' untuk diziarahi

- Lantaran itu gerakan Islam yang tidak masuk PRK, di mana ruang dan peluang anda membina tarbiyah jihad yang praktikal selepas segala macam pengisian fikrah diberikan pada kader-kader, jika bukan dalam PRK. Buta kemahiran mengurus jentera PRK bererti membutakan diri dari menguasai kemahiran untuk mengurus jentera dalam PRU apabila graduasi.


4. Jika menang, andalah penasihat kerajaan 1Malaysia dengan 'minda kelas pertama' dan politik nilai

- krisis ekoposial (ekonomi-politik-sosial) negara kian 'menakutkan', bunuh bakar sembelih tembak orang berlaku di sana sini, siapa lagi yang boleh dihormati oleh kerajaan dan pembangkang jika bukan kuasa ketiga mahasiswa

- apa lagi nilai pemimpin mahasiswa jika bercakap dengan lantang tapi hanya menyerlahkan anda lumpuh pembacaan isu dan kering kontang dari penguasaan fakta-fakta penting, walhal anda hidup dalam dunia intelektual, bersama para sarjana dan pensyarah, seharusnya memakna Darul Hikmah (library) kampus masing-masing


"Pemilihan isu-isu strategik untuk diperjuangkan di peringkat nasional dan antarabangsa (selain isu-isu domestik dan dalaman kampus UIAM), pemanfaatan Parlimen Mahasiswa dan Sudut Pidato yang sedang dalam perhatian pelaksanaan oleh KPT, kualiti penghujahan dalam Bicara Siswa dan forum-forum bersama aktivis rakyat-pemimpin politik-NGO, kekerapan penulisan kepimpinan MPP dalam media-media klasik dan media-media baru, kekerapan kemaskini perkembangan perjuangan MPP membela kebajikan mahasiswa di blog MPP dan blog Pro-Mahasiswa, aksi-aksi turun padang menyampaikan bantuan mahasiswa kepada mangsa bencana alam mahupun mangsa kezaliman pemerintah adalah checklist yang saya ramalkan menjadi perhatian sepantang setahun lensa media dan 'pertaruhan' penting mahasiswa seluruh IPT untuk memburu dan memilih calon-calon dari Pro Mahasiswa bagi mencapai kemenangan lebih besar dalam PR Kampus tahun hadapan." - Iskandarfateh, Cabaran Di Sebalik Kemenangan Kali ke-12 Pro M UIAM


Ramai aktivis politik dalam negara kita ini tidak memiliki pandangan politik yang tepat. Ia berlaku kerana tidak wujudnya budaya pemikiran kritikal yang ampuh. Keadaan ini bertambah hodoh apabila bercampur dengan budaya malas membaca. Budaya malas membaca, malas mengkaji dan malas mentelaah ini telah dilahirkan oleh budaya suka mendengar. Mendengar bukan satu kesalahan, mendengar bukan satu jenayah. Kita semua mendengar. Ketika kita kecil, kita dididik untuk mendengar. Ketika itu tidak digalakkan untuk berfikir” - Hishamuddin Rais

Politik tidak boleh dipisahkan dari hidup, hidup juga tidak boleh terpisah dengan politik. Orang yang mengirakan diri mereka sebagai tidak minat berpolitik serupa sahaja. Hakikatnya mereka telah diserapmasuk ke dalam mazhab (budaya) politik yang paling dominan, iaitu mazhab bahawa anda tidak perlu berada apa-apa lagi tentang keadaan di sekeliling anda.” – Pramoedya Ananta Toer, sasterawan dan pejuang Soviet.

THE POWER OF CLEAR VISION !

Cukup gembira dengan perkembangan yang berlaku. Bagi saya, inilah impian saya letak dengan penuh keghairahan sejak 2 tahun lalu. Memasang imaginasi memang mudah, tetapi meletakkan imaginasi yang sentiasa menyentuh emosi dan mengusik jiwa lantas menggerak fikiran untuk sentiasa memikirkan tanpa putus asa, itu bukan suatu yang mudah.

Dari hanya sebuah buku ia menjadi modul latihan untuk dirasai dengan lebih berkesan, kerana itulah fungsi sejarah yang sebenar.

Terima kasih Bestaci Can Atillah, muzik mainan anda sentiasa membakar semangat saya ketika saya lemah semangat, segala puji bagi Tuhan atas kurniaan ini.

Moga Allah mempermudah urusan selanjutnya saya iaitu untuk ke Istanbul sebagai asas kepada perencanaan seterusnya untuk membentuk kumpulan teater dan tenaga kerja perfileman animasi Muhammad al-Fateh.

Gambaran modul Al-Fateh Values Akademi Syariah. Kredit kepada saudara Fikri Hakim atas design yang mantap ini. (gambar Hakcipta Terpelihara)

Kerja kuat Ustaz Azlan, Principle Trainer I.P. Minda dalam memperkenalkan buat julung-julung kalinya tokoh Islam Sultan Muhammad al-Fateh sebagai idola terbaik untuk latihan kepimpinan dan gerak kerja berpasukan tampaknya semakin hampir untuk direalisasikan. Akademi Syariah di bawah De Palma Hotel (Syariah Compliant Hotel) telah sudi untuk menjadi 'pioneer' kepada modul ini sebagai salah satu usaha dakwah Islamiah kepada golongan korporat dan kakitangan kerajaan mahupun swasta di segenap peringkat pembinaan negara. Tahniah De Palma Hotel !

Taklifan yang terpikul di bahu saya pula kian berat, bukan sekadar memikir kerangka sistematik perjalanan modul dari timbunan fakta-fakta sejarah mengenai Sultan Muhammad, tetapi lebih dari itu menguji dan membuat semakan semula pada keberkesanan modul apabila ia telah dilaksanakan buat pertama kalinya. Terima kasih Ustaz Azlan atas kepercayaan dan mandat yang diberikan kepada saya.

Preview Promosi Buku Kuasa Kepemimpinan Al-Fateh (PTS Milennia)

BERITA 1

KUALA LUMPUR, 28 Okt: Kisah kehebatan perancangan strategi dan pengalaman Sultan Muhamad Al Fateh sehingga berjaya menawan kota Constantinople (Istanbul) kini telah dijadikan modul latihan oleh Akademi Syariah (AS), sebuah akademi latihan yang baru ditubuhkan.

Hari ini, Akademi Syariah (AS) ini buat pertama kali diperkenalkan kepada umum di Pameran Pelancungan Islam Antarabangsa yang dirasmikan oleh Datuk Dr Mashitah Ibrahim, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Melalui pameran ini, AS memperkenalkan modul latihan mereka yang digarap berasaskan nilai-nilai dan ajaran yang digarap dari Al Quran, Sunnah serta pengalaman pejuang Islam yang awal termasuk kehebatan Muhamad Al Fateh ini.

“Kalau pemikiran dan teknik latihan barat menonjolkan pemikiran luar kotak, kami memperkenalkan bagaimana pemikiran dan strategi yang diambil oleh Muhamad Al Fateh yang dianggap gila-gila sehingga berjaya menakluki kota Constantinople yang kebal itu,” kata Ustaz Azlan Abdul Jalil, Ketua Perunding AS yang merangka modul latihan akademi ini.

Menurut beliau, Nabi Muhamad saw pernah bersabda bahawa akan ada satu masa nanti umat Islam akan berjaya menawan kota Constantinople itu.

Sejak itu, para sahabat, tabiin dan pejuang Islam berusaha untuk menawan kota itu bagi membuktikan kata-kata Rasulullah itu.

“Sepanjang 10 abad umat Islam membuat kira-kira 30 percubaan untuk menakluk kota itu namun gagal sehinggalah selepas 800 tahun selepas kewafatan Baginda, Amir Muhamad yang kemudiannya di kenali sebagai Muhamad Al Fateh berjaya menawan kota ini dengan memimpin 250,000 tentera Islam.

“Melalui sejarah inilah kami ke Turki mengkaji tokoh Islam ini dan kami bawa ke Malaysia dalam bentuk modul latihan. Kami percaya program latihan ini mampu menyelesaikan banyak masalah organisasi di Malaysia,” kata Azlan yang ditemui di PWTC hari ini.

Akademi Syariah adalah intitusi latihan yang ditubuhkan oleh Biztel, syarikat yang menguruskan rangkaian Hotel De Palma. Dua tahun lalu, De Palma diperkenalkan sebagai hotel yang mematuhi syariah atau Syariah Compliant. Kejayaan pelaksanaan pendekatan ini adalah melalui latihan kepada kekitangannya.

Kini, Biztel bergerak ke depan lagi bagi menginstitusikan latihannya dengan penubuhan Akademi Syariah ini.

Penasihat AS adalah Pengurus Besar rangkaian De Palma sendiri iaitu Datuk Ilyas manakala Pengurus Besar AS adalah salah seorang pengarah Biztel iaitu Haji Razwan Resat. (Gambar: Tiga tonggak utama Akademi Syariah dari kiri Azlan, Razwan dan Herryanto)

Dua tonggak utama AS adalah Ustaz Azlan sendiri sebagai Ketua Perunding manakala Ustaz Harryanto Rizal bin Rokman adalah Pengurus Operasi dan Latihannya.

Mereka telah menjadikan hotel De Palma Sepang yang terletak di Bandar Salak Tinggi sebagai pusat aktiviti mereka.

Kumpulan 50 pelatih pertama akademi ini dijangka akan memasuki De Palma Sepang pertengahan November ini sebaik sahaja akademi ini dibuka nanti.

“Kami jamin, latihan selama 3 hari 2 malam di akademi ini tidak membosankan bahkan peserta akan terasa santai sahaja kerana ia bukan dibuat secara teori semata tetapi juga praktikal di samping bantuan alat pandang dengar seumpama mereka berada di sebuah teater atau panggung wayang yang hebat,” kata Haji Razwan kepada Harakahdaily.

Sumber : Harakahdaily


BERITA 2 (HARAKAHDAILY)

KUALA LUMPUR, 20 Okt: Selepas berjaya dengan syariah compliant, hotel De Palma bergerak setapak lagi apabila menubuhkan Akademi Syariah di cawangan Sepang.

Pengurus Besarnya, Datuk Mokd Ilyas berkata, akademi latihan yang berteraskan syariah ini akan dibuka pertengahan November nanti.

“Melalui akademi ini, kita akan menawar khidmat latihan berteraskan syariah kepada para kakitangan kerajaan dan swasta untuk mendalami pelbagai jenis ilmu dalam suasana yang selesa ala hotel dan resort,” katanya kepada Harakahdaily.

Latihan ini akan dibuat di hotel De Palma cawangan Sepang yang mempunyai segala kemudahan hotel itu.

“Bagi setiap masa kita boleh melatih sehingga ke 200 orang peserta yang boleh tinggal terus di hotel kita,” kata Mohd Ilyas.

“Berbeza dengan universiti dan kolej, kami akan sediakan latihan dengan bantuan penuh alat bantuan pengajaran dan praktikalnya di samping boleh tinggal di hotel ala resort kami,” kata Ustaz Azlan Jalil (gambar), salah seorang Pakar Runding Motivasi yang bakal menjadi pakar rujuk dalam akademi ini.

Turut serta bersama beliau adalah Ustaz Heryanto Rizal Rokman.

Hotel De Palma Sepang terletak di bandar baru Salak Tinggi. Hotel ini mempunyai 30 bilik dan kemudahan lain yang baik untuk menjadi pusat latihan.

Salah seorang pengarah Biztel yang menguruskan kumpulan hotel milik PKNS ini, Encik Ramzan Resat telah dilantik untuk memimpin akademi ini.

Sebelum ini, kumpulan De Palma telah melancarkan program memperkukuhkan syariah compliant yang dilancarkan dua tahun lalu.

Ia bertujuan untuk memastikan amalan hotel ini mematuhi sepenuhnya syariah Islam.

Dengan Akademi Syariah ini, ia telah bergerak setapak lagi dalam memenuhi keperluan umat Islam di negara ini.

Sumber : Harakahdaily

Bersama staff Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dalam Kursus Tasawwur IslamSelesa Beach Resort, Port Dickson pada 29-31 Oktober 2010 baru-baru ini. 

 
Slot War Game, Samurai Warriors, Al-Fateh Values antara slot yang mendapat merit tertinggi dari peserta. Saya bagi pihak I.P Minda mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh Ustazah Rozita, Ustaz Muhammad, seluruh peserta dan kakitangan KPDNKK yang menjayakan Kursus Tasawwur Islam ini.

"Hanya kerana seorang, rosaklah seluruh prestasi organisasi"
Apa guna hebatnya visi dan misi organisasi tanpa NILAI yang didokong bersama

"Dalam aktiviti ini, semua anda akan diuji, tidak terkecuali." - Watashi Samurai

Kajian perbandingan antara semangat Samurai Jepang dengan semangat Al-Fateh

Ini kisah benar dari sejarah, bukan kisah tahyul dan penglipurlara



Pengembaraan matahati bermula 

"Malam ini bukan sesi ceramah. Tapi sesi pembetulan niat dan paradigma kepada diri dan program"

Tekanan hakikatnya adalah proses penjelmaan potensi yang terkubur dalam jiwa. Kesemuanya bergantung pada pilihan yang anda buat dalam fikiran anda dalam kehidupan seharian


Peperangan bermula ...
Master Tai Chi, Zool Amali


"Semua program yang diadakan semuanya berkesan dan mempunyai hubungkait dengan perjalanan kehidupan. Tetapi saya terkilan tidak dapat menjalani dan merasai beberapa slot kerana faktor cuaca tidak mengizinkan." 
- Norasha binti Jamari, Pembantu Tadbir, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (HQ Putrajaya) -


"Program seperti ini memberikan saya suatu cara melihat sesuatu dengan lebih baik. Ia terlalu bernilai untuk diketahui oleh saya sebagai umat nabi Muhammad S.A.W. Insya-Allah, dengan berkat usaha saya sendiri seiring dengan doa keluarga dan para fasilitator, saya mahu aplikasikan segala nilai agama yang telah diterapkan dalam program ini.
- Zulaina binti Ab Karim, Pembantu Tadbir, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (HQ Putrajaya) -


"Program sebegini perlu diadakan lebih lama lagi supaya kesedaran dan keinsafan dapat disemai dengan lebih hebat. Mohon dilanjutkan lagi hari berkursus!
- Nor Thaminah binti Ismail, Pembantu Tadbir, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (HQ Putrajaya) -


"Daripada program ini, saya dapat mengenali diri saya dari sudut pandang yang lebih berbeza. Saya akhirnya dapat berfikir semula tentang tujuan sebenar hidup saya dan dapat lebih mendekatkan saya dengan Allah. Azam saya selepas program ini, saya ingin meneliti kembali matlamat hidup saya dan mahu melaksanakannya sebaik-baiknya." 
- Nur Atiqah binti Othman, Pembantu Tadbir, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (HQ Putrajaya) -

"You are potential gardeners of this garden of knowledge and virtue!", demikian kalam wada' Prof Ataullah Boghdan Kopansky di kelas petang tadi.


Seorang profesor yang tahu menghargai setiap muridnya, hampir 45 minit membuat ulasan positif tentang assignment setiap pelajar, 5 minit shj utk 'hint' final exam, selebihnya "map game" yang menyeronokkan. Sudah tidak sabar saya untuk memasuki kelas-kelas beliau selanjutnya dalam perjuangan Master in History & Civilization. 

Kalaulah semua pensyarah mampu menjadi beliau sebagai benchmark.

Mungkin beginilah kaedah pendidikan geografi yang dilalui Sultan Muhammad al-Fateh ketika usia mahasiswanya.

"Janganlah kamu berfoya-foya (korupsi) dan menabur-naburkan (kronisme) wang negara, atau kamu pergunakan lebih (pecah amanah) dari sewajarnya. Sebab semua itu merupakan penyebab utama kehancuran.” (Sultan Mehmed II el-Fātiḥ).

Terima kasih tidak terhingga kepada Prof Abu Hassan Hasbullah, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya (UM) dan Founding Chairman, Zentrum Future Studies Malaysia (ZENTRUM) kerana sudi merakamkan "Prakata" untuk buku saya KEKAL (Kuasa Kepemimpinan Al-Fateh). 

Rakaman itu juga disalin di website beliau di sini.

Berikut saya salin semula tutur bicara Prof dan paradigma beliau kepada Sultan Muhammad al-Fateh :


"Sultan Muhammad ll al-Fatih bukan sahaja merupakan pemimpin (khalifah) agung dalam sejarah Islam, yang menderu buat setiap Muslimin untuk membaca dan mengikuti sejarah dirinya terutama kejayaan baginda dalam melengkapkan perjuangan menegakkan agama Allah, Islam sebagaimana yang diperucapkan oleh Rasulullah s.a.w: 

“Abu Qubail menuturkan dari Abdullah bin Amr bin Ash, ‘Suatu ketika kami sedang menulis di sisi Rasulullah s.a.w, tiba-tiba Baginda ditanya: ‘Mana yang akan dikalahkan terlebih dahulu, Kostantiniah (Constantinople) atau Rumiyah (Rom)?’ 

Baginda menjawab, “Kota Heraklius yang akan dikalahkan terlebih dulu.” Maksudnya adalah Kostantiniah (Constantinople).” [hadis riwayat oleh Ahmad, Ad-Darimi, Al-Hakim]. 

Dan seterusnya RasululLah juga memberi gambaran terhadap diri peribadi Khalifah Muhammad ll Al-Fatih sebagai “Kota Kostantiniah (Costantinople) akan jatuh ke tangan Islam. Pemimpin yang menakluknya adalah sebaik-baik pemimpin dan pasukan (pembesar, tentera, ilmuwan) yang berada di bawah kepimpinannya adalah sebaik-baik pasukan.” [hadis riwayat oleh Ahmad bin Hanbal Al-Musnad 4/335]. 

Setelah hampir 800 tahun lebih usaha-usaha untuk menakluk Kota Constantinople yang bermula sejak Khalifah Muawiyah bin Abu Sufyan pada 668 Masehi, yang turut mengorbankan sahabat RasululLah s.a.w iaitu Abu Ayyub al-Anshari r.a, maka generasi kepimpinan khilafiah yang seterusnya baik dari Bani Umayyah dan Bani Abassiyyah sehingga pemerintahan Othmaniah di bawah Khalifah Murad ll juga gagal untuk menguasai Byzentium sehinggalah akhirnya, sebagaimana yang disabdakan oleh RasululLah s.a.w akhirnya muncul seorang putera Islam yakni Mehmed ll, yang mempunyai kepakaran dalam bidang strategi politik, kejuruteraan militari, sains, matematik, dan pengurusan ekonomi, dan menguasai lebih dari enam bahasa, yang di usia 21 tahun maka berakhirlah kesombongan dan kesesatan empayar Byzentium dan kotanya Costantinople yang seterusnya membuka laluan dari pintu Edirne yang telah ditawan sebagai derap memulakan perkembangan Islam ke seluruh Eropah dan dunia

Tentulah kehebatan Sultan Muhammad Al-Fatih tidak hanya sebagai ‘Sang Penakluk’ tetapi bagi umat Islam masakini hendaknya menjadikan konsep kepimpinan negara yang ditegakkan oleh baginda sebagai model pentadbiran negara Islam, dalam semua aspek iaitu ekonomi, politik dan sosial (ekoposial) dengan teras terpenting yang ditunjukkan dalam ciri-ciri individu beliau sebagai Muslim; konsep, makna, bentuk dan kandungan kepimpinan ekoposial di sepanjang pemerintahannya; kejayaan demi kejayaan buat Islam dalam menerajui dan mendepani masadepan serta meletakkan dunia di paksi yang benar; dengan ruh terkuat yakni Islam sebagai rahmatan lil ‘alamin dan ini hanya akan dapat dicapai dengan pemimpin dan umat Islam memiliki sikap dan akhlak khilafiah iaitu warak, praktikal dan pragmatik. 

Justeru itulah di sepanjang kepimpinan baginda, selain Islam berkembang dengan pesatnya dan manusia mencapai kemajuan dari segala bidang, apabila baginda mengamalkan sistem pemerintahan yang adil, saksama dan ‘beriman’ dengan bukan sahaja memajukan pertanian, perindustrian, malah menempatkan pendidikan sebagai gerakan pemajuan ummah yang terpenting dengan menubuhkan universiti-universiti yang sebahagiannya masih teguh berdiri sehingga sekarang. 

Prinsip-prinsip kepimpinan Islam, yakni siddiq, amanah, tabligh, dan fatanah diamalkan dalam semua proses pemajuan negara dan penghidupan masyarakat. Khalifah Muhammad ll al-Fatih menjadi pemimpin agung yang menunjukkan jalan buat masyarakat hari ini tentang Islam sebagai ad-deen.

Ini digambarkan dalam Piagam (Firman) Pembebasan Bosnia Franscan (28 Mei 1463) sebaik tentera Islam menakluki kerajaan Balkan, bermula di Bosnia, Serbia dan Albania dicatatkan: 

“Beta, Sultan/Khalifah sebagai Pemerintah, dengan ini mendeklarasikan buat seluruh dunia bahawa sanya, seluruh Bosnia Franciscan adalah terjamin di bawah perlindungan Firman (Piagam/Perintah) ini. 

Bahawa sanya dengan ini Beta mengarahkan yang: Tidak akan barang seorang pun yang boleh menganggu dan mengancam semua rakyat termasuk gereja-geraja mereka! Mereka terpelihara dan dijamin untuk meneruskan penghidupan seperti sediakala dengan aman, damai dan sejahtera dalam negara Beta. 

Mana-mana orang sebagai pendatang (imigran), tetap beroleh perindungan keselamatan dan kebebasan. Mereka boleh kembali ke biara-biara (monastri) yang terletak di sempadan-sempadan negara Beta. Tidak ada gerangan seorang pun dari rakyat negara beta, baik bangsawan, wazir-wazir, kerani-kerani (pegawai-pegawai) atau pengasuh-pengasuh (penasihat-penasihat) Beta boleh melanggar hukum ini dengan memberi ancaman kepada mereka! 

Tidak ada gerangan seorang pun yang boleh mengkhianati, mendatangkan bahaya atau serangan terhadap mana-mana orang, harta benda, dan gereja-gereja mereka! Sayugia diingatkan, apa dan siapa yang dibawa oleh mereka ini dari negara mereka mempunyai hak yang sama. 

Bahawa sanya dengan menitahkan firman (Piagam/Perintah) ini, Beta bersumpah dengan pedang Beta di atas nama Maha Suci Allah, Tuhan Maha Mencipta Langit dan Bumi, dan Muhammad Pesuruh Allah, dan 124000 para Nabi sebelumnya, sesungguhnya; tidak ada gerangan seorang pun dari sekalian rakyat beta boleh bertindak atau berkelakuan yang bertentangan dengan firman ini!”

Sultan Muhammad ll Al-Fatih telah membawa pemikiran kepimpinan ekoposial yang praktikal dan pragmatik bagi dunia seluruhnya. 

Lalu pemikiran inilah yang harus dikembangkan sebagai suatu ‘future studies’ oleh umat Islam dalam memajukan sistem, bentuk dan kandungan ilmu-ilmu sama ada dalam pengurusan politik, ekonomi dan sosial, ketenteraan, sains dan kejuruteraan termasuk dalam bidang-bidang perubatan, falsafah, sastera dan budaya juga teknologi komunikasi.  

Tentulah asas terkuat ialah bagaimana tegasnya Khalifah Muhammad ll Al-Fatih membangunkan negara yang bebas dari korupsi, kronisme dan pecah amanah sebagaimana yang dititahkan baginda dalam petikan di atas, sebagai pesanan tentang struktur kenegaraan yang akan menjamin keadilan, kemajuan dan kekuatan bagi menjadi sebuah peradaban agung, masyarakat dan negara. 

Asas-asas tersebut yang hendaknya secara berterusan dikaji, diteliti dan dimajukan untuk menjadi rukun dan hukum dalam sistem pemerintahan nyata diperucapkan oleh Khalifah Muhammad ll Al-Fatih buat pewarisnya, sekali gus mengadiluhung bentuk dan kandungan teoritikal dan praktikal politik, ekonomi dan sosial Islam; 

“Beta sudah diambang kembali ke sisi Allah. Tapi Beta berharap Beta tidak khuatir, sayugia Beta meninggalkan seseorang sepertimu. Jadilah seorang pemimpin yang adil, solih dan penyayang. rentangkan perlindunganmu untuk rakyatmu, tanpa kecuali. Bekerjalah untuk menyebarkan Islam. Sayugia sesungguhnya itu merupakan kewajiban para Khalifah di muka bumi. Dahulukan urusan agama atas apapun urusan lainnya. Dan janganlah kamu jemu dan bosan untuk terus menjalaninya. 

Janganlah dikau angkat jadi pegawaimu mereka yang tidak peduli dengan agamamu, yang tidak menjauhi dosa besar dan yang tenggelam dalam dosa. Jauhilah oleh dirimu bid'ah yang merosak agama. Jauhi pula mereka yang menggodanya untuk memasukinya. Jagalah setiap jengkal tanah Islam dengan jihad. Lindungi harta di baitulmal jangan sampai binasa. Jangan sekali-kali tanganmu mengambil harta rakyatmu kecuali sesuai ketentuan Islam. Pastikan mereka yang lemah mendapatkan jaminan kekuatan darimu. Berikanlah penghormatanmu untuk siapa yang memang berhak... 

Ketahuilah sesungguhnya para ulama’ adalah nadi kekuatan di tengah tubuh negara, maka muliakanlah mereka. Semangati mereka. Bila ada dari mereka yang tinggal di negeri lain hadirkanlah dan hormatilah mereka. Cukupilah keperluan mereka... 

Berhati-hatilah, waspadalah jangan sampai engkau tertipu oleh harta maupun kuasa. Jangan sampai engkau jauhkan ahli syariat dari pintumu. jangan sampai engkau cenderung kepada pekerjaan (perbuatan) yang bertentangan dengan ajaran Islam. Sayugia sesungguhnya Islam itulah tujuan kita, hidayat itulah jalan kita. Bahawa sanya oleh sebab itulah kita dimenangkan... 

Ambillah dariku pelajaran ini. Aku hadir ke negeri ini bagaikan seekor semut yang kecil. Lalu Allah memberi nikmat yang besar ini. Maka tetaplah di jalan yang telah aku lalui. Bekerjalah untuk memuliakan agama Islam ini, menghormati umatnya...” (bersambung dengan petikan di atas).

Khalifah Muhammad ll Al-Fatíh adalah lambang pemimpin agung; adalah model kepimpinan yang sempurna; adalah ilmu pengetahuan yang akan membawa masuk setiap orang dari satu pintu menara ke satu menara yang lain semacam tertakluknya pintu menara Galata sehingga ke Valea Albă Genoese dan Venetia; menakluki semua sisi dan posisi Islam sebagai ad-deen yang merupakan rahmatan lil ‘alamin. 

Sayanglah seandainya umat Islam di hari ini menjadi Yahudi Jacob Pasha yang membawa dan mengembangkan segala kemakaran dan kepunahan dengan sikap dan perilaku, baik sebagai individu maupun pemimpin yang akhirnya menghancurkan dunia."

Wallahu a'lam.

Mudah-mudahan dengan gambaran ini akan boleh diambil perbandingan atau mana-mana aspek positif oleh parti-parti politik, gerakan mahasiswa dan para pensyarah di Malaysia. Ayuh menuju demonstrasi minda kelas pertama, dengan itu kezaliman pemerintahan sekularis di Malaysia kini akan tumbang.

Kredit kepada Prof Abu Hassan Hasbullah atas rakaman ini.

Lagi gambar demontrasi di sini

Hasil pematangan pemahaman pada proses demokrasi negara yang matang, maka baru-baru ini pada 19 Oktober 2010 telah berlaku demonstrasi tanpa "water cannon" babitkan para pensyarah dan mahasiswa Austria kerana membantah pengecilan peruntukan perbelanjaan pendidikan sebanyak 2% dalam Bajet 2011 Kerajaan Austria. 

Sumber video rakaman Prof Abu Hassan Hasbullah sendiri di sini

"Demonstrasi ini melibatkan semua profesor, pensyarah, pegawai universiti dan mahasiswa seluruh Vienna, malah akan berlangsung di seluruh Austria. Demonstrasi ini diadakan kerana membantah pengecilan anggaran perbelanjaan bagi pendidikan dalam BELANJA NEGARA AUSTRIA 2011 sebanyak 2% berbanding tahun 2010.

Apa yang dilihat dari demonstrasi tadi:

1. Dikawal, diiring dan disusun oleh pihak polis.
2. Semua pengangkutan awam dan individu dimaklumkan beberapa hari sebelum demonstrasi.
3. Semua media menghebahkan akan berlakunya demonstrasi, dan menyatakan sokongan terhadap gerakan universiti.
4. Demonstran pun berarak menuju ke parlimen, dan seterusnya ke penginapan Canselor Austria
5. Demonstran melaungkan tuntutan revisi balik Belanja Negara 2011
6. Demonstrasi berjaya menyampaikan suara akalfikir dan akalrasa rakyat secara demokratis dan partisipasi dalam kebersamaan membentuk polisi.
7. Suasana diganti muzik."

Dilaporkan oleh Prof Abu Hassan Hasbullah

Aku (Muhammad al-Fateh) mempunyai 2 sifat. Sifat keras seperti batu iaitu keazamanku untuk mencapai apa yang aku inginkan. Sifat lembut seperti air iaitu ketika aku memohon ampun kepada Tuhanku. Apakah dengan dua sifat ini aku masih tidak boleh mencapai kemenangan?
– Amru Khalid, Pemikir Islam Kontemporari -


Sejak dari pengumuman rasmi Sultan Muhammad mahu menawan Konstantinopel, beliau jelas sangat berhati-hati membina persiapan dan tidak meremehkan sama sekali apa jua faktor yang boleh menggagalkan perancangan biar sekecil mana sekalipun.”

Demikian rumusan yang cemerlang dibuat oleh Profesor Dr. Redzuan Othman dari Universiti Malaya untuk menggambarkan pemikiran strategik Sultan Muhammad Al-Fateh. Buktinya lagi :

1. Bermula dengan strategi diplomatik dengan menjalin pelbagai perjanjian damai dengan negara-negara Barat seperti Serbia dan Hungary. Ini bertujuan untuk menghalang mereka dari memberikan ‘talian hayat’ kepada Konstantinopel apabila mula dikepung Usmaniah

2. Membina Rumeli Hissari bertentangan dengan Anadolu Hissari untuk tujuan menghalang sekali lagi sebarang ‘talian hayat’ kepada Konstantinopel melalui kapal-kapal Byzantine atau sekutunya dari masuk atau keluar dari Selat Bhosporus dan Tanduk Emas.

3. Sultan Muhammad juga mengambilkira dengan sangat serius perhitungan masa dan ketepatan masa setiap pelan. 

Perhitungan Sultan Muhammad – berdasarkan pengalaman sejarah datuk-datuknya - adalah semakin lama tempoh pengepungan dibuat, semakin Usmaniah akan terdedah pada pengkhianatan kuasa Hungary dan Venice untuk membantai semula Usmaniah secara senyap dan membantu Konstantinopel. 

Justeru, pembinaan senjata yang mampu merobohkan tembok Konstantinopel dengan cepat dan tepat adalah sangat diperlukan. Maka atas sebab itu jurutera Hungary, Urban menawarkan khidmat kepada Sultan Muhammad ketika musim luruh 1452 Masihi.

Kesannya, menurut Steven Runciman dalam bukunya “The Fall of Constantinopel 1453”, selepas 3 bulan, satu meriam telah berjaya dipasakkan di atas dinding Rumeli Hissari dan berjaya menenggelamkan kapal-kapal Venice yang cuba lari dari kepungan Usmaniah di Selat Bosphorus.

Kejayaan ini menyebabkan Sultan Muhammad mengarahkan Urban membina sebuah lagi meriam dengan saiz dua kali ganda lebih besar. Meriam yang dinamakan Basilica ini akhirnya berjaya disempurnakan pada Januari 1453, hampir 3 bulan lebih awal menjelang misi penawanan.

Selepas diuji, Sultan Muhammad mengarahkan Basilica dipindahkan dari Adrianople ke Konstantinopel dengan kekuatan 60 ekor kerbau dengan kawalan ketat keselamatan oleh 200 orang komando Usmaniah dan 250 orang tentera untuk melicinkan jalan dan membaiki laluan dan jambatan (selepas dilalui). Perjalanan menuju Konstaninopel mengambil masa 6 minggu!

4. Menurut David Stacton dalam “The World on the Last Day”, Sultan Muhamad juga membina kekuatan armada laut dengan penyediaan 140 buah kapal perang dan 320 buah bot, dengan 150,000 askar penyerang termasuk 12,000 tentera Janissari.

5. Sultan Muhammad juga berjaya meraih kemenangan moral lebih awal apabila perisikan yang beliau lakukan sendiri mendapati tindakan Maharaja Konstantinopel untuk menyatukan antara gereja Greek dan Latin semata-mata untuk meraih bantuan Pope telah mendapat kemurkaan besar rakyat Konstantinopel. 

Menurut Lord Eversley dalam “The Turkish Empire”, upacara rasmi pengishytiharan penyatuan yang telah dihadiri Cardinal Isidore sebagai wakil Pope telah menyebabkan perpecahan penduduk Konstantinopel. Sebab itu tidak pelik sekiranya dari lebih 100 ribu populasi penduduknya, kurang 6 ribu penduduk sahaja yang sanggup mengangkat senjata berjuang dan menyokong tindakan Maharaja ketika perang sudah berkecamuk.

Tidak dapat dinafikan juga kepungan bantuan ini bukan sekadar menjatuhkan moral penduduk dan melemahkan fizikal tentera Byzantine, ia juga telah mematikan sekaligus penduduk dan pemerintah Byzantine dari akses maklumat perkembangan di luar Konstantinopel. 

Pendek kata, rakyat Konstantinopel mula mengalami kerencatan maklumat dan sekatan dari mendapatkan informasi dan media. Justeru tidak pelik, Byzantine tidak mampu meneka dan mengagak kekuatan sebenar tentera Sultan Muhammad yang sudah mengepung Konstantinopel dari segenap sudut tanpa ada ruang lagi untuk lari.

Kesudian jurutera Urban menawarkan khidmat pembinaan senjata dan meriam kepada Sultan Muhammad dan menolak dari berkhidmat dengan Maharaja Konstantinopel mengandungi dua pengajaran yang sangat berharga. 

Pertamanya, kesungguhan untuk memanfaatkan tenaga pakar. 
Keduanya, kekuatan ekonomi untuk mencapai objektif. 

Prof. Redzuan Othman menyebut bagaimana Maharaja Konstantinopel bukan sekadar tidak mampu menyediakan bahan mentah untuk Urban membina senjata baru Byzantine, tetapi beliau sendiri tidak mampu memberikan wang insentif sebagaimana yang dimahukan Urban. 

Sebaliknya Sultan Muhammad bukan menyediakan kesemua bahan mentah yang diperlukan Urban, bahkan ditawarkan kepadanya wang insentif yang sangat luarbiasa. Lihatlah betapa bersungguh, objektif dan bijaknya Sultan Muhammad memahami emosi dan kehendak tenaga-tenaga pakarnya.


CONGAK MATEMATIK SAYA

Perkiraan berikut hanyalah satu contoh sahaja, tidak semestinya menggambarkan keadaan sebenar.

Berdasarkan congak matematik mudah, jika diambilkira jumlah masa untuk proses pemindahan 70 buah kapal katakan 7 jam (10 malam hingga 5 pagi) atau 420 minit bagi jarak sejauh 5 kilometer, maka sebuah kapal Usmaniah memerlukan masa kurang 6 minit sahaja untuk melepasi jarak 5 kilometer dengan selamat.

Lebih dari 6 minit ertinya musuh akan dapat mengesan dari jauh. Ini jelas menunjukkan pergerakan 70 kapal berjaya dilakukan dalam masa semalaman kerana ia digerakkan serentak satu demi satu tanpa putus-putus dan tanpa ada sebarang masalah teknikal walaupun satu kapal ! 

Satu kapal membuat masalah akan menjejaskan 'timing' Sultan Muhammad.




SERANGAN AKHIR

Di awal Subuh 29 Mei itu, tentera pertama Usmaniah yang sangat bersemangat menyahut seruan Sultan adalah tentera menara bergerak dan pemanjat tangga ke dinding Konstantinopel. 

Menurut Profesor Redzuan Othman, percubaan pasukan besar pertama ini meskipun mengalami kekalahan teruk dan angka kematian yang banyak, tetapi mereka telah berjaya mencapai objektif dan strategi Sultan iaitu untuk meningkatkan tahap keletihan tentera musuh dan menggandakan pelepasan jumlah peluru yang mereka ada.

Percubaan kedua menjadi lebih serius apabila dilakukan oleh pasukan rempuh lengkap berbaju besi oleh komando-komando dari unit Anatolian.

 Gambar ini adalah hasil ilustrasi semula penulis. 
Hakcipta terpelihara www.iskandarfateh.com

Percubaan ini juga gagal dan memaksa tentera berundur.

Percubaan ketiga yang menghampiri waktu senja, tiba masanya Sultan menghantar tentera elit baginda, para pegawai keselamatannya, barisan pemanahnya, barisan berkuda dengan tombak serta 12,000 tentera Janissari untuk membuat rempuhan akhir di pintu paling lemah iaitu Topkapi.

Dengan izin Allah S.W.T, Konstantinopel berjaya dimasuki dan dipasakkan panji Usmaniah oleh Hassan Ulubate.


RUJUKAN :
Profesor Dr. Mohd Redzuan Othman, “The Conquest of Constantinople 1453 : The Visions and Strategies of Sultan Mehmed II”, Jurnal Jabatan Sejarah Universiti Malaya, No.5 (1997).


Entah kenapa hati saya tergerak untuk pergi menunaikan solat Jumaat di masjid UIAM tadi. Rupanya Allah mengaturkan pertemuan saya dengan khutbah Syekh Ahmad Badaruddin Hassun, Mufti Besar Syria.

Belum pernah saya mendengar khutbah terbaik dalam hidup saya melainkan inilah saatnya secara 'live'. Tampak suaranya seperti suara Syekh Dr Yusuf al-Qaradhawi yang sedang berpidato lantang. Khutbah yang hampir menitiskan air mata meskipun ia disampaikan oleh syekh dengan penuh semangat, nada fushah yang sangat indah, penyusunan kata yang ringkas tetapi penuh hikmah, dan penuh dengan seni dakwah yang menyentuh hati sesiapa sahaja yang memahami kalimah demi kalimah syekh. 

UIAM belum pernah lagi saya dengar ada khutbah mengenai pesanan untuk menjaga pendidikan anak-anak secara khusus namun itulah yang telah dilakukan oleh Syekh. Suatu pidato yang kena tepat 'ke batang hidung' setiap yang bakal bergelar ayah dan ibu, tepat kepada jalan keluar terpenting permasalahan ummah pada saat ini.

Dalam khutbah pertama, Syekh menyentuh dengan sangat mendalam mengenai kepentingan pembinaan Usrah Saidah sebagai jalan keluar kepada permasalahan ummah hari ini. Syekh menegaskan kepada sidang jumaat (para pensyarah, mahasiswa dan mahasiswi yang hadir) supaya memahami kisah pembinaan Kaabah (yang akan menjadi tumpuan bulan haji tidak lama lagi) sebagai satu mekanisme pembinaan keluarga yang bahagia sebagaimana yang telah disebutkan oleh al-Quran merakamkan Ibrahim membina Qawa'id al-Bait (Kaabah) bersama dengan Ismail, peranan ayah dan anak sekaligus.

Keluarga yang solehah adalah diasaskan cintanya hanya kepada Rabbul 'Alamin meskipun apa jua ujian yang datang. Ujian pertama untuk menguji si ayah, maka Ibrahim tetap thiqah kepada Tuhannya akan menyelamatkannya dari bakaran api Namrud, lantas sejahteralah Ibrahim dan benarlah Islam.

Ujian kedua untuk menguji si ibu, maka Siti Hajar ditinggalkan suami dengan anak yang dahaga di tempat yang kering kontang tanpa tanda-tanda kehidupan, maka Siti Hajar tetap thiqah kepada Tuhannya dan sejahteralah iman dan aqidah Siti Hajar.

Ujian ketiga adalah ujian paling getir untuk menguji si anak. Iman tidak dapat diwarisi tanpa pendidikan yang berterusan, maka itulah natijah yang berlaku pada Ismail apabila diuji untuk disembelih oleh ayahnya. Meskipun usia bersama ayahnya sejak kecil hampir tiada langsung peluang kerana perpisahan dan masa bersama dengan ayah (apabila bertemu semula) sangat singkat, namun Ismail tetap thiqah pada Tuhannya maka sejahteralah iman Ismail.

Lantas, sejahteralah iman si ayah, si ibu, dan si anak dan inilah model keluarga sejahtera yang seharusnya difahami oleh setiap jemaah haji dan umrah.

Khutbah kedua Syekh menyentuh mengenai kepentingan kesatuan ummah hanya dengan menyebarkan salam sesama sendiri dengan penuh kasih sayang. 'Speechless' untuk saya rakamkan di sini indahnya bunga-bunga bahasa, tafsiran al-Quran dan al-Hadis kepada setiap perkataan yang Allah dan Rasul-Nya gunakan. Contohnya kenapa Ihdina, tidak Ihdini. Kenapa Iyyaka na'budu, tidak Iyyaka A'budu. Kenapa Rabbul 'Alamin, dan tidak Rabbul Muslimin. Kenapa Rasul rahmatan lil Alamain, dan tidak lil Mukminin. 

Ketika doa diangkat dalam khutbah tadi, cukup menyentuh hati ketika Syekh mendoakan kemenangan Islam di bumi Palestin. Syekh menyebutkan bahawa Masjidil Aqsa adalah tempat yang menjadi saksi berlakunya Muktamar Para Anbiya, himpunan besar sebaik-baik manusia dari seluruh dunia dari dari pelbagai dimensi masa, dihimpunkan bersama dan mengangkat Nabi akhir zaman sebagai Amirul Anbiya'. 

Suatu seni dakwah yang ditampilkan oleh Syekh adalah memuji kesantunan rakyat Malaysia dan membariskan Malaysia sebaris dengan Syam dalam doanya supaya dipelihara jihad dan iman rakyat negara ini "Antum namuzaj li sya'bi Aasia" (kamulah role-model kepada bangsa Asia)! Motivasi yang jarang sekali kedengaran dari jurukhatib mimbar Jumaat yang banyak melenakan pendengar.

Ya Allah, ummah pasti angkat bangkit jika seluruh khutbah Jumaat di Malaysia ini meneladani model terbaik dari gaya, intonasi, keikhlasan, kesungguhan khutbah Syekh Badaruddin. Rinduku pada bumi Syam kembali berputik.

Teruskan memakna Syawal dengan mengkaji peristiwa-peristiwa besar dalam bulan Syawal ini. Khususnya perang Ahzab, Uhud, Hamra' al-Asad dan Hunain !!!

Benarlah kisah-kisah dalam al-Quran hanya akan menjadi IBRAH kepada mereka yang ULIL-ALBAB (tajam pemikiran dan tidak simple-minded). Terlalu banyak yang perlu diperbetulkan pada ummah apabila berkomunikasi dengan fakta sirah. Bukan sekadar sumber kesahihan sesuatu fakta sirah, tetapi bagaimana mentafsirkan fakta yang sudah sahih itu belum suatu upaya yang mudah diperolehi melainkan kita berguru dengan para ulama yang diberikan "hikmah" oleh Allah S.W.T. Antara fakta dan persepsi kepada fakta, kekadang cara kita mentafsir dan mempersembah sesuatu episod terpenting dalam hayat perjuangan Rasulullah kurang tepat atau kurang menyeluruh. 


Saya tidak berhasrat untuk mengungkap satu persatu fakta tersurat secara kronologikal mengenai perang Uhud. Para pembaca boleh manfaatkan Dr Google atau membuat pembacaan sendiri mengenai perang Uhud dan adegan akhirnya di Hamra' al-Asad  Apa yang menarik perhatian saya adalah analisis tajam yang dibuat oleh Almarhum Al-Muhaddith Syekh Sofiurrahman al-Mubarakfuri (sedikit profail di sini). Karya beliau, Al-Raheeq al-Makhtum ini telah mendapatkan pengiktirafan juara sirah nombor satu dalam muktamar " Sayembara Buku Sirah Nabawiah" anjuran Rabithah al-Alam al-Islami.

Cukup menyentuh hati kisah Hamra' al-Asad dari Syekh Nabil al-'Uudhi. Sesungguhnya peranan Ma'bad di Uhud sama seperti Nuaim Mas'ud dan Huzaifah di Ahzab. Bacaan Nabi mengenai serangan mendadak berskala besar Quraisy ke atas Madinah selepas Uhud benar. 3 hari penantian di Hamra al-Asad, Abu Sufyan dan Quraisy tidak muncul-muncul. Allah mencampakkan ketakutan ke dalam hati-hati mereka. Uhud hakikatnya berkesudahan dengan "intishar al-ma'nawi" Rasulullah S.A.W.

Analisa beliau sangat menarik.  Saya merumuskan :

- Bagaimana pemenang perang dari pasukan kuffar boleh mendabik dada menang dalam keadaan tidak mendapat sebarang tawanan perang, harta rampasan perang dan mahupun OR (Madinah) tidak dimusnahkan walhal Madinah hanya sekitar 5-6 kilometer sahaja dr Uhud ? 

- Menjadi adat perang Arab, mereka akan berpesta sekurang-kurangnya sehari dua di tempat mereka menang, namun kenapa Abu Sufyan tidak melakukannya, bahkan berundur lebih awal tanpa segan silu sebelum tentera Islam berundur. 

- Kenapa Abu Sufian tidak membuka pusingan ketiga peperangan ketika beliau mampu melakukan secara moralnya dan kemampuan fizikalnya ? 

- Bagaimana anda mengatakan tentera Islam kalah sedangkan sebahagian besar tentera tidak undur sedikitpun, teruskan berjuang untuk mengelakkan ada para sahabat menjadi tawanan walaupun seorang, bahkan Nabi tidak membuat 'kenyataan rasmi' pun bahawa baginda mengaku kalah mahupun mengangkat bendera putih.

Demikianlah antara analisis menarik Mubarakfuri.

"Suatu hakikat yang tidak syak lagi bahawa peperangan Hamra' al-Asad bukanlah satu peperangan yang berasingan, malah ia merupakan sebahagian dari peperangan Uhud, malahan sambungan kepada peperangan Uhud itu sendiri dan siri terakhir dari keseluruhan tahap-tahap dan penceritaannya secara terurai, di ketika para pengkaji menyelidiki mengenai kesudahan peperangan ini, apakah ianya suatu kemenangan atau tidak ? ...


Walaubagaimanapun, satu perkara yang tidak diragui, di mana tentera Makkah tidak dapat menawan institusi ketenteraan Islam disebabkan sebahagian besar tentera al-Madinah tidak berundur lari dari medan pertempuran meskipun berlaku huruhara di barisan tentera Islam, malah seluruh mereka menentang tentera Makkah hingga dapat mereka berkumpul semula di sekeliling qiadah (pimpinan) dan tidak membiarkan tentera lawan memburu askar-askarnya. 


Justeru itu tidak ada seorang pun yang menjadi tawanan tentera musyrikin malah tentera musyrikin tidak mendapat sebarang harta rampasan perang pun dari kaum muslimin dan tentera musuh tidak pula (bersedia) membuka medan pertempuran ketiga (sebagai kata putus pemenang peperangan yang sebenar) meskipun tentera Islam masih di pengkalan perjuangannya. 


Demikian juga tentera musyrikin tidak pula bermukim di medan pertempuran untuk selama sehari, dua atau tiga hari seperti yang biasa dilakukan oleh pihak yang menang sebagai tradisi amalam (Arab) di masa itu, malah (tanpa segan silu) dengan segera pula berundur dari situ terlebih dahulu, meninggalkan medan pertempuran lengang sahaja sebelum tentera Islam meninggalkannya. 


Tidak pula mereka berani menyerang Madinah untuk menawan kaum wanita sebagai rampasan perang dan harta-harta di sana sedangkan jarak Madinah dengan medan pertempuran hanya beberapa langkah sahaja, dalam keadaan ianya sudah terdedah dan terbuka kepada sebarang serangan.


Kesemuanya ini membuktikan kepada kita bahawa apa yang dipungut oleh Quraisy dari peperangan Uhud ini tidak lebih dari satu kesempatan dan peluang untuk mereka menimpakan kerugian yang teruk ke atas kaum muslimin di samping kegagalan mereka untuk membanteras dan menghapuskan tentera Islam, yang biasanya dilakukan oleh pihak penyerang di mana mereka tidak akan teragak-agak untuk membunuh kesemuanya tentera lawannya
 
(tambahan saya : termasuk membunuh Nabi S.A.W sendiri sebagai Perdana Menteri kerajaan Madinah gagal, dalam keadaan secara emosionalnya pula, bukankah dendam  kesumat kekalahan Badar tahun lepas dan kematian 20 dari 27 orang paling "hardcore" - menurut riwayat al-Maqrizi - untuk membantai dan membunuh Nabi termasuk Perdana Menteri mereka sendiri, Abu Jahal, semuanya mati di Badar), dalam keadaan seperti mana yang telah terjadi kepada tentera Islam, maka sebab itu untuk dikatakan bahawa tentera Quraisy memperolehi satu kejayaan adalah TIDAK, dan JAUH SAMA SEKALI.


Malah apa yang menguatkan lagi sikap kita di mana Abu Sufian bergegas untuk berundur dari medan pertempuran kerana beliau takut tenteranya akan mengalami kekalahan, seandainya beliau membuka semula medan pertempuran yang ketiga. Penegasan ini dapat diperhatikan dari sikap Abu Sufian terhadap peperangan pusingan ketiga iaitu Hamra' al-Asad itu.


Untuk itu, maka kita menegaskan bahawa peperangan ini adalah sebahagian yang tidak terpisah dari induknya (cerita asal dan tajuk utamanya), setiap pihak memperoleh bahagian masing-masing, kerugian dan keuntungan, di penghujungnya setiap pihak menarik diri tanpa memperlihat di mata lawannya sebagai lari dari medan peperangan dengan meninggalkan tapaknya ditawan oleh lawan. Inilah yang dikatakan bahawa ia suatu peperangan yang bersambung dengan (cerita) awalannya. 


Untuk itulah Allah menjelaskan dalam firmannya dalam surah an-Nisa : 104 : "Janganlah kamu lemah melawan kaum (musuh) itu, jika kamu mendapat kesakitan, mereka pun mendapat kesakitan juga sebagaimana kamu mendapat kesakitan. (tetapi) sedangkan kamu mengharapkan dari Allah apa yang mereka tidak harapkan."


(Ayat di atas) Allah menggambarkan perasaan yang dialami oleh satu kem sebagaimana yang dirasai oleh kem yang satu lagi, ini membawa erti di mana kedua-dua situasi adalah setara, kedua-dua pasukan masing-masing pulang dengan tidak membawa kemenangan."

Pasukan Quraisy menumpang kebijaksanaan Khalid al-Walid cukup brilliant dengan tipu muslihat dan sanggup berkuda sangat jauh melebihi 13 kilometer untuk menyerang dari belakang tentera Islam di dari arah bukit Uhud tanpa disedari. Pasukan Islam pula menumpang kebijaksanaan Ma'bad bi Abi Ma'bad al-Khazaie pakar propaganda Nabi di Hamra' Asad (aksi final Uhud) yang mempengaruhi Abu Sufian, ketua tentera Quraisy membatalkan hasrat menyerang Madinah. Kuasa kebijaksanaan dalam peperangan adalah pengajaran sejarah yang sentiasa berulang.
(sumber foto : http://laxamana.multiply.com/)


Wallahu a'lam.

Jika kamu (pada perang Uhud) mendapat luka, maka sesungguhnya mereka (kafir) itu pun (pada perang Badar) mendapat luka yang serupa. Dan masa (kejayaan dan kehancuran) itu, Kami pergilirkan di antara manusia (agar mereka mendapat pelajaran); dan supaya Allah membedakan orang-orang yang beriman (dengan orang-orang kafir) dan supaya sebagian kamu dijadikan-Nya (gugur sebagai) syuhada. Dan Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim” (Ali Imran: 140).


Rujukan : 
Halaman 397-399, Ar-Raheeq Al-Makhtum Sirah Rasulullah S.A.W, Sheikh Sofiy al-Rahman Al-Mubarakfuri, terjemahan Mohd Darus Senawi Ali, terbitan usahama Cresent News (K.L) Sdn. Bhd dan Kumpulan Usahawan Muslim Sdn. Bhd.

Posting Sebelumnya

Integriti Maya

Sebarang pengambilan mana-mana bahagian daripada tulisan di sini adalah sangat digalakkan untuk disebarkan, namun perlulah mendapat izin daripada Iskandarfateh.

Ataupun, sila beri kredit bahawa anda mengambil mana-mana kenyataan tersebut dari Blog
Iskandarfateh ini.

Terima kasih. Saya sangat hargai kunjungan anda.

Montaj IPTC

Twitter With Me

Profail Blogger


Syaari Ab. Rahman merupakan seorang perunding motivasi terlatih. Profail lengkap beliau di "Hubungi Saya"