Sudah pasti kurang tepat untuk bergantung sepenuhnya pada kadar peratusan keluar mengundi sebagai indikator political awareness mahasiswa pasca 8 Mac. Seseorang mahasiswa mempunyai pelbagai sebab dan alasan untuk keluar mengundi atau tidak melihat ia suatu keperluan atau terus memboikot. Seseorang mahasiswa yang keluar mengundi pula mempunyai justifikasi yang pelbagai dalam memberikan undi kepada calon A, bukan B mahupun C (3 penjuru ke atas). Ada yang mengundi kerana wajah dan rupa paras calon, ada yang mengundi kerana tertarik dengan janji manifestonya, ada yang mengundi kerana populariti dan aktivisme calon tersebut dalam kampus, dan ada pula mengundi kerana calon berkongsi ideologi perjuangan atau sentimen kepartian yang sama dengan pengundi, dan tidak mustahil juga ada yang mengundi kerana tawaran kebendaan dan rasuah politik murahan masuk menceroboh kampus.
Peranan pihak universiti sendiri dalam “memfatwakan” hukum mengundi mahasiswa turut sama memberi kesan pada peratusan keluar mengundi. Ada mazhab universiti menyatakan "wajib" dan boleh dikenakan hukuman jika tidak menunaikannya. Manakala kebanyakannya mengambil mazhab "sunat" dan "digalakkan". Kaedah pemilihan anggota Suruhanjaya Pilihanraya Kampus (SPR), kaedah pengesahan penamaan calon bertanding sehinggalah kepada sistem pembuangan undi secara manual ataupun elektronik (e-voting) turut mempengaruhi psikologi calon yang bertanding, jentera dan pendekatan kempennya.
Kesemua faktor di atas sangat mempengaruhi natijah akhir sesebuah keputusan PRK, adakah kemenangan “kem-kem” tertentu mahasiswa, seperti Pro-Mahasiswa ataupun Pro-Aspirasi, sebuah kemenangan demokratik, yang benar-benar mendapat mandat kelompok majoriti mahasiswa atau ia sebaliknya sebuah kemenangan yang tidak berkrebiliti dan penuh pertikaian. Apalah gunanya kem parti A mendabik dada menyatakan mereka menang besar di kebanyakan kampus, walhal peratus yang keluar mengundi merosot. Atau kerusi Majlis Perwakilan Pelajar yang dimenangi itu telah digazetkan fungsinya tidak lebih sekadar “pengawas sekolah” dalam kampus. Atau sistem pertandingan yang diwujudkan anti-demokrasi, anti-intelektual, sarat dengan prima facie berlakunya penipuan di sana sini.
Tidak dapat dinafikan wujud beberapa desas-desus dan ramalan politik kepada PRK kali ini. Antaranya gelombang perubahan rakyat semasa 8 Mac lepas akan ‘berjangkit’ kepada golongan mahasiswa, khususnya kampus-kampus senior di Lembah Klang yang pelaksanaan PRK dengan wujudnya pelbagai parti-parti mahasiswa telah berlaku lebih dari 10 tahun yang lepas. Sindrom “nafikan 2/3 majoriti !!!” atau slogan “wujudkan pembangkang yang kuat !!!” untuk proses semak dan imbang adalah antara slogan-slogan yang diyakini akan meresap masuk dengan mudah dalam benak pemikiran para pengundi intelektual (k-voters) ini.
Ini juga berdasarkan teori mahasiswa bukan sekadar (bahkan tidak sepatutnya) reaktif (terikut-ikut) dan responsif (kena tempias) dengan arus perubahan politik nasional di luar kampus, bahkan sepatutnya mahasiswalah yang menjadi initiator (pencetus), de facto dan pencorak perubahan pemikiran mahasiswa itu sebelum perubahan lebih besar merebak ke dalam pemikiran, sikap dan pendirian rakyat. Namun demikian, siapalah yang berani menyatakan ‘tsunami’ politik 8 Mac 2008 adalah berpunca ‘tsunami’ 2 Oktober 2007 ! Apa sangat ‘tsunami’ politik kampus yang berlaku pada PRK tahun lepas. Ramalan Pro-Mahasiswa akan mengambil alih tampuk pemerintahan MPP kampus-kampus utama di Lembah Klang tidaklah kesampaian. ‘Tsunami’ yang diharapkan berlaku, namun ‘gempa kecil’ sahaja yang dapat dilihat apabila kerusi-kerusi pesaing Aspirasi ini hanya mampu ditingkatkan di kampus-kampus utama di Lembah Klang, tetapi masih gagal memperoleh simple majority untuk membentuk kerajaan.
Ada juga desas-desus sebaliknya mengatakan pergolakan politik Malaysia yang sangat deras kini tidak disambut baik oleh golongan silent majority di IPTA ini. Katanya, mahasiswa fed-up dengan tindak-tanduk politikus di luar sana, sama ada pimpinan parti kerajaan yang tidak sudah-sudah dengan sentimen perkauman dan polisi-polisi baru menekan ekonomi rakyat, mahupun pimpinan parti pembangkang yang tidak sudah-sudah dengan aksi lagak ngeri mereka mengambil alih kerajaan melalui “pintu belakang”. Hanya PRK Oktober ini bisa memberikan jawapan kepada negara dan rakyat apakah sebenarnya pendirian atau pemikiran atau pentafsiran tersirat mahasiswa kepada apa yang berlaku dalam negara ketika ini (seandainya mahasiswa pengundi sudi berfikir lebih besar dari semata kriteria calon mana yang boleh jaga kebajikan mereka....)
Harapan saya PRK kali bukan sekadar meningkatkan jumlah mahasiswa yang celik politik nasional dan politik kampus, tetapi lebih dari itu mahasiswa mampu tampil dalam PRK sebagai golongan yang benar-benar berkecuali dan tidak berkepentingan, sentiasa mampu mencipta suasana "pelik bin ajaib, tetapi benar" , dengan tujuan keunikan yang bisa terzahir dalam PRK nanti dapat dianalisa dengan mendalam dan diambil pengajaran sewajarnya. Terimalah penghakiman bersifat tahunan dari mahasiswa (5 kali selama 5 tahun) melalui sebagai platform muhasabah terbaik para pemimpin negara, BN mahupun PR sebelum anda dihakimi 5 tahun sekali oleh rakyat dalam PRU. PRK mungkin akan menjadi "pengadil" sejauhmanakah peranan yang telah mereka mainkan kepada rakyat umumnya dan mahasiswa khususnya selepas pesta demokrasi 8 Mac dilabuhkan tirai, sama ada suka atau tidak suka dengan keputusannya.
Saya mungkin terlalu idealis... kerana saya sendiri tidak pasti sejauhmana faktor kepartian ini menjadi pengaruh besar kepada golongan atas pagar (silent majority) menumpaskan faktor-faktor lain yang telah saya nyatakan di awal tadi. Bahkan belum tentu sesebuah universiti itu membenarkan wujudnya pelbagai parti-parti dan kem-kem mahasiswa. Apatah lagi memikirkan yang ghairah berparti, berpencak dan bersilat dalam pilihanraya kampus ini hanya sekelompok kecil mahasiswa sahaja, sama ada dari kem Pro-Mahasiswa khususnya mahasiswa Islam, ataupun kem Pro-Aspirasi, atau kem bebas tanpa parti.
Andaikata benar berlaku penurunan peratus keluar mengundi dalam analisis keputusan PRK MPP 2008/2009 nanti, sama ada di sesebuah kampus mahupun penjumlahan dari semua kampus, maka apa yang dikatakan desas-desus nampaknya sudah menemui asas untuk bertukar menjadi sebuah fakta paling menakutkan para pemimpin negara dan politikus pada hari ini, jika sebarang usaha remedy & recovery tidak dilakukan segera. Tidak perlu pelik jika itu yang akan berlaku kerana Pilihanraya Kampus kali ini seperti biasa berlangsung dalam keadaan AUKU adalah AUKU. “Lembaga berhantu” mahasiswa itu tidak sempat menemui ajal pindaannya mahupun pemansuhannya akibat akta DNA yang dilihat lebih penting dan segera oleh Pak Menteri daripada menghadiahkan secebis kegembiraan kepada mahasiswa dengan pemindaan atau pemansuhan AUKU.
“Politik tidak boleh dipisahkan dari hidup, hidup juga tidak boleh terpisah dengan politik. Orang yang mengirakan diri mereka sebagai tidak minat berpolitik serupa sahaja. Hakikatnya mereka telah diserapmasuk ke dalam mazhab (budaya) politik yang paling dominan, iaitu mazhab bahawa anda tidak perlu berada apa-apa lagi tentang keadaan di sekeliling anda.” – Pramoedya Ananta Toer, sasterawan dan pejuang Soviet.
Nota
Peratus turun mengundi di 15 IPTA yang bertanding dalam PRK 2007-2008 tahun lepas ialah sejumlah 79.88%. USIM mencatat peratusan turun mengundi yang tertinggi iaitu sejumlah 96.71%.