Content feed Comments Feed

Saya pernah menyatakan sebelum ini bahawa jika sekadar mengambil kira fasiliti stadium Melawati tahap "world-class" dan skrin gergasi MSRPS (multi screen rear projection system) yang pernah digunakan oleh Parti Demokrat ketika kempen Obama sebagaimana pernah disebut oleh Pengarah Muktamar PAS Pusat, bagi saya ia belum memadai untuk berbangga andaikata para pembahas di Muktamar PAS belum bermentaliti "world-class" leader.

Namun alhamdulillah, perkampungan saya sehari penuh di Muktamar Pemuda PAS Pusat baru-baru ini - kerana saya tidak mampu berkampung di Muktamar PAS Pusat - membuatkan saya berpuas hati dan mampu saya berikan tribute kepada para pembahas Pemuda rata-rata kualiti perbahasan lebih holistik menyentuh pelbagai sudut isu dalaman PAS, restrospektif dan menyerlahkan pelbagai pattern cara berfikir Pemuda berbanding Muktamar tahun lepas yang saya rumuskan perwakilan Pemuda ketika itu lebih dihanyutkan dengan satu aliran isu perbahasan sahaja iaitu 16 September dan tempias gelombang Anwar Ibrahim dalam PAS. Saya akan membuat posting khas mengenai rumusan perbahasan perwakilan Pemuda Negeri pada pandangan saya dalam posting selepas ini bertajuk "Merumus Persidang Mempersada Perjuangan" walaupun sudah agak lewat untuk dibuat ulasan.

Saya berikan tribute khas kepada Pemuda PAS Wilayah Persekutuan kerana keunikan dan jiwa besar yang ditunjukkan oleh mereka ketika membahas Ucaptama KP dari sudut ekonomi serta usul pemerkasaan ekonomi PAS yang dilihat agak berbeza dari pattern perbahasan perwakilan lain yang lebih gemar bercakap mengenai PAS dari sudut politik berpilihanraya dan soal menang kalah di atas peti undi.

Ustaz Nasharudin Mat Isa mensifatkan Muktamar PAS kali ini sebagai Muktamar terbaik dari sudut perbahasan dan fasiliti. Namun bagi saya, Muktamar PAS masih lagi tetap mengekalkan satu kekurangan yang sewajarnya dibaiki segera, khususnya untuk generasi muda dan mahasiswa Islam yang mengunjungi Muktamar.

Rata-rata puluhan gerai yang dibuka di sekitar stadium Muktamar adalah gerai-gerai makanan, pakaian dan pelbagai jenis perniagaan yang pastinya memberikan pulangan bersifat material kepada ahli-ahli Pas yang mencari nafqah dengan peluang orang ramai yang hadir ke Muktamar.

Namun demikian, bagaimana pula dengan pulangan bersifat intelektual kepada anak-anak muda, mahasiswa dan juga pimpinan PAS sendiri yang datang dari segenap peringkat hadir ke Muktamar PAS ?

Gerai-gerai buku yang dibuka di Muktamar masih mengekalkan buku-buku fikrah lama yang diulangcetak sahaja kebanyakkannya. Selebihnya, buku-buku yang memang baru, namun kebanyakannya telah dibeli atau telah dibaca seperti karya-karya Tuan Guru. Kalau nak dibangga sedikit mungkin usaha yang dibuat oleh Siasah untuk menerbitkan buku-buku yang mengkompilasikan isu kerajaan perpaduan dalam akhbar Siasah, buku Dr Mujahid Yusuf Rawa yang sangat cemerlang pemikirannya dan Ustaz Nasarudin Tantawi yang bercakap soal asas-asas gerakan kepemudaan Islam. Selebihnya, tiada yang baru pada gerai-gerai buku di Muktamar PAS.

Ini jelas menunjukkan budaya ilmu dan intelektual serta budaya menulis untuk mencerahkan minda generasi pelapis PAS dengan pemikiran-pemikiran baru pada masa akan datang, kalangan aktivis dan pimpinan PAS masih berada di peringkat yang belum boleh dibanggakan seperti pimpinan gerakan Islam di Indonesia dan Turki yang pernah saya ceritakan sebelum ini mengenai mereka.

Situasi ini mestilah dibaiki segera kerana perubahan pimpinan bawahan takkan berlaku jika revolusi minda (meminjam istilah forum saya di hadapan 1000 mahasiswa Insaniah minggu lepas) tidak bermula dari pimpinan atasan. Semangat Iqra' takkan berlaku pada aktivis parti dan para peniaga Muktamar tanpa kesungguhan pimpinan di atas untuk melihat suasana Pameran Buku Antarabangsa PWTC itu boleh juga wujud dalam Muktamar PAS Pusat.

Sesungguhnya jika situasi dan suasana pencerahan minda ini dizahirkan dalam Muktamar PAS dengan kehadiran lambakan generasi muda tekun membaca bahan-bahan bacaan yang fresh selain menghalus isi perbahasan Muktamar, ia bukan sekadar membezakan wibawa dan nilai perjuangan PAS yang berasaskan Islam dan tradisi keilmuan, tetapi juga mampu menyebabkan AGM Umno-BN kelak akan kecut perut melihat situasi ini.

Mujurlah isteri saya mempertemukan saya dengan sebuah buku 'luar biasa' di Muktamar PAS Pusat, malangnya ia bukan tulisan mana-mana pimpinan PAS atau diterbitkan oleh maktabah jamaah PAS. Buku tersebut adalah "Generasi Ulul Albab : Segunung Harapan Seteguh Gagasan, keluaran KARISMA Publication, yang bagi saya mampu menyaingi tulisan "Kebangkitan Generasi Salahudin dan Kembalinya Al-Aqsa Ke Pangkuan Islam" terbitan ABIM-PKPIM serta "Mahasiswa Dari Gerakan Ke Negara" tulisan Anis Matta dan sebagainya.


Terlalu banyak gagasan pemikiran baru lagi intelek yang saya dan isteri temui dalam buku ini. Bagi saya, hikmah itu hilang dari orang beriman, sesiapa menemuinya dari sesiapa sekalipun, hatta musuh menurut kata Imam Syafie, dialah berhak ke atas hikmah itu. Yang penting hikmah ini diharmonikan dengan asas tajarrud fikrah perjuangan Islam di pentas demokrasi yang selama ini saya imani.

Dan itulah yang saya dan isteri temui dalam buku ini, kami "kenyang" meratah helaian demi helaian epistimologi ilmiah dalam buku ini walaupun pada asalnya saya hampir berputus asa nak membeli buku ini kerana ketebalan dan kemahalannya, namun pujukan demi pujukan isteri saya mengajar saya akhirnya "don't judge the books by its covers".


Kepentingan buku ini ? Memadai dengan satu kes yang berlaku pada saya ketika dijemput memberikan intelectual talk Ma'ruf Club mengenai "Kau Inspirasiku".

Saya tidak sempat membuat persiapan semantap yang saya impikan melainkan saya hanya sempat bertemankan buku Generasi Ulul Albab ini sahaja. Alhamdulillah, banyak penemuan baru yang saya temui dari buku ini khususnya ketika berkongsi pandangan mengenai konsep "ulama profesional" kepada rakan-rakan ahli Ma'ruf Club di UIAM baru-baru ini.


Antara kenyataan dan penemuan menarik saya di dalam buku tersebut yang saya telah saya kongsikan dengan mereka :

1. Sejak deklarasi Islam oleh Rasulullah Muhammad SAW sampai pada kejatuhan Granada di Sepanyol, peradaban Islam pernah mencapai masa keemasan. Itu fakta sejarah yang cuba dipadamkan Tartar ketika meranapkan Darul Hikmah di Baghdad dan musuh-musuh Islam selepas itu. Hampir tujuh abad lamanya, mulai 750-1500 M (0-700H), Islam terus utuh bertahan sebagai payung dunia kerana elemen penguasaan sunnatullah dan syariatullah yang ada pada pemerintah dan para ulama’nya.

Itulah penterjemahan maksud penurunan besi (aspek saintifik) dan penurunan al-Quran (aspek syariatik) yang diseimbangkan dalam surah al-Hadid ayat ke 25. Dan disebabkan itu jugalah pernyataan hakikat ulama (pengkaji syariatik) jualah yang paling bertaqwa kepada Allah di dalam surah Fathir ayat ke 28 didahulukan dengan pernyataan mengenai warna-warna manusia dan haiwan (kajian saintifik).


2. Rahsia penemuan saintis Islam menjangkaui zaman saintis Barat adalah kerana mereka menghafal terlebih dahulu al-Quran yang sarat dengan bukan sahaja asas-asas hukum syariatik, tetapi juga asas-asas hukum saintifik. Ketika penemuan sainstifik mengenai pelbagai kejadian di angkasa dan di bumi baru sahaja ditemui, 1,400 tahun dahulu seorang manusia yang tidak tahu membaca dan menulis telah memperkatakan mengenainya. Itulah Rasulullah S.A.W.

Sebab itulah saintis Islam mendahului zaman kerana itulah mukjizat al-Quran. Lihatlah Ibnu Sina sahaja, karyanya berjudul "Al-Qanun fil Tibb" diterjemahkan di Rome pada tahun 1593 dan menjadi rujukan utama universiti-universiti Itali dan Perancis selama hampir 300 tahun pada abad ke 17 hingga 19.



4. Mereka bukan sekadar saintis yang pakar (baca : mempunyai "PhD" ) dalam banyak bidang seperti Al-Birunni yang menguasai fizik dan metafizik sekaligus, Ar-Razi yang menguasai fizik dan kimia sekaligus, tetapi antara mereka juga adalah ulama terbilang dalam fiqh dan tasawwuf.

Al-Khawarizmi pencipta kaedah "al-Jabar" merupakan seorang ulama dan fuqaha. Ibnur Rusyd penulis kitab "Ak-Kuliyyat" dalam kaedah-kaedah kesihatan dan perubatan utama di Barat adalah seorang Al-Hafiz. Imam Fakhrur Razi pengarang kitab "At-Tafsir al-Kabiir" dan buku-buku agung usul Fiqh dan Usuluddin adalah seorang doktor dan ahli perubatan terkenal. Ibnu an-Nafis, pencipta sistem sel darah yang terkecil dan penghurai sistem saraf dalam paru-paru adalah seorang faqih dari mazhab Syafie yang diiktiraf oleh Imam al-Subki.



"Hampir lapan ratus tahun di bawah pemerintahan Islam, Islam di Sepanyol telah menjadi satu teladan kepada Eropah, sebagai negara yang bertamadun tinggi dan berilmu.. Penuntut-penuntut dari Perancis, Jerman dan England datang untuk mendapatkan ilmu baik matematik, astronomi, biologi, sejarah, falsafah, dan undang-undang. Saya pasti menyesal bagaimana kesusasteraan Eropah telah merancang dengan teliti untuk menyembunyikan peranan Islam dan sains. Tentu sekali perkara ini tidak dapat disorok begitu lama." - Draper John William, Sejarawan Inggeris, "Histroy of Intelellectual Development Europe.

3. Dalam menjadi mahasiswa yang versatile dan luas pembacaannya, saya memberikan kepada mereka tokoh seperti Al-Jahiz, seorang ilmuwan dan ulama besar Islam yang bergelumang dengan dunia buku.


Tokoh besar ini dikatakan mati akibat tertimpa lambakan bukunya sendiri di perpustakaan peribadinya di Basra pada 869 Masihi pada usia 93 tahun ! Kemiskinan tidak menghalang beliau untuk berjaya. Pernah satu ketika disebabkan ketiadaan makanan untuk dimakan, ibunya telah menghidangkan kertas kepadanya untuk dijadikan "makanan"nya. Sepanjang kehidupannya, al-Jahiz menghasilkan hampir 200 buah judul buku yang meliputi pelbagai disiplin ilmu dan bidang.

Bagi saya buku ini sedang bercakap mengenai soal keperluan "kompetensi" selain soal "integriti" seperti ditegaskan Mantan Ketua Pemuda PAS Pusat, YB Salahudin sebelum ini. Buku ini memaparkan mengenai Generasi Ulul Albab yang dikatakan mempunyai daya ‘kompetensi sebagai teras kegemilangan’ yang diselaputi oleh kekuatan roh dan jasad dan sangat berupaya menempuh apa sahaja bentuk cabaran serta rintangan, walaupun kadangkala sangat mencabar dan mendebarkan.

"Pemuda mesti ada sifat negarawan dimana isu yang dihadapi adalah dalam skala yang lebih besar dan tidak tertumpu hanya kepada politik dan kepartian semata-mata. Oleh itu saya tegaskan kepada Pemuda PAS yang saya tinggalkan bahawa, ini era pertembungan PAS dengan dunia luar maknanya akan ada lebih banyak perdebatan di peringkat pemikiran. Maknanya, pasukan baru mestilah mempunyai kekuatan gagasan intelektual yang cukup kuat. Pemuda perlu kepada pemikiran yang kritis, intelektual dan berinovasi mencipta dan melahirkan idea dan gagasan baru bersesuaian dengan zaman yang kita hadapi." - YB Salahudin Ayub, Wawancara Harakah (sumber dari Ustaz Nazri Chik)

Lampiran Isi Dalam Buku

1 Response to Kualiti Pesta Buku di Muktamar PAS dan Cerita "Ulama Profesional"

  1. Unknown Says:
  2. Salam,
    Sekadar makluman, penulis buku generasi ulul albab segunung harapan. Adalah naqib, bekas amir gombak dan pimpinan pkpim-abim uiam
    -saya bekas ahli usrah beliau sekitar 1996-1998

     

Posting Sebelumnya

Integriti Maya

Sebarang pengambilan mana-mana bahagian daripada tulisan di sini adalah sangat digalakkan untuk disebarkan, namun perlulah mendapat izin daripada Iskandarfateh.

Ataupun, sila beri kredit bahawa anda mengambil mana-mana kenyataan tersebut dari Blog
Iskandarfateh ini.

Terima kasih. Saya sangat hargai kunjungan anda.

Montaj IPTC

Twitter With Me

Profail Blogger


Syaari Ab. Rahman merupakan seorang perunding motivasi terlatih. Profail lengkap beliau di "Hubungi Saya"