Content feed Comments Feed
Showing posts with label Kupasan Buku. Show all posts
Showing posts with label Kupasan Buku. Show all posts


Dokumentari ini saya adaptasi dari Islamicfiles ini menonjolkan sesuatu yang jarang ditonjolkan di sebalik tabir kisah popular pembukaan Kota Konstantinopel pada 1453 Masihi.

Video klip 9 minit pengembaraan ini memaparkan :

1. Acuan pembentukan yang seimbang antara pendidikan syariatik dan saintifik Muhammad al-Fatih sejak dari kecil tanpa dikotomi dan sekularisasi

(saksikan buku nota Sultan Muhammad Al-Fatih ketika belasan tahun yang ditemui dan didokumentasikan semula dengan baik oleh Sultan Abdul Hamid II)

2. Barisan guru-guru besar Sultan Muhammad yang sangat berkaliber dan berwibawa tinggi yang menguasai pelbagai lapisan ilmu, seperti Ibnu At-Tamjeed, At-Taftazani, Alauddin At-Tusi, Al-Qarimi, Khairuddin, Sirajuddin al-Halbi, dan Shekh al-Kurani.

3. Latihan praktikal ketenteraan dan pentadbiran di Magnisia oleh ayahnya dan Zugnush Basya selepas pembentukan teori dan pendidikan akademik yang ketat kepada Muhammad di Edirne.

4. Besarnya pengaruh 'doktor' Syekh Aq Syamsuddin kepada Muhammad Al-Fatih, individu yang bersama dengan beliau sejak kecil hinggalah ke saat pembukaan Istanbul.



Petikan dari kerangka kasar (proposal) salah satu bab dalam buku kedua saya mengenai 27 tahun pemerintahan Muhammad Al-Fatih selepas kejayaan 1453. 


Ia adalah satu imbasan semula (review) buat pembaca untuk memudahkan mereka ingat karakter-karakter utama yang boleh dicarigali dari Sultan Muhammad berdasarkan buku "Kuasa Kepemimpinan Al-Fateh". 


Formula yang saya gunakan tidak lain dan tidak bukan formula 7 Habit Stephen R. Covey yang sudah sangat popular di seluruh dunia.


Hakikatnya, bukan suatu kerja yang mudah untuk mengumpul semula setiap fakta bagi menyokong setiap Habit, apatah lagi untuk sesuaikan dengan konsep dan definisi asal oleh Stephen Covey. Namun itulah yang cuba saya lakukan untuk menjadi fakta sejarah 1453 nampak sangat kontemporari. Mudah-mudahan, kisah-kisah dan dialog-dialog santai hasil garapan pengalaman sendiri saya di medan dakwah dan kepimpinan akan lebih memudahkan peserta faham kedua-duanya sekali, sama ada konsep 7 Habit tersebut mahupun karakter kepimpinan Sultan Muhammad sendiri.



1. Pro Aktif 


• Kerana rotan, Muhammad berubah dari seorang anak nakal dan panas baran yang hidup dalam istana diraja kepada anak muda yang dilengkapkan dengan segenap karakter untuk menjadi pemimpin dunia (the law of pressure)


• Muhammad sendiri melakukan penyamaran dan perisikan bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan menyeluruh mengenai kekuatan dan kelemahan di balik tembok Konstantinopel (begin with yourself, never always depending on others, stop blaming the others)


• Kepungan 54 hari penuh dengan adegan kegagalan dan kemusnahan di pihak tentera Islam, be positive dan never give up (there is no failure, only success delayed)


• Sabar adalah remote controller terbesar Sultan Muhammad khususnya selepas memasuki Kota Konstantinopel. Ramainya tentera baginda yang terbunuh dan degilnya Byzantine untuk menyerahkan kota secara aman boleh sahaja mencetuskan dendam kesumat berbalas pada rakyat Byzantine di hadapan Haghia Sophia, apatah lagi mengenangkan apa yang pernah dibuat oleh tentera Salib ketika mencerobohi Konstantinopel sebelum ini. 


Baginda mampu menawan kota Konstantinopel kerana baginda menawan dahulu ibukota dalam dirinya iaitu hati dan emosinya. Para ulama besar di sekitarnya juga bertanggungjawab untuk memantau dan memastikan Muhammad berkuasa terlebih dahulu ke atas dirinya sebelum menguasai tenteranya dan menguasai Kota Konstantinople. Always choose the right ‘pause’ button (be patience) before responding any actions against the incoming pressures.



2. Bermula Dengan Akhir di Minda


• Peta dikuasai, hadis dibacakan para ulama berulang kali, dipanggil Al-Fatih sejak dari usia kecil


• Kurang tidur malam kerana mencari penyelesaian sebuah kebuntuan 


• Kuasa pernyataan visi dalam doa munajat tahajjud yang tidak pernah ditinggalkan


• Fungsi Syekh Syamsuddin kepada Al-Fatih dan fungsi para ulama di setiap battalion tentera 


• Kejadian khemah dibakar pada 28 Mei 1453 menyerlahkan kuasa impian yang membakar semangat (burning desire)



3. Utamakan Yang Utama


• Penawanan Konstantinopel, pintu paling utama mesti ditembusi untuk Islam menawan Eropah. Sebab itu bab “Konstantinopel” menjadi perhatian utama dan topik nombor wahid Muhammad sebaik sahaja mengambil alih pemerintahan. Muhammad “learn how to say no”.


• Kesan memanah sejak dari kecil hinggalah mempengaruhi proses pemikiran politik Muhammad untuk mengepung Konstantinopel (musuh yang lebih utama)


• Pemindahan kapal kerana keutamaan serangan di benteng paling lemah


• Serangan serentak dari laut dan darat selepas cuti rehat sehari kerana itulah strategi paling utama untuk mematikan pergerakan Konstantinopel


• Tiada kompromi soal kualiti, utamakan yang terbaik dari yang baik : dari isu pemilihan tentera, imam, pelukis dan setiausaha agung



4. Berfikir Menang-menang


• Pengepungan, penghantaran utusan beberapa kali dan penyerahan secara aman meskipun justifikasi perundangan (pencabulan perjanjian) sudah membenarkan serangan, nyawa rakyat di Byzantine lebih diutamakan dari kemenangan politik satu pihak


• Penyerahan semula kunci gereja Orthodoks kepada paderi Gennadios, penegasan adab-adab kemenangan dan layanan pada hamba tawanan oleh Syekh Syamsuddin, dan deklarasi keamanan dan hak kebebasan beragama oleh Sultan Muhammad di Haghia Sophia selepas kemenangan


• Keadilan pemerintahan Sultan Muhammad Al-Fatih di negara-negara majoriti non-muslim


• Prinsip “win-win” (ihdal husnayain) Abu Ayyub Al-Ansari, tidak menang di dunia, tetap menang di akhirat (syahid)



5. Berusaha Untuk Memahami Sebelum Difahami


• Mustahilkah tertawan Konstantinopel ? Jangan terpengaruh dengan persepsi orang, fahami dahulu kemampuan dan potensi sendiri, fahami pula musuh dan buatlah penghakiman dan keputusan dan jangan undur lagi ke belakang. Tindakan berasaskan kefahaman dan pengetahuan tidak akan mampu ditumbangkan tindakan berasaskan persepsi dan tanggapan.


• Beri peluang perbaiki kesilapan, baru dijatuhkan hukuman kepada Palta Oglu


• Kenapa Muhammad menguasai lebih dari 5 bahasa termasuk bahasa negara musuh ? Sekadar kewajipan kurikulum persekolahannya atau ada sesuatu yang para ulama mahu Muhammad memahami


• Bahasa aksi ketika tentera melihat aksi membina Rumeli Hissari di tebing tersempit Bosphorus agak sukar dan aksi memindahkan kapal sangat mustahil


• Panggillah aku ayah dan aku memanggilmu anak-anak


• Kenapa Muhammad mewajibkan dialog peradaban di istananya sehingga zaman pemerintahannya, Othmaniyyah bukan sekadar menjadi polis keselamatan dunia bahkan pusat interaksi aktiviti intelektual dan pendidikan yang menerima kunjungan dari serata dunia



6. Sinergi


• Hikmah pujian Rasul kepada tentera, bukan sekadar pada seorang raja


• Diperjelaskan dalam Kuasa Kerja Berpasukan Sultan Muhammad Al-Fatih dengan mendalam


• Politik Muhammad di sebalik perjanjian damai (tahalluf siyasi)


• Siapakah Muhammad tanpa Murad dan Huma Hatun


• Siapakah Muhammad tanpa Syamsuddin


• Siapakah Muhammad tanpa dokongan moral isteri-isterinya


• Siapakah Muhammad tanpa anak-anak dan para pewaris yang meneruskan legasi kecemerlangannya



7. Tajamkan Gergaji


• Muhammad tenggelam dalam mengkaji sejarah dan mensibukkan diri dengan proses perbincangan demi perbincangan sebelum meneruskan rutin hidup seorang Sultan ataupun bertindak melulu menuju Konstantinopel


• Tenangkan diri seketika dari kesibukan hiruk pikuk peperangan dan politik, angkatkan tangan munajat pada Tuhan mohon kekuatan dan keberkatan pemerintahan


• Masa yang diperuntukkan seminggu sekali untuk melakukan dialog peradaban di istana meskipun urusan politik pemerintahan sangat banyak dan baginda sendiri mengepalai 25 kempen ketenteraan sepanjang hayatnya


Orang-orang Islam telah mencuba beberapa kali untuk membuka Bandar Konstantinopel. Seorang ahli sejarah Austria, Fun Hamer berkata : “Bandar Konstantinopel telah dikepung sebanyak dua puluh sembilan kali semenjak penubuhannya.” (Dr Abdus Salam Abd Aziz Fahmi, Fathul Qastantiyyah, al-Katib al-‘Arabiyy, al-Maktabah al-Thaqafiyyah, bil. 228, tahun 1969, hlm 28-29)

Orang Arab pertama yang melakukan kepungan terhadapnya ialah Muawiyah bin Abi Sufyan pada zaman khalifah Uthman bin ‘Affan pada tahun 654 M bersamaan dengan 34 H. Pembukaan Konstantinopel berjaya dilakukan bukanlah kerana kelemahannya, tetapi adalah kerana pergantungan tentera Islam terhadap Allah, berpegang dengan tali-Nya yang teguh dan kemajuan serta kemodenan ketenteraan yang dicapai oleh Daulah Uthmaniyyah ketika itu. (halaman 13)

Seorang ahli sejarah Perancis, Baron Karadfoo, telah menyifatkan pembukaan ini dengan menyatakan : “Pembukaan Bandar Konstantinopel tidaklah berlaku kepada Sultan al-Fatih secara kebetulan dan juga bukan kerana Kerajaan Byzatine berada dalam keadaan lemah, tetapi ia adalah kerana Sultan Al-Fatih menggunakan segala kekuatan ilmu yang ada pada zamannya.” (Ahmad Mustafa Abd Rahim, Fi usul al-Tarikh al-Uthmaniyy, hlm. 24-27; Muhammad Farid Bek, al-Dawlah al-‘Aliyah al-Uthmaniyah, hlm. 58)


Ilber Ortayli, pengarah Muzium Diraja Topkapi dan seorang professor sejarah terkemuka di Turki

“Between 1461 and 1463, the conquest of the Balkans was accomplished in a similar manner (as the conquest of Constantinople). Is is not easy to communicate to a large readership what this conquest entailed and to show how Albania and Bosnia were incorporated into the empire. This difficulty is, in fact, only to be expected: an appreciation of history cannot come from reading and listening alone, as one also needs to have knowledge of the geography of an area being studied. For this reason, my advice to young people today is to try to visit the locations in question. And when they look at the rugged land of Ioannina, Shkoder and Bosnia, they will really come to recognise the masterfulness and sophistication of the (Mehmet) military and diplomatic strategies used in this conquest.

There is no doubt that the Ottoman state had become an “arbiter mundi”, that is, an arbitrator in international affairs and a world power. It would be true to say that the second half of the fifteenth century was the period when the Ottomans actively embraced their role as a global empire”.

Sumber :
Halaman 64, "Discovering The Ottomans" (Osmanli’yi Yeniden Kesfetmek), Prof Ilber Ortayli, terjemahan Jonathan Ross, diterbitkan oleh Kube Publishing (2009)

Sebuah kitab tulisan Ziyad Abu Ghanimah bertajuk “As-Sultan Al-Mujahid Muhammad al-Fateh” menunjukkan Syekh Khairuddin dan Syekh Sirajuddin Al-Halbi dan beberapa guru terbaik dalam ilmu matematik, GEOGRAFI, falak, sejarah dan lingustik dipilih oleh ayah Sultan Muhammad al-Fateh iaitu Sultan Murad untuk melakukan 'projek perkaderan dahsyat' pada anaknya sejak kecil lagi. Lantaran itu tidak lagi menjadi kepelikan kenapa seorang anak muda yang kebiasaannya baru nak bertatih dan mengambil masa untuk membiasakan diri sebagai ahli politik dan pemerintah Usmaniah tiba-tiba hanya mengambil masa kurang 3 tahun bagi membuat perencanaan yang berakhir dengan kejayaan menumbangkan Byzantium di Konstantinopel, kurang 3 tahun untuk menawan Balkan dan hanya kurang 30 tahun untuk meletakkan posisi Usmaniah sebagai pemerintah dunia.

Itulah "sebaik-baik raja dan sebaik-baik tentera" yang menerima pujian dari Rasulullah S.A.W.

Huraian lanjut dapatkan dalam Buku Kuasa Kepemimpinan Al-Fateh yang akan dilancarkan pada awal Mei ini.

"In this domain, we prefer the turban and the sword of the Turk to the bread of the Frank." - Notoras, the last prime minister of Byzantine Empire (Discovering The Ottomans, Prof Liber Ortayli, page 59)

30 Mac 2010, genap 578 tahun kelahiran 'sebaik-baik raja' pujian Rasul. PBAKL 2010 menghadiahkan saya sebuah buku merumuskan dgn cemerlang karakter pemikiran dan kepemimpinan Muhammad bin Murad. Memadai anda membaca halaman 66-70, "Discovering The Ottomans", Prof. Ilber Ortayli, saksikan kenyataan sejarawan Trapezuntus dan Giacomo Languschi serta ramai lagi. Sedikit masa lagi saya akan terjemahkan kenyataan sejarawan sepanjang lipatan zaman dalam menelaah sikap kepemimpinan yang ada pada Muhammad bin Murad.


Antara buku-buku yang telah diburu dan dibeli oleh saya dan isteri di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010.



Koleksi buku-buku dari PBAKL untuk mengukuhkan kajian saya mengenai "2012" dan perang akhir zaman.

Menanti "Menyangkal Kiamat 2012"

Friday, February 5, 2010

Apakah kelainan yang ada pada buku ini berbanding buku-buku yang telah membicarakan panjang lebar mengenai kejadian Kiamat berdasarkan dalil-dalil Al-Quran dan As-Sunnah?

Apakah buku ini melihat filem 2012 hanya dari sudut pertentangannya dengan aqidah Islamiyah sahaja ?

Saya akan menganalisa buku ini dan memberikan sokongan serta penambahbaikan andaikata diberikan ruang masa dan peluang oleh PTS sebagai buku kedua saya selepas "Kuasa Kepemimpinan Al-Fateh". Jika Al-Fateh menang di Konstantinopel kerana beliau bersungguh-sungguh mengkaji mengenai musuh dan gerak tari perencanaan mereka serta bahasa komunikasi mereka, maka demikianlah formula untuk menumpaskan musuh-musuh Allah pada saat ini dari kalangan Yahudi Antarabangsa dan proksi-proksi gerakan rahsia pemuja Dajjal-Syaitan pada hari ini.

Jika buku ini hanya mampu melihat filem 2012 dari sudut pertentangannya dengan aqidah Islamiyah, maka saya akan melengkapkan buku ini kelak dengan penelitian mengenai "2012" lebih jauh dari sekadar perbahasan aqidah. Saya tidak akan mengulang apa yang telah ditulis oleh mana-mana penulis mengenai gambaran hari Kiamat menurut Al-Quran dan al-Hadis, tetapi saya akan membongkar di sebalik filem 2012, plot-plot yang disusun rapi oleh Emmerich dalam filem itu dan kaitannya dengan bagaimana kaedah musuh-musuh Allah merancang strategi licik untuk memusnahkan umat Islam dan melahirkan Dajjal dari perang dunia ketiga nanti.

Bagi saya, selepas penelitian filem-filem Hollywood dan pattern-patternnya sejak kecil, Hollywood adalah kilang membiografikan Dajjal dan proses kelahirannya. "Sherlock Holmes" membuktikan secara agresif obsesnya mereka kepada menghancurkan Goyim pada jam 12 tengah hari (baca : 2012). Dari "2012" ke "Avatar" ke "Sherlock Holmes" semuanya mengandungi plot-plot licik perencanaan mereka, mengulang skrip yang sama pada filem-filem Hollywood seperti The Matrix dan sebagainya, dengan mesej 911 sebelum WTC dimusnahkan mengikut perencanaan mereka tepat pada 11 September 2001.

Skrip yang sama sedang diulang 11 tahun sekali (mereka sangat memuja peredaran matahari = Sun God = Lucifer). Skrip 911 = 2012 yang sama sedang diulang dan umat Islam belum sedar dari lenanya.


Dalam masa dua hari, saya berjaya menamatkan bacaan “HULAGU KHAN: Khabar Hitam dari Timur” yang ditulis oleh Abdul Latip Talib, terbitan PTS.

Pada awalnya saya keberatan mahu membeli buku ini kerana naratif penceritaan kisah sejarah ini berbentuk novel. Sudah pasti pendekatan Pak Latip Talib sememangnya bersahaja dan santai, sangat sesuai untuk mengetuk emosi mereka yang selama ini sangat membosani subjek sejarah dan tokoh, dan sebaliknya menggilai novel-novel cinta, sains fiksyen dan pengembaraan. Pendekatan ini sudah pasti janggal bagi mereka yang sangat mendambakan penulisan yang mengambil berat soal pengambilan fakta dan pernyataan sumber untuk kajian lanjutan secara individu.

Namun, saya mengagahkan diri juga membeli buku ini. Kerana dua faktor, iaitu :

1. Saya tidak kenal mendalam siapa Hulagu Khan. Yang sempat saya berkenalan hanyalah datuknya Genghiz Khan,melalui filem “The Monggols”.

Juga melalui buku “100 Tokoh Manusia Paling Berpengaruh Di Dunia” karangan Michael H. Hart yang menyaksikan Genghiz Khan di tangga ke-21, meninggalkan jauh Caesar, Alexander The Great, Napoleon Benoparte, Adolf Hitler, dan tokoh-tokoh penakluk Asia yang lain.

Jadi, pendekatan novel mengenai Hulagu Khan, pewaris empayar separuh dunia di bawah Genghiz Khan, difikirkan sangat sesuai untuk menjinakkan buat pertama kali fikiran saya pada Hulagu secara khusus dan Monggol secara umum.

2. Tiba masanya beralih sejenak ke kotak pemikiran musuh. Pak Latip berbeza sedikit dengan penulisan sejarah beliau terbitan PTS sebelum ini. Hulagu Khan adalah satu-satunya tokoh ‘hitam’ karya beliau yang sebelumnya menulis mengenai tokoh-tokoh ‘putih’ seperti Muhammad al-Fateh, Khalid al-Walid dan sebagainya. Saya gemar pendekatan ‘Kingdom of Heaven’ (melihat kekuatan Salahuddin dan Jerusalem dari kacamata Crusaders) yang ditonjolkan oleh Pak Latip.

Analisis Buku

Saya lebih suka menganalisa sejarah dengan pendekatan yang lebih bersifat pandang ke depan melalui pemahaman kerangka IQ-EQ-SQ yang telah banyak saya hurai dalam penulisan sebelum ini.

Faktor IQ tidak selamanya mampu menjaga sesebuah peradaban. Bukti jelas dari pusat ilmu Islam, kota 1001 malam dan ibukota politik empayar Abbasiyah, kota Baghdad akhirnya tumbang selepas 508 tahun memerintah dengan 37 khalifah. Khalifah yang terakhir ialah Al-Musta'shim Billah (640H-656H).

Baghdad bagi umat Islam-Abbasiyah ibarat Konstantinople bagi umat Kristian-Byzantium ketika itu. Punyai 1001 sebab untuk mendabik dada menyatakan mustahilnya ibukota empayar itu mampu dilumpuhkan mahupun dimusnahkan. Pada era Abbasiyyah, dunia Islam berada di puncak tertinggi IQ (kecerdikan dan kepakaran ilmu). Nama-nama seperti Ibnu Sina, Al-Razi, Ibnu Hayyan, Imam Hanafi, Imam Malik, Imam Syafie, Imam Hanbali, Al-Khawarizmi dan pelbagai nama lagi hidup pada era ini. Ilmu-ilmu dari Yunani dan Parsi diterjemahkan. Perpustakaan Baitul Hikmah dibina. Bahkan penduduk Eropah datang ke kota Baghdad untuk mempelajari ilmu pengetahuan. Kota Baghdad menjadi “world center of knowledge”.

Namun demikian, apabila IQ (hablum-minal-‘alam) tanpa berkekalannya faktor EQ (hablum-minaas) dan faktor SQ (hablum-minaLlah), sunnatullah bernama “sejarah” telah mengajar bahawa peradaban dan kuasa politik itu tidak akan kekal lama.


Faktor EQ

1. Virus perkauman (asabiyah) bukan sekadar meruntuhkan Usmaniah menjelang 1924, bahkan lebih awal dari itu skrip itu sudah muncul pada pemerintahan Khalifah terakhir Abassiyah. Pak Latip menggambarkan bagaimana orang Parsi, orang Turki dan orang Arab saling bersengketa walaupun diikat dengan satu aqidah. Kesempatan inilah yang digunakan oleh Orang Monggol melanggar Baghdad.

2. Masalah integriti pimpinan negara apabila berlaku siri-siri pembelotan yang dilakukan menteri kanan Khalifah al-Musta’shim Billah iaitu Umayiduddin Muhamad al-Aqami.

Faktor SQ

Pak Latip menceritakan bagaimana orang Monggol tidak takut bagaimana besar sekalipun jumlah tentera Islam Abbasiah, banyaknya pedang tentera Islam bersinar, banyaknya anak-anak panah berterbangan dari pihak Islam.

Yang mereka takut hanyalah doa orang Islam. Kerana doa inilah yang menakutkan Genghis Khan dari menawan kota Baghdad dulu. Kerana doa ini jugalah menakutkan Hulagu Khan dari mara ke Makkah dan Madinah di hujung usianya. Doa dan munajat kepada Tuhan (SQ) adalah senjata sebenar umat Islam.

Hulagu Khan seorang pemimpin perang yang pintar. Mereka memperdaya dahulu para alim ulama, imam-imam, tokoh-tokoh agama dengan diberi makan daging babi dan anjing. Makanan haram inilah menyebabkan doa-doa para ulama di belakang Khalifah al-Mu’tasim tidak dimakbulkan selama 40 hari 40 malam. (walau bagaimanapun, saya masih mencari sumber kepada riwayat ini)

Dengan ketiadaan faktor EQ dan SQ itu, maka berakhirlah zaman kegemilangan Baghdad di bawah kerajaan Abbasiyyah. Hampir SATU JUTA nyawa rakyat di Kota Baghdad melayang. Semua harta berharga di Baghdad musnah, ulama-ulama, para cendekiawan mati dibunuh. Kitab-kitab, khazanah ilmu habis dibakar dan abunya dialirkan ke Sungai Dajlah sehingga air sungai bertukar warna menjadi hitam disebabkan dakwat jutaan kitab-kitab.


Wikipedia pula melaporkan :

“The Grand Library of Baghdad, containing countless precious historical documents and books on subjects ranging from medicine to astronomy, was destroyed. Survivors said that the waters of the Tigris ran black with ink from the enormous quantities of books flung into the river. Martin Sicker writes that close to 90,000 people may have died (Sicker 2000, p. 111). Other estimates go much higher. Wassaf claims the loss of life was several hundred thousand. Ian Frazier of The New Yorker says estimates of the death toll have ranged from 200,000 to a million."

Gambar Khalifah al-Mu'tasim diarahkan oleh Hulagu menunjukkan khazanah emas Baghdad

Kita juga jangan lupa, tidak sedikit juga kitab-kitab agung Islam yang lain yang tidak dibakar, tetapi diambil dan diberikan pada sekutu Hulagu Khan dari kalangan Salib di Eropah. Bermula dari sinilah bermulanya episod secara senyap Eropah ‘mencuri’ dan menciplak ilmu-ilmu Islam untuk menaikkan nama figura-figura mereka di pentas ilmu dan teknologi maklumat sehingga nama mereka kekal ke hari ini.

“Baghdad was one of the most brilliant intellectual centers in the world. The Mongol destruction of Baghdad was a psychological blow from which Islam never recovered. Already Islam was turning inward, becoming more suspicious of conflicts between faith and reason and more conservative. With the sack of Baghdad, the intellectual flowering of Islam was snuffed out.” (Steven Dutch)

“Yang paling nikmat dalam hidup adalah apabila dapat mengalahkan musuh, kemudian memancung leher mereka, merampas barang-barang berharga milik mereka, dan mendengar tangisan orang yang mencintai mereka”- kata-kata popular Genghiz Khan

Fakta Yang Memerlukan Semakan Semula

Secara kritikalnya, saya masih mahukan kajian lanjutan selepas menamatkan buku Pak Latip ini. Antaranya :

1. Berdasarkan konsep IQ-EQ-SQ yang saya ‘imani’ dari ibrah sejarah jatuh bangun tamadun, benarkah kota Bahgdad - world center of knowledge - itu begitu mudah dimusnahkan secara total oleh satu bangsa yang buta huruf, tidak pandai membaca atau menulis ?

Benarkah Hulagu Khan itu buta huruf seperti datuknya Gengkhis Khan ? Namun yang pasti, sememangnya bangsa Monggol berasal dari bangsa yang buta huruf.

2. Sejauhmana hubungkait Raja Reymond dan peranan Salib ketika Baghdad dimusnahkan pada pada 1258M tersebut? Benarkah Salib memberikan ‘baton’ mereka kepada Monggol untuk menyerang Islam selepas mereka dimalukan oleh Sultan Salahudin di Hittin pada 1187M ?


"Enemy At The Gates" : Salah satu lagu yang menggambarkan ketakutan dan kesedihan Kristian pada kedatangan tentera Al-Fateh

Saya dalam proses pembacaan bahan-bahan dan mengumpul manuskrip-manuskrip mengenai Sultan Muhammad al-Fateh. Walaupun pendekatan penulisan kelak lebih bersifat santai dan mesra pembaca, namun saya mahu mentahkik semua sumber sebelum dimuatkan dalam buku saya "Kuasa Kepimpinan Al-Fateh" (PTS Milenia) yang akan diterbitkan penghujung tahun ini.

Sebelum ini saya mengkagumi penulisan Michael H. Hart mengenai "100 manusia paling berpengaruh dalam sejarah". Buku ini telah mengundang 1001 perdebatan dunia apabila nama Nabi Muhammad S.A.W diletakkan beliau di tempat pertama menumpaskan 99 tokoh-tokoh dunia, agamawan, saintis dan penakluk yang lain. Buku yang pernah disebut oleh Shekh Ahmad Deedat ditulis dengan penuh objektif tanpa prejudis ini hampir-hampir telah mampu menjadi jambatan antara Islam dan Eropah-Barat ketika Islamophobia memuncak pada saat ini khususnya ketika kemuncaknya apabila Dr Marwah Sharbini dibunuh dalam kamar mahkamah di Jerman.

Namun, buku "100 Manusia Berpengaruh" tidak sama dengan buku "50 Perang Paling Berpengaruh" yang saya temui ini (dengan bantuan saudari Nazirah yang turut membantu saya dan isteri menyiapkan buku ini). Berbeza sama sekali.


Walaupun pada awalnya saya hampir terpukau dengan sinopsis buku ini yang mengkaji satu persatu aksi dan implikasi peperangan besar sepanjang sejarah dunia dan membuat ranking tersendiri berdasarkan sejauhmana besar skala impaknya pada dunia.


Namun benarlah "don't judge the books by its covers". Benarlah telahan saya, sumber dalam bahasa Inggeris mesti lebih saya berhati-hati berbanding dalam bahasa Arab, sama ada di perpustakaan mahupun alam maya.

Saksikan kenyataan penulis buku ini, William Weir pada mukasurat 145 hingga 149. Ia sangat memprovokasi emosi dan menaikkan kemarahan sesiapa sahaja yang selama ini mengkaji fakta-fakta mengenai kebudimanan Muhammad al-Fateh dan para tenteranya.

Lihat sahaja pemilihan perkataan di muqaddimah penulisannya ketika menggambarkan perasaan iri hati Al-Fateh setiap kali melihat tembok bangunan Konstantinople :

“…Mohamed II was irritated every time he looked at the walls of Contantinople…”

“…The city (Constantinople) had not blocked the Turkish advance into Europe – the profits from ferrying Turks across the straits were too good. It was, however, a mighty pain for expansion-minded Ottoman sultans…”

Pemikiran Weir tidak ubah seperti orientalis yang melihat Islam disebarkan dengan mata pedang. Weir cuba menegakkan benang yang basah apabila tampak menulis tanpa menyatakan sumber yang tepat dan disokong oleh mana-mana ilmuwan muktabar. Bahkan beliau lebih bersandarkan minda orientalis dan prejudis menebal kepada Sultan Muhammad sehingga menamakannya bukan sebagai "the Grand Signeur" (pemerintah agung) seperti yang ramai penulis Barat yang jujur mengiktiraf Al-Fateh, bahkan melabelkan al-Fateh sebagai "the Drinker of Blood".


Wier cuba memejamkan mata dari fakta bahawa al-Fateh terpaksa melancarkan serangan ke arah benteng 10 meter Konstantinople selepas segala usaha diplomasi perdamaian mengelakkan pertumpahan darah yang dikemukakan oleh Sultan Muhammad (melalui Mahmud Basya) ditolak dengan penuh keegoan, bahkan mengancam semula untuk menyerang semula negara -negara kecil di bawah Usmaniah sebagaimana pernah dilakukan sebelum ini ketika Konstantinople cuba didekati oleh pimpinan Usmaniah.

Wier cuba menafikan fakta bahawa Konstantinople bukan lagi menjadi milik rakyat Kristian Ortodoks Konstantinople, tetapi sudah menjadi milik peribadi berkepentingan Maharaja Konstantine XI ketika itu yang sanggup menukar agama rasmi negara kepada Kristian Katholik semata-mata untuk meluluskan bantuan pertahanan dari Pope untuk mempertahan survival politiknya, bukan kehendak rakyatnya yang mahukan beliau menyerah diri kepada Sultan Muhammad tanpa peperangan.

Betapa jijiknya fitnah Weir yang cuba pula menggambarkan "nafsu politik" al-Fateh sejak dari usia mudanya :

“Mohammed was not a man given to shilly shallying. His first act on becoming Sultan in 1451 was to send an assassin to drown his baby half-brother, who might grow up to be a rival for the throne. His next act was to execute the assassin. His third act was to marry the baby’s mother to a slave. His soldiers called him “the Drinker of Blood”….” !!!

Saksikan pula percubaan menyangsikan tahap ketaqwaan tentera al-Fateh :

“…Of the 200,000 according to a Florentine soldier named Tedaldi, only 140,000 were effective soldiers. The rest were “thieves, plunderers, hawkers, and others following army for gain and booty. But 12,000 of the soldiers were Janissaries, the best infantry of any European nation. The Janissaries had been children of Christian parents, taken in the Turkish “blood tax” and raised in Islam…”


Demikianlah musuh-musuh Islam. Menjadi tabiat mereka untuk memfitnah para pemimpin Islam dengan fitnah yang sangat dahsyat dan halus. Namun, anehnya mereka sendiri terpaksa mengakui di celahan tulisan mereka itu beberapa fakta yang tidak dapat disangkal dunia, seperti kepemudaaan al-Fateh, penguasaannya pada banyak bahasa dan sistem pendidikan ulama Usmaniah yang diterimanya sangat sistematik, serta kemahiran mencipta senjata paling hebat di zaman itu menumpaskan senjata Byzantium, dan diplomasi yang dikemukakannya sebaik sahaja menawan Konstantinople. Saksikan :

“…Mohammad was well educated. He spoke Turkish, Greek, Latin, Arabic, Chaldean, and Slavonic. He studied the lives of great leaders and had sound ideas on strategy..” page 146, Battle 26

“..Mohammed had more guns and bigger guns than any prince in Europe or Asia. He has been called “the world’s first great artilleryman...”

“he gave the Christians in the city freedom to worship in their own way..."

Weir semacam terdesak untuk memutabelit sejarah dan fakta yang diakui dunia, jadi apa yang mampu beliau lakukan hanyalah mengekalkan perakuan sejarah yang universal itu, tetapi memutarbelit di celahan fakta dengan fakta tambahan (rekaan) untuk memaling perhatian pembaca dari fakta yang sebenar kepada fakta rekaan yang jelas cuba melakukan provokasi pada umat Islam.

Itulah hakikat yang berlaku juga pada masyarakat Quraisy terhadap Nabi Muhammad S.A.W. Mereka memfitnah Nabi sebagai ahli sihir, orang gila, penipu dan sebagainya selepas wahyu diturunkan kepada baginda, tetapi mereka terpaksa akui Muhammad bin Abdullah itu jualah satu-satunya manusia paling berintegriti dan bepekerti di Makkah.

Sangat keterlaluan lagi, Weir menambah lagi kezaliman al-Fateh pada tentera, seolah-olah Weir cuba menutup hakikat sebenar perbuatan seperti itulah yang dilakukan oleh panglima perang Crusade pada tentera mereka yang kalah berperang :

"...Mohammed was so enraged by the failure of his infantry, he thought about loading their bodies into the bombards and shooting them over the walls of Constantinople”

Weir juga cuba menulis gambaran kesudahan jatuhnya kubu kuat Kristian Rome selepas bertakhta ratusan tahun, dengan meraih simpati apa yang terpaksa dilalui panglima Giovanni Giustanni.

Saya cukup bimbang jika inilah pendekatan Barat jika benar ada usaha dari institusi Hollywood ini untuk menerbitkan "1453" ini sebagaimana saya temui preview ini :


"1453" : Al-Pacino (Academy Award Winner) as Halil Pasha, Orlando Bloom as Giovanni Giustiniani, Jeremy Irons (Academy Award Winner) as Constantine XI, Ioan Gruffudd as Mehmet II.
Walaupun preview ini hanya kompilasi KOH, Troy dan filem-filem terbitan mereka dan bukannya "1453", namun saya meletakkan ramalan bahawa tidak mustahil ia akan dihasilkan suatu ketika nanti.


Sebab itulah saya menyimpan azam, andaikata Tuhan memberikan saya usia yang panjang, antara legasi terbesar mahu saya tinggalkan kepada Malaysia dan dunia adalah sebuah filem epik terbitan Malaysia sendiri mengenai "Fetih Mehmet", sebagai respon kepada "1453" andaikata benar ia akan dihasilkan, dan andaikata benar ia "prejudis" kepada Islam.

Sebab itu saya menyimpan azam untuk menjadikan asas ilmu dalam Master dan PhD dalam sejarah Usmaniah dan Al-Fateh sendiri serta 'engagement' yang kuat dengan para intelektual seperti Prof Redzuan Osman, Ustaz Hasrizal Jamil dan mana-mana sarjana yang pernah mengkaji mengenai Al-Fateh sama ada keperibadian mahupun strategi perangnya.

Juga 'engagement' dengan mana-mana Pengarah filem di Malaysia yang saya fikir mempunyai kecenderungan yang ghairah kepada sudut epik dan sejarah, serta pengkritik filem dan lakonan seperti Prof Abu Hassan Hasbullah yang terserlah wibawanya dalam sudut ini ketika Final "Pilih Kasih" yang sempat saya ikuti semata-mata untuk melihat kritikan dan wibawanya dalam hal ini selain di pentas argumentasi politik semasa.

Hampir RM 300 dilaburkan untuk membeli buku-buku haraki Indonesia di pesta buku UIAM. "Abang kena disiplin diri untuk terus membaca, bukan sekadar membeli buku-buku ini semua.", demikian nasihat kritis dari isteri tersayang, mengingatkan daku agar terus mendisiplin.


Berdasarkan sinopsis ringkas setiap buku, inilah rangking saya lakukan pada semua buku-buku yang telah kami beli. Kami nekad untuk menamatkan kesemua bacaan ini sebelum bulan Ramadhan.

TEMPAT PERTAMA : 2 Buah Buku "Quantum Tarbiyah"

Melahirkan Kader Dahsyat Penuh Manfaat
(Solehin Abu Izzudin)

Sesuai dijadikan silibus usrah takwin (pembentukan) aktivis dakwah Islam di Malaysia


Panduan berguna meningkatkan "mahu" lebih dari "tahu" aktivis dakwah untuk berjuang

Mempersiap Kader Kemenangan Islam di Pentas Peradaban (Miswan Thahadi)



TEMPAT KEDUA : Dua Buah Buku Menggugat Pemikiran Barat

Menanti Detik Kematian Barat (Muhd Nuruddin Usman)

Buku yang banyak mengupas hakikat "sunnatullah" kepada alam dan gerakan Islam menurut pandangan ulama-ulama gerakan Islam moden

Dialog Peradaban : Islam Menggugat Materialisme Barat (Adi Takariawan)


TEMPAT KETIGA : Kit Penyelesaian Masalah Usrah dan Ahli Usrah

Satria Hadi Lubis terus menggugat penulisannya dengan mengemukakan rawatan
kepada pelbagai masalah ahli gerakan sekitar marhalah takwin wal bina', masalah komunikasi,
masalah individu, masalah sistem, masalah murabbi, dan masalah khas akhawat.

TEMPAT KEEMPAT : Kit Motivasi Nuqaba dan Motivator

Antara buku motivasi Islam yang menjadi Best-Seller oleh Satria Hadi Lubis (wajar dimiliki oleh mereka yang mahu menjadi motivator) Beliau juga menulis Best-Seller "Breaking The Time : Panduan Orang Sibuk Menguruskan Masa" dan "Unstoppable Success"

TEMPAT KELIMA : Pelembut Hati (Muhammad ar-Rasyid)

Penulisan aktivis dan ideolog Ikhwanul Muslimin ini terus menggugat dunia gerakan Islam. Buku "Ar-Raqaiq" yang mendapat kata pengantar Sang Murabbi Indonesia ini diulang cetak sebanyak 18 kali adalah jawapan terbaik kepada permasalahan hati ahli gerakan.

TEMPAT KEENAM : Bottom-Line (Syekh Muhammad ar-Rasyid)

Buku "Thawabit" Seterusnya, Al-Munthalaq (Syekh Muhammad Ahmad Ar-Rasyid)


TEMPAT KETUJUH : Fiqh Dakwah (Syekh Jum'ah Abdul Aziz)

10 Pendekatan Dakwah "Luarbiasa" dengan syarah yang sangat kontemporari dan menjawap pelbagai persoalan kecacatan pendekatan dakwah gerakan Islam. Banyak masalah dakwah di kampus hakikatnya telah dirawat oleh Syekh Jum'ah.

TEMPAT KELAPAN : The Winning Generation

The Winning Generation : Menyingkap Rahsia Generasi Pemenang (Dr Sayyid Muhd Nuh)

TEMPAT KESEMBILAN : Amal Siyasi, Gerakan Politik Dalam Jalur Dakwah


TEMPAT KESEPULUH : Isti'abkan (Tingkatkan) Kualiti Rekrutmen Penggerak Dakwah


Lagi Buku-buku Dakwah Berkesan

Buku "Thawabit" Al-Masaar (Syekh Muhammad Ahmad Ar-Rasyid)

Kits Dakwah Fardiyyah Berkesan

Buku-buku Pengurusan Organisasi Harakah Islamiah

Perjuangan itu ibarat bermain catur. Siapa dapat melihat jauh ke depan, dia akan menjadi juara.

Kenalpasti apa yang menjadi "awlawiyyat" dalam Tarbiyah Islamiah



Buku-buku Aktivisme Mahasiswa Islam

Align CenterDari Gerakan Ke Negara (karya mantap Anis Matta, Setiausaha Agong PKS)

Model Manusia Muslim Abad ke-21 (Anis Matta)

Buku-buku Motivasi & Training Islam

Syekh Syalhub mengupas bagaimana tarbiyah Nabi menyentuh aspek bukan sekadar IQ, tetapi E.Q para sahabah

Super Games Islamic Mentoring, sarat dengan modul-modul mengesankan

Buku-buku Spiritual & Pembangunan Jiwa


Perjuangan Tidak Mengenal Erti Penat



Komitmen Daie Sejati (Syekh Muhamad Abduh)

Buku-buku Gerakan Muslimat @ Baitul Muslim


Buku yang penuh mesej, tetapi pembawaan yang sangat santai

Integriti Maya

Sebarang pengambilan mana-mana bahagian daripada tulisan di sini adalah sangat digalakkan untuk disebarkan, namun perlulah mendapat izin daripada Iskandarfateh.

Ataupun, sila beri kredit bahawa anda mengambil mana-mana kenyataan tersebut dari Blog
Iskandarfateh ini.

Terima kasih. Saya sangat hargai kunjungan anda.

Montaj IPTC

Twitter With Me

Profail Blogger


Syaari Ab. Rahman merupakan seorang perunding motivasi terlatih. Profail lengkap beliau di "Hubungi Saya"