Content feed Comments Feed

Ustaz Zaharuddin dan panel ESQ Malaysia

Alhamdulillah. Akhirnya penulisan pandangan Ustaz Zaharudin Abdul Rahman, seorang ilmuwan Islam kontemporari yang sangat saya hormati memberikan penjelasan (jarah dan ta'dil) yang sangat detail, penuh ilmiah, tiada prejudis, adil dan ikhlas untuk memperbetul secara konstruktif, bukan destruktif. Saya dan kita sebagai orang yang masih membina kelemahan diri sewajarnya menerima dengan hati yang terbuka. Beginilah caranya teguran berhikmah, teguran membina, tiada hati yang tersentuh, tiada hati yang terluka, menggunakan pendekatan Syekh al-Qaradhawi dalam mengambil manhaj pertengahan antara dua pihak yang ekstrem (ifrath wa tafrith).

Syabas untuk Ustaz Zaharuddin. Saya sendiri seperti beliau, tidak suka dengan cakap-cakap kedai kopi yang mengutuk atau memuji ESQ, bahkan membuat blog khas menghukum secara zatiyyah ESQ itu sesat, namun blog itu sendiri tidak selamat dari pertikaian Jakim dan siapa sebenarnya di belakang blog itu.

Kenapa tidak saya pergi melihat sendiri dengan mata kepala saya ? Saya bukan mahu membela ESQ, bahkan saya mengakui ada beberapa % slot mereka yang saya agak kurang 'tenang' sama ada dari sudut pendekatan mahupun hukumnya. Ya, siapapun yang telah baik kefahaman agamanya, belum berjinak dengan dunia korporat yang penuh dugaan dan kegelapan, pastinya kehadiran ke ESQ tidaklah memberikan impak yang terlalu besar, melainkan kekuatan pendekatan mereka (the art of delivering the simple message) menyampaikan Islam, Iman dan Ihsan.

Saya dan Ust Redhauddin hadir ke ESQ selama 3 hari bulan lepas kerana pertamanya mahu melihat sejauhmana kekuatan pendekatan dakwah mereka sehingga dikatakan mengislamkan ramai non muslim dan mengembalikan ramai hartawan kepada rasa bertuhan. Keduanya untuk saya menyiasat sejauhmana kebenaran dakwaan mereka ini ajaran sesat bentuk baru di Malaysia. Saya pergi sendiri kerana saya cukup tidak suka sindromn "simplistik" dalam menghukum, tidak mendengar dan melihat sendiri apa yang dikatakan "sesat" tersebut, bermusuh dengan perkara yang jahil dan seolah-olah tidak ada kebaikan langsung walau 10 % dari pakej dakwah mereka.

Selepas melalui 3 hari tersebut, saya berpandangan, benar, memang ada yang meragukan dan saya menyampaikan teguran membina kepada mereka dengan harapan ada perubahan lebih baik boleh dilakukan. Sememangnya mudah untuk menyata dan melabelkan sesuatu puak ini sesat dan haram, tanpa ada sedikitpun pengecualian dari generalisasi hukuman haram tersebut kepada slot-slot mereka yang dirasakan tidaklah bercanggah dengan syara', bahkan merasai kehebatan Nabi Muhammad S.A.W sebagai Nabi Akhir zaman dan al-Quran sebagai mukjizat.

Saya belum bersedia terjebak dalam perdebatan ilmiah dan persoalan hukum. Saya melihat dari sudut kaca mata dakwah dan kelemahan pendekatan dakwah yang masih ada pada gerakan Islam kampus dan gerakan Islam di Malaysia sendiri. Justeru saya hadir untuk tujuan mengambil apa jua hikmah yang baik. Hatta dari ilmu Barat sekalipun, saya ambil untuk kebaikan kerana berpegang bahawa hikmah itu sesuatu yang hilang dari orang Mukmin.

Tatkala kita menyatakan ESQ sesat dan sebagainya, apakah alternatif yang kita sediakan untuk menyelamatkan hartawan kaya raya, para artis dan golongan korporat profesional yang kebanyakan mereka menjadi audience utama ESQ dan sebaliknya golongan yang agak jauh dari mesej dakwah kita, bergelumang puluhan tahun dalam dunia kebaratan dan hidup tidak merasakan kewujudan Allah S.W.T.

Ayuh, be part of the solution, solve the problem, make our own islamic version. "untapped market" terlalu ramai yang belum diselamatkan. Buktikan pendekatan dakwah kita bukan sekadar lebih solid, lebih sahih asas dan sumbernya, tetapi lebih ampuh dan tajam untuk menawan hati remaja dan korporat yang makin jauh dari Islam sebagai cara hidup.

Ayuh, jangan malaskan minda anda untuk membaca penerangan ilmiah Ustaz Zaharudin di www.zaharuddin.net di link ini.

Beberapa pendekatan pandangan Ustaz Zaharudin yang boleh saya dan kita teladani adalah :

1. Pergi sendiri melihat perjalanan kursus A sampai Z, memerangi cakap-cakap kedai kopi

2. Pergi dengan berbincang secara langsung dengan penganjur, bukan pergi dan cakap belakang dan menghangatkan ketidakpuasan hati di luar lingkaran ESQ. Ustaz Zaharudin menceritakan bagaiaman proses perbincangan dengan pihak ESQ sebelum kursus, semasa kursus di waktu rehat, selepas kursus, bahkan sebelum beliau berlepas dari KLIA.

3. Mengkritik secara ilmiah berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah, dan memberikan cadangan yang membina, bukan meruntuh asas yang baik ada pada ESQ. Antara kritikan membina beliau dapat dilihat pada penggunaan istilah The God Spot, Asmaul Husna dan suara hati, tafsiran kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Musa a.s berkomunikasi dengan Allah, slot zikir dan suara-suara tangisan di mikrofon, penggunaan hadis yang tidak jelas takhrijnya bagaimana,

Antara pujian beliau pula adalah model 165 itu sendiri.

"Setakat pengamatan saya, tiada tafsiran baru kepada Ihsan, Iman dan Islam yang diberikan. Pihak ESQ masih lagi merujuk takrifan asal, cuma model ESQ 165 mereka mengambil rangka umum dari rukun tersebut. Dari situ, ia diamati melalui logika minda untuk menghasilkan satu model pembangunan diri dan kepimpinan. Ia bukan tafsiran baru, tetapi adalah proses modeling sahaja. Anda perlu memhamai apakah proses modeling dalam dunia akademik untuk memahami maksud saya. Justeru itu, ESQ165 dinamakan sebuah model. Ia adalah satu istilah akademik yang merujuk kepada satu teori moden hasil gabungan hypothesis dan analisa. Sama seperti percubaan beberapa ahli akademik lain yang cuba memperkenalkan model penyucian diri melalui konsep virtue oleh Imam Ghazali contohnya. Ia bukan tafsiran baru yang menolak tafsiran asal, ia hanyalah satu bentuk model logika minda yang menyandarkan kepada asas ihsan, iman dan Islam. Oleh itu, saya tidak nampak ia adalah sebuah isu usul atau asas sehingga boleh dijatuhkan sesat dan menyeleweng."

Juga mengenai upaya ESQ memaparkan mukjizat al-Quran dan sains satu persatu seperti Big Bang, beliau menyebutkan :

"Mengenangkan keadaan baginda Nabi s.a.w yang didustai, dan melihat diri masing-masing yang begitu jauh dengan kebenaran Al-Quran dan risalah yang dibawa baginda Nabi. Bagi saya keadaan itu masih punyai asas di dalam Islam"

Saya juga tertarik dengan pandangan sahabat seperjuangan saya, mantan Timb Presiden GAMIS sebelum saya, ustaz Redhaudin yang turut hadir. Beliau memberikan pandangan :

"Saya sangat tidak tenang apabila penceramah ESQ menceritakan tentang cerita para anbiya' dgn cerita yang meragukan, tanpa sandaran hujah (hanya cerita), juga sangat tidak tenang dengan beberapa nukilan hadith dhaif bahkan ada yang maudhu'... tetapi saya mampu melihat berlian yang banyak di sebalik kaca-kaca hitam. Bukankah kita juga pernah melakukan kelemahan di atas. Haruskah di haramkan zat kerana ketidakpastian juzu'nya? Haramkanlah pada yang Haramnya, terbukalah pada yang tiada nash padanya."


Penutup Ustaz Zaharudin Abdul Rahman

"Segala yang baik dari Allah, yang lemah dari kekeurangan saya. Saya berharap kedua-dua pihak sama ada ESQ dan alumninya. Serta pihak yang menuduh ESQ sebagai menyeleweng aqidah dan hukum untuk bersabar dalam bantahan dan hujjahan masing-masing sebelum mendapatkan penjelasan padu dan melihat dari awal sehingga habis bagaimana kursus itu dijalankan. Selain itu, jika benar sekalipun, saya dapat melihat kesungguhan pihak ESQ membetulkan kesilapan mereka, mereka amat jarang mempertahankan sesuatu pendekatan jika telah dibawakan hujah akan kesilapannya dari sudut Islam.

Buku-buku Pak Ary Ginanjar dan kesilapan di dalamnya tidak boleh dijadikan lesen untuk mengharamkan terus kursus ESQ kerana kandungan training dan pendekatannya tidaklah menggunakan semua isi buku itu, khususnya yang silap. Malah apa yang lebih penting, kesemua buku-buku itu telah ditarik balik oleh pengurusan ESQ untuk diperbetulkan. Sikap keterbukaan dan menerima teguran ini wajar dipuji dan dihargai.

Mana-mana yang mampu dan boleh diperbaiki, wajar dinasihat dan dibaiki, bukan dihalang terus, khususnya di musim kekeringan Malaysia dari kursus kepimpinan peringkat korporat yang berciri Islam, dan kebanjiran kursus bertuhankan barat dan bercampur baur lelaki wanita tanpa sebarang panduan." - Zaharuddin Abdul Rahman

"Merotan hanya penyelesaian kosmetik kepada masalah sosial remaja kini. Kerajaan perlu bersungguh melihat masalah remaja pada hari ini sebagai masalah "catastrophy" (bencana besar) negara 20 tahun lagi. Kerajaan mesti melihat dari pelbagai sudut yang lebih bersifat mencegah sebelum berlaku, bukan merawat masalah yang telah berlaku. Kerajaan mesti menilai semula sejauhmana sistem pendidikan negara menghala sepenuhnya kepada pasak rukun negara pertama iaitu kepercayaan kepada Tuhan.


Mengembalikan kesedaran rasa bertuhan khususnya kalangan pelajar Muslim Melayu adalah ubat mujarab seharusnya dikemukakan kerajaan, bukannya hukum merotan semata-mata. Adakah apabila berlaku kes 12 pelajar membelasah seorang pelajar tingkatan satu di kawasan Parlimen sang Menteri sendiri baru kerajaan tersentak dan bangun dari lena tidurnya? Bagaimana dengan kes buli sampai lumpuh di sebuah sekolah agama di Pahang (Berita Harian, 1 Jun 2005), sudah didiamkan semula ? Bagaimana dengan kes belasah sampai mati Allahyarham Mohd Hadrin Mohamad di Sungai Besi 3 bulan lepas ?"


Demikianlah respons awal Setiausaha Agong GAMIS ketika ditemuramah oleh krew Gamis Daily bagi memberikan pandangan mengenai cadangan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkasyi mengenai pengenalan semula hukuman rotan kepada pelajar melanggar masalah disiplin dengan syarat mendapat persetujuan .


KRITIKAN GAMIS


"Apa yang kita nampak di dada akhbar hanya sekelumit dari realiti sebenar yang berlaku yang tidak sampai pada pengetahuan media dan polis. Apa yang berlaku hanyalah satu bongkah ais kecil di atasnya yang tidak kita nampak kerangka ais yang lebih besar dahsyat di bawah lautan masalah itu. Dr Abdullah Nasih Ulwan (1989) pernah menyebut Islam telah mengajar hukum merotan dikenakan bukan pada usia sekolah menengah yang telah terlambat, tetapi ketika di usia "kritikal" remaja mencari identiti dan kuat terpengaruh iaitu sekolah rendah lagi iaitu ketika berumur 10 tahun lagi. Bahkan Islam mengajar merotan bukan kerana masalah disiplin mereka di rumah atau di sekolah, tetapi kerana meninggalkan solat yang menjadi benteng utama remaja dari terbabit dalam kes-kes juvana dan permasalahan sosial." ujar Setiausaha Agong GAMIS yang juga terbabit dalam banyak program aktiviti menyelamatkan remaja Muslim di sekitar Lembah Klang.

"Jangan kita lupa sudah hampir 4 ribu buah sekolah telah dilancarkan Kelab Pencegahan Jenayah sejak 1994, namun kenapa peningkatan jenayah pelajar meningkat dengan sangat dahsyat. Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye telah mendedahkan, dalam tempoh dua bulan pertama tahun 2009 ini saja, seramai 295 pelajar berusia antara 13 hingga 18 tahun terbabit pelbagai kes jenayah termasuk membunuh. Pertengahan April 2009, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, menyebutkan statistik menunjukkan peningkatan kes jenayah bunuh, rogol, samun, merusuh, mencuri dan kesalahan lain membabitkan anak muda itu. Kajian setahun pada 2006 – 2007 dilakukan Pensyarah Fakulti Pendidikan UM Prof Madya Dr Tie Fatt Hee, membabitkan 740 responden merumuskankan jenayah di sekolah tetap berlaku sama ada di kawasan bandar mahu pun luar bandar."

Tidak perlu pelik dengan situasi ini jika kerajaan sebenarnya tidak mempunyai "political will" yang bersungguh dan ikhlas untuk menyelesaikan permasalahan remaja dan anak muda ini. Buktinya, anda sendiri boleh kira berapa program realiti TV yang mengganas di televisyen swasta pada saat ini, tumbuh bagaikan cendawan, meratah aqidah pelajar dan anak-anak remaja dengan berhala hedonisme, pergaulan bebas dan westernisasi melampau. Semuanya mendapat lesen mudah dari Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan.", demikian tegas saudara Syaari.

CADANGAN GAMIS

GAMIS mencadangkan agar kerajaan Malaysia khususnya Kementerian Pelajaran di bawah kepimpinan baru mereka YAB Tan Sri Muhyidin Yassin dan Timbalannya, Dr. Mohd Puad Zarkasyi agar meletakkan sasaran penyelesaian masalah akhlak dan disiplin pelajar sekolah pada hari ini pada sudut yang tepat dengan permasalahan sebenar dalam diri pelajar itu sendiri (the real cause), bukannya permasalahan terbitan yang nampak zahirnya di sekolah (the presented effects). Jika kerajaan terus menerus meneropong masalah pelajar sekolah dengan teropong sekular (tidak meletakkan asas agama sebagai panduan penyelesaian), selagi itu datang apa jua idea baru atau kitaran idea lama seperti merotan ini takkan menyelesaikan masalah pelajar yang semakin kehilangan pedoman hidup.

GAMIS pula pada saat ini sedang berada pada kerangka menyediakan sebuah medan Kongres . "Seluruh jentera Kongres Pendidikan GAMIS sedang bertungkus lumus menguruskan kongres besar yang bakal menghimpunkan hampir semua pihak yang terbabit dalam institusi pendidikan formal dan informal di Malaysia. GAMIS memahami kekadang kerajaan tidak mempunyai "political will" yang tinggi untuk membuat post-mortem pendidikan negara secara holistik tanpa wujudnya kuasa sebuah kongres. Banyak sejarah Malaysia seperti penubuhan MARA, DBP dan FINAS terhasil dari sebuah kuasa Kongres.

Kini GAMIS tidak hanya mahu menjadi pengkritik yang konstruktif ideanya sahaja ataupun 'budak nakal' menjerit polisi-polisi kerajaan kian menjadi kudis masyarakat, tetapi GAMIS mahu menyediakan medan kepada kerajaan sendiri hadir memberi dan mendengar kertas kerja Kongres dan pandangan sarjana pendidikan Islam bertaraf dunia seperti Prof Kamal Hassan dan Prof Sidik Baba. GAMIS mahu bukan sekadar menyediakan medan, tetapi kita akan memberikan cadangan, aletrnatif dan blueprint reformasi pendidikan yang perlu dilakukan Tan Sri Muhyidin Yassin." ujarnya kepada krew Gamis Daily.

"Kesan kongres ini pastinya tidak nampak setahun dua, namun inilah penyelesaian jangka panjang terbaik menyelamatkan generasi muda dan pelajar sekolah di Malaysia 10 tahun dari sekarang. Tiba masanya mahasiswa mesti menguatkan solidariti, menghulurkan tangan bersama GAMIS untuk mengasak kerajaan mendatangkan kerangka pendidikan pra-sekolah, rendah, menengah, tinggi yang lebih 'manusiawi' dan bukannya mementingkan pulangan materialistik (utilitarianisme) kepada kerajaan dan negara. Tiada guna mahasiswa berhempas pulas menyelesai ataupun mengkritik satu masalah ke satu masalah sosial remaja pada hari ini, sama ada dari sekecil-kecil isu merokok sehinggalah kepada sebesar-besar isu rempit dan bunuh ragut, jika persoalan sistem pendidikan (pemangsa) itu sendiri tidak disentuh, medan memuhasabah sistem itu tidak disediakan, dan policy-makers di kerusi empuk menteri itu tidak diusung hadir mendengar pandangan semua pihak." ujarnya lagi.

Setiausaha Agong GAMIS juga dipetik menyatakan tribute beliau kepada akhbar Metro yang seakan menjadi menjadi ejen aktivisme sosial anak muda kerana mendedahkan semakin banyak gejala jenayah menakutkan yang dilakukan oleh pelajar dan remaja. Laporan dari hari ke hari seakan disembunyi oleh akhbar arus perdana manakala tidak disambut pula oleh akhbar perdana pembangkang akibat politiking yang kian menghairahkan.

Menjadi harapan GAMIS arus reformasi sistem pendidikan negara khususnya sistem pendidikan Islam ini akan menjadi sebuah gelombang kuat yang auranya sampai ke telinga semua ahli politik dan aktivis sosial, sebagaimana kuatnya gendang paluan anti PPSMI baru-baru ini.

Hari ini dalam sejarah. Saya dan isteri, kedua-duanya serentak diuji untuk menyampaikan idealisme perjuangan masing-masing kepada dua coverage besar, satu di RTM TV1 dalam rancangan Respons yang ke udara setiap Jumaat jam 6 pagi.
Mengupas tajuk "Apabila Remaja Hilang Kasih Sayang"

Mengupas tajuk "Remaja Impian dari Jendela Sirah"

Manakala isteri saya pula ditemuramah oleh Majalah Muslimah bagi mendapatkan pandangan beliau arahtuju kepimpinan wanita muda.

Walaupun letih membaluti kujur badan kami, namun isteri saya tidak pernah mengenal erti perjuangan mencari populariti. Malam ini pula beliau menghadiri brainstorming SIGMA untuk meletupkan isu re-born of new Bohsia.

Teruskan perjuangan isteriku.

Terkadang perlu juga saya menjadikan blog saya ini sebagai medan perkongsian kuliah-kuliah saya, juga sebagai rujukan memudahkan saya kelak jika tajuk yang sama diperlukan. Berikut adalah beberapa coretan tasawwur penting mengenai "Kepimpinan Dalam Islam", 30 % dari kandungan penuh kertas kerja telah saya sampaikan kepada rakan-rakan aktivis penggerak GMI di UPM :


MUQADDIMAH :

"....Kalau kita berbicara tentang anak muda, kita tidak boleh menempatkan diri pada lapangan lokal saja, tetapi harus dilihat pada lapangan global, sekurang-kurangnya benua Asia. Kerana anak muda dihajatkan tidak hanya di dalam negeri, tapi juga di seluruh DUNIA.” – Dr. Anes Baswedan, Rektor Universiti Paramida Indonesia, Kepemimpinan Pemuda Abad 21 Memerlukan Kompetensi Tinggi


MENDEFINISI SEMUA MAFHUM KEPIMPINAN

Gerakan Mahasiswa Islam (GMI) pada saat ini mengalami krisis KEPEMIMPINAN (qiyadiyyah) yang agak meruncing. Kepemimpinan yang dimaksudkan bukanlah semata KEPIMPINAN (qiyadah) dalam kerangka suatu posisi pengurusan, hierarki mahupun struktur yang tinggi dalam organisasi GMI, tetapi kepemimpinan ini bermaksud fungsi, pengisian, dan proses pengupayaan menjadi problem-solver ummah di kampus, lantas berupaya mempengaruhi orang-orang sekeliling dengan idea-idea pemerkasaan gerakan yang segar-bugar.

“Kepimpinan itu posisi (structural), kepemimpinan itu proses (functional). Tiada guna mempunyai pemimpin, tetapi proses ‘mengajar’ pemimpin itu tidak berlaku”

Tiada guna berbangga dengan jumlah kepimpinan yang ramai, tetapi yang benar-benar mempunyai pakej kepemimpinan hanya seorang dua figure sahaja, manakala yang lain hanya menjadi “jaguh kampung”, hidup terus menerus dengan mentaliti “syok sendiri”. Walhal “leader is reader” (pemimpin adalah pembaca). Dunia kampus mestilah dilihat sebagai “training ground” yang sangat ampuh untuk dijadikan medan latihan dan belajar, bukannya merasakan kampus adalah segalanya, fullstop kepada misi membaiki dan mengajar diri sendiri erti sebuah perjuangan dan kepimpinan.

"Belajar sambil mencabar, pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang, bangsamu tidak termaju tanpa pemimpin berpengalaman (mencabar) dan terpelajar.- Prof. Ungku A. Aziz (1973) -

Kepemimpinan yang dimaksudkan adalah individu-individu yang lahir dari suatu kesedaran dan kecerahan minda yang sangat tinggi (mampu menggunakan pancaindera keenam iaitu matahati) kepada permasalahan ummah yang berlaku di sekeliling mereka, sehingga daya kecaknaan itu menatijahkan semangat untuk berdakwah dan memimpin dakwah tersebut, ibarat sebiji bola yang ditekan masuk ke dalam air, makin kuat ditekan ke dalam, makin kuat lantunan ke luar bola itu.

RUKUN IMAN KETIGA : BERIMANLAH DENGAN CARA KEPIMPINAN RASULULLAH

Durus terpenting permulaan surah Ar-Rum adalah suatu gambaran minda siasah dan daya kecaknaan isu yang sangat luarbiasa ada pada Rasulullah S.A.W dan para Sahabah, walaupun tidak ada sebarang teknologi maya mahupun satelit, namun kecepatan informasi kekalahan Rom sangat cepat sampai ke telinga mereka, bahkan menimbulkan keresahan dan kebimbangan (emotional responses) kepada hati-hati para Sahabah.

"Alif Laam Miim. Telah dikalahkan bangsa Rumawi. Di negeri yang terdekat dan mereka sesudah dikalahkan itu akan menang. Dalam beberapa tahun lagi. Bagi Allah-lah urusan sebelum dan sesudah (mereka menang). Dan di hari (kemenangan bangsa Rumawi) itu bergembiralah orang-orang yang beriman." Surah Ar-Rum: 1-5.


Inilah sifat ‘madrasah’ tarbiyah Rasulullah, madrasah yang membentuk para Sahabah yang bukan sekadar mengambil TAHU apa yang berlaku di sekeliling sehingga melahirkan simpati, bahkan mampu menyentak emosi kesedihan yang mampu membuahkan tindakan(empati), walaupun yang mengalami kekalahan itu bukannya tentera Islam itu sendiri.

Inilah ‘manhaj tarbiyah’ yang sifatnya seperti apa yang disebut Almarhum Bapak Nasir:

Tiada percetakan dalam kepimpinan. (Lantaran) Pemimpin tidak lahir di bilik kuliah (formal institution) tetapi tumbuh sendiri dalam hempas pulas kancah, muncul di tengah-tengah pengumpulan masalah, menonjol di kalangan rakan seangkatan lalu diterima dan didukung oleh umat.”

Inilah ‘madrasah’ sebenar lahirnya sebuah pasukan kepimpinan paling hebat di atas dunia yang dididik oleh tangan suci Rasulullah S.A.W. Mereka lahir dari hempas pulas kancah perjuangan di Makkah. Dari merekalah, lahirnya sebaik-baik 300 kurun ‘pasukan kepimpinan’ terbaik yang ‘dicetak’ oleh Nabi Muhammad S.A.W.


Rasulullah S.A.W dilantik sebagai pesuruh Allah dan pemimpin segala para Nabi berpedomankan suatu asas permulaan dari “Iqra” (bacalah). Ini menggambarkan kepentingan pembacaan suasana (qiraatul zuruf) yang mendalam kerana di situlah lahirnya pemimpin yang tulen, yang meyakini pada dirinya ada idea penyelesaian untuk dikemukakan kepada ummah sebagai tawaran untuk memulihkan keadaan. Itulah yang berlaku kepada Nabi Muhammad S.A.W. Gua Hira adalah “room for improvement”, tempat beliau bertafakkur bertahun-tahun lamanya, mencari ketenangan dan penyelesaian, selepas sedih dan pilu “Iqra” suasana masyarakat Arab Jahiliyyah.

Inilah konsep kepimpinan yang diserlahkan juga oleh dari Nabi Allah Yusuf alaihissalam. Baginda tahu benar permasalahan yang bakal berlaku 7 tahun kedua selepas 7 tahun pertama kesenangan menimpa rakyat negara Mesir. Lantas keupayaan, idea “problem-solving” dan kepakaran pengurusan ekonomi yang ada pada baginda hasil anugerah Allah S.W.T, baginda menawarkan diri menjadi pemimpin Mesir. Sejarawan menyatakan Nabi Yusuf menerima jawatan Menteri Kewangan Mesir pada usia 24 tahun !
Kincir air zaman Nabi Yusuf

Justeru, kepimpinan hakikatnya adalah keupayaan mencipta pengaruh (John C. Maxwell) berasaskan pengetahuan dan pendidikan masing-masing. Lantas setiap individu itu berpotensi menjadi pemimpin (born to be a leader), dalam erti kata mencipta pengaruh kepada orang lain. Samada ada pengaruh itu baik atau buruk kepada organisasi, ia tetap akan disebut sebagai pemimpin atau individu yang percakapannya, perbuatannya mampu memberikan kesan kepada orang lain (pengaruh), sama ada sedikit atau ramai jumlah yang terkesan.

Setiap kamu adalah pemimpin. Dan setiap kamu mestilah bertanggungjawab kepada yang dipimpinnya.” (Al-Hadis)

Sebab itulah wujudnya istilah “opinion leader” iaitu pemimpin pandangan, yakni pandangan yang diberikan mendapat sokongan banyak pihak, walaupun yang melontar pandangan itu tidak berada pada posisi kepimpinan atasan sekalipun. Inilah beza besar apa yang dikatakan “pemimpin” (leader) dengan “pengurus” (manager).

Nabi S.A.W telah berupaya menjadi pemimpin yang tulen, dalam erti kata pemimpin yang berjaya mencipta pengaruh walaupun tidak memegang sebarang jawatan besar di dalam struktur kepimpinan masyarakat Jahiliyah Makkah. Kuasa “al-Amin” yang ada pada Rasulullah S.A.W tak mampu ditandingi kuasa pemerintahan yang ada pimpinan politik Arab Makkah pada masa itu. Peristiwa baginda diberikan mandat untuk menyelesaikan konflik peletakan Hajarul Aswad adalah sebesar-besar pengajaran kepada kepimpinan GMI bahawasanya selemah-lemah kepimpinan adalah yang bergantung pada jawatan untuk memimpin (mencipta pengaruh)”

Sebaik-baik pemimpin adalah yang mampu mencipta pengaruh berdasarkan kepakaran dan pengetahuannya, Selemah-lemah kepimpinan adalah yang bergantung kepada jawatan untuk mencipta pengaruh.” – Ustaz Hasrizal Jamil, Yusuf Memimpin Dengan Kualiti dan Pengaruh, Saifulislam.Com

Sebab itu saksikan pengiktirafan seorang pengkaji teori “pengaruh” yang beragama Kristian, Michael H. Hart apabila membuat kajian mengenai 100 Pemimpin Paling BERPENGARUH di atas dunia, anehnya beliau tidak meletakkan Nabi Isa di tangga nombor satu, mahupun tokoh-tokoh besar dunia seperti Newton (2), Einstein (10), Alexander The Great (33), Aristotles (13), Konstantine Rome (21), Caesar (18), Napoleon Benoparte (34), tetapi yang diletakkan adalah Nabi Muhammad S.A.W sebagai pemimpin paling dahsyat pengaruhnya, sehingga kekal ke hari ini. Bila ditanya kenapa, Michael Hart menyatakan :

“Nabi Muhammad lahir di daerah paling terkebelakang di dunia. Namun, hanya dalam masa sekelumit abad, hanya 23 tahun sahaja, beliau telah mengubah sepertiga peta dunia. Muhammad lah orang pertama dalam sejarah, berkat kekuatan imannya pada Tuhannya, memimpin pasukan Arab yang sangat kerdil jumlahnya melakukan penaklukan yang menyebabkan sejarah tercengang. Di Timur, kerajaan Parsi yang luas tumbang di bawahnya. Di Barat, Rom Byzantium kuasa tentera terkuat dunia tunduk di bawah tapak kakinya. Penggantinya pula menyapu bersih Afrika Utara hingga Lautan Atlantik, dari Selat Gibraltar sehinggalah ke Visigot di Sepanyol.”

“Nabi Muhammad S.A.W adalah pemimpin sejati yang melengkapi kesemua 5 tingkatan kepimpinan agung. Baginda melepasi tingkatan pertama iaitu pemimpin yang diikuti dan ditaati pengikutnya. Baginda melepas tingkatan kedua iaitu pemimpin yang dicintai pengikutnya. Baginda melepasi tingkatan ketiga iaitu pemimpin yang amanah, berintegriti dan berprinsip. Baginda melepasi tingkatan keempat iaitu pemimpin yang mencetak generasi. Akhirnya baginda melepasi tingkatan kelima iaitu pemimpin yang pengaruhnya kekal abadi.” – Dr. Ary Ginanjar Agustian, Rahsia Membangun ESQ

Menanti "2012"

Wednesday, May 6, 2009




"I think its a good idea to make this movie just because it will finally show so many people what they have been missing. So many people are so blinded by the future it is horrible. Even though so many cultures believe the world will end in 2012 and even though they all have there own way of thinking it, the biggest possibility would be the planet Nibiru or more popularly known as planet X, will come blundering at our world and destroying it. This movie will at least give us one idea of how the world might end. And who knows if the polar ice caps do shift that drastically, then we will have a serious problem."

Demikianlah salah satu komentar mereka yang menanti filem "2012" 13 November ini. Saya dari kalangan yang tidak beriman dengan teori kiamat berlaku pada 20 Disember 2012., apatah lagi berdasarkan kepercayaan tahyul tamadun Mesopotamia dan bangsa Maya di Amerika Selatan (mungkin bangsa UFO dan Dajjal akhir zaman) jauh dari kebenaran mukjizat al-Quran dan as-Sunnah. Namun, untuk mengkaji fenomena dan ramalan saintifik bagaimana bumi akan musnah, sesuatu yang sehingga ke saat ini menggamit akal fikiran saya.


"Kehadiran Nibiru memang menjadi igauan ngeri bagi ramai manusia di serata dunia, diikuti kehadiran Sedna. Ia memang satu ancaman dari angkasa, satu sistem lain datang mengganggu sistem orbit sistem suria, yang kebetulan orbitnya termasuk dalam sistem suria kita. Nibiru memang telah diramalkan. Mengikut perkiraan pakar astronomi, Nibiru mengorbit berhampiran inner planets dalam galaksi Milky Way pada setiap 3600 tahun. Nibiru dikesan seawal 1985 lagi. Pada masa itu, komuniti angkasa memanggilnya dengan nama planet X. Cuma pada tahun 2003 sahaja ia disahkan sbg Nibiru, selepas beratus kajian terhadapnya dibuat.


Memadailah gambaran Kiamat dan saat kedatangannya ketika manusia tidak sedar, bahkan ketika manusia berbalah mengenai tarikh kedatangannya, sebagaimana digambarkan di dalam al-Quran menjadi pasak keimanan saya dan "visualization" process dalam minda saya.


Namun demikian, sebagaimana asas perjuangan saya untuk mengambil dan menyedut apa jua hikmah dari aplikasi teknologi Barat, sementara saya dalam proses merangka projek menghasilkan Pawagam Islam di Kelantan, apa yang kelak akan dipaparkan dalam "2012" pastinya menjanjikan suatu scenes yang hebat dan dahsyat. Cukup lihat preview mereka di sini.







Pastinya "2012" bukan gambaran sebenar dari hakikat sebenar keadaan Kiamat yang digambarkan dalam al-Quran, namun sekurang-kurangnya remaja yang terlalu jauh dari Tuhan dan keimanan kepada kematian dan kebenaran hari Kehancuran dan kebangkita, mereka boleh didekatkan seketika dengan sentakan senario-senario dahsyat dari filem ini. Mereka yang terlalu gilakan filem-filem berunsur percintaan dan permasalah sosial sekurang-kurangnya jika disentak dengan gambaran kehancuran alam dalam filem ini, sekurang-kurangnya mereka boleh berfikir ketika para pendakwah lain juga seharusnya memikirkan bagaimana mampu disentak emosi, hati dan perasaan remaja dan anak muda yang makin menggila pada hari ini untuk bertaubat sebelum terlambat.

Soal apakah mungkin ada propaganda Barat@Kristian di ending filem ini ataupun rautan keuntungan yang mahu diperolehi dari filem ini sehingga Pengarah "The Day After Tomorrow" , Roland Emmerichi mendapat ilham menghasilkan filem ini, saya letakkan ketepi terlebih dahulu, dengan harapan akan ada babak-babak yang boleh saya ambil sebagai suatu gambaran keadaan Kiamat bagi menyentak kesedaran adik-adik remaja yang terlalu ramai dijauhkan dari Tuhan dan agama dengan sangat jauh, sehingga lupa dunia ini semakin tua dan taubat tidak akan lagi diterima apabila matahari terbit dari Barat.

Menarik pula perbincangan maya saya dengan Abu Nabil walaupun sekadar singgah-menyinggah di shoutbox. Saya bersetuju 100 % dengan beliau, beliau mencetuskan sesuatu yang menyebabkan saya berfikir seketika, bahawasanya kita perlukan sebuah NGO dakwah remaja yang tidak berorientasikan profit-oriented, tetapi ikhlas untuk memulih aqidah perjuangan dan didikan (tarbiyah) yang selama ini mereka terima. Mereka yang benar-benar ikhlas menjadi aktivis dakwah yang mendekati anak muda yang 1001 karenah ragamnya, lebih mementingkan soal kembalinya hati jiwa mereka kepada rasa bertuhan dan beragama sebelum meminta mereka menyertai kumpulan atau parti atau "jersi pasukan" mana yang kita wakili.

Saya mula berfikir secara kritis, mengapa sampai ke hari ini "dream" NGO itu belum wujud dan muncul ?

Terus terang saya nyatakan bahawa walaupun I.P Minda hanyalah salah satu konsultan picisan dari ratusan konsultan yang ada di Malaysia (mungkin hanya belasan sahaja yang Islamik namanya, pengisiannya), "untapped market" yang masih menanti di luar sana yang tak kami dekati TERLALU TERLALU TERLALU ramai lagi.

Siapa yang boleh menyelamat adik-adik ini setelah sistem pendidikan negara tidak memanusiakan ibubapa mereka manakala media televisyen dengan berhala baru Realiti TV terus meratah ganas aqidah anak-anak muda hari ini ? Terbaru, filem "Bohsia : Jangan Pilih Jalan Hitam" selepas kontroversi filem pondan "Anu Dalam Botol", kalau dah tahu jangan pilih, kenapa dipaparkan juga pada anak-anak muda atas alasan "inilah realiti". Kenapa tidak dipaparkan KESAN memilih jalan hitam tersebut, atau apakah PENYELESAIAN bagi mengelakkan memilih jalan hitam tersebut. Inilah KUALITI filem Malaysia, menyedihkan !

"Sudilah berikan kepada kami hati-hati anda untuk kami sucikan.", saya dan Ustaz Azlan di SM Teknik Selangor

Lihat slide berikut bagi menggambarkan keparahan terkini remaja.


Bukan lagi di sekolah biasa, tetapi sudah menerobos masuk sekolah agama dan pondok sekalipun sekalipun !



Syabas kepada akhbar Metro, kerana terus konsisten memapar, mendedahkan gejala sosial mahadahsyat menimpa akhir zaman di Malaysia ini. Berbanding akhbar utama yang lain, sama ada pro-kerajaan mahupun pro-pembangkang yang tidak habis-habis dengan politiking tanpa sedikitpun memberikan ruang kepada meletupkan isu ini di akhbar masing-masing.

Pertama kali saya melihat isteri saya pulang dari tempat kerja hari ini dalam keadaan gementar, Tahukah anda kenapa ? Suami mana yang tidak risau jika isteri sendiri sudah gementar untuk pergi dan pulang dari tempat kerja. Hari ini, isteri saya membaca akhbar Metro. Beliau menyatakan, inilah harian Metro paling 'klimaks' laporannnya. Metro hari ini memaparkan kes ragut membabitkan seorang ibu yang mati selepas 36 jam koma terhempas ke jalan raya, kes rogol budak perempuan 5 tahun (tak masuk akal), kes pelajar seorang perempuan dirogol oleh 3 kawan sekolahnya di rumah rakan lelakinya itu dalam keadaan keluarga lelaki tersebut ada di rumah, tetapi mereka tidak membuat apapun. Juga kes budak lelaki dicabul oleh lelaki sendiri !!! Dalam Metro hari ini juga, polis menyatakan gejala rempit meningkat berkali ganda selepas beberapa tayangan filem seperti Rempit, Impak Maksima dan sebagainya. Dalam Metro sebelum ini pernah dilaporkan seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah agama, bertudung litup, dirogol di Kuala Lumpur dan kemudiannya melahirkan anak di tandas asrama, kemudian dibuang bayi tersebut di tempat pembuangan sampah.

Ya Allah, apa sudah jadi pada Malaysia ?

Anggota polis memeriksa mayat Saripah Mohd. Noor yang dirempuh kereta selepas dia diragut di Kampung Padang Raja, Jalan Melor, Ketereh, Kota Bharu semalam.
(Utusan Malaysia, 6 Mei 2009)


Secebis Mutiara 'Rawatan Jiwa' di Sebuah Sekolah

Kami cukup gembira apabila dengan izin Allah, beberapa pelajar yang awalnya disebut sebagai "hardcore" di sebuah sekolah di Sungai Buloh berjaya kami pulihkan semula - dengan izin Allah jua - rasa bertuhan mereka dan kecintaan mereka kepada ibu ayah mereka. Kajian kami kepada kelemahan-kelemahan sesetengah pendekatan program motivasi menyebabkan kami mendapat sentuhan tersendiri untuk membaca fikiran mad'u yang terlalu jauh dari Tuhan dan rasa kasihsayang ibubapa mereka ini, lantas mengizinkan kami melakukan proses شق الصدر atau "pembelahan dada" (pensucian hati dan jiwa) sehingga yang adik yang paling bermasalah, yang paling berpengaruh dalam program menjadi adik yang paling berubah dan mempengaruhi peserta lain untuk berubah.

Bukan setakat itu, sehingga mikrofon dirampas olehnya selepas tamat Majlis Penutup bukan untuk membelasah fasilitator, tetapi untuk mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Ustaz Azlan dan kami semua serta warden-warden mereka sendiri di atas hidayah kesedaran yang diperolehinya, sesuatu yang tak dapat diungkap dengan kata-kata.

Isteri saya dan saudari Fasihah,
Pengerusi HELWANI PMIUM 2009
yang turut menjadi fasilitator
Mahasiswa perlu "attach" dengan program
turun padang seperti ini untuk merasai sendiri
realiti remaja hari ini.

Demikianlah besarnya impak apabila dakwah ini berjaya mencuri hati mereka yang paling berpengaruh di sekolah, sama ada pengaruh baik mahupun buruk. خياركم في الجاهلية خياركم في الاسلام itulah pegangan dan doa kami, dan itulah pendekatan "teropong" kami dalam program.

Model ihsan dari Saifulislam Training & Consultation

Kami dilatih sebagai fasilitator yang tidak melihat adik-adik bermasalah sebagai "peserta kelas B, lupakan mereka", tetapi kami diajar untuk melihat mereka sebagai "pelajar yang mesti kita berikan perhatian, kasih sayang, usapan, sebutan dalam doa dan pujian sepanjang program ini".

Saya bersama Yang Dipertua PIBG SM Teknik Selangor

Untuk menceritakan apakah keunikan pendekatan dan penegasan kami bahawa "fasilitator mesti berfungsi 70 % di luar dari kerangka LDK ", bukanlah tujuan saya menulis posting kali ini. Apa yang saya mahu nyatakan, walaupun kejayaan dakwah di sekolah tersebut menenangkan seketika hati saya dan memaknakan lagi hidup saya dengan memberi, namun demikian, apabila saya turun menawarkan pakej program kem motivasi Islamik ini dari sekolah ke sekolah di Selangor, tidak sedikit juga kaunselor dan Pengetua yang menolak.

Majoriti yang menolak kerana pertamanya mereka "fobia" dengan nama "konsultan", lantaran tidak sedikit yang masih ada karat "materialistik" melampau dalam menawarkan program kem motivasi, tidak berbaloi dengan testimoni atau nilai kesedaran maksima yang dirasai sendiri oleh peserta (mad'u). Inilah "pukulan" yang terpaksa saya terima di awal bicara setiap sekolah yang mempunyai "track record" kurang baik dengan segelintir konsultan sebelum ini. Saya yakin, banyak konsultan dakwah yang sebenarnya jujur dan mahu melakukan yang terbaik untuk generasi remaja yang bakal mencorak Malaysia 10 tahun lagi ini, namun apakan daya, hanya kerana "nyamuk seekor", para kaunselor kekadang membakar seluruh kelambu bernama "konsultan".

Kedua, aspek kos. Kekadang, guru kaunselor melihat kos terlalu mahal. Itu adalah situasi normal kerana mereka belum mampu melihat nilai hidayah itu yang lebih mahal, yang mampu sampai ke hati setiap pelajar - ketika hidup mereka sudah berbelas tahun tanpa petunjuk dari Tuhan dan bergelumang dengan maksiat. Walaupun kos itu mengambilkira aspek aplikasi teknologi maksimum untuk "visualization proccess" menyentak kesedaran dan kos "follow-up" 6 bulan selepas program yang jarang diambilkisah selepas sesuatu program itu tamat dan masing-masing mendapat keuntungan duniawi masing-masing, namun apa yang berlaku kepada mad'u yang "berubah mungkin kerana program" selepas 2-3 bulan program tidak tahu menahu. Namun apa yang menyedihkan, kekadang tidak ada persefahaman dan negosiasi antara pihak sekolah dan konsultan, sehingga sekiranya pihak sekolah semenangnya hanya mampu pada harga A, tak mampu lebih dari harga itu, maka terus diboikot sekolah tersebut, tidak meninggalkan mereka dengan tawaran lain (plan B) yang bersifat percuma dan "khidmat masyarakat", atau sekurangnya-kurangnya meninggalkan mereka dengan senyuman di luaran, "rasa bersalah" di hati kerana tidak dapat membantu. Inilah masalah apabila konsultan menjadi salah satu agen "MLM", pakej dakwah sama tahap pula dengan produk kesihatan.

Kekangan kos ? Saya mula berada dalam dilema. Saya mula berfikir agar suatu ketika nanti mampu saya wujudkan sebuah Konsultan atau NGO seperti Teras dan sebagainya. Yang mana "the dream NGO" benar-benar menawarkan program-program motivasi membentuk kebersihan hati dan cintai Islam yang sangat berkualiti tinggi, modulnya mampu menyentak jiwa dan menyuntik kesedaran, sasarannya adalah ratusan ribu remaja bermasalah. Impian saya, mungkin sebuah studio dan pawagam Islam dapat dibina bagi menggambarkan teknologi moden yang diperlukan bagi menyaingi teknologi Hollywood dan Bollywood yang telah menyesatkan mad'u, namun ia diberikan dengan percuma.

Mampukah saya ? Saya pernah berceloteh dilema ini dalam penulisan saya sebelum ini bertajuk "Misi Menyelamat 1345 Buah Sekolah".

Sesungguhnya tidak mustahil untuk melahirkan NGO mahupun Konsultan yang begitu hebat bukan sekadar impaknya, tetapi kejujuran, keikhlasan murabbi penggeraknya melakukan "gerakan penyelamat" tersebut persis seperti dilakukan Imam Hassan al-Banna sehinggalah mereka berenam berbaiah dengan airmata menubuhkan Ikhwanul Muslimin. Namun beberapa syarat penting perlu kita sediakan mengambil kira ini sebuah projek peradaban yang besar pada zaman teknologi maklumat ini :

1) Keupayaan dana yang kukuh dan luarbiasa.

Faktor ekonomi ini sangat penting supaya profit-minded tidak ada lagi kalangan penggerak mahupun murabbi. Yang menjadi visi hanyalah pencerahan hati dan minda mad'u. Itu sahaja. Soal kos "upah" tenaga fasilitator dan "penghargaan" di atas kerja kuat mereka dan pembuat modul tidak akan menjadi masalah sedikitpun apabila "the dream consultant" ini telah mempunyai sumber atau tapak kewangan yang kukuh dan konsisten dari sumber lain atau pihak lain seperti kerajaan negeri atau kerajaan pusat sendiri (apabila Pas dan Pakatan Rakyat menang di peringkat Pusat suatu ketika nanti). Jika tidak ada sumber ini, bermakna saya sendiri perlu membina rangkaian dengan bussinessman serata negeri ataupun akhirnya, kekuatan ekonomi saya sendiri (saya menjadi bussinessman).

Pengalaman saya, sukar untuk meraih komitmen sepenuh hati dan menjinakkan hati para penggerak dakwah - khususnya golongan daie mahasiswa yang belum bekerja - untuk memberikan yang TERBAIK (banteras sindrom ala kadar) dari kepakaran dan tenaga mereka kepada mad'u andaikata aspek motivasi dan appreciation berbentuk sedikit ganjaran duniawi tidak diberikan di samping keikhlasan dan kejujuran penglibatan mereka.

2) Promosi modul berkualiti

Saya berpengalaman sendiri berhadapan dengan seorang adik muslimat yang masih gemar untuk hadir ke program kem kami, bahkan kali keempat dalam tahun yang sama. Bahkan kali keempat ini, dia datang membawa gerombolan kawan-kawan sekolahnya.

Bila saya tanya "Kenapa adik datang kali keempat, tak bosankah adik?", maka dijawabnya "saya beroleh ketenangan dalam program seperti ini. Ketenangan jiwa ini saya mahu kawan-kawan saya rasa sama. Sebab itu saya bawa mereka semua kali ini.". Bayangkan, apabila seorang adik yang meRASAi sendiri keindahan Islam, hebatnya Allah dan ketenangan sebenar jiwa apabila melalui kem seperti ini, dia sendiri sebenarnya secara automatik telah menjadi daie, tanpa sepatah pun perkataan wajib berdakwah saya sebutkan kepada beliau. Demikianlah besarnya impak pendakwah yang berdakwah dengan "matahati" mereka sendiri.

Impak yang kuat sangat penting untuk mencorak gelombang 1345 buah sekolah seluruh Malaysia mencari "the dream konsultan" yang "percuma" ini. Impak ini kekadang tidak datang dengan hanya sekadar kehebatan strategic marketing plan ala MLM tersebut, tetapi mesti bermula dari hati yang benar-benar bersih dan menganggap mad'u adik-adik "bermasalah" adalah seperti adik kandung kita sendiri.

Sesungguhnya "the dream consultant" itu boleh jadi menjadi "spirit" yang wujud dalam setiap lajnah Dakwah Pemuda PAS di setiap kawasan dan negeri masing-masing andaikata usaha serius dihalakan kepada rebranding (penjenamaan semula istilah-istilah) program, refreshing (nafas baru) pendekatan, dan re-prioritizing pengisian (apa "topik pertama" untuk menambat hati mad'u) dibuat dengan sangat serius. Persiapan ini mestilah dilakukan segera supaya pengisian dakwah remaja dan anak muda jika ALlah memberikan kemenangan kepada PAS dan PR kelak mampu dilakukan dengan sangat mengesankan, seperti PKS di Indonesia.

Penentangan Sistem Yang Mesti Diteruskan
Parti BN yang memerintah kerajaan hari ini mesti ditumbangkan. 50 tahun kewujudan, apa hasilnya pada penambahbaikan insititusi kekeluargaan jika kadar perceraian makin meningkat dahsyat sehingga ke angka 70 ribu kes pada tahun 2008. 50 tahun kewujudan, program hiburan dan syaitan hedonisme makin mengganas di Astro dan televisyen.

Sebab itu saya asimilasikan pula intima' saya dengan gerakan Islam GAMIS. Walaupun masa terus mencemburui seakan 24 jam tidak cukup bagi saya, namun kerana beriman kepada fikrah "tiada guna menjadi penyelamat kepada mangsa-mangsa kepada sebuah sistem pendidikan yang sekular dan korup, lebih baik menumpu kepada merobohkan sistem pemangsa dan menjatuhkan policy-maker sekular tersebut".
Pengalaman 2 tahun dalam Gamis
takkan mampu dilupakan buat selamanya


Kalau tidak, sampai Kiamatpun, saya dan konsultan mana sekalipun akan menyelesaikan "the presented problems" iaitu adik-adik yang menjadi mangsa, bukannya "the real problems" yang memunca segala macam kemungkaran sosial pada hari ini.

Kemudian, saya berfikir seketika, mudahkan menjatuhkan kerajaan sekarang, apatah lagi Najib Razak sebagai PM ? Mudahkan pengisian dan pengislaman "kementerian pelajaran" dan "kementerian pendidikan" yang akan dilakukan oleh PAS jika Pakatan Rakyat menang di Putrajaya ?

Justeru, ayuh perkasakan gerakan Islam PAS dari sudut gerakan dakwahnya, bukan setakat gerakan politiknya semata. Kelemahan gerakan dan pendekatan dakwah mesti kita tampung bersama menuju sebuah peradaban kemanusiaan rakyat Malaysia berbilang kaum yang lebih sayangkan agama masing-masing, bahkan non-Muslim sendiri mampu melihat keagungan dan keindahan Islam sebagai the best way of life dan Nabi Muhammad S.A.W sebagai the best leader on the world.

Sesungguhnya saya dan I.P Minda hanyalah suatu persinggahan. Jika ditanya kepada saya, apakah halatuju perjuangan saya selepas ini ? Maka saya nyatakan selepas tanggungjawab dakwah saya dalam Baitul Muslim saya (dalam erti kata membawa isteri saya, Nurul dan insya-Allah anak-anak saya nanti berjaya bersama saya seperti kata Ustaz Hasrizal dalam "Bercinta Sampai Ke Syurga", kemudian keluarga saya dan adik-adik beradik saya semuanya berada dalam perjuangan Islam atau sekurang-kurangnya kecintaan kepada Islam), maka saya akan menyelesaikan amanah ilmu saya di Master dan PhD, sambil rentak perjuangan dakwah dan siasah Islam ini kembali berpencak bukan lagi melalui platform Gamis (kerana saya akan meninggalkannya tidak lama lagi), tetapi dalam pentas perjuangan Parti Islam itu sendiri, dalam sudut-sudut strategik yang mampu memaksimakan potensi sumbangan saya paling besar kepada gerakan Islam "king-maker" politik Malaysia ini. Mungkin sudut strategik itu bernama intima' sepenuh masa (murabithun) atau mungkin juga sudut strategik itu juga NGO dakwah seperti yang menjadi "dream" tadi.

Saya dan isteri menemani Pak Cik saya, Ustaz Ahmad Yaakob, Timbalan Menteri Besar Kelantan dalam satu majlis.

Yang penting, I.P Minda adalah persinggahan sementara saya sahaja, saya berada di sini bukan kerana nak makan gaji atau sekadar kerja ala kadar sahaja (sindrom "nak wat macamana, ini je rezeqi aku"), tetapi saya mahu serapkan rasa bersalah semaksimum mungkin dalam diri saya, rasa bersalah yang amat sangat apabila gagal menjadi asbab hidayah turun kepada mad'u dari Allah, rasa bersalah yang amat sangat apabila masih ribuan sekolah belum diselamatkan, rasa bersalah dan rasa bersalah yang menyebabkan timbulnya protes mahadahsyat kepada sistem pendidikan dan media yang telah merosakkan remaja ini.

Saya mahukan "perasaan" itu datang sendiri dalam diri saya, bukan dari orang lain kepada saya. Saya mahu berbicara langsung dengan Allah dalam hal ini, bukan hanya sekadar menghafal dalil-dalil wajib berdakwah dan berjamaah semata-mata. Perasaan ini penting kerana saya "beriman" dengan kata-kata Bapak Nasir yang saya letakkan di tag blog saya sendiri bahawa :

“Tiada percetakan dalam kepimpinan. (Lantaran) Pemimpin tidak lahir di bilik kuliah (formal institution atau campus) tetapi tumbuh sendiri dalam hempas pulas kancah (berada di medan), muncul di tengah-tengah pengumpulan masalah (airmata mengiringi rasa hiba melihat mad'u yang tersingkir dari perhatian daie), menonjol di kalangan rakan seangkatan lalu diterima dan didukung oleh umat.”

Integriti Maya

Sebarang pengambilan mana-mana bahagian daripada tulisan di sini adalah sangat digalakkan untuk disebarkan, namun perlulah mendapat izin daripada Iskandarfateh.

Ataupun, sila beri kredit bahawa anda mengambil mana-mana kenyataan tersebut dari Blog
Iskandarfateh ini.

Terima kasih. Saya sangat hargai kunjungan anda.

Montaj IPTC

Twitter With Me

Profail Blogger


Syaari Ab. Rahman merupakan seorang perunding motivasi terlatih. Profail lengkap beliau di "Hubungi Saya"