Content feed Comments Feed


Jarang kedengaran pimpinan PAS bersuara secara taktikal perang dalam sesuatu pertempuran pilihanraya kecil khususnya ketika menyinggung keadaan 'padang yang tidak sama rata', khususnya dalam isu undi pos yang sekian lama bergema penentangan ke atas kaedah ini. Kebiasaan yang didengari hanyalah suara protes, boikot dan kenyataan-kenyataan bernada penentangan agresif. Kali ini YB Salahudin Ayub, jeneral perang PAS di PRK Bagan Pinang melakukannya sebaliknya.

Semalam (6 Oktober), beliau membuat kenyataan bukan sekadar bernada "mempertikai" dalam isu pewujudan undi pos dan pengurangan jumlah hari pengundian (defensif), tetapi turut menyerlahkan taktik 'ofensif' dan strategis PAS pada kali. Beliau menyatakan PAS mempunyai "KAEDAH PENYELESAIAN" (suatu istilah yang sudah pasti sangat digeruni Umno-BN) bagi mengelakkan manipulasi berlaku dalam proses pengundian pos.

PAS katanya mempunyai "SISTEM" yang boleh memantau pengundian pos yang mungkin boleh membenarkan pengundian berlaku berulang kali. Ini adalah bagi memastikan kertas undi tersebut diberikan kepada bukan pemiliknya yakni bukan pengundi yang sebenar.


Bagaikan mengimbau sejarah pimpinan-pimpinan agung Islam terdahulu seperti Salahuddin Al-Ayubi, Nuruddin Zinki, Alps Arslan, Muhammad al-Fateh yang tidak pernah kenal erti putus asa kepada keampuhan strategi dan taktik licik musuh.


Muhammad al-Fateh adalah sebaik-baik contoh figura yang sentiasa tidak statik dan stereotaip taktik perang beliau. 53 hari proses pengepungan di Konstantinople adalah hakikatnya sarat dengan pertukaran taktik peperangan Usmaniah berdepan dengan counter-attack Byzantium.

"Tekanan dan kegagalan pengepungan oleh baginda hanya menyebabkan baginda sentiasa berjaya memperolehi idea-idea baru, taktik-taktik licik baru, dari detik ke detik untuk mengatasi lawannya" (kitab Zayyad Abu Ghanimah)

"Byzantium membina menara bergerak tersebut dalam masa sebulan, tetapi tentera Usmaniah mampu membinanya dalam masa satu malam, bahkan kurang dari 4 jam." (Sejarawan Byzantium)

Serangan "bergambar" adalah taktik perang paling berbahaya dan ampuh

Calon dan jentera PAS di Bagan Pinang sememangnya sudah mengatasi Umno dari sudut SQ (doa dan munajat) dan EQ (integriti). Namun untuk menumbangkan calon 'gergasi' mereka di Bagan Pinang tersebut dengan dua faktor tersebut, belum tentu menatijahkan kemenangan di pentas peperangan bernama demokrasi pilihanraya kecil yang sarat dengan tipudaya. IQ dan pengetahuan jentera PAS tentang taktik pergerakan musuh akan memberi kelebihan kepada PAS insya-Allah, di samping keberkatan (SQ dan EQ) kemenangan tersebut.

Syabas Naib Presiden PAS dan seluruh jentera strategis PAS. Pemikiran 'muda' anda makin terserlah.

Daurah "Bongkar UTHManiah 1453" di UTHM

Monday, October 5, 2009

"Kenapa hadis pembebasan Konstantinople disabdakan Nabi ketika keadaan mereka sedang bersangatan penat, letih sehingga mengikat batu di perut masing-masing serta gigih bekerja kuat menggali parit Khandaq yang diideakan dari sahabat Nabi dari Parsi, bukan Arab ?

Apakah simbolik kepada pemilihan waktu segetir ini untuk Allah memotivasikan Nabi mengenai terbebaskan kubu pertahanan terkuat di dunia tersebut ? Kenapa tidak seperti kejadian turunnya ilham-ilham lain yang Nabi terima ketika sedang tidur seperti mimpi pembukaan Makkah?

Pemilihan situasi menggali parit Khandaq sebagai waktu dizahirkan pembukaan Konstantinople bertujuan menonjolkan gerak kerja penawanan kota itu bukan suatu kerja yang mudah. Ia sangat meletihkan, memenatkan seperti keadaan Nabi dan sahabat menggali Khandaq melingkari Madinah. Hanya pemimpin berjiwa besar serta terbuka kepada sebarang idea luar kotak, dan komitmen kerja luar biasa tentera mampu merealisasikan hadis tersebut."


Demikianlah antara ‘feeling process’ yang saya timbulkan supaya para pendengar berfikir seketika dan menanggapi sejarah dengan pemikiran yang segar dan kritis. Di samping pemaparan fakta-fakta ilmiah yang cuba saya sampaikan dengan memaksimakan fungsi 'otak kanan' rakan-rakan mahasiswa di UTHM lantaran saya menyedari bahawa tajuk ketenteraan terbaik pernah dilahirkan di dunia iaitu Usmaniah ini tidak akan menatijahkan apa-apa kesan sekiranya saya tidak kreatif dan rencam dalam pendekatan.

“Muhammad bin Murad bukan tabi’in mahupun tabi’ tabi’en, jauh lagi dari seorang Sahabat. Dia bukan hidup di zaman 300 kurun yang terbaik. Dia bukan orang Arab. Dia bukan keturunan Nabi. Dia manusia biasa.

Tetapi manusia biasa yang berfikir dengan idea yang luar biasa. Dia berfikir dan turut bekerja, sehingga tenteranya memanggilnya ayah. Kerjanya pula adalah kerja yang sangat luarbiasa dengan semangat yang dahsyat yang sudah mampu menggoncangkan dinding Theodosius.

Upaya tenteranya luar biasa. 70 buah kapal sebesar saiz 7 trailer panjang setiap satu kapal, digerakkan oleh tenaga manusia biasa dan haiwan yang tidak berakal, naik dan turun bukit tanpa teknologi kenderaan seperti hari ini, berdepan dengan keadaan cuaca dan angin yang tidak menentu serta keadaan bukit yang tidak stabil, di kemuncak kepenatan selepas hampir 2 bulan berperang tanpa natijah memuaskan.

Namun hanya 1 malam tanpa dikesan musuh, 70 buah kapal muncul di hadapan benteng Konstantinople, tanpa sedikitpun terusik rantai besi kebanggaan Constantine XI.

Al-Fateh manusia biasa. Tenteranya manusia biasa. Al-Fateh berfikir secara luar biasa. Tentera bekerja dengan komitmen luarbiasa.

Namun itu sebaik-baik ketua. Itulah sebaik-baik tentera. Mereka yang dipuji Nabi, bukan orang lain.”

Terharu apabila turut sama hadir rakan-rakan ‘tentera’ UTHM (mungkin boleh dibaca juga ‘UTHManiah”) iaitu rakan-rakan Suksis dan Palapes turut hadir, dengan seorang rakan non-Muslim yang saya meminta hadirin memberikan tepukan gemuruh kepada beliau di atas kesudian hadir dan kekal di atas kerusinya sehingga 3 jam slot bersama saya tersebut tamat tanpa sedikitpun berganjak. Buat kali kedua di hadapan mata saya, mahasiswa Cina sangat rasional dan tenang menanggapi fakta sejarah walaupun ia adalah suatu paparan mengenai jalur pemikiran tokoh Islam. Blockquote

Hampir 90 slide merumuskan adegan lebih 600 tahun empayar Usmaniah saya bentangkan secara pecutan pintas dalam hanya 3 jam, saya sulami setiap pemaparan fakta berat dengan selingan video supaya mampu mengelak kebosanan mahasiswa yang hadir.



"Sejarah membuktikan bahawa generasi terdahulu sememangnya bekerja secara LUAR BIASA untuk memenangkan Islam. Tidak perlu terlalu jauh ke Konstantinople, lihat sahaja usaha memenangkan Islam di tanah Melayu dan Melaka. Lihatlah kesungguhan dan kecerdikan Laksanaman Muhammad Cheng Ho. Kesungguhan menyampaikan dakwah Islam di tanah Melayu dapat dilihat pada saiz kapalnya sahaja sudah memadai. Jiwa besarnya tertonjol jelas dengan kebesaran kapal beliau tersebut yang 4 kali ganda lebih besar dari kapal penjajah British."

Terima kasih kepada saudara Syafik, Muhaimin dan seluruh pimpinan Kelab Iqra UTHM atas jemputan dan perkenalan bermakna dengan saya dan isteri tersayang yang sudi menemani kembara 300 kilometer ke negeri selatan Malaysia itu.


Masa 3 jam yang diberikan kepada saya menyebabkan saya "puas" dengan pembentangan saya dari A-Z secara complete. Moga ada kesempatan bertemu di masa akan datang.




Saya berkesempatan bertemu dengan sifu saya, Ustaz Hasrizal selepas Talk "Muslim U-Turn?" anjuran Ma'ruf Club di UIAM semalam. Berbekalkan pengalaman Ustaz Hasrizal sendiri yang berada dalam bidang pengajian Master ini, saya meminta pandangan topik yang sewajarnya saya buat kajian di peringkat Master nanti kerana berkemungkinan saya akan melakukan 'hijrah akademik' buat kali ketiga dalam hidup saya. Kali pertama di KISAS, dari aliran Sains SPM ke aliran Sastera-Agama STPM. Kali kedua di UIAM, dari bidang pengajian Syariah (sejak dari Madiwa-Al-Azhar) ke Bahasa-Sastera Arab. Kali ketiga juga berkemungkinan di UIAM, dari Bahasa dan Sastera Arab ke pengajian Sejarah dan Peradaban (cabang Sains Kemanusiaan).

Mungkin bagi sesetengah sahabat-sahabat bersangka saya tidak tetap prinsip, namun bagi saya jika sebelum mengambil Master, saya wajar diberikan 'kebebasan' berfikir dan mereka gaya berfikir yang pelbagai disiplin ilmu. Ada disiplin ilmu yang menyebabkan saya melihat sesuatu secara 'mikroskop' dan teliti, ada disiplin ilmu yang menyebabkan saya menyelinap masuk ke dalam kotak pemikiran dan mentaliti manusia, dan ada disiplin ilmu yang mampu menjawap masalah dan cabaran masa depan. Saya mahu mencari-cari erti sebenar kepuasan hidup dengan bidang ilmu yang paling 'ghairah' untuk diterjuni. Namun apabila sudah memasuki period Master, bermulalah fasa fokus dan membina upaya kepakaran diri. Dalam situasi 'lompat akademik' ini, Almarhum Prof Zulkifli Muhammad dan Prof Burhanuddin al-Helmy adalah idola saya.

Mujurlah saya melambatkan pengajian Master. Kalau tidak, saya akan Master dalam bidang yang hakikatnya memberikan 'sijil dunia' kepada saya, tetapi tidak memberi kepuasan hidup kepada saya untuk menyumbang kepada gerakan Islam di Malaysia.

Kerana bagi saya, saya mahu kembali ke dunia akademik tidak lama lagi kerana keinginan mendalam dari benak hati saya sendiri yang mahu melihat dan mencorak masa depan Islam dengan berbekalkan pedoman khazanah sejarah yang jarang diteliti secara mendalam dan 'mikroskop' oleh pejuang Islam kontemporari itu sendiri.

Saya tidak mahu mengambil Master hanya kerana bimbang 'apa kata orang nanti' atau sekadar memikirkan periuk nasi kehidupan mencabar pada masa depan yang menuntut bidang kerja yang lebih kompeten, atau kerana menyahut seruan keluarga, atau kerana ramai sahabat-sahabat saya yang sedangpun mengambil Master.

Pertemuan dengan Ustaz Hasrizal semalam walaupun ringkas sangat bermakna. Pengalaman Ustaz mengambil Master dalam Peradaban Islam di UIAM adalah suatu testimoni yang wajar saya teliti kerana kemungkinan track itulah juga akan saya lalui.


Selain mendapat motivasi dari ustaz agar terus thabat dengan pilihan Master di UIAM kerana kelebihannya dari sudut 'kebebasan berfikir dan sifat akademiknya' yang tidak didominasi oleh mana-mana aliran pemikiran tertentu, di samping kelebihan bahasa Inggeris serta sifat antarabangsa pelajarnya, saya juga dicadangkan oleh Ustaz agar mesti bersedia dengan tajuk kajian sejarah era Usmaniah dengan tajuk yang lebih spesifik, bukan mencapah dan simplistik. Lantaran beban sangat 'menakutkan' andaikata tersilap memilih tajuk, apatah lagi yang mencapah.

Lantas saya meminta cadangan tajuk dari ustaz jika era 1453 atau Sultan Muhammad al-Fateh akan menjadi fokus kajian saya, yang mana kajian tersebut jarang dilakukan di Malaysia, tetapi sangat memaknakan perjuangan Islam di Malaysia.

Sebelum Ustaz mengeluarkan beberapa lontaran idea di hadapan jamuan ringan yang disediakan oleh urusetia (maafkan saya Ustaz jika mengganggu hi-tea Ustaz), Ustaz memberikan ingatan supaya tidak mengkaji Usmaniah secara populis ataupun mencari topik-topik mahupun pendekatan penulisan tertentu yang hanya boleh menyebabkan masyarakat kagum dan berbangga dengan 'hero-hero' Usmaniah, namun mereka pemikiran mereka terus kontang dari pengajaran dan spirit yang cuba disampaikan oleh generasi terdahulu. Kajilah secara akademik dan ilmiah, susah mahupun mudah, sejarah hitam mahupun putih dari apa yang berlaku pra dan pasca 1453.


Ustaz juga mengingatkan saya supaya bersedia dengan subjek "Research Methodology" kerana pengalaman beliau agak 'pahit' dalam subjek di awal semester Master ini.

Antara tajuk-tajuk yang dicadangkan Ustaz Hasrizal untuk saya kaji adalah :

1. Pasca 1453 - Legasi Sultan Muhammad al-Fateh dari sudut polisi pemerintahan dan kesannya pada Muslim dan non-Muslim di bawah empayar Usmaniah

2. Hubungan antara kaum sepanjang pemerintahan Muhammad al-Fateh

3. Sistem ketenteraan Usmaniah pada era Muhammad al-Fateh - membongkar di sebalik maksud "sebaik-baik tentera" oleh Rasulullah S.A.W

Ustaz juga berkongsi cabaran yang perlu dilalui oleh saya kerana Master dalam sejarah Usmaniah di UIAM memungkinkan saya perlu lebih bermandiri dan berdikari, kerana belum pasti ada atau tidak guru yang benar-benar 'faqih' dan 'well-connected' dengan khazanah dari bumi Usmaniah sendiri iaitu Turki.

Kebanyakan pensyarah yang ada - pada saat ini - dalam subjek ini mampu menjadi 'penyampai' yang berkesan dalam kelas, tetapi belum tentu mempunyai hubungan dan pengalaman yang sarat dengan sumber-sumber primari dari Turki sendiri. Ustaz mempunyai ramai Turkish housemate dan kenalan yang kini menjadi pensyarah universiti-universiti di Turki. Di sinilah Ustaz menekankan hubungan saya dengan pelajar-pelajar Turki di UIAM.

Ustaz juga mencabar saya untuk bukan sekadar pergi ke Turki, bahkan belajar bahasa Turki kerana itulah pintu utama menyelongkar khazanah 1453.

Saya menyahut cabaran ustaz insya-Allah.


Sumber gambar : Ihsan dari Facebook adik Abdul Rauf Hassan


Selepas membaca buku “HULAGU KHAN: Khabar Hitam dari Timur” yang ditulis oleh Abdul Latip Talib, terbitan PTS, saya menganalisa beberapa kajian perbandingan antara Hulagu Khan dengan Muhammad al-Fateh.

PERSAMAAN

1. Tidak mudah berbangga dengan pencapaian ayah dan datuk masing-masing (generasi terdahulu)

Hulagu Khan tidak pernah merasa berpada dengan pencapaian Genghiz Khan, datuknya yang mampu menyatukan 13 suku besar yang selama ini berpecah dan saling memerangi akhirnya bersatu menuju satu visi dan impian menakluk dunia - dengan hunusan pedang mereka.

Hulagu tidak pernah rasa berpuas hati dengan kemampuan datuknya yang mampu merobohkan tembok besar China lantas menakluki tanah besar China.

Hulagu mahu menjadi lebih hebat dari Gengkhis Khan yang hampir menawan seperdua dunia, kecuali Kota Baghdad yang dipimpin oleh Kerajaan Islam Abbasiyyah. Kota Baghdad yang gagal ditawan oleh ayah dan datuknya itulah yang berjaya ditawan dan dimusnahkannya.

Muhammad al-Fateh juga tidak pernah merasa berpuas hati dengan pencapaian Usmaniah yang telah melakar beberapa sejarah penawanan dan pembukaan kota-kota baru Islam di Eropah khususnya dalam proses menyempitkan jajahan takluk empayar Byzantium. Pidato terkenal Muhammad al-Fateh :

Baca lagi di read1453


Dalam masa dua hari, saya berjaya menamatkan bacaan “HULAGU KHAN: Khabar Hitam dari Timur” yang ditulis oleh Abdul Latip Talib, terbitan PTS.

Pada awalnya saya keberatan mahu membeli buku ini kerana naratif penceritaan kisah sejarah ini berbentuk novel. Sudah pasti pendekatan Pak Latip Talib sememangnya bersahaja dan santai, sangat sesuai untuk mengetuk emosi mereka yang selama ini sangat membosani subjek sejarah dan tokoh, dan sebaliknya menggilai novel-novel cinta, sains fiksyen dan pengembaraan. Pendekatan ini sudah pasti janggal bagi mereka yang sangat mendambakan penulisan yang mengambil berat soal pengambilan fakta dan pernyataan sumber untuk kajian lanjutan secara individu.

Namun, saya mengagahkan diri juga membeli buku ini. Kerana dua faktor, iaitu :

1. Saya tidak kenal mendalam siapa Hulagu Khan. Yang sempat saya berkenalan hanyalah datuknya Genghiz Khan,melalui filem “The Monggols”.

Juga melalui buku “100 Tokoh Manusia Paling Berpengaruh Di Dunia” karangan Michael H. Hart yang menyaksikan Genghiz Khan di tangga ke-21, meninggalkan jauh Caesar, Alexander The Great, Napoleon Benoparte, Adolf Hitler, dan tokoh-tokoh penakluk Asia yang lain.

Jadi, pendekatan novel mengenai Hulagu Khan, pewaris empayar separuh dunia di bawah Genghiz Khan, difikirkan sangat sesuai untuk menjinakkan buat pertama kali fikiran saya pada Hulagu secara khusus dan Monggol secara umum.

2. Tiba masanya beralih sejenak ke kotak pemikiran musuh. Pak Latip berbeza sedikit dengan penulisan sejarah beliau terbitan PTS sebelum ini. Hulagu Khan adalah satu-satunya tokoh ‘hitam’ karya beliau yang sebelumnya menulis mengenai tokoh-tokoh ‘putih’ seperti Muhammad al-Fateh, Khalid al-Walid dan sebagainya. Saya gemar pendekatan ‘Kingdom of Heaven’ (melihat kekuatan Salahuddin dan Jerusalem dari kacamata Crusaders) yang ditonjolkan oleh Pak Latip.

Analisis Buku

Saya lebih suka menganalisa sejarah dengan pendekatan yang lebih bersifat pandang ke depan melalui pemahaman kerangka IQ-EQ-SQ yang telah banyak saya hurai dalam penulisan sebelum ini.

Faktor IQ tidak selamanya mampu menjaga sesebuah peradaban. Bukti jelas dari pusat ilmu Islam, kota 1001 malam dan ibukota politik empayar Abbasiyah, kota Baghdad akhirnya tumbang selepas 508 tahun memerintah dengan 37 khalifah. Khalifah yang terakhir ialah Al-Musta'shim Billah (640H-656H).

Baghdad bagi umat Islam-Abbasiyah ibarat Konstantinople bagi umat Kristian-Byzantium ketika itu. Punyai 1001 sebab untuk mendabik dada menyatakan mustahilnya ibukota empayar itu mampu dilumpuhkan mahupun dimusnahkan. Pada era Abbasiyyah, dunia Islam berada di puncak tertinggi IQ (kecerdikan dan kepakaran ilmu). Nama-nama seperti Ibnu Sina, Al-Razi, Ibnu Hayyan, Imam Hanafi, Imam Malik, Imam Syafie, Imam Hanbali, Al-Khawarizmi dan pelbagai nama lagi hidup pada era ini. Ilmu-ilmu dari Yunani dan Parsi diterjemahkan. Perpustakaan Baitul Hikmah dibina. Bahkan penduduk Eropah datang ke kota Baghdad untuk mempelajari ilmu pengetahuan. Kota Baghdad menjadi “world center of knowledge”.

Namun demikian, apabila IQ (hablum-minal-‘alam) tanpa berkekalannya faktor EQ (hablum-minaas) dan faktor SQ (hablum-minaLlah), sunnatullah bernama “sejarah” telah mengajar bahawa peradaban dan kuasa politik itu tidak akan kekal lama.


Faktor EQ

1. Virus perkauman (asabiyah) bukan sekadar meruntuhkan Usmaniah menjelang 1924, bahkan lebih awal dari itu skrip itu sudah muncul pada pemerintahan Khalifah terakhir Abassiyah. Pak Latip menggambarkan bagaimana orang Parsi, orang Turki dan orang Arab saling bersengketa walaupun diikat dengan satu aqidah. Kesempatan inilah yang digunakan oleh Orang Monggol melanggar Baghdad.

2. Masalah integriti pimpinan negara apabila berlaku siri-siri pembelotan yang dilakukan menteri kanan Khalifah al-Musta’shim Billah iaitu Umayiduddin Muhamad al-Aqami.

Faktor SQ

Pak Latip menceritakan bagaimana orang Monggol tidak takut bagaimana besar sekalipun jumlah tentera Islam Abbasiah, banyaknya pedang tentera Islam bersinar, banyaknya anak-anak panah berterbangan dari pihak Islam.

Yang mereka takut hanyalah doa orang Islam. Kerana doa inilah yang menakutkan Genghis Khan dari menawan kota Baghdad dulu. Kerana doa ini jugalah menakutkan Hulagu Khan dari mara ke Makkah dan Madinah di hujung usianya. Doa dan munajat kepada Tuhan (SQ) adalah senjata sebenar umat Islam.

Hulagu Khan seorang pemimpin perang yang pintar. Mereka memperdaya dahulu para alim ulama, imam-imam, tokoh-tokoh agama dengan diberi makan daging babi dan anjing. Makanan haram inilah menyebabkan doa-doa para ulama di belakang Khalifah al-Mu’tasim tidak dimakbulkan selama 40 hari 40 malam. (walau bagaimanapun, saya masih mencari sumber kepada riwayat ini)

Dengan ketiadaan faktor EQ dan SQ itu, maka berakhirlah zaman kegemilangan Baghdad di bawah kerajaan Abbasiyyah. Hampir SATU JUTA nyawa rakyat di Kota Baghdad melayang. Semua harta berharga di Baghdad musnah, ulama-ulama, para cendekiawan mati dibunuh. Kitab-kitab, khazanah ilmu habis dibakar dan abunya dialirkan ke Sungai Dajlah sehingga air sungai bertukar warna menjadi hitam disebabkan dakwat jutaan kitab-kitab.


Wikipedia pula melaporkan :

The Grand Library of Baghdad, containing countless precious historical documents and books on subjects ranging from medicine to astronomy, was destroyed. Survivors said that the waters of the Tigris ran black with ink from the enormous quantities of books flung into the river. Martin Sicker writes that close to 90,000 people may have died (Sicker 2000, p. 111). Other estimates go much higher. Wassaf claims the loss of life was several hundred thousand. Ian Frazier of The New Yorker says estimates of the death toll have ranged from 200,000 to a million."

Gambar Khalifah al-Mu'tasim diarahkan oleh Hulagu menunjukkan khazanah emas Baghdad

Kita juga jangan lupa, tidak sedikit juga kitab-kitab agung Islam yang lain yang tidak dibakar, tetapi diambil dan diberikan pada sekutu Hulagu Khan dari kalangan Salib di Eropah. Bermula dari sinilah bermulanya episod secara senyap Eropah ‘mencuri’ dan menciplak ilmu-ilmu Islam untuk menaikkan nama figura-figura mereka di pentas ilmu dan teknologi maklumat sehingga nama mereka kekal ke hari ini.

Baghdad was one of the most brilliant intellectual centers in the world. The Mongol destruction of Baghdad was a psychological blow from which Islam never recovered. Already Islam was turning inward, becoming more suspicious of conflicts between faith and reason and more conservative. With the sack of Baghdad, the intellectual flowering of Islam was snuffed out.” (Steven Dutch)

“Yang paling nikmat dalam hidup adalah apabila dapat mengalahkan musuh, kemudian memancung leher mereka, merampas barang-barang berharga milik mereka, dan mendengar tangisan orang yang mencintai mereka”- kata-kata popular Genghiz Khan

Fakta Yang Memerlukan Semakan Semula

Secara kritikalnya, saya masih mahukan kajian lanjutan selepas menamatkan buku Pak Latip ini. Antaranya :

1. Berdasarkan konsep IQ-EQ-SQ yang saya ‘imani’ dari ibrah sejarah jatuh bangun tamadun, benarkah kota Bahgdad - world center of knowledge - itu begitu mudah dimusnahkan secara total oleh satu bangsa yang buta huruf, tidak pandai membaca atau menulis ?

Benarkah Hulagu Khan itu buta huruf seperti datuknya Gengkhis Khan ? Namun yang pasti, sememangnya bangsa Monggol berasal dari bangsa yang buta huruf.

2. Sejauhmana hubungkait Raja Reymond dan peranan Salib ketika Baghdad dimusnahkan pada pada 1258M tersebut? Benarkah Salib memberikan ‘baton’ mereka kepada Monggol untuk menyerang Islam selepas mereka dimalukan oleh Sultan Salahudin di Hittin pada 1187M ?


A Must See Trailer For You

Kelebihan "2012" adalah sekurang-kurang Roland Emmerich (Pengarah Independence Day dan The Day After Tomorrow) berjaya memaparkan sekelumit gambaran kedahsyatan huru hara Kiamat walaupun tidak mampu membayangkan dan menggambarkan secara keseluruhan sebagaimana kita fahami dalam nas agama kita.


Tersiratnya pula, saksikanlah nanti betapa dahsyatnya teknologi Hollywood melalui kegeniusan studio Columbia Pictures - salah satu proksi Illuminati dunia - dalam menggambarkan apa jua yang selama difikirkan mustahil untuk digambarkan oleh akal waras manusia.


Kekurangan "2012" adalah berkemungkinan meresapnya lagi propaganda AS sebagai polis dan penyelamat dunia. Seolah-olah mereka mampu 'menyekat' atau 'mengubah' skala kemahadahsyatan dan kehancuran dunia ketika Kiamat. Saya dimaklumkan "2012" akan berakhir dengan AS mencipta "Noah Ark" untuk menyelamatkan dunia. Wallahu a'lam.


Nantikan "2012" November ini. Anda sendiri menilainya.


Kuasa Usrah : From Zero To Hero (KPU KISAS)

Thursday, September 10, 2009


Gembira dapat bersama isteri turun sekali lagi ke Kolej Islam melakukan misi pencerahan minda siri seterusnya. Kali ini kami diminta untuk meningkatkan "mahu" adik-adik kepada usrah, bukan lagi memberi "tahu" mereka. Justeru, kami memulakan dengan survey bertulis terlebih dahulu supaya permasalahan motivasi usrah adik-adik dapat kami tangani secara realistik dan berasaskan kajian, bukan sekadar hafalan dalil dan ceramah yang hanya mampu mengungkap asas-asas fundamental tanpa menyelesaikan masalah akar dalam benak emosi dan fikiran adik-adik.


Isteri saya dan adik Izaz terus mengedarkan borang survey kepada lebih 200 adik-adik Tingkatan Empat KISAS. Dalam masa 10 minit, mereka diminta memilih 3 pernyataan masalah usrah paling munasabah dan berkaitan dengan diri dan usrah mereka. Telahan saya tepat apabila kajian membenarkan ramalan (slide) saya bahawa masalah paling besar dihadapi oleh usrah adik-adik KISAS berpunca dari akar segala masalah itu CARA MELIHAT (paradigm) usrah itu sendiri yang tidak tepat.


Baca lagi di sini


Qamar Bani Hashim yang ke udara Astro Oasis setiap malam Ramadhan tidak pernah saya ketinggalan. Versi baru “the Messenger” ini benar-benar menghidupkan watak-watak agung setiap sahabat Rasulullah, jauh lebih hidup dari apa yang hanya mampu digambarkan oleh otak kanan saya melalui pembacaan buku-buku sirah semata-mata. Akal yang tersentuh dengan fakta dan informasi baru tidak sama bezanya dengan hati yang tersentuh dengan paparan semacam “live” di hadapan mata apa yang berlaku kepada batang tubuh para Sahabat Rasulullah di era Makkiyah. (download full episode Qamar Bani Hashim dan Cinta Sempurna)

Dalam episod malam ke 20 Ramadhan semalam, digambarkan betapa gagah dan izzahnya Islam yang selama ini terpaksa bersembunyi di sebalik rumah Al-Arqam, namun akhirnya pengislaman Umar dan Hamzah - akibat kegeniusan Nabi meletakkan sasaran mad’u dari kalangan yang mempunyai pengaruh terbesar dalam Quraisy - memberikan kekuatan yang sangat dahsyat kepada Islam, menguatkan motivasi Rasulullah S.A.W dan para Sahabah yang hampir kian lemah ditekan secara psikologi dan fizikal oleh musyrikin Quraisy.

Kenapakah pengislaman Umar dan Hamzah sangat menakutkan Quraisy yang selama ini menyangka misi menumpaskan gerakan Rasulullah semakin hampir untuk direalisasikan ? Tidak lain dan tidak bukan, lantaran kekuatan PENGARUH yang ada pada mereka, hasil dari KEPAKARAN dalam seni persilatan Arab dan kemahiran taktikal di medan pertempuran tanpa pernah kalah, menyebabkan “VVIP” Quraisy ini dilihat suatu ancaman terbesar kepada gerakan Quraisy.

Kemudian saya menyaksikan kemenangan aspek “Quwwah” seterusnya dengan pidato Jaafar bin Abi Talib kepada Raja Najasyi. Di sini terserlah pula kebijaksanaan seterusnya anak didik Rasulullah yang dicetak sendiri oleh air tangan baginda. Pidato Jaafar bin Abi Talib sangat ajaib. Beliau teliti dan bijak memilih setiap patah perkataan, menjaganya dengan sangat rapi supaya Islam digambarkan dengan paparan yang sangat indah di hadapan Najasyi. Jaafar yang tahu masa untuk menerangkan tentang Islam di hadapan Najasyi sangatlah terhad dan terbatas, menyebabkannya bijak memetik ayat-ayat Quran dan menyentuh titik persamaan antara Islam dan Kristian ketika Jaafar diasak oleh Najasyi untuk menerangkan tentang Islam dan Isa.

Umar, Hamzah, Jaafar hanyalah beberapa nama besar dari produk usrah Rasulullah S.A.W. Sungguh dahsyat kesan “usrah” baginda, justeru kenapa tidak kita meneladaninya. Lihatlah Umar, kegeniusan beliau sehingga ahli sejarah dan mufassirun terpaksa mengakui banyak wahyu menyebelahi pandangan Umar ketika berbeza pandangan ijtihad dengan Rasulullah. Kelebihan Umar dalam beberapa persoalan ijtihad politik berbanding Rasulullah S.A.W itu sengaja diskripkan begitu oleh Allah sebagai suatu isyarat bagaimana kejayaan Rasulullah mencetak generasi supaya menjadi lebih baik dari baginda, walaupun baginda adalah Rasul yang maksum.


Nuqaba seharusnya meletakkan paradigm dan niat mahukan melahirkan ahli usrahnya jauh lebih baik darinya, bukan menjadi sepertinya (syok sendiri). Demikianlah celoteh saya kepada adik-adik di KISAS ketika berceramah mengenai “Kepentingan Usrah : “From Zero To Hero” sempena Kem Penyelarasan Usrah mereka pada sekitar 4 September lepas.


Saya kini mula menyimpan azam, selepas Muhammad al-Fateh, Umar al-Khattab akan menjadi sasaran penciptaan animasi/filem serta kajian pemikiran dan legasi pemerintahan dan kenegarawanannya. Pendekatan saya mudah dan tegas, saya tidak akan mengambil sudut yang biasa para penulis sejarah yang lain lakukan. Apa yang saya mahu kaji adalah cara berfikir mereka serta karakter kepimpinan mereka, sehingga kajian saya itu mampu diterapkan dalam sanubari para pemimpin mahasiswa, masyarakat dan korporat pada hari ini.

Saya hanya akan mengungkapkan apa yang bersangkut paut dengan “what, when, where” mengenai legasi Umar al-Khattab seadanya sahaja sebagai suatu “kesan” dari akar sejarah yang lebih penting iaitu “why” dan “how”, iaitu cara berfikir dan kebijaksanaan Umar dalam mematuhi hukum “challenge and responses” keadaan di zamannya (memetik kata-kata guru saya, Ustaz Hasrizal).

Saya (berdiri 3 dari kiri di barisan belakang) bergambar kenangan dengan para peserta Kursus Teambuilding dari KPWKM di Port Dickson.

Syukur alhamdulillah, apabila keagungan pemimpin Islam seperti Muhammad al-Fateh dalam pengurusan sumber manusia dan menyemarak perjuangan orang bawahannya dapat menjadi alternatif pilihan kepada tenaga kerja di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Apabila Al-Fateh dianggap sebagai 'ayah', bukannya 'CEO' dalam slogan 250,000 tenteranya (rujukan : kitab "Sultan Muhammad al-Fateh" karangan Dr Abdul Salam Abdul Aziz Fahmi)

Lebih dahsyat lagi apabila berlaku perbandingan semangat perjuangan al-Fateh dengan semangat Samurai - dua kejadian "kebangkitan semula" yang terajaib dunia yang benar-benar berlaku (universal proofs) - khususnya semangat Bushido yang banyak diaplikasikan oleh organisasi korporat di Malaysia. Kelebihan al-Fateh hanya satu, iaitu tawakkal dan pergantungan yang teguh pada Tuhan.

- “Kaizen” Al-Fateh : strategiknya cara berfikir pemimpin Usmaniah sebelum al-Fateh serta kerja kuat al-Fateh sendiri membina Rumeli Hissari

- “Keiretsu Zaibatsu” Al-Fateh dengan penyusunan rapi ketumbukan tentera 250,000 serta penyusunan teliti potensi dan posisi setiap kekuatan individu

- “Keisan” Al-Fateh dari sudut pengisian intelektual ulama Usmaniah kepada beliau dan kegeniusan al-Fateh menghadapi satu persatu cabaran taktikal dari ketumbukan Byzantium

- “Bushido” Al-Fateh dari sudut ketabahan yang sangat luarbiasa mendepani kekalahan demi kekalahan taktikal pada Byzantium sepanjang kempen 53 hari ke atas Konstantinople.

- “Kamikaze” al-Fateh dan hulubalangnya, tetapi asasnya adalah pergantungan teguh pada Allah, yakni "Tawakkal" - suatu perbezaan nyata dari sudut "spiritual quotient" yang membezakan Al-Fateh dengan Samurai, di akhir pertempuran dan selepas kemenangan.

Konstantinople hanyalah suatu 'simbolik' kepada segala 'impossible' dream dan visi yang difikirkan mustahil boleh dilakukan oleh diri kita mahupun organisasi kita.

Baca juga : "Al-Fateh Kembalikan Maruah Generasi Salahuddin al-Ayyubi" oleh Abu Hasan Ali An-Nadwiyy di sini

"Read 1453", Tapak Bagi Sebuah Impian

Tuesday, September 1, 2009


Untuk memudahkan para peminat blog saya merujuk dokumentasi berharga mengenai 1453 secara khusus dan spirit perjuangan dari lembaran khazanah Usmaniah, saya telah mewujudkan satelit ketiga maya saya iaitu www.read1453.blogspot.com. Ia mempunyai 5 objektif iaitu :

1. Forum maya ahli usrah "1453". Ahli usrah ini juga akan menjadi taskforce (AJK) bagi menjadikan 29 Mei setiap tahun sebagai hari memperingati peristiwa bersejarah pada 1453 tersebut, dan lebih penting lagi mengambil ibrah sejarah darinya, bukannya sekadar romantis dan nostalgis dengannya.

Satu seminar pengkajian pemikiran Muhammad al-Fateh, strategi peperangan dan legasi negarawan Usmaniah di eranya akan dibentangkan dan dicapai beberapa resolusi bersama antara sarjana untuk dijadikan saranan dan cadangan pada parti dan gerakan Islam di Malaysia.


2. Laporan semasa perkembangan kajian Master dan PhD saya nanti mengenai sejarah Islam, Usmaniah dan Sultan Muhammad al-Fateh, beberapa kajian perbandingan pemikiran kepimpinan era kegemilangan Islam, sebab keagungan dan sebab kejatuhan Usmaniah dalam kerangka IQ-EQ-SQ.


3. Tapak maya kepada Akademi Kepimpinan Al-Fateh (AF) yang akan merumuskan formula terbaik (F.A.T.E.H Values) dari kajian ilmiah mengenai Sultan Muhammad al-Fateh untuk digunapakai dalam latihan kepimpinan semua peringkat organisasi, kepimpinan korporat mahupun persatuan mahasiswa dan pelajar sekolah.

AF akan berfungsi melalui beberapa titik permulaan :

3.1 Penerbitan buku kajian pemikiran dan upaya kepimpinan Sultan Muhammad (kerjasama PTS Milenia)

3.2 Penerbitan album lagu nasyid "1453"


3.3 Penerbitan dokumentari khas mengenai peristiwa "1453" di Istanbul, Turki (usaha penulis sendiri yang akan ke sana bersama isteri pada pertengahan tahun hadapan)


3.4 Penerbitan animasi 3 dimensi "Aksi 1453" dengan bantuan rakan-rakan seperjuangan di Darul Digital Kelantan dan MMU.

3.5 Penerbitan filem "1453" dengan pengarahan terbaik dan nasihat dari beberapa pakar akademik dalam sejarah Usmaniah (klimaks projek AF dan memakan masa 8 tahun dari sekarang)

Di tapak aksi perang Ramadhan Bar Lev, Mesir. Ego Yahudi Israel ditundukkan tentera Mesir hanya kurang dari 6 jam sahaja.

4. Tapak maya kepada penubuhan Institut Kajian Polisi Kerajaan Usmaniah, idea yang akan direalisasikan juga dalam masa 5 tahun dari sekarang.

Institut ini bertujuan untuk memberikan model kepimpinan berintegriti dan berkompetensi (al-Qawiyy dan al-Amin) untuk gerakan Islam mampu memerintah Malaysia di era Islamophobia kini, dan membuktikan bahawa Islam "rahmat seluruh alam", bukan hanya sekadar kepada orang Melayu-Islam sahaja. Akar pemikiran yang akan menjadi subjek utama adalah Sultan Muhammad II (Al-Fateh) dan Sultan Sulaiman (Al-Qanuni), dua figura negarawan Islam yang disegani dunia.

Di hadapan Qal'ah Salahuddin Al-Ayyubi, Aleppo, Syria

5. Tapak kompilasi video-video klip dari Youtube mengenai 1453 dan tapak kepada artikel terbaik dan akademik mengenai 1453 atau Muhammad al-Fateh.


"Jika itulah sebaik-baik raja dan itulah juga sebaik-baik tentera, maka sudah pasti tersembunyi di situlah model sebaik-baik sistem pendidikan gerakan Islam." - Bersama membongkar mukjizat hadis Rasulullah S.A.W


Integriti Maya

Sebarang pengambilan mana-mana bahagian daripada tulisan di sini adalah sangat digalakkan untuk disebarkan, namun perlulah mendapat izin daripada Iskandarfateh.

Ataupun, sila beri kredit bahawa anda mengambil mana-mana kenyataan tersebut dari Blog
Iskandarfateh ini.

Terima kasih. Saya sangat hargai kunjungan anda.

Montaj IPTC

Twitter With Me

Profail Blogger


Syaari Ab. Rahman merupakan seorang perunding motivasi terlatih. Profail lengkap beliau di "Hubungi Saya"