Content feed Comments Feed
Showing posts with label Pedoman Gerakan Islam. Show all posts
Showing posts with label Pedoman Gerakan Islam. Show all posts


“Generasi ulama yang dicita-citakan adalah generasi yang mampu menguasai perbendaharaan ilmu Islam semantap mungkin dan pada masa yang sama mengembangkan ufuk pemikirannya (horizontol) dengan ilmu-ilmu sains kemasyarakatan seperti sosiologi, antropologi, ekonomi, fundamental science dan sebagainya, agar sentiasa mampu menghurai segala kemusykilan hukum semasa dengan jawapan-jawapan yang tepat dengan maqasid syariah itu sendiri.

Inilah golongan ulamak yang mampu menguasai fiqh dakwah kontemporari yang cocok dengan susuk masyarakat majmu’ budaya dan agama, bagi menyampaikan risalah Islam yang serasi dengan pemikiran saintifik masyarakat zaman moden hari ini. Inilah golongan ulama muda yang memiliki landasan dan disiplin yang jelas dalam berfikir dan bertindak, memahami perkara-perkara yang tetap dan tekal (ath-thawabit) dan perkara-perkara yang fleksibel (al-mutaghayyirat) dalam kehidupan dan perjuangan.

Mereka inilah golongan yang mahir dengan methodologi penyelidikan (research) syariah itu sendiri iaitu Usul al-Fiqh dan pantas juga menekuni perubahan persekitaran melalui kaedah penyelidikan sains sosial. Landasan pemikiran yang teguh dan kekuatan dalam bidang penyelidikan ini akan melahirkan ijtihad, fatwa dan pandangan berwibawa dan dihormati.” 

– Petikan Ucapan Dasar Muhd Ramadhan Fitri bin Ellias, Presiden PMIUM dan MPMUM 2004/2005

Jawapan Kepada Kenapa Al-Fateh Hebat

Thursday, January 7, 2010

"Wow, hebatnya Al-Fateh, tidak pernah meninggalkan tahajjud sejak dari aqil baligh"


"Wow, hebatnya Al-Fateh, mampu mencipta meriam Urban yang melumpuhkan pertahanan Byzantium"

"Wow, hebatnya Al-Fateh, menguasai 7 bahasa."

"Wow, hebatnya Al-Fateh, memindahkan 70 buah kapal dengan melalui bukit bukau."

Sindrom "WOW" atau hero-worshipping tidak memberikan faedah kepada generasi baru gerakan Islam. Apa yang dinyatakan "WOW" tersebut hanyalah "effects" kepada satu "real cause" yang lebih wajar untuk ditakjubi dan diteladani. Akar kehebatan Sultan Muhammad tidak akan diketahui tanpa pembacaan mendalam sumber-sumber muktamar mengenai Usmaniah itu sendiri.


Demikianlah kuasa SISTEM PENDIDIKAN ISLAM USMANIAH OLEH PARA ULAMA (muderrsi) mereka. Sistem yang sama tetapi telah diwajibkan ke atas pelbagai generasi kepimpinan Usmaniah yang berubah setiap zaman dan ketika.

“A student, MUST study ALL the sciences, since they complement each other in forming a single word." - Taskopruluzade Ahmed (Ottoman Encyclopaedist dan antara guru terbaik Usmaniah melalui kitabnya Shakaik al-Nu'maniya, sebuah kajian biografi dalam bahasa Arab mengenai 522 orang ulama besar Usmaniah)



Inilah sistem pendidikan menyeluruh kepada Sultan Muhammad al-Fateh. Jelas, beliau tidak menjadi hebat secara ‘kebetulan’, tetapi telah ‘dirancang’ dengan sistematik oleh para "muderris" Usmaniah.

Demikianlah sedikit outline menjelang pembentangan saya mengenai "Bagaimana Karakter Pemimpin Yang Dipuji Rasulullah Itu Dibentuk" di mahasiswa mahasiswi USIM Nilai malam ini.


Ini bukan kisah yang direka-reka. Sumbernya jelas disebutkan oleh ulama sejarah dari Syria, Syekh Dr Ali Muhammad as-Shollabi. Sama ada kitab asalnya mahupun terjemahannya (Pustaka Al-Kauthar, Indonesia) ada pada saya.

Muhammad bin Hamzah Al-Dimasyqi Ar-Rumi adalah model terbaik ulama Usmaniah yang seimbang penguasaan ilmu syariatullah dan sunnatullah. Ulama keturunan Saidina Abu Bakar As-Siddiq dan anak didik terpenting Syekh Bayram ini jelas menjadi "Al-Fateh Al-Ma'nawi" yang meneruskan tradisi hukum alam dan hukum kemenangan Islam iaitu kukuhnya institusi ulama di belakang setiap reformis dan mujaddid yang dilahirkan di atas pentas perjuangan Islam dalam lipatan sejarah.

Jika Syekh Abdullah Yasin memainkan peranan kepada Yahya bin Ibrahim dalam penegakan Daulah Murabithun, Qadhi al-Fadhil kepada Sultan Salahuddin dalam penegakan Daulah Ayubbiah, maka demikianlah Syekh Aq Syamsuddin kepada Muhammad al-Fateh. Tribute kepada peranan beliau kepada Muhammad al-Fateh dibabkan secara khusus oleh Syekh As-Sollabi.

Syekh Aq Syamsuddin bukan sekadar menjadi guru pakar dalam pengajian Al-Quran, As-Sunnah An-Nabawiyyah, Fiqh Islami sahaja, bahkan beliau adalah ulama lingustik yang bertanggungjawab mengajar Sultan Muhammad bahasa Arab, bahasa Parsi dan bahasa Turki pada masa itu. Beliau juga tidak terhenti kepakaran setakat itu, kepakarannya dalam ilmu Matematik (Hisab), ilmu Astronomi (Falak), ilmu sejarah (Tarikh) serentak telah banyak mematang paradigma baru dan membuka minda strategis Sultan Muhammad dalam misinya menawan Konstantinopel.

Lebih dari itu, As-Sollabi menyebutkan bahawa Aq Syamsuddin jugalah mengajar Muhammad seni peperangan dan asas-asas syariah dalam pertempuran. Dalam bahasa sekarang, ia dipanggil 'sains politik' dan 'sains ketenteraan' atau 'the art of war'. Aq Syamsuddin juga mengajar Muhammad bukan sekadar intelegensia dalam memenangi pertempuran, lebih dari itu bagaimana mengisi kemenangan. Asy-Sollabi menyebutkan : "Dia termasuk ulama yang membimbing Sultan Muhammad ketika beliau mentadbir Magnesia untuk belajar tatacara pemerintahan dan pokok-pokok ilmu pentadbiran." Dalam bahasa sekarang, ia disebut sebagai sains kenegaraan dan ilmu pengajian am.


Dalam tulisan saya sebelum ini mengenai Syekh Aq Syamsuddin, saya membuktikan bagaimana Syekh ini bukan sekadar seorang orator fuqaha yang hebat, lebih dari itu seorang 'motivator' yang membina dan membakar semangat anak muda seperti Sultan Muhammad.

Bahkan lebih dari itu, saksikan kepakarannya dalam ilmu perubatan, sains botani dan biologi.

"Syekh Syamsuddin bukan hanya mempunyai keilmuan yang luas dalam agama dan penyucian jiwa sahaja, bahkan pada masa yang sama sangat ahli dalam masa perubatan herba. Hingga kemasyhuran beliau dalam bidang perubatan herba menjadi bualan kalangan manusia, sehingga ada yang menyatakan : "Sesungguhnya tumbuh-tumbuhan itu sedang berbicara dengan Syekh Aq Syamsuddin. (rujuk Al-Usmaniyyun fi Al-Tarikh wal Hadharah, halaman 375).

Imam Asy-Syaukani mengatakan : "Beliau ahli bukan sekadar dalam rawatan jasad, bahkan dalam rawatan jiwa. Beliau memiliki kepedulian terhadap penyakit jasmani, sama dengan kepeduliannya kepada penyakit hati dan rohani." (rujuk Al-Badr Al-Thalli, vol 1/166)

Syekh menulis kitab yang dia berikan judul Maadatul Hayaat. Dalam kitab tersebut, Syekh mengatakan "Sangat keliru jika dikatakan bahawa penyakit-penyakit itu menyerang manusia dengan sendirinya. Padahal penyakit-penyakit itu berpindah dari satu orang ke orang lain dengan cara menular. Penularan ini sangat kecil dan halus, hingga tidak mampu dilihat oleh mata keranjang. Penularan ini terjadi kerana adanya KUMAN yang hidup." (rujuk Al-Usmaniyyun fi Al-Tarikh wal Hadharah, halaman 376).

Dengan pengalaman ini, maka Syekh telah mendefinisikan kuman pada abad kelima belas Masihi lagi !!! Dia orang pertama yang melakukannya. Saat itu belum ada apa yang disebut sebagai mikroskop. 14 abad setelah zamannya, muncul seorang ahli kimia dan biologi berasal dari Perancis iaitu Louis Pasteur melakukan penelitian dengan hasil yang sama dengan apa yang ditemukan oleh Syekh Aq Syamsuddin.


Syekh Syamsuddin sangat peduli terhadap penyakit kanser dan menulis buku tentang hal ini. Dalam bidang kedoktoran, Syekh Syamsuddin telah menulis dua kitab penting iaitu Maadat al-Hayaat dan Kitab Ath-Thibb. Dua buku ini beliau tulis dalam bahasa Turki dan Usmani. Syekh Syamsuddin memiliki tujuh kitab kesemuanya dalam bahasa Arab iaitu : Hallul Musykilaat, Ar-Risalah An-Nuriyyah, Maqaalatul Awliyaa', Risalah fi Zikrillah, Talkhish al-Mataa'in, Daf'u Al-Mataa'in, Risalah fi Syarhi Haaji Bayaram Wali." (rujukan Ibid : hlmn 375)


Demikilan seorang ulama sufi, bukan sekadar haraki (mujahid), bahkan seorang 'doktor' kesihatan. Tajuk-tajuk kitabnya sudah memadai memberikan gambaran integrasi ilmu duniawi dan ukhrawi yang ada pada beliau dan para ulama Usmaniah.


Sebab itu tidak perlu pelik jika 250,000 tentera Al-Fateh ketika sedang mara ke Konstantinople, stamina mereka berada pada tahap yang sangat dahsyat dan luarbiasa. Walaupun tidak ada satupun buku sejarah menggazetkan hipothesis saya ini, namun berani saya nyatakan kerana ia juga berpunca dari penjagaan aspek pemakanan, penjagaan dari penyakit berjangkit dan wabak hantaran musuh serta tahap kesihatan Sultan Muhammad dan tenteranya di tahap maksimum. Lantaran ulama yang berada di sekeliling tentera bukan sekadar doktor "spiritual," bahkan doktor "fizikal" mereka.

Keadaan di empayar Turki Usmaniah zaman itu yang membabitkan banyak penyakit menular serta bencana alam yang banyak berlaku menyebabkan para ulama ketika itu tidak memisahkan diri mereka dari menguasai ilmu-ilmu - seperti ilmu botani dan geografi - yang mampu membentengi ummah saat itu dari bersikap jahil terhadap realiti dan fakta semasa mahupun keadaan-percaturan licik musuh seperti senjata biologi (boleh lihat Red Cliff 2 sebagai pengajaran bahayanya senjata biologi. Hari ini senjata ini AS gunakan ke atas dunia ketiga dan umat Islam sebagai salah satu kaedah baru 'peperangan' mereka).

Pelikkah dengan kelebihan yang dianugerahkan Allah kepada Syekh Aq Syamsuddin ? Adakah anda kenal siapa lagi yang seperti Aq Syamsuddin pada era Sultan Muhammad ini ? Bagaimana mereka mewarisi sikap dan tradisi ilmu ini dari Abbasiyah walhal Abbasiyah hampir lebur dirobek Darul Hikmah dan khazanah ilmuannya oleh Hulagu Khan ?

Anda tidak perlu pelik dengan Aq Syamsuddin. Saya berikan jawapan kepada anda sebelum sindrom "hero worshipping" membuta melanda bicara bibir anda.

Inilah manifetasi dari kukuh sistem pendidikan Islam era Usmaniah khususnya dalam madrasah 'training for trainers' yang melahirkan para ulama mereka yang hebat-hebat dalam lipatan sejarah. Saya akan buktikan dalam buku saya nanti bagaimana ketatnya pemilihan, disiplin pengajian dan pengiktirafan ulama oleh Usmaniah melalui karangan Halil Inalchik - yang memetik dari Ottoman encyclopaedist, Taskopruluzade Ahmed (1495-1561) - dalam bab "intellectual sciences & spiritual sciences of Ottoman medresses" (topik besarnya Chapter XVI Learning, The Medrese and The Ulema).

Sumber :
www.read1453.blogspot.com
"Bab Kuasa Sentuhan Ulama, Buku Kuasa Kepemimpinan Muhammad Al-Fateh" (akan muncul di pasaran tidak lama lagi)

Tahniah kepada rakan-rakan pimpinan PPI UNITEN Bangi dan UNITED Muadzham Shah atas jemputan untuk saya membantu Abdullah Hashem (The Arrival) membongkar konspirasi jahat Illuminati dalam memusnahkan golongan beragama dan umat Islam khususnya.


Hijrah Rasulullah mengajar 2 pengajaran terbesar dalam konteks peperangan pemikiran antara umat Islam dan Yahudi Illuminati pada saat ini :



1. Nabi memaksimumkan potensi akal fikiran (IQ) bagi merancang strategi kewaspadaan, membentuk pasukan kerja yang sangat sistematik (EQ) demi mengelakkan dari memasuki jerat perangkap musuh-musuh pada saat itu. Usaha maksimum Nabi menggunakan ilmu sunnatullah (walaupun Nabi sememangnya 'dijaga' Allah dan Jibril di belakang Nabi serta Nabi mempunyai mukjizat), diakhiri dengan tawakkal (SQ) yang maksimum kepada Allah yang akhirnya mengundang pertolongan Allah ketika segala ikhtiar kemanusiaan (takhttih basyariyy) menemui kebuntuan seperti apa yang berlaku kepada Suraqah bin Malik dan peristiwa sarang labah-labah di Thur.


2. Nabi bukan sekadar merancang strategi penuh bijaksana dan penuh helah untuk lari ke tempat yang tidak ketahuan nasibnya, bahkan Nabi telah memandang jauh ke depan dengan memilih sebuah tempat yang bukan lagi mempunyai sifat Taif yang memeritkan, mahupun Habsyah yang masih tidak mampu memberikan kuasa untuk mengatasi musuh. Demikian Madinah yang menjadi destinasi hijrah Nabi, bukan sekadar memberi perlindungan kepadannya, bahkan kekuasaan sebagai wasilah untuk mengangkat martabat Islam dari diperintah kepada memerintah.


Dari sebuah perencanaan kemanusiaan dan tawakkal yang tinggi kepada Allah untuk lolos dari percaturan musuh, kepada satu permulaan peradaban baru kemanusiaan dan Islam yang akhirnya menundukkan musuh yang menyingkirkan Nabi dahulu dari bumi tersebut.


Hari ini, sejauhmana umat Islam mengenali musuh sebenar mereka ?

Sejauhmana perencanaan jahat mereka dibaca oleh umat ini sebagaimana Abdullah bin Abu Bakar memperinci maklumat pergerakan musuh kepada Nabi yang menyebabkan Nabi begitu 'mikro' sifat perencanaannya untuk lolos dari musuh ?


Hari ini, sejauhmana umat Islam melakukan perencanaan, persiapan sunnatullah dan syariatullah untuk mengatasi perencanaan "the secret groups", "the Elite" dan Illuminati-Freemasonry ? Hanya mengambil sikap 'tunggu dan lihat' kedatangan Imam Muhammad al-Mahdi ?


"Meskipun Rasulullah sangat yakin dengan adanya perlindungan Allah terhadap dirinya, tetapi perkara ini tidak menghalangnya untuk mengerahkan usaha yang dimilikinya sebagai seorang manusia. Allah menjaga Rasul-Nya dalam peristiwa hijrah bukan dengan mukjizat, tetapi dengan ilmu sebab musabbab iaitu percaturan strategi berdasarkan akal kemanusiaan itu sendiri." - Syekh Muhammad Munir al-Ghadban, Manhaj Haraki Sirah Nabawi, terjemahan Pustaka Darussalam (hal 201).
Antara beberapa persoalan kritis mengenai peristiwa Hijrah yang telah saya lontarkan - dengan tujuan mengerahkan akal untuk sedikit berfikir, bukan sekadar meraikan sahaja hari Ma'al Hijrah - kepada rakan-rakan staff di Jabatan Mineral dan Galian (bangunan Tabung Haji) baru-baru ini adalah :

1. Kenapa Saidina Umar - khalifah Islam yang memulakan dasar perluasan daulah dengan lebih agresif dan terkenal dengan pemimpin Islam yang genius - memilih peristiwa Hijrah sebagai permulaan kalendar Islam, tidak seperti Kristian mahupun agama lain yang banyak memulakan kalendar penganut agama masing-masing dari tarikh lahir ataupun tarikh wafat tokoh-tokoh agung mereka.

Kenapa tidak Saidina Umar memilih peristiwa paling ajaib berlaku pada Nabi iaitu Isra dan Mikraj sebagai tarikh permulaan kalendar Islam ? Kenapa beliau memilih "apa yang berlaku" (peristiwa), bukannya "siapa yang terbabit" (kelahiran atau kematian) ?

Apakah pula hubungan antara dua bentuk 'pengorbanan' (Nabi Ibrahim dan Nabi Muhammad) dan signifikan dekatnya tarikh Idul Adha dengan Muharram ?

Maksud "berani mati" dan "berani hidup" serta implikasi hijrah sebagai permulaan skrip baru Islam dalam wajah yang lebih meluas (syumul) kepada pengkaji Barat seperti Michael H. Hart yang lebih sanggup meletakkan Nabi Muhammad mengatasi nabinya sendiri Jesus ? Apa kata Syekh Sya'rawi kepada maksud "ala" dalam "wa innaka la 'ala khuluqin azhim..." ?


2. Pembuktian Nabi tidak memohon mahupun menggunakan kelebihan mukjizat (seperti membelah bulan) dan Jibril alahissalam yang berada di belakang baginda (seperti di Taif) dalam peristiwa sepenting hijrah. Demikianlah formula dari hijrah Nabi untuk memenangkan Islam pada hari ini, seimbangkan antara Syariatullah dan Sunnatullah.

- Kenapa Nabi perlu memerintahkan Ali tidur di tempat baginda ketika baginda keluar meninggalkan rumahnya menuju ke rumah Abu Bakar ? Bukankah Nabi mampu sahaja untuk meninggalkan rumahnya tanpa perlu ada pengganti tempatnya di kamarnya ? Di sini letaknya seni propaganda (mengelirukan) musuh iaitu salah satu strategi perang dengan melengah dan memperdaya ketumbukan musuh.

- Kenapa Allah tidak terus membuatkan sesiapa sahaja yang nampak Nabi dan Abu Bakar ketika berjalan hampir 500 kilometer menuju Madinah seperti apa yang berlaku kepada musuh yang ditidurkan ketika Nabi keluar dari rumahnya ? Kenapa rasa mengantuk dan 'pembutaan' mata seketika itu tidak pula berlaku kepada Suraqah bin Malik yang hampir-hampir lolos dalam memburu dan memanah Nabi ?

- Kenapa Nabi ke rumah Abu Bakar waktu qailulah masyarakat Arab di musim panas terik itu, tidak waktu biasa seperti pagi mahupun petang ? Bukankah boleh sahaja Allah memberikan kelebihan kepada Nabi untuk "dighaibkan" dari dilihat oleh masyarakat Arab mahupun musuh baginda. Kenapa perlu Abu Bakar sekejap berada di hadapan Nabi, sekejap di kiri dan kanan Nabi, sekejap di belakang Nabi sepanjang perjalanan mereka ke Madinah sedangkan Allah telah menjanjikan batang tubuh Nabi dijaga oleh Allah dari mudharat musuh ?

- Kenapa cara Nabi keluar dari rumahnya sendiri (pintu depan dan musuh dilenakan) dan cara Nabi keluar dari rumah Abu Bakar berbeza (dari pintu belakang) ?

- Kenapa Nabi bersembunyi di gua paling tinggi dan mencabar, bahkan berada di laluan selatan dari Makkah iaitu Thur, sedangkan boleh sahaja Nabi bersembunyi di gua paling dekat dan tidak mencabar (khususnya bagi pembawa makanan iaitu Asma binti Abu Bakar yang tua dan sarat mengandung). Bukankah boleh sahaja Allah menghantar labah-labah yang membuat sarang dan burung-burung yang kekal di sarangnya di mana-mana gua terdekat selain Thur ? Dari siapakah maklumat tepat dan kajian geografi bahawa Gunung Thur adalah gunung paling mencabar di Makkah yang sewajarnya menjadi pilihan tempat persembunyian Nabi ?


- Kenapa Nabi bersembunyi selama 3 hari, tidak kurang dari itu di Thur sebelum meneruskan perjalanan ke Madinah ? Siapakah yang memberikan maklumat research kepada Nabi bahawa tempoh paling strategik untuk memulakan semula perjalanan hijrah adalah selepas 3 hari ke atas.

- Kenapa Nabi membentuk jawatankuasa bertindak hijrah yang begitu ramai (terdiri dari Asma, Abdullah, Amir bin Fuhairah, Abdullah bin Uraiqith dan lain-lain) walhal Nabi mempunyai mukjizat dan Jibril di belakang Nabi ?

- Kenapa melalui jalan jauh ke selatan Makkah yang tidak pernah dilalui manusia berbanding jalan biasa ke utara Makkah menuju Madinah ? Pengecutkah Nabi yang sememangnya dijaga Allah atau ia bukti Nabi benar-benar menunjukkan kelebihan akal (strategi) manusia lebih penting buat ummatnya di akhir zaman yang juga mahu menghijrahkan agama dan memenangkan semula perjuangan Islam ?

- Kenapa Nabi memilih perkataan "Madinah" yang bererti "peradaban dan tamadun" sedangkan Yathrib pada masa itu belum mempunyai sebarang ketamadunan tinggi mahupun binaan yang hebat dan megah ?



"Hijrah dengan penuh strategik dan perancangan yang begitu rapi bukan secara membuta tuli. Nabi SAW melakukan hijrah dengan mengambil jalan yang jarang manusia lain lalu, bersembunyi di Gua Thur sebelum terus bergerak ke Madinah, semua ini menunjukkan nabi SAW memberi tarbiah kepada kita dalam kerja dakwah dan perjuangan walaupun nabi boleh berdoa kepada Allah dan mengutuskan tentera-tentera Allah untuk membantu nabi tanpa bersusah payah. Sebaliknya nabi telah merancang dengan begitu teliti sekali sewaktu baginda mangatur untuk berhijrah.

Iktibarnya walaupun perjuangan kita betul, dan musuh kita salah dan batil, tetapi jika kita tidak merancang dengan betul, bererti kita merancang untuk gagal. Dalam konteks demokrasi jika kita tidak meramaikan ahli dan perbanyakkan cawangan serta menambahkan pengundi berdaftar maka kita kalah. Sunnah Allah tidak berubah. Kalau Pas tidak buat kerja kita kalah, kalau Umno buat kerja dia menang. " - Perutusan Ketua Penerangan PAS Sempena Sambutan Maal Hijrah 1431


Teks asal dari kitab Manhaj Haraki :

















Walaupun selepas ini akan ghairah dengan pelbagai mesyuarat pelaksanaan dan brainstorming pembinaan kepimpinan muda dalam PAS, khususnya melalui Akademi Kepimpinan Pemuda DPPP, namun saya tetap berhasrat untuk konsistenkan diskusi-diskusi pencerahan minda ini, kalangan rakan-rakan aktivis muda PAS, dengan memulakan dari tokoh yang paling jauh dari era Usmaniah sebelum tokoh yang paling dekat dari rahim PAS sendiri. Bagaimana sistem pendidikan dan cara berfikir mereka dibentuk akan dibongkar satu persatu sebagai memandu halatuju dan methodologi melahirkan pemimpin masa depan gerakan Islam akan datang.

Insya-Allah, pada 3 Disember ini, Ustaz Hasrizal Jamil yang telah banyak membentangkan kertas-kertas kerja ilmiah mengenai jatuh bangun Usmaniah dan Sultan Muhammad al-Fateh sendiri telah menyatakan persetujuan untuk hadir membentangkan kertas kerja bertajuk "Meneladani Sistem Pendidikan Usmaniah dan Bagaimana Pembentukan Kepemimpinan Muhammad al-Fateh." Saya juga dijangka akan menjemput beberapa intelek muda PAS untuk memberikan ulasan kepada pembentangan Ustaz Hasrizal dari sudut pandang yang berbeza. Dan yang sudah pasti, trailer filem "1453" akan ditayangkan sebagai muqaddimah untuk membakar semangat rakan-rakan pemikir muda dan sahabat-sahabat aktivis PAS yang akan hadir.


Sudah pasti pemilihan tajuk ini akan sedikit berbeza dengan modul biasa yang pernah Ustaz Hasrizal banyak menyentuh dalam ceramah-ceramah beliau iaitu sekitar perbandingan persiapan syariatullah dan sunnatullah antara Muhammad al-Fateh dan pimpinan Islam sebelumnya.

Insya-Allah, selepas "The Grand Seigneur" Muhammad al-Fateh, beberapa negarawan Muslim dan negarawan PAS sendiri yang lain akan terus dijejak seperti Dr Burhanuddin al-Helmy, Dr Zulkifli Muhammad, Ustaz Fadzil Nor dan ramai lagi. Mungkin juga negarawan Muslim yang lebih jauh dari era Usmaniah akan dikaji seperti Saidina Umar al-Khattab. Yang akan dibongkar bukan lagi kehebatan mereka di pentas politik berasaskan "social mandate" yang telah banyak diseminarkan, tetapi apakah "kilang" yang membentuk kehebatan dan cara berfikir mereka, didikan yang bagaimana mereka terima dan apakah sifat akademi kepimpinan yang mereka lalui selama ini.



"Economics is the No. 1 reason that people voted for Mr. Gul's party. The party's policies have created an economic boom, expanded exports and improved services. Meantime, secular opposition parties have had little positive to offer”. (Henry Barkey, chairman of International Relations at Lehigh University)

Demikianlah muqaddimah saya dalam aluan ketika memulakan usrah 1453 menyinggung Bajet 2010 baru-baru ini. Saya terpaksa menyebut tentang gerakan Islam dan parti AKP di Turki kerana PKS Indonesia sendiri mengalami kemerosotan dalam Pemilu yang lepas.

Terima kasih tidak terhingga dari usrah 1453 kepada saudara Mior Isfandy Mior Azizan atas pembentangan asas-asas mahasiswa Islam dalam menilai dan mengkritik Bajet 2010. Saya memberikan markah "cemerlang" kepada beliau kerana - walaupun memperoleh degree dalam pengajian ilmu Wahyu - beliau berjaya membuktikan kemampuan beliau selaku bekas Mentee Dr Dzulkifli Ahmad ketika bersama PPP Pas Pusat dahulu untuk membuat kajian yang sangat "mikro" lantas mampu memberikan kritikan-kritikan tajam dan bernas kepada Bajet 2010.


Ternyata beliau memenuhi hasrat saya untuk tidak terlalu bermain dengan soal angka yang memeningkan, istilah-istilah ekonomi yang sukar difahami, dan tenggelam agak 'lemas' dalam dokumen 55 mukasurat Bajet 2010. Saudara Mior memberikan 'pancing ikan' kepada rakan-rakan usrah 1453, juga sahabiyah usrah UZA di bawah kendalian isteri saya, rakan-rakan mahasiswa UIAM, saudara Alif (Iecothinker) dan saudara Fahmi dari UM yang turut hadir memaknakan perbincangan.


Pendekatan kajian bersifat "political economy" saudara Mior ternyata lebih menyeronok dan menghidupkan perbincangan. Masakan tidak, apabila isu-isu fundamental mempengaruhi 'asbabun nuzul' Bajet 2010 tidak dibentangkan secara terlalu akademik seperti kelas-kelas pengajian ekonomi, tetapi dikaitkan dengan isu-isu semasa politik itu sendiri. Apatah lagi apabila saudara Khairuddin seorang graduan Ekonomi di UIAM memberikan pandangan dan ramalan beliau bahawa Bajet 2010 - yang banyak menekankan soal liberalisasi ekonomi - adalah bajet untuk memerangkap PR secara jangka panjangnya menjelang PRU ke 13 pada sekitar 2012. Masakan tidak apabila masyarakat Cina dan India lah paling bergembira dengan Amanah Saham 1Malaysia dan nikmat-nikmat yang lain dari Bajet 2010. Peralihan undi sokongan Cina dan India kembali kepada BN adalah suatu bahaya besar menanti PR pada 2012.


Terlalu banyak yang mahu dikongsikan dapatan ilmu hasil diskusi pada malam tersebut, khususnya pada diri saya yang jika minggu lepas baru sahaja berjinak dengan dunia perlembagaan dan perundangan, kali ini Allah memilih saya untuk berjinak pula dengan dunia ekonomi global dan Malaysia.


Justeru, saya mengumumkan di hujung usrah 3 resolusi sebagai rumusan dan pelan bertindak mahasiswa yang hadir :

1. Buat penilaian Bajet 2010 secara objektif, bukan 'populis'. Dasarkan kajian dari sumber-sumber primer, bukannya sekunder seperti kenyataan ahli-ahli politik di websites mahupun blog. Sebaliknya merujuk terlebih dahulu kepada dokumen teks Bajet itu sendiri, laporan ekonomi tahunan, penyata anggaran hasil tahunan, penyata perbelanjaan kerajaan persekutuan, website MAF, DOSM, BNM, RH dan kementerian.



Saudara Mior menunjukkan dokumen-dokumen tebal lagi penting yang wajib dibaca sebelum membuat penilaian kepada Bajet 2010. Sekurang-kurangnya mahasiswa perlu membaca akhbar terbaru The Edge jika tidak mampu mendapatkan dokumen-dokumen penting bersangkutan dengan Bajet 2010.

2. Membaca teks ucapan Bajet 2010 memberikan gambaran kepada para pejuang Islam bagaimana sesebuah negara apabila Islam memerintah nanti semestinya diuruskan. Bacalah sekurang-kurangnya untuk mendapatkan gambaran sebenar bahawa tidak semudah yang disangka untuk membina dan membangunkan negara, khususnya dalam kerangka pengurusan Bajet dan ekonomi menurut prinsip Islam.


3. Mengambil pendekatan 'political economy' buat mahasiswa bukan jurusan ekonomi. Ini bermaksud, tidak perlu menjadi pakar-pakar ekonomi yang bercakap dari bilik berhawa dingin di menara gading, tetapi jadilah pemimpin dan ahli politik yang berjiwa ekonomi kerana itu adalah sunnah perjuangan Nabi Allah Yusuf dan Nabi Muhammad S.A.W.


Semoga usaha kami merintis perbincangan Bajet 2010 secara intelektual dan objektif dapat dirintis dan diperhebatkan. Kami menyedari perbincangan berat ini tidak sesuai kepada semua tahap pemikiran aktivis mahasiswa Islam hari ini, namun sekurang-kurangnya menjadi harapan kami golongan pimpinan dan pemikir dalam gerakan mahasiswa Islam dapat menjinakkan diri dengan perbincangan-perbincangan seumpama ini yang sememangnya berada di luar dari budaya perbincangan tradisional jamaah iaitu menyangkuti isu-isu politik gerakan semata-mata.




Konstantinople bukan sekadar kisah sebuah benteng terkebal dunia yang telah menjaga empayar Byzantium selama lebih 1100 tahun dari 29 percubaan dunia (11 daripadanya percubaan tentera Islam) dari jatuh ke tangan musuh. Konstantinople adalah 'simbolik' dari sejarah kepada sesuatu "tembok penghalang" yang sangat sukar untuk dicari jalan penyelesaian meruntuhkannya, sesuatu yang "sangat mencabar" dan "mungkin mustahil" untuk diatasi bagi sebuah pasukan perjuangan Islam.

Pada 1453 Masihi, Al-Fateh berjaya menembusi tembok kebal Konstantinople dengan :

1. Kebijaksanaan beliau melakukan perisikan dan penyamaran menyusup masuk secara senyap ke Konstantinople, sehinggalah akhirnya misi itu menatijahkan ketebalan dinding dapat dikenalpasti dan kedudukan penjara saintis Hungary, Urban yang dipenjarakan Constantine XI dapat diketahui secara terperinci, untuk misi 'prison break' selepas itu.

2. Kebijaksanaan beliau memanfaatkan kepintaran dan kepakaran Urban untuk membina teknologi persenjataan yang mampu merobek tembok Konstantinople.

"Mampukah engkau mencipta meriam yang lebih besar dari meriam yang pernah engkau ciptakan selama ini ? Tanya Al-Fateh. "Akan aku ciptakan buatmu meriam yang akan menggoncangkan pintu tembok itu." Jawab Urban." (rujukan kitab : lihat di bawah)


"Konstantinople" hakikatnya sentiasa wujud dalam perjuangan Islam sepanjang zaman. Yang berbeza cuma bentuknya sahaja.

Pada 1453, ia wujud sebagai satu benteng fizikal dan boleh dilihat dengan jelas kedudukannya, mana bahagian yang sangat tebal dan kebal seperti pintu Edirne, mana bahagian yang sangat lemah dan berpotensi rapuh seperti pintu Topkapi.

"Konstantinople" pada hari ini, ia tetap wujud. Namun ia wujud sebagai satu benteng 'mental' (mental-block) beberapa kerat rakyat Malaysia yang masih lagi didominasi dengan "fear politics" sehingga rasa takut "jika tidak undi Umno-BN, tiada pembangunan akan berlaku.". "Konstantinople" bagi gerakan Islam PAS pada hari ini tidak semudah untuk dilihat sebagaimana pada 1453 Masihi. Hanya yang sukakan budaya mengkaji pemikiran, sikap dan 'mood' pengundi yang sentiasa berubah-ubah dan unik bagi setiap pilihanraya kecil, akan mampu melihat "tembok besar" menakutkan itu. Kegagalan untuk 'melihat' sudut kelemahan tembok itu bererti mengulang kegagalan 11 percubaan tentera Islam sebelumnya untuk merobohkan tembok itu.

Dahulu, 800 tahun percubaan gagal untuk meruntuhkan tembok fizikal "Konstantinople" sehinggalah peristiwa 1453. Hari ini, 11 kali percubaan PAS - dalam tempoh sudah lebih 50 tahun - untuk meruntukan tembok 'Islamophobia' dari kalangan non-Muslim yang selama ini (sebelum PRU 12) memihak kepada Umno-BN hampir-hampir berjaya dirobohkan dalam peristiwa 8 Mac 2008.

Masyarakat Cina kini tidak segan untuk mendekati markas-markas PAS. Masyarakat India tidak segan untuk memakai baju PAS dan mengibarkan bendera-bendara PAS dalam setiap kali pilihanraya kecil. Tuhan akhirnya mengangkat hijab prejudis menebal mereka selama ini kepada PAS dalam PRU yang lepas, satu situasi 'politik baru' yang PAS sedang berjinak untuk berinteraksi dengannya pada saat ini.


Kehadiran dan keberanian 'eksperimen' PAS di "Permatang Pauh" BN di Negeri Sembilan telah membawa 1001 erti yang memakna perjuangan PAS itu sendiri. Bagan Pinang menyaksikan wujud semula tembok "Konstantinople" itu bagi PAS apabila kesemua peti-peti undi di sana menyaksikan kemerosotan undi kepada PAS dan kekalnya sokongan masyarakat India-Cina di sana kepada Umno-BN ketika PR sudah membuat pukulan 7-0 dalam PRK Semenanjung.


Sudah pasti ia suatu cabaran getir menjelang PRU ke 12 (jangkaan saya pada 2012). Apatah lagi jika kita membaca secara 'teori konspirasi jangka panjang' Najib dalam Bajet 2010 iaitu bajet yang bakal memenangi hati rakyat Cina dan India atas nama liberalisasi ekonomi 1Malaysia, sesuatu yang mungkin mengundang bahaya besar pada PR - yang banyak dibantu oleh undi masyarakat Cina dan India dalam PRU lepas - dalam PRU akan datang. Namun, tembok "Konstantinople" itu mesti dirobohkan juga demi membenarkan Islam ke Putrajaya.

Siapa yang tahu, mahu dan mampu merobohkannya ? Sejarah 1453 memberikan jawapan bahawa ia boleh dirobohkan oleh pemikiran 'Think Out of The Box' anak muda dan "semangat Bushido" (never give up) para Pemuda.


Senjata apa yang boleh merobohkannya ? Apakah "meriam Urban" bagi berdepan dengan kemungkinan PRU 2012 akan mengulang tragedi pahit PRU 2004 yang hampir membatunisankan pembangkang ? Sejarah 1453 mengajar kita bahawa membina kepakaran atau memanfaatkan golongan pakar dalam bidang-bidang strategik yang boleh memusnahkan musuh adalah jawapannya.

"Dan bersiap sedialah kamu untuk menghadapi mereka dengan segala kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang gagah sehingga menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain daripada mereka yang kamu tidak mengetahuinya sedang Allah mengetahuinya." (al-Anfal: 60)

1453 menyaksikan betapa sukarnya misi 53 hari merobohkan tembok "fizikal" Konstantinople, namun akhirnya sikap ketidakputusasaan Muhammad bin Murad dan tenteranya menatijahkan kejayaan.


Mampukah 2012 menyaksikan kejayaan PAS menembusi "tembok besar" mengarati pemikiran masyarakat Melayu - khususnya di Negeri Sembilan, Melaka, dan Johor - yang terus menebal semangat ultra-Melayunya sehinggalah tembok itu menghalang mereka dari melihat soal integriti dan kualiti pemimpin yang mahu dipilih (sample di Bagan Pinang) ?

Mampukah PRU 13 menyaksikan PAS dan PR mampu melebarluaskan "politik baru" (enlighten politics) yang berasaskan nilai dan substansi perjuangan, guna untuk merobohkan tembok politik "feudal" dan "fear politics" di kerusi-kerusi Parlimen "60 : 40" (60 % Muslim, 40 % non Muslim) ?


Kitalah generasi muda "meriam Urban" gerakan Islam yang akan menentukan masa depan perjuangan Islam yang sayangi dan dokongi ini. Menjadi sunnatullah bahawa setiap perjuangan Islam ada "Konstantinoplenya" dan ada "saintis Urbannya". Setiap kepayahan ada kemudahan.

Kepimpinan hari ini akan berlalu suatu hari nanti, soalnya bagaimana persiapan generasi baru pelapis perjuangan untuk membuat persiapan mendapatkan seramai mungkin "saintis-saintis Urban" dalam pelbagai lapangan ilmu strategik, bagi merobek "tembok penghalang" ke Putrajaya.

Terima kasih Dr Dzulkifli Ahmad kerana sudi berusrah dengan kami dan rakan-rakan aktivis UM. Perkongsian pengalaman selaku Ahli Parlimen yang menang tipis dengan kelebihan undi non-Muslim di Kuala Selangor, serta paparan kajian demi kajian "blind spot" beliau di sebalik tabir Bagan Pinang dan isu-isu politik Malaysia dan gerakan Islam PAS, akhirnya telah membakar semangat saya untuk terus komited dalam usaha mempersiap diri bagi mewarisi baton perjuangan ini suatu ketika nanti bersama rakan-rakan seangkatan yang lain.


Related link : Usrah UZA Menyinggung Masa Depan Gerakan Islam Malaysia

Isteri saya mengambil kesempatan untuk mendekati isteri Dr Dzulkifli. Tampak jelas wajah kepenatan seorang ibu dan isteri kepada seorang ahli politik Islam di Malaysia.

Integriti Maya

Sebarang pengambilan mana-mana bahagian daripada tulisan di sini adalah sangat digalakkan untuk disebarkan, namun perlulah mendapat izin daripada Iskandarfateh.

Ataupun, sila beri kredit bahawa anda mengambil mana-mana kenyataan tersebut dari Blog
Iskandarfateh ini.

Terima kasih. Saya sangat hargai kunjungan anda.

Montaj IPTC

Twitter With Me

Profail Blogger


Syaari Ab. Rahman merupakan seorang perunding motivasi terlatih. Profail lengkap beliau di "Hubungi Saya"