Content feed Comments Feed

"Janganlah kamu berfoya-foya (korupsi) dan menabur-naburkan (kronisme) wang negara, atau kamu pergunakan lebih (pecah amanah) dari sewajarnya. Sebab semua itu merupakan penyebab utama kehancuran.” (Sultan Mehmed II el-Fātiḥ).

Terima kasih tidak terhingga kepada Prof Abu Hassan Hasbullah, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya (UM) dan Founding Chairman, Zentrum Future Studies Malaysia (ZENTRUM) kerana sudi merakamkan "Prakata" untuk buku saya KEKAL (Kuasa Kepemimpinan Al-Fateh). 

Rakaman itu juga disalin di website beliau di sini.

Berikut saya salin semula tutur bicara Prof dan paradigma beliau kepada Sultan Muhammad al-Fateh :


"Sultan Muhammad ll al-Fatih bukan sahaja merupakan pemimpin (khalifah) agung dalam sejarah Islam, yang menderu buat setiap Muslimin untuk membaca dan mengikuti sejarah dirinya terutama kejayaan baginda dalam melengkapkan perjuangan menegakkan agama Allah, Islam sebagaimana yang diperucapkan oleh Rasulullah s.a.w: 

“Abu Qubail menuturkan dari Abdullah bin Amr bin Ash, ‘Suatu ketika kami sedang menulis di sisi Rasulullah s.a.w, tiba-tiba Baginda ditanya: ‘Mana yang akan dikalahkan terlebih dahulu, Kostantiniah (Constantinople) atau Rumiyah (Rom)?’ 

Baginda menjawab, “Kota Heraklius yang akan dikalahkan terlebih dulu.” Maksudnya adalah Kostantiniah (Constantinople).” [hadis riwayat oleh Ahmad, Ad-Darimi, Al-Hakim]. 

Dan seterusnya RasululLah juga memberi gambaran terhadap diri peribadi Khalifah Muhammad ll Al-Fatih sebagai “Kota Kostantiniah (Costantinople) akan jatuh ke tangan Islam. Pemimpin yang menakluknya adalah sebaik-baik pemimpin dan pasukan (pembesar, tentera, ilmuwan) yang berada di bawah kepimpinannya adalah sebaik-baik pasukan.” [hadis riwayat oleh Ahmad bin Hanbal Al-Musnad 4/335]. 

Setelah hampir 800 tahun lebih usaha-usaha untuk menakluk Kota Constantinople yang bermula sejak Khalifah Muawiyah bin Abu Sufyan pada 668 Masehi, yang turut mengorbankan sahabat RasululLah s.a.w iaitu Abu Ayyub al-Anshari r.a, maka generasi kepimpinan khilafiah yang seterusnya baik dari Bani Umayyah dan Bani Abassiyyah sehingga pemerintahan Othmaniah di bawah Khalifah Murad ll juga gagal untuk menguasai Byzentium sehinggalah akhirnya, sebagaimana yang disabdakan oleh RasululLah s.a.w akhirnya muncul seorang putera Islam yakni Mehmed ll, yang mempunyai kepakaran dalam bidang strategi politik, kejuruteraan militari, sains, matematik, dan pengurusan ekonomi, dan menguasai lebih dari enam bahasa, yang di usia 21 tahun maka berakhirlah kesombongan dan kesesatan empayar Byzentium dan kotanya Costantinople yang seterusnya membuka laluan dari pintu Edirne yang telah ditawan sebagai derap memulakan perkembangan Islam ke seluruh Eropah dan dunia

Tentulah kehebatan Sultan Muhammad Al-Fatih tidak hanya sebagai ‘Sang Penakluk’ tetapi bagi umat Islam masakini hendaknya menjadikan konsep kepimpinan negara yang ditegakkan oleh baginda sebagai model pentadbiran negara Islam, dalam semua aspek iaitu ekonomi, politik dan sosial (ekoposial) dengan teras terpenting yang ditunjukkan dalam ciri-ciri individu beliau sebagai Muslim; konsep, makna, bentuk dan kandungan kepimpinan ekoposial di sepanjang pemerintahannya; kejayaan demi kejayaan buat Islam dalam menerajui dan mendepani masadepan serta meletakkan dunia di paksi yang benar; dengan ruh terkuat yakni Islam sebagai rahmatan lil ‘alamin dan ini hanya akan dapat dicapai dengan pemimpin dan umat Islam memiliki sikap dan akhlak khilafiah iaitu warak, praktikal dan pragmatik. 

Justeru itulah di sepanjang kepimpinan baginda, selain Islam berkembang dengan pesatnya dan manusia mencapai kemajuan dari segala bidang, apabila baginda mengamalkan sistem pemerintahan yang adil, saksama dan ‘beriman’ dengan bukan sahaja memajukan pertanian, perindustrian, malah menempatkan pendidikan sebagai gerakan pemajuan ummah yang terpenting dengan menubuhkan universiti-universiti yang sebahagiannya masih teguh berdiri sehingga sekarang. 

Prinsip-prinsip kepimpinan Islam, yakni siddiq, amanah, tabligh, dan fatanah diamalkan dalam semua proses pemajuan negara dan penghidupan masyarakat. Khalifah Muhammad ll al-Fatih menjadi pemimpin agung yang menunjukkan jalan buat masyarakat hari ini tentang Islam sebagai ad-deen.

Ini digambarkan dalam Piagam (Firman) Pembebasan Bosnia Franscan (28 Mei 1463) sebaik tentera Islam menakluki kerajaan Balkan, bermula di Bosnia, Serbia dan Albania dicatatkan: 

“Beta, Sultan/Khalifah sebagai Pemerintah, dengan ini mendeklarasikan buat seluruh dunia bahawa sanya, seluruh Bosnia Franciscan adalah terjamin di bawah perlindungan Firman (Piagam/Perintah) ini. 

Bahawa sanya dengan ini Beta mengarahkan yang: Tidak akan barang seorang pun yang boleh menganggu dan mengancam semua rakyat termasuk gereja-geraja mereka! Mereka terpelihara dan dijamin untuk meneruskan penghidupan seperti sediakala dengan aman, damai dan sejahtera dalam negara Beta. 

Mana-mana orang sebagai pendatang (imigran), tetap beroleh perindungan keselamatan dan kebebasan. Mereka boleh kembali ke biara-biara (monastri) yang terletak di sempadan-sempadan negara Beta. Tidak ada gerangan seorang pun dari rakyat negara beta, baik bangsawan, wazir-wazir, kerani-kerani (pegawai-pegawai) atau pengasuh-pengasuh (penasihat-penasihat) Beta boleh melanggar hukum ini dengan memberi ancaman kepada mereka! 

Tidak ada gerangan seorang pun yang boleh mengkhianati, mendatangkan bahaya atau serangan terhadap mana-mana orang, harta benda, dan gereja-gereja mereka! Sayugia diingatkan, apa dan siapa yang dibawa oleh mereka ini dari negara mereka mempunyai hak yang sama. 

Bahawa sanya dengan menitahkan firman (Piagam/Perintah) ini, Beta bersumpah dengan pedang Beta di atas nama Maha Suci Allah, Tuhan Maha Mencipta Langit dan Bumi, dan Muhammad Pesuruh Allah, dan 124000 para Nabi sebelumnya, sesungguhnya; tidak ada gerangan seorang pun dari sekalian rakyat beta boleh bertindak atau berkelakuan yang bertentangan dengan firman ini!”

Sultan Muhammad ll Al-Fatih telah membawa pemikiran kepimpinan ekoposial yang praktikal dan pragmatik bagi dunia seluruhnya. 

Lalu pemikiran inilah yang harus dikembangkan sebagai suatu ‘future studies’ oleh umat Islam dalam memajukan sistem, bentuk dan kandungan ilmu-ilmu sama ada dalam pengurusan politik, ekonomi dan sosial, ketenteraan, sains dan kejuruteraan termasuk dalam bidang-bidang perubatan, falsafah, sastera dan budaya juga teknologi komunikasi.  

Tentulah asas terkuat ialah bagaimana tegasnya Khalifah Muhammad ll Al-Fatih membangunkan negara yang bebas dari korupsi, kronisme dan pecah amanah sebagaimana yang dititahkan baginda dalam petikan di atas, sebagai pesanan tentang struktur kenegaraan yang akan menjamin keadilan, kemajuan dan kekuatan bagi menjadi sebuah peradaban agung, masyarakat dan negara. 

Asas-asas tersebut yang hendaknya secara berterusan dikaji, diteliti dan dimajukan untuk menjadi rukun dan hukum dalam sistem pemerintahan nyata diperucapkan oleh Khalifah Muhammad ll Al-Fatih buat pewarisnya, sekali gus mengadiluhung bentuk dan kandungan teoritikal dan praktikal politik, ekonomi dan sosial Islam; 

“Beta sudah diambang kembali ke sisi Allah. Tapi Beta berharap Beta tidak khuatir, sayugia Beta meninggalkan seseorang sepertimu. Jadilah seorang pemimpin yang adil, solih dan penyayang. rentangkan perlindunganmu untuk rakyatmu, tanpa kecuali. Bekerjalah untuk menyebarkan Islam. Sayugia sesungguhnya itu merupakan kewajiban para Khalifah di muka bumi. Dahulukan urusan agama atas apapun urusan lainnya. Dan janganlah kamu jemu dan bosan untuk terus menjalaninya. 

Janganlah dikau angkat jadi pegawaimu mereka yang tidak peduli dengan agamamu, yang tidak menjauhi dosa besar dan yang tenggelam dalam dosa. Jauhilah oleh dirimu bid'ah yang merosak agama. Jauhi pula mereka yang menggodanya untuk memasukinya. Jagalah setiap jengkal tanah Islam dengan jihad. Lindungi harta di baitulmal jangan sampai binasa. Jangan sekali-kali tanganmu mengambil harta rakyatmu kecuali sesuai ketentuan Islam. Pastikan mereka yang lemah mendapatkan jaminan kekuatan darimu. Berikanlah penghormatanmu untuk siapa yang memang berhak... 

Ketahuilah sesungguhnya para ulama’ adalah nadi kekuatan di tengah tubuh negara, maka muliakanlah mereka. Semangati mereka. Bila ada dari mereka yang tinggal di negeri lain hadirkanlah dan hormatilah mereka. Cukupilah keperluan mereka... 

Berhati-hatilah, waspadalah jangan sampai engkau tertipu oleh harta maupun kuasa. Jangan sampai engkau jauhkan ahli syariat dari pintumu. jangan sampai engkau cenderung kepada pekerjaan (perbuatan) yang bertentangan dengan ajaran Islam. Sayugia sesungguhnya Islam itulah tujuan kita, hidayat itulah jalan kita. Bahawa sanya oleh sebab itulah kita dimenangkan... 

Ambillah dariku pelajaran ini. Aku hadir ke negeri ini bagaikan seekor semut yang kecil. Lalu Allah memberi nikmat yang besar ini. Maka tetaplah di jalan yang telah aku lalui. Bekerjalah untuk memuliakan agama Islam ini, menghormati umatnya...” (bersambung dengan petikan di atas).

Khalifah Muhammad ll Al-Fatíh adalah lambang pemimpin agung; adalah model kepimpinan yang sempurna; adalah ilmu pengetahuan yang akan membawa masuk setiap orang dari satu pintu menara ke satu menara yang lain semacam tertakluknya pintu menara Galata sehingga ke Valea Albă Genoese dan Venetia; menakluki semua sisi dan posisi Islam sebagai ad-deen yang merupakan rahmatan lil ‘alamin. 

Sayanglah seandainya umat Islam di hari ini menjadi Yahudi Jacob Pasha yang membawa dan mengembangkan segala kemakaran dan kepunahan dengan sikap dan perilaku, baik sebagai individu maupun pemimpin yang akhirnya menghancurkan dunia."

Wallahu a'lam.

2 Responses to Prakata Prof Abu Hassan Hasbullah (Buku Kuasa Kepemimpinan Al-Fateh)

  1. Salam... Ustaz, buku nta ni dah kuar ke blOm? Macam mana nk dapatkannya?

     
  2. semoga dipermudahkn ats sgala urusan..amin

     

Integriti Maya

Sebarang pengambilan mana-mana bahagian daripada tulisan di sini adalah sangat digalakkan untuk disebarkan, namun perlulah mendapat izin daripada Iskandarfateh.

Ataupun, sila beri kredit bahawa anda mengambil mana-mana kenyataan tersebut dari Blog
Iskandarfateh ini.

Terima kasih. Saya sangat hargai kunjungan anda.

Montaj IPTC

Twitter With Me

Profail Blogger


Syaari Ab. Rahman merupakan seorang perunding motivasi terlatih. Profail lengkap beliau di "Hubungi Saya"