Content feed Comments Feed


Selama dua tahun di I.P Minda Training & Consultancy, belum pernah saya merasakan sebuah kursus kepimpinan terbaik selain dari apa yang telah dilegasikan oleh Akademi Kepimpinan Pemuda pada 26 - 28 Mac baru-baru ini di Quality Hotel, Shah Alam.



Masakan tidak, sekurang-kurang 5 trainers yang mempunyai kepakaran dan pengalaman yang sarat, kelima-limanya bergabung tenaga, bersama Pengerusi AKP merangkap Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Us Sabky Yusuf, mengerah keringat atas nama cintakan perjuangan Islam untuk menghasilkan satu modul latihan kepimpinan berwibawa buat para pimpinan Pemuda PAS Negeri dan Ketua-ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan.



"Sesungguhnya ini bukanlah program baru dalam gerakan Islam PAS. Ia hanyalah pelengkap kepada institusi tarbiyah PAS yang ada pada saat ini. Pentarbiyahan PAS telah berjaya melahirkan para Pemuda yang tinggi nilai integriti dan fikrah perjuangannya, manakala AKP pula memfokuskan kepada memantapkan sudut kompetensi para Pemuda untuk mendepani masa depan perjuangan PAS yang lebih mencabar di masa depan."

Demikianlah antara kata-kata keramat Ust Sabky dalam ucaptamanya dan dalam mana-mana ucapannya, itulah pengulangan dan penegasan yang dibuat.

Perancangan yang rapi adalah rahsia kejayaan program training ini yang mudah-mudahan telah meninggalkan kesan yang besar pada stamina (ILTIZAM), kemahiran pengurusan (ADVANCED MANAGEMENT) dan wibawa kepemimpinan (INFLUENCE LEADERSHIP) para pimpinan Pemuda PAS Malaysia. ADVANCED MANAGEMENT + ILTIZAM + INFLUENCE = AMILIN.

Logo AMILIN yang dimantapkan oleh TVPas dan didesign oleh saudari Nur Syahidat

Prinsip kami selama 4 bulan yang mencabar ini iaitu "memulakan adalah peringkat yang paling sukar. Justeru memulakan adalah sebahagian dari kesempurnaan".


Walaupun ini adalah kursus training sulung AKP dengan percubaan berani melakukannya secara eksekutif di hotel (dengan fasiliti seperti ESQ) dan menelan belanja yang agak besar, namun tiada yang lebih menggembirakan kami selaku trainers dan penganjur melainkan melihat kesungguhan para Pemuda PAS melafazkan ikrar melakukan perubahan di akhir program untuk mempersada perjuangan PAS ke landskap baru yang lebih berwibawa, kompeten dan mampu menggalas tugasan sebagai 'key-player' Pakatan Rakyat di masa depan.



Apabila Maharaja Constantine XI mengarahkan kerajaan Byzantine membuat sekatan media dan kebebasan maklumat mengenai keadaan dunia luar Konstantinopel dari diketahui oleh rakyat, maka sebab itulah rakyat juga tidak mengetahui bahawa 250,000 tentera Muhammad bin Murad sudahpun mengepung Konstantinopel. Kejutan yang berlaku telah melemahkan moral musuh pada ketika itu yang telah melorongkan kemenangan kepada Muhammad. Demikianlah kuasa media pada 1453 Masihi.


Demikianlah celoteh Profesor Google, Dr Abu Hassan Hasbullah ketika bergabung dengan Fathi Aris Omar (Malaysiakini) dan Zulkifli Sulong (Harakah) dan dimoderatorkan oleh isteri saya sendiri di Free Public Forum atas tajuk "Kuasa Media Menjelang PRU 13".


Dalam usrah gabungan PAS Kawasan Gombak malam tadi, saudara Khairussani Naib KDPP Negeri Selangor ada mengingatkan mengenai kajian Dr Abu Hassan tentang bahayanya kedudukan Selangor apabila 5-6 % rakyat Selangor sahaja mengetahui apa kebajikan yang sedang dilakukan oleh kerajaan PR di Selangor. Peranan media baru untuk menyaingi media arus perdana Umno-BN sudah tidak dapat digambarkan lagi. Jika ia telah menjatuhkan Byzantine pada 1453 Masihi, tidak mustahil ia juga boleh menjatuhkan PR pada 2012 andaikata tindakan segera penguasaan media baru, kempen penerangan secara maksima tidak diberikan perhatian dari sekarang.

Menanti Kebangkitan Gelombang Dakwah di UPM

Tuesday, February 23, 2010






Pada 12 - 14 Februari yang lepas, saya telah mengepalai sebuah kem motivasi kepimpinan mahasiswa iaitu Sekretariat Kerohanian seluruh Kolej-kolej Kediaman Universiti Putra Malaysia.


Bagaikan satu cabaran besar kerana pasukan yang akan saya kendalikan training bersama Ust Azlan dan rakan-rakan seangkatan kali ini adalah mereka yang berada pada kedudukan paling 'strategik' di UPM, pendek kata mereka yang berada pada posisi paling tepat untuk melakukan 'pembukaan' (Al-Fateh) pintu hati mahasiswa-mahasiswi di UPM seluruhnya.



Kem ini tidak dinamakan sebagai Kem Kepimpinan Al-Fateh sebagaimana impian retorik saya selama ini. Namun, 3 hari 2 malam perjalanan pengisiannya telah diprojek dan disusun dengan baik hasil brainstorming saya dengan Ustaz Azlan dan rakan-rakan Master Trainer I.P Minda yang lain, dengan tujuan sekurang-kurang 5-6 karakter kepimpinan terpenting Sultan Muhammad dimodulkan secara praktikal. Hasrat Encik Zuhaimi dan Ustaz Nurul Iman dari Hal Ehwal Pelajar UPM diselarikan dengan modul-modul AKMAL (Akademi Kepimpinan Mahasiswa Al-Fateh) yang baru sahaja melepasi peringkat kelulusan I.P Minda.

Bersama Encik Zuhaimi (HEP UPM) yang berpandangan jauh
Syukur alhamdulillah, borang penilaian kesemua hampir 40 orang peserta yang saya analisa menyerlahkan satu feedback majoriti peserta yang sangat luarbiasa dan jauh dari jangkaan kami yang tidak terlalu meletakkan harapan dan ekspektasi yang tinggi pada 'pioneer project' peringkat menara gading ini.


Semangat menyanyikan lagu Al-Fateh

Moga ada kesempatan dan keizinan dari rakan-rakan peserta UPM tersebut untuk saya paparkan beberapa kenyataan dari mereka.


Majoriti menyatakan semangat Al-Fateh yang berkobar-kobar dalam diri mereka - khususnya selepas ikrar bersama pada hari ketiga - untuk mencipta gelombang dakwah pada masa akan datang dan program-program kerohanian yang lebih luarbiasa skala impaknya pada mahasiswa UPM dan massa keseluruhannya.

Ikrar hari akhir peserta untuk 'menggegarkan' UPM dengan Minggu Penghayatan Islam selama 5 hari


Semangat dan kerjasama terserlah (War Game)

Telah lama ibuku mencari teman untuk mendengar jerih payah dan luahan perjuangannya dalam Dewan Muslimat khususnya Kawasan Tumpat, Kelantan. Ketiadaan suami di sisi hampir 15 tahun sudah pasti benar-benar menyebabkan ibuku mungkin kekadang terasa kesepian tanpa anak mahupun menantu yang sudi berkongsi pengalaman perjuangan berjamaah.


Kehilangan suami sudah pasti ujian besar meneruskan bahtera kehidupan, apatah lagi bahtera perjuangan

Namun, keikhlasan aktivisme ibuku kepada jamaah sama seperti para armalah yang lain, dan itulah mungkin menjadi antara nadi kekuatan ketahanan PAS di Kelantan. Ibuku benar-benar menjadi idola yang membakar semangat juangku untuk tabah dan thabat dalam perjuangan. Ummi, teruskan perjuanganmu.


Tidak ada yang lebih membahagiakan hati ini apabila menyaksikan isteri tersayang bukan sekadar beraksi sebagai moderator forum antara YB Hajah Siti Zailah Mohd Yusoff, Timb Ketua DMPP dan Prof Dr Haji Wan Abdul Rahman Wan Ab Latif, Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat, bahkan sudi meluangkan masa bertemu Ummi dan mendengar sendiri suara hati perjuangan Ummi yang turut sama menjadi peserta dalam kursus Kepimpinan Muslimat 2010 anjuran Dewan Muslimat Pas Pusat tersebut.

Apabila LDK Non-Muslim menjadi pilihannya (kenangan SMK Bandar Tasik Puteri)

Isteriku yang kudoakan bakal menjadi Senator Negara telah diberikan penghormatan oleh Dewan Muslimat Pas Pusat pada 31 Januari 2010 itu untuk mengendalikan forum "Definisi Politik Dalam Islam".

Syukur padaMu Tuhan menganugerahkan daku seorang Ibu dan seorang isteri yang memahami erti perjuangan di medan.


Kami sentiasa bersaing dalam acara 'memanah' di Ampang Plaza

Ya Allah, anugerahkanlah daku pula seorang zuriat penyambung perjuangan, yang mengalir dalam darahnya darah anak muda Muhammad bin Murad al-Fateh.

Gambar hiasan :
Telatah anak saudara kesayangan, Umar Faruq dan Ali Zulkarnain bin Kamaruzzaman

Aku di usia Umar Faruq (1986)

Terima kasih Ummi



Hidup ini telah lama belajar untuk memberi, namun tidak ada yang lebih gembira hati ini selepas memberi yang terbaik sebagai salah seorang brainstormer, fasilitator, dan juruteknikal Kursus TOT Akademi Kepimpinan Pemuda PAS Pusat yang selesai petang 7 Februari lepas.

Naib Ketua Pemuda Pas Pusat memberikan taujihat

Bertemu dengan rakan-rakan pimpinan Pemuda negeri masing-masing adalah satu saat yang selama ini didambakan dalam proses menggalas perubahan paradigma Pemuda dalam menanggapi arus politik semasa dan masa depan PAS.

Ust Zaidi, Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Selayang dalam sesi Klinik Pengurusan Organisasi

Tiada guna mengkritik Jamaah mahupun menulis impian sebesar gunung agar PAS terus dilihat kompeten memimpin PR andaikata ia tidak diterjemahkan dengan komitmen padu menjenguk realiti sebenar, mendengar permasalahan akar umbi lantas mencadangkan penyelesaian-penyelesaian berkesan yang mampu membantu Pemuda meningkatkan komitmen dan iltizam perjuangan, menguasai kaedah pengurusan dan pelaksanaan yang efektif dan efisien, serta menjadikan pimpinan Pemuda sebagai pemimpin sosial yang diterima semua kaum dan jika mampu lagi, menjadi ahli politik yang berpengaruh.

Sesi perbincangan dalam kumpulan

Ya Allah, syukur padaMu memberikan kebahagiaan pada hati ini dengan khidmat pada jalan perjuanganMu dalam Dewan Pemuda ini. Engkau kekalkan kaki ini berada di atas jalan perjuanganMu.


Integriti Maya

Sebarang pengambilan mana-mana bahagian daripada tulisan di sini adalah sangat digalakkan untuk disebarkan, namun perlulah mendapat izin daripada Iskandarfateh.

Ataupun, sila beri kredit bahawa anda mengambil mana-mana kenyataan tersebut dari Blog
Iskandarfateh ini.

Terima kasih. Saya sangat hargai kunjungan anda.

Montaj IPTC

Twitter With Me

Profail Blogger


Syaari Ab. Rahman merupakan seorang perunding motivasi terlatih. Profail lengkap beliau di "Hubungi Saya"