Berita dari Hulu Selangor ternyata agak mendukacitakan pada awalnya. Apatah lagi mendapat maklumat PR kalah teruk di 3 FELDA Hulu Selangor, ternyata BN menumpang menang dgn undi warga FELDA. Teringat saya kenangan memimpin kem pemantapan aqidah remaja Felda di bawah I.P Minda di Kedah, Selangor, Jengka dan beberapa tempat yang lain pada tahun lepas. Insya-Allah, saya dan pasukan dakwah saya tidak akan putus asa meneruskan agenda dakwah menyelamatkan remaja-remaja FELDA supaya makin dekat dgn Tuhan dan Islam serta sekaligus cerah matahati mereka kelak apabila diminta membuat keputusan segenting dan sepenting pemimpin dan wakil rakyat mereka. Politician thinks for the next election, statesman think for the next generation.
Kebetulan ketika menerima berita kekalahan lebih awal dari Zentrum Future Studies kelolaan Prof Abu Hassan Hasbullah yang telah meramalkan lebih awal kekalahan PKR dengan majoriti 2 ribu undi, saat itu saya dan isteri dalam perjalanan pulang dari training Leadership Camp pimpinan mahasiswa kolej TPM di Bukit Jalil.
Meskipun Hulu Selangor ternyata mendukacitakan kami buat seketika, tetapi 'suasana' Hulu Langat ternyata merawat duka kami. Dalam perjalanan pulang dari Nur Lembah Pangsun Eco Resort bahkan di tapak kem itu sendiri, saya terserempak (entah buat kali yang berapa rasanya) dengan banyak konsultan-konsultan yang sedang mengendalikan program SPIES kerajaan Negeri Selangor bertapak di campsite2 Hulu Langat. Ternyata kami tidak keseorangan dalam misi membangun sumber manusia generasi baru negeri Selangor.
Rupanya meskipun penangan Hulu Selangor semacam meresahkan masa depan PAS-PR utk PRU 13 tidak lama lagi andaikata benar kata penganalisis P094 adalah cermin kepada PRU 13 (termasuk jugalah cermin kepada bakal berulangnya lagi politik kotor, rasuah, serangan peribadi dan manipulasi SPR), namun PAS di Selangor ternyata tidak perlu terlalu bimbang kerana saat ini kita masih lagi memegang tampuk kekuasaan dan kita sedang ghairah merancakkan sesuatu yang sangat digeruni oleh musuh-musuh Islam iaitu sektor pendidikan dan pembangunan program-program agama, yang kedua-dua port-folio itu dipegang oleh PAS Selangor.
Vaksin SPIES sedang merebak dahsyat setiap minggu sebenarnya, ini adalah saham terbesar PAS dlm kerajaan PR Selangor. Benih yang sedang ditanam mungkin bukan sekarang masa menuai hasilnya, nantikanlah beberapa tahun lagi.
Hulu Selangor memang cermin PRU 13, tp suasana lambakan program menyelamatkan ribuan anak-anak muda Selangor dari sekolah rendah sehinggalah kepada belia-mahasiswa, yang kebanyakan tempat operasi program berlaku di sekitar Hulu Langat, ternyata ini adalah cermin masa depan cerah PAS-PR 10-20 tahun dari sekarang.
La Tahzan wahai aktivis-aktivis PAS yang bekerja keras kerana Allah di P094. Kuasa projek-projek dakwah, kuasa program-program pendidikan dan penyucian jiwa kelak akan mampu mengubah jua penangan P094 walawpun ternyata ia mungkin sedikit memakan masa.
Saya dan isteri terus dirundung kemurungan menatapi puluhan bloggers yang sedang mengaum ganas menyinggung isu di sebalik tabir cadangan EGM oleh TGNA dan menjelang Mesyuarat Khas PAS Pusat malam esok.
Penuh debaran dan kebimbangan menyaksikan apakah kesudahan penangan yang ditiupkan wiselnya oleh seorang profesor undang-undang di kampus saya, UIAM.
Apapun, sejuk hati buat seketika menatapi tulisan terkini guru saya di Sekolah Pemikiran Muda baru-baru ini, saudara Hanipa Maidin. Buat kali kedua, beliau bercakap bagi pihak 'emosi' saya saat ini yang sukar untuk diterjemahkan dalam kata-kata di blog ini.
Berapa yang ramai yang mampu menjejaki ruh perjuangan jihad Almarhum Ustaz Fadzil Noor sebagai Presiden PAS dan Ketua Pembangkang Malaysia dahulu, namun pada masa yang sama mampu juga menekuni kebijaksanaan dalam membaca politik semasa dan jauhnya pandangan beliau.
"...Dalam kesempatan ini saya ingin berkongsi dengan para pembaca tentang dua insiden yang saya pernah lalui bersama dengan Almarhum . Dua insiden itu bagi saya menunjukkan ketelitian dan kebijaksanaa Ustaz Fadzil Mohd Noor...." (baca lanjut di blog Hanipa Maidin)
Sekolah Pemikiran Muda siri 4 menjanjikan proses pecah minda yang lebih mencabar pada kali ini. Mencabar, kerana ia bukan sekadar soal saya memberikan perkenalan ringkas kepada definisi oksidentalisme (melihat Barat dalam acuan Timur-Islam), mahupun menyaksikan kehandalan intelektual saudara Naim dari UM dalam menyinggung setiap pembentangan peserta.
Ia juga bukan kerana menyaksikan isteri saya diasak oleh trainer jemputan, Us Nizam mengenai proses bedah bukunya mengenai Politik Perlembagaan karangan Prof Aziz Baru, sebuah buku santai undang-undang yang merupakan usaha 'tajdid' Prof Aziz Bari bagi mendekatkan pembaca dan mahasiswa bukan jurusan perundangan kepada dunia perlembagaan melalui pendekatan penulisan berdasarkan isu-isu semasa pada sekitar PRU era Dr Mahathir.
Isteri saya membentangkan penuh semangat mengenai Politik Perlembagaan karangan Prof Aziz Bari. Inilah kesempatan yang pertama kali saya lihat isteri saya bercakap mengenai "bidang akademik beliau sendiri" di depan mata saya.
Mencabar, kerana kali ini saya mula ‘berkenalan’ dengan disiplin pemikiran mahasiswa undang-undang, sarjana-sarjana mereka seperti Tan Sri Harun Hashim, Tun Salleh Abas, Prof Aziz Bari dan sebagainya.
Kali ini juga saya menyaksikan kepentingan memahami Perlembagaan Malaysia walaupun saya bukan mahasiswa undang-undang, jauh sekali dari meminati dunia undang-undang suatu ketika dahulu.
Terima kasih SPM 4 kerana mendekat dan menjinakkan saya dengan dunia yang selama ini isteri saya bergelumang di dalamnya tanpa saya 'menjiwainya'.
Antara dapatan paling bermakna dalam diskusi akademik dan berat kali ini adalah :
1. Kepentingan memahami Perlembagaan Malaysia, ruang-ruang ‘Islamisasi’ yang wujud dalam kerangka penuh sejarah tersebut, sejauhmana keperluan – jika gerakan Islam memerintah - untuk meminda peruntukan mahupun pentafsiran mahupun menolaknya mentah-mentah atas slogan simplistik bahawa ia ‘perlembagaan sekular’.
Adalah suatu kemalangan bagi saya sebelum ini yang bercita-cita untuk membangunkan cita negara Islam di Malaysia, namun hakikatnya tidak pernah saya menatapi sebuah buku kecil bernama Perlembagaan Malaysia itu sendiri.
Malang bagi saya sebelum ini yang berfikiran untuk berjuang menegakkan Islam namun ‘di luar’ (meremehkan) asas-asas yang telah sedia ada yang selama ini telah membangunkan Malaysia dengan segala kemajmukannya.
Saya sebelum ini sangat retorik dan 'tekstual' dengan Sahifah Madinah, namun saya gagal membongkar lebih mendalam 'ruh' pemikiran Nabi ketika memeterai Sahifah tersebut, bahkan saya jauh dari bersifat manusiawi dengan realiti di Malaysia dan senarionya yang berbeza.
Saya dahulunya sangat jauh dari sikap konstruktif dan adaptif (kompromotif) dengan kerangka sedia ada yang telah diterima pakai puluhan tahun lamanya dan selepas beberapa konflik berdarah negara ‘menelurkan’ pelbagai siri pindaan dalam Perlembagaan Malaysia.
Terima kasih SPM, saudara Hanipa Maidin, dan lain-lain mentor yang hadir kerana mencerahkan minda saya yang selama ini bermusuh dengan kejahilan dalam dunia legislatif dan perjuangan Islam "dalam kerangka" perlembagaan.
2. Memahami doktrin pengasingan kuasa antara ‘presidential democracy’ dan ‘westminster democracy’ yang diamalkan di Malaysia, kelebihan dan kekurangan yang wujud sepanjang sejarah dan tragedi hitam kehakiman di Malaysia.
Apa yang paling menarik saya perolehi dari Ust Nizam adalah analogi ‘menggelikan hati’ beliau membezakan kelebihan pemerintah (3 Perdana Menteri pertama Malaysia) berlatarbelakangkan lulusan undang-undang dengan PM ke 4 yang berkelulusan "doktor gigi".
Dari situ, beliau menjawap persoalan tersirat saya ajukan sebelum itu iaitu apakah ‘style of thinking’ mahasiswa undang-undang andaikata jalur pemikiran mereka mahu dimanfaatkan dalam gerakan Islam secara idealistik dan mengesankan.
Dalam SPM akan datang bertemakan “Sistem Politik Malaysia”, saya telah ditaklifkan untuk membentangkan mengenai Sistem Sosio-Politik di Turki dan perbandingannya dengan Malaysia. Sungguh ‘menakutkan’ buku yang dicadangkan saya merujuknya, namun apa yang pasti, sindrom ‘Turkimania’ telah melanda minda saya.
Maka saya menyahut seruan itu dengan keghairahan mahu menggeledah lebih mendalam mengenai Turki serta faktor-faktor penting memungkinkan 'aura' AKP seakan mengembalikan 'aura' Al-Fateh pada 1453 di sana, dan hasrat saya untuk mentahkik sejauhmana persepsi yang saya sebelum ini bahawa Turki merupakan sebuah negara yang "genius" rakyatnya.
"Saat kekalahan itu bermula bila kamu berasa lemah dalam perjuangan dan saat kemenangan itu bermula bila kamu melawan rasa lemah itu.” (As-Marhum Syed Qutb)
Pada pandangan peribadi saya, ada beberapa pandangan ‘hikmah’ dari keputusan kemenangan BN melalui Isa Samad di Bagan Pinang (BP) :
1. PAS memilih keputusan untuk masuk bertanding melawan Isa Samad, walaupun sememangnya PAS sudah pasti telah meramalkan kekalahan mereka di sana, bagaikan mahu merampas Permatang Pauh dari DSAI.
Memilih untuk masuk berbanding kalah sebelum bertempur (boikot) adalah satu pengajaran yang sangat berguna pada gerakan mahasiswa Islam di kampus yang masih teragak-agak untuk memasuki pilihanraya kampus kononnya musuh terlalu kuat dominasi dan pengaruhnya.
Sampai bila alasan seperti itu wajar dikokokkan ketika pengalaman berpilihanraya dan pengalaman “mencipta kekalahan” atau “sengaja mahu belajar dari kekalahan” adalah suatu mutiara pengalaman yang sangat berharga pada sesebuah gerakan yang mahu mula meletakkan pencaknya dalam pentas politik. Permulaan adalah fasa yang paling sukar dan permulaan adalah sebahagian dari kesempurnaan menurut pepatah klasik Rom.
PAS memerlukan skrip Uhud atau Hunain di Bagan Pinang untuk menseimbangkan skrip Badar mahupun Ahzab yang telah dirasai sepanjang rekod menang 7-0 pilihanraya kecil (4-0 di tangan PAS) di Semenanjung selepas PRU baru-baru ini.
Dokumen "post mortem" PAS wajar ditambah dan dipelbagaikan lagi kerana inilah pedoman terpenting mendepani PRU 13 nanti.
Analisis Anthony Loke Siew Fook, Ketua Dapsy bahawa PAS "hilang fokus" dalam PRK BP boleh diterima dengan positif sebagai khazanah berharga PAS. Katanya : "PRK Permatang Pauh jelas menyaksikan bagaimana Anwar Ibrahim dikembalikan ke Parlimen, PRK Penanti sebagai pemilihan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, PRK Bukit Selambau pula menjanjikan calon PKR-PR sebagai EXCO Kerajaan Kedah, dan PRK Bukit Gantang bertemakan krisis negeri Perak...PR tidak cukup sekadar mengkritik betapa buruknya BN, tetapi perlu menceritakan apa yang baik pada PR, untuk PRU ke-13."
Mujurlah YB Salahudin Ayub mencetuskan gagasan jiwa besar iaitu gelombang ketiga rakyat - selepas gelombang kedua (himpunan membantah ISA) dan pertama (himpunan mengertak SPR melalui Bersih - melalui eksperimen di Bagan Pinang dengan harapan akan dipugar gelombang itu bermula di situ.
Kekalahan di semua peti undi adalah satu 'catalyst' berharga untuk PAS mara ke hadapan memikirkan upayanya politik dan dakwahnya memenangi hati non-Muslim. Kenyataan terbaru Presiden PAS dan polemik sekitar mengenai sayap non-Muslim dalam PAS adalah juga 'hadiah' dari 'penangan' BP.
Apatah lagi menyaksikan ucapan jiwa besar "4 perubahan budaya kerja menuju kerajaan menanti" Presiden PAS TGAH baru-baru ini di Terengganu (related link : Harakah).
Hasrat Zaid Ibrahim bercuti - jika benar laporan ini - untuk mendaftarkan PR sebagai satu gabungan parti politik yang rasmi adalah 'respon strategik' kepada kekalahan PAS di BP. Mungkin idea ini akan terus berkubur tanpa 'penangan' dari BP.
2. Sudah pasti bukan sekadar asas syara’ dan prinsip perjuangan muwajahah silimiyyah PAS yang menjustifikasikannya memasuki PRK BP, bahkan asas strategik juga sudah pasti wujud. Tahniah pasukan strategist YB Salahudin Ayub dan Dr. Dzulkifli Ahmad kerana “gelombang ketiga” (strategi membina mind-set rakyat di peringkat nasional) telah berjaya merebak ke seluruh Malaysia walaupun ia seperti di “Taif” kan di Bagan Pinang.
Mencipta gelombang ketiga sememangnya tidak releven secara jangka pendeknya di BP, tetapi ia adalah satu senjata jangka panjang yang boleh mematikan Umno-BN dalam PRU 13 khususnya selepas signal ‘reformasi’ dan ‘rakyat’ yang diresolusikan AGM mereka di PWTC baru-baru ini.
Tanpa jiwa besar mencetuskan gelombang ketiga, PR mungkin berada dalam situasi berbahaya menjelang pembubaran DUN Perak (sekadar ramalan saya mengenai konspirasi BN selepas kejayaan di BP) mahupun PRU 13, khususnya selepas PM Najib membuat ucapan dasar jiwa besar dengan sepatahpun tidak menyerang pembangkang dan individu bahkan hanya menumpu kepada misi perubahan perlembagaan dan dalaman Umno-BN. (related link : MSO)
3. Kemenangan calon ‘rasuah’ Umno di BP juga penting untuk mematikan mood perubahan dalam BN. Selama ini sejak kekalahan 7-0 dalam PRK dan PRU, suara reformasi kian bergema dengan lantang dalam Umno-BN. Namun dengan BP dan kemenangan "perasuah", ia boleh mematikan usaha reformasi itu dalam Umno-BN. Hasrat untuk menajiskan rasuah mungkin tidak lagi kedengaran.
"Kini Najib terperangkap dengan kelemahan kepimpinannya sendiri. Umno terlepas peluang di Bagan Pinang untuk memerdekakan ahli, pengundi dan rakyat. Beliau gagal menampilkan orang muda, profesional dan mungkin juga bersih untuk proses penambahbaikan atau 'reengineering' Umno. Umno mahu terus mencandukan rakyat dengan imbuhan, sogokan dan gula-gula yang mampu ditaja oleh seorang mantan MB yang mewah setelah 22 tahun 'mengemudi' negeri terbanyak itu.
Umno tidak bersedia bermain di pentas 'Politik Baru' politik berteraskan pengundi yang dibekalkan maklumat, lantas keberanian memilih sesiapa pun yang mereka tanggap mewakili cita-rasa dan harapan mereka." - Dr. Dzulkifli Ahmad
Jarang kedengaran pimpinan PAS bersuara secara taktikal perang dalam sesuatu pertempuran pilihanraya kecil khususnya ketika menyinggung keadaan 'padang yang tidak sama rata', khususnya dalam isu undi pos yang sekian lama bergema penentangan ke atas kaedah ini. Kebiasaan yang didengari hanyalah suara protes, boikot dan kenyataan-kenyataan bernada penentangan agresif. Kali ini YB Salahudin Ayub, jeneral perang PAS di PRK Bagan Pinang melakukannya sebaliknya.
Semalam (6 Oktober), beliau membuat kenyataan bukan sekadar bernada "mempertikai" dalam isu pewujudan undi pos dan pengurangan jumlah hari pengundian (defensif), tetapi turut menyerlahkan taktik 'ofensif' dan strategis PAS pada kali. Beliau menyatakan PAS mempunyai "KAEDAH PENYELESAIAN" (suatu istilah yang sudah pasti sangat digeruni Umno-BN) bagi mengelakkan manipulasi berlaku dalam proses pengundian pos.
PAS katanya mempunyai "SISTEM" yang boleh memantau pengundian pos yang mungkin boleh membenarkan pengundian berlaku berulang kali. Ini adalah bagi memastikan kertas undi tersebut diberikan kepada bukan pemiliknya yakni bukan pengundi yang sebenar.
Bagaikan mengimbau sejarah pimpinan-pimpinan agung Islam terdahulu seperti Salahuddin Al-Ayubi, Nuruddin Zinki, Alps Arslan, Muhammad al-Fateh yang tidak pernah kenal erti putus asa kepada keampuhan strategi dan taktik licik musuh.
Muhammad al-Fateh adalah sebaik-baik contoh figura yang sentiasa tidak statik dan stereotaip taktik perang beliau. 53 hari proses pengepungan di Konstantinople adalah hakikatnya sarat dengan pertukaran taktik peperangan Usmaniah berdepan dengan counter-attack Byzantium.
"Tekanan dan kegagalan pengepungan oleh baginda hanya menyebabkan baginda sentiasa berjaya memperolehi idea-idea baru, taktik-taktik licik baru, dari detik ke detik untuk mengatasi lawannya" (kitab Zayyad Abu Ghanimah)
"Byzantium membina menara bergerak tersebut dalam masa sebulan, tetapi tentera Usmaniah mampu membinanya dalam masa satu malam, bahkan kurang dari 4 jam." (Sejarawan Byzantium)
Serangan "bergambar" adalah taktik perang paling berbahaya dan ampuh
Calon dan jentera PAS di Bagan Pinang sememangnya sudah mengatasi Umno dari sudut SQ (doa dan munajat) dan EQ (integriti). Namun untuk menumbangkan calon 'gergasi' mereka di Bagan Pinang tersebut dengan dua faktor tersebut, belum tentu menatijahkan kemenangan di pentas peperangan bernama demokrasi pilihanraya kecil yang sarat dengan tipudaya. IQ dan pengetahuan jentera PAS tentang taktik pergerakan musuh akan memberi kelebihan kepada PAS insya-Allah, di samping keberkatan (SQ dan EQ) kemenangan tersebut.
Syabas Naib Presiden PAS dan seluruh jentera strategis PAS. Pemikiran 'muda' anda makin terserlah.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz menarik semula kenyataan beliau terhadap Ustaz Nasharudin Mat Isa. Tuan Guru Abdul Hadi juga pernah menarik semula kenyataan beliau mengenai idea Kerajaan Perpaduan. Jika demikianlah sikap tawadhu' 2 ulama besar PAS yang kini menggegarkan Malaysia, kita bagaimana ?
“Blind spot is the area that cannot be seen while looking forward or through either the rear-view or side-mirror when one is in automobile. On the plain of thought though, it pertains to a subject matter about which one is ignorant of or more often prejudiced about, hence being ‘eclipsed’ from truly appreciating other perspectives.” – Dr Dzulkifli Ahmad, Fomer Director of PAS Research Centre
Ketika saya menulis posting ini, idea kerajaan perpaduan telah selamat “dikuburkan” oleh PR demi kepentingan "perpaduan" PAS terlebih dahulu sebelum perpaduan semua parti dalam UG menongkah langkah seterusnya.
Namun, tidak mustahil apa yang diimpikan oleh sahabat saya Mior Isfandy dalam surat terbukanya kepada Presiden PAS akan berlaku.
"Mungkin Tuan Guru akan meninggalkan idea ini dalam legasi politik PAS dan Malaysia. Tidak mustahil ia akan diungkap kembali daripada generasi kepimpinan PAS yang lain dan pada waktu itulah gagasan politik ini akan menjadi satu realiti yang sangat mahal harganya. Inilah hikmatullah yang mulia. Hanya optimis dan positif melatari perjuangan Islam ini."
Andaikata idea ini berulang kembali suatu ketika nanti di masa hadapan, sekurang-kurangnya saya telah mengarkib dan menostalgiakan beberapa pandangan bernas kedua-dua mazhab pemikiran yang saya temui di media dan alam maya dialbumkan dalam blog saya ini, memudahkan rujukan saya di kemudian hari. Malangnya, saya ketandusan sumber bagi pihak yang berpandangan kontra kepada UG ini. Justeru, rakan-rakan yang mempunyai sumber boleh nyatakan kepada saya. Saya tidak bias kepada mana-mana pandangan, bahkan saya gembira dengan kedua-dua pandangan pada asalnya. Cumanya saya ada rumusan saya sendiri di hujung posting ini.
Arkib Pandangan Bernas Pro UG
Pandangan Pertama : Prof Wan Abdul Rahman Wan Ab Latif, Pengarah Pusat Penyelidikan PAS
"Kedua-dua Tok Guru yang warak dan begitu hampir dengan Allah senantiasa memanjangkan tangan persahabatan kepada Umno atas nama perpaduan ummah. Mereka berdua peka terhadap seruan Allah untuk ummat Islam senantiasa berpegang kepada tali Allah (iaitu Agama Islam) dan jangan berpecah-belah.
Tangan persahabatan dihulur dengan satu syarat yang amat penting iaitu perbincangan mengenai penyatuan ummah Melayu mesti menjadikan al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan terpenting. Keenggangan Umno untuk menjadikan al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan asas dalam perbincangan mengenai perpaduan ummah yang menyebabkan persoalan berkaitan dengan perpaduan ummah adalah persoalan yang tiada penghujungnya.
Apabila Tuan Guru Presiden melontarkan idea kerajaan perpaduan, ia menunjukkan betapa besarnya jiwa Tuan Guru Presiden yang seolah-olah bersedia untuk memaafkan Umno di atas segala kejahatan yang dilakukan ke atas beliau.
Lontaran idea ini bukan sahaja kepada Umno tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia atas keyakinan beliau bahawa sudah tiba masanya untuk Islam (melalui PAS) memimpin perubahan dan salah satu perubahan yang dimaksudkan ialah kerajaan perpaduan. Hujah ini adalah selari dengan hujah Tuan Guru Mursyidul Am."
Pandangan Kedua : Prof Abu Hassan (Pengasas Zentrum Future Studies, Jabatan Pengajian Media UM)
"Idea ini sangat tepat pada masanya kerana abad kini adalah abad pluralisme dalam ecopocial (economy-politic-social), manakala abad singular atau pendekatan primitif "memerintah dengan kelebihan undi walaupun 1 undi" akan gagal.
Idea kerajaan perpaduan (tanpa pembangkang) adalah satu idea permulaan ke arah proses pemerintahan kenegaraan secara lebih liberalitatif dan demokratif. Ini adalah pandangan bijaksana, budiman, penuh hikmah dan wisdom ke arah melahirkan semula suasana politik madani (bertamadun dan beradab) yang mementingkan masyarakat dan rakyat, bukan ahli politik. Kerajaan perpaduan akan membentuk suatu politik baru Malaysia iaitu politik berasaskan kebersamaan, kesaksamaan dan kejernihan.
Pentabdiran negara bukan lagi bersifat individual dan ketaksuban parti atau kepentingan satu pihak tetapi menyeluruh. Idea ini sangat tepat pada masanya, bukan satu ilusi dan mitos bahkan satu keperluan masa depan.
Kita tidak mahu menjadi seperti Indonesia dan Eropah yang "terlambat" membentuk kerajaan perpaduan apabila catastrophy (kepunahan dahsyat dan kronik) telah melanda ekonomi dan sosial masyarakat. Para pengkaji global meramalkan menjelang 2012 akan berlaku kepunahan dahsyat pada sosial, tenaga, dan ini bukan urusan satu pihak sahaja. Di beberapa buah negara maju seperti Australia, Belanda, UK, dan lain-lain, beberapa kekosongan jawatan penting dalam kabinet kerajaan diisi oleh para profesor yang ajaib pemikirannya, tokoh-tokoh NGO dan aktivis masyarakat, termasuk juga ahli politik oposisi, tidak semestinya diisi oleh ahli politik proposisi (parti pemerintah). "Mereka telah lama merobohkan tembok Berlin!
Demikian juga musuh ketat umat Islam, Israel. Israel merupakan negara moden yang paling banyak menggunakan pendekatan "kerajaan perpaduan" sebagai kaedah menyelesaikan masalah dalaman mereka. Secara lebih spesifik, menyelesaikan pertembungan antara Parti Buruh dengan Parti Likud. Kerajaan perpaduan yang dibentuk ialah kerajaan campuran antara dua parti yang dominan ini. Terkini usaha-usaha sedang dijalankan bagi menyatukan Parti Likud dengan parti Kadima."
Pandangan Ketiga (Usernama :Pembela, Sumber : Detikdaily)
"Sesungguhnya para pemimpin dan ahli PAS dan juga parti politik lain seharusnya melihat bahawa idea UG oleh Presiden PAS ini adalah lahir dari seorang kepimpinan yang berjiwa besar dan berfikiran negarawan. Ia perlu dilihat dalam kerangka yang lebih luas, matang dan merentasi kepentingan puak kepartian semata-mata.
Cetusan idea ini bukan kerana ‘gilakan kuasa’ ataupun Presiden PAS mahu mengadai prinsip perjuangan. Sebaliknya ia adalah untuk memberi keutamaan menyelesaikan masalah rakyat ekoran dari kegawatan ekonomi yang melanda negara, di samping isu-isu lain termasuk politik, pendidikan dan sosiol dan sebagainya yang melibatkan rakyat.
UG juga adalah suatu usaha (jika berjaya) untuk semua pemimpin dan parti politik memberi focus kepada membangunan rakyat dan Negara. Walaupun ada setengah pihak berpendapat ia adalah terlalu ‘ideal’ untuk dilaksanakan.
Dapat dikesan bahawa tujuan ‘penyalahertian’ definasi tentang idea dan konsep tersebut oleh pihak-pihak yang berkenaan ialah untuk menyakinkan ahli-ahli PAS supaya idea TGHH yang dipopularkan oleh Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa adalah suatu usaha secara senyap dan sistematik untuk mengUMNOkan PAS seperti yang berlaku di zaman lampau di bawah kerajaan Perikatan. Natijahnya, Ustaz Nasharuddin menjadi sasaran dan dikambinghitamkan oleh tangan-tangan gelap bertujuan untuk politik jangka pendek dan jangka panjang mereka. Maka berbondong-bondonglah ahli-ahli PAS yang terlalu sentimental dengan pemimpin PAS tertentu menghayunkan ‘penumbuk’ politik seperti mana yang sama-sama kita ketahui pada hari ini.
Lebih malang lagi seolah-olah pihak-pihak yang menentang idea kerajaan perpaduan ini tidak menerima langsung pengakuan demi pengakuan oleh pemimpin terintinggi PAS tentang ketidaksudian PAS bergabung dengan Umno kecuali melibatkan seluruh parti utama dalam Negara.
Sesungguhnya mainan definasi yang mengeliru inilah yang menjadi peluru ganas beberapa pemimpin PAS ‘tenggelam punca’ bertindak separuh rasional dan kurang matang samada melalui kenyataan akhbar maupun politik. Bahang penentangan kepada Timbalan Presiden PAS sampai ke kemuncak yang tidak pernah terfikir berlaku dalam PAS sejak ia ditubuhkan oleh Ulamak pada tahun 1951 lalu."
"Apa yang saya faham adalah Kerajaan Perpaduan bukan tahalluf siyasi antara PAS dan Umno. Tetapi, PAS membuka pintu rundingan dengan sesiapa sahaja untuk memulihkan krisis politik, ekonomi dan kebejatan rakyat yang melanda negara.
PAS mahu mengajak Umno, KeADILan, DAP, MCA, MIC, Gerakan, PPP dan parti-parti di Sabah dan Sarawak untuk membentuk sebuah kerajaan asalkan meletakkan al-Quran dan As-Sunnah sebagai tunjang. Mesti Islam sebagai asas pembentukan."
Pandangan Kelima : MSO
"Sebagai Presiden, Abdul Hadi tidak perlu tunduk kepada sesiapa. Itu adalah bidang kuasanya yang mutlak. Kalau Anwar Ibahim boleh membawa idea 16 September sebelum ini kenapa tidak dengan beliau mengemukakan apa-apa gagasan alternatif dari umbi pemikirannya? Apakah standard Abdul Hadi dengan Anwar sebagai Penasihat PKR berbeza?
Pemain politik baru kena baca sejarah dan ingat DAP juga pernah membuat tindakan politik meninggalkan Pas pada satu masa dulu apabila parti itu menghitung Pas tidak memberi kebaikan kepadanya. Tindakan itu tidak berdosa kerana dalam mencari kemenangan politik, bukan kemenangan mencapai keredhaan Alllah parti politik boleh lakukan apa saja menuruti lunas-lunas demokrasi sekular."
"Ada baiknya isu Kerajaan Perpaduan ini ditukar kepada istilah Politik Damai. Ia itu bentuk Politik Damai yang boleh berbeza pandangan tetapi tidak keterlaluan ketegangan sehingga apa sahaja yang dilakukan oleh pihak yang bertentangan dianggap semuanya salah.
Politik Damai yang lebih terbuka untuk perbincangan. Politik Damai ini harus dilakukan dalam bentuk lunas-lunas keadilan sejagat termasuk melihat apakah definisi Islam terkait soal Keadilan.
Parti-parti tidak menumpukan proses ke arah pembinaan karektor pemimpin muda negarawan. Masing-masing ditebalkan dengan semangat parti itulah yang benar dan betul. Apakah tidak mungkin dengan politik damai dan pembinaan kepimpinan muda negarawan, maka terlahirlah jiwa-jiwa ahli dan rakyat yang statemanship yang masing-masing boleh berfungsi secara membina dalam parti dan platform masing-masing. Maka pada ketika itu barulah persoalan Kerajaan Perpaduan ini akan lebih rasional untuk diterjemahkan. Namun hari ini ada hikmah juga isu ini dibangkitkan.
Politik Damai ini juga harus dibincangkan dengan konsep kolektif support. Sokongan kolektif wajar untuk perkara yang sah sebagai kebaikan, tetapi dalam soal pertikaian kemungkaran, sokongan kolektif ini boleh membawa kepada kerosakan seumpama ahli MP Kerajaan tidak boleh berbeza pandangan dengan Menteri daripada Parti yang sama terutama berkaitan dasar kementerian walaupun kadang kala ianya salah.
Ini bentuk-bentuk transformasi politik yang mahu dibuat. PAS sudah mulakan perkara ini. Kenyataan Presiden yang difikirkan ada kekurangan disanggah oleh pimpinan yang lain. Apakah ini bukti PAS mendahului dalam pemecahan konsep sokongan kolektif. PKR juga tidak seberani ini dalam mana-mana pemimpin menyanggah Anwar. UMNO juga begitu terhadap Najib walaupun dahulu menolak Pak Lah."
"Saya masih merasai gegaran 16 September tahun lepas. Sepertimana Unity Government, 16 September juga berkongsi matlamat serupa; membetul dan memandu negara ke arah yang sempurna.
Saat itu pernahkah kita didedahkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan strategi pembentukannya, syarat-syarat (tawaran) kemasukan ahli lompatnya, kedudukan ahli lompat dalam kabinetnya hatta siapakah Timbalannya?!. Tidak ada.
Kenapa?
Kerana politik adalah seni serba mungkin. Politik adalah seni menggoda. Politik juga adalah seni perang. Tidak ada jeneral yang memberitahu strateginya kepada para tentera tatkala telinga musuh tertadah di sebelah. Itu jeneral tak mumayyiz namanya.
Apabila DSAI mengumumkan 16 September, tidak ada seorang pun antara kita yang menganggap itu cubaannya yang mahukan kuasa walaupun umum tahu dia akan jadi PM jika PR memerintah. Tetapi apabila Tuan Guru Presiden menggagaskan 'Unity Government' kita anggap dia nyanyuk dan gila kuasa padahal kita tak tahupun kalau jadi pelan itu Tuan Guru akan jadi siapa.
Apabila DSAI berahsia tentang strategi 16 Septembernya, kita anggap itu taktik dan tindakan politik matang. Apabila Tuan Guru berahsia tentang strateginya, kita anggap dia pembohong, lembap dan patut diludah mukanya.
"Pakatan Rakyat dalam keadaan sekarang, bagaikan tentera Saidina Ali yang sedang mengasak kedudukan tentera Muawiyyah iaitu UMNO/BN. Kita maju selangkah demi selangkah dan jelas dalam BN ketakutan. Tiba-tiba ada yang mencadangkan perpaduan, perdamaian! Pakatan Rakyat, seperti tentera Saidina Ali, mula berbalah sesama kita. PKR dan DAP terpingnga-pingnga dengan sebutan-sebutan ‘perpaduan’. Malah PAS sendiri pun terbahagi dua dalam menghadapi persoalan ini. Kesatuan yang terbentuk selama ini seolah tergugat dan UMNO/BN dengan segeranya menyatakan persetujuan mereka terhadap perdamaian dan persatuan yang dicadang-cadangkan.
Namun, yang lebih penting untuk kita fikirkan adalah implikasi kepada masa depan PAS itu sendiri. Kita akan kehilangan sokongan masyarakat Cina dan India yang melihat tindakan kita sebagai khianat dan perjuangan Islam akan dilihat sebagai satu perjuangan opportunis yang tidak mempunyai prinsip dan asas yang kukuh. Usaha selama berpuluh tahun akan musnah begitu sahaja dengan sekelip mata.
Maka kita akan dapati diri kita tertipu seperti mana tertipunya Abu Musa As-Syaari oleh Amr Al-As dalam peristiwa tahkim yang berlangsung selepas gencatan senjata di Siffin. Peristiwa tersebut membuktikan keikhlasan sahaja tidak mencukupi. Waraq sahaja tidak mencukupi. Ilmu hukum hakam agama sahaja pun tidak mencukupi. Cerdik politik dan kenal lawan juga amat diperlukan dan saya secara peribadi dengan melihat secara jauh, sudah mula tertanya samada inikah kekurangannya di kalangan pimpinan tertinggi PAS selama ini. Kecuali Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang pendirian dan sikapnya jelas menunjukkan mengapa PAS boleh bertahan di Kelantan berpuluh tahun tetapi tidak di negeri lain.
Rumusan Saya
Politik itu seni mencipta gimik untuk mengalih perhatian dan menimbulkan persepsi. Gimik “kerajaan perpaduan” TGAH (mungkin juga bukan gimik, namun sebuah idea yang jujur dari sanubari TGAH) berjaya membenam gimik 16 September DSAI ketika dahulu orang-orang PAS lebih gemar menyalahkan DSAI atas gelombang ciptaannya untuk merampas kuasa BN tanpa sedar diri untuk mewujudkan gelombang sendiri.
Bahkan impaknya nampak lebih dahsyat bukan sekadar kepada dalaman PAS, tetapi juga kepada PM Najib Razak dan Umno-BN. Lihat sahaja kenyataan Pak Lah yang mahu turut serta perbincangan UG, kenyataan tentangan keras dari MCA dan Karpal Singh, kenyataan Tun Mahathir, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal, Datuk Mukhriz sehingga berakhir dengan kenyataan positif Najib (baca : perangkap intelegen Najib) dan Muhyidin. Rasanya, belum pernah dalam sejarah politik PAS suatu idea itu mendapat feedback hampir semua kepimpinan utama Umno-BN. (baca juga tulisan Azlan Zainal mengenai feedback ini)
Walaupun idea itu kini dikuburkan, saya berpandangan TGAH PAS berjaya membuktikan:
1. Posisi strategik PAS sebagai "the real kingmaker" (sebagaimana diramalkan Fui K. Soong, CEO INSAP think tank MCA dalam the STAR sebelum ini) di persada politik tanah air masa kini.
DAP-PKR akan lebih berhati-hati dengan amaran dan luahan akar umbi PAS selepas ini. Mungkin impak amaran Muktamar PAS tahun lepas belum memadai bagi memberikan inzar pada kaki lompat khususnya dalam PKR, namun UG adalah signal jelas kepada rakan-rakan PKR supaya bersiap sedia dengan segala kemungkinan dalam politik PAS sekiranya rakan-rakan PR melupakan aspek integriti.
Lebih dari itu, PAS kini mempelopori idea kerajaan perpaduan. Berdasarkan kepada pengalaman negara-negara yang pernah bereksperimen dengan 'kerajaan perpaduan' memperlihatkan kepada kita bahawa kerajaan ini bersifat jangka pendek dan hanya bertahan semasa negara sedang mengalami suasana yang mencabar. Selepas keadaan kembali normal, ia tidak lagi relevan.
Justeru, selepas ini, sebut sahaja kerajaan perpaduan, rakyat dan politikus pasti akan mengenang peranan PAS dan TGAH dalam merintis hal ini. Inilah legasi terbesar TGAH yang belum sedia disambut semua pihak selepas Ustaz Fadzil Nor dengan gagasan GERAK.
2. Jika Umno-BN boleh ditumbangkan di luar pentas PRU sebagaimana projek 16 September untuk memecahkan doktrin hanya BN sahaja boleh berkuasa (baca : Hikmah 16 September oleh Zainulfaqar), maka projek UG pula menunjukkan ada juga cara lain untuk ‘melumpuhkan dominasi’ BN secara tersirat juga melalui luar lingkaran PRU. Sekurang-kurangnya, rakyat dididik (atau mungkin juga rakyat bosan) untuk melihat bahawa ada pelbagai cara dan "jalan pintas" untuk menumbangkan Umno-BN jika mereka gagal memaknakan mandat rakyat. Eksperiman politik ini sangat mahal !
3. Wibawa dua orang ulama dan Tuan Guru dalam PAS.
Sehingga ke hari ini kedengaran segenap peringkat kepimpinan PAS membimbangi siapa mampu menggantikan mereka. Inilah krisis besar PR dan PAS khususnya yang lebih suka bersandarkan kepada penonjolan figura-figura tertentu dan tidak nampak kepasukanan sebuah kepimpinan seperti ungkapan Prof Abu Hassan.
Rumusan Prof Wan Abdul Rahman sangat bernas melihat kedua-dua kekuatan dan titik persamaan kedua-dua TG ini
"Walhal, secara realitinya perbezaan pemikiran dan sikap dua orang Tok Guru ini adalah mainan media milik Umno/BN. Kedua-dua Tok Guru sedar akan sepak terajang politik bikinan Umno/BN kerana kedua-duanya pernah mentadbir negeri. Kedua-dua Tuan Guru sedar bagaimana Umno/BN telah menganaktirikan Kerajaan Kelantan dan Terengganu.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz sedar (di awal pemerintahannya) betapa peritnya apabila Umno menghentikan bantuan subsidi input pertanian (baja) kepada para penanam padi yang menyebabkan Kerajaan Kelantan terpaksa mengeluarkan baja sendiri yang melibatkan kos jutaan ringgit.
Tuan Guru Abdul Hadi juga merasakan keperitan apabila wang royalti petroleum ditarik balik oleh Umno dan digantikan dengan wang ehsan.
Tidak mungkin kedua-dua Tok Guru lupa akan pengalaman-pengalaman pahit ini. Ini sekadar satu contoh. Banyak lagi diskriminasi yang terpaksa dilalui oleh kedua-dua Tok Guru semasa memegang jawatan Menteri Besar."
4. Mentaliti pimpinan PAS segenap peringkat akhirnya dibawa kepada persiapan melihat persiapan PAS sebagai kerajaan (sama ada bersama PR atau perpaduan), bukan lagi pembangkang.
Jika 16 September mereka meragui DSAI dan menjustfikasikannya dirinya masih ada bekas Umno-BN untuk tidak membahaskan persiapan PAS-PR menjadi kerajaan, kini apabila satu lagi idea memposisikan PAS dalam struktur kerajaan Persekutuan, datang sendiri dari Presiden mereka, tiada alasan lagi akar umbi Pas tidak boleh membahaskannya.
Walaupun Abdul Shukur Harun menyifatkan Muktamar PAS Pusat baru-baru ini menyebut hanya 20 % perbahasan Muktamar menjurus kepada persoalan kehadiran PAS dalam PR, bukan PAS berdiri sendiri. (lihat "Kecelaruan Muktamar Boleh Dibaiki", Harakah 15 - 18 Jun 2009)
5. Sekurang-kurangnya rakyat, pimpinan dan aktivis PAS mula tahu untuk mendefinisi AWLAWIYYAT AGENDA perjuangan bersama PR yang bukan sekadar berpolitik semata-mata.
Terlalu banyak isu-isu lebih besar membabitkan ekonomi, sosial, keselamatan dan institusi pendidikan negara serta persoalan nasib Ummah di sekitar Asia dan dunia perlu disinggung secara bersama antara semua pihak bernama "ahli politik" samaada BN atau PR.
" Isu politik telah mendominasi pemikiran rakyat kita 300%. Ini harus dihentikan".
Keghairahan PRK mestilah diseimbangkan dengan kecaknaan isu kegawatan ekonomi dan 3 catastrophy yang disebut Prof Abu Hassan sebelum ini . Kecaknaan tidak boleh hanya memadai dengan kenyataan akhbar pimpinan sahaja.
UG adalah percubaan TGAH untuk mendedahkan permasalahan lebih besar negara. Masalah negara adalah ghoyah, UG hanyalah taktik.
6. Muhabasah kepada PAS supaya setiap cadangan mesti ada intipati yang konkrit, ada hujung dan ada pangkalnya, blue print yang jelas.
Pendek kata jangan hanya ada bingkai, gambarnya belum ada. TGAH telah mengeluarkan semua pimpinan dari mentaliti kepembangkangan kepada kekerajaanan. Namun sekadar mencadang belum memadai untuk meraih mawqif jamaie (kepercayaan majoriti) tanpa kejelasan idea yang difahami oleh akar umbi. Presiden PAS telah memulakan langkah pertamanya dengan sebuah idea, soalnya sejauhmana Pemuda dan mahasiswa meneruskan pencak seterusnya membantu menjelaskan idea Presiden dalam perbahasan ilmiah. Kaget juga saya UG hampir-hampir memanggil Muktamar Khas, kenapa Muktamar PAS Pusat tidak membahaskannya sahaja..
Ujian Pertama : "Trojan Horse" Najib masuk dalam PR Perak
Ujian Kedua : Jatuhnya Kerajaan PR Perak Dengan Justifikasi 16 September
Ujian Ketiga : Tersingkirnya IR Nizar dengan jerkah tengkingan SUK dan Sivakumar dengan cara paling tidak bertamadun
Ujian Keempat : Tegar prinsip 16 /6 Perlembagaan Perak menatijahkan sebuah kemenangan
Saya tidak ingat secara spesifik kes "sembah derhaka" Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada Sultan Kelantan dalam suatu isu membabitkan juga pembubaran DUN atau desakan perletakan jawatan beliau sebagai MB Kelantan. Rasanya ketika politik Kelantan dilanda krisis "lompat" Semangat 46 masuk ke BN pada sekitar 1996.
Namun itulah keberanian ajaib berulang pada IR Nizar, seorang anak muda acuan tarbiyah Parti Islam Se-Malaysia yang tegar prinsip perjuangannya untuk melawan walaupun terpaksa menempah mahar yang mahal iaitu "sembah derhaka" Sultan Perak.
Bagi saya yang banyak mengkaji kekuatan Nizar selaku anak muda emas PAS, Nizar kini bukan lagi icon tahalluf siyasi PAS atau icon model sikap sebuah gerakan Islam yang terbuka kepada mana-mana pihak yang bersedia berkongsi common ground perjuangan dan realistik dengan suasan majmuk di Perak dan Malaysia sekaligus, tetapi juga icon baru seorang politician demokrat Islam yang sangat tegar prinsipnya perjuangannya, berpencak di pentas demokrasi berbanding "katak lompat" dan "katak letak jawatan" yang ada pada segelintir politician PKR. Justeru, Nizar menghimpunkan sikap "terbuka" dan "tertutup"nya tepat pada masanya, model terbaik PAS yang tahu pada sudut mana mereka perlu "liberal" relatif dan pada sudut mana mereka perlu "fundamentalis" prinsip. Legasi Allahyarham Ustaz Fadzil seakan tampak wujud dalam ruh perjuangan dan pemikiran Nizar.
Doa saya buat IR Nizar, agar inilah tarbiyah "tu'til mulki man tasyaa'" (diberikan kerajaan) dan "tanzi'ul mulki man tasyaa" (dicabut kerajaan) sangat berharga Allah kepada beliau untuk persiapan beliau menjadi negawaran muda lebih besar pada masa akan datang. Beliau menjadi Menteri Besar Perak dalam keadaan yang sangat ajaib ketika PAS mempunyai jumlah DUN paling kerdil berbanding DAP dan PKR.
Beliau disingkirkan dari kerusi Menteri Besar di Istana Kinta dengan sangat ajaib, beliau dihantar Allah ke Parlimen Bukit Gantang juga dengan majoriti yang ajaib, dan kini beliau kembali menjadi Menteri Besar Perak yang sah dengan penghakiman yang juga ajaib. Keajaiban kuasa Tuhan hanya milik mereka yang sanggup berkata kebenaran walaupun pada raja yang zalim. Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah.
Siapa tahu mungkin ini calon Perdana Menteri Malaysia dari PAS paling berwibawa mentadbir Malaysia dan Putrajaya sedikit masa lagi ?
Apapun, ada tiga asas saya tidak begitu meraikan kegembiraan IR Nizar kembali sebagai MB ini melainkan seadanya.
Pertama, kenyataan Tuan Guru Nik Azizi sendiri - selepas Nizar disihytihar menang - supaya berhati-hati dan jangan keluarkan kenyataan melukakan hati musuh - yang saya lebih merasai waraknya analisis dan ramalan politik beliau di masa depan lebih berbisa dari penganalisa dan peramal politik di menara gading. The verdicts and victory is just the beginning.
Kedua, saya tetap cuba membaca apa strategi intelegen Najib yang membebaskan 13 tahanan ISA termasuk pimpinan Hindraf, kemudiannya mengeluarkan kenyataan BN sedia kerjasama dengan PR Perak beberapa jam sebelum keputusan mahkamah Tinggi menyebelahi Nizar.
Ketiga, kajian Prof Abu Hasan Hasbullah bahawa Pakatan Rakyat hanya bergantung kepada kekuatan pengaruh individu pimpinan, seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Allahyarham Ustaz Fadzil bagi PAS dan DSAI bagi PKR, bukannya sebuah pasukan kepimpinan yang kuat. Jika tumbang seorang, boleh jadi tumbanglah sebuah parti mahupun sebuah kerajaan. Apa yang perlu dilakukan kini adalah proses membina sebuah pasukan kepimpinan muda berkarisma tinggi pada hari ini, bukannya lagi jiwa kepengikutan dan kepengecutan khususnya dari kampus.
TUAN GURU MELEPASI UJIAN PERTAMA : A NEED OF AN "OUT OF THE BOX" IDEA
"Statesman thinks for the next generation". Bukan mudah menantikan sebuah gagasan idea luar kotak yang difikirkan telah tiba masanya seperti kata keramat Victor Hugo sang reformis Perancis. Saya telah mengupas mengenai pandangan ini dalam posting sebelum ini bertajuk "Idea Kerajaan Perpaduan Tuan Guru Abdul Hadi Sangat Ajaib" - Prof Abu Hassan Hasbullah
Namun itu telah dilakukan oleh seorang ulamak besar gerakan Islam merangkap Presiden Parti Islam. Mungkin idea itu satu lontaran shift-paradigm seorang Presiden Parti untuk dibahas dalam AGM PAS di segenap peringkat kawasan dan cawangan saat ini, atau dalam perkataan lain akan mampu memberikan gelombang pada semua ahli dan pimpinan Pas membuat "homework" lebih awal menjelang Muktamar Agung PAS mengenai agenda "kerajaan yang bagaimana" akan Pas lakukan jika memerintah. Beliau telah mengemukakan salah satu wajah dari banyak wajah yang boleh diperbahaskan. Mungkin Tuan Guru tidak mahu isu-isu picisan dan perkara remeh-temeh dibangkitkan dalam Muktamar, bahkan kesemua ahli dan pimpinan menghalakan pemikiran dan persiapan kepada agenda yang lebih besar iaitu PAS sebagai "waiting goverment", bukan lagi bermentaliti pembangkang sepanjang hayat.
Beliau telah melontarkan sebuah idea dengan harapan akan digarap dan dibahas dengan cemerlang oleh grassroots Pas di semua peringkat, khususnya dalam kegilaan politiking BN mahupun PR pada hari, terbaru penangan dari Penanti.
Namun apakan daya, "kesibukan" menjadi BARRIERS idea itu diperhalusi pro dan kontra secara objektif tanpa prejudis kepada "blok-blok" yang diwar-warkan wujud dalam Pas.
"Saya melihat masih ramai yang tidak faham tentang 'Unity Government' termasuk orang PAS sendiri dan di kalangan PIMPINAN pun ada yang masih belum faham lagi. Ini kerana, mungkin mereka SIBUK, tidak berpeluang membaca buku-buku politik dan tidak membaca istilah-istilah politik. " - Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Harakah (terbaru)
Memang benar, saya terasa kesibukan itu. Masakan tidak, saya telah mencadangkan kepada MT Gamis sendiri untuk mendiskusikan idea tersebut dan GAMIS menyatakan pendirian di akhirnya, namun cadangan tersebut tiada susulan pelaksanaan yang agresif, termasuk dari saya sendiri dengan menghormati awlawiyyat komitmen individu-individu dalam pimpinan GAMIS. Jika ini berlaku pada GAMIS, usah pelik keluhan Tuan Guru kepada situasi PAS itu diluahkan, walhal ia tidak menjadi penghalang kepada beliau sendiri yang pastinya manusia paling sibuk dalam PAS, bahkan seorang ulamak rakyat dan Ahli Parlimen Marang, namun laptop dan informasi maya sentiasa tidak lekang di hujung jarinya.
Baru saya terfikir, jika mahu menjadi politician, binalah persiapan sejak dari usia muda kemahasiswaan ini, khususnya pembacaan buku-buku pemikiran dan idea politik yang berat-berat supaya kelak amanah kesibukan bersama rakyat selaku Yang Berhormat bukan menjadi alasan kendurnya intelektual seorang ahli politik. Jika "Gua Hira" di PWTC sekarang ini tidak menjadi kunjungan wajib mahupun fatwa pimpinan kampus kepada ahli supaya pergi, maka saya yakin keluhan Tuan Guru akan terus berulang apabila "another brilliant idea" datang berbondong-bondong lagi selepas ini.
TUAN GURU MELEPASI UJIAN KEDUA : A NEED TO "RE-UNITE" THE GRASSROOTS
Dalam berbicara soal disiplin dan akhlak ahli gerakan Islam kepada ratusan generasi baru bakal aktivis gerakan mahasiswa Islam di UIAM 3 hari lepas, saya menyatakan luahan Syekh Mustapha Mahsyur yang puluhan tahun terjun dalam sepak terajang Ikhwanul Muslimin. Beliau meluahkan satu kalimah agungnya dalam Jalan Dakwah antara Pimpinan dan Ahli :
"Kamu bersatu demi satu pandangan (boleh dibaca : pandangan lama) yang kurang tepat (pada pandanganmu) adalah lebih awla dari kamu berpecah demi satu pandangan (baru) yang difikirkan paling tepat dan benar."
Tahniah Tuan Guru, di sinilah terserlahnya bukan lagi kehebatan minda siasah dan ketajaman bacaan politik Tuan Guru (the power of an idea), tetapi kehebatan sebuah karakter kepimpinan dan akhlak ahli politik Islam (the power of character). 2 elemen ini sukar wujud serentak pada pemerhati politik yang hanya tahu memberikan idea itu dan idea ini, tetapi belum tentu mampu menilai dan menarik semula idea itu apabila ada desakan yang rasional untuk melakukan sedemikian demi maslahat yang lebih besar.
Saya cukup yakin dalam minda Tuan Guru ketika menempuh ujian kedua ini bukan lagi buku-buku Sains Politik yang ada dalam pemikirannya, tetapi apa yang berlaku kepada ulama-ulamak Islam silam ketika berbeza pandangan, menjadi asas beliau membuat keputusan.
Mungkin inilah beza apabila ulamak menjadi ketua gerakan Islam, "beza" itulah keunikan berada dalam gerakan Islam berbanding gerakan, parti dan wadah lain.
Inilah kesan ahli akademik berbelas tahun terpilih menjadi YB. Tahniah ayahanda yang disayangi, Dr. Fadzli Hassan atas penganjuran Wacana Rukun Negara : Dicabar atau Didaulat di Kota Bharu. Alhamdulillah, saya dan isteri berkesempatan melihat sepenuhnya perjalanan hujah panelis iaitu YB Saifudin Nasution dan Prof Abu Hassan Hasbullah dengan moderator penarikbeca. Selepas menemukan Khairy dan Husam, episod projek mempertemukan dua sisi pandangan berbeza bagi menghidupkan dialog peradaban di negeri serambi Mekah ini mesti diteruskan.
Saya mengharapkan ayahanda teruskan projek-projek besar pencerahan minda rakyat Kelantan seperti ini walaupun pada awalnya nampak kekok penerimaannya oleh golongan berusia dan "senior" di Kelantan. Jangan putus asa dengan misi perubahan yang ayahanda bawa kerana ayahanda telah memulakannya dengan perlahan-perlahan ibarat “menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak bersepah” sebagaimana banyak berlaku dalam sejarah tragis segelintir reformis Islam.
Rakyat Kelantan mesti terus dididik bukan lagi bahawa hanya Pas yang betul, yang lain salah, tetapi mesti juga dididik untuk beriman bahawa Pas betul dan yang lain tak semestinya salah. Pas mesti berani berdialog dan bersemuka secara ilmiah dengan pihak lain, bukan berkonfrontasi meraih millegue politik semata-mata. Saya cukup terkesan apabila menyaksikan Khairy Jamaludin sebelum ini dan Prof Abu Hassan kali ini yang kekadang kedengaran jelas pihak yang menge"booo" beliau hanya kerana perbezaan pandangan dengan panel “kegemaran” mereka.
Saya rakyat Kelantan, saya sayangkan negeri ini, saya sayangkan rakyatnya. Saya juga mengimpikan Kelantan menjadi model kepada apa yang akan berlaku di Putrajaya, justeru kesemua itu mesti bermula dari pemikiran yang berilmu, terbuka dan objektif kepada kebenaran walau dari sesiapa sahaja. Bukankah itu juga tuntutan agama ? Terimalah seadanya nasihat dan teguran seorang ahli akademik apabila menyentuh soal kebersihan dan kesopanan rakyat Kelantan di jalan raya ketika mensyarahkan "Kesopanan dan Kesusilaan", kerana menasihat itulah fungsi golongan ahli akademik yang tidak memerlukan sokongan murahan dalam menempeli hujah mereka.
Saya juga cukup mengkagumi YB Saifudin Nasution, bukan calang-calang politikus yang mampu mendebatkan hujah akademik dan kritis Prof Abu Hassan. Saya mencadangkan buatkan debat siri kedua antara mereka lagi dalam isu-isu yang lebih besar, semoga ada penawar kepada konflik politik peralihan kuasa kini.
"Janganlah sikap kita menyebabkan orang tak berani datang Kelantan.", selambanya rumusan YB Ustaz Baihaqi, namun bernas bagi menggambarkan keadaan dewan yang makin panas emosi audience dengan kritikan demi kritikan membina Prof Abu Hassan.
Rupanya Prof Abu Hassan mengakui beliau hanya mahu membuat "modul" provokasi dan sengaja buat "panas" bagi menguji sikap "objektif" dan "kesopanan dan kesusilaan" rakyat Kelantan sebelum nak bercakap mengenai Rukun Negara yang seakan dicabuli oleh Umno di Perak, dan tidak dari Pakatan Rakyat.
“Barang siapa yang memiliki pengetahuan mendalam tentang dirinya sendiri dan musuh nya, maka dia ditakdirkan untuk memenangkan semua pertempuran. Barangsiapa yang memahami dirinya sendiri tetapi tidak dapat memahami musuhnya, dia hanya memiliki peluang sama besar untuk menang. Barangsiapa yang tidak memahami dirinya sendiri dan juga musuhnya, dia sesungguhnya ditakdirkan untuk kalah dalam pertempuran..Kenalilah musuh anda, kenalilah dirimu sendiri dan kemenangan anda tidak akan terancam. Kenali lapangan, kenali iklim dan kemenangan anda akan lengkap..kenalilah dirimua dan musuhmu, maka kamu tidak akan kalah dalam 100 pertempuran." - Intelegen Perang Cina, Sun Zu, The Art of War
Saya pernah menyatakan pandangan saya mengenai KJ dalam posting sebelum ini (klik sini Keberanian Khairy Berdebat Isu PPSMI Wajar Dicontohi).
"Bagi saya, lebih baik Khairy Jamaludin menjadi Ketua Pemuda Umno kerana sosok tubuh ini - berbanding YB Khir Toyo dan YB Mukhriz Mahathir - akan menyebabkan para Pemuda Pas dan gerakan Islam tidak akan mampu bergoyang kaki terus selesa dengan kelahiran para pemimpin muda yang tidak bersedia untuk berdepan hujah secara bersemuka atas apa jua platform Debat Perdana, Hujah (TV9) dan sebagainya. Era gerakan Islam PAS pada masa akan datang adalah lebih mencabar dan berhajatkan seorang pemimpin yang berminda negarawan, mampu berdepan secara bersemuka dengan mana-mana pemimpin parti lawan, membina jambatan antara mereka yang tidak sealiran, mengharmonikan konflik antara pertembungan peradaban, mengkaji pelbagai jenis aliran pemikiran semasa. Debat seperti anjuran TV9 dan Forum seperti anjuran mahasiswa Ma'ruf Club adalah satu siri-siri 'tarbiyah' yang akan menguji sejauhmana kehadiran dan kewibawan Pemuda Pas dalam menyatakan pendirian dan idealisme di hadapan panel lawan dan kelompok audience yang pelbagai, bukannya berceramah secara satu hala tanpa mendengar hujah langsung dari pihak lain."
Tiada apa yang baik mengenai isu integriti (akhlak) kepimpinannya yang tidak perlu saya kupas, cukuplah bloggers pembangkang mengulasnya, ada yang mampu memaparkan fakta-fakta menakutkan mengenai bahananya, tidak kurang juga yang hanya menghentam dengan luahan emosi yang hujahnya simplistik.
Apapun, tiada salah pada aqidah saya mendoakan suatu ketika nanti tokoh muda inilah kelak yang akan memilih perjuangan Islam sebagai pentas akhirnya, sebagaimana Nabi S.A.W mendoakankan supaya salah satu Umar, tokoh politician muda di dalam masyarakat Arab Jahiliyyah menjadi sebahagian dari vertebrata dakwah Nabi S.A.W. Tidak dapat saya bayangkan andaikata tokoh seperti Anwar Ibrahim dan Khairy Jamaludin ini kelak bergabung lantas berada dalam saff perjuangan Islam kalaupun tidak dalam parti Islam. Tokoh dari parti Islam bagaimana ? Jika mengenepikan aspek syariatullah, Khairy Jamaludin adalah pakej pemimpin muda yang lengkap aspek sunnatullah bagi saya.
Apapun, izinkan saya terus mengambil "hikmah yang hilang" dari kepimpinan gerakan Islam tetapi ia ada pada Khairy Jamaludin. Saya berpegang pada kata-kata intelegen Islam Saidina Ali sahabat Nabi S.A.W bahawa ambillah kebenaran walaupun dari lidah musuh kamu.
Apabila Khairy, 36 dilihat pencabar kompeten Anwar, 61
Lihat pandangan unik blogger Mohd Sayuti Omar apabila beliau mengulas implikasi kemenangan Khairy dengan sangat tuntas dan futuristik, sehingga menampakkan Khairy adalah klon Anwar dalam Umno, katanya :
"Ada beberapa perkara menarik tentang Khairy yang meletakkan kemenangan baginya.
Ada keberanian dan bersikap terbuka dan melatari suasana semasa.
Gigih, tabah menghadapi kecaman ke atasnya terutamanya oleh Dr Mahathir Mohamad.
Mempunyai keyakinan diri yang kuat dan sanggup menerjah sesiapa saja dengan pandangan dan akalnya sendiri.
Dia juga lebih rapat dan mesra dengan pemuda.
Perwatakannya menampakkan kepemudaan berbanding dengan dua calon lain.
Mendapat simpati apabila beliau dikacau oleh Lembaga Disiplin.
Kerana langsung tidak didokong oleh bapa mertuanya, Abdullah Badawi.
Kehadiran Khairy jangan dipandang sepi oleh parti pembangkang. Tanggapan Umno akan hancur dengan Khairy menjadi ketua pemuda rasanya kurang tepat dan seolah menarik lastik tanpa ada batu dalam pelapiknya. Tanggapan dan tuduhan ini tidak mudah untuk menguburkan Umno di tangan Khairy.
Sudah tentu sebagai seorang yang mempunyai political will yang tinggal Khairy akan cuba memperbaiki dirinya, mempamirkan kepimpinannya dan paling bahaya ialah idea geliga yang ada kepada menantu bakal bekas perdana menteri ini cukup mencabar oposisi.
Petunjuk awal boleh dilihat semasa beliau berucap selepas diumumkan sebagai ketua pemuda Umno baru. Penuh bersemangat, bervisi dan mempunyai gerak body yang sesuai dengan citarasa pemuda dan saya yakin ramai juga puteri yang teruja dengan kemenangan Khairy itu.
Melihat kepada ucapan dan gaya Khairy selepas diumumkan kemenangan itu entah kenapa ingatan saya terhimpau pada tahun 1982 dulu ketika mana Anwar Ibrahim memenangi jawatan ketua pemuda Umno dengan mengalah Suhaimi Kamaruddin. Kalau tidak silap juga dengan undi sekitar 50. Ada aura Anwar di keliling Khairy.
Inilah yang parti pembangkang kena awasi. Terutamanya Pas yang juga akan memilih ketua pemuda baru memerlukan pemuda yang setanding dari segi semangat, kelimuan dan pengalaman politik yang mantap.
Ingat untuk berhadapan dengan Khairy tidak cukup kalau setakat mengungkitkan apa yang dituturkan oleh Dr Mahathir ke atasnya selama ini atau mengungkitkan soal kekayaan Khairy menerusi rangkaian perniagaannya.
Mencerita kekayaan orang lain dengan kita sendiri tidak rajin berusaha adalah kerja kurang cerdik. Keburukan lama seseorang itu akan terhapus dengan wibawa dan keyakinan tinggi yang bakal ditunjukkan dari masa ke semasa "
Faisal Tehrani turut sama mengulas sudut lain kekuatan Khairy :
"Saya berpendapat, dalam konteks dan aspek yang kecil (tetapi penting); setelah mengekori siri ucapan Khairy Jamaluddin; saya dapati beliau bertutur dan berucap dengan bahasa Melayu yang lancar dan fasih. Malah saya berpendapat beliau lebih banyak menggunakan bahasa Melayu berbanding Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri. Ini misalnya saya saring dan nilai menerusi beberapa sidang media kedua-dua pemimpin ini. Di sebalik pelbagai kontroversi mengenai ahli parlimen Rembau, Saudara Khairy ini, setidak-tidaknya paling kurang beliau telah menunjukkan keinginan untuk berbahasa Melayu yang tinggi. Sikap ini meraih minat saya sebagai pengarang sastera Melayu. Saya berharap sikap ini datang dari dalam sanubarinya memandangkan beliau sekarang sedang memimpin parti yang asasnya Melayu."
Kerabu Bersuara pula bagi saya mengulas bagaimana kemampuan KJ mencipta kesilapan dan berani melakukan kesilapan itulah ciri sebenar kepemudaan yang tulen, bukan pemuda yang 'dituakan' terlalu awal sehingga anugerah "akal segar" oleh Tuhan kepada anak muda itu lebih penting dari "tenaga"nya untuk digunakan sebagaimana banyak terdapat dalam pemikiran dan mentaliti "orang-orang tua" :
"Dia dilihat bersedia berhadapan cabaran. Walau pun pernah dilabelkan sebagai beban Umno, nampaknya dia berusaha keras membuktikan sebaliknya. Usahanya menjatuhkan Kelantan dalam PRU yang lalu meletakkannya dalam situasi defensif. Namun, berbekalkan kemudaannya dari segi usia, ketrampilan dan gaya berbanding dua lagi saingannya yang tewas, dia dirasakan mampu menyuntik semangat baru kepada pemuda Umno.
Dari segi gerak kerja politik pula, Khari memang seorang yang tangkas. Lihat, dalam keadaan dia disabitkan rasuah pun dia masih boleh menang. Serangannya kepada Kelantan dalam PRU yang lalu menarik tumpuan khusus Pas untuk berdepan dengannya. Dia menggerakkan secara berkesan jentera Umno untuk menarik orang Kelantan yang berada di luar Kelantan untuk balik ke Kelantan dan mengundi BN. Soal orang yang balik dalam programnya dan tidak mengundi BN itu isu lain, tetapi usahanya itu yang sepatutnya menjadi isu."
Saya tidak nampak pesaing terbaik menggantikan YB Salahudin Ayub kecuali YB Mahfuz Omar. Saya masih tidak melihat siapakah end product tarbiyah jamaah Islam kampus mahupun akademi kepimpinan pemuda Pas yang mampu menyaingi Khairy mahupun Salahudin Ayub, atau kita hanya mampu berdoa dan berdoa Allah akan memenangkan Islam, tanpa keseriusan agenda pembinaan kualiti kepimpinan world-class dan politician statesman dari rahim gerakan Islam itu sendiri, atau kita hanya terus berpuas hati dengan lahirnya ramai amilin dan murabithin, namun terus selesa ketandusan golongan pemimpin, pemikir dan pemidato yang berkesan mengubah emosi, persepsi dan aqidah rakyat ?
Kini bukan lagi masa untuk saya mahu pesimis dan kritis kepada Pas selepas YB Salahudin Ayub akan meninggalkan kerusi Ketua Pemuda Pas muktamar Pas akan datang. Tetapi ingin saya cabar diri saya bahawa "kamulah Khairy dalam gerakan Islam" tersebut. Ya, saya mahu membina persiapan sebelum umur 32 tahun (usia KJ melakar karier baru politiknya kini sebagai bakal Menteri Pelajaran paling muda, atau Perdana Menteri paling muda di Malaysia). Tuhanku, bantulah daku memenangkan Islam dalam era globalisasi maklumat ini.
Sebarang pengambilan mana-mana bahagian daripada tulisan di sini adalah sangat digalakkan untuk disebarkan, namun perlulah mendapat izin daripada Iskandarfateh.
Ataupun, sila beri kredit bahawa anda mengambil mana-mana kenyataan tersebut dari Blog Iskandarfateh ini.
Terima kasih. Saya sangat hargai kunjungan anda.
Montaj IPTC
Twitter With Me
Profail Blogger
Syaari Ab. Rahman merupakan seorang perunding motivasi terlatih. Profail lengkap beliau di "Hubungi Saya"