Content feed Comments Feed

Menanti Sekular Berkubur di Turki...

Saturday, July 5, 2008

Dipetik dari tulisan MOHD. KHUZAIRI ISMAIL (WARTAWAN UTUSAN)


PARA penyokong dasar sekular Turki memegang poster Mustafa Kemal Ataturk ketika menyertai demonstrasi membantah penahanan dua jeneral tentera yang didakwa berkomplot untuk merampas kuasa.
- AP


KETIKA masih lagi dalam suasana meraikan kejutan pasukan bola sepak mereka melangkah ke pentas separuh akhir di pentas EURO 2008 baru-baru ini, rakyat Turki digemparkan dengan satu cubaan rampasan kuasa.

Konspirasi yang meletakkan Turki dalam keadaan penuh sukar, demikian seperti yang digambarkan oleh Komander Tentera Darat, Jeneral Ilker Basbug, mengembalikan ingatan dunia kepada usaha menggulingkan kerajaan yang agak sinonim di negara republikan itu.

Disifatkan sebagai komplot yang belum pernah berlaku dalam sejarah Turki sebelum ini oleh akhbar tempatan, cubaan itu didalangi oleh dua jeneral kanan bersara Hursit Tolon dan Sener Eruygur.

Turut serta dalam pakatan itu ialah pengarang akhbar sekular, Cumhuriyet, ahli-ahli politik dan Pengerusi Dewan Perniagaan Ankara yang ditahan bersama 21 orang pengikut Ergenekon, iaitu kumpulan sekular sulit yang ultranasionalis.

Menilai konflik terbaru yang berlaku di Turki itu, Pensyarah Jabatan Sejarah Universiti Malaya (UM), berkata, akar permasalahannya seperti yang difahami dunia adalah lebih kepada pertembungan kuasa di antara kebangkitan Islam dan survival sekular.

Dasar sekular di Turki yang bertapak sejak 1923 hasil revolusi Mustafa Kemal Ataturk yang menumbangkan kerajaan Uthmaniah dilihat menuju kehancuran selepas nilai-nilai Islam semakin subur dalam pemerintahan negara republik itu dalam beberapa dekad kebelakangan ini.

Lebih tepat, ancaman kepada dasar sekular itu paling menonjol pada 1994 ketika Parti Refah pimpinan Necmetin Erbakan yang terkenal dengan perjuangan Islamnya memenangi pilihan raya umum negara itu.

Bagaimanapun, kemenangan Parti Refah dinafikan dalam satu rampasan kuasa oleh tentera pada 1997 yang dilihat sebagai satu tindakan terdesak dalam mempertahankan pengaruh sekular di negara berkenaan.

Usaha membunuh kebangkitan Islam itu bagaimanapun gagal apabila pilihan raya 2002 menyaksikan Parti AKP yang merupakan lanjutan Parti Refah memenangi majoriti kerusi di Parlimen sekali gus mengakhiri dominasi sekular di Turki.

Pilihan raya Presiden tahun lalu pula melengkapkan penguasaan pemerintahan Islam apabila pemimpin AKP, Abdullah Gul, 59, memenangi kerusi Presiden iaitu kemenangan ahli politik Islam pertama selepas era revolusi sekular.

Orang paling kanan AKP, Recep Tayyip Erdogan pula dilantik sebagai Perdana Menteri.

Meskipun memberi jaminan tidak akan menghapuskan dasar sekular dalam pemerintahannya, namun pendukung dasar itu terutamanya dalam kepimpinan tentera melihat AKP secara perlahan-lahan akan menggantikannya dengan dasar Islam.

Kebimbangan secara melampau terhadap Islam itulah yang menyaksikan pentas politik di Turki tidak pernah aman dan sering diancam dengan rampasan kuasa termasuk kejadian terbaru Selasa lalu, yang merupakan cubaan menggulingkan kerajaan yang kelima selepas kejadian 1960, 1971, 1980 dan 1997.

''Bagaimanapun perlu untuk difahami, isu sebenar kemelut politik di Turki bukanlah kerana bakal terhakisnya pengaruh sekular, tetapi kerana kebencian yang terlalu mendalam terhadap Islam. Sekular hanyalah isu pada permukaan sahaja, kerana seperti yang kita ketahui, dasar sekular sendiri membenarkan kebebasan agama. Justeru, penentangan di Turki ketika ini sebenarnya lebih bersifat anti-Islam," jelas Mohammad Redzuan.

Runtuhnya amalan sekular pastinya memberi ruang kepada perjuangan demokrasi di bumi Turki, yang menurut pemikiran kritis dan bebas generasi muda negara itu merupakan amalan politik yang paling ideal.

Terdedah dengan perkembangan politik dunia terutamanya corak pemerintahan demokrasi negara-negara Kesatuan Eropah (EU) yang berjiran, rakyat Turki kini sedang mengubah negara republik itu menjadi lebih moderat dan terbuka.

Seperti yang dijelaskan oleh Mohammad Redzuan, rakyat Turki tidak lagi boleh menerima rampasan kuasa dalam menggulingkan kerajaan apatah lagi yang jelas membayangkan matlamat tindakan itu bertujuan mengekalkan dasar-dasar sekular, meskipun sebahagian daripada mereka bukan beragama Islam.

Bagi rakyat Turki juga, bukanlah Islam yang ditakuti, bukan juga sekular yang dibenci, tetapi kemodenan pemikiran mereka kini mencari satu alternatif kepada pemerintahan yang boleh memberikan kemajuan kepada negara berkenaan.

Hakikatnya Turki sepanjang penguasaan sekular dan tentera, jauh terkebelakang terutamanya dari sudut ekonomi berbanding negara serantau, memaksa rakyatnya berhijrah dan menjadi buruh di kebanyakan negara di Eropah.

Malah, Turki sepanjang tahun 2000-2001 juga mencatatkan kadar inflasi paling tinggi dalam sejarah iaitu sebanyak 45 peratus, menyebabkan negara itu berdepan dengan krisis ekonomi yang hampir memufliskan kerajaan.

Memburukkan keadaan, politik dalaman Turki pula dihambat dengan pelbagai isu penyalahgunaan kuasa dan rasuah, mengheret kerajaan yang diketuai oleh Presiden Ahmed Necdet Sezer kepada persoalan korupsi di kalangan rakyat.

Berbeza dengan kerajaan AKP, biarpun tidak sampai lima tahun memerintah, itu pun dibawah pemerhatian yang penuh mencurigakan tentera, berjaya memulihkan landskap kemajuan Turki dengan sangat drastik.

Inflasi berjaya dipulihkan kepada hanya lapan peratus, iaitu kadar yang sama dengan kekuatan ekonomi tahunan Turki yang berkembang sekitar tujuh ke lapan peratus.

Paling berjaya menambat keyakinan rakyat, apabila pengagihan kekayaan dan penguasaan ekonomi tidak lagi dimonopoli oleh pihak tertentu, sebaliknya syarikat yang berpotensi terutamanya di bahagian luar bandar diberi peluang sama rata merancakkan ekonomi negara.

''Melihat kepada kebangkitan Islam kebelakangan ini terutamanya selepas AKP menerajui pemerintahan, saya menjangkakan empayar sekular Turki akan roboh dalam tempoh 10 tahun ini," ujar Mohammad Redzuan.

0 Responses to Menanti Sekular Berkubur di Turki...

Posting Sebelumnya

Integriti Maya

Sebarang pengambilan mana-mana bahagian daripada tulisan di sini adalah sangat digalakkan untuk disebarkan, namun perlulah mendapat izin daripada Iskandarfateh.

Ataupun, sila beri kredit bahawa anda mengambil mana-mana kenyataan tersebut dari Blog
Iskandarfateh ini.

Terima kasih. Saya sangat hargai kunjungan anda.

Montaj IPTC

Twitter With Me

Profail Blogger


Syaari Ab. Rahman merupakan seorang perunding motivasi terlatih. Profail lengkap beliau di "Hubungi Saya"