Semester PRK Bermula, Masa Menguji Kekuatan PENGARUH Gerakan Mahasiswa Islam
Semester 'demokrasi' melabuhkan tirainya kini. Pilihanraya kampus akan sekali lagi diadakan bagi memilih calon-calon terbaik dari kem-kem mahasiswa atau atas tiket individu untuk berada dalam kerusi Majlis Perwakilan Pelajar.
Dalam konteks gerakan Islam di kampus, PRK bagi saya sangat signifikan dan mampu menoktahkan beberapa titik-titik penting untuk mengukur kekuatan dan kekurangan PENGARUH gerakan mahasiswa Islam ke atas jamahir (massa).
Jangan salah faham, pengaruh yang saya maksudkan bukan soal populariti yang didasarkan pada kelebihan fizikal atau 'politik wajah' mahupun kepetahan berbicara menyusun kata manifesto yang berapi-api.
Tetapi dilandaskan kepada integriti (amanah) dan kompetensi (quwwah) calon-calon dari gerakan mahasiswa Islam, sebagaimana yang ditonjolkan oleh Muhammad bin Abdullah Rasulullah S.A.W yang berjaya menawan hati seluruh jamahir Makkah dan pimpinan mereka untuk menyelesaikan konflik perbalahan antara puak-puak dalam isu Hajarul Aswad.
Bagi saya, Pilihanraya Kampus adalah satu pentas terbaik untuk meletakkan KPI pengaruh gerakan Islam di kampus, adakah kalian benar-benar diterima sebagai "al-Amin" jamahir kampus atau anda hanya al-Amin dalam kelompok anda semata (ekslusif).
Marilah semua abnaul harakah ahli gerakan mahasiswa Islam, maknakan PRK ini lebih dari semata atas dasar tanggungjawab menggunakan kuasa untuk menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar, suatu jawapan fundamental yang sangat mudah dituturkan (atau mungkin kerana sudah dihafal) tetapi tidak jelas apakah gambar besar di fikiran di sebalik kenyataan itu.
Sesungguhnya apa yang anda lihat menentukan apa yang anda akan dapat (what you see determine what you get).
Rumusnya, mari sama-sama menjadikan PRK sebagai :
1. Mengukur sejauhmana kefahaman demokrasi dan pendidikan politik jamahir (political education)
- adakah yang meminati (penonton) atau menyertai (pemain) politik kampus kelompok majoriti atau minoriti ?
- adakah % keluar mengundi meningkat atau merosot = menonjolkan tahap kesedaran untuk mahasiswa berfikir di luar dari kerangka "ananiah" dan penyakit anak-anak muda Jepun yang digelar "hikikikomori" serta sindrom 3 K (kelas-katil-kafe) ?
- adakah yang mendabik dada menyatakan kemenangan itu, anda menang secara pertandingan atau menang tidak bertanding, manakah kerusi yang lebih dominan di dalam MPP (usah bicara soal demokrasi matang jika majoriti kerusi dalam MPP adalah kerusi menang tanpa bertanding atau 'lantikan') ?
- adakah pertandingan diadakan secara anak jantan dan padang yang sama rata ?
2. Medan membuat KAJIAN PERSEPSI jamahir kepada penerimaan kepada gerakan Islam (melalui kekuatan undi yang diberikan)
- sejauhmanakah undi-undi yang diberikan jamahir benar-benar atas dasar kekuatan parti / kekuatan kem mahasiswa itu sendiri yang mencetuskan FENOMENA luarbiasa yang diterima baik dan positif oleh massa di kampus,
atau sebenarnya kemenangan calon-calon gerakan Islam atas 'kelebihan kebetulan' yang ada pada individu calon-calon tersebut (seperti rekod pembabitan dalam aktivisme kemasyarakatan dan kebajikan pelajar, kecemerlangan akademik penerima anugerah dekan dan seumpamanya - kecuali inilah FENOMENA yang berlaku kepada majoriti ahli gerakan Islam yang memberikan ukuran kepada KUALITI PENTARBIYAHAN yang mereka lalui selama ini, bagaimana ia diterjemahkan secara terancang sejak dari awal sebelum PRK, bukan spontan dan kebetulan)
sejauhmana berlaku satu FENOMENA DAKWAH yang DAHSYAT berjaya dicipta oleh gerakan Islam yang menyebabkan jamahir mahukan wakil gerakan Islam memimpin mereka dan kampus berbanding mereka yang tidak ada idealisme perjuangan (sekadar nak dapat sijil-sijil penting ko-kurikulum untuk membantu proses interview selepas graduat) apatah lagi 'upahan'.
- maka di sini akan teruji adakah anda selama ini merapati dan menyantuni mad'u dan jamahir atas dasar keikhlasan untuk berdakwah atau anda mempunyai motif singkat iaitu meraih undi mereka.
Adakah anda menyantuni mereka jauh berbulan-bulan sebelum PRK lagi atau anda dilihat rancak turun padang mutakhir kini kerana ini adalah semester politik penting untuk kem anda ? jamahir mampu menjadi hakim, cukup dengan mendengar apakah perkataan pertama yang keluar dari mulut mereka sebaik sahaja mereka membuka pintu untuk menerima anda yang mengetuknya berkali-kali
- undi yang diberikan kepada calon gerakan Islam adalah KPI terbaik untuk membuat penilaian sejauhmana golongan berkopiah dan bertudung labuh diterima dengan baik oleh jamahir, atau adakah sebaliknya kalian 'makhluk asing' kepada jamahir yang dakwah yang anda mahu sampaikan terlalu jauh dari meraikan dunia jamahir yang terlalu ganas dengan gelombang Facebook dan Youtube
- pengalaman adalah sebaik-baik guru kehidupan (menjaga keselamatan banner di waktu malam, keselamatan calon, aksi-aksi intelegensia dakwah yang memaksa kader-kader tebal muka dan menjadi 'tabligh' mengetuk pintu ke pintu untuk kempen
- PRK adalah medan yang menyebabkan semua pintu bilik jamahir akhirnya dimasuki oleh jejak-jejak sang daie, sedangkan selama ini 'memilih bulu' untuk diziarahi
- Lantaran itu gerakan Islam yang tidak masuk PRK, di mana ruang dan peluang anda membina tarbiyah jihad yang praktikal selepas segala macam pengisian fikrah diberikan pada kader-kader, jika bukan dalam PRK. Buta kemahiran mengurus jentera PRK bererti membutakan diri dari menguasai kemahiran untuk mengurus jentera dalam PRU apabila graduasi.
- krisis ekoposial (ekonomi-politik-sosial) negara kian 'menakutkan', bunuh bakar sembelih tembak orang berlaku di sana sini, siapa lagi yang boleh dihormati oleh kerajaan dan pembangkang jika bukan kuasa ketiga mahasiswa
- apa lagi nilai pemimpin mahasiswa jika bercakap dengan lantang tapi hanya menyerlahkan anda lumpuh pembacaan isu dan kering kontang dari penguasaan fakta-fakta penting, walhal anda hidup dalam dunia intelektual, bersama para sarjana dan pensyarah, seharusnya memakna Darul Hikmah (library) kampus masing-masing
"Pemilihan isu-isu strategik untuk diperjuangkan di peringkat nasional dan antarabangsa (selain isu-isu domestik dan dalaman kampus UIAM), pemanfaatan Parlimen Mahasiswa dan Sudut Pidato yang sedang dalam perhatian pelaksanaan oleh KPT, kualiti penghujahan dalam Bicara Siswa dan forum-forum bersama aktivis rakyat-pemimpin politik-NGO, kekerapan penulisan kepimpinan MPP dalam media-media klasik dan media-media baru, kekerapan kemaskini perkembangan perjuangan MPP membela kebajikan mahasiswa di blog MPP dan blog Pro-Mahasiswa, aksi-aksi turun padang menyampaikan bantuan mahasiswa kepada mangsa bencana alam mahupun mangsa kezaliman pemerintah adalah checklist yang saya ramalkan menjadi perhatian sepantang setahun lensa media dan 'pertaruhan' penting mahasiswa seluruh IPT untuk memburu dan memilih calon-calon dari Pro Mahasiswa bagi mencapai kemenangan lebih besar dalam PR Kampus tahun hadapan." - Iskandarfateh, Cabaran Di Sebalik Kemenangan Kali ke-12 Pro M UIAM
“Ramai aktivis politik dalam negara kita ini tidak memiliki pandangan politik yang tepat. Ia berlaku kerana tidak wujudnya budaya pemikiran kritikal yang ampuh. Keadaan ini bertambah hodoh apabila bercampur dengan budaya malas membaca. Budaya malas membaca, malas mengkaji dan malas mentelaah ini telah dilahirkan oleh budaya suka mendengar. Mendengar bukan satu kesalahan, mendengar bukan satu jenayah. Kita semua mendengar. Ketika kita kecil, kita dididik untuk mendengar. Ketika itu tidak digalakkan untuk berfikir” - Hishamuddin Rais
“Politik tidak boleh dipisahkan dari hidup, hidup juga tidak boleh terpisah dengan politik. Orang yang mengirakan diri mereka sebagai tidak minat berpolitik serupa sahaja. Hakikatnya mereka telah diserapmasuk ke dalam mazhab (budaya) politik yang paling dominan, iaitu mazhab bahawa anda tidak perlu berada apa-apa lagi tentang keadaan di sekeliling anda.” – Pramoedya Ananta Toer, sasterawan dan pejuang Soviet.
Kredit kepada Prof Abu Hassan Hasbullah atas rakaman ini.
"Persepsi pada diri dan organisasi hanya boleh diubah dan berubah dengan pengalaman baru diri. Pengalaman baru takkan tercipta tanpa suatu proses mencabar diri." - pesanan saya pada nuqaba ISIUKM semasa TOT Nuqaba semalam
"The enemy of my education (process) is my (previous) experience." (Albert Einstein)
Menjelang kemasukan pelajar baru ke IPTA esok lusa, pesanan saya kepada adik-adik yang hadir ke kampus hanya semata-mata utk mengejar sekeping kertas bernama 'ijazah', lebih baik lihat dahulu sebuah filem bertajuk "3 Idiots". Filem itu akan mengajar kita kesudahan sebenar proses pembelajaran anda sekiranya hanya kecemerlangan di pentas peperiksaan sahaja yang menjadi ukuran kejayaan dalam hidup. Filem ini boleh menjadi kontroversi kepada para penggubal dasar pendidikan di Malaysia. Ia menjawap persoalan kenapa negara paling banyak universiti (baca: upaya IQ tinggi) seperti Amerika Syarikat (5,758 universiti) dan India (8,407 universiti) juga mendahului carta manusia paling ramai membunuh diri akibat tekanan hidup.
Saya pernah menulis lama sebelum ini di sini mengenai peringatan Prof. Allan Bloom di dalam buku The Closing of American Mind (1987). Buku ini mendedahkan suatu fenomena yang telah melanda generasi mahasiswa universiti di Amerika Syarikat yang sewajarnya perlu dijadikan iktibar kepada semua rakyat Malaysia, khususnya mahasiswa Islam.
Menurutnya, berbeza dengan kelompok pelajar daripada Eropah, generasi pelajar di Amerika memasuki universiti dengan keadaan memiliki minda yang kosong, digambarkan dengan ungkapan the clean slate kerana minda mereka lazimnya tidak diperkukuh dahulu oleh mana-mana karya besar penulis dunia Barat. Jika dibandingkan dengan para pelajar dari Perancis sebagai contoh, minda mereka terlebih dahulu telah diperkaya oleh karya-karya Nietzsche, Russuoue, Descartes dan sebagainya.
Justeru, kehadiran mahasiswa yang sudahpun terdedah dengan pembacaan karya-karya besar ini ke universiti pada hakikatnya membantu menjadikan usaha pembelajaran mereka lebih terarah, atau pendek kata memurnikan tujuan "kewujudan" mereka di menara gading dan fungsi mereka sebagai "mahasiswa". Mereka akan terus mencari dan memperdalam pengetahuan asas ini, berbeza dengan pelajar Amerika yang sebaliknya lebih bersifat mencari arah dan haluan di universiti.
Sesungguhnya, orang yang berjiwa kerdil sering bercakap tentang perihal orang lain manakala insan yang berjiwa besar pula akan lebih bercakap tentang idea. Untuk mendapatkan idea yang baru, tidak dapat tidak, kita haruslah membaca. Membaca pula bukanlah bererti membaca seadanya, tetapi pembacaan kita perlulah mampu meransang dan menggerakkan minda untuk berijtihad dalam suasana yang dihadapi di hadapan mata. - Rijal82
Perhatikan petikan kata-kata Prof Dr Abu Hassan Hasbullah ketika syarahan Perdana Abdullah Munshi, yang berlangsung di KUIS, 25 Jun 2010 baru-baru ini (kredit kepada blogger si Syahid) :
Mahasiswa yang berorientasikan bilik kuliah adalah mahasiswa dungu di abad ke 21. Mahasiswa yang fokusnya untuk peperiksaan adalah mahasiswa statik yang tidak memberi impak kepada sekelilingnya. Mahasiswa yang rigid dengan silibus buku teks pensyarah adalah manusia ketinggalan dalam dunia keterbukaan ilmu.
Mahasiswa kurun ke 21 adalah mahasiswa yang meneroka, mengkaji, menjelajah dan menulis. Jika unsur-unsur seperti ini tiada pada diri mahasiswa maka mahasiswa akan ketinggalan dalam era serba fakta dan berilmu pengetahuan.
Seruan untuk menjadi 'orang baru' adalah seruan penting penuh bermakna. Sejarah mencatatkan betapa bernilainya menjadi orang baru yang bermanfaat kepada orang lain pada masa mendatang. Menjadi orang baru bererti melawan arus masyarakat semasa. Bertentangan dengan adat lazim manusia semasa. Menjadi orang baru meninggalkan jauh masyarakat ke belakang dan mengejar mutiara beharga di hadapan tanpa perlu menunggu masyarakat menerima dahulu.
Betapa ramai tokoh orang baru pada masa dahulu yang kini menjadi sebutan, bukti maha penting orang baru untuk membentuk masyarakat masa hadapan. Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah (729H/1328M) terkenal sebagai orang baru di tengah-tengah masyarakat zamannya. Justeru itu pandangannya jauh berbeza dengan pandangan masyarakat semasa ketika itu. Padahnya beliau mati di jeriji besi di bawah penguasaan diktator yang sombong. Tapi manfaatnya sehingga kini fikrahnya, hujahnya, idealismanya dan prinsipnya megah diamalkan masyarakat beragama dan telah melahirkan jutaan ulama' yang hebat dan agung.
Al-Ghazali, satu contoh orang baru dizamannya. Nah, di umur 40 tahun sudah ratusan kitab dikarangnya. Sehingga nyawa dicabut pada umur yang muda, tapi meninggalkan khazanah ilmu yang maha hebat.
Di Tanah Melayu, muncul tokoh seperti Abdullah Munshi yang menjadi orang baru di zaman kegelapan masyarakat melayu ketika itu. Di saat masyarakat yang sibuk dengan perkara-perkara tahyul, seperti jin, hantu, syaitan dan iblis, Abdullah Munshi keluar dari bayangan kegelapan itu dengan menghasilkan karya penulisan yang gah sehingga ke hari ini.
Pada ketika itu beliau menulis tentang keburukan sikap lelaki Melayu Kelantan yang pemalas, duduk bersilang kaki di wakaf-wakaf, sedang wanitanya bertungkus-lumus bekerja di sawah padi dan di pasar-pasar. Walau ketika itu kritikan ini mendapat serangan negatif masyarakat ketika itu, tapi jelas terbukti kebenarannya pada masa sekarang. Lihatlah di majlis-majlis ilmu, berapa ramai mahasiswa hadir untuk mendengar berbanding mahasiswi. Bukti jelas kebenaran kata-kata Abdullah Munshi, ratus tahun dulu.
Inilah antara bukti betapa penting menjadi orang baru. Kita tak mahu menjadi solid seperti Ibnu Taimiyyah, Imam Ghazali, Ibnu Sina atau Abdullah Munshi. Kerana tokoh-tokoh yang sering kita sebut ini adalah hafalan di mulut semata-mata. Retorik kepada diri kita sahaja. Tapi kita mahu menjadi orang baru di zaman kita, sepertimana mereka menjadi orang baru di zaman mereka.
Jadi tiga gagasan yang ingin disebutkan ini merupakan faktor besar kepada perubahan mahasiswa bermula hari ini. Iaitu reformist, revivalist dan penjelajahan.
Mahassiwa hari ini perlu bersifat reformist pada diri dan masyarakat sekeliling. Suara kebangkitan perubahan perlu disokong dan didokong. Sudah 50 tahun mahasiswa dijajah pemikirannya dan berpuluh tahun juga mahasiswa disekat kebebasannya untuk bersuara. Jadi mahasiswa perlu bangkit untuk tidak lagi rasa dibelenggu dengan sekatan-sekatan itu.
Ruang untuk bergerak masih luas walau beratus rantaian dan sekatan kepada mahasiswa. Jangan sekali-sekali berhenti. Mahasiswa matang apabila mampu membangkitkan suara perubahan dan menggerakkan gagasan perubahan tanpa bimbang dengan sekatan-sekatan yang kecil itu.
Kemudian mahasiswa perlu bersikap revivalist, iaitu menggerakkan kebangkitan suara perubahan. Jangan menunggu suasana yang membangkitkan perubahan, tapi kitalah yang mencetuskan suara kebangkitan itu. Kalau mahasiswa menjadi penunggu setia di era kebangkitan generasi Homo Zapiens, nescaya mahasiswa akan kalah dan bakal menjadi mahasiswa kuno di kurun ke 17.
Jika mahasiswa Australia mampu membaca 180 biji buku setahun kenapa kita tidak mampu mengejar dengan sekurang-kurangnya membaca 50 biji buku setahun.
Gagasan yang ketiga ialah mahasiswa perlu menjelajah. Sungguh aib dan bodoh di kurun ke 21 ini, masih ramai lagi mahasiswa yang asyik menunggu cuti semester untuk pulang ke kampung halaman, membuang masa kosong tanpa memberi apa-apa manfaat. Jadikan masa cutimu untuk menjelajah segenap pelosok tempat yang boleh memberi satu pengalaman baru kepadamu.
Sekurang-kurangya bila berada di kampung, kajilah berapa ramai penduduk kampung yang masih belum mendapat bekalan air. Usahakan sesuatu supaya masyarakat kampung mendapat manfaat daripada kita selama 2 bulan cuti di kampung halaman.
Akhirnya melakukan perubahan adalah perbuatan dan perlaksanaan, bukan kata-kata manis dan bersemangat sahaja. Artikel seterusnya saya akan bincangkan bagaimana menghadapi generasi homo zapiens. Generasi online tanpa henti.
"Tembok Berlin bukan diruntuhkan oleh Caunselor Jerman, tetapi dilakukan oleh sekumpulan 25 orang Mahasiswa Universiti Berlin dengan ketukan paku ke dinding tembok"
Ingatlah,
Rasa tenang pulang dari Chinese Assembly Hall mendengar penjelasan sebenar kes yang berlaku pada Arwah Aminulrasyid dari peguam arwah N.Surendran, juga pandangan akademik dari Raja Badrul Hisham pensyarah prosedur undang-undang jenayah dari AIKOL UIAM, dan juga aktivis hak asasi manusia Wong Chin Huat (Civil Right Committee) yang saya kira paling bernas dan paling banyak mendapat tepukan 'sidang lawyers' yang datang memenuhkan CAH, khususnya ketika membandingkan antara polis di Malaysia dan di UK.
Namun demikian, ketiga-tiga panel semalam bagi saya berjaya memberikan gambaran yang pelbagai sudut kepada hadirin terhadap isu yang semacam sedang diadili di mahkamah media sebelum siasatan sebenar dijalankan.
Rupanya kes ini banyak lagi yang perlu diselak di sebalik tabir perundangan meskipun YB Yusmady (PKR) yang turut hadir menegaskan dalam pandangannya hanya 'jalan politik' (perubahan kerajaan) mampu merobah situasi yang bukan kali pertama rakyat mati ditembak oleh polis.
Tribute pada penganjur iaitu Pkpim atas usaha tangkas merintis sidang 'pressure group' ini.
Dr Abdul Aziz Fahmi meriwayatkan bagaimana Sultan Muhammad Al-Fateh meletakkan tanah bumi Haghia Sophia di kepalanya ketika sujud syukur sebanyak dua kali selepas membuka Konstantinople. Peristiwa ini telah menyentuh hati rakyat Konstantinopel sehingga berbondong-bondong menyatakan keislaman mereka kepada Sultan selepas melihat peristiwa ini.
Buat kali yang sebelas, Allah S.W.T berkenan mengekalkan kemenangan gerakan mahasiswa Islam yang berpanjikan "We Unite for Islam" di UIAM. Sungguh kemenangan ini adalah satu ujian berterusan dari Allah untuk melihat sejauhmana keampuhan, keberanian dan kebijaksanaan kepimpinan dan bala tentera Pro Mahasiswa di sana untuk memperlihat satu model ketumbukan MPP terbaik yang boleh dilihat oleh seluruh IPTA Malaysia.
Pemilihan isu-isu strategik untuk diperjuangkan di peringkat nasional dan antarabangsa (selain isu-isu domestik dan dalaman kampus UIAM), pemanfaatan Parlimen Mahasiswa dan Sudut Pidato yang sedang dalam perhatian pelaksanaan oleh KPT, kualiti penghujahan dalam Bicara Siswa dan forum-forum bersama aktivis rakyat-pemimpin politik-NGO, kekerapan penulisan kepimpinan MPP dalam media-media klasik dan media-media baru, kekerapan kemaskini perkembangan perjuangan MPP membela kebajikan mahasiswa di blog MPP dan blog Pro-Mahasiswa, aksi-aksi turun padang menyampaikan bantuan mahasiswa kepada mangsa bencana alam mahupun mangsa kezaliman pemerintah adalah checklist yang saya ramalkan menjadi perhatian sepantang setahun lensa media dan 'pertaruhan' penting mahasiswa seluruh IPT untuk memburu dan memilih calon-calon dari Pro Mahasiswa bagi mencapai kemenangan lebih besar dalam PR Kampus tahun hadapan.
Ada 3 backdrope nasional penting yang saya cadangkan menjadi asas persiapan hujah dan aksi rakan-rakan aktivis mahasiswa di UIAM, KUIS, UMT dan kampus-kampus yang akan menjadi 'kerajaan' Pro Mahasiswa nanti :
1. Suasana demokrasi dua parti dan politik kepartian di Malaysia semakin mencecah suhu kepanasan yang makin maksima menjelang PRU 13. Ini sangat menuntut "the third voice" yang sifatnya objektif, akademik dan bersedia mendokong kebenaran menghentam kezaliman walau dari mana entiti atau parti sekalipun, untuk memberikan sedikit ruang kelegaan kepada rakyat untuk membuat pertimbangan terbaik hasil cadangan pandangan mahasiswa.
2. Keadaan ekonomi dan dunia global dengan pelbagai krisis kemanusiaan, bencana alam, "catastrophy" yang lebih kritikal di samping percaturan musuh-musuh Allah dari kelompok "The Elite" kalangan Yahudi Antarabangsa menuju plot-plot penting "painting Islam as the new enemy" bagi menjustifikasikan Perang Dunia Ketiga. Justeru, MPP perlu lebih tajam dalam penyelidikan, cakna dalam respon dan agresif dalam tindakan terhadap isu-isu antarabangsa dan ummah.
3. Keadaan generasi baru Malaysia yang kian kritikal dilanda wabak penyakit hedonisme yang makin menggila di televisyen dan media akhbar, penyakit 3 "S" (sex-screen-sport) yang telah mengundang krisis kebejatan sosial mahadashyat sedang berlaku kalangan remaja sekolah menengah dan rendah serta institusi pendidikan tinggi. Buat MPP, "politician thinks for the next election, but statesman thinks for the next generation".
Semoga kemenangan ini akan menatijahkan produksi ahli gerakan mahasiswa Islam yang lebih tajam fikrah siasah dan dakwahnya, tidak membuta melawan kerajaan-Umno-BN tetapi 'bongsai' fikrah dan hujjah kontruktif seperti istilah Hishamuddin Rais. Walau agak keras, namun ada kebaikan pada beberapa kenyataan kritikan beliau di sini.
“Ramai aktivis politik dalam negara kita ini tidak memiliki pandangan politik yang tepat. Ia berlaku kerana tidak wujudnya budaya pemikiran kritikal yang ampuh. Keadaan ini bertambah hodoh apabila bercampur dengan budaya malas membaca. Budaya malas membaca, malas mengkaji dan malas mentelaah ini telah dilahirkan oleh budaya suka mendengar. Mendengar bukan satu kesalahan, mendengar bukan satu jenayah. Kita semua mendengar. Ketika kita kecil, kita dididik untuk mendengar. Ketika itu tidak digalakkan untuk berfikir…Bonsai fikrah ini adalah satu penyakit yang tidak berkuman, tidak berjangkit tetapi boleh diubati.”
Semoga kemenangan di UMT, KUIS dan UIAM akan membakar semarak kerja jihad rakan-rakan Pro-Mahasiswa di hari-hari akhir kempen nanti. Semoga kemenangan lebih besar Pro-Mahasiswa kelak akan melakar satu oksigen Malaysia yang lebih segar politik barunya kelak di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat, Insya-Allah.
KUALA LUMPUR, Jan 22 — Kumpulan Pro-Mahasiswa mengekalkan “kerajaan” Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) malam tadi, buat tahun ke-12 berturut-turut.
Bagaimanapun dalam pilihan raya kampus itu yang diadakan semalam, kumpulan Pro-Mahasiswa mengalami kemerosotan lima kerusi berbanding sesi pengajian sebelum ini. Dalam pemilihan MPP sesi pengajian 2009/10 ini, mereka memperoleh 15 kerusi daripada 29 kerusi yang dipertandingkan.
Baki dimenangi oleh calon kumpulan yang mengelar diri mereka Pro-Mahasiswa, Bebas dan pelajar asing menerusi lima kerusi yang diperuntukkan kepada mereka. Sesi lalu mereka memperoleh 20 daripada 29 kerusi di MPP. Wakil kumpulan Pro-Mahasiswa di peringkat UIAM, Mohd Zaki Shukri memberitahu The Malaysian Insider bahawa calon-calon pihaknya berjaya mengekalkan kemenangan dan penguasaan berturut-turut sejak tahun pengajian 1998/99.
“Walaupun menang 15 kerusi, kami yakin boleh memperoleh sokongan calon-calon Bebas dalam pentadbiran MPP,” katanya. Ditanya sebab penurunan kerusi yang dimenangi kali, Zaki menjelaskan ia kemungkinan berkaitan dengan kempen “agresif” kumpulan Pro-Aspirasi, antaranya menggunakan cara-cara berkempen yang tidak diizinkan oleh pengurusan universiti.
“Mungkin pelajar tertarik dengan cara-cara kempen mereka dan mungkin mereka lebih menonjol dengan cara kempen mereka... bagaimanapun kami akan membuat kajian untuk memperbaiki kedudukan kami tahun depan.
“Kami juga akan membuat aduan kepada pengurusan universiti mengenai cara kempen kumpulan Pro-Aspirasi,” kata beliau lagi.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan ia juga berkaitan dengan penurunan peratusan keluar mengundi di peringkat MPP. “Maklumat yang kami terima peratusan keluar mengundi cuma 59 peratus berbanding 87 peratus sesi lalu.... ini juga mungkin salah satu punca. “Mengapa peratusan keluar mengundi ini terlalu rendah, juga satu situasi yang perlu dikaji,” katanya.
UIAM juga mengadakan sudut pidato umum, julung kali, menjelang pilihan raya kampus semalam.
Kumpulan Pro-Mahasiswa juga telah menguasai MPP Kolej Universiti Islam Antarabangsa (KUIS) Selangor. Pada hari penamaan calon tiga hari lalu barisan calon Pro-Mahasiswa memenangi 12 daripada 21 kerusi MPP yang dipertandingkan tanpa cabaran. Ia yakin akan memperoleh empat lagi kerusi pada hari pengundian 27 Jan ini.
Minggu lalu kumpulan Pro-Mahasiswa melibatkan 14 institusi pengajian tinggi awam melancarkan Misi-10 untuk menguasai MPP. Kumpulan Pro-Mahasiswa juga telah menguasai MPP Universiti Malaysia Terengganu Ahad lalu. Khamis depan sebanyak enam universiti awam lagi akan mengadakan pilihan raya. (The Malaysian Insider)
Ia juga bukan kerana menyaksikan isteri saya diasak oleh trainer jemputan, Us Nizam mengenai proses bedah bukunya mengenai Politik Perlembagaan karangan Prof Aziz Baru, sebuah buku santai undang-undang yang merupakan usaha 'tajdid' Prof Aziz Bari bagi mendekatkan pembaca dan mahasiswa bukan jurusan perundangan kepada dunia perlembagaan melalui pendekatan penulisan berdasarkan isu-isu semasa pada sekitar PRU era Dr Mahathir.
Isteri saya membentangkan penuh semangat mengenai Politik Perlembagaan karangan Prof Aziz Bari. Inilah kesempatan yang pertama kali saya lihat isteri saya bercakap mengenai "bidang akademik beliau sendiri" di depan mata saya. Mencabar, kerana kali ini saya mula ‘berkenalan’ dengan disiplin pemikiran mahasiswa undang-undang, sarjana-sarjana mereka seperti Tan Sri Harun Hashim, Tun Salleh Abas, Prof Aziz Bari dan sebagainya.
Terima kasih SPM 4 kerana mendekat dan menjinakkan saya dengan dunia yang selama ini isteri saya bergelumang di dalamnya tanpa saya 'menjiwainya'.
Antara dapatan paling bermakna dalam diskusi akademik dan berat kali ini adalah :
1. Kepentingan memahami Perlembagaan Malaysia, ruang-ruang ‘Islamisasi’ yang wujud dalam kerangka penuh sejarah tersebut, sejauhmana keperluan – jika gerakan Islam memerintah - untuk meminda peruntukan mahupun pentafsiran mahupun menolaknya mentah-mentah atas slogan simplistik bahawa ia ‘perlembagaan sekular’.
Adalah suatu kemalangan bagi saya sebelum ini yang bercita-cita untuk membangunkan cita negara Islam di Malaysia, namun hakikatnya tidak pernah saya menatapi sebuah buku kecil bernama Perlembagaan Malaysia itu sendiri.
Malang bagi saya sebelum ini yang berfikiran untuk berjuang menegakkan Islam namun ‘di luar’ (meremehkan) asas-asas yang telah sedia ada yang selama ini telah membangunkan Malaysia dengan segala kemajmukannya.
Saya sebelum ini sangat retorik dan 'tekstual' dengan Sahifah Madinah, namun saya gagal membongkar lebih mendalam 'ruh' pemikiran Nabi ketika memeterai Sahifah tersebut, bahkan saya jauh dari bersifat manusiawi dengan realiti di Malaysia dan senarionya yang berbeza.
Saya dahulunya sangat jauh dari sikap konstruktif dan adaptif (kompromotif) dengan kerangka sedia ada yang telah diterima pakai puluhan tahun lamanya dan selepas beberapa konflik berdarah negara ‘menelurkan’ pelbagai siri pindaan dalam Perlembagaan Malaysia.
Terima kasih SPM, saudara Hanipa Maidin, dan lain-lain mentor yang hadir kerana mencerahkan minda saya yang selama ini bermusuh dengan kejahilan dalam dunia legislatif dan perjuangan Islam "dalam kerangka" perlembagaan.

Apa yang paling menarik saya perolehi dari Ust Nizam adalah analogi ‘menggelikan hati’ beliau membezakan kelebihan pemerintah (3 Perdana Menteri pertama Malaysia) berlatarbelakangkan lulusan undang-undang dengan PM ke 4 yang berkelulusan "doktor gigi".
Dari situ, beliau menjawap persoalan tersirat saya ajukan sebelum itu iaitu apakah ‘style of thinking’ mahasiswa undang-undang andaikata jalur pemikiran mereka mahu dimanfaatkan dalam gerakan Islam secara idealistik dan mengesankan.
Dalam SPM akan datang bertemakan “Sistem Politik Malaysia”, saya telah ditaklifkan untuk membentangkan mengenai Sistem Sosio-Politik di Turki dan perbandingannya dengan Malaysia. Sungguh ‘menakutkan’ buku yang dicadangkan saya merujuknya, namun apa yang pasti, sindrom ‘Turkimania’ telah melanda minda saya.
Maka saya menyahut seruan itu dengan keghairahan mahu menggeledah lebih mendalam mengenai Turki serta faktor-faktor penting memungkinkan 'aura' AKP seakan mengembalikan 'aura' Al-Fateh pada 1453 di sana, dan hasrat saya untuk mentahkik sejauhmana persepsi yang saya sebelum ini bahawa Turki merupakan sebuah negara yang "genius" rakyatnya.
Wallahu a'lam.
Saya mengendalikan bengkel motivasi 4 jam di Kuliyah Perubatan, UIAM Kuantan. Manakala isteri saya pula menjadi mengendalikan sebuah forum isu semasa di UM.
Saya dijemput oleh MPP (SRC) UIAM Kuantan sempena Konvokesyen mereka (I-Quest) . Manakala isteri saya - yang dijadualkan pada asalnya akan membantu saya ke Kuantan - mendapat jemputan dari Biro Hal Ehwal Wanita (HELWA) MPMUM sempena Festival Mahasiswi Universiti Malaya 2009 (FEMINA 09).
Tajuk saya "Bencana Kemanusiaan Ummah dan Sindrom Mahasiswa Tidak Pedulisme". Tajuk isteri saya pula "Wanita dan Realiti di Malaysia".Sasaran saya mahasiswa dan mahasiswi UIAM Kuantan serta 3 buah sekolah menengah jemputan khas ke ceramah motivasi tersebut. Sasaran isteri saya pula mahasiswa mahasiswi UM.
Pada awalnya isteri saya mahu menolak jemputan - saat akhir menggantikan Tuan Hj Fadzly Yusuf - itu kerana risau saya akan mengantuk ketika memandu kereta pergi dan pulang dari Kuantan. Nampak juga beliau kelihatan risau untuk berpisah buat kali seterusnya selepas beberapa lama tanggungjawab dakwah membina generasi "bertauhid" melalui I.P Minda memisahkan kami sehingga beberapa hari.
Namun saya katakan pada beliau kali ini : "Ayang perlu kuat dalam hal ini. Jika benar mahu abang tenang dan gembira dalam perpisahan ini, terimalah jemputan sebagai moderator forum di UM tersebut. Mungkin sedih seketika pada Sabtu ini, namun hari Ahad kita akan melihat sejarah yang telah kita lakarkan bersama. Bersama tidak bermakna bersekali, tetapi masing-masing dari kalangan kita meraih pengalaman bermakna di pentas kemahiran masing-masing. Ayang kan bakal Senator"
Saya terus menenangkannya dengan sedikit bingkisan motivasi dari hati saya sendiri.
Alhamdulillah, isteri saya membuktikan kekentalannya. Beliau telah melakukan yang terbaik dalam forum ringkas tersebut, walaupun pada awalnya beliau mengambil masa untuk menyesuaikan diri. Itu sudah pasti lantaran ini adalah pengalaman pertama kali beliau berada sepentas dengan Profesor Madya Dr. Mariani Binti Md Nor (Pensyarah Fakulti Pendidikan UM, Encik Kamal Affendi Hashim (Penganalisis Jenayah) dan Puan Norlina Alwi, YDP Yayasan Darul Iman . Kesemua mereka sangat kerap muncul di layar TV. Sudah pasti isteri saya terlalu banyak perkongsian mahu dikongsikan beliau hasil dari forum tersebut dalam blog beliau nanti.

Apabila kami bertemu semula selepas semalaman berpisah pada hari Ahad tersebut, maka saya menyatakan pada isteri saya : "Inilah impian abang apabila mendirikan Baitmuslim suatu hari nanti. Ayang telah merealisasikannya. Dan ia hanya permulaan. Pengalaman inilah yang mematangkan perjuangan." Saya mengukir senyuman.
Semoga segala amal jamaie dan apa yang kita lakukan dilandaskan dengan tulus mulus untuk meraih keampunan dan kecintaan makin rapat dari Allah S.W.T.
Apa yang lebih mengharukan apabila isteri hadir bukan sekadar sebagai ‘penonton’ Muktamar, tetapi turut sama memberikan partisipasi aktif dalam perbahasan ucapan dasar dan pernyataan cadangan walaupun kehadirannya agak lewat berbanding muktamirat yang lain.

Apa yang lebih membanggakan menyaksikan kombinasi paling tepat dan strategik bagi mengemudi bahtera baru pelayaran GAMIS apabila saudara Idris dipilih sebagai Presiden GAMIS bersama Shazni Munir sebagai Timbalan Presiden, suatu kombinasi paling berkesan sepanjang saya mengenali dua individu aktivis ini. Saudara Idris yang dilihat sangat ampuh idealisma tarbiyah gerakan mahasiswa bersama saudara Shazni yang dilihat sangat tajam dan konkrit idealime siasah gerakan mahasiswa serta seluruh barisan baru kepimpinan sangat saya yakini mampu mengukuhkan idealisme perjuangan Islam GAMIS di pentas Malaysia.
Bagi saya, saudara Idris dipilih bukan sekadar kerana kekuatan peribadinya, bahkan pasukan gerakan mahasiswa Islam di UKM itu sendiri di bawahnya. Jarang seseorang dipilih menjadi Presiden andaikata persoalan paling asas iaitu wujudkah "a binding taskforce" dari kampusnya sendiri tidak terjawab. Pemilihan beliau sebagai Presiden yang memecahkan tradisi bertahun-tahun GAMIS tanpa percubaan Presiden dari UKM mengesahkan lagi tanggapan saya bahawa gerakan mahasiswa Islam di UKM semakin menemui rentak sebenar mereka di pentas nasional, bukan sekadar kampus semata.
Para pembahas kali ini (yang saya nilai separuh masa kedua muktamar sahaja, sesi sebelumnya saya tidak ikuti dan tidak mampu membuat penilaian) lebih matang dan besar jiwa mereka, tiada lagi perbahasan yang terlalu emosional tanpa hujah yang konstruktif atau sekurang-kurang jelas dan nyata mesejnya. Justeru saya sangat berbangga adik-adik saya akhirnya mampu menerima usul-usul yang dilihat semakin mendewasakan cara berfikir mereka untuk berpencak dalam perjuangan di kampus.
Usul GAMIS perlu menyediakan dokumen pernyataan karakteristik “muslim negarawan” supaya boleh dijadikan pedoman dan teras tarbiyah ahli-ahli GAMIS seluruh Malaysia dilihat usul yang futuristik selari dengan gagasan GAMIS kali ini yang sering dipertegas saudara Shazni Munir iaitu 9 domain kenegaraan iaitu :
1. Ekonomi, kewangan, perdagangan dan perbankan
2. Kedudukan Islam dan hubungan antara agama dan kaum
3. Pendidikan
4. Demokrasi dan hak asasi
5. Perundangan dan kehakiman
6. Kebajikan rakyat (kemiskinan dan kesihatan)
7. Keselamatan
8. Penerangan dan media
9. Dasar luar negara
Lebih mantap lagi, ada perwakilan mempersoal di mana duduknya domain “hiburan” dan adakah ia tidak menjadi sasaran domain GAMIS ataupun kesinambungan selepas kejayaan melakukan Konsert Antara Dunia.
Seperti biasa, GAMIS Borneo khususnya dari UMS terus menjadi pembahas paling ‘bersedia’ untuk mengemukakan sesuatu usul dan cadangan, sama seperti tahun-tahun sebelumnya. Kekadang aneh mengenangkan mereka yang lebih bersemangat berbanding persiapan rakan-rakan dari semenanjung.
Ucapan penggulungan dari saudara Shazni Munir yang banyak menyentuh soal kenapa lahirnya 9 domain fokus GAMIS dan ucapan penutup dari saudara Idris yang menyentuh karakteristik ahli GAMIS berteraskan apa yang disifatkan Allah pada pemuda Ashabul Kahfi, kedua-dua pidato mereka di samping pidato saudari Fasihah Pengerusi SIGMA mengesahkan keyakinan saya bahawa kepimpinan baru GAMIS mampu membuat sesuatu yang jauh lebih baik dari legasi besar yang telah ditinggalkan Ustaz Dzulkhairi, Rafidah, Munawwirah dan seluruh saff pimpinan GAMIS yang lepas.
Yang penting, ukhuwwah yang pernah terjalin antara saya dan rakan-rakan lama aktivis Pkpim dalam I.M.A.M (front mahasiswa Wufi-Pkpim-Karisma) di UIAM 3 tahun lepas kembali bertaut di sini. Alhamdulillah, terasa besar sedikit jiwa ini dan terbuka sedikit jaluran paradigma melihat isu-isu besar negara pada saat ini.
1. Pada awalnya kami kecewa kerana tidak bersempatan mengikuti pidato YB Dato Saifudin Abdullah, satu-satunya menteri 'intelek' dalam kabinet PM Najib Razak. Apatah lagi mendengar khabar dari sahabat-sahabat Pkpim bahawa Dato Saifuddin menyerlahkan 'dirinya yang sebenar' dalam pidato tersebut, mengungkap dengan jelas dan mantap idealisme dan halatuju perjuangan mahasiswa dan anak muda Malaysia.
2. Apa yang boleh dijadikan iktibar bagi gerakan mahasiswa Islam dan Gamis adalah bagaimana Pkpim bukan sekadar menjadikan muktamar tahunan mereka sekadar perbincangan isu-isu remeh temeh dan permasalahan picisan dan terbitan, bahkan mereka mampu menjadi agenda-agenda besar mempertegas dasar-dasar kenegaraan dan isu-isu penting untuk melatih minda 'negawaran' pada ahli-ahli Pkpim yang datang untuk bermuktamar.
Tidak salah bagi saya andaikata Gamis memulakan muktamar mereka nanti dengan memanggil sifu-sifu aktivis-intelek kita untuk memaparkan terlebih dahulu 'the big picture' Malaysia dan gerakan Islam sebelum persoalan halatuju dan kedudukan Gamis dibincang, dikritik mahupun direncana. Supaya perbincangan dan perbahasan adalah bersifat muhasabah yang futuristik, bukan destruktif. Cadangan ini mengambilkira tidak semua ahli Gamis hadir dalam Kongres Rejuvenasi Gamis baru-baru ini jika nak dibandingkan dengan kapasiti kehadiran ke Muktamar nanti.
3. Slot paling menarik adalah slot 3 pidato selari pada petang tersebut, dan saya memilih kumpulan kecil yang membicarakan soal "integriti dalam pembinaan jatidiri" yang dibentangkan oleh Encik Anuar Haji Ahmad, Pemangku Pengarah Sosiobudaya, Institut Integriti Malaysia dan kemudiannya diulas oleh sahabat saya saudara Wan Ahmad Faysal dan Naib Presiden Pkpim.
Antara dapatan menarik dari Encik Anuar adalah muqaddimah beliau yang menyebutkan kebanyakan empayar-empayar besar dunia secara sunnatullahnya membuktikan kesemua tumbang kerana masalah integriti kepimpinannnya. Lihat sahaja empayar Rom, Parsi, Mongol, Srivijaya, termasuk juga empayar Islam Abbasiyah dan Usmaniah.
Selain itu, perkongsian menarik beliau adalah pengalaman dua bulan beliau dihantar IIM ke Jepun untuk mengkaji sifat integriti dan menghargai masa mereka. Orang Jepun akan berada di pejabat atau sesuatu event lebih awal sejam dari yang dijadualkan. Manakala mereka akan balik secara normalnya pada 2-3 pagi, bukan jam 5 petang seperti kita di Malaysia. Apa yang lebih menarik, bagaimana isteri mereka akan mengutuk suami mereka sekiranya mereka balik lebih awal dari kebiasaan 2-3 pagi tersebut kerana suami mereka sudah tidak beramanah dengan kerja di pejabat. Para isteri di Jepun akan bangun dari tidur mereka untuk menyambut suami mereka, membuangkan stokin dan kasut suami mereka yang kepenatan dan menyediakan sup panas pada suami mereka. Isteri-isteri di Malaysia bagaimana agaknya jika suami balik jam 2-3 pagi ? Pasti 'suruhanjaya siasatan diraja' ditubuhkan :)
Dapatan ketiga adalah apakah rahsia Finland menumpaskan Jepun untuk kekal bertahun-tahun sebagai negara nombor satu bebas rasuah dalam kajian indeks persepsi rasuah antarabangsa. Bila IIM bertanya kepada wakil mereka di Malaysia, jelaslah jawapan mereka bahawa rakyat dan pemimpin mereka menjadikan "religion as the way of life".
Khairy Mula Beraksi Dengan Mahasiswa, Pimpinan Pemuda PAS Yang Baru Perlu Bersedia
Khairy Jamaluddin Melontarkan Hujahnya Forum Berkenaan Yang Dipengerusikan Prof Mohamed Aslam Haneef Turut Menampilkan ADUN PKR Daripada Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad Dan Nani Abdul Rahman Dari Harvard School.Walaupun saya tidak dapat menghadiri forum penting ini, saya tetap memberikan tribute kepada MPP UIAM Pro-Mahasiswa. Secara zahirnya (secara batin atau kualiti perbahasan panel, saya tidak dapat berikan kerana tidak hadir dan belum melihat VCD nya), forum ini - berdasarkan maklumat saya perolehi di media maya - telah memberikan keunikan tersendiri kerana :
1. Ia dianjurkan ketika kegawatan politik menenggelamkan isu-isu yang lebih penting seperti ekonomi negara yang di ambang bahaya.


2. Ia suatu projek kerjasama yang melampau sempadan politik kepartian di UIAM iaitu kerjasama MPP UIAM (dikuasai kem Pro Mahasiswa), PKPIM dan GPMS.
3. Ia suatu cabaran pertama kepada Pemuda PAS dan Ketua Pemuda PAS yang baru, Ustaz Nasarudin Hassan Tantawi. Andaikata akan berlaku lagi forum bukan isu politik seperti ini pada masa akan datang, bersediakah para pimpinan Pemuda PAS untuk dijemput pimpinan mahasiswa berhujah secara intelek, objektif dan membahas secara kritis dan konstruktif dengan galasan idealisme "Islam sebagai Penyelesaian" dengan Ketua Pemuda Umno yang mujurlah gagal mendapat title Menteri Pelajaran atau sang Menteri. Inilah masanya membuktikan "bukan sekadar Khairy, tetapi Najib pun kita sedia hadapi" sebagai yang ditegaskan Ustaz Tantawi di Ucapan Penggulungan Muktamar Pemuda yang saya hadiri baru-baru ini. Hujah Islamis bertempur hujah sekularis, idea Islamis bertempur idea sekularis, itulah yang mahasiswa nantikan.

Namun persoalan seterusnya, sampai bilakah pimpinan mahasiswa hanya akan menjadi moderator mempertemukan tokoh-tokoh politik dan NGO dari jalur pemikiran yang berbeza ? Terbaru, MPMUM tawar diri pada PAS dan SIS untuk mereka berdebat isu usul pengharaman SIS di Muktamar PAS baru-baru ini. Sampai bila mahasiswa hanya menjadi pengerusi debat atau forum, bukannya panel yang berdiri sama tinggi duduk sama rendah, hujahnya dan kualiti pidatonya sedia dihakimi dan dihukumi rakyat bersama panel politician yang lain ?
Moga gerakan mahasiswa UIAM, UM dan kampus-kampus lain akan bersedia memasuki langkah seterusnya untuk berpencak sebagai problem-solver yang benar-benar berkesan kepada setiap permasalahan ummah. Buktikan mahasiswa jurubicara ummah, bukan moderator forum ummah.
Sumber : Gambar ihsan dari YB Nik Nazmi
Integriti Maya
Ataupun, sila beri kredit bahawa anda mengambil mana-mana kenyataan tersebut dari Blog Iskandarfateh ini.
Terima kasih. Saya sangat hargai kunjungan anda.






























