Content feed Comments Feed

Perkembangan Anakku Fatihah Wajihah

Friday, September 23, 2011

Jika Fatihah baca posting ini suatu hari nanti, dan pada masa itu Abi atau Ummi sudah tiada di muka bumi ini, ketahuilah bahawa Abi dan Ummi sangat-sangat menyayangi Fatihah, dan mengharapkan Fatihah menjadi "Fatihah Wajihah" yang bermakna untuk Ummat ini.

Sebulan Menjelang Kelahiran (sedang menghisap jari kaki, bukan tangan)

 Sebaik sahaja lahir dan melihat dunia (terus bertudung, dahsyat)


Pertama kali dibawa bertemu ibunya. 
(payah jugak mula-mula nak breastfeeding, biasalah)

Dari Putra Medical Center dibawa pulang ke rumah 
(48 jam selepas kelahiran)

Kurang bermaya akibat kuning di sepanjang 1 bulan pertama
(badan terlalu kecil untuk baju yang paling kecil)

"Hai, nama saya Fatihah. Umur saya dah dua bulan"

Umur 3 bulan lepas cukur
(perubahan wajah, mata, hidung sudah jelas kelihatan mirip siapa, cuba teka...)

Umur 4 bulan
(pulang ke KL, ikut Abi gi ceramah macam biasa)

Umur 5 bulan
(menerima didikan begitu ketat oleh Abi dan Ummi)

Sekarang...
(sedang merenung masa depan)



Pada Disember tahun ini, pihak modul Perhimpunan Ukhuwwah Insaniyyah Seluruh Ireland (PUISI 2011) akan mengetengahkan tema ‘Conquest of Constantinople’ yang secara literalnya bermaksud ‘Penaklukan Kota Konstantinople’. Tema ini dibawa dalam usaha untuk mengupas buku "The 8th Habit: From Effectiveness to Greatness" karangan Stephen R. Covey melalui garapan sejarah pembukaan Kota Konstantinopel oleh Sultan Muhammad al-Fateh dan juga sudut pandang ilmu Islam. Justeru itu, diharapkan PUISI 2011 mampu menjadi titik temu antara kajian sejarah, falsafah Islam dan ilmu pengurusan moden.



Rangka modul yang dibina akan terbentuk daripada 2 asas utama iaitu penyampaian ceramah serta dilengkapi dengan latihan dalam kumpulan bagi menguatkan lagi pemahaman peserta. Tumpuan pula diberikan kepada 2 pembinaan iaitu pembinaan jati diri Muslim dan kemudiannya mengarah kepada pembinaan kepimpinan Islam. Matlamat akhir modul adalah agar peserta dapat mengambil ibrah daripada kejayaan Sultan Muhammad al-Fateh membuka Kota Konstantinopel bersemangat untuk mengembalikan kegemilangan Islam dengan proses tarbiyyah dan dakwah.

Oleh itu, PUISI 2011 mahu menjadi titik perubahan di mana individu akan mula meneroka diri serta kebolehan sendiri yang berbeza dalam diri individu itu sendiri atau kumpulan] untuk membentuk satu kesatuan di bawah lembayung Islam. 

 



Ketika anda menyaksikan tanah kasar Ioannina, Shkoder and Bosnia, anda pasti akan benar-benar mengenali betapa dahsyatnya ketelitian dan kecanggihan strategi ketenteraan dan usaha diplomatik (Sultan Muhammad) untuk membuka Balkan.” – Profesor Ilber Ortayli, Pengarah Muzium Diraja Topkapi dan Profesor Sejarah di Universiti Galatasaray


Seorang guru pengurusan dan kepimpinan terkenal di dunia pernah ditanya :

Penyoal : “Tuan, hampir mustahil untuk saya mengubah tabiat lama saya. Adakah modul 7 Habit tuan realistik untuk orang seperti saya ? Atau adakah saya ini seorang yang unik ?”

Stephen R. Covey : “Anda tidak keseorangan. Anda bukan orang pertama merasainya. Biar saya terangkan mengapa.

Pernahkah anda melihat penerbangan kapal angkasa Apollo 11 atau menonton video klip atau filem mengenainya ?

Soalan saya kepada anda, waktu bilakah kapal angkasa itu menggunakan tenaga dan kuasa terbanyak untuk berlepas ke angkasa lepas ?



Adakah ketika ia terbang sejauh suku juta batu ke bulan ? Ketika balik ke Bumi ? Ketika mengelilingi bulan ? Ketika pemisahan dan penyambungan semula modul-modul lunar dan kawalan ? Ketika berlepas ke bulan ? Tidak sama sekali. Malah bukan gabungan dari semua itu.


Ia adalah saat ketika Apollo 11 berlepas dari bumi, dan ia berlaku hanya dalam beberapa minit sahaja. Lebih banyak tenaga bahan api digunakan di dalam beberapa minit pertama untuk berlepas dari bumi. Dalam perkataan lain, bahan api dan tenaga dilepaskan paling banyak ketika beberapa batu pertama pengembaraan daripada apa yang telah digunakan di dalam setengah juta batu untuk beberapa hari seterusnya. 

Kenapa ia terjadi sedemikian pada pandangan anda?

Tarikan graviti beberapa batu pertama adalah sungguh kuat. Lantas ia memerlukan tolakan dalaman yang lebih kuat dari tarikan graviti dan rintangan atmosfera untuk menerjah ke dalam orbit. Namun, setelah berjaya mencecah keluar, ia hampir tidak lagi memerlukan sebarang tenaga untuk melakukan semua perkara-perkara lain itu. Malah, salah seorang dari angkasawan itu pernah ditanya mengenai berapa banyak tenaga yang telah digunakan apabila modul lunar tersebut telah berpisah dari modul kawalan untuk mendarat dan menerokai permukaan bulan. Maka dia menjawab. “Kurang dari pernafasan seorang bayi.”

(Sumber : Tabiat ke 8 Daripada Keberkesanan Kepada Keagungan, Stephen R. Covey, terjemahan Mohamad Radzi Zainal, mukasurat 386-387)

Pengembaraan Apollo 11 tersebut memberikan satu metafora yang jelas dan kuat untuk menerangkan pada kita apakah yang diperlukan untuk berpecah dan berpisah dari tabiat-tabiat lama dan mencipta tabiat-tabiat baru. Tarikan graviti bumi yang kuat boleh dibandingkan dengan budaya-budaya masyarakat dan budaya organisasi yang meluas yang mana kita adalah sebahagian darinya. Ini adalah dua daya yang amat kuat, dan anda mestilah mempunyai tekad dalam diri yang lebih kuat daripada kedua-dua daya tersebut untuk menjadikan proses pelepasan itu berlaku.


Islam dan Ops Sikap

Di dalam tradisi kesufian Islam, proses pelepasan dari sikap negatif dan budaya lama itu dipanggil juga sebagai “takhalli”. Ia bermaksud pengosongan dan pembersihan dari sebarang kekotoran dan pengisian. Ia adalah peringkat pertama dari tiga peringkat untuk mendapat darjat kerohanian yang tinggi. Hati, sebagai langkah pertama, harus dikosongkan. Ia mesti dikosongkan dari kecintaan terhadap dunia dan segala keinginan duniawi yang membinasakan. Hati yang sibuk pada dunia, saat ditinggalkannya, sudah pasti akan dihinggapi kesedihan, kekecewaan, kepedihan dan penderitaan. Justeru ia memerlukan satu keupayaan yang dinamakan “mujahadah”. Kemudian, barulah proses “tahalli” atau ‘installation’ iaitu pengisian hati dengan sikap baru dan budaya baru yang lebih diredhai oleh Tuhan dimulakan.


Proses ‘buang tebiat’ atau ‘OPS SIKAP’ sememangnya sukar, namun ketahuilah saudara, kesukaran dan kesusahan itu hanyalah di ‘beberapa minit’ yang pertama sahaja. Ia bukanlah kesukaran sepanjang masa. Apollo 11 mengajar kita hakikat kehidupan. Kesusahan hanyalah ketika mengendalikan secara ‘manual’ di peringkat permulaan, kemudian anda akan saksikan kenderaan diri anda akan selesa bergerak secara ‘auto’ tanpa perlu anda menggelabah lagi. Tekanan yang anda hadapi di peringkat permulaan kini bertukar menjadi kebiasaan, kebiasaan bertukar menjadi hobi, hobi bertukar menjadi karakter (attitude), dan akhirnya penerbangan diri anda yang ‘baru’ menjadi stabil hingga ke akhirnya. Bahan api yang diperlukan pada permulaan itu hanyalah bahan bakar bernama ‘mujahadah’.


Tuhan yang sama mencipta peraturan untuk Apollo 11 melepasi tarikan graviti dan atmosfera bumi, Tuhan yang sama mencipta peraturan untuk manusia melepasi tarikan graviti nafsu yang sangat kuat dan atmosfera kejahatan yang sering mendatangi diri yang mahu melakukan proses perubahan dan pelepasan.


Pernahkah anda mengetahui pengertian “Ramadhan” yang bermaksud panas membakar ? Mungkin soalan berikut akan memberikan kefahaman kepada kita bagaimana indahnya nama sebuah bulan yang dipilih Tuhan untuk disebut di dalam kitab suci Al-Quran dan seterusnya dijadikan bulan latihan berpuasa.


Masihkah anda ingat ketika anda berpuasa pada 1 Ramadhan lepas ? Bagaimanakah perasaan anda ketika jam menunjukkan 1 petang dan anda pula sudah kepenatan akibat separuh hari anda di pejabat tanpa seteguk air pun mahupun sepinggan nasi menjamah perut anda. Bandingkan pula ketika anda berada di penghujung Ramadhan. Pernahkah anda mengunci jam loceng anda agar berbunyi pada jam 5 pagi, namun jam tidak berbunyi dan anda ketinggalan sahur ? Samakah tahap kekecewaan anda tidak mampu bangun bersahur antara hari-hari pertama Ramadhan dengan hari-hari pertengahan dan akhiran Ramadhan ? Anda tetap dapat meneruskan puasa seperti biasa meskipun anda kekadang tertinggal ibadah sahur.



Bandingkan pula anda baru pulang dari solat sunat ‘Idulfitri pada pagi 1 Syawal tersebut, ibu anda menjemput untuk menjamah kuih tat nenas yang dibuanya di atas meja. Bukankah timbul rasa bersalah dan kekok seketika untuk anda membuka mulut dan menghulurkan kuih tat nenas itu ke pintu gerbang perut anda ? Inilah impak 30 hari anda melatih diri untuk berlapar dan berlapar.


Selama 30 hari anda menghadapi tekanan untuk melawan fitrah anda terhadap makan dan minum, kini anda menyaksikan hasilnya. Bukan setakat itu sahaja medan latihan Ramadhan. Selama 30 malam anda menunaikan solat sunat tarawih di masjid dan surau. Tidakkah anda rasa bersalah untuk meninggalkan solat Isya berjamaah di masjid sebaik sahaja memasuki bulan Syawal dan bulan-bulan seterusnya? Inilah impak maksima latihan pengulangan aktiviti yang sama (the law of repetition of action) yang anda telah lakukan di sebalik kemeriahan moreh dan laungan takbir semasa bertarawih.


Bukan sekadar itu sahaja. Allah Maha Bijaksana, programnya juga sudah pasti Maha Bijaksana dan penuh dengan rahsia yang tidak mampu dibongkar dengan akal saintifik manusia yang terbatas. Selama 30 malam anda terpaksa untuk mengubah rutin harian anda dengan bangun di waktu menjelang Subuh. Anda terpaksa bangun untuk bersahur kerana anda tahu bahawa anda terpaksa makan dan minum secukupnya bagi menahan diri dari makan dan minum selama 13-14 jam di siang hari nanti. Tanpa sahur, anda tidak akan bertenaga di siang hari nanti. Anda tahu hakikat itu. Maka anda terpaksa ‘buang tebiat’ bangun selama 30 malam berturut-turut. Sedar atau tidak, bukankah dengan bangun untuk sahur itu, anda punyai lebih banyak masa dan tenaga untuk menunaikan solat malam dan tahajjud yang cukup sukar dilakukan di selain bulan puasa? Bukankah pada solat malam dan tahajjud itu tersembunyi kelebihan yang dahsyat sehingga Nabi yang dijamin Syurga sekalipun sanggup terbengkakkan kakinya akibat solat tahajjud yang diwajibkan ke atas dirinya sama seperti solat fardhu ?


Dan bangunlah pada sebahagian dari malam serta kerjakanlah solat tahajud pada waktu itu sebagai solat tambahan bagimu semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkan kamu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.” (Surah al-Israa’: 79)


Puasa paling utama selepas puasa Ramadan adalah puasa (sunat) pada bulan Allah, iaitu Muharam, sedangkan solat paling utama selepas solat wajib adalah solat malam (tahajud).” Hadis direkodkan oleh Imam Muslim di dalam Sahihnya, nombor 1163.


Apabila memasuki bulan Syawal dan seterusnya, tidakkah timbul rasa bersalah untuk anda meninggalkan rutin anda yang baru iaitu bangun malam untuk bertahajjud meskipun anda sudah tidak perlu bersahur dan berpuasa. Demikianlah sahur itu dinaikkan martabatnya oleh Nabi sebagai ibadah berpahala besar, kerana ia hanyalah sebuah ‘proses’ untuk mencapai ‘objektif’ dan 'big picture' Ramadhan itu sendiri iaitu bangun malam dan bertahajjud di sepertiga malam.

Sabda Rasulullah S.A.W : “Barangsiapa bangun untuk menghidupkan malam-malam Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan diampunkan dosa, nescaya Allah akan menghapuskan seluruh dosa-dosanya yang lepas.” (hadis direkodkan Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah)


Tidak cukup sekadar impak maksima Ramadhan pada pembukaan hariannya dengan sahur dan pengakhiran hariannya dengan tarawih. Impak sebenar Ramadhan adalah ketika proses berlapar dan berdahaga itu sendiri. Bayangkan ketika anda berwudhuk untuk solat Zuhur dan Asar pada bulan Ramadhan, atau anda mandi pada waktu tengahari atau petang ketika anda sedang berada di ‘kemuncak’ kelaparan dan kedahagaan, kenapakah tidak anda teguk sahaja air wudhuk atau air mandi tersebut, sekurang-kurangnya untuk menghilangkan dahaga ? Bukankah tidak ada orang melihat anda ketika di bilik mandi, hanya anda dengan diri anda sahaja. Dari manakah kekuatan untuk anda mengatakan “tidak” kepada air wudhuk dan air mandi itu ketika anda mampu melakukannya secara rahsia ? Tiada suara yang menguatkan anda untuk melakukan “learn how to say no” itu melainkan suara hati anda sendiri. Itulah suara hati yang sedang melalui proses fitrah iaitulah pembersihan dari gangguan suara nafsu yang sedang ditambat kuat oleh proses berlapar dan berdahaga.


Justeru, tidakkah selepas meninggalkan Ramadhan, anda punyai suara hati yang fitrah dan kini benar-benar anda ‘merdeka’ dari terus menjadi ‘tahanan’ dan ‘hamba abdi’ kepada suara nafsu ? Bukankah kini “remote controller” iaitu hati anda ‘merdeka’ dari pengarahan demi pengarahan dari suara nafsu ke atas fikiran, mata, lidah, telinga, kaki dan tangan anda ? Bukankah kini anda benar-benar “kembali pada fitrah” (‘idulfitri), anda punyai kekuatan melakukan perkara yang dihalalkan meskipun nampak pahit laluannya dan meninggalkan perkara yang diharamkan meskipun nampak manis jika dapat menikmatinya. Maka inilah taqwa, maqasid (objektif) sebenar dari pelbagai proses latihan “the law of repetition” perbuatan-perbuatan yang sama selama 30 hari berturut-turut dalam bulan Ramadhan.


Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa” (Surah Al Baqarah, Ayat : 183)


Umar pernah bertanya pada Ubai bin Kaab, ‘Apakah itu takwa?’ Ubai menjawab, ‘Wahai Amir Al-Mukminin, tidakkah engkau pernah memasuki jalan yang penuh berduri?’ Umar menjawab, ‘Ya.’ Ubai berkata, ‘Apakah yang engkau lakukan?’ Umar menjawab, ‘Aku menyingsingkan seluarku dan memerhatikan kakiku. Aku meletak satu langkah demi satu langkah dengan cermat kerana takut terkena duri.’ Ubai berkata, ‘Itulah takwa!’


Sabda Rasulullah S.A.W : “Siapa yang tidak meninggalkan kata-kata keji dan perbuatan keji, Allah tidak mengendahkan amalannya meninggalkan makanan dan minuman.”

Begitulah hebatnya proses latihan dan pendidikan dalam madrasah Ramadhan. Inilah “IPT” Ramadhan, Institut Penjanaan Taqwa! 30 hari itu tidak lama berbanding 365 hari iaitu setahun. Namun, tempoh 1 bulan latihan penuh ‘tekanan’ itulah yang menjana momentum ketaqwaan 11 bulan selepas Ramadhan. Sebab itulah Ramadhan itu sendiri membawa maksud “bahan api yang panas membakar”, seperti kisah Apollo 11 tadi.

Maka benar dan bijaklah sabda Rasulullah S.A.W yang menyebut :

“Sebaik-baik amalan adalah yang berterusan meskipun sedikit.” (hadis direkodkan oleh Al-Bukhari dan Muslim).


Maknanya, Rasulullah S.A.W sama sekali tidak menyarankan sikap melakukan sesuatu amalan yang banyak tetapi akhirnya tidak konsisten dari sudut penerusannya.


Berfikirlah Positif Pada Setiap Tekanan dan Ketentuan Tuhan
Proses perubahan sikap telah dimaklumi bukan suatu proses yang mudah dan menyenangkan, bahkan ia satu ujian yang getir yang seringkali cuba dielakkan oleh manusia yang lemah semangat dari menghadapinya. Stephen R. Covey pernah memperkenalkan satu prinsip untuk berfikir positif pada setiap tekanan, ujian dan ketentuan Tuhan ke atas kita dalam kehidupan seharian. Ia dinamakan prinsip “90 : 10”. Prinsip ini menurutnya mampu mengubah hidup kita atau sekurang-kurangnya, cara kita memberikan reaksi kepada sesuatu situasi luar jangka yang berlaku seharian ke atas kita. Prinsip ini menyatakan bahawa :


10% dari kehidupan anda adalah sesuatu yang sememangnya telah ditaqdirkan berlaku kepada anda, anda tidak mampu mengelaknya dengan apa cara sekalipun. Manakala 90% dari kehidupan seharian anda hakikatnya ditentukan oleh bagaimana cara anda memberikan reaksi kepada taqdir yang berlaku tersebut.


Apakah maksud prinsip ini ? Marilah kita ambil apa yang baik dari guru pengurusan dan kepimpinan terkenal di Barat ini. Ia membawa maksud kita tidak mampu mengawal sedikitpun 10 % apa yang ditaqdirkan berlaku pada kita. Contohnya, kita tidak mampu mengelakkan kereta kita daripada rosak tiba-tiba di tepi jalan. Kita tidak mampu mengelakkan kapal terbang kita yang lewat sampai hingga jadual kita tergendala. Kita juga tidak mampu mengawal keadaan kita yang terperangkap dalam kesesakan lalulintas. Kita tidak mampu mengawal kesemua 10 % itu tadi. Tetapi, baki 90 % lagi adalah berbeza sama sekali. Kita mampu menentukan keadaan 90 % tersebut. Bagaimana ? Jawapannya, dengan menguasai reaksi anda.


Sebagai contoh, anda tidak mampu mengawal lampu isyarat. Tetapi anda mampu mengawal reaksi anda ke atas situasi ini. Jangan biarkan orang lain memperbodoh anda. Anda mampu mengawal reaksi anda kepadanya. Mari lihat contoh berikut pula.


Anda sedang mengambil sarapan pagi bersama keluarga. Tiba-tiba anak perempuan anda berusia 6 tahun menumpahkan kopi ke atas baju kemeja anda. Anda sememangnya tidak mampu mengawal apa yang baru sahaja terjadi. Tetapi, apa yang berlaku kemudiannya, ditentukan sendiri oleh cara reaksi anda. Anda mungkin marah. Anda dengan suara keras memarahi anak anda tersebut kerana menumpahkan kopi hitam pekat ke kemeja rasmi anda. Kemudian, anak anda menangis teresak-esak. Selepas memarahinya, anda pula pergi mengkritik isteri anda kerana meletakkan cawan kopi tersebut terlalu hampir dengan tepian meja. ‘Perang mulut’ akhirnya berlaku. Kemudian anda pun naik ke bilik anda untuk menukar pakaian. Selepas menukarnya, anda kembali ke bawah dan mendapati anak anda terus menangis dan tidak mampu menghabiskan sarapannya. Anak anda ketinggalan bas sekolah kerana lewat menghabiskan sarapannya.


Isteri anda pula telah bergegas ke pejabatnya kerana masanya juga telah terlewat. Anda meluru ke kereta dan membawa anak anda ke sekolah. Disebabkan kelewatan anda,anda memandu 140km sejam dan melebihi had laju yang dibenarkan. Selepas 15 minit terlewat dan menerima surat saman polis RM 150, anda pun tiba di sekolah. Anak anda terus meluru ke kelas tanpa sempat mengucup tangan anda. Selepas tiba di pejabat 20 minit lewat, baru anda sedari anda tertinggal beg pejabat anda.


Hari anda hari ini bermula dengan sangat malang. Nampaknya, keadaan di pejabat juga akan terus menjadi lebih buruk. Anda hanya mampu mengharapkan supaya dapat balik ke rumah segera. Setibanya anda ke rumah, anda mendapati hubungan anda dengan isteri dan anak anda telah sedikit terjejas dan renggang. Kenapa terjadi kesemua ini ?


Jawapannya, kerana reaksi yang telah anda lakukan pada hanya beberapa minit sahaja pada pagi tadi. Sekarang anda menyaksikan buat kesekian kalinya bagaimana benarnya kata-kata pepatah bahawa “permulaan seringkali menentukan pengakhiran”. Kenapa anda memilih untuk memulakan hari anda dengan begitu buruk? Anda tidak dapat mengawal apa yang telah dilakukan oleh anak anda dan air kopi itu. Tetapi reaksi anda yang tidak sampai 5 saat itu telah menyebabkan seluruh hari anda sangat malang.


Berikut adalah apa yang sepatutnya berlaku pada anda.


Kopi tumpah ke baju anda. Anak anda mula menangis teresak-esak ketakutan. Dengan penuh kasih sayang anda berkata :


Tak mengapa sayang. Kamu hanya perlu lebih berhati-hati pada masa akan datang.”


Anda mengelap tumpahan itu dengan tuala dan kemudian anda pergi menukar baju dengan tenang. Kemudian anda mengambil beg pejabat anda, anda turun ke bawah semula lantas mendapati anak anda kembali tenang dan selamat menaiki bas sekolahnya. Isteri anda juga pergi ke pejabat pada masanya tanpa menyedari anda sudah menyalin baju lain. Anda pula tiba 10 minit lebih awal ke pejabat dan menyapa dengan penuh keceriaan staff di pejabat anda. Dapatkan anda melihat perbezaannya?


Dua senario berbeza. Kedua-duanya bermula dengan kemalangan yang sama. Tapi kesudahan kedua-duanya berbeza. Kenapa? Kerana reaksi andalah penentunya.


Justeru, hadapilah kehidupan ini dengan manfaat dari prinsip “90 : 10” ini. Apa yang disarankan oleh Stephen R. Covey ini sudah dipintas oleh formula agung dari Tuhan sendiri. Cukup tenang seorang Muslim yang berpegang teguh kepada piagam hidup dari ayat dan hadis berikut.


Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah: 216)


Sungguh menghairankan perihal orang mukmin itu. Sesungguhnya seluruh perkara baginya adalah baik baginya. Dan hal itu tidak dimiliki oleh siapapun kecuali orang mukmin. Jika dia diberi sesuatu yang menggembirakan dia bersyukur, maka ia menjadi baik baginya. Dan apabila ia ditimpa suatu madharat, ia bersikap sabar, maka itu menjadi baik baginya.”(Hadis direkodkan oleh Imam Muslim)


Aku berada di atas sangkaan hamba-hambaKu, sekiranya mereka bersangka baik pada-Ku, maka akan ditunaikan (sangkaan itu). Jika mereka bersangka buruk, maka turut akan ditunaikan (sangkaan itu).” (Hadis direkodkan oleh Imam Ahmad dan Ibn Hibban)

Justeru saudara, jika seseorang berkata sesuatu yang negatif pada anda, janganlah cepat melatah dan panas baran. Biarkan bidasan itu berlalu bagaikan membuang air dari gelas. Jangan biarkan komen negatif itu mula menguasai reaksi anda. Berikan reaksi sewajarnya supaya kehidupan anda tidak terjejas keseluruhannya. Ingat, perkataan yang dilafazkan adalah doa, ia punyai kuasa yang tersendiri sama ada baik mahupun buruk.

"Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berbicara yang baik atau diam sahaja” (Hadis direkodkan oleh Imam Bukhari)


Ingatlah saudara, reaksi yang silap memungkinkan anda kehilangan kawan baik, atau anda dipecat atau anda sendiri yang tertekan (stress) berpanjangan. Islam adalah agama yang mengajar umatnya kepercayaan dan keimanan kepada qadha’ dan qadar, menyerahkan segala urusan dan ikhtiar kembali pada Allah dengan penuh redha selepas segenap ikhtiar terbaik dilakukan. Hentikan melatah dan menyalahkan orang lain apabila anda mendapati apa yang dirancang pada awalnya tidak berlaku sebaik yang diharapkan di pertengahan jalan.


“Terima Kasih Rotan!” – Muhammad Al-Fatih

Muhammad Al-Fatih melakar sejarah bukan kerana beliau sememangnya punyai kelebihan atau karamah tertentu dari Tuhan yang tidak dianugerahkan kepada orang lain. Kebarangkalian untuk beliau memiliki karamah tertentu itu tidak menjadi fokus penulisan sejarah mengenai beliau dan sejarawan pada zaman beliau. Muhammad Al-Fatih bukanlah ‘Superman’ yang muncul secara tiba-tiba dari langit untuk menjadi penyelamat kepada umat Islam Othmaniyyah dari gangguan demi gangguan kerajaan Rome Byzantine. Al-Fatih adalah manusia biasa yang punyai ‘zaman gelap’ ketika kanak-kanak sehingga belasan guru-guru spiritual dan para pensyarah yang diamanahkan oleh ayahnya, Sultan Murad untuk mendidiknya namun gagal akibat kedegilannya.


Telah direkodkan bahawa Sultan (Murad) telah memberikan rotan kepada guru puteranya (Sultan Muhammad al-Fateh) dan membenarkannya untuk merotaninya jika diperlukan.” - Lord Kinross ( The Ottoman Centuries, 1977) -


Remaja mana yang suka untuk dirotan. Ia cukup menyakitkan fizikal dan mental apatah lagi jika dirotan di khalayak ramai. Namun akhirnya Al-Fatih terpaksa mengakui hakikat bahawa beliau adalah anak seorang seorang Sultan yang memerintah sebuah empayar yang besar di era kemuncak kegemilangan. Beliau mula memahami bahawa di bahunya diletakkan harapan setinggi gunung untuk menebus harapan jutaan ummat dan titisan darah puluhan ribu syuhada’ dan panglima-panglima Islam zaman berzaman yang mahu membuka kota kebanggaan Hercules itu. Di hadapan matanya, beliau mula menyaksikan bagaimana dirinya benar-benar telah dipersiapkan sebaiknya oleh ayahnya untuk menjadi pembuka kota Konstantinopel yang dimaksudkan Rasulullah S.A.W.


Menyedari hakikat ini, Al-Fatih mengambil keputusan untuk membuat perubahan ke atas dirinya dan berhenti dari meneruskan sikap negatif dan tabiat lama beliau. Inilah saat dan detik terpenting dalam hidup beliau, sebatang rotan yang telah mengejutkan paradigma selesanya dan lenanya yang panjang dari tanggungjawab untuk merealisasikan hadis Nubuwwah. Ternyata Al-Fatih tidak bersikap mengubah ayah atau ibunya, mahupun mengubah sekolah atau tuan gurunya yang menghadapkan sesuatu keinginan yang tidak menjadi keinginannya pada awalnya. Ketentuan ke atasnya telah diterima dengan positif, lantas dia mengubah sikapnya sendiri.


Kuasa Perkataan “Boleh Jadi”
Tuhan menyebutkan bahawa : “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah: 216)


Dalam kehidupan seharian, kita sering didatangi dengan pelbagai lintasan di hati apabila melihat seseorang atau sesuatu keadaan sekeliling. Seringkali yang menjadi lintasan pertama (1st impression) adalah lintasan yang negatif kerana manusia seringkali mendahulukan pandangan nafsu yang seringkali muncul lebih awal dari pandangan matahati. Benarlah pepatah yang menyebutkan “people always judge a book by its cover.” Hanya dengan menyebut perkataan-perkataan yang positif di bibir sendiri atau diperdengarkan dari orang lain akan mampu membantu seseorang melihat dengan pandangan matahati.

 Mat Luthfi dan Tazkirah "Judgemental" Darinya


Kerapkali terjadi suatu dialog antara saya dan isteri ketika berada di dalam kereta setiap kali kami terperangkap dalam lebih 3 lampu isyarat di hadapan stesen minyak Shell Greenwood. Saya cukup marah dengan mereka yang selalu mengambil laluan mudah di sebelah kiri bahu jalan. Jalan raya di situ hanya mempunyai dua laluan dan kebiasaannya mudah sesak kerana kereta dari pelbagai penjuru perumahan dan menjadi pertemuan lebuhraya utama PLUS-DUKE-MRR2. Keadaan menjadi lebih teruk apabila setiap kali waktu pagi dan selepas waktu pejabat.

Saya : "Kau ingat ni jalan bapak engkau ke, ikut suka hati je mamat ni!" (nada penuh kemarahan)

Isteri : "Abang, bertenang. Boleh jadi dia baru lepas bubuh minyak. Mana ada laluan lain lagi dia boleh keluar melainkan laluan bahu kiri jalan. Boleh jadi dia baru selesaikan anak kecilnya nak ke tandas di stesen minyak itu."

Sungguh berubah saya seketika. Dari keadaan marah bertukar menjadi tenang seketika.

"Ada benarnya juga apa yang dikatakan isteriku itu.", bisik hati saya. Kini, saya mula belajar betapa penting kuasa perkataan "boleh jadi", khususnya apabila saya sendiri yang sudah lebih tiga kali terpaksa melalui bahu kiri jalan itu sendiri dan mengharapkan orang lain pula bersangka baik dengan saya.

Inilah kuasa perkataan “boleh jadi”. Hanya dengan dua patah perkataan ini ia mampu menyelamatkan hari anda dari terjadi sebaliknya.


Sebab itu hidup seorang Muslim jika benar-benar mengikut sunnah Rasulullah, dia akan mendapati hidupnya sepanjang 24 jam penuh dengan ungkapan doa, dari mula membuka mata bangun dari tidur hinggalah ketika mahu menutup mata untuk tidur semula. Inilah ejen kawalan dari langit untuk manusia sentiasa berada dalam kebaikan dan menarik kebaikan-kebaikan itu datang kepadanya.


Perkataan adalah doa. Setiap kali ditimpa ujian, keluarkanlah perkataan-perkataan yang positif kerana ia adalah doa yang sedang didengari oleh Yang Maha Mendengar. Allah memerintahkan hamba-hambanya menyebut doa dengan jelas dan yakin ia akan dimakbulkan, dan bukan sebaliknya berdoa dalam hati.


Pernah terjadi satu dialog antara saya dan anak saudara saya, Jazmi :

Jazmi : “Pakcik, bukankah Allah Maha Mendengar, jadi kalau kita hadapi masalah dan kemudian berdoa dalam hati pun tak mengapa kan Pak Cik ?

 Saya : “Allah menyuruh kita berdoa dengan menyebut dengan jelas bukan kerana Allah itu tidak boleh mendengar jika kita memperlahankan suara. Doa yang diungkapkan itu kembali pada Jazmi sebenarnya, bukan untuk Allah."
 
Jazmi : “Apa maksudnya Pak Cik ?

Saya : “Dengan mengangkat tangan, menyebut dengan jelas dan terang sehingga didengari oleh telinga Jazmi sendiri, kemudian memahami setiap lafaz-lafaz doa yang disebutkan, sesungguhnya perkataan positif yang diungkapkan dalam doa itu adalah sebahagian dari penyelesaian masalah yang Jazmi hadapkan pada Tuhan.”


Muhammad Al-Fatih adalah pemuda yang menorah tinta emas dalam sejarah Islam membuka Kota Konstantinopel bukan dengan kekuatan kebijaksanaan fikiran dan teknologi persenjataan sahaja, tetapi dengan kekuatan spiritual dan doa yang tidak putus-putus kepada Allah bersama dengan guru besarnya, Shekh Aq Syamsuddin. Solat fardhu dan solat tahajjud yang tidak pernah ditinggalkan oleh Al-Fatih sejak dari aqil baligh adalah bukti bagaimana anak muda itu mengaplikasikan kuasa doa dalam menjana pemikiran positif. Tanpa doa di celahan rakaat solat fardhu dan tahajjud yang kerap kali dikerjakan, sudah pasti anda akan menyaksikan episod demi episod Al-Fatih berputus asa untuk membuka kota Konstantinopel itu berkesudahan dengan baginda mengundurkan diri dari meneruskan asakan 53 hari ke atas benteng terkebal di dunia itu.


Sesungguhnya Barat memanggilnya sebagai “the law of attraction” atau hukum tarikan, Islam memanggilnya sebagai “doa”, dan saya memanggilnya sebagai “the law of pressure” atau hukum tekanan. Berfikirlah positif, anda mampu mengubahnya !


Terima Kasih Konstantinopel

Pembukaan Konstantinopel pada 1453 Masihi ternyata membenarkan sabda Tuhan bahawa pada setiap kesulitan itu ada kesenangan. Kesulitan 53 hari kepungan itu ternyata tidak lama jika dibandingkan dengan 27 tahun kepungan demi kepungan seterusnya dalam puluhan misi ketenteraan dan pembukaan Muhammad Al-Fatih ke atas tanah-tanah Eropah dan Balkan. Namun, pengalaman menguruskan perang ke atas kota yang mempunyai tembok terkebal dunia dan pelbagai lagi kenangan pahit manis sepanjang 2 bulan menggempur Konstantinopel itulah menyebabkan Al-Fatih melihat cabaran seterusnya sudah pasti lebih mudah untuk dilakukan.


Jika proses membuka Konstantinopel melalui jalan mudah, sudah pasti Al-Fatih akan kekok dengan pengalaman-pengalaman baru dan lebih menyulitkan di masa-masa mendatang, dan sudah pasti kekalahan demi kekalahan pasukan beliau akan dirakamkan oleh sejarah lebih dari kejayaan membuka Konstantinopel. Namun hakikatnya yang berlaku selepas 29 Mei 1453 Masihi adalah berbeza. Al-Fatih cuma tumpas sekali sahaja di Belgrade, namun beliau ternyata sukses dalam majoriti misi pembukaan dan peperangan jihad beliau di jalan Allah untuk membuka Eropah dan Balkan.


Kenyataan berikut membenarkan hakikat bahawa pada setiap kesulitan itu ada kesenangan. Ia hanyalah soal bagaimana anda berfikir kerana apa yang anda lihat menentukan apa anda akan perolehi.


Between 1461 and 1463, the conquest of the Balkans was accomplished in a similar manner. It is not easy to communicate to a large readership what this conquest entailed and to show how Albania and Bosnia were incorporated into the empire. This difficulty is, in fact, only to be expected, an appreciation of history cannot come from reading and listening alone, as one also needs to have knowledge of the geography of an area being studied. For this reason, my advice to young people today is to try to visit the locations in questions. And when they look at the rugged land of Ioannina, Shkoder and Bosnia, they will really come to recognise the masterfulness and sophistication of the military and diplomatic strategies used by Mehmed in this conquest.” (Ilber Ortayli, “Discovering The Ottomans”, halaman 64)


Terjemahan petikan utama :
 
Sepanjang tahun 1461 dan 1463, penawanan negara-negara Balkan telah disempurnakan oleh Muhammad Al-Fatih dengan cara yang hampir sama dengan cara penawanan Konstantinopel. Sesungguhnya bukan suatu kerja yang mudah untuk memberitahu kepada sidang pembaca bagaimana peristiwa pembukaan Balkan ini dilakukan dan bagaimana hebatnya Albania dan Bosnia mampu diserapkan masuk ke dalam empayar Othmaniyah. Untuk menghargai sejarah, fakta ini tidak boleh hanya diketahui dengan pembacaan dan pendengaran sahaja. Seseorang mestilah mempunyai pengetahuan yang mendalam mengenai geografi negara-negara Balkan itu. Ketika anda menyaksikan tanah kasar Ioannina, Shkoder and Bosnia, anda pasti akan benar-benar mengenali betapa dahsyatnya ketelitian dan kecanggihan strategi ketenteraan dan usaha diplomatik (Sultan Muhammad) untuk membuka Balkan.” – Profesor Ilber Ortayli, Pengarah Muzium Diraja Topkapi dan Profesor Sejarah di Universiti Galatasaray

Sesungguhnya peluang melakar sejarah dalam hidup anda mungkin hanya datang sekali seumur hidup. Kekadang ia memerlukan sedikit kerja keras dan menanggung sedikit malu hanya untuk menorah sejarah yang tidak akan dilupakan oleh anda sendiri buat selamanya. Yakinlah, sejarah emas itu tidak dinukilkan dengan mudah sebagaimana kota Rom tidak terbina dalam masa sehari.


Sumber : Buku "Berfikir Gaya Al-Fatih", akan diterbitkan tidak lama lagi.

Integriti Maya

Sebarang pengambilan mana-mana bahagian daripada tulisan di sini adalah sangat digalakkan untuk disebarkan, namun perlulah mendapat izin daripada Iskandarfateh.

Ataupun, sila beri kredit bahawa anda mengambil mana-mana kenyataan tersebut dari Blog
Iskandarfateh ini.

Terima kasih. Saya sangat hargai kunjungan anda.

Montaj IPTC

Twitter With Me

Profail Blogger


Syaari Ab. Rahman merupakan seorang perunding motivasi terlatih. Profail lengkap beliau di "Hubungi Saya"