Content feed Comments Feed

Merujuk kepada Berita Harian (muka hadapan), 26 Mac 2008 yang melaporkan bahawa Kerajaan berhasrat untuk meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) bagi memberi lebih kebebasan kepada pelajar dan universiti, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) menyambut baik hasrat Kerajaan tersebut dan menggesa perbincangan ke arah pengkajian semula Akta tersebut dapat disegerakan supaya ia tidak lagi dilihat seperti “angan-angan tahi ayam”. Mahasiswa tidak mahu kecewa untuk ke sekian kalinya selepas janji penubuhan satu jawatankuasa khas sekitar 3 tahun lepas untuk mengkaji peruntukan-peruntukan tertentu AUKU, akhirnya berkesudahan dengan pengumuman Timbalan Perdana Menteri bahawa kerajaan tidak bercadang untuk memansuhkan AUKU.


GAMIS bersetuju bahawa tiba masanya Akta berkenaan dikaji semula dalam usaha melahirkan intelektual generasi kedua yang lebih berdaya saing serta mempunyai daya tahan yang tinggi sebagaimana disuarakan Menteri Pengajian Tinggi yang baru, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. GAMIS melihat sekiranya pindaan besar atau pemansuhan total berlaku ke atas Akta yang sudah berusia hampir 37 tahun tersebut, maka ia adalah satu respons strategik Kerajaan terhadap dilema ‘kritikal’ pendidikan tinggi di Malaysia yang pernah dirumuskan oleh Laporan Bank Dunia (Mac 2007) sebagai : “the Malaysian higher education system is at a critical point in its evolution’’. GAMIS berpandangan bahawa agenda memartabatkan semula imej pendidikan tinggi Malaysia ke mata dunia mestilah bermula dengan kebebasan akademik itu sendiri dari sebarang akta yang mencengkam pensyarah atau mengongkong pelajar untuk bebas memberikan pandangan. Dr. Wan Abdul Rahman Wan Muda dari Universiti Sains Malaysia pernah menyatakan bahawa perlaksanaan AUKU menandakan bermulanya parut hitam dalam sejarah kebebasan akademik di Malaysia.


GAMIS juga mencadangkan fokus pengkajian semula AUKU adalah pada seksyen-seksyen baru yang dimasukkan selepas pindaan pada tahun 1975 yang dibentangkan oleh Menteri Pelajaran waktu itu, Tun Dr Mahathir Mohamed, seperti Seksyen 15A, 15B, 15C, 15D, 16A, 16B, 16C dan lain-lain yang jelas bercanggah dengan prinsip keadilan undang-undang. GAMIS juga mengharapkan agar Kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi bersedia mempertimbang apa jua kritikan dan saranan ke atas AUKU dari mana-mana sarjana akademik dan wakil-wakil pelajar tanpa mengira latarbelakang politik mereka.


GAMIS juga mengharapkan agar pindaan AUKU yang akan dilakukan kelak bukan sekadar bermotifkan untuk kepentingan agenda ‘populariti’ Malaysia melalui perancangan Universiti Apex semata-mata, tetapi apa yang lebih penting adalah soal kualiti modal insan (mahasiswa) selaku produk Universiti itu sendiri, keunggulan pensyarah dan barisan professor, serta kurikulum pendidikan yang lebih seimbang antara tuntutan utilitarianisme dan intelektualisme mahasiswa. GAMIS mengharapkan asas utama dalam merangka pindaan AUKU adalah satu perasaan pertanggungjawaban Universiti bahawa mahasiswa bukan sekadar dijadikan 'agen industri' melalui kecemerlangan ‘pointer’ pengajian semata-mata, tetapi mahasiswa juga adalah agen sosial perubah nasib masyarakat yang memerlukan elemen pemikiran kritis dan kreatif untuk membina negara sepanjang mereka di kampus.


Ketidakmampuan universiti Malaysia memenangi Noble Prize Laureates sepanjang 37 tahun AUKU dikuatkuasakan, bahkan menyaksikan jatuhnya ranking Universiti Malaya dari ranking Top-100 Best Universities sehingga dipintas universiti-universiti baru di Singapura, seharusnya menjadi pengajaran kepada Kementerian Pengajian Tinggi dalam proses membuka lembaran baru landskap Institusi Pengajian Tinggi Malaysia. Mekarnya debat-debat politik di universiti-universiti yang mengungguli carta liga perdana universiti terulung dunia seperti Harvard University, Cambridge University, Oxford University sepatutnya dijadikan trademark dalam menentukan halatuju pendidikan tinggi di Malaysia.

Muqaddimah

Penyakit AIDS adalah merujuk keadaan seseorang yang mengalami kehilangan daya tahan penyakit di dalam tubuh, sehingga menjadi mudah dijangkiti penyakit dengan keadaan yang parah. Sehingga kini, penyakit yang disebabkan oleh virus HIV ini, masih belum ditemui ubat yang dapat menyembuhkan penyakit merbahaya ini. Para penghidap HIV/AIDS ini akan berhadapan dengan risiko kematian.

Dalam buku “Ihdzaruu Al-Aids Al-Harakiy (1989)”, Al-Ustaz Fathi Yakan secara khusus mengingatkan kes kehancuran harakah dan tanzim dakwah di Lubnan. Hal yang sama juga berlaku di beberapa Negara Muslim yang terdapat harakah Islamiah di situ. Beliau berpendapat, kes-kes kehancuran tanzim dakwah bermula dari kelemahan daya tahan dalaman jama`ah, yang seringkali terjadi di saat mereka berada di atas paksi Mihwar Siyasi (Orbit Politik).

Hal ini sering terjadi ketika harakah Islamiah memasuki wilayah amal siyasi (kerja politik) untuk menyempurnakan wilayah `amal dakwah dan meningkatkan sasaran dakwah yang lainnya. Mengapa terjadi seperti ini? Apakah penglibatan harakah Islamiah dalam wilayah politik adalah suatu kekeliruan dan kesilapan? Tentu saja tidak !! Bahkan ini adalah suatu kewajipan kita semua.

Konsep Syumuliatul Islam yang diperkenalkan Imam Hasan al-Banna di dalam usul pertama dari Usul `Isyrin, telah memberikan gambaran pentingnya kita bergerak di paksi politik demi tertegaknya Ad-Din wa Ad-Daulah. Sesungguhnya saat ini, Syumuliayatud Dakwah menuntut kita memasuki dan menguasai wilayah politik.


Virus Berbahaya

Persoalan yang timbul ialah bagaimana virus ini boleh berjangkit dan menjadi penyebab kehancuran kepada harakah? Dalam analisa dan tajribah Ustaz Fathi Yakan, terdapat 7 faktor utama yang menyebabkan hal ini terjadi :

1.

ila 1) Hilangnya Manna`ah I`tiqodiyah (imuniti keyakinan) dan tidak terbinanya bangunan dakwah di atas dasar fikrah dan mabda’ yang benar dan jitu. Akibat yang timbul dari faktor ini, tanzim dakwah tidak tertegak di atas fikrah yang benar dan utuh. Adakalanya sebuah tanzim hanya wujud sebagai Tanzim Ziyami, iaitu tanzim yang berdiri atas landasan wala’ kepada seorang pemimpin yang diagungkan. Ada juga yang bergerak sebagai Tanzim Syakhshi, iaitu tanzim yang tertegak atas bayangan keperibadian (figure) seorang pemimpin. Terdapat juga yang berbentuk Tanzim Mashlahi Naf`i yang berorientasi mewujudkan tujuan perlaksanaan pengisian semata-mata. Kerana itu, binaan tanzim menjadi begitu rapuh, tidak mampu menghadapi kesulitan dan cabaran. Akhirnya bergoncanglah binaan dan bercerai-berai shofnya sehingga terjadilah berbagai peristiwa dan tragedi.


2. 2) Perkaderan dan pembinaan anggota berdasarkan kuantiti, dengan mengutamakan bilangan dan jumlah keahlian menjadi keutamaan qiyadah. Seringkali dianggap, bahawa jumlah yang banyak itu akan menjadi penentu kemenangan dan kejayaan. Kondisi ini mungkin ada kebenarannya ketika sebuah harakah dakwah tampil secara rasmi sebagai parti politik dan terlibat dalam pilihanraya. Akan tetapi hal ini perlu diawasi kerana, orientasi ini akan memudahkan pihak-pihak tertentu cuba mewujudkan qaidah sya’biyah atau dasar dokongan sosial untuk kepentingan merealisasikan tujuan-tujuannya.


Dalam situasi tertentu akan muncul keperibadian atau tokoh-tokoh tertentu dalam harakah yang memperjuangkan kepentingan peribadi dengan memanfaatkan qaidah sya’biyah yang dibinanya. Pada saat ini, qa`idah sya’biyah ini akan bertindak sebagai musuh dalaman kepada harakah Islamiah.


3. 3) Isti’jal (tergesa-gesa) untuk meraih kemenangan, meskipun tidak seimbang dengan persediaan yang mencukupi, walaupun ditahap minimum. Kemenangan politik bererti memperolehi kekuasaan. Setiap aktivis politik akan dikuasai semangat mencari dan mengejar kekuasaan sehingga tidak ada penghujungnya.


Menurut Ustaz Fathi Yakan, kekuasaan yang diperolehi di manapun akan menuntut pembahagian ghanimah (harta rampasan perang) kepada penjaga sesuai dengan perbandingan tugasan yang ditanggung seseorang. Ghanimah yang telah diperoleh itu kadangkala melahirkan cubaan, fitnah dan bencana kerosakan dalam harakah.

Permasalahan dasarnya adalah penipuan dalam pembahagian, antara perseorangan, pemimpin serta penguasa yang bercita-cita mendapatkan bahagian kekuasaan yang banyak. Akhirnya prinsip perjuangan tergadai dan agenda maddiyah dengan mengejar kepentingan hawa nafsu akan menjadi tuntutan perjuangan mereka.

Ketika ini hilanglah roh aqidah dalam perjuangan, tumpuan hanya diberikan kepada percaturan strategi menghadapi musuh dalam pilihanraya dengan meninggalkan agenda pembinaan ruhiyah di kalangan jundiyah dan qiyadah. Akhirnya “yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran ”.

4.

4)Binaan tanzim dipengaruhi unsur luaran. Samada dipengaruhi oleh latarbelakang kekuatan yang berada di sekelilingnya dari aspek politik, ekonomi dan lain-lain aspek. Akibatnya, tanzim akan kehilangan potensi keaslian perjuangan, kehilangan orientasi dan arah tujuan politik. Kerana hilangnya asholah dakwah (keaslian), tanzim menjadi alat kepentingan pihak lain, dan segala keputusan dan tindakan dipengaruhi kelompok tertentu.


5. 5) Munculnya berbagai aliran dan kelompok dalam harakah. Hal ini sering terjadi kepada harakah yang telah mengalami perpecahan lantaran hilangnya wahdatul fikr dan wahdatul `amal. Kesan dari permasalahan ini akan timbulnya ta`addudul wala’, justeru akan timbul pertikaian, perebutan pengaruh dan kekuasaan untuk meraih hasrat dan cita-cita peribadi atau kelompok tertentu.


6. 6) Campur tangan pihak luar dengan pengaruh dominan politik, ideologi, perisikan, inteligen dengan berbagai cara penyamaran untuk menyerang musuh dalam harakah dengan tujuan menghancurkan kekuatan dan kesatuan di dalam tanzim. Ruang yang terbuka untuk campur

tangan atau penyusupan amat luas, terutama melalui ruang politik, iaitu dengan menawarkan pelbagai maslahah siasah. Kekuatan luaran dan campur tangan ke dalam tanzim harakah berlaku ketika jamaah mengalami kelemahan, miskinnya roh `aqidah di kalangan jundiyah dan qiyadah, kuatnya kecenderungan mengejar maddiyyah dan jawatan.


7. 7) Lemah atau hilangnya kesedaran politik (wa’yu siyasi) dalam harakah. Sesebuah harakah yang tidak memiliki wa’yu siyasi yang tinggi dan baik, tidak akan dapat mengimbangi peredaran zaman, gagal mengambil istifadah dan pengajaran dari pengalaman lepas, tidak mengkaji peranan harakah di masa depan dan tidak mampu membuat suatu keputusan politik setempat berdasarkan situasi dan kondisi politik internasional.


Apabila harakah mengalami kelemahan seperti ini, akan berlaku sikap yang kontradiktif dan mudah terbawa arus. Keadaan ini memudah unsur-unsur negatif dari luar mengawal keputusan politik dalam harakah dan mengenepikan peranan majlis syura dalam jamaah. Semua faktor kondisi yang dinyatakan oleh Ustaz Fathi Yakan adalah berkesimpulan dari masalah mendasar harakah Islamiah masa kini, iaitu “politik mendominasi tarbiah”. Keadaan ini menyebabkan suasana atau munakh harakah dikuasai oleh politik, bahkan sangat mempengaruhi pendirian dan sikap para anggota dan pimpinan harakah.


Kewajipan Memelihara Asholatud Dakwah (Keaslian Dakwah).

Permasalahan dan penyakit yang berlaku di dalam harakah dakwah, hanya dapat dikawal dan diubati dengan memelihara keaslian dakwah yang kita warisi dari Baginda Rasulullah SAW. Syeikh Mustafa Masyhur Rahimahullah, dalam sebuah tulisannya, Qadhaya Asasiyyah `Ala Thoriqud Dakwah, menekankan betapa pentingnya Muhafazhah `Ala al-Asholah (memelihara keaslian dakwah), agar harakah terjamin berada di jalan yang benar menuju sasaran.


Sekecil-kecil penyelewengan dari asholah dakwah, pasti

akan melahirkan kegelinciran yang semakin hari semakin besar, serta menyeret harakah jauh dari jalan yang benar dan gagal mencapai sasaran harakah. Imam Hasan al-Banna selalu menekankan agar jamaah beriltizam dengan Islam, Al-Quran dan As-Sunnah serta melangkah ke medan dakwah berpandukan Sirah Rasulullah SAW ketika beliau menegakkan Daulah Islamiah pertama. (Mustafa Masyhur, Qadhaya Asasiyyah `Ala Thoriqud Dakwah).


Memelihara Asholah Dakwah bererti meletakkan kepentingan kepada tarbiyah. Kerana itu, tarbiyah dalam jemaah tidak boleh dikesampingkan atau diabaikan demi memenuhi tuntutan kegiatan politik, publisiti bahkan jihad sekalipun. Perencanaan takhtit dan tanzim semata-mata tidak mencukupi tanpa tarbiyah untuk membina izzah harakah di mata musuh Islam.


Usrah merupakan tulang belakang tarbiyah dalam jamaah, yang berperanan sebagai wasilah yang mendidik ahli dan membentuk rijal. Semua anggota di manapun peringkat jamaah, samada ahli hinggalah pimpinan tertinggi wajib mengikuti peringkat-peringkat tarbiyah sehingga sampai ajalnya.


Kesimpulan
Ternyata, kewajipan itu lebih banyak dari batas waktu yang kita miliki. Kerana itu, dakwah kita tidak dibina atas dasar rukhshah (keringanan), tetapi dibangun atas dasar `azhimah dan tekad yang teguh. Jika hal ini diperhatikan dengan sewajarnya, dari peringkat ahli sehinggalah pimpinan jamaah, segala permasalahan yang sering melanda harakah dan dakwah, nescaya virus bahaya yang menular dalam tanzim binaan jamaah dapat diatasi. Semoga kita mengambil pelajaran dan manfaat dari taushiyah yang disampaikan sejak enam belas tahun silam oleh seorang da`ie yang menjadi qudwah kepada kita, demi kebaikan dan kejayaan harakah dakwah di Negara kita.


“Sesungguhnya gerakan Islam kebiasaannya berkembang dengan begitu pantas yang boleh mengejutkan manusia. Ia boleh meletus tiba-tiba sebelum para pemerhatinya mengenalpasti tanda-tanda amarannya yang menyebabkan ia sukar dikaji. – Prof. Gibb


Seluruh ahli gerakan mahasiswa Islam (GMI) diharapkan menjadikan ‘tsunami’ politik 8 Mac 2008 ini sebagai ‘mega-stimulus’ untuk sama-sama memikirkan apakah backdrop baru GMI yang mahu dijelmakan 5 tahun dari sekarang. Benchmark mesti diwujudkan untuk membezakan hampir 20 tahun zaman GMI di bawah landskap politik BN bermandatkan majoriti 2/3 dengan realiti GMI saat ini dan akan datang di bawah landskap politik BN hilang majoriti 2/3 buat pertama kali dalam sejarah politik Malaysia sejak 1959.



Secara externalnya, saya berpandangan kemenangan mengejut B.A di Selangor dan Wilayah Persekutuan serta Kedah, Pulau Pinang dan Perak hakikatnya telah menghadiahkan ‘penampan’ dan 'suaka politik' yang kukuh kepada GMI khususnya Zon Tengah dan Zon Utara untuk lebih berani, lebih bertenaga, lebih agresif untuk memartabatkan gerakan dan mahasiswa ke peringkat lebih tinggi selepas percubaan PMN untuk menghantar wakil mahasiswa di Dewan Rakyat melalui PRU 12 tidak kesampaian. Saya optimis sekiranya ‘mood’ perubahan ini berjaya diurus secara konsisten ke peringkat akarumbi massa sehingga Pilihanraya Kampus hujung tahun ini, jangkaan saya 'tsunami' politik kampus akan berlaku ke atas kem Pro-Mahasiswa sama hebat dengan apa berlaku ke atas BA dalam PRU 12, andaikata faktor kepartian diberikan peluang untuk menapak di hati pengundi mahasiswa di samping kekuatan peribadi calon.

Secara internalnya pula, saya kira batch GMI zaman PRU adalah batch yang sangat bertuah kerana keseluruhan ahli tanpa terkecuali telah melalui suatu praktikal ‘attachment’ dengan gerak kerja PRU lebih dari gerak kerja dalaman kampus masing-masing. Ahli-ahli yang biasanya merasakan dirinya ada 'haibah' dan ‘pantang larang’ tersendiri yang perlu dihormati orang luar termasuk Jamaah Induk di luar, akhirnya kesemuanya mula berjinak dan dijinakkan dengan realiti kehidupan di luar kampus. Ahli mula tidak gugup untuk ‘engage’ lebih awal dengan aktivis-aktivis di markas-markas tarbiyah dari pelbagai umur dan latarbelakang. Dari kerja-kerja teknikal menggantung poster, menaikkan bendera, membuat culaan rumah ke rumah sehinggalah kepada menjadi petugas-petugas ‘berani mati’ di hari pembuangan undi dengan sentimen kenegerian yang meninggi, kesemuanya dilakukan dengan ikhlas oleh ahli-ahli. Semoga persepsi ‘futur’, ‘ego’, ‘exhausted’ dan pelbagai label lagi yang banyak menghempap bekas-bekas aktivis kampus selama ini dapat ditangkis atau diminimumkan. Terima kasih PRU 12. Tahniah aktivis-aktivis mahasiswa!

Menyinggung kemenangan luarbiasa Parti Islam dalam PRU 12 kali ini, saya menyeru semua ahli GMI dan Kepimpinan untuk mula menyusunatur siri-siri perkaderan dan pembentukan kualiti ahli dengan lebih serius, bermula dengan perubahan cara berfikir dan “revolusi mental”. Minda ahli gerakan pasca 8 Mac 2008 mestilah minda yang perlu digasak dengan kesaratan ilmu pengetahuan am yang bersangkut paut dengan pengurusan negara dan negeri dari 1001 sudut keilmuan. Kalaulah saya menjadi Menteri Pengajian Tinggi, akan saya cadangkan subjek Pengajian Am 1 yang pernah saya ambil semasa mengambil sijil STPM dahulu menjadi subjek teras kepada semua mahasiswa IPTA, mengambilkira subjek tersebutlah antara ilmu-ilmu awal saya didedahkan dengan apa yang dikatakan 'waiting government agenda'.

Kini bukan lagi masa bermain dengan masalah remeh-temeh dalam ‘rumahtangga’ GMI kampus masing-masing. Ini adalah saat untuk mengasak pemikiran dengan isu-isu lebih kritikal membabitkan soal kenegaraan, kehakiman, perundangan, pendidikan, ekonomi, sosial, bahasa, agama dan ratusan lagi permasalahan-permasalahan nasional yang selama ini gagal ditangani secara berkesan oleh Jamaah Induk dan tidak pula diambilpeduli oleh ahli-ahli GMI melainkan sekiranya ia ada selari dengan bidang pengajian masing-masing. Bersedialah dari sekarang untuk menjadi pentadbir urusan negara dan negeri, bukan sekadar pemimpin parti dan pengurus jamaah ‘sesama kita-kita’ sahaja. Profail Menteri-menteri Besar BA, Ahli-ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri dari PAS atau PKR atau DAP mesti dijadikan bahan rujukan “self-projection” ahli GMI masing-masing. Setiap analisa keputusan PRU 12 yang muncul setiap saat di ribuan web-web alternatif dan blog-blog ‘mainstream’ mesti dibaca. Setiap forum ilmiah membahaskan Malaysia Pasca 9 Mac dan setiap puluhan thesis PhD selepas ini yang akan menyinggung PRU 12 mestilah dihadhamkan. Inilah siri-siri kurikulum baru untuk anda ‘top-up’ dalam kerangka ‘political education’ GMI yang sedia ada ke arah membina minda siasah dan jiwa besar ahli-ahli GMI. Ahli-ahli Parlimen ‘muda’ yang pernah menjadi aktivis kampus seperti Saifudin Nasution, Dr. Mujahid Yusuf Rawa, Salahudin Ayub perlulah didekati.

Saya bimbang jika cara berfikir ahli GMI masih di takuk yang sama dengan suasana sebelum ‘tsunami’ 8 Mac, maka hampalah Malaysia kerana angkatan bahtera anak-anak muda yang mahu menjadi duta penyelamat negara tak kunjung tiba. BN terus memerintah kerana rakyat tiada pilihan di atas kelemahan kita!

“Pemimpin tidak lahir di bilik kuliah tetapi tumbuh sendiri dalam hempas pulas kancah, muncul di tengah-tengah pengumpulan masalah, menonjol di kalangan rakan seangkatan lalu diterima dan didukung oleh umat.” – Bapak Natsir

Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) merakamkan tahniah kepada Barisan Rakyat (PAS-PKR-DAP) di atas penjelmaan luarbiasa momentum kebangkitan rakyat jauh lebih hebat dari gelombang PRU 1999. Kejayaan PAS mempertahan Kelantan dan kejutan pakatan Pembangkang menawan Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor di samping menawan kawasan-kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan, serta kewujudan pembangkang di semua negeri Semenanjung merupakan ‘signal’ kepada Barisan Rakyat untuk membuat persiapan lebih serius dan menyeluruh untuk pertama kali membentuk Kerajaan Persekutuan dalam PRU ke-13 nanti. Penurunan jumlah yang keluar mengundi seluruh Malaysia dan peratus keluar mengundi yang sangat merosot di beberapa kubu kuat Barisan Nasional (BN) perlu dilihat sebagai satu ‘wake up call’ kepada Perdana Menteri Malaysia dan parti pemerintah supaya melakukan ‘grand post mortem’ terhadap ‘what went wrong’ jika BN masih mahu memberikan saingan sengit kepada Barisan Rakyat pada Pilihanraya Umum ke-13.

GAMIS mengharapkan landskap baru politik Malaysia yang tidak pernah berlaku sejak 50 tahun kemerdekaan tanah air ini akan mempersembahkan kepada rakyat suatu episod baru persaingan sihat ideologi politik kepartian yang lebih memaknakan pembangunan seimbang Malaysia itu sendiri dengan melalui pewujudan satu blok baru atas nama Barisan Rakyat selain blok Barisan Nasional yang menjadi blok tradisi dan status quo di Malaysia sejak 50 tahun kemerdekaan.

Dengan pakatan PAS-DAP-PKR yang menguasai 82 kawasan Parlimen dan 195 kawasan DUN sekaligus menafikan 2/3 majoriti Barisan Nasional, maka hasrat 10.9 juta pengundi yang mewakili 26 juta rakyat Malaysia untuk melihat kembalinya kondisi ‘check and balance’ yang lebih konstruktif kepada Malaysia di samping memberikan nafas baru kepada sistem demokrasi berparlimen yang hampir lumpuh sejak Pilihanraya Umum 2004.

GAMIS yang mewakili seluruh suara mahasiswa Islam di Institut Pengajian Tinggi mengharapkan Barisan Rakyat akan dapat menampilkan suatu role-model pemerintahan 'negeri berkebajikan’ yang penuh wibawa, penuh integriti dan membuktikan bahawa mereka adalah kerajaan alternatif yang lebih baik kepada rakyat. GAMIS juga mengharapkan agar parti Barisan Nasional selaku parti pemerintah dan Barisan Pembangkang agar mula melupakan segala titik bengik yang menjadi ‘big clash’ sepanjang tempoh PRU dan menumpukan sepenuhnya kepada agenda mendaulatkan suara dan kebajikan rakyat yang selama ini diisukan selama ini sepanjang tempoh berkempen melebihi dari idealisme perjuangan parti.

GAMIS juga merakamkan jutaan terima kasih dan setinggi penghargaan di atas kerjakuat hampir 5,000 ahli GAMIS yang telah menjadi jentera petugas yang setia walaupun sentiasa diancam dengan akta drakonian AUKU dan hambatan kelas-kelas pengajian sepanjang tempoh berkempen dan pembuangan undi. Semoga kemenangan yang diperolehi gerakan Islam di Malaysia ini menyemarakkan lagi spirit kebangkitan gerakan-gerakan Islam di seluruh dunia.

Integriti Maya

Sebarang pengambilan mana-mana bahagian daripada tulisan di sini adalah sangat digalakkan untuk disebarkan, namun perlulah mendapat izin daripada Iskandarfateh.

Ataupun, sila beri kredit bahawa anda mengambil mana-mana kenyataan tersebut dari Blog
Iskandarfateh ini.

Terima kasih. Saya sangat hargai kunjungan anda.

Montaj IPTC

Twitter With Me

Profail Blogger


Syaari Ab. Rahman merupakan seorang perunding motivasi terlatih. Profail lengkap beliau di "Hubungi Saya"