"It is true of the nation, as of the individual, that the greatest doer must also be a great dreamer." - President Theodore Roosevelt
Itulah kata-kata idola yang terpampang di website seorang anak muda bernama John Tyler Hammons. Mimpi anak muda ini mahu menjadi Presiden Amerika Syarikat satu ketika nanti. Jika mahu kenali anak muda ini lebih rapat, taip sahaja di Google Search, nescaya akan bertemu biografinya di Wikipedia. Bukan mudah untuk melakar nama dalam Wikipedia. Perlu ada lakaran sejarah perlu dilakukan, tapi anak muda 19 tahun sudah membuktikan bahawa “the word ‘impossible’ is only in the dictionary of fools” sebagaimana dislogankan Napoleon Benoparte.
John Tyler Hammons, seorang mahasiswa berusia 19 tahun, telah memenangi kerusi Datuk Bandar Muskogee di Oklahama dalam sebuah pilihan raya yang diadakan pada 1 April 2008 baru-baru ini di salah sebuah negeri di Amerika Syarikat tersebut. Muskogee merupakan sebuah bandar kecil di timur laut negeri ini yang mempunyai penduduk seramai 38,000 orang, hampir menyamai jumlah pengundi di kebanyakan kawasan Dewan Undangan Negeri di Malaysia. John Tyler Hammons yang juga bekas Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Muskogee High School telah menerima 70 peratus undi di pusingan akhir menewaskan bekas Datuk Bandar, Hershel Ray McBride yang berumur 70 tahun yang telah menjadi Yang Berhormat di kawasan itu sebanyak 3 kali. Hammons yang akan mengetuai sembilan anggota majlis perbandaran ‘senior’ yang lain berjanji akan membentuk sebuah kerajaan yang telus dan terbuka dan akan memastikan penduduk mendapat maklumat tentang semua aktiviti dan operasi yang dijalankan oleh Majlis Perbandaran itu.
“That's what politics needs. A fresh face who isn't already caught up in all the politics.” Itulah komentar ramai penganalisis politik terhadap kemenangan Hammons, sehingga ia hampir menenggelamkan kempen Hillary Clinton. Apa yang lebih menarik bagi anak muda ini, tidak ada istilah pemisahan antara dunia akademik dan dunia politik kemahasiswaan, kedua-duanya adalah suatu keseimbangan dan kemestian. Tidak terfikir oleh mahasiswa tahun pertama jurusan Sains Politik dan Pentadbiran Awam di Universiti Oklahama ini untuk menjadi ‘ulat buku’ semata-mata tanpa mempedulikan apa yang berlaku dalam masyarakat luar kampusnya. Buktinya, Hammons pernah menjadi Presiden Persatuan Anti-Dadah Berbahaya di sekolah tingginya itu. Tidak terlintas juga olehnya untuk berhenti belajar setelah mula meleburkan dirinya dalam bidang politik, bahkan baginya : "Being elected does not change my desire to continue my education. We will schedule our time in an appropriate fashion so that I can be mayor and stay in school."
Itulah idealisme dan aktivisme seorang mahasiswa di Amerika Syarikat. Mari kita lihat pula idealisme dan aktivisme seorang mahasiswi di Afghanistan. Melihat sepintas lalu wajah Sabrina Sagheb serta kefasihan berbahasa Inggeris, mungkin ramai terfikir beliau kembar Aishwarya Rai. Namun hakikatnya Sabrina adalah seorang anak mudi 25 tahun, fresh graduate yang telah memulakan zaman mudanya dengan menggemparkan Kabul sebagai calon paling muda bertanding dalam Pilihanraya Umum Afghanistan.
Pilihanraya Umum Pertama di Afghanistan ini menyaksikan hampir 583 wanita daripada 2,778 calon akan bertanding di 68 kawasan dari jumlah keseluruhan 249 kerusi ‘Wolesi Jirga’ (nama salah satu Dewan dalam Parlimen Afghanistan) yang dipertandingkan. Perlu diketahui bahawa PRU Afghanistan bukanlah seaman yang boleh kita lihat di Malaysia. Taliban telah memberikan amaran memboikot pilihanraya ini, apatah lagi calon wanita yang mahu bertanding. Terbunuhnya hampir 6 calon yang bertanding memberikan gambaran bahawa anak muda bekas pemain bola jaring kebangsaan Afghanistan ini sudah mempertaruhkan nyawanya lebih dari segalanya demi melunaskan idealismanya untuk mengangkat semula suara wanita Afghanistan yang ditindas. Times Online melaporkan manifesto Sabrina antaranya untuk menjadikan burkha (pakaian menutup seluruh badan kecuali mata) sebagai satu pilihan kepada wanita, bukan kewajipan, memerangi kahwin paksa yang banyak dieksploitasi oleh lelaki Afghanistan ke atas anak-anak perempuan mereka, memerangi undang-undang yang membenarkan remaja perempuan yang dirogol (baca : mangsa) dipenjarakan serta undang-undang membenarkan si isteri yang didera suami boleh dibebaskan dari penjara sekiranya bersetuju untuk kembali kepada suaminya (baca : pemangsa).
"I tell people here that I can give them hope and new ideas for the future of Afghanistan and in particular I target young people. If elected I will face up to the old men with guns that destroyed our country. Now it is our turn to fight with them. Softness, kindness and subtlety are our weapons."
Itulah kelantangan Sabrina mencabar ‘golongan tua’ di Kabul ketika kempennya. BBC melaporkan bahawa Sabrina berkempen tanpa sebarang pengawal keselamatan dan senjata di tangan, walaupun hampir setiap hari menerima panggilan mengugut untuk membunuhnya kerana beliau melanggar adat tradisi Afghanistan selama ini yang melarang penyertaan perempuan dalam bidang politik, apatah lagi bertanding atas tiket parti pembangkang.
Itulah adegan terkini mahasiswa-mahasiswi di Amerika Syarikat dan Afghanistan. John Tyler Hammons bukanlah seorang anak muda yang beriman wujudnya Tuhan Yang Satu seperti keimanan kita, manakala Sabrina Sagheb tidaklah memiliki fikrah Islam yang syumul seperti yang kita imani, tetapi kenapa mereka tampak lebih tertonjol elemen keberanian, kepemudaan dan semangat darah muda lebih dari kita mahasiswa Malaysia. Mahasiswa Islam khususnya mahasiswi yang kini menjadi golongan teramai hampir 70 % di kampus (rujuk kajian terkini Naib Canselor UPSI, Prof Dr Aminah Ayob bahawa mengenai bidang teknikal sudah didominasi oleh mahasiswi) seharusnya juga mencontohi juga Asmaa Abdol-Hamid, wanita muslimah 25 tahun, graduan Copenhagen College of Social Work yang bertanding untuk parlimen Denmark - negara yang pernah mencetuskan kontroversi karikatur penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW - atas tiket Red-Green Alliances, sebuah parti berhaluan kiri di Denmark. Asmaa telah mencetuskan polemik baru dalam arena politik Denmark khasnya dan dunia amnya apabila beliau menegaskan akan terus memakai tudung sekiranya terpilih ke parlimen. Asma semasa bergelar mahasiswa sudah pun terlibat dengan sebuah NGO di luar kampusnya iaitu Social Democratic Youth of Denmark, memperjuangkan anti-diskriminasi.
Entah bilakah sistem tarbiah di kampus pada hari ini boleh melahirkan individu-individu seperti mereka, punyai minda negarawan dan tidak retorik dengan slogan mahasiswa jurubicara ummah. Ingatlah, mahasiswa dan orang muda adalah perintis perubahan zaman dan peradaban. Perhatikan di semua gerakan sosial yang mengubah sejarah. Kita akan bertemu dengan generasi anak muda. Anak muda di mana-mana pun mahukan perubahan yang tidak mampu difikirkan golongan yang sudah berusia. Hishamudin Rais dalam “Mahasiswa Dahulu dan Sekarang” menyebut bahawa hanya orang muda yang berani mengubah sejarah. Setiap hari, setiap dekad, setiap kurun rakyat menunggu apakah yang akan dilakukan oleh anak muda. Terpulanglah kepada anak-anak muda. Dalam hidup ada dua pilihan. Hidup cuma untuk bernafas, atau hidup untuk bersama mengukir sejarah.
Zaman muda hanya sekali, alam kampus dan kemahasiswaan tidak akan datang untuk kali kedua. Hassan al-Banna telah menyebutkan uniknya entiti “rijal” (pemuda) ini berbanding golongan ‘tua’. Pertama, pemuda memiliki keikhlasan dan kemurnian orientasi perjuangan tanpa terikat dengan mana-mana kepentingan. Kedua, pemuda memiliki semangat member yang hampir seluruh perubahan di dunia, dilakukan oleh pemuda. Ketiga, pemuda memiliki tenaga fizikal yang kuat sehingga betapa banyak tugas-tugas besar yang tidak dapat dipikul oleh orang-orang tua atau anak-anak kecil mampu dilakukan oleh pemuda. Keempat pemuda memiliki kekuatan intelektual, punyai rasa ingin tahu yang tinggi, rasional dan fast learner. Banyak idea-idea dan penemuan-penemuan besar lahir dari para pemuda walaupun terkadang jelas kesan kesilapan idea yang dicanangkan. Pembaharuan dan penerokaan dalam sejarah tamadun manusia ini penuh dengan pelbagai macam salah dan silap. Dengan melakukan sesuatu, walaupun salah barulah timbul pengalaman. Hanya mereka yang muda dan berani sahaja yang tidak takut untuk ‘mencipta’ kesalahan sebagai pengalaman paling bermakna apabila pemuda (syabab) menjadi orang tua (syuyukh). Anak muda yang terlalu bermain dengan perihal baik buruk natijah perbuatan yakni takut melakukan kesilapan adalah anak muda yang telah ‘dituakan’ lebih awal.
0 Responses to MAHASISWA PERLU BELAJAR DARI HAMMONS, SABRINA SAGHEB, ASMA ABDUL HAMID