Bayangkanlah jika RM 1 juta (tawaran kerajaan untuk pingat emas di Olimpik) ini jika dimanfaatkan kerajaan untuk membantu mahasiswa dari golongan berpendapatan rendah. Bayangkan jika kerajaan menerima cadangan Gamis (rujuk Berita Harian, 21 Jun) supaya diberikan subsidi RM 50 setiap bulan (RM 600 selama setahun) kepada mahasiswa kategori berpendapatan rendah, RM 1 juta itu akan dinikmati oleh hampir kira-kira 1,500 mahasiswa miskin semasa mereka belajar di IPT, suatu simbolik sangat bermakna kerajaan yang berkebajikan kepada aset terpenting negara, mahasiswa.
Nilai RM 50 sebulan sememangnya sedikit, tapi bagi mahasiswa ia satu hadiah yang bermakna dari kerajaan ketika mereka merasakan kesan yang sangat ketara menghempap 'poket' dan 'perut' mereka apabila harga minyak dan (kesannya) harga bahan makanan dan pengangkutan awam meningkat. Kenaikan harga minyak menyebabkan ada mahasiswa terpaksa berjalan kaki dari kolej yang jauh ke tempat kuliah kerana mahu menjimatkan minyak motor dan kereta, ada mahasiswa terpaksa membeli nasi putih dengan banyak pada tengah hari supaya separuh lagi dapat dijimatkan bagi makan malam mereka, ada mahasiswa terpaksa peruntukkan masa belajar mereka dengan berniaga waktu malam di dalam atau di luar kampus bagi menampung kos pengajian dan yuran kolej mereka yang meningkat, ada mahasiswa terpaksa berhutang dan mula renggang hubungan dengan rakan-rakan pemiutang mereka, ada mahasiswa yang terpaksa merenggangkan hubungan seketika dengan keluarga di kampung kerana tidak ada duit untuk membeli tiket bas yang naik mendadak atau tak cukup duit untuk 'top-up' bagi berhubung dengan ibu dan ayah mereka, ada mahasiswa merayu-rayu pada pentadbiran kolej supaya dibenarkan mereka 'squatting' dalam kolej di kampus kerana tak tahan tekanan ekonomi berada di luar kolej atau dibuang kolej....dan banyak lagi....
Namun apakah daya, membakar semangat etlit sukan negara untuk mencipta nama di pentas dunia lebih penting dari membakar semangat modal-modal insan pelapis kepimpinan negara yang kini rata-rata berdepan dengan tekanan ekonomi akibat kenaikan harga minyak dan bahan makanan yang boleh menjejaskan tumpuan mereka pada pelajaran dan kecemerlangan akademik.
0 Responses to Apabila Atlet Sukan Lebih Penting Dari Kebajikan Mahasiswa...