Content feed Comments Feed

1453 : Apa Yang Ramai Belum Tahu

Tuesday, May 29, 2012

Oleh : Muhamad Syaari Ab. Rahman, 
 Penulis Buku Bestseller “Kuasa Kepemimpinan Al-Fatih” 


 1. Shekh Al-Kuraani adalah ulama yang bertanggungjawab merotan buat pertama kali Sultan Muhammad ketika beliau kecil. Sultan Murad II telah memerintahkan Sheikhul Islam pada masa itu, Shekh Yegan untuk menjemput Shekh Al-Kuraani dari Al-Azhar ke Edirne untuk menjadi tenaga pengajar utama anaknya, Sultan Muhammad Al-Fatih. (Sumber : Profesor Ekmeleddin ) 


 2. Muhammad berkahwin pada 15 Disember 1446 pada usia 14 tahun dengan Siti Aminah Gulbahar iaitu 5 tahun sebelum beliau menjadi Sultan. Dalam riwayat sejarah yang lain, nama isterinya itu adalah Siti Mukhrimatun binti Suleyman Bey dan usia Siti Mukhrimatun ketika dinikahi adalah 11 tahun dan beliau melahirkan zuriat pada 3 Disember 1447 yang kemudian dinamakan sebagai Beyazid. Beyazid bin Muhammad berusia 7 tahun ketika ayahnya menawan Konstantinopel. (Sumber : Franz Babinger) 


 3. Dua orang senior paling mempengaruhi keputusan Sultan Muhammad adalah penasihat spiritual beliau, Syekh Aq Syamsuddin dan penasihat politiknya, Zaganosh Basya. Manakala senior yang paling kritikal dan tidak senang dengan cadangan pembukaan Konstantinopel adalah Perdana Menteri Sultan sendiri iaitu Candarli Halil Pasya. (Sumber : Buku Panorama 1453) 


 4. Kota Konstantinopel dibuka selepas Muhammad Al-Fatih mendapat justifikasi syariah dari kes wakil Pope, Kardinal Julian Cesarini membuat pengisyhtiharan bahawa melanggar perjanjian yang telah dimeterai dengan kerajaan Turki Othmaniyah adalah tidak dianggap satu pengkhianatan. (Sumber : Muhammad Farid Bek) 


 5. Menurut Leonard of Chios, wakil Bishop kepada Pope Nicholas V di Rom, meriwayatkan bagaimana beliau menyaksikan tentera Islam ketika 29 Mei 1453 itu tidak menyentuh sebarang makanan sehingga datang waktu malam dan apabila berjumpa sesama mereka, mereka saling memberi salam antara satu sama lain. (Sumber : Ahmed Akgunduz dan Said Ozturk) 


 6. Pada awal pagi Rabu 29 Mei, tentera Uthmaniyah telah bertindak membakar khemah dan melaungkan kata-kata semangat bahawa mereka akan bermalam di dalam kota Constantinople pada waktu malam nanti. Serangan awal telah dilancarkan oleh tentera yang melibatkan pasukan rakyat yang kurang mahir dan diikuti dengan serangan oleh tentera yang lebih terlatih. Akhirnya menjelang terbit matahari serangan dilancarkan oleh pasukan pemanah dan tentera janisari yang lebih terlatih. Serangan secara terancang ini ternyata membuahkan hasil yang membawa kepada jatuhnya kota Constantinople setelah dikepung selama lima puluh empat hari. (Sumber : Profesor Dr Redzuan Osman) 


 7. Sultan Muhammad dengan segera membina semula tembok Konstantinopel bagi tujuan ketenteraan (military purpose), membina semula Istana Topkapi bagi tujuan politik pemerintahan (political purpose), membina semula Haghia Sophia dan mendirikan Kompleks Abu Ayyub Al-Ansari bagi tujuan keagamaan (religious purpose), membina semula dan memperbesar kompleks masjid bagi tujuan sosial dan pendidikan (sosio-educational purpose), serta membina dan memperbanyak bazar 'bedestan' (economic purpose). (Sumber : Théoharis Stavrides) 


 8. Sultan Muhammad al-Fatih terus mengekalkan identiti Ortodoks bandar tersebut yang hampir pupus kerana bergabung dengan gereja Barat. Kerana Sultan Muhammad al-Fatih jualah, mazhab Ortodoks terus kekal dari keadaan sebelumnya yang sudah hampir mati dan pupus. Atas arahan daripada Sultan Muhammad al-Fatih, sebarang gereja dan rumah ibadat tidak dimusnahkan dan tiada seorang pun dari kalangan Kristian dan Yahudi diambil tindakan atau diapa-apakan. (Sumber : Dr Eeman Abbas) 


 9. Muhammad Al-Fatih memerintah selama 27 tahun selepas membuka Konstantinopel, memimpin sendiri 25 kempen peperangan seterusnya, mengalami kekalahan dan kecederaan parah ketika di Belgrade, menghadapi 3 perang Salib dari pakatan Kristian Eropah dan meninggal dunia selepas membuka Otranto di Itali. Sepanjang 30 tahun pemerintahan, baginda telah membuka dua buah empayar besar, membuka 200 buah bandar besar, membuka negara-negara Balkan pada 1461-1463 dengan cara yang hampir sama beliau membuka Konstantinopel, meluaskan sempadan negara dari hanya 600 kilometer persegi pada permulaan pemerintahannya kepada keluasan 2,214,000 kilometer persegi. Matlamat baginda daripada perluasan daratan negaranya adalah untuk menembusi Eropah dan menyelamatkan ummat Islam di Andalus daripada cengkaman penindasan orang-orang Kristian. (Sumber : Dr Eeman Abbas dan Profesor Ilber Ortayli) 


10. Sultan Muhammad pernah mengkaji manuskrip Geographia yang Claudius Ptolemy dari Greek, pernah belajar agama Kristian dari paderi Gennadius, Amirutzes dari Trebizon, Critoboulus dari Imros dan Ciriaco dari Ancona, pernah meminta pembentangan ahli astronomi Ali Kusci di istananya, pernah mengarahkan penterjemahan karya Abul Qasim Az-Zahrawi iaitu At-Tashrif fil al-Thibbi ke dalam bahasa Turki. (Sumber : Muhammad As-Sollabi) 


Muhamad Syaari Ab. Rahman 
29 Mei 2012 
Yan,Kedah

Integriti Maya

Sebarang pengambilan mana-mana bahagian daripada tulisan di sini adalah sangat digalakkan untuk disebarkan, namun perlulah mendapat izin daripada Iskandarfateh.

Ataupun, sila beri kredit bahawa anda mengambil mana-mana kenyataan tersebut dari Blog
Iskandarfateh ini.

Terima kasih. Saya sangat hargai kunjungan anda.

Montaj IPTC

Twitter With Me

Profail Blogger


Syaari Ab. Rahman merupakan seorang perunding motivasi terlatih. Profail lengkap beliau di "Hubungi Saya"