Video Clip Nasyid Muhammad al-Fateh

Produced by Rijal82 Production

Sunday, July 19, 2009

Rijal82 Production Mulakan Pencak ..


22 Julai ini, Ma'ruf Club UIAM telah menjemput Rijal82 Production untuk membuat tayangan adaptasi filem sulungnya di UIAM selama sejam bersempena dengan Mass Gathering Sem 1 mereka. Saya berjanji untuk melakukan yang adaptasi terbaik khususnya untuk mendekatkan mad'u kepada keindahan Islam dan kehebatan tokoh-tokoh besar pejuangnya di dalam lipatan sejarah yang cuba dipadamkan Eropah dan dunia.

Tema persembahan selama sejam ini adalah "Mereka Yang Dipadamkan Dari Sejarah Dunia" memfokuskan kepada gambaran (visualisasi) perjuangan sejak zaman Nabi Nuh dan peristiwa banjir besar, Yusuf, Ibrahim dan Ismail, Maryam al-Muqaddasah dan Isa bin Maryam, perjuangan Ashabul Kahfi, berakhir dengan Nabi Muhammad S.A.W dan generasi penting pembawa Islam menghampiri tamadun Barat iaitu Salahuddin al-Ayyubi dan Muhammad al-Fateh serta rumusan bahawa sejarah itu sifatnya akan berulang. Filem adaptasi ini tidak akan bersifat begitu ilmiah, memadai dengan paparan senario dan gambaran semacam real bagaimana setiap zaman para anbiya itu berlaku peristiwa-peristiwa besar menggoncang dunia dan memenangkan Islam di akhirnya.

Saya masih ingat kata-kata tulisan Dr Jamnul Azhar tentang Sains dan Islam, beliau menyatakan jika tidak kerana fitnah yang berlaku pada zaman Usman bin Affan menjadi Khalifah dan perang Siffin antara Saidina Ali dan Muawiyyah, nescaya bukan dua pertiga, tetapi seluruh dunia akan mampu diiislamkan.

Bersempena dengan semarak Isra dan Mikraj ini, antara ruh dan ibrah besar boleh diperolehi secara teknikal dan taktikalnya adalah bagaimana pendekatan Allah 'menghiburkan' hati Nabi yang duka setelah jasadnya dan dakwahnya dihalau oleh penduduk Taif dan Makkah. Allah 'menayangkan' kepada baginda akibat-akibat baik dan buruk yang akan kelak berlaku di hari Qiamat, di samping baginda melihat secara 'live' keseluruhan para anbiya mahu berimamkan Nabi di Masjidil Aqsa sebelum naik ke langit dan akhirnya ke Sidratul Muntaha.

Hari ini 20 Julai 2009, dunia meraikan kejayaan Neil Armsrong menembusi langit dan mendaratkan kakinya buat pertama kali di bulan. Namun berapa yang mengetahui hakikatnya itu semua hanyalah siri-siri penipuan Illuminati di Amerika Syarikat.




20 Julai 1982 - 20 Julai 2009 : Terima Kasih Ummiku Sayang

Terima kasih buat Ummi kerana jasa yang tidak mampu kubalas dengan wang ringgit bulanan. Ummi, daku hanya mampu menjanjikan untuk menjaga kesemua adik-adik supaya dapat mengikuti pengajian tinggi dengan lebih baik dan dapat memenuhi cita-cita arwah ayah tersayang. Ummi, ayie di hari terkenang jasa besar ummi ini, ayie berazam untuk lebih menjaga dakwah dan tarbiyah seluruh ahli keluarga kita. Ayie tidak tenang jika semua ahli keluarga kita hanya menjadi pengundi dan penyokong tegar Pas, tetapi soal tarbiyah dan hubungan dengan Allah tidak diambil berat sebaiknya.


Ayi cukup tersentak apabila Prof Abu Hassan menyatakan remaja Kelantan adalah remaja antara remaja paling bermasalah di Malaysia. Pembabitan dalam banyak kem-kem remaja Felda, Risda dan sekolah-sekolah di Kelantan mengesahkan bukti masa depan Kelantan dalam bahaya. Ayie tidak mahu adik-adik Ayie menjadi mangsa kepada kedahsyatan virus 'berkawan' itu menghinggap keluarga kita. Insya-Allah ummi, Ayie berjanji untuk jaga Azim, Hajar, Salam, dan Ehsan serta mendekatkan lagi seluruh keluarga Abe Mi, Abe Yu dan Lukman dengan keindahan Islam dan rasa bertuhan. Ayie berazam untuk satu ketika nanti semua keluarga kita akan mampu melalui 'pengembaraan spiritual' yang sangat mengesankan sama ada dalam I.P Minda atau dalam ESQ (hopefully the most updated version) dan lain-lain.


Apabila bersama Nurul tersayang menghantar ibu dan ayah mertua ke tanah suci 2 hari lepas di KLIA, Ayie hanya teringatkan Ummi. Bilakah ada kemampuan Ayie pula menghantar Ummi ke tanah suci selepas hasrat arwah ayah untuk melihat Baitullah tidak kesampaian ketika Ayie berumur 12 tahun. Ayie berazam untuk mengumpul duit sebanyak mungkin dari sekarang bersama Abe Yu dan Abe Imie bagi menghantar atau mungkin kita bersama menunaikan umrah di tanah suci.


Ummi, Ayie sudah hampir 2 kali mati, namun mujurlah Tuhan mahu Ayie terus hidup di atas muka bumi ini. Pertama, Ayie mengidap asma agak teruk pada masa kecil. Sungguh terkejut Ayie apabila baru mengetahuinya dari Ummi ketika kenduri Lukman baru-baru ini. Rupa-rupanya benar, perempuan bernama "ibu" hakikatnya terlalu banyak menyimpan "rahsia" kita ketika kecil. Mereka tidak sanggup menceritakan hal-hal yang boleh menyebabkan si ibu tidak tenang dengan pengorbanan tenaga dan nyawa yang mereka berikan selama ini kepada anak-anak mereka. Sungguh jika manusia bertanya kepada ibu-ibu mereka apakah rahsia yang si ibu pendam mengenai perangai sang anak ketika kecil, nescayalah tahu dan sedarlah di anak bagaimana kuatnya kesabaran si ibu ketika membesarkan si anak. Si ibu mampu menjaga 10 orang anak, tetapi belum tentu 10 orang anak mampu menjadi ibu yang seorang itu.

Kalaulah tidak kerana ayah sanggup menggunakan mulutnya sendiri untuk menyedut dan membuang hingus yang banyak di hidung Ayie dan Ummi menjadi demam bersama dengan Ayie yang kerdil ketika itu kerana mahu mendukung Ayie sepanjang hari dan malam bagi memudahkan pernafasan peparu Ayie dengan cara Ayie di atas bahu Ummi dan bukan ditidurkan, mungkin Ayie tidak berada di atas muka bumi ini pada usia Ayie 27 tahun hari ini. Terima kasih Ummi. Kos perubatan, kelahiran dan bil penyelenggaraan Ayie yang Ummi lakukan kesemuanya percuma, namun apakah peranan selama ini si anak mainkan padamu Ummi. Maafkan daku Ummi.


Kedua, Ummi orang pertama datang dari Kelantan, muncul depan mata Ayie apabila Ayie sedar dari tidur yang panjang, selepas dibius pakar bedah di Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk dipasang besi sementara di luar tulang betis Ayie yang patah teruk akibat berlanggar dengan trailer ketika hujan lebat menuju ke satu program tarbiyah di KISAS.

Ummi, dikaulah qudwah dan pembakar semangatku selama ini dan isteri Ayie, Nurul. Kegigihan Ummi menjadi aktivis Dewan Muslimat PAS Tumpat ketika lelaki bernama "suami", tempat bermanja dan bergantung tiada di sisi, menjadikan Ayie cukup kagum dengan semangat Ummi dan jiwa ibu armalah yang sangat kental ada pada Ummi.

Ummi menerima anugerah Tokoh Ibu Armalah Tumpat 2007

Ummi di hari Konvokesyen Sijil Khas Pendidikan Islam, Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya.


Ya Allah,

Andainya setiap manusia dapat melihat rakaman bagaimana peritnya ibu mereka melahirkan mereka ketika mereka mahu dilahirkan ke dunia, barulah pada masa itu mereka kenal siapakah perempuan yang bernama "ibu" sebenarnya.



Thursday, July 16, 2009

Seminggu Yang Memenatkan..

Seminggu yang memenatkan, namun segala kepenatan itu hilang begitu sahaja apabila bertemu dengan isteri tersayang. Inilah pertama kali Allah menguji kami berdua untuk berpisah hampir seminggu, alhamdulillah, isteri saya berjaya mematangkan dirinya untuk mensibukkan diri dengan gerak kerja Ma'ruf Club dan semester baru pengajian sebagai latihan awal kehidupan sebagai rumahtangga pejuang, bukan rumahtangga biasa ahli-ahli jamaah.



Ramai bertanya di mana saya sepanjang seminggu ini, sehingga blog tidak update, kongres tidak kelihatan dan sebagainya ? Saya mohon jutaan kemaafan kerana hampir 'membunuh' peminat blog saya sepanjang seminggu ini. Juga kepada rakan-rakan kepimpinan GAMIS khususnya saudari Munawirah Pengarah Ko-SPIN kerana tidak mampu memenuhi jemputan saat akhir untuk mewakili I.P Minda untuk hadir.

Arahan saat akhir untuk saya mengepalai 3 kem serentak bukan sekadar ujian emosional berpisah dengan isteri, bahkan ujian fizikal kerana kem-kem ini berlaku di luar dari Lembah Klang, bahkan lebih dari itu pesertanya pula adalah para pelajar yang dipilih sekolah sebagai antara 'yang bermasalah' dan seterusnya bersama orang-orang yang telah jauh berusia. Benarlah, ujian ini apabila berjaya dilalui dengan tenang, kematangan yang sangat hebat saya perolehi, khususnya untuk 'merakyatkan' bahasa saya dan merumputkan lagi pendekatan kerana audience saya kali ini berbeza dari sebelum-sebelum ini.


Kenangan 3 hari bersama adik-adik SMK Felda Jengka Pusat dan Jengka 2 di Pusat Pemulihan Aqidah JAKIM di Jelebu tidak akan dilupakan selamanya. Adik-adik yang sebelum ini datang dengan 'pelbagai masalah' akhirnya berjaya didekati dengan pendekatan 'outdoor' games. "Jangan mengharapkan adik-adik yang 'istimewa' ini akan mendengar ceramah dan celoteh kita selagi fokus mereka kepada kita belum diraih, mereka belum mengenali, menghormati dan mula mendekati kita", demikian pesan Ustaz Azlan memandu saya untuk menjayakan kem ini.


Selesai 3 hari di Jelebu, saya bergegas seketika ke Kuala Lumpur. Pengalaman walaupun seketika dengan adik-adik Darjah Enam SRK Bukit Jalil cukup memberikan makna. Saya tidak suka bercerita tentang kehebatan orang lain, saya paparkan sendiri nostalgia bagaimana saya mendapat 4 A dalam UPSR saya di SRK Jalan Raja Muda Abdul Aziz belasan tahun yang lalu. Saya sangat terharu apabila adik-adik memberikan tepukan gemuruh kepada saya di akhir saya mengaitkan kenangan 4 A itu dengan kematian ayah saya selepas meraikan kejayaan saya itu.

Kemudian, esoknya saya terus ke SMK Sri Pantai berhampiran dengan UM untuk memberikan sedikit motivasi kepada para pelajar PMR, SPM dan STPM. Cukup mudah untuk bercerita tentang pengalaman sendiri melalui ketiga-tiga peperiksaan besar tersebut kepada adik-adik di sekolah ini. Kerana keadaan dewan terbuka dan angin kuat menggangu layar slide saya, mujurlah saya telah belajar dari pengalaman lepas bahawa perlu sentiasa bersedia dengan plan B iaitu bercakap tanpa slide LCD. Saya berjaya melakukannya kali ini apabila ramai-ramai adik-adik mahu terus saya hadir ke sekolah ini pada masa-masa akan datang.


Kemudian seterusnya, inilah ujian paling besar kepada saya. Buat pertama kali saya memberikan ceramah korporat kepada Syarikat Air Semenyih (ABASS Consortium) seramai 50 orang di Putrajaya. Alhamdulillah, kerana berminda positif dan yakin saya mampu melakukan, saya berjaya memberikan ceramah dan muhasabah bertajuk "Solat : Journey To Success" sehingga Encik Abas Pegawai Besar bahagian Operasi mahu menjemput saya lagi pada masa akan datang. Pendekatan visualization dan muzikal benar-benar selari dengan jiwa mereka yang selama ini hanya terbiasa dengan ceramah-ceramah seperti kuliah-kuliah di masjid.


Kemudian, datang lagi ujian yang sama, namun kali ini bukan satu slot, tetapi 3 hari 2 malam. Bersama ayah-ayah, ibu-ibu yang telah lanjut usia, yang dikategorikan sebagai penduduk miskin tegar. Kem Motivasi anjuran RISDA Kelantan membabitkan lebih 80 peserta warga 40 tahun ke atas dari Parlimen Tumpat, Pasir Puteh dan Machang. Inilah pengalaman pertama saya menyampaikan seluruh slide, modul I.P Minda menggunakan 100 % bahasa dan loghat Kelantan.


Bagi saya, bahasa adalah jambatan ke hati-hati pakcik makcik saya ini. Jika saya berbahasa luar, mungkin saya mencipta 'barrier' dengan mereka yang 100 % dari kawasan kampung dan luar bandar, miskin dan sangat kurang terdedah dengan pendekatan konsultan dan sewaktu dengannya. Alhamdulillah, pelajaran paling besar saya perolehi di sini adalah pentingnya senyum dan 'merakyat' bersungguh-sungguh dengan mereka jika mahu mesej dakwah kita sampai pada mereka. Jangan tunjukkan sangat sifat 'anak muda' kita pada mereka kerana mereka lebih gemarkan pendekatan 'berbual' dan lawak jenaka.


Demikianlah, seminggu yang memenatkan.

Monday, July 6, 2009

Kenangan Selamanya : Kem Motivasi STPM-STAM KISAS (3 - 5 Julai 09)







3 - 5 Julai 2009, bagaikan mimpi di siang hari. Suatu yang tidak pernah saya duga seumur hidup saya selepas meninggalkan KISAS, untuk kembali ke KISAS secara rasmi, membantu guru-guru melaksanakan misi dakwah dan tarbiyah kepada para pelajar. Namun, itulah yang berlaku kepada saya dan isteri kesayangan saya. 3 - 5 Julai lepas adalah saat yang terlalu manis, sehingga terlalu berat hati ini untuk meninggalkan bumi waqafan tercinta.

Terima kasih kepada Ustazah Rashidah Nor, Cikgu Jamaliah, Ustazah Nik Hazifah kerana memberikan kepercayaan kepada saya dan sahabat-sahabat Alumni BADAR-MTE untuk mengendalikan kem Motivasi Jatidiri STPM-STAM Tingkatan Enam Atas . Terima kasih tidak terhingga kepada sahabat-sahabat dan adik-adik belakang tabir yang bekerja bersama saya menjayakan program dan LDK sepanjang kem.


Terima kasih pada isteri kesayangan saya kerana menjadi juru post mortem yang berkesan kepada saya setiap kali tamat slot indoor dan outdoor, brainstormer yang berkesan untuk modul-modul ice-breaking dan menyantaikan program, serta AJK teknikal dan kawalan PA System yang berkesan membantu penyampaian mesej suamimu.


Terima kasih Zukhairi kerana hadir dan menampilkan suatu qudwah terbaik pada adik-adik Tingkatan Enam, bagaimana individu yang ditarbiyah selama 4 tahun di KISAS akhirnya cemerlang bukan sekadar di pentas akademik STPM dan pengajian undang-undang, tetapi juga pentas kepimpinan mahasiswa selaku mantan Presiden MPP sebuah universiti Islam dan universiti antarabangsa.


Terima kasih adik Izzat dan Asri, kesibukan mengurus kemasukan ke UIAM tidak menghalang kalian menaiki motor untuk berada lebih awal di BTU KISAS sebelum kami sampai. Kehadiran kalian sesungguhnya banyak membantu aspek teknikaliti pelaksanaan slot dan modul. Tanpa kalian, mungkin aspek teknikal akan banyak mengganggu keberkesanan kem. Terima kasih Mohamad kerana sudi hadir dari jauh nun dari Ardul Kinanah, Mesir semata-mata untuk menegaskan kepentingan institusi ulama dan STAM di KISAS.


Terima kasih Amelin yang turut sama hadir menampilkan qudwah pimpinan muslimat 4 tahun di kolej Islam yang terus istiqomah dengan tarbiyah dan amalan kerohanian. Terima kasih Hanisah yang berjaya menjadi moderator forum "mengembalikan kegemilangan KISAS" yang tidak kering gusi adik-adik melayani lawak jenaka bahasanya.


Terima kasih Zahidah walaupun sibuk dengan pengurusan Konsert GAMIS, namun sudi untuk merempit ke KISAS semata-mata untuk bercakap soal kepentingan tarbiyah sebagai asas untuk cemerlang dalam STPM-STAM dan di alam kampus.

Terima kasih pada semua yang tak mampu saya sebutkan nama-namanya di sini.

Insya-Allah, sedikit masa lagi saya upload video kem yang penuh keceriaan, gelak ketawa di awalnya dan air mata keinsafan di hujungnya. Di samping feedback dari adik-adik, insya-Allah.


Projek Penulisan Buku "Meneladani Kepimpinan Al-Fateh" : Task Force Menanti UZA

Saya telah dilamar oleh saudara Shakir dari PTS Milenia untuk menulis mengenai aspek kepimpinan (leadership styles) yang wujud pada Muhamad Al-Fateh. Saya belum menemui tajuk yang sesuai untuk kajian ini, namun mungkin ia sekitar "Al-Fateh : The Super Leader" atau "Al-Fateh on The Art of War " atau mudahnya "Meneladani Kepimpinan Al-Fateh".


Untuk menghasilkan buku ini, aspek kualiti penyampaian fakta dan keunikan kajian adalah keutamaan saya. Justeru, menjadi harapan saya usrah muslimat UZA Wufi yang menerima 'coaching' dari isteri saya akan sudi menjadi tulang belakang projek besar ini. Sudikah kalian ? :)

Lantaran terlalu ramai sifu dan mahaguru perlu saya dan kita aturkan pertemuan dan brainstormnya dari sekarang seperti Ustaz Hasrizal, Prof Abu Hassan, ahli politik Husam Musa, saudara Rausyanfikir, dan sebagainya perlu berada dalam sasaran fasa pertama projek ini.


Antara manhaj (pendekatan) cadangan yang akan saya lakukan terhadap buku ini adalah :

1. Bermula dengan paparan fakta yang ringkas (quotation) yang jarang diketahui ramai mengenai misi al-Fateh
- leteran fakta tidak akan mendominasi buku ini kerana ia boleh diperolehi dalam buku lain
- fakta yang terlalu banyak dan berat hanya membosankan pembaca
- memastikan fakta mengenai al-Fateh benar, sahih atau sekurang-kurangnya menyatakan sumber

2. Fakta memfokuskan kepada aspek kepimpinan dan cara berfikir yang ada pada Muhammad al-Fateh dan para panglima besarnya

- berkemungkinan saya akan memfokuskan kepada 15 teori kepimpinan berpengaruh yang wujud pada Muhammad al-Fateh dan panglima besar di sekelilingnya

3. Huraian fakta dan perkongsian pengalaman penulis dengan suasana semasa anak muda (mahasiswa)

- sharing moment saya sepanjang 2 tahun dalam dunia aktivisme kampus di UIAM dan 2 tahun dalam dunia aktivisme Gamis dijangka mendominasi kandungan buku sebanyak 60 %, khususnya penulisan-penulisan saya sebelum ini di dalam blog sejak ia wujud sejak tahun 2007.

- perkongsian pengalaman saya secara live adalah kunci utama saya mahu menterjemahkan idea yang wujud dalam sejarah Muhammad al-Fateh dengan lebih realistik dengan suasana semasa

4. Dokumen sokongan bersifat kreatif seperti bantuan gambar rajah, gambar lukisan, mind map, peta, dan aspek-aspek aplikasi "otak kanan" untuk menampakkan dengan lebih jelas idea-idea yang saya mahu sampaikan. Kelebihan yang wujud dalam banyak buku-buku penulisan tokoh oleh penulis-penulis di Indonesia menjadi selera saya.


Antara pembongkaran unik yang berbeza dengan penulisan-penulisan terdahulu (previous studies) mengenai al-Fateh oleh ramai penulis adalah :

1. Pembuktian dan penegasan kekebalan musuh al-Fateh (kehebatan seni perang Rome Byzantium, kekebalan strategik kubu Konstantinople, kegagalan percubaan empayar dunia dan empayar Islam menawannya)

2. Kemenangan di Konstantinople adalah kemenangan sebuah "gerak kerja berpasukan", bukan hanya kelebihan bersifat individu yang ada pada Muhammad al-Fateh. Ini sekaligus menyingkap mukjizat di sebalik pengiktirafan Rasulullah kepada mereka sebagai "sebaik-sebaik tentera".

3. Kehebatan dan kemenangan yang diizinkan Allah berlaku di tangan Muhammad al-Fateh bukanlah berlaku secara ad-hoc taskforce ataupun turunnya miracle dari Allah yang memilih sesiapa yang mahu dipilihnya. Tetapi ia berlaku selepas beberapa ratus tahun proses melahirkan generasi "ulama profesional" berjaya dilakukan Usmaniah serta qudwah yang ditonjolkan sendiri oleh para pemimpin kerajaan Islam Usmaniah sebelum al-Fateh dilahirkan. Al-Fateh hanya menerima baton sebagai pelari pecut terakhir yang perlu memintas dengan lebih pantas.

Pendek kata buku ini juga akan memaparkan kejayaan didikan dua buah institusi penting mencorak pemikiran dan perwatakan al-Fateh iaitu institusi kekeluargaan (khususnya peranan ayah al-Fateh Sultan Murad) dan institusi ulama.

Jika telah wujud penulisan yang menceritakan mengenai kehebatan Hassan al-Banna sebagai suami dan ayah kepada anak-anaknya, bukan sekadar sebagai seorang pejuang dan reformis Islam, justeru sebahagian buku ini juga menghampiri pendekatan sedemikian.

Jika PKPIM mampu berbangga dengan buku "Membina Generasi Salahuddin" manakala Karisma pula dengan buku "Membina Generasi Ulil Albab" yang sangat intelektual sifatnya, maka saya mahu melakukan percubaan untuk mengumumkan suatu panduan berguna kepada Jemaah Islam Kampus dan gerakan Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) meningkatkan aspek kepimpinan masing-masing melalui buku ini. Mungkin inilah secebis usaha saya untuk melihat kembalinya wibawa dan pengaruh dominan gerakan mahasiswa Islam di seluruh menara gading. Saudara Dzul Khairi telah menghitamputihkan secara ilmiah hasrat yang sama melalui buku sulungnya, kenapa tidak saya mengikut jejak langkahnya.

Ada beberapa lagi sasaran keunikan penulisan yang akan saya lakukan, tetapi saya perlu meneliti kelemahan beberapa karya mengenai al-Fateh terlebih dahulu sama ada berbentuk tulisan berat mahupun ringan, dalam bahasa Melayu-Indonesia atau Inggeris mahupun Arab. Alangkah bertuahnya saya sekiranya diberikan peluang terbang ke Turki, menyelinap masuk ke maktabah khazanah Usmaniah dan Sultan Al-Fateh yang pernah disebut oleh Ustaz Hasrizal dalam usrahnya kepada saya dan rakan-rakan kepimpinan pada masa itu bahawa masih terlalu banyak dokumen Usmaniah yang belum didedah dan dikaji.

Antara topik-topik penting yang akan menjadi tumpuan saya meningkatkan "mahu", bukan sekadar "tahu" pembaca adalah cara yang betul mendefinisi dan melihat "sejarah" dan "sirah",
- kenapa ramai bosan dengan paparan sejarah
- kenapa ramai yang lebih gemar bersikap nostalgik dan romantis dengan sejarah (berbangga dengan sejarah orang dahulu, namun gagal untuk melakar sejarah sendiri atau be part of the new history).

Rakan-rakan bloggers yang mahu menyumbang karya kreatif mengenai Muhammad al-Fateh, amatlah saya alu-alukan. Yang terbaik dan menarik, pasti akan saya abadikan bersama dalam buku ini sebagai "tinta aktivis mahasiswa" yang dekat dengan saya. Karya anda sama ada berbentuk sajak atau kartun atau lukisan dan sebagainya yang bermotifkan menguatkan aspek "EQ" (sentuhan emosi) dalam buku ini, bukan sekadar "IQ" (sentuhan intelek) semata-mata.

Namun ia tidak bermakna saya mengambil pendekatan novelis yang sememangnya telah ada penulisan novel mengenai Muhammad al-Fateh.

Sentuhan EQ menjadi doktrin saya dalam penulisan ini kerana pengalaman 4 tahun dalam pengajian bahasa dan sastera Arab, khususnya dalam madah syair-syair Arab di mana saya belajar bagaimana tokoh-tokoh Arab era Islam menterjemahkan idea dan sesuatu mesej dengan lebih berkesan apabila ia diselit dengan nada penuh lunak bahasa menyentuh emosi , hati dan lantas membakar semangat.

Sebarang saranan membina topik-topik besar yang mesti turut sama mendapat perhatian saya, amatlah saya nantikan dari rakan-rakan bloggers sekalian.

Monday, June 29, 2009

Kuliah 3 : Elemen Tanzim dan Aspek "Sunnatullah" Di Sebalik Kemenangan Muhammad al-Fateh

Saya berkongsi lagi dengan rakan-rakan aktivis DQ.

Siapa yang mengkaji dengan mendalam kronologi 53 hari pengepungan Muhamad al-Fateh ke atas Konstantinople, nescaya pasti akan menemui suatu penemuan menakjubkan bagaimana dalam peperangan memakan masa 2 bulan bagi menembusi kubu tentera terkuat di dunia ini sarat dengan paparan pelbagai pelan strategik al-Fateh.


Ia bukan sekadar cerita pemindahan 70 buah kapal melalui daratan, bahkan fakta bersejarah strategi pemindahan kapal itu bukanlah kemuncak kepada pelan strategik al-Fateh memecah kebuntuan menawan kubu Byzantium itu.


Benar, ia adalah kemuncak chapter aksi "kebijaksanaan" al-Fateh (aspek sunnatullah), namun chapter seterusnya yang jarang dibongkar sejarawan adalah aksi "keberanian" saat akhir para tenteranya melakukan rempuhan akhir dan serangan istisyhad berbekalkan keyakinan yang tinggi kepada Allah (aspek syariatullah), yang diketuai Panglima Ulubate tatkala hampir kesemua tentera sudah mula berputus asa untuk menembusi kubu Byzantium itu.

Saya sendiri sedang meneliti bahan-bahan sejarah untuk mendalami pembongkaran yang mungkin belum dilakukan oleh sesiapa lagi di Malaysia. Saya akan merujuk Ustaz Hasrizal Jamil dan murabbi-murabbi sejarah Islam yang lain yang ada.

Pembongkaran ini mesti dilakukan kerana ia akan menyerlahkan “mukjizat” sebenar sabda Rasul yang memuji mereka sebagai “sebaik-baik tentera” dan “sebaik-baik raja” yang wajar dicontohi untuk memenangkan Islam pada hari ini.


Saya mungkin akan berbincang dengan Prof Abu Hassan Hasbullah yang berpengalaman dalam pengarahan filem dan teater. Al-Fateh mesti difilemkan untuk memudahkan para pejuang Islam nampak lebih jelas satu persatu taktik dan kesungguhan al-Fateh melunaskan janji Nabi S.A.W.

53 hari bukan sekejap, sarat dengan perpindahan taktik dan kelicikan panglima Ardogan dari Byzantium untuk membolosi taktik panglima-panglima perang al-Fateh. Gagal pelan A, Al-Fateh ke pelan B. Gagal pelan B, Al-Fateh ke pelan C, D dan E. Apa yang menakjubkan adalah soal kesungguhan mereka untuk mencapai visi membebaskan Konstantinople.


Filem ini kelak bukan sekadar memaparkan kehebatan al-Fateh sebagai Sultan yang mengepalai segala keputusan yang bersangkut paut dengan perang menghadapi Konstantinople, tetapi juga “tanzim” di bawahnya. Apa yang lebih penting adalah filem ini bukan sekadar paparan one-man show Al-Fateh, tetapi hakikat yang sebenarnya adalah semangat gerak kerja berpasukan (team work) yang wujud dengan nama-nama besar panglima-panglima Al-Fateh yang banyak didiamkan sejarawan Islam.

Filem ini akan membongkarkan para panglima perang di belakang tabir kejayaan yang jarang disingkap sejarawan. Antaranya :

1. Panglima Zakhanus dengan kepimpinannya mengepalai armada laut al-Fateh


2. Panglima Amir Pasya, pakar negosiasi dan misi tenteranya sebanyak 3 kali memusnahkan rantai gergasi (menggunakan taktik bom meriam Urban, rempuhan, gergaji) menghalang kapal al-Fateh ke Tanjung Emas


3. Panglima Palta Oglu yang menggantikan Amir Pasya yang dipecat al-Fateh serta Panglima Hamzah Pasya (Perdana Menteri yang turut sama berperang) yang menggantikan Palta Oglu yang juga dipecat oleh Al-Fateh kerana putus asanya.

4. Panglima Hassan Ulubate dan armada gempur daratannya, kegigihannya merempuh benteng Kontantinople sehingga kepada kegagalan membuka pintu masuk utama walaupun menggunakan rempuhan kayu balak.


5. Panglima Tharthan yang "master" dalam geografi Konstantinople, banyak membantu al-Fateh dalam mengenalpasti kekuatan dan kelemahan geografik kota itu. Beliau juga bertanggungjawab pada jawatankuasa penggalian terowong rahsia untuk mengambil saintis Urban, pengintipan dan menembusi kubu Konstantinople secara bawah tanah, bukan berdepan.

6. Panglima Khalil Pasya dan bala tenteranya yang menyelam dan menyerang dari belakang Konstantinople dan berhadapan dengan tombak-tombak tentera Genoa.


7. Panglima Sulaiman Oglo dan pembabitannya dalam menara Rumeli Hissari, misi pengeboman benteng Konstantinople, pembikinan menara tinggi bergerak dan misi memanjat dinding benteng.


Filem ini akan memaparkan ketinggian martabat perencanaan berdasarkan “sunnatullah” sebagai catalyst kepada peranan tawakkal, iman yang teguh, permesyuaratan para pimpinan dan ketaatan para tentera, serta segala aspek “syariatullah” yang banyak dinasihatkan oleh Majlis Syura UIama al-Fateh yang diketuai Syekh Syamsudin yang bukan sekadar mengetahui soal hukum hakam dan perkara “fundamental” perjuangan, tetapi turut mengetahui soal peralihan arah angin bagi menjayakan misi paling mustahil dalam sejarah iaitu pemindahan 70 buah kapal al-Fateh dalam masa satu malam melalui jalan daratan yang berbukit bukau.

Para ulama di belakang Muhammad al-Fateh

Kuliah 2 : Elemen Tanzim dan Aspek "Sunnatullah" Di Sebalik Kemenangan Hijratur-Rasul

Antara asakan saya untuk menggerakkan minda rakan-rakan aktivis DQ supaya berfikir adalah asakan pemikiran yang telah diungkapkan dengan cemerlang oleh Syekh Munir Ghadhban dalam Manhaj Haraki (ms 200-209).


Saya merumuskan beberapa “takhtih basyariyy” yang sengaja Rasulullah pertontonkan kepada ummat pejuangnya di akhir zaman, walhal baginda adalah Nabi dan Rasul, Jibril berada di belakangnya untuk mengangkat segera segala doa kepada Allah S.W.T untuk dimustajabkan, baginda mampu diberikan mukjizat apa sahaja untuk lolos dari serangan musuh, namun lihatlah apa yang dilakukan Nabi adalah sebaliknya. :

1. Kenapa Allah S.W.T sengaja mewujudkan skrip Ali tidur di tempat Nabi. Perlukah Nabi mengarahkan Ali tidur di situ walhal Nabi boleh “ghaib” begitu sahaja dari rumahnya ?

2. Kenapa Rasulullah - yang dijaga Allah (ismah) - datang ke rumah Abu Bakar pada waktu tengah hari - ketika masyarakat Quraisy sedang qailulah lantaran musim panas - bukan waktu petang atau pagi yang sebagaimana dilazimi selama ini ? Takutkah Nabi kepada pukulan Quraisy atau ia satu petanda Nabi merencana sesuatu perancangan dengan begitu strategik bagi meloloskan diri dari konspirasi musuh ?

3. Kenapa perlu Nabi keluar dari rumah melalui lubang tingkap, bukan pintu rumah ? Tindakan pengecut atau tindakan 'siasah panjang nafas' ?

4. Kenapa perlu menuju ke gua, bukan rumah persinggahan ? Kenapa gua Thur yang dikenali sebagai gua paling tinggi di Makkah, sukar didaki dan banyak batu besar, itu yang menjadi pilihan Nabi ? Kenapa mesti 3 hari, bukan sehari dua sahaja ?

5. Kenapa jalan selatan (jalan jauh), bukan jalan utara (jalan pintas) yang diambil Nabi untuk ke Madinah ? Tidak bijakkah Nabi atau itulah kebijaksanaan yang sebenarnya ?

6. Kenapa perlu Abdullah bin Abu Bakar dilantik menjadi ejen perisikan maklumat kepada Nabi ? Bukankah Nabi diberikan kelebihan untuk mampu terus “online” direct dengan Allah S.W.T sebagaimana baginda selama ini menerima wahyu ?

7. Kenapa perlu Asma binti Abu Bakar yang sudah tua, bahkan sedang hamil, diarahkan untuk membawa makan minum kepada Rasulullah dan ayahnya di gua Thur, suatu risiko nyawa yang perlu dilakukan untuk didakinya? Kenapa Asma dimandatkan dengan urusan “kebajikan” manakala Abdullah dengan tugasan “membawa maklumat”, kenapa tidak Asma yang sama juga membawa maklumat ketika membawa bersama makan minum ? Berbezakah tahap lelaki dan perempuan dalam “menguasai dan mengungkapkan semula maklumat” ?

8. Kenapa perlu kambing-kambing Amir bin Fuhairah membersihkan jejak Nabi dan Abu Bakar, walhal Nabi adalah Rasulullah, yang dijaga lagi dipelihara Allah dengan segala macam perlindungan langit seperti yang berlaku ketika kafir Quraisy gagal menjatuhkan batu besar dari atas bukit untuk menghempap kepala Nabi yang sedang sujud ?

9. Kenapa perlu seorang musyrikin bernama Abdullah bin Uraiqith digunakan untuk menunjuk jalan Nabi ke Madinah, bukannya muslimin para Sahabat yang sedia ada ?

10. Apa perlu Abu Bakar berkinayah dengan Arab Badawi yang bertanya siapa mereka ? Bukankah Abu Bakar itu gelarannya “As-Siddiq” dan kental imannya kepada Allah, tidak perlu gentar andaikata berterus terang sekalipun ?

Demikianlah sang Rasul memberikan isyarat dan petunjuk kepada kaedah memenangkan perjuangan Islam di akhir zaman. Rasulullah bijak menyusun atur posisi dan potensi tenaga kerja manusia serta melakukan perencanaan strategik dan teliti kerana masa depan skrip 10 tahun Madinah yang akan mensyumulkan wajah Islam itu kesemua bergantungharap kepada berjaya atau gagalnya misi Hijrah.


Persoalan paling besar dari 10 asakan minda di atas, kenapa Rasulullah dan para Sahabat yang pastinya mahu bertemu segera dengan Allah melalui jalan mati syahid di Makkah tidak melakukan istisyhad apabila serangan musyrikin Quraisy kian memuncak ke atas Nabi di Makkah ? Kenapa perlu “skrip” Hijrah diwujudkan Allah yang mengundangkan fasa lebih besar sejarah Nabi iaitu fasa Madaniyyah (fasa kemenangan dan pemerintahan) ?

Demikianlah “mukjizat” Hijrah mendedahkan betapa bertanzimnya gerakan hijrah Rasulullah, bermula bukan sejak turunnya perintah hijrah dari langit, bahkan ketika Rasulullah bersungguh-sungguh memburu wajah-wajah baru lantas mencari “kader-kader” berpotensi dari Madinah yang datang ke Makkah mengerjakan umrah, Rasulullah memperkenalkan Islam dengan skill tarbiyah “promoting” yang diterimanya dari Siti Khadijah ketika berniaga dan berulang-alik ke Syam-Makkah.


Tanzim itu adalah menyusunatur "2 P" dengan efektif :

- “positional” tentera
- “potensional” individu berkepakaran

dalam gerakan. Hijrah memaparkan Rasulullah menyusunatur kedua-dua mafhum tanzim ini dengan baik :

1. Lajnah Siasah
- dalam soal propaganda mengelirukan musuh dengan Ali di tempat tidur, kinayah dalam tutur bicara dengan Arab Badawi yang ditemui ketika musafir hijrah
- dalam soal kerahsiaan pergerakan seperti keluarnya Nabi di waktu tengah hari ke rumah Abu Bakar, keluar melalui lubang tingkap, dihilangkan jejak langkah baginda dengan kambing Amir bin Fuhairah

2. Lajnah R & D – dalam soal perolehan Abdullah bin Abu Bakar terhadap maklumat dan fakta yang sahih mengenai bual bicara masyakarat Quraisy dan misi konspirasi membunuh Nabi, fakta gua mana paling tinggi dan jarang didaki, fakta siapa yang paling mahir jalan dan lorong-lorong ke Madinah walaupun dia bukan Muslim

3. Lajnah Kebajikan - yang dimandatkan kepada Asma binti Abu Bakar untuk membawa makanan dan minuman walaupun beliau sangat tua dan hamil untuk mendaki Gua Thur

4. Lajnah Penerangan – yang dimandatkan kepada Abdullah bin Abu Bakar dan bukannya kepada Asma binti Abu Bakar kerana kelebihan Abdullah dalam mengungkapkan dengan tepat hasil risikan yang dilakukan kepada masyarakat Makkah

5. Lajnah Ekonomi – tarbiyah “the best product with the best promoter” yang diterima baginda sepanjang pengalaman tijarah membantu baginda mempromosi Islam dalam laras bahasa yang ringkas tetapi penuh makna kepada segelintir masyarakat Madinah yang mengerjakan umrah di Makkah sehingga membawa kepada Baiatul Aqabah, peristiwa besar memangkin kepada kejayaan Hijrah

6. Lajnah Tarbiyah – supaya sentiasa tegar keyakinan dengan bantuan Allah selepas segala ikhtiar “sunnatullah” dilaksanakan. “Allah bersama kita walau apa keadaan sekalipun menekan kita” dibuktikan (surah at-Taubah : 40).

Kuliah 1 : Ulama Ikhwan Berbicara Soal Tanzim Perjuangan Islam Tuntutan "Sunnatullah"

Ketika berbicara dengan rakan-rakan aktivis mahasiswa DQ mengenai kepentingan bertanzim dalam perjuangan gerakan Islam, antara asakan pemikiran baru yang saya tegaskan adalah bahawa perjuangan Islam secara bertanzim (dalam definisi kerja berpasukan dan saling kukuh mengukuhkan antara satu sama lain) bukan sekadar tuntutan Syariatullah - yang dalil-dalilnya bersifat “maqru’ah” dari al-Quran dan As-Sunnah dan athar para sahabat - seperti kata-kata terkemuka Saidina Ali mengenai kebenaran tidak bertanzim akan ditumpaskan kebatilan bertanzim, tetapi juga tuntutan Sunnatullah, yakni peraturan Allah di alam semesta raya ini kepada jatuh bangun tamadun dan menang kalah sesebuah perjuangan.

Sunnatullah ini sifatnya “manzhurah” (mesti diteropong), dan sudah pasti asasnya adalah "universal proofs" yang bernama sejarah, khususnya sejarah dan sirah perjuangan Islam itu sendiri. Lantaran itu sepertiga Quran adalah sejarah, sarat dengan secret codes tersirat untuk membaca formula-formula kemenangan.

Sejarah tidak akan menipu, ia akan berulang dan kembali ke "titik mula orbitnya" di zaman ini. Persis seperti bumi yang mengelilingi matahari, bulan mengelilingi bumi, proton dan neutron mengelilingi atom, hujjaj mengelilingi Kaabah, ia pasti akan mengulang putaran dari titik asal ia bermula. Sejarah akan terus mengorbit dan tidak akan berhenti.


Bukan main 'geram' isteri saya apabila mendengar ada celoteh bernada bisikan beberapa muslimat mendefinisi “sunnatulah” dengan begitu simplistik semasa berusrah dengan YB Khalid Samad atas jemputan rakan-rakan aktivis UM baru-baru ini. Ketika seorang rakan mengasak YB dengan persoalan sejauhmana perjuangan PAS menepati syariatullah dan sunnatullah untuk mencapai kemenangan, isteri saya terdengar ada suara muslimat menyatakan “Sunnatullah itu qadha dan qadar Allah. Memang dah tak boleh ubah. Apa yang nak dibahaskan lagi.”.

Penegasan Imam Hassan al-Banna, Syekh Said Hawwa dan Almarhum Fathi Yakan Mengenai Hakikat "Tanzim" Perjuangan Islam Satu Tuntutan Sunnatullah

Imam Hassan al-Banna dalam Majmu’ah Rasail :

“Wahai Ikhwanul Muslimin, kekangilah semangatmu yang membara dengan aqal fikiranmu yang waras. Suluhilah aqal fikiranmu yang waras itu dengan semangatmu yang membara. Dampingkanlah khayalanmu dengan kebenaran yang hakiki dan realiti. Bukakanlah pintu kebenaran itu dengan silauan khayalanmu yang menawan. Janganlah kamu melencong jauh, kelak kamu akan tergantung di awang-awangan. Janganlah kamu MENCANGGAHI KANUN-KANUN ALAM kerana ia sentiasa MENGATASI mu. Sebaliknya hendaklah kamu mengatasinya, MENGALIRKAN ARUSnya dan cuba menggunakan sebahagiannya untuk mengatasi sebahagian yang lain. Sesudah itu tunggulah saat-saat kemenangan, detik kemenangan adalah hampir sekali.”


Syekh Said Hawwa, Memahami Prinsip-Prinsip Amal Islami (Pelajaran Ke -9, Mencari Sunnah Alam dan Bergerak Dengan Berlandaskannya, ms 75 – 79)



“Sesungguhnya setiap suruhan Allah adalah terikat kuat dengan alam sebab musabbab dan sunnah-sunnah Allah di ala mini (yang perlu diperhatikan). Walau bagaimana pun ia seringkali DIABAIKAN oleh sebahagian golongan Islamiyyin. Allah menjadikan kita terikat dengan alam sebab musabbab dan kanun-kanun-Nya. Pun begitu, Allah berkuasa melewati dan mengenepikan kanun alam yang Dia ciptakan seperti yang berlaku pada mukjizat para anbiya’ dan karamah para awliya.

Namun, kita disuruh oleh Allah untuk memperhatikan sebab musabab kanun-kanun alam itu tadi di samping kita meyakini Allah berkeupayaan memberi kemudahan kepada seseorang mukmin yang tidak diberikannya kepada orang lain.
Sebarang pengabaian terhadap jalan-jalan yang telah disyara’kan adalah satu kecuaian.

Kejayaan untuk sampai kepada satu-satu kaedah adalah terikat kuat dengan sunnah-sunnah Alam yang memang mempunyai jalan-jalannya yang tersendiri.
Orang-orang lain telah lama menggunakan jalan ini serta membuat perhitungan yang secukupnya. Malangnya kita cuai dan mengabaikan jalan-jalan dan wasilah yang telah disyara’kan kepada kita.

Begitu juga dalam usaha membentuk jiwa-jiwa manusia, terdapat kanun-kanun sendiri dan berkewajipan kita menyelidikinya. Mencuaikannya adalah satu pengabaian yang jelas. Pertembungan antara umat manusia ada kanunnya. Peperangan ada kanunnya. Penguasaan ke atas sesuatupun ada kanunnya. Kita ingin mencapai beberapa matlamat tempatan dan antarabangsa yang sememangnya sukar, tetapi kita melupakan sebab-sebab yang membolehkan kita sampai ke matlamat tersebut.

Lantaran itu antara tuntutan fardhu kifayah dalam Islam adalah melahirkan mereka yang ikhtisas (professional) dalam semua bidang yang diperlukan umat Islam.



Almarhum Fathi Yakan, Tasawwur Asasi Gerakan Islam (Bahagian Wajib Ada Tanzim Dalam Amal Islami, ms 5 – 6)


“Setiap benda di ala mini wujud mengikut tanzim dan peraturan. Dari bintang-bintang dan planet-planet yang berterbangan di angkasa hinggalah pergantian siang dan malam, dari pertukaran musim-musim, percantuman benih manusia dan haiwan sehinggalah perjalanan hidup dalam tubuh makhluk melalui alat-alatnya hinggalah ke pelbagai undang-undang Allah dalam alam, kesemua tertegak di atas peraturan."

Menanti "Klon" Senator Mumtaz Dalam Kepimpinan Mahasiswi Islam

Saya tertarik dengan pandangan kritis Hasbie Muda yang dipaparkan dalam Siasah sebelum ini bertajuk "PAS Anti Perubahan?". Antara kritikan beliau kepada Dewan Muslimat adalah ;

"...Kes kedua – dalam pemilihan Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS sejak 30 tahun kebelakangan ini, tempat Ketua Muslimat tidak pernah diisi oleh ahli dari kalangan non-Ustazah. Dalam PAS tidak sedikit pimpinan-pimpinan Muslimat dari kalangan Profesional yang kompeten. Antaranya Dr Lo’ Lo Ghazali, Dr. Mariah Mahmud, Dr Halimah Ali dan Mumtaz Mad Nawi. Saya tidak pasti apakah kriteria utama yang digunakan oleh ahli-ahli Dewan Muslimat dan membuat pemilihan. Atau apakah calon-calon yang saya sebutkan tadi hanya punyai nilai Al Qowwi (competency) dan tiada sifat Al Amin (integrity).


Walau apapun kriteria yang ahli DMPP gunakan untuk memilih ketua mereka, satu hakikat yang tidak boleh dinafikan adalah Dewan Muslimat PAS masih jauh terkebelakang jika dibandingkan dengan rakan-rakan mereka dalam Pergerakan Wanita UMNO ataupun Sayap Wanita Parti Keadilan Rakyat.

Rakyat tetap akan mentertawakan PAS jika Dewan Muslimatnya hanya menjadi penggerak di belakang tabir dan hanya tahu menguruskan tarbiyah dan dakwah semata-mata. Rakyat juga akan terus mentertawakan PAS jika pimpinan Dewan Muslimatnya hanya mampu bercakap dengan arif tentang hal-hal kekeluargaan, hal-hal akhlak Islamiyah dan soal bagaimana untuk menjaga suami. Jangan marah jika pihak media pun tidak pernah terfikir untuk mencari pimpinan DMPP apabila timbul apa-apa isu besar negara."


Saya membelek Harakah terbaru, kalau-kalau ada sedikit lampiran pembuktian pada kritikan beliau.

Hasilnya, ada benarnya. Saya kaji secara rawak kandungan Harakah terbaru kali ini, saya mencari-mencari kenyataan dari mana-mana pimpinan Dewan Muslimat di celah-celah dominasi kenyataan pimpinan PAS muslimin dalam Harakah. Ternyata, yang saya temui hanya temuramah dengan Senator Mumtaz, kenyataan Senator Mumtaz mengenai virus H1N1 dan kenyataan Senator Zailah dalam isu royalti petroleum negeri Kelantan.

Selebihnya, sebagaimana jangkaan awal persepsi saya pada Harakah terbaru ini, 60 % kandungannya masih berlegar soal Unity Government, tetapi dalam laras isu yang bersifat terbitan dari isu pokok yang telah diselesaikan itu, antaranya cabaran muzakarah dari Pemuda Pas, sokongan kelab penyokong Pas dan dewan Pemuda Pas beberapa negeri pada keputusan memperkukuh PR, dan kenyataan Harussani yang tidak memihak kepada PAS.

Di celahan saki-baki 40 % isu yang membabitkan pemberian 1 juta Dato Jean Todt, isu keputusan dakwaan liwat DSAI, PRK Manik Urai, saya menemui kenyataan seorang pimpinan Dewan Muslimat. Itulah Senator Mumtaz.


Kenyataan beliau ini dapat saya rumuskan kotak cara berfikirnya :

1. Tidak menggemari isu-isu politik kepartian dan isu-isu yang boleh diulas oleh ramai pimpinan yang lain. Pendek kata, tidak suka dicorak oleh arus 60 % tadi. Beliau lebih menggemari isu-isu seperti wabak H1N1 yang kian menyerang Malaysia kerana ia isu "ummah" yang melangkaui jangkaun kepentingan parti PAS sendiri, sesuai dengan statusnya mewakili PAS dalam Dewan Negara (wan).

2. Tumpuan ulasan beliau bukan kepada aspek pemulihan dan rawatan, tetapi pencegahan (root causes).

3. Mampu melihat sesuatu isu dalam kotak pembacaan peranan yang lebih meluas seperti peranan kerajaan negeri dan NGO.

4. Bukan sekadar ulasan membangkang, tetapi mencadang. Be part of solution, not the another problem to the government.

PAS sememangnya tidak tersilap memilihnya ke Dewan Negara. Soalnya, wujudkah pelapis pemikiran, integriti dan kompetensi Senator Mumtaz dalam kepimpinan mahasiswi Islam pada saat ini ?

Tuesday, June 23, 2009

Menostalgiakan “Blind Spot” Di Sebalik Idea Unity Government (UG) TGAH


Tuan Guru Nik Abdul Aziz menarik semula kenyataan beliau terhadap Ustaz Nasharudin Mat Isa. Tuan Guru Abdul Hadi juga pernah menarik semula kenyataan beliau mengenai idea Kerajaan Perpaduan. Jika demikianlah sikap tawadhu' 2 ulama besar PAS yang kini menggegarkan Malaysia, kita bagaimana ?

Blind spot is the area that cannot be seen while looking forward or through either the rear-view or side-mirror when one is in automobile. On the plain of thought though, it pertains to a subject matter about which one is ignorant of or more often prejudiced about, hence being ‘eclipsed’ from truly appreciating other perspectives.” – Dr Dzulkifli Ahmad, Fomer Director of PAS Research Centre


Ketika saya menulis posting ini, idea kerajaan perpaduan telah selamat “dikuburkan” oleh PR demi kepentingan "perpaduan" PAS terlebih dahulu sebelum perpaduan semua parti dalam UG menongkah langkah seterusnya.


Namun, tidak mustahil apa yang diimpikan oleh sahabat saya Mior Isfandy dalam surat terbukanya kepada Presiden PAS akan berlaku.

"Mungkin Tuan Guru akan meninggalkan idea ini dalam legasi politik PAS dan Malaysia. Tidak mustahil ia akan diungkap kembali daripada generasi kepimpinan PAS yang lain dan pada waktu itulah gagasan politik ini akan menjadi satu realiti yang sangat mahal harganya. Inilah hikmatullah yang mulia. Hanya optimis dan positif melatari perjuangan Islam ini."


Andaikata idea ini berulang kembali suatu ketika nanti di masa hadapan, sekurang-kurangnya saya telah mengarkib dan menostalgiakan beberapa pandangan bernas kedua-dua mazhab pemikiran yang saya temui di media dan alam maya dialbumkan dalam blog saya ini, memudahkan rujukan saya di kemudian hari. Malangnya, saya ketandusan sumber bagi pihak yang berpandangan kontra kepada UG ini. Justeru, rakan-rakan yang mempunyai sumber boleh nyatakan kepada saya. Saya tidak bias kepada mana-mana pandangan, bahkan saya gembira dengan kedua-dua pandangan pada asalnya. Cumanya saya ada rumusan saya sendiri di hujung posting ini.


Arkib Pandangan Bernas Pro UG



Pandangan Pertama : Prof Wan Abdul Rahman Wan Ab Latif, Pengarah Pusat Penyelidikan PAS

"Kedua-dua Tok Guru yang warak dan begitu hampir dengan Allah senantiasa memanjangkan tangan persahabatan kepada Umno atas nama perpaduan ummah. Mereka berdua peka terhadap seruan Allah untuk ummat Islam senantiasa berpegang kepada tali Allah (iaitu Agama Islam) dan jangan berpecah-belah.

Tangan persahabatan dihulur dengan satu syarat yang amat penting iaitu perbincangan mengenai penyatuan ummah Melayu mesti menjadikan al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan terpenting. Keenggangan Umno untuk menjadikan al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan asas dalam perbincangan mengenai perpaduan ummah yang menyebabkan persoalan berkaitan dengan perpaduan ummah adalah persoalan yang tiada penghujungnya.

Apabila Tuan Guru Presiden melontarkan idea kerajaan perpaduan, ia menunjukkan betapa besarnya jiwa Tuan Guru Presiden yang seolah-olah bersedia untuk memaafkan Umno di atas segala kejahatan yang dilakukan ke atas beliau.

Lontaran idea ini bukan sahaja kepada Umno tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia atas keyakinan beliau bahawa sudah tiba masanya untuk Islam (melalui PAS) memimpin perubahan dan salah satu perubahan yang dimaksudkan ialah kerajaan perpaduan. Hujah ini adalah selari dengan hujah Tuan Guru Mursyidul Am."


Pandangan Kedua : Prof Abu Hassan (Pengasas Zentrum Future Studies, Jabatan Pengajian Media UM)

"Idea ini sangat tepat pada masanya kerana abad kini adalah abad pluralisme dalam ecopocial (economy-politic-social), manakala abad singular atau pendekatan primitif "memerintah dengan kelebihan undi walaupun 1 undi" akan gagal.

Idea kerajaan perpaduan (tanpa pembangkang) adalah satu idea permulaan ke arah proses pemerintahan kenegaraan secara lebih liberalitatif dan demokratif. Ini adalah pandangan bijaksana, budiman, penuh hikmah dan wisdom ke arah melahirkan semula suasana politik madani (bertamadun dan beradab) yang mementingkan masyarakat dan rakyat, bukan ahli politik. Kerajaan perpaduan akan membentuk suatu politik baru Malaysia iaitu politik berasaskan kebersamaan, kesaksamaan dan kejernihan.

Pentabdiran negara bukan lagi bersifat individual dan ketaksuban parti atau kepentingan satu pihak tetapi menyeluruh. Idea ini sangat tepat pada masanya, bukan satu ilusi dan mitos bahkan satu keperluan masa depan.

Kita tidak mahu menjadi seperti Indonesia dan Eropah yang "terlambat" membentuk kerajaan perpaduan apabila catastrophy (kepunahan dahsyat dan kronik) telah melanda ekonomi dan sosial masyarakat. Para pengkaji global meramalkan menjelang 2012 akan berlaku kepunahan dahsyat pada sosial, tenaga, dan ini bukan urusan satu pihak sahaja. Di beberapa buah negara maju seperti Australia, Belanda, UK, dan lain-lain, beberapa kekosongan jawatan penting dalam kabinet kerajaan diisi oleh para profesor yang ajaib pemikirannya, tokoh-tokoh NGO dan aktivis masyarakat, termasuk juga ahli politik oposisi, tidak semestinya diisi oleh ahli politik proposisi (parti pemerintah). "Mereka telah lama merobohkan tembok Berlin!

Demikian juga musuh ketat umat Islam, Israel. Israel merupakan negara moden yang paling banyak menggunakan pendekatan "kerajaan perpaduan" sebagai kaedah menyelesaikan masalah dalaman mereka. Secara lebih spesifik, menyelesaikan pertembungan antara Parti Buruh dengan Parti Likud. Kerajaan perpaduan yang dibentuk ialah kerajaan campuran antara dua parti yang dominan ini. Terkini usaha-usaha sedang dijalankan bagi menyatukan Parti Likud dengan parti Kadima."


Pandangan Ketiga (Usernama :Pembela, Sumber : Detikdaily)

"Sesungguhnya para pemimpin dan ahli PAS dan juga parti politik lain seharusnya melihat bahawa idea UG oleh Presiden PAS ini adalah lahir dari seorang kepimpinan yang berjiwa besar dan berfikiran negarawan. Ia perlu dilihat dalam kerangka yang lebih luas, matang dan merentasi kepentingan puak kepartian semata-mata.

Cetusan idea ini bukan kerana ‘gilakan kuasa’ ataupun Presiden PAS mahu mengadai prinsip perjuangan. Sebaliknya ia adalah untuk memberi keutamaan menyelesaikan masalah rakyat ekoran dari kegawatan ekonomi yang melanda negara, di samping isu-isu lain termasuk politik, pendidikan dan sosiol dan sebagainya yang melibatkan rakyat.

UG juga adalah suatu usaha (jika berjaya) untuk semua pemimpin dan parti politik memberi focus kepada membangunan rakyat dan Negara. Walaupun ada setengah pihak berpendapat ia adalah terlalu ‘ideal’ untuk dilaksanakan.

Dapat dikesan bahawa tujuan ‘penyalahertian’ definasi tentang idea dan konsep tersebut oleh pihak-pihak yang berkenaan ialah untuk menyakinkan ahli-ahli PAS supaya idea TGHH yang dipopularkan oleh Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa adalah suatu usaha secara senyap dan sistematik untuk mengUMNOkan PAS seperti yang berlaku di zaman lampau di bawah kerajaan Perikatan. Natijahnya, Ustaz Nasharuddin menjadi sasaran dan dikambinghitamkan oleh tangan-tangan gelap bertujuan untuk politik jangka pendek dan jangka panjang mereka. Maka berbondong-bondonglah ahli-ahli PAS yang terlalu sentimental dengan pemimpin PAS tertentu menghayunkan ‘penumbuk’ politik seperti mana yang sama-sama kita ketahui pada hari ini.




Lebih malang lagi seolah-olah pihak-pihak yang menentang idea kerajaan perpaduan ini tidak menerima langsung pengakuan demi pengakuan oleh pemimpin terintinggi PAS tentang ketidaksudian PAS bergabung dengan Umno kecuali melibatkan seluruh parti utama dalam Negara.

Sesungguhnya mainan definasi yang mengeliru inilah yang menjadi peluru ganas beberapa pemimpin PAS ‘tenggelam punca’ bertindak separuh rasional dan kurang matang samada melalui kenyataan akhbar maupun politik. Bahang penentangan kepada Timbalan Presiden PAS sampai ke kemuncak yang tidak pernah terfikir berlaku dalam PAS sejak ia ditubuhkan oleh Ulamak pada tahun 1951 lalu."


Pandangan Keempat : Mior Isfandy, Aktivis Mahasiswa

"Apa yang saya faham adalah Kerajaan Perpaduan bukan tahalluf siyasi antara PAS dan Umno. Tetapi, PAS membuka pintu rundingan dengan sesiapa sahaja untuk memulihkan krisis politik, ekonomi dan kebejatan rakyat yang melanda negara.

PAS mahu mengajak Umno, KeADILan, DAP, MCA, MIC, Gerakan, PPP dan parti-parti di Sabah dan Sarawak untuk membentuk sebuah kerajaan asalkan meletakkan al-Quran dan As-Sunnah sebagai tunjang. Mesti Islam sebagai asas pembentukan."


Pandangan Kelima : MSO

"Sebagai Presiden, Abdul Hadi tidak perlu tunduk kepada sesiapa. Itu adalah bidang kuasanya yang mutlak. Kalau Anwar Ibahim boleh membawa idea 16 September sebelum ini kenapa tidak dengan beliau mengemukakan apa-apa gagasan alternatif dari umbi pemikirannya? Apakah standard Abdul Hadi dengan Anwar sebagai Penasihat PKR berbeza?


Pemain politik baru kena baca sejarah dan ingat DAP juga pernah membuat tindakan politik meninggalkan Pas pada satu masa dulu apabila parti itu menghitung Pas tidak memberi kebaikan kepadanya. Tindakan itu tidak berdosa kerana dalam mencari kemenangan politik, bukan kemenangan mencapai keredhaan Alllah parti politik boleh lakukan apa saja menuruti lunas-lunas demokrasi sekular."


Pandangan Keenam : Nazree Yunus

"Ada baiknya isu Kerajaan Perpaduan ini ditukar kepada istilah Politik Damai. Ia itu bentuk Politik Damai yang boleh berbeza pandangan tetapi tidak keterlaluan ketegangan sehingga apa sahaja yang dilakukan oleh pihak yang bertentangan dianggap semuanya salah.

Politik Damai yang lebih terbuka untuk perbincangan. Politik Damai ini harus dilakukan dalam bentuk lunas-lunas keadilan sejagat termasuk melihat apakah definisi Islam terkait soal Keadilan.

Parti-parti tidak menumpukan proses ke arah pembinaan karektor pemimpin muda negarawan. Masing-masing ditebalkan dengan semangat parti itulah yang benar dan betul. Apakah tidak mungkin dengan politik damai dan pembinaan kepimpinan muda negarawan, maka terlahirlah jiwa-jiwa ahli dan rakyat yang statemanship yang masing-masing boleh berfungsi secara membina dalam parti dan platform masing-masing. Maka pada ketika itu barulah persoalan Kerajaan Perpaduan ini akan lebih rasional untuk diterjemahkan. Namun hari ini ada hikmah juga isu ini dibangkitkan.

Politik Damai ini juga harus dibincangkan dengan konsep kolektif support. Sokongan kolektif wajar untuk perkara yang sah sebagai kebaikan, tetapi dalam soal pertikaian kemungkaran, sokongan kolektif ini boleh membawa kepada kerosakan seumpama ahli MP Kerajaan tidak boleh berbeza pandangan dengan Menteri daripada Parti yang sama terutama berkaitan dasar kementerian walaupun kadang kala ianya salah.

Ini bentuk-bentuk transformasi politik yang mahu dibuat. PAS sudah mulakan perkara ini. Kenyataan Presiden yang difikirkan ada kekurangan disanggah oleh pimpinan yang lain. Apakah ini bukti PAS mendahului dalam pemecahan konsep sokongan kolektif. PKR juga tidak seberani ini dalam mana-mana pemimpin menyanggah Anwar. UMNO juga begitu terhadap Najib walaupun dahulu menolak Pak Lah."


Pandangan Ketujuh : Akhi Abdul Rahim Hilm


"Saya masih merasai gegaran 16 September tahun lepas. Sepertimana Unity Government, 16 September juga berkongsi matlamat serupa; membetul dan memandu negara ke arah yang sempurna.

Saat itu pernahkah kita didedahkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan strategi pembentukannya, syarat-syarat (tawaran) kemasukan ahli lompatnya, kedudukan ahli lompat dalam kabinetnya hatta siapakah Timbalannya?!. Tidak ada.

Kenapa?

Kerana politik adalah seni serba mungkin. Politik adalah seni menggoda. Politik juga adalah seni perang. Tidak ada jeneral yang memberitahu strateginya kepada para tentera tatkala telinga musuh tertadah di sebelah. Itu jeneral tak mumayyiz namanya.

Apabila DSAI mengumumkan 16 September, tidak ada seorang pun antara kita yang menganggap itu cubaannya yang mahukan kuasa walaupun umum tahu dia akan jadi PM jika PR memerintah. Tetapi apabila Tuan Guru Presiden menggagaskan 'Unity Government' kita anggap dia nyanyuk dan gila kuasa padahal kita tak tahupun kalau jadi pelan itu Tuan Guru akan jadi siapa.

Apabila DSAI berahsia tentang strategi 16 Septembernya, kita anggap itu taktik dan tindakan politik matang. Apabila Tuan Guru berahsia tentang strateginya, kita anggap dia pembohong, lembap dan patut diludah mukanya.

Begitu juga apabila tarikh itu berlalu, DSAI semakin tidak menyebut tentang 16 September. Dan kita mentaatinya dengan tidak berbicara lagi tentangnya kerana kita tahu itu bisa menggugat perpaduan antara parti komponen dalam PR. Kita sanggup bertindak lebih jauh dengan membelasah siapa juga yang cuba mempertikaikan kejayaan 16 september walaupun semua orang tahu tokoh itu betul dalam tekaan politiknya. Tetapi apabila Dato Mustafa Ali meminta kita jangan mempolemikkan 'Unity Government' kkerana ia mengocak keamanan dalam parti, kita anggap dia cuba menutup pelan busuknya. Walhal rayuan tokoh ini selari dengan kenyataan Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah di blog suaminya."


Arkib Pandangan Bernas Kontra UG


Pandangan YB Khalid Samad


"Pakatan Rakyat dalam keadaan sekarang, bagaikan tentera Saidina Ali yang sedang mengasak kedudukan tentera Muawiyyah iaitu UMNO/BN. Kita maju selangkah demi selangkah dan jelas dalam BN ketakutan. Tiba-tiba ada yang mencadangkan perpaduan, perdamaian! Pakatan Rakyat, seperti tentera Saidina Ali, mula berbalah sesama kita. PKR dan DAP terpingnga-pingnga dengan sebutan-sebutan ‘perpaduan’. Malah PAS sendiri pun terbahagi dua dalam menghadapi persoalan ini. Kesatuan yang terbentuk selama ini seolah tergugat dan UMNO/BN dengan segeranya menyatakan persetujuan mereka terhadap perdamaian dan persatuan yang dicadang-cadangkan.

Namun, yang lebih penting untuk kita fikirkan adalah implikasi kepada masa depan PAS itu sendiri. Kita akan kehilangan sokongan masyarakat Cina dan India yang melihat tindakan kita sebagai khianat dan perjuangan Islam akan dilihat sebagai satu perjuangan opportunis yang tidak mempunyai prinsip dan asas yang kukuh. Usaha selama berpuluh tahun akan musnah begitu sahaja dengan sekelip mata.


Maka kita akan dapati diri kita tertipu seperti mana tertipunya Abu Musa As-Syaari oleh Amr Al-As dalam peristiwa tahkim yang berlangsung selepas gencatan senjata di Siffin. Peristiwa tersebut membuktikan keikhlasan sahaja tidak mencukupi. Waraq sahaja tidak mencukupi. Ilmu hukum hakam agama sahaja pun tidak mencukupi. Cerdik politik dan kenal lawan juga amat diperlukan dan saya secara peribadi dengan melihat secara jauh, sudah mula tertanya samada inikah kekurangannya di kalangan pimpinan tertinggi PAS selama ini. Kecuali Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang pendirian dan sikapnya jelas menunjukkan mengapa PAS boleh bertahan di Kelantan berpuluh tahun tetapi tidak di negeri lain.


Rumusan Saya

Politik itu seni mencipta gimik untuk mengalih perhatian dan menimbulkan persepsi. Gimik “kerajaan perpaduan” TGAH (mungkin juga bukan gimik, namun sebuah idea yang jujur dari sanubari TGAH) berjaya membenam gimik 16 September DSAI ketika dahulu orang-orang PAS lebih gemar menyalahkan DSAI atas gelombang ciptaannya untuk merampas kuasa BN tanpa sedar diri untuk mewujudkan gelombang sendiri.

Bahkan impaknya nampak lebih dahsyat bukan sekadar kepada dalaman PAS, tetapi juga kepada PM Najib Razak dan Umno-BN. Lihat sahaja kenyataan Pak Lah yang mahu turut serta perbincangan UG, kenyataan tentangan keras dari MCA dan Karpal Singh, kenyataan Tun Mahathir, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal, Datuk Mukhriz sehingga berakhir dengan kenyataan positif Najib (baca : perangkap intelegen Najib) dan Muhyidin. Rasanya, belum pernah dalam sejarah politik PAS suatu idea itu mendapat feedback hampir semua kepimpinan utama Umno-BN. (baca juga tulisan Azlan Zainal mengenai feedback ini)


Walaupun idea itu kini dikuburkan, saya berpandangan TGAH PAS berjaya membuktikan:

1. Posisi strategik PAS sebagai "the real kingmaker" (sebagaimana diramalkan Fui K. Soong, CEO INSAP think tank MCA dalam the STAR sebelum ini) di persada politik tanah air masa kini.

DAP-PKR akan lebih berhati-hati dengan amaran dan luahan akar umbi PAS selepas ini. Mungkin impak amaran Muktamar PAS tahun lepas belum memadai bagi memberikan inzar pada kaki lompat khususnya dalam PKR, namun UG adalah signal jelas kepada rakan-rakan PKR supaya bersiap sedia dengan segala kemungkinan dalam politik PAS sekiranya rakan-rakan PR melupakan aspek integriti.

Lebih dari itu, PAS kini mempelopori idea kerajaan perpaduan. Berdasarkan kepada pengalaman negara-negara yang pernah bereksperimen dengan 'kerajaan perpaduan' memperlihatkan kepada kita bahawa kerajaan ini bersifat jangka pendek dan hanya bertahan semasa negara sedang mengalami suasana yang mencabar. Selepas keadaan kembali normal, ia tidak lagi relevan.

Justeru, selepas ini, sebut sahaja kerajaan perpaduan, rakyat dan politikus pasti akan mengenang peranan PAS dan TGAH dalam merintis hal ini. Inilah legasi terbesar TGAH yang belum sedia disambut semua pihak selepas Ustaz Fadzil Nor dengan gagasan GERAK.

2. Jika Umno-BN boleh ditumbangkan di luar pentas PRU sebagaimana projek 16 September untuk memecahkan doktrin hanya BN sahaja boleh berkuasa (baca : Hikmah 16 September oleh Zainulfaqar), maka projek UG pula menunjukkan ada juga cara lain untuk ‘melumpuhkan dominasi’ BN secara tersirat juga melalui luar lingkaran PRU. Sekurang-kurangnya, rakyat dididik (atau mungkin juga rakyat bosan) untuk melihat bahawa ada pelbagai cara dan "jalan pintas" untuk menumbangkan Umno-BN jika mereka gagal memaknakan mandat rakyat. Eksperiman politik ini sangat mahal !

3. Wibawa dua orang ulama dan Tuan Guru dalam PAS.

Sehingga ke hari ini kedengaran segenap peringkat kepimpinan PAS membimbangi siapa mampu menggantikan mereka. Inilah krisis besar PR dan PAS khususnya yang lebih suka bersandarkan kepada penonjolan figura-figura tertentu dan tidak nampak kepasukanan sebuah kepimpinan seperti ungkapan Prof Abu Hassan.

Rumusan Prof Wan Abdul Rahman sangat bernas melihat kedua-dua kekuatan dan titik persamaan kedua-dua TG ini

"Walhal, secara realitinya perbezaan pemikiran dan sikap dua orang Tok Guru ini adalah mainan media milik Umno/BN. Kedua-dua Tok Guru sedar akan sepak terajang politik bikinan Umno/BN kerana kedua-duanya pernah mentadbir negeri. Kedua-dua Tuan Guru sedar bagaimana Umno/BN telah menganaktirikan Kerajaan Kelantan dan Terengganu.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz sedar (di awal pemerintahannya) betapa peritnya apabila Umno menghentikan bantuan subsidi input pertanian (baja) kepada para penanam padi yang menyebabkan Kerajaan Kelantan terpaksa mengeluarkan baja sendiri yang melibatkan kos jutaan ringgit.

Tuan Guru Abdul Hadi juga merasakan keperitan apabila wang royalti petroleum ditarik balik oleh Umno dan digantikan dengan wang ehsan.

Tidak mungkin kedua-dua Tok Guru lupa akan pengalaman-pengalaman pahit ini. Ini sekadar satu contoh. Banyak lagi diskriminasi yang terpaksa dilalui oleh kedua-dua Tok Guru semasa memegang jawatan Menteri Besar."


4. Mentaliti pimpinan PAS segenap peringkat akhirnya dibawa kepada persiapan melihat persiapan PAS sebagai kerajaan (sama ada bersama PR atau perpaduan), bukan lagi pembangkang.

Jika 16 September mereka meragui DSAI dan menjustfikasikannya dirinya masih ada bekas Umno-BN untuk tidak membahaskan persiapan PAS-PR menjadi kerajaan, kini apabila satu lagi idea memposisikan PAS dalam struktur kerajaan Persekutuan, datang sendiri dari Presiden mereka, tiada alasan lagi akar umbi Pas tidak boleh membahaskannya.

Walaupun Abdul Shukur Harun menyifatkan Muktamar PAS Pusat baru-baru ini menyebut hanya 20 % perbahasan Muktamar menjurus kepada persoalan kehadiran PAS dalam PR, bukan PAS berdiri sendiri. (lihat "Kecelaruan Muktamar Boleh Dibaiki", Harakah 15 - 18 Jun 2009)

5. Sekurang-kurangnya rakyat, pimpinan dan aktivis PAS mula tahu untuk mendefinisi AWLAWIYYAT AGENDA perjuangan bersama PR yang bukan sekadar berpolitik semata-mata.


Terlalu banyak isu-isu lebih besar membabitkan ekonomi, sosial, keselamatan dan institusi pendidikan negara serta persoalan nasib Ummah di sekitar Asia dan dunia perlu disinggung secara bersama antara semua pihak bernama "ahli politik" samaada BN atau PR.

Kata Prof. Hasbullah (petikan dari "Politik Yang Melampau" oleh Rausyanfikir:

" Isu politik telah mendominasi pemikiran rakyat kita 300%. Ini harus dihentikan".


Keghairahan PRK mestilah diseimbangkan dengan kecaknaan isu kegawatan ekonomi dan 3 catastrophy yang disebut Prof Abu Hassan sebelum ini . Kecaknaan tidak boleh hanya memadai dengan kenyataan akhbar pimpinan sahaja.

UG adalah percubaan TGAH untuk mendedahkan permasalahan lebih besar negara. Masalah negara adalah ghoyah, UG hanyalah taktik.

6. Muhabasah kepada PAS supaya setiap cadangan mesti ada intipati yang konkrit, ada hujung dan ada pangkalnya, blue print yang jelas.

Pendek kata jangan hanya ada bingkai, gambarnya belum ada. TGAH telah mengeluarkan semua pimpinan dari mentaliti kepembangkangan kepada kekerajaanan. Namun sekadar mencadang belum memadai untuk meraih mawqif jamaie (kepercayaan majoriti) tanpa kejelasan idea yang difahami oleh akar umbi. Presiden PAS telah memulakan langkah pertamanya dengan sebuah idea, soalnya sejauhmana Pemuda dan mahasiswa meneruskan pencak seterusnya membantu menjelaskan idea Presiden dalam perbahasan ilmiah. Kaget juga saya UG hampir-hampir memanggil Muktamar Khas, kenapa Muktamar PAS Pusat tidak membahaskannya sahaja..

Merinstis K-Politics Dalam Isu Kerajaan Perpaduan : Debat Dzulkhairi vs Mior Isfandy


Mantan Ketua Siasah GAMIS dan aktivis SMM, saudara Mior Isfandy Mior Azizan hari ini memfakskan kenyataan beliau kepada Gamis Daily menerima cabaran saudara Dzul Khairi untuk berdebat mengenai isu kerajaan perpaduan.

Presiden GAMIS yang lantang memberikan kritikan kepada idea kerajaan perpaduan sebelum ini dijangka meletakkan premis kontradik kerajaan perpaduan manakala saudara Mior Isfandy yang kini bertugas sepenuh masa sebagai Pegawai Penyelidik Timbalan Presiden PAS pula dijangka memberikan pandangan balas beliau dengan premis pro kerajaan perpaduan.

Berikut adalah kenyataan penuh saudara Mior Isfandy kepada Gamis Daily :

"Ekoran daripada cabaran Presiden Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) mengenai idea Kerajaan Perpaduan terhadap Timbalan Presiden PAS dan Setiausaha Agung PAS, saya dengan rasa rendah diri ingin menawarkan diri berdebat dengan beliau.

Saya merasa terpanggil mengajak kepimpinan GAMIS untuk berdiskusi dan berdebat secara ilmiah mengenai idea dan implikasi Kerajaan Perpaduan di Malaysia. Ini adalah idea politik yang digagaskan oleh Presiden PAS untuk menyeru ahli akademik, ahli politik malah anak muda untuk berbicara soal itjihad politik yang dilontarkan pasca Pilihanraya Umum ke12.

Saya juga ingin meletakkan syarat bahawa debat atau diskusi ini tidak perlu dipengaruhi oleh sentimen ahli politik atau masalah dalaman parti PAS (jika ada), tetapi ia mesti berlandaskan kepada idea dan implikasinya di Malaysia.

Saya meletakkan syarat begitu supaya ia tidak cenderung untuk menyebelahi mana-mana pihak sebaliknya ia dijadikan sebagai hasilan akademik. Malah, ia boleh dijadikan agenda untuk menyemarakkan sifat inkuiri, intelektual dan politik berteraskan idea dikalangan mahasiswa."

Sejak dua bulan lepas ketika idea ini ditawarkan oleh Tuan Guru Presiden PAS, saya telahpun cadangkan kepada pimpinan tertinggi GAMIS agar dibincangkan secara ilmiah dan mendalam kerana kita perlu bersedia dengan pandangan bersama yang konkrit dan bertanggungjawab. Namun ia tidak disambut baik pada masa itu kerana kesibukan.

Kini alhamdulillah, apabila kedua-dua belah pihak dari kedua-dua mazhab pemikiran yang berbeza dalam menanggapi isu kerajaan perpaduan bersedia untuk bertemu, ia suatu perkembangan yang positif dan saya akan pastikan cita-cita untuk mengadakan debat intelektual ini berjaya kerana kedua-dua mereka adalah sahabat baik saya.

Pastinya ini suatu usaha yang akan merintis sikap berani mahasiswa menanggapi secara bersemuka dan intelektual (k-politics) isu-isu kritikal gerakan Islam PAS. Mahasiswa tidak wajar hanya menjadi penganjur dan moderator atau pembuat kenyataan akhbar sahaja, tetapi mesti bersedia menjadi panel dan bertanggungjawab dengan pandangan masing-masing.

Walaupun idea ini telah sepakat dihentikan oleh Pakatan Rakyat baru-baru ini, namun tidak salah mahasiswa terus membahas dan memperdebatnya secara ilmiah, kerana golongan inilah juga yang akan mungkin berdepan sekali lagi dengan idea ini apabila mereka memimpin gerakan Islam dan negara pada masa akan datang.

Wednesday, June 17, 2009

Di Sebalik Tabir Tangkasnya Obama Memukul Lalat : "Mikroskop vs Captive Mind"



Pandangan orang awam, senario Obama memukul lalat yang mengganggunya ketika ditemuramah oleh CNBC adalah satu "kebetulan". Demikianlah juga apa yang berlaku kepada Erdogan apabila keluar majlis memboikot Presiden Israel, Peres dalam Forum Ekonomi Dunia (baca : "Selepas Kasut Muntazar Ke Muka Bush, "Tipping Point" Erdogan Pula Menjadi") . Bagi ramai orang, ia hanya satu tindakan emosional Erdogan kerana masalah teknikal masa berhujah antara beliau dan Peres. Demikian juga tindakan nekad Nizar melaungkan bubar DUN Perak selepas mengangkat sumpah di Parlimen. Ramai menanggapinya sebagai tindakan "budak nakal" semata-mata. 1001 pentafsiran lebih mendalam di sebalik lagak aksi anak muda PAS itu gagal dibaca secara intelegen (wisdom atau hikmah).


Nizar Gegar Parlimen, Majoriti Ahli Parlimen DAP Bangkit Membela Tindakannya

Pandangan intelegen ? Tidak! Tidak ada kebetulan dalam politik dan orang politik, apatah lagi manusia terpenting di AS iaitu Barrack Obama.

Jangan simplistik melihat aksi berikut sebagai suatu kebetulan atau sekadar bahan jenaka.



Ia hakikatnya mendedahkan rahsia besar kemampuan Obama menjadi Presiden AS dan menjadi manusia paling popular di dunia sebelum ini. Ia mendedahkan bagaimana beliau benar-benar "well-trained", dilatih menjadi seperti Ninja ataupun Samurai "moden", sebuah tradisi persilatan dan pertembungan fizikal yang menuntut kepada KETELITIAN dan KETAJAMAN PERHATIAN membaca kehadiran musuh lantas mematikan gerakannya.


Samurai vs Ninja, Siapa Pemenang (Petikan dari The Last Samurai)

Siapa yang mampu memukul lalat di tangan ? Bukan mudah. Obama melakukannya, spontan sahaja, bahkan sekali pukulan sahaja. Lihat ketajaman matanya melihat "musuhnya" yang terbang mengganggu bicaranya. Suatu pendedahan karakter dan cara berfikirnya yang telah melonjakkan beliau menumpaskan status quo tradisi Presiden AS berkulit putih.

Siapa yang melatihnya ? Ayahnya ? Gurunya ketika di Indonesia sehingga beliau mempunyai cita-cita menjadi Presiden AS sejak 10 tahun ? Intelegen Illuminati ? Diri sendiri (gifted form the God) ? Wallahu a'lam.

Pengajarannya kepada gerakan Islam ? Apa kaitan nilai "ninja dan samurai" - yang menjadi rahsia kebangkitan Jepun - dalam gerakan Islam ?


Ninja dan Samurai mengajar membunuh musuh dengan kejam ? Perang bukan sekadar perang fizikal yang menurut The Art of War hanya boleh dimenangi oleh mereka yang paling SENI, HALUS, dan LICIK taktik perangnya.


Perang sekarang adalah perang PEMIKIRAN dan HUJAH. Hanya yang mampu men"samurai"kan pemikirannya akan mampu berhadapan dengan SIS dan musuh-musuh Islam yang kaya dengan hujah dan sarat dengan fakta.

Alhamdulillah, 2 malam lepas, saya dan isteri diberi kesempatan untuk melatih public speaking adik-adik aktivis Wufi di UIAM. Namun, kerana tempat dan masa yang terbatas, ramai-ramai adik-adik kesayangan kami meluahkan 'geram'nya kerana tidak dicalonkan untuk mencuba melakukan pengucapan berpengaruh di hadapan.


Jika itu perasaan adik-adik, bayangkan (jangan lupa nada ana ajar antum tu ye :) trainers lebih-lebih lagi belum "kenyang" dengan perkongsian pengalaman. Sebagaimana saya nyatakan pada adik-adik, kami hanya mampu melatih adik-adik aspek PATOS (kreativiti mempengaruhi emosi audience melalui susunan kata dan intonasi suara) dan ETOS (memek muka, gerak badan, aspek luaran) public speaking adik-adik sahaja, namun ada latihan "gear 5" public speaking yang belum sempat kami curahkan iaitu latihan PUBLIC SPEAKING "MIKROSKOP" yakni aspek LOGOS (kualiti hujah).


Apa maksudnya"mikroskop" ?

Mensamuraikan pemikiran bererti menjadikan setiap percakapan sarat dengan hujah yang "mikroskop", bukan "goreng". Itulah yang menjadi rahsia kekuatan Obama sepanjang kajian saya pada pidato-pidatonya.


Memadai saya memetik kalam isteri saya ketika menobatkan sahabiyah saya saudari Aina Bajuri sebagai idola dari sudut pemidato yang "mikroskop" hujahnya.

"Mikroskop" juga adalah istilah yang sering dileterkan oleh Ustaz Ramadhan Fitri dalam pidato-pidatonya kepada mahasiswa sekiranya dikaji dengan mendalam. Itulah budaya berhujah dan bercakap yang kontang pada pimpinan kampus hari ini. Kita lebih gemar bersikap retorik dan sloganik, tetapi bila ditanya inti dan huraian konkrit setiap kenyataan, pada masa itu terzahir ketidakjelasan dan penyakit "goreng".


Sesungguhnya, wibawa seorang pimpinan gerakan Islam khususnya muslimat pada saat ini bukan lagi pada kepetahan pidato menerangkan Islam itu pada sudut "what" sahaja (makroskop), tetapi juga sudut "why", "when", "how", "who" yang lebih merujuk kepada aspek mikroskop." - www.srikandiharakah.blogspot.com

Apa punca simplistik dalam berhujah (presented problem) ? Kerana minda yang terpenjara dan dijumudkan dengan dua penyakit (the real problem). Pertama, ahli gerakan yang mindanya tidur dan malas membaca. Kedua, sekadar berpada dengan membaca bahan bacaan yang "ketinggalan" zaman (tanpa sebarang pengukuhan buku fikrah gerakan yang lebih muasarah), tidak menggugat pemikiran lama dan sama (status quo). Inilah yang dikatakan "the captive mind".

Alhamdulillah, tahniah pada usrah muslimat Zainal al-Ghazali dan mentornya, isteri saya yang memilih tajuk "Gejala Minda Terpenjara Kalangan Aktivis Kampus" (The University and The Captive Mind) untuk dibincangkan semalam.


Kalian memilih "the real problem" gerakan Islam khususnya gerakan mahasiswa Islam untuk dibincangkan secara serius walaupun saudara Rausyanfikir menggunakan laras bahasa "gear 5" yang hampir menitiskan airmata saya dan menyebabkan seorang dua ahli usrah UZA ternganga kerana terharu mengenang tahap intelektual diri ini, namun itulah usrah muslimat yang belum pernah saya lihat mampu berjinak dengan pencerahan minda seberat itu.

Faisal Rausyanfikir mengakhiri perbincangan dengan saranan membaca buku "Powerful Ideas" (Idea-idea Yang Menggugat Dunia) yang telah menjadi "manhaj tarbiyah" pimpinan mahasiswa di Australia.

Moga Usrah UZA bukan sekadar menggugat Wufi,
tetapi kewujudan kalian "dirasai" arus perdana UIAM.

Sunday, June 14, 2009

Kualiti Pesta Buku di Muktamar PAS dan Cerita "Ulama Profesional"

Saya pernah menyatakan sebelum ini bahawa jika sekadar mengambil kira fasiliti stadium Melawati tahap "world-class" dan skrin gergasi MSRPS (multi screen rear projection system) yang pernah digunakan oleh Parti Demokrat ketika kempen Obama sebagaimana pernah disebut oleh Pengarah Muktamar PAS Pusat, bagi saya ia belum memadai untuk berbangga andaikata para pembahas di Muktamar PAS belum bermentaliti "world-class" leader.

Namun alhamdulillah, perkampungan saya sehari penuh di Muktamar Pemuda PAS Pusat baru-baru ini - kerana saya tidak mampu berkampung di Muktamar PAS Pusat - membuatkan saya berpuas hati dan mampu saya berikan tribute kepada para pembahas Pemuda rata-rata kualiti perbahasan lebih holistik menyentuh pelbagai sudut isu dalaman PAS, restrospektif dan menyerlahkan pelbagai pattern cara berfikir Pemuda berbanding Muktamar tahun lepas yang saya rumuskan perwakilan Pemuda ketika itu lebih dihanyutkan dengan satu aliran isu perbahasan sahaja iaitu 16 September dan tempias gelombang Anwar Ibrahim dalam PAS. Saya akan membuat posting khas mengenai rumusan perbahasan perwakilan Pemuda Negeri pada pandangan saya dalam posting selepas ini bertajuk "Merumus Persidang Mempersada Perjuangan" walaupun sudah agak lewat untuk dibuat ulasan.

Saya berikan tribute khas kepada Pemuda PAS Wilayah Persekutuan kerana keunikan dan jiwa besar yang ditunjukkan oleh mereka ketika membahas Ucaptama KP dari sudut ekonomi serta usul pemerkasaan ekonomi PAS yang dilihat agak berbeza dari pattern perbahasan perwakilan lain yang lebih gemar bercakap mengenai PAS dari sudut politik berpilihanraya dan soal menang kalah di atas peti undi.

Ustaz Nasharudin Mat Isa mensifatkan Muktamar PAS kali ini sebagai Muktamar terbaik dari sudut perbahasan dan fasiliti. Namun bagi saya, Muktamar PAS masih lagi tetap mengekalkan satu kekurangan yang sewajarnya dibaiki segera, khususnya untuk generasi muda dan mahasiswa Islam yang mengunjungi Muktamar.

Rata-rata puluhan gerai yang dibuka di sekitar stadium Muktamar adalah gerai-gerai makanan, pakaian dan pelbagai jenis perniagaan yang pastinya memberikan pulangan bersifat material kepada ahli-ahli Pas yang mencari nafqah dengan peluang orang ramai yang hadir ke Muktamar.

Namun demikian, bagaimana pula dengan pulangan bersifat intelektual kepada anak-anak muda, mahasiswa dan juga pimpinan PAS sendiri yang datang dari segenap peringkat hadir ke Muktamar PAS ?

Gerai-gerai buku yang dibuka di Muktamar masih mengekalkan buku-buku fikrah lama yang diulangcetak sahaja kebanyakkannya. Selebihnya, buku-buku yang memang baru, namun kebanyakannya telah dibeli atau telah dibaca seperti karya-karya Tuan Guru. Kalau nak dibangga sedikit mungkin usaha yang dibuat oleh Siasah untuk menerbitkan buku-buku yang mengkompilasikan isu kerajaan perpaduan dalam akhbar Siasah, buku Dr Mujahid Yusuf Rawa yang sangat cemerlang pemikirannya dan Ustaz Nasarudin Tantawi yang bercakap soal asas-asas gerakan kepemudaan Islam. Selebihnya, tiada yang baru pada gerai-gerai buku di Muktamar PAS.

Ini jelas menunjukkan budaya ilmu dan intelektual serta budaya menulis untuk mencerahkan minda generasi pelapis PAS dengan pemikiran-pemikiran baru pada masa akan datang, kalangan aktivis dan pimpinan PAS masih berada di peringkat yang belum boleh dibanggakan seperti pimpinan gerakan Islam di Indonesia dan Turki yang pernah saya ceritakan sebelum ini mengenai mereka.

Situasi ini mestilah dibaiki segera kerana perubahan pimpinan bawahan takkan berlaku jika revolusi minda (meminjam istilah forum saya di hadapan 1000 mahasiswa Insaniah minggu lepas) tidak bermula dari pimpinan atasan. Semangat Iqra' takkan berlaku pada aktivis parti dan para peniaga Muktamar tanpa kesungguhan pimpinan di atas untuk melihat suasana Pameran Buku Antarabangsa PWTC itu boleh juga wujud dalam Muktamar PAS Pusat.

Sesungguhnya jika situasi dan suasana pencerahan minda ini dizahirkan dalam Muktamar PAS dengan kehadiran lambakan generasi muda tekun membaca bahan-bahan bacaan yang fresh selain menghalus isi perbahasan Muktamar, ia bukan sekadar membezakan wibawa dan nilai perjuangan PAS yang berasaskan Islam dan tradisi keilmuan, tetapi juga mampu menyebabkan AGM Umno-BN kelak akan kecut perut melihat situasi ini.

Mujurlah isteri saya mempertemukan saya dengan sebuah buku 'luar biasa' di Muktamar PAS Pusat, malangnya ia bukan tulisan mana-mana pimpinan PAS atau diterbitkan oleh maktabah jamaah PAS. Buku tersebut adalah "Generasi Ulul Albab : Segunung Harapan Seteguh Gagasan, keluaran KARISMA Publication, yang bagi saya mampu menyaingi tulisan "Kebangkitan Generasi Salahudin dan Kembalinya Al-Aqsa Ke Pangkuan Islam" terbitan ABIM-PKPIM serta "Mahasiswa Dari Gerakan Ke Negara" tulisan Anis Matta dan sebagainya.


Terlalu banyak gagasan pemikiran baru lagi intelek yang saya dan isteri temui dalam buku ini. Bagi saya, hikmah itu hilang dari orang beriman, sesiapa menemuinya dari sesiapa sekalipun, hatta musuh menurut kata Imam Syafie, dialah berhak ke atas hikmah itu. Yang penting hikmah ini diharmonikan dengan asas tajarrud fikrah perjuangan Islam di pentas demokrasi yang selama ini saya imani.

Dan itulah yang saya dan isteri temui dalam buku ini, kami "kenyang" meratah helaian demi helaian epistimologi ilmiah dalam buku ini walaupun pada asalnya saya hampir berputus asa nak membeli buku ini kerana ketebalan dan kemahalannya, namun pujukan demi pujukan isteri saya mengajar saya akhirnya "don't judge the books by its covers".


Kepentingan buku ini ? Memadai dengan satu kes yang berlaku pada saya ketika dijemput memberikan intelectual talk Ma'ruf Club mengenai "Kau Inspirasiku".

Saya tidak sempat membuat persiapan semantap yang saya impikan melainkan saya hanya sempat bertemankan buku Generasi Ulul Albab ini sahaja. Alhamdulillah, banyak penemuan baru yang saya temui dari buku ini khususnya ketika berkongsi pandangan mengenai konsep "ulama profesional" kepada rakan-rakan ahli Ma'ruf Club di UIAM baru-baru ini.


Antara kenyataan dan penemuan menarik saya di dalam buku tersebut yang saya telah saya kongsikan dengan mereka :

1. Sejak deklarasi Islam oleh Rasulullah Muhammad SAW sampai pada kejatuhan Granada di Sepanyol, peradaban Islam pernah mencapai masa keemasan. Itu fakta sejarah yang cuba dipadamkan Tartar ketika meranapkan Darul Hikmah di Baghdad dan musuh-musuh Islam selepas itu. Hampir tujuh abad lamanya, mulai 750-1500 M (0-700H), Islam terus utuh bertahan sebagai payung dunia kerana elemen penguasaan sunnatullah dan syariatullah yang ada pada pemerintah dan para ulama’nya.

Itulah penterjemahan maksud penurunan besi (aspek saintifik) dan penurunan al-Quran (aspek syariatik) yang diseimbangkan dalam surah al-Hadid ayat ke 25. Dan disebabkan itu jugalah pernyataan hakikat ulama (pengkaji syariatik) jualah yang paling bertaqwa kepada Allah di dalam surah Fathir ayat ke 28 didahulukan dengan pernyataan mengenai warna-warna manusia dan haiwan (kajian saintifik).


2. Rahsia penemuan saintis Islam menjangkaui zaman saintis Barat adalah kerana mereka menghafal terlebih dahulu al-Quran yang sarat dengan bukan sahaja asas-asas hukum syariatik, tetapi juga asas-asas hukum saintifik. Ketika penemuan sainstifik mengenai pelbagai kejadian di angkasa dan di bumi baru sahaja ditemui, 1,400 tahun dahulu seorang manusia yang tidak tahu membaca dan menulis telah memperkatakan mengenainya. Itulah Rasulullah S.A.W.

Sebab itulah saintis Islam mendahului zaman kerana itulah mukjizat al-Quran. Lihatlah Ibnu Sina sahaja, karyanya berjudul "Al-Qanun fil Tibb" diterjemahkan di Rome pada tahun 1593 dan menjadi rujukan utama universiti-universiti Itali dan Perancis selama hampir 300 tahun pada abad ke 17 hingga 19.



4. Mereka bukan sekadar saintis yang pakar (baca : mempunyai "PhD" ) dalam banyak bidang seperti Al-Birunni yang menguasai fizik dan metafizik sekaligus, Ar-Razi yang menguasai fizik dan kimia sekaligus, tetapi antara mereka juga adalah ulama terbilang dalam fiqh dan tasawwuf.

Al-Khawarizmi pencipta kaedah "al-Jabar" merupakan seorang ulama dan fuqaha. Ibnur Rusyd penulis kitab "Ak-Kuliyyat" dalam kaedah-kaedah kesihatan dan perubatan utama di Barat adalah seorang Al-Hafiz. Imam Fakhrur Razi pengarang kitab "At-Tafsir al-Kabiir" dan buku-buku agung usul Fiqh dan Usuluddin adalah seorang doktor dan ahli perubatan terkenal. Ibnu an-Nafis, pencipta sistem sel darah yang terkecil dan penghurai sistem saraf dalam paru-paru adalah seorang faqih dari mazhab Syafie yang diiktiraf oleh Imam al-Subki.



"Hampir lapan ratus tahun di bawah pemerintahan Islam, Islam di Sepanyol telah menjadi satu teladan kepada Eropah, sebagai negara yang bertamadun tinggi dan berilmu.. Penuntut-penuntut dari Perancis, Jerman dan England datang untuk mendapatkan ilmu baik matematik, astronomi, biologi, sejarah, falsafah, dan undang-undang. Saya pasti menyesal bagaimana kesusasteraan Eropah telah merancang dengan teliti untuk menyembunyikan peranan Islam dan sains. Tentu sekali perkara ini tidak dapat disorok begitu lama." - Draper John William, Sejarawan Inggeris, "Histroy of Intelellectual Development Europe.

3. Dalam menjadi mahasiswa yang versatile dan luas pembacaannya, saya memberikan kepada mereka tokoh seperti Al-Jahiz, seorang ilmuwan dan ulama besar Islam yang bergelumang dengan dunia buku.


Tokoh besar ini dikatakan mati akibat tertimpa lambakan bukunya sendiri di perpustakaan peribadinya di Basra pada 869 Masihi pada usia 93 tahun ! Kemiskinan tidak menghalang beliau untuk berjaya. Pernah satu ketika disebabkan ketiadaan makanan untuk dimakan, ibunya telah menghidangkan kertas kepadanya untuk dijadikan "makanan"nya. Sepanjang kehidupannya, al-Jahiz menghasilkan hampir 200 buah judul buku yang meliputi pelbagai disiplin ilmu dan bidang.

Bagi saya buku ini sedang bercakap mengenai soal keperluan "kompetensi" selain soal "integriti" seperti ditegaskan Mantan Ketua Pemuda PAS Pusat, YB Salahudin sebelum ini. Buku ini memaparkan mengenai Generasi Ulul Albab yang dikatakan mempunyai daya ‘kompetensi sebagai teras kegemilangan’ yang diselaputi oleh kekuatan roh dan jasad dan sangat berupaya menempuh apa sahaja bentuk cabaran serta rintangan, walaupun kadangkala sangat mencabar dan mendebarkan.

"Pemuda mesti ada sifat negarawan dimana isu yang dihadapi adalah dalam skala yang lebih besar dan tidak tertumpu hanya kepada politik dan kepartian semata-mata. Oleh itu saya tegaskan kepada Pemuda PAS yang saya tinggalkan bahawa, ini era pertembungan PAS dengan dunia luar maknanya akan ada lebih banyak perdebatan di peringkat pemikiran. Maknanya, pasukan baru mestilah mempunyai kekuatan gagasan intelektual yang cukup kuat. Pemuda perlu kepada pemikiran yang kritis, intelektual dan berinovasi mencipta dan melahirkan idea dan gagasan baru bersesuaian dengan zaman yang kita hadapi." - YB Salahudin Ayub, Wawancara Harakah (sumber dari Ustaz Nazri Chik)

Lampiran Isi Dalam Buku

Friday, June 12, 2009

5 Langkah Jika SIGMA Mahu Menggugat

“What is needed now is not a shining sword, but a very sharp mind” – Saying of A Sage

"Pada pandangan saya, asas masalah (gerakan muslimat) adalah tidak menguasai 3 M iaitu MEMBACA, Memimpin dan Multi Skill. Kenapa mereka tidak boleh bersuara ? Puncanya kerana KEKERINGAN IDEA kerana tidak membaca. Jika banyak membaca tetapi tiada kemahiran memimpin, maka mereka menjadi malu dan tidak berani tampil mengutarakan ilmu yang mereka ada." - Nurul Syuhada Haji Shuib, Timbalan Presiden Kelab Ma'ruf UIAM, Majalah Muslimah Jun 2009


Dalam interview ruangan Generasiku dalam Majalah Muslimah bulan ini, isteri saya telah cuba mendefinisikan "root cause" permasalahan ketandusan wibawa, karisma, "aura" dan krisis kepimpinan berpengaruh muslimat, adalah semuanya bermula dari apa yang disebut sebagai pembudayaan budaya Iqra yang hampir lumpuh dalam diri the silent majority di kampus ini.

Bagaimana nak bentuk budaya Iqra atau "intellectual capital" muslimat ini ?

Ada satu cerita...

Untuk kebangkitan Muslimat, muslimat mestilah banyakkan membaca!“ , tiba-tiba sapa si anak usrah kepada naqibahnya : “Baca buku yang macamana ye kak ? Tak kisah buku apapun ye. Novel pun kira boleh lah kan. Saya suka sangat baca novel" Tersipu-sipu naqibah itu memikirkan jawapan untuk menyanggah pandangan anak usrahnya.

Untuk kebangkitan muslimat, muslimat mesti berani ke hadapan." Seorang lagi anak usrahnya bertanya : “Bila dah ke hadapan, nak cakap apa kak ? Cakap je kan apa-apa, yang penting kita muslimat mesti terus bersuara kan ? ”. Naqibah tersebut mengangguk-angguk membenarkan.

"Untuk kebangkitan muslimat, muslimat mesti tingkatkan thaqafah!". Maka giliran saya pula bertanya kepada naqibah itu, “Thaqafah yang macamana ye ? Thaqafah itu apa sebenarnya?


Dialog di atas, saya sekadar cuba menggambarkan bahawa muslimat sememangnya telah lama sedar kelemahan mereka di mana dan apakah "tipping point" yang selama ini mereka cari untuk bangkit.

Namun soalnya, sejauhmana kesedaran yang wujud untuk bangkit, bangkit dan bangkit (sehingga perkataan "muslimat" sentiasa sinonim dengan "kebangkitan muslimat") dipandu dengan rawatan yang "mikro" sifatnya (jelas sejelas-jelasnya A-Z kaedah, teknik dan taktik rawatan), berkesan dan solusi yang mujarab untuk meningkatkan wibawa kepemimpinan muslimat ? Cukupkah dengan kenyataan "muslimat perlu berubah dan berubah" tanpa menghuraikan secara konkrit dan "mikro" aspek perubahan apa yang perlu dilakukan.

Beberapa senario :

1. Sukarnya melihat kenyataan akhbar dari aktivis muslimat kampus - sekurang-kurangnya dalam Siasah yang mudah ditembusi mahasiswa namun malang banyak kenyataan-kenyataan dalam kolum mahasiswa hanya mengampu PR atau hujah tidak jauh beza dengan hujah parti politik dan media massa - adalah kerana tahap kecaknaan isu semasa dan sindrom keghairahan menterjemah pandangan dalam bentuk penulisan ideal yang luntur pada muslimat.

Ini ditambah lagi dengan kegagalan mendisiplin diri dari sudut pembacaan isu-isu semasa negara dan khususnya gerakan Islam setiap hari sama ada melalui akhbar arus perdana (tahap masyarakat marhain), atau ke peringkat sederhana iaitu melayari blog-blog politikus di Dewan Rakyat atau Dewan Negara atau pimpinan gerakan Islam, atau tahap yang lebih tinggi lagi iaitu menjadikan buku-buku pemikiran tokoh-tokoh reformis dunia seperti attitude pembacaan YB Salahudin Ayub sebagaimana didedahkan oleh beliau dalam ucapan wada'nya sebagai Ketua Pemuda PAS baru-baru ini ketika menjawab rahsia kekuatan beliau dalam legasi "engagement".

Atau melazimi perpustakaan, ataupun mengibuayahkan para pensyarah sebagai rujukan mencapai "jawapan" kepada setiap permasalahan ummah secara "the big picture", bukannya "separated unsolved puzzles" seperti pembacaan masyarakat marhain.

Malang sekiranya banyak blog-blog muslimat hanya bercakap soal dunia yang kecil, sekitar pengalaman peribadi yang tidak berkait dengan perjuangan, sarat dengan diari kenangan penuh luahan perasaan di sana sini. Lebih malang lagi, buat blog dan update sebulan sekali atau blog yang aksi updatenya bersifat copy & paste !

Benarkan saya memberikan tribute kepada tinta-andikaputeri.blogspot kerana blog ini adalah salah satu blog ahli usrah zawjah saya yang banyak bercakap soal pemikiran, peradaban, kupasan buku berat yang semestinya akan menjadi pedoman atau membantu para pembaca memikirkan penyelesaian permasalahan ummah dan negara pada saat ini dengan lebih berkesan. Mungkin inilah pesaing baru sahabat saya Rausyanfikir :)


2. Sukarnya melihat sesuatu memorandum, referendum atau kenyataan akhbar yang didraf sendiri oleh group muslimat, atau lebih dahsyat lagi dibacakan sendiri oleh pimpinan muslimat, bukan muslimin di hadapan media yang hadir. Pendek kata, muslimat sendiri beraksi mencipta aksi media yang mampu menaikkan nama gerakan muslimat.

Ini adalah kerana mentaliti muslimat yang tidak mahu mencabar diri sendiri untuk berani melakukannya dan belajar dari kesilapan.

Lebih malang lagi, sindrom lebih malu dan mengalah dengan dunia muslimin (menswastakan kerja-kerja siasah dan respon isu kepada "orang lelaki", muslimat tidak mahu "diarusperdanakan"), lupa kepada malu yang lebih besar iaitu kepada figura-figura Sisters in Islam yang hanya beberapa kerat wanita tetapi outspoken dan sarat dengan kajian kes, hampir setiap hari ada sahaja kenyataannya dikeluarkan di celahan sempit media, majalah mahupun Youtube.

Sebab itu saya tidak berasa pelik usul mendesak Majlis Fatwa mengharamkan SIS rupanya bukan datang dari Muktamar Dewan Muslimat PAS, dan tidak kelihatan pula kenyataan akhbar mana-mana pimpinan muslimat PMI kampus yang lantang mengkritik usul Muktamar PAS Pusat dari Kawasan Shah Alam itu melainkan pimpinan muslimin jua yang kelihatan terus ghairah membuat kritikan tajam pada PAS dalam isu gerakan SIS yang bukan dari gender mereka ini.

3. Sukarnya melihat pimpinan muslimat menjadi jurucakap demontrasi atau piket jalanan kerana latihan public speaking yang diremehkan dari menjadi latihan dhoruriyy kepada muslimat dalam setiap kali pertemuan usrah, tamrin-tamrin dan mukhayyam-mukhayyam "ukhuwwah" mereka.

Jika ada sekalipun latihan pengucapan awam ini, ia hanya diadakan di khalayak muslimat sahaja.

Atau ia hanya latihan bercakap sahaja seperti membaca skrip berita, tanpa belajar untuk meneliti kualiti atos (isi dan kualiti hujah, teknik susunan perkataan dan menarik perhatian crowd), patos (tahu menggayakan nada pengucapan antara informatif dan persuasif) dan logos (memek muka, senyuman, gerakan badan dan tangan, pemakaian dan sebagainya) sebuah public speaking berpengaruh.

4. Sukarnya melihat muslimat memegang buku-buku pemikiran berat dan jarang disentuh kerana di luar dari kerangka biasa masadir tarbiyah Ikhwani di kampus. Alasannya "haramlah pemikiran Barat", "jangan dekati penulis jamaah lain, bahaya", "buku Indonesia tak sama dengan waqi' Malaysia" dan sebagainya yang mencerminkan ketertutupan pemikiran, salahfaham mafhum "tajarrud" dan tandusnya sikap objektifisme demi mencari hikmah kebenaran yang hilang dari orang mukmin. Persis seperti hujah jumud golongan pondok Pesantren dalam filem Indonesia "Perempuan Bertudung Serban" ketika berdepan dengan Anyssa yang banyak mempersoal kenapa muslimat tidak diberikan ruang kepimpinan dan kebenaran belajar universiti.

Saya tertarik dengan saranan Rausyanfikir apabila mengusulkan Pemuda PAS membaca karya Niccolo Machiavelli, 'The Prince', sebuah buku yang memberikan pemerhatian yang tepat berkenaan pertalian antara manusia dan kuasa yang dimilikinya. Walaupun wujud persepsi inilah buku "berbahaya" membenihkan para diktator dan kezaliman pemerintahan baik dari Barat atau Timur, namun mengenal akar umbi dan benih-benih Machiavellism itu, Rausyanfikir melihat bibit-bibit itu semakin subur dalam setiap parti politik yang wujud dalam negara ini termasuk PAS. Jahiliyyah takkan mampu ditentang selagi ia sendiri tidak dikenali, bahkan manusia sentiasa bermusuh dengan perkara yang dijahilkan.


5) Sukar untuk saya melihat muslimat membentang kertas-kertas kerja ilmiah atau sekurang-kurangnya kuliah dasar dalam program-program gerakan Islam kampus (selain dari tajuk "ukhuwwah"). Atau sukar untuk saya menyaksikan idea-idea "pelik" dan bernas muslimat dalam sesi-sesi brainstorming berat atau muslimat tampil berceramah mengupas sesuatu buku baru diterbitkan. Pendek kata, bila ada sahaja tajuk-tajuk perbincangan yang mencabar minda dan memakan masa serta kerahan pemikiran yang berat, muslimat lebih cenderung untuk mengelakkannya. Kenapa ?

Hakikatnya ia bukan sekadar bersangkut paut dengan soal latihan demi latihan yang mesti dibiasakan kepada pemimpin muslimat, tetapi yang lebih akar dari itu adalah muslimat ketiadaan cita-cita yang serius, serius, serius untuk menjadi pemimpin negara atau penggubal dasar, ahli politik dan pimpinan dewan Muslimat serta parti Islam di masa depan.

Muslimat mungkin lebih selesa dengan sekadar meletakkan cita-cita bersifat "biasa" sama dengan mahasiswa biasa, cukup dengan karier makan gaji atau suri rumah tangga sahaja, atau paling tinggi pun menjadi tentera-tentera muslimat yang tegar menjadi pengikut, tukang angguk dan tukang geleng serta "assistance" kepada muslimin.

Sebab itu saya tidak terkejut dengan hanya Dr. Lo' Lo' sahaja muslimat yang survive untuk compete dengan pimpinan muslimin dalam AJK PAS Pusat baru-baru ini. Saya memetik harapan Dr Lo' Lo' dalam Muktamar PAS ke-55 seperti yang diungkapkan Nur Mujahidah dalam postingnya "Kecewa, Dewan Muslimat PAS Kangkung Layu ?".

"Sudah sampai masanya Muslimat melepasi era 'tea lady' dan bukan sebagai AJK hadiah, cenderahati tetapi muslimat hendaklah bersama-sama berperanan untuk membuat atau memberi sumbangan serta cadangan untuk membuat keputusan di peringkat pusat,"


Saya mengharap 5 senario di atas akan memudahkan SIGMA mengukur keberadaan muslimat di pentas massa di atas.

Terimalah kritikan membina saya kepada soal 'inti' dan 'akar' permasalahan gerakan muslimat kampus dengan hati terbuka. Saya menulis dengan niat untuk membantu muslimat dan SIGMA maju jauh dan jauh ke hadapan, benar-benar menjadi "POWER! POWER! POWER!", menggilap potensi-potensi unik yang terperosok jauh bersembunyi dalam diri anda, jangan biarkan proses "pembunuhan potensi" anda dilakukan secara senyap dan anda tidak sedarinya.

Saya merumuskan 5 "P" langkah dan karakter yang perlu dilakukan SIGMA dan perlu ada pada gerakan muslimat kampus supaya kehadiran kalian lebih dirasai oleh massa dan arus perdana :

1. PENULIS : Belajar menterjemahkan idea di fikiran dalam bentuk penulisan isu semasa di blog atau akhbar, nyatakan pendirian anda, bukan orang lain, kemudian bandingkan pandangan anda itu dengan pandangan bloggers atau penulis lain dalam isu yang sama tersebut. Di sini anda akan belajar erti kematangan melihat sesuatu isu semasa dari pelbagai sudut yang berbeza.

2. PENCIPTA AKSI : Belajar untuk lebih "outspoken" dan memimpin aksi, bukan dipimpin muslimin. Cara terbaik, dari awal lagi anda yang membincang dan memimpin aksi yang tidak boleh dilakukan oleh muslimin atau dilepaspandang oleh muslimin.

3. PEMIDATO BERPENGARUH : Belajar untuk mengutarakan sesuatu idea di fikiran secara berkesan kepada pendengar, bukan sekadar bercerita yang membosankan dan tidak memberikan kesan maksima.

4. PEMBACA BUKU BERAT : Lazimi pembacaan buku-buku mengenai pemikiran dan para pemikir (reformis) Islam khususnya.

5. PEMBENTANG & PENGKRITIK : Latih diri hadiri sesi-sesi brainstroming berat dan membanyakkan perbincangan kupasan buku, jadi pembentang atau berikan pandangan.

Tanpa 5 karakter ini, sampai bila muslimat tidak akan diiktiraf mampu memberi buah fikir yang berguna dan "out of the box" kepada gerakan dan parti.

Sampai bila muslimat tidak akan mampu menjadi Ummu Aiman R.A yang walaupun telah tua namun masih mampu menjerit kepada tentera Islam di Uhud yang undur dari medan perang, "Pergilah kamu menenun kain. Berikan pedangmu kepadaku."

Itulah "pedang" di zaman Rasulullah, itulah "hujah" di zaman ini.

What is needed now is not a shining sword, but a very sharp mind” – Saying of A Sage

Key Nota Penting Ucaptama YB Salahudin


Saya, Khusairi, Idris dan beberapa pimpinan GAMIS dalam satu sesi braintorming Kongres Pendidikan GAMIS 2 hari sebelum Muktamar Pemuda PAS Pusat

Saya hanya memilih kenyataan-kenyataan tertentu Mantan Ketua Pemuda PAS Pusat ini yang bersangkut paut dengan apa yang boleh dijadikan legasi penerusan yang perlu ada kesinambungan khususnya dalam proses perkilangan bahan mentah gerakan Islam iaitu tarbiyah di kampus.


Pembangkang Konstruktif : Legasi Terbesar YB Salahudin dan Projek Mega Beliau Kepada Pemuda Pas

"Kita telah berjaya menganjakkan pendekatan politik bangkangan konfrontasi kepada politik bangkangan konstruktif. Kita telah mengambil pendekatan untuk bersama-sama dengan kerajaan dalam perkara-perkara yang melibatkan kepentingan negara. Kita juga telah mengambil langkah untuk menyalurkan kritikan yang lebih membina dan mengusulkan cadangan yang konstruktif dalam menangani masalah-masalah pentadbiran negara. Agenda engagement yang kita terokai semenjak enam tahun yang lalu telah membentuk satu persepsi baru terhadap politik PAS – pembangkang yang membina."


Dr Burhanuddin al-Helmy : Akar Pemikirannya YB Salahudin

"Dalam konteks ini, saya ingin mengajak para pemuda semua untuk kita menghayati pemikiran dakwah yang digagaskan oleh al-Marhum Prof Dr Burhanuddin al-Helmy. Beliau amat menekankan keterbukaan dalam pendekatan dakwah yang sesuai dengan naluri masyarakat sebagaimana berhikmahnya Wali Songo yang menggunakan saluran seni hiburan untuk mengajak masyarakat kepada Islam. Pendakwah tidak menghukum, tetapi memujuk dan menasihati. Perbezaan bukan asas kepada perpecahan, tetapi menzahirkan keterbukaan.

Jangan kerana kita sukakan susu, lalu mengatakan kopi tidak baik, tetapi minumlah susu dan hargailah peminum kopi”.

Itulah keterbukaan yang ditunjukkan oleh Dr Burhanuddin. Beliau dikenali sebagai tokoh reformis, tetapi sangat disenangi oleh ulamak kaum tua. Beliau terkenal sebagai ahli tasawuf, tetapi begitu rapat dengan ulamak kaum muda. Beliau menyusun strategi dakwah dengan mendekati golongan sosialis-komunis, memulakan kerjasama dengan parti-parti bukan Melayu tanpa rasa chauvenis, mendukung perjuangan nasionalis, tetapi kekal sebagai tokoh yang Islamis. Pengikut dan pengkagumnya bukan sekadar orang-orang politik, tetapi juga pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan. Inilah model pendakwah yang mesti dicontohi oleh Pemuda PAS pada masa akan datang."

"Yang Dipertua Agung PAS, Prof Dr Burhanuddin al-Helmy dalam pesanannya ketika merasmikan Kongres (Muktamar) Dewan Pemuda PAS Pusat Kedua di Madrasah al-Ulum as-Syar’iyah, Bagan Datoh pada 13 dan 14 Disember 1957 telah menggaris hala tuju dan peranan Dewan Pemuda PAS. Kata beliau,

“Pemuda dan pemudilah termometer (penyukat suhu) turun naik sesuatu bangsa. Angkatan tua berpusing turun, angkatan muda berpusing naik. Angkatan tua amanah panduan, angkatan muda harapan perjuangan. Angkatan tua banyak pengalaman dan kebijaksanaan, angkatan muda penuh semangat dan keberanian berkorban.

Angkatan tua berfikir cermat dan menimbang, angkatan muda cergas dan nekad maju mekar mengembang.
Tua memperkayakan budi dan jasa, pemuda memperkayakan khidmat dan menghargai masa. Tua menghadapi akhirat, pemuda menghadapi dunia dengan penuh harap. Pemudalah yang menyambung dan meneruskan cita-cita perjuangan pesaka orang tua kita.

Dunia ini nikmatnya untuk rebutan pemuda yang penuh dengan harapan dan kepercayaan. Pemuda yang tiada harapan dan kepercayaan kosong dan hampa hidupnya. Harapan dan kepercayaan pemuda itu ialah ideologinya yang hak dan adil”



Pemimpin Yang Mampu Meremajakan Semula Pemuda PAS : Asas Pengunduran YB Salahudin

"Atas asas inilah saya merasakan bahawa sudah tiba masanya untuk kita bersama-sama meremajakan semula Dewan Pemuda PAS. Saya bersedia untuk mengundurkan diri daripada kepemimpinan Dewan Pemuda PAS kerana hasrat saya agar generasi baru yang lebih produktif dengan gagasan-gagasan berjiwa remaja dapat mengambil alih kepemimpinan.

Kita perlukan pemimpin baru yang dapat menghayati naluri dan denyut nadi golongan muda. Kita mahukan pemimpin baru yang memahami kehendak dan keperluan generasi remaja. Kita berkehendakkan pemimpin baru yang berupaya menyediakan program dan aktiviti-aktiviti yang dapat membina dan menggali karismatik golongan belia sebagai pelapis kepemimpinan negara. Saya sangat percaya bahawa pemimpin muda lebih memahami dan menghayati kemahuan generasi muda, kerana itu kita mesti memberikan kepercayaan kepada mereka untuk mengemudikan proses peremajaan ini."


YB Salahudin Tidak Memandang Remeh Upaya Khairy Jamaludin

"Dewan Pemuda PAS sebenarnya sedang menghadapi satu persaingan yang lebih sengit pada masa hadapan, terutama dengan program-program keremajaan yang disusun oleh Pemuda Umno. Kita tidak boleh memandang sepi atau melihat sebelah mata sahaja kepada Pemuda Umno yang kini sedang dipimpin oleh seorang ketua yang lebih muda. Mungkin kita tersenyum kerana Pemuda Umno berketuakan seorang yang telah disabitkan dengan kesalahan politik wang atau seorang ketua pemuda yang dahulunya menjadi menantu Perdana Menteri yang membolot kekayaan negara melalui penguasaan di Tingkat 4 JPM.

Tetapi apa yang mesti kita perhatikan ialah keupayaan dan kebolehan beliau menguasai jiwa golongan muda dengan segala jenteranya, yang mungkin akan meninggalkan kita jauh keterbelakang. Jangan kita nanti menggigit jari sahaja melihat Pemuda Umno merampas semula kepercayaan golongan muda. Kita harus ingat bahawa harimau yang sedang terluka akan melakukan apa sahaja untuk survivalnya, dan canangnya telah dipalu oleh Ketua Pemuda Umno untuk mengembalikan sokongan golongan muda kepada BN. Inilah cabaran nombor wahid dalam gerakan politik Dewan Pemuda PAS untuk tempoh menjelang pilihan raya ke-13 nanti."


YB Salahudin Mendefinisi Citarasa Generasi Baru Malaysia

"Saya teruja melihat pemimpin-pemimpin muda yang muncul dan memimpin AMK dan DAPSY pada masa ini. Mereka adalah generasi baru yang mewakili aspirasi baru Malaysia yang menolak gagasan sempit yang berasaskan kaum atau sentimen-sentimen sempit yang lain. Mereka sekarang sedang bercakap soal ketelusan pentadbiran, keadilan undang-undang, keadilan sosial, kecekapan kerajaan dan kestabilan ekonomi yang menjadi isu pokok ke arah Malaysia sebuah negara maju dan berkebajikan. Isu-isu yang bersifat perkauman, keagamaan yang sempit, sentimen kedaerahan dan seumpamanya sudah tidak relevan kepada generasi baru Malaysia. Inilah persoalan yang membuatkan parti-parti perkauman dalam BN kini kehilangan dukungan rakyat, khususnya golongan muda."


YB Salahudin Mendefinisi 3 Peranan Selain Peranan Dalam Pemuda / Parti


"Bagi Dewan Pemuda PAS, perkembangan ini perlu dilihat secara positif, dan kita sendiri mesti berperanan secara positif juga supaya PAS terus diterima di pentas politik negara. Saya percaya AMK dan DAPSY telah mempunyai rancangan-rancangan kerja jangka panjang masing-masing bagi menangani perubahan ini. Maka generasi baru Pemuda PAS juga perlu membuat kajian dan perancangan yang lebih strategik kerana kita mahu peranan PAS dalam Pakatan Rakyat seluruhnya diperkukuhkan. Kita bukanlah ‛sleeping partner’ kepada Pakatan Rakyat atau sekadar pelengkap sahaja, tetapi kita mahu PAS menjadi tulang belakang kepada kebangkitan Pakatan Rakyat dalam menamatkan kezaliman, penindasan dan penyelewengan BN. Pemuda PAS adalah tenaga utama dalam meningkatkan peranan PAS ini. Peranan kita dalam kerajaan, peranan kita dalam pakatan dan peranan kita dalam mengembleng rakyat semuanya perlu diberikan suntikan perangsang yang baru."


Naib Presiden PAS Yang Baru dan Jiwa "Futurist" Beliau

"Bagi memenuhi matlamat perjuangan yang begitu agung ini, serta kekentalan cabaran yang mendatang, Pemuda PAS memerlukan persiapan dan peningkatan keupayaan yang berkali-kali ganda daripada yang apa yang sedia ada hari ini. Mungkin apa yang kita ada ini memadai dengan cabaran dan keperluan hari ini, tetapi kita harus meletakkan satu unjuran perubahan yang besar dalam masa 10 ke 20 tahun akan datang.


Rasional Dari "Merakyat" Kepada "Mempersada" Perjuangan

"Rakyat telah menerima dan memperakui kepemimpinan PAS sebagai yang lebih telus, beramanah, beriman dan budiman. Kerana itu, sudah menjadi kebiasaan ahli-ahli PAS diberikan kepercayaan untuk memimpin institusi masyarakat yang bercorak keagamaan.

Tetapi, dalam banyak situasi rakyat belum percaya bahawa PAS boleh memimpin dan mengetuai urusan pentadbiran masyarakat, khususnya memerintah negara. Wibawa pemimpin PAS untuk mengendalikan sebuah kerajaan yang belum begitu jelas dalam sanubari rakyat. Mereka tahu pemimpin PAS tidak merasuah, tidak menyelewengkan kuasa atau menyalahgunakan hak rakyat, tetapi keyakinan mereka terhadap kebolehan PAS untuk mengendalikan urusan rakyat masih begitu rendah. Mungkin kerana momokan Umno/BN dan mungkin juga kerana kita belum memperlihatkan kewibawaan kita yang sebenar."

"Saya ingin mencabar minda saudara-saudara semua. Bahawa PAS sebagai sebuah gerakan Islam pada hari ini telah terperangkap di dalam kerangka pemikiran yang menyesatkan ini. Rakyat bukan menolak PAS sebagai sebuah parti politik Islam yang mendukung cita-cita ketuhanan dan kemanusiaan, tetapi rakyat melihat golongan yang mendukung Islam sebagai lebih layak untuk memakmurkan rumah-rumah Allah sahaja, bukannya mencampuri urusan politik kenegaraan. Dan satu hakikat yang harus kita akui ialah kerana para ulamak yang memimpin kita tidak dilihat menguasai ilmu-ilmu alat dalam mentadbir dunia."


Menuju Cita Negarawan

"Apa maknanya? Maknanya ialah ahli-ahli Pemuda PAS perlu bekerja lebih keras bukan sahaja untuk mengajak manusia ke jalan dakwah, tetapi juga untuk meningkatkan keupayaan diri. Imej ‛keagamaan’ sudah cukup kental pada PAS, dan imej ini mesti dipertingkatkan dengan kapasiti atau kapabiliti sebagai seorang negarawan. Apabila Allah SWT memberikan pengiktirafan kepada sifat Tholut, “bastotan fil-ilmi wal jismi”, iaitu kelebihan ilmu dan mempunyai kekuatan fizikal dalam konteks memimpin sebuah pasukan tentera, maka sedarlah kita kepemimpinan mestilah berilmu dalam urusan keduniaan serta mempunyai kekuatan dalam menghadapi cabaran semasa.

Agenda mentadbir urusan dunia dengan agama bukan sahaja berkehendakkan ilmu-ilmu dan kepakaran dalam soal agama yang menjadi satu kewajipan, tetapi mestilah juga diperkasakan dengan keilmuan dalam urusan keduniaan bagi mewujudkan kompetensi kepemimpinan pada masa akan datang. Kemahiran pengurusan, ekonomi, pentadbiran awam, undang-undang, sosiologi dan antropologi, media dan komunikasi, sejarah dan politik adalah begitu relevan untuk diterokai oleh generasi muda PAS bagi membentuk satu generasi baru kepemimpinan yang kompeten. Jika kita berjaya memprogramkan satu perubahan terhadap tingkat keupayaan dan kapasiti kita dalam kepemimpinan sehingga boleh meningkatkan keyakinan rakyat, nescaya masa depan politik korup Umno/BN akan berakhir."


4 Asas Perjuangan Dalam PAS : Rumusan 30 Tahun Perjuangan YB Salahudin dalam Pemuda PAS

"Kita mahu generasi kepemimpinan yang memiliki ciri-ciri ketokohan (karismatik), pengalaman (lama berjuang dalam gerakan PAS), pengetahuan (berilmu dalam ilmu agama dan keduniaan) serta tawaduk (rendah diri dengan kelebihan yang dikurniakan oleh Allah SWT) dilahirkan dalam tempoh yang terdekat ini sebagai persiapan mengambil alih kepemimpinan jamaah pada masa hadapan."

"Pemikiran ini bukanlah suatu yang baru dalam PAS kerana semenjak sekian lama kita telah didedahkan bahawa Allah SWT mengasihi orang-orang yang berjuang pada jalan-Nya secara tersusun. Perjuangan pada jalan Allah SWT hanya dapat dilaksanakan dengan aqidah dan integriti yang dibina melalui tarbiyah. Sedangkan gerakan yang tersusun hanya dapat dilahirkan melalui kemahiran dan keilmuan berasaskan kompetansi diri."

Para pendukung PAS telah membentuk wibawa dalam soal integriti ini, dan tumpuan yang besar mesti dibuat untuk mewujudkan kompetansi sebagai pelengkap kepada kewibawaan PAS. Inilah satu jihad bagi mengaplikasikan fikrah yang telah kita bina semenjak lebih 20 tahun yang lalu. Pada 1996 dahulu, al-Marhum Dato’ Fadzil Mohd Nor telah menyentuh secara panjang lebar bagaimana membangunkan kepemimpinan al-amin sebagai warisan kepemimpinan anbiya’.

Pada hari ini, dalam konteks persediaan untuk mengambil alih pemerintahan negara, saya menyeru supaya nilai kepemimpinan ini diperkasakan dengan aplikasi fikrah yang lebih menyeluruh. Memiliki fikrah keIslaman yang padu sahaja tidak memadai sekiranya kita tidak dapat menterjemahkan fikrah tersebut dalam satu model kepemimpinan ‛al-qawiyyul amin’.