Content feed Comments Feed


Merujuk kepada titah Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah di Majlis Konvokesyen ke-13 Peperiksaan Sijil Amalan Guaman Tahun 2007 di Pusat Dagangan Dunia Putra (Berita Harian, 20 Februari 2008), Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia menyatakan sokongan padu, penghargaan kepada Baginda Raja di atas keprihatinan kepada permasalahan negara, dan menggesa semua pihak mengambil perhatian serius mesej yang disampaikan oleh Baginda. Masakan pokok bergoyang andaikata tiada angin yang menerpa.

Baginda Raja Dr. Nazrin Shah telah bertitah agar pengamal undang-undang mempertahankan kesucian mahkamah daripada dipesongkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dan tidak menjadikan mahkamah seolah-olah teater bangsawan yang skripnya ditulis oleh pengarah tertentu. Undang-undang tidak membawa erti jika sekadar menjadi himpunan kata-kata suci yang terkandung dalam kanun, enakmen dan akta, kemudiannya dinodai dengan perbuatan mungkar tanpa menghormati etika profesion. GAMIS melihat mesej tegas dari baginda ini adalah satu ‘teguran’ bermakna yang mempunyai signifikannya yang tersendiri. Pendedahan demi pendedahan khususnya kes pita video Lingam yang didiamkan seketika saat ini dan pengakuan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir bahawa Anwar Ibrahim dizalimi baru-baru ini telah mengesahkan lagi persepsi bagaikan ‘ada yang yang tidak kena’ dengan institusi kehakiman negara. Jika tidak dibendung ‘barah’ ini, mahkamah suatu masa nanti bukan lagi menjadi tempat untuk mencari kebenaran dan menjatuhkan hukuman kepada yang bersalah, sebaliknya hanya menjadi tempat lakonan yang keputusan dan hukumannya telah pun ditulis oleh orang-orang tertentu.

GAMIS menegaskan bahawa Malaysia tidak akan selamanya “aman, selamat, dan makmur” selagi pra-syarat paling utama iaitu sistem perundangan dan kehakiman masih lagi menjadi ‘gelanggang’ untuk pihak-pihak berkepentingan mendapatkan pengaruh politik di sana. Hanya sistem perundangan yang adil mampu mengukuhkan sistem demokrasi negara apabila berlakunya pembahagian kuasa yang adil dan saksama antara kuasa legislatif, eksekutif dan kehakiman seperti yang termaktub dalam perlembagaan Malaysia, tanpa ada campur tangan atau ‘overlap’ antara ketiga-tiga kuasa tersebut.

GAMIS selaku mewakili generasi muda yang bakal mewarisi takhta pemerintahan negara 50 tahun akan datang menggesa rakyat Malaysia yang cintakan Malaysia yang “aman, selamat dan makmur” agar berani membuat perubahan 8 Mac ini untuk ‘merawat’ segala marabahaya menimpa Malaysia selepas 50 tahun kemerdekaan dari penjajah. GAMIS menyeru 10.7 juta pengundi yang akan menjadi ‘hakim besar’ Malaysia dalam PRU 12 ini memberikan peluang, laluan dan mandat kepada Barisan Alternatif yang telah memanifestokan perjuangan mereka antaranya untuk mempertahan keluhuran dan kedaulatan undang-undang dengan mengembalikan integriti terhadap sistem kehakiman negara. Hanya dengan Barisan Alternatif berpeluang selama 5 tahun menjadi Kerajaan Pusat, rakyat Malaysia akan mampu membuat perbandingan yang adil pada masa akan datang, siapakah antara Barisan Nasional dan Barisan Alternatif yang lebih layak memerintah Malaysia ke arah yang benar-benar cemerlang, gemilang dan terbilang.

Shaari Abdul Rahman,

Setiausaha Agung,

Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)

Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia(GAMIS) menyokong usul Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan yang mendapat sokongan majoriti 411 undi di Parlimen Turki pada awal Februari baru-baru ini untuk membatalkan akta mengharamkan pemakaian tudung di universiti. Apa yang lebih menarik, parti pemerintah yang ‘Islamis’, AK Parti dan parti pembangkang, MHP yang ‘nasionalis’ boleh mencapai kata sepakat bersama menyokong penarikan semula pengharaman tersebut atas spirit hak asasi manusia rakyat Turki. GAMIS melihat tindakan kerajaan Turki perlu diteladani oleh mana-mana parti pemerintah yang menerima ‘mandat besar’ rakyat untuk menggunakan kuasa yang diberikan bagi menggubal atau meminda atau memansuh sebarang akta yang tidak memberikan apa-apa faedah kepada kebajikan, keselamatan dan hak asasi rakyat.

Tudung mula diharamkan di sekolah dan universiti di Turki bermula revolusi tentera 1980. Golongan tentera yang berkuasa pada masa itu, pendokong kuat fahaman sekularism menganggap memakai tudung sebagai satu bentuk penentangan terhadap prinsip sekular Negara Turki. Pada hari ini, atas dasar yang sama juga, hampir 10,000 pendokong ortodok sekularism Turki berdemontrasi menentang keras usul mengkaji semula dan membatalkan pengharaman tersebut. Sedangkan daripada soal selidik yang dibuat terhadap mereka yang memakai tudung, majoriti hanya mahukan kerajaan bersikap liberal dalam hal ini dan bukannya mengubah dasar sekularism negara kepada dasar Islam.

GAMIS menyeru mana-mana pemimpin kerajaan yang akan dipilih oleh rakyat dalam PRU pada 8 Mac ini agar mencontohi amalan demokrasi kerajaan Turki yang mengamalkan dasar keterbukaaan yang tinggi serta mendaulatkan hak asasi manusia yang sepatutnya dikecapi dan dirasai segenap rakyat secara adil dan saksama tanpa mengira fahaman politik. Malaysia dilihat masih jauh ketinggalan dalam sudut kebebasan berfikir serta mendokong fahaman politik yang bebas apabila jelas mana-mana pendokong dogma yang berbeza dan bercanggah dengan pemerintah akan menerima layanan kelas kedua dan ketiga dalam bersuara dan memperjuangkan dogma masing-masing.

Setiausaha Agong GAMIS



Dr. Mohamad Fadhli Hassan yang saya kenali bukan sekadar seorang penyarah Undang-Undang yang sangat disegani dari sudut disiplin akademik beliau, bahkan juga seorang ayah dan murabbi gerakan mahasiswa Islam (GMI) di UIAM yang sukar digalangganti, komited dan konsisten perjuangan pelajar Pro-Mahasiswa di UIAM walaupun hampir setiap minggu terpaksa menyahut seruan jihad dari Kelantan.


Kini, kesediaan beliau menerima arahan Jamaah untuk menjadi calon PAS bertanding salah satu DUN di Parlimen Machang yang dimenangi BN, saya mengharapkan ia memberikan satu pengajaran maha berharga kepada kita…bahawa tidak ada tempat untuk “beralasan” dalam menerima apa jua arahan dari pucuk pimpinan Jamaah. Latihan di manakah lagi untuk melakukan pengorbanan sehebat itu jika bukan melalui training ground yang mantap di dalam tarbiyah Jamaah Kampus. 16 tahun berada di pentas akademik dengan keselesaan jiwa berada di dunia tersebut bukanlah satu mahar yang mudah untuk dikorbankan begitu sahaja. Letakkanlah diri anda wahai sekalian aktivis Mahasiswa di tempat beliau, siapa yang sanggup meninggalkan keluarga, rumah dan ‘comfort zone’ di Gombak, jawatan Pensyarah dan Staff yang gaji ribuan ringgit, pergi berkelana menjadi calon PAS di Kelantan yang belum tentu menang jika berdasarkan majoriti tipis dimenangi PAS pada PRU 2004.


Namun, itulah Dr. Fadhli Hassan. Moga beliau akan menjadi benchmark terbaik kepada lahirnya “Dr. Ali Syariati kedua”. Dr. Ali Syariati adalah seorang ahli akademik intelek Universiti Mashhad yang berjuang menggerakkan reformasi menentang Shah Reza Pahlavi di Iran.

Ya Allah, pertahankan Kerajaan Islam di Kelantan.

Integriti Maya

Sebarang pengambilan mana-mana bahagian daripada tulisan di sini adalah sangat digalakkan untuk disebarkan, namun perlulah mendapat izin daripada Iskandarfateh.

Ataupun, sila beri kredit bahawa anda mengambil mana-mana kenyataan tersebut dari Blog
Iskandarfateh ini.

Terima kasih. Saya sangat hargai kunjungan anda.

Montaj IPTC

Twitter With Me

Profail Blogger


Syaari Ab. Rahman merupakan seorang perunding motivasi terlatih. Profail lengkap beliau di "Hubungi Saya"