Content feed Comments Feed

Nur Fatimah di ICU Hospital Putrajaya.
Ya Allah, selamatkan anak perempuan ini. Dia bakal pewaris perjuangan seorang pimpinan muda yang diharapkan akan menjadi negarawan ulung PAS pada masa akan datang.

Petikan dari tulisan isteri saya Nurul di srikandiharakah :

15 Oktober 2009

Alhamdulillah, setelah 2,3 hari merancang, akhirnya pada petang tadi saya dan suami beserta sahabat-sahabat pimpinan UIAM iaitu Izzatie, Syahidat dan Nazirah sempat untuk bertandang ke Hospital Putrajaya untuk menziarahi sendiri anak Ust Ramadhan dan Kak Khadijah, Nur Fatimah.

Setelah suami saya mendapat sms dari Ust Ramadhan sendiri pada tengahari tersebut yang mengatakan anak beliau makin kritikal dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Putrajaya, kami terus bergegas ke sana. Alhamdulillah, perjalanan dimudahkan dan kami selamat sampai.

Di depan pintu ICU tersebut, Ust Ramadhan sedang berdiri melayani beberapa orang tetamu lagi yang juga datang untuk menziarahi anak beliau. Kak Khadijah pula sudah kelihatan agak letih dan penat, sedang duduk di bilik menunggu. Beliau kesejukan setelah beberapa hari berada di hospital tersebut.

Saya betulkan kenyataan yang saya buat sebelum ini yang saya mendapat maklumat bahawa Nur Fatimah mengalami pendarahan di otak akibat gegaran ketika dalam buaian di nursery An-Nur, Bangi. Bila ditanya sendiri pada Ust Ramadhan, sebenarnya doktor sendiri hingga ke saat ini masih tidak dapat mengenal pasti apakah 'punca' sebenar Fatimah yang sihat dan ceria pada pagi Khamis yang lepas ketika dihantar ke nurseri tersebut pada waktu pagi, tiba-tiba boleh mengalami kekejangan dan kemudian terus tidak sedarkan diri pada tengahari hari yang sama. Dalam masa 3 jam sahaja, Fatimah berubah keadaannya. Beberapa siri ujian yang dilakukan oleh doktor setakat ini, masih belum dapat mengesan punca sebenar apa yang terjadi kepada Nur Fatimah.

Cuma, setakat yang doktor suspek, Fatimah mungkin ada mengalami gegaran di otak sama ada akibat hentakan buaian yang kuat, atau goncangan yang kuat ketika didukung dan sebagainya ataupun kerana tersedak susu. Inilah antara maklumat yang kami perolehi ketika bersembang-sembang dengan Ustazah Fauziah Sani, ibu Ust Ramadhan sendiri merangkap isteri Ust Ellias Zakaria yang cukup kami kagumi.

Sama-samalah kita mendoakan agar Nur Fatimah selamat dan tabah menghadapi ujian sakit ini. Tubuh beliau terlalu kecil untuk menanggung kesakitan yang seperti ini. Pedih dan pilu hati ini melihat si kecil tersebut terlantar sakit, berwayar-wayar dicucuk ke sana sini di tubuh kecil beliau.

Moga Ust Ramadhan, Kak Khadijah, Ustazah Fauziah sekeluarga terus tabah menghadapi ujian ini. Saya secara peribadi amat kagum dengan kekuatan yang dimiliki oleh Kak Khadijah. Beliau nampak tenang dan kuat menghadapi semua ini. Teladan yang cukup baik telah beliau tunjukkan, mungkin inilah hasil tarbiah yang cukup kuat mengcengkam hati srikandi yang berjaya menawan hati Ust Ramadhan ini.

Saya dan suami cukup tersentuh dengan ziarah kami kali ini. Hanya Allah sahajalah sebaik-baik tempat pergantungan...

Isteri saya bersama ibu Ustaz Ramadhan Fitri di ICU Hospital Putrajaya

Anwar Ibrahim dan "Gila" Membacanya

Wednesday, October 14, 2009


Izinkan kali ini saya bercerita sedikit mengenai Anwar Ibrahim. Janganlah kerana ada beberapa rekod tindakan dan pandangan politiknya yang tidak selari dengan jalur pemikiran dan pemutihan fikrah kita, maka karakter dan sikap positif yang ada pada beliau kita tidak mahu teladani untuk kebaikan perjuangan gerakan Islam kita di era yang sangat mencabar hari ini dan pada masa depan.

Kekadang pelik mengenangkan diri saya sendiri khususnya dan segelintir pimpinan mahasiswa Islam - yang sempat saya bertanya lantas beralasan - sangat sibuk sehingga tidak dapat update blog dan tidak mampu meningkatkan kuantiti pembacaan buku.

Perbandingan saya mudah apabila berkesempatan menjenguk blog DSAI hampir setiap hari membaca catatan perjalanan, teks pidato dan jalur pemikirannya.

Saya kira DSAI lebih sibuk, jauh lebih sibuk berbanding pimpinan di kampus. Beliau selaku Ketua Pembangkang, Ahli Parlimen, Penasihat PKR dan ahli politik yang sudah pasti lebih 24 jam sehari terpaksa berhadapan dengan sepak terajang politik lawan mahupun kawan.


Terbaru, Khairy Jamaludin Ketua Pemuda Umno, hari ini berikrar Pemuda akan sedaya-upaya menghalang kemaraan DSAI yang disifatkan sebagai "sesumpah lidah bercabang", menjejakkan kakinya di pejabat perdana menteri di Putrajaya. Tahniah KJ kerana tidak pasal-pasal mempromosikan reverse thinking rakyat Malaysia bahawa Anwar sememangnya wajar dipertimbangkan oleh rakyat Malaysia sebagai alternatif baru kepada Najib Razak 1 Malaysia.

DSAI bagaikan tidak mempedulikan pun resolusi Pemuda Umno tersebut. Semacam sudah lali dengan ancaman murahan seperti itu.

Saya membaca blog DSAI. Saya menyaksikan bagaimana kesibukan beliau memenuhi jemputan ceramah dalam dan luar negara tidak pernah menghalang beliau untuk terus meningkatkan kualiti diri dan pembacaan buku, walhal kita sedia maklum tahap pembacaan dan kualiti intelektual beliau sejak dari aktivisme mahasiswa di Universiti Malaya lagi.


1. Masa rehat (membaca) di atas kapal terbang ke New York (posting 24 Sept 09)

"Saya dan Azizah berlepas dengan penerbangan Emirates pada jam 2 pagi, transit di lapangan terbang Dubai selama tiga jam dan kini dalam penerbangan ke New York. Waktu berlepas dari KLIA, selain membaca International Herald Tribune dan Asian Wall Street Journal, saya mengulangi sepintas lalu karya Paul Krugman The Return of Depression Economics, dan menghabiskan bab terakhir buku Martin Jacques When China Rules the World: The Rise of the Middle Kingdom and the End of the Western World. Meskipun judulnya agak keterlaluan dan menggemparkan, ia memaparkan sudut sejarah dan budaya China secara padat selain pembedahan mengenai kemunculan China selaku gergasi ekonomi dunia.

Dengan membekalkan bahan rujukan terpilih, saya terus menelaah rencana ilmiah yang rencam, di antaranya:

  1. China’s Strategic Ambition in Asia (Aaron Friedberg);
  2. Reframing China Policy – The Carnegie Debates (karya berasingan oleh Dan Blumenthal, Wing Thye Woo dan Barry Naughton);
  3. China: Country Report (Economist Intelligence Unit) dll. rencana pendek.

Hah, saya juga sempat menyaksikan filem yg dibintangi Tom Hanks, Angels and Demons. Filem ini persis The Da Vinci Code, dan hebat juga! Terlintas pula untuk menonton lakunan Sandra Bullock dalam The Proposal, tapi terlalu banyak bacaan yang perlu dihadham. Penerbangan panjang, meskipun membosankan namun berkesempatan membaca sebanyak mungkin. Keletihan sudah dan mengantuk maka beradulah saya. Di sebelah saya Azizah sudah nyenyak tidur..."


2. Pesawat tempat terbaik membaca (posting 4 Oktober 09)


Minggu lalu dalam wacana di New York mengenai gergasi ekonomi baru China, Profesor Yasheng Huang dari MIT menghadiahkan buku terbaru beliau, Capitalism With Chinese Characteristics: Entrepreneurship And The State.

Buku mengenai China memang bercambah; namun kupasan Prof. Yasheng agak berlainan, melihat isu pembangunan secara lebih menyeluruh – kota dan desa; pendekatan awal Deng Xiao Peng yang berbeda dengan pimpinan kumpulan Shanghai kemudiannya. Saya hanya sempat ke bab mengenai A Great Reversal, dan akan sambung kemudian inshaAllah.

Untuk program hari-hari berikut, saya membaca di antara lain, buku- lapuran:

  1. A Common Word and the Future of Christian-Muslim Relations
  2. Changing Course : A New Direction for US Relations with the Muslim World
  3. The Future of US – Kurdish Relations
  4. Interfaith dialogue: A Guide for Muslims
  5. American Arabs and Political Participation
  6. Tilson Tongue: More Mortgage Meltdown
  7. Richard Haas: War of Necessity, War of Choice: A Memoir of Two Iraq Wars
  8. Michael Sandel: Justice – What’s The Right Thing To Do?

Waktu terbaik membelek buku? Atas pesawat dan lewat malam!


3. Masa rehat (membaca) di atas kereta pulang dari Universiti George Washington (posting 9 Oktober 09)


"Yang ingin disentuh kini ialah dua pertemuan khusus dengan sarjana terkemuka Profesor Seyyed Hossein Nasr dari Universiti George Washington. Beliau menyerahkan naskah ucapan di persidangan tersebut berjudul – A Common Word Initiative: Theoria and Praxis. Tetapi di sepanjang perjalanan pulang, selesai mambaca International Herald Tribune, Financial Times, Economist dan beberapa lapuran mengenai Pakistan dan Afghanistan, saya terus menelaah buku tebal hadiah dari Profesor Seyyed Hossein Nasr berjudul – The Sage Learning of Liu Zhi: Islamic Thought in Confucian Terms, karya Sachiko Murata, William C. Chittick dan Tu Weiming.

Maka berenanglah kami dengan alunan hujah mengenai syari’ah, tariqah dan ma’rifah – berbanding dengan dao dan jiao; mengupas karya Liu Zhi and the Han Kitab serta karya alim China yang ulung mengenai Nabi Muhammad SAW, iaitu Tianfang Zhisheng Shilu!..."


Itulah Anwar Ibrahim. Saya dan anda bagaimana ?

"Read, you will conquer the world" - Napoleon Benoparte

"Bacalah, dengan nama Tuhanmu." - Al-Qur'an (wahyu pertama)



Menurut sumber terdekat dari laman-laman filem di Turki yang saya layari, maklumat yang setakat ini ditemui bahawa Faruk Aksoy akan melancarkan filem gabungan animasinya bertajuk "Fetih 1453" pada 5 Mac 2010. Saya sudah tidak sabar menanti kemunculan filem gabungan animasi 3 dimensi ini untuk membakar lagi semangat perjuangan mencetak generasi Al-Fateh dalam gerakan mahasiswa dan gerakan Islam di Malaysia kini.


Saksikan trailer ini.






Well-designed by one of our 1453 members : www.nurjannah87.blogspot.com


"Ya Syahid Obaida, alangkah indahnya tautan ukhuwwah ini andaikata pernah berkenalan denganmu sebelum ini..."

Ubaidah Mahir Abdul Mu'ti al-Qudsi ad-Duwaik, 25 tahun, bagaikan sebaik-baik syuhada pilihan Tuhan. Graduan UIAM ditaqdirkan pulang ke rahmatullah tidak di Malaysia, tetapi di tanah tumpahnya sendiri iaitu Palestin, bumi yang dinyatakan Rasulullah pahala syahid dua kali ganda berbanding syahid di tempat lain.

Kesyahidan Obaida pula bukan seperti kesyahidan biasa seperti dihempap runtuhan bangunan yang dibom Yahudi, bahkan akibat tepatnya tembakan 4 peluru haram Israel - di perut dan di kepala - ketika menuju masjid Ibrahim untuk menunaikan solat Zuhur dan ketika melepasi sekatan jalan oleh Yahudi.

Obaida seorang yang sangat kental dan berani kerana masjid Ibrahim semenangnya dikuasai Yahudi, hanya yang berani sahaja akan berulang alik melalui sekatan yang telah membunuh ramai penduduk Palestin yang mahu ke masjid itu. Pihak Israel telah menuduh asy-Syahid Obaida dengan cubaan menikam salah seorang tentera Israel yang sedang menjaga sekatan di jalan.

Selepas ditembak, Obaida masih hidup dan dibiarkan selama lebih kurang 30 minit, dan beliau dibelasah.

Obaida syahid di sebaik-baik bulan yakni Ramadhan, dijemput Tuhan pula pada sebaik-baik malam di sebaik-baik bulan iaitu malam 23 Ramadhan sedangkan beliau ditembak pada 5 Ramadhan, koma selama 19 hari, tidak menerima rawatan secukupnya dan dinafikan dari ditemui keluarganya ketika di Hospital Israel. Jenazahnya dihantar pulang oleh Israel 24 jam selepas kematiannya.

Beliau merupakan tahanan yang ke 1167 atau 1168 yang mati di dalam tahanan jahannam Israel.



Allahu Akbar !!!

Suara merdunya bukan lagi akan bergema di dewan-dewan besar UIAM, tetapi juga di kelak di syurga Firdaus mudah-mudahan. Namanya kini bukan sekadar mekar harum di dunia, bahkan kekal harum di Akhirat. Obaida tidak sempat merasai nikmatnya perkahwinan ketika dia sudah hampir untuk melangsungkannya, namun Tuhan mahu menganugerahkanmu 70 bidadari syurga jauh lebih rupawan, menyambutkan di malam Lailatul Qadar mudah-mudahan...


Allahu Akbar !!!

Peluru Yahudi laknatullah sememangnya tepat mensasarkan pemuda-pemuda yang bakal menjadi Salahuddin al-Ayyubi kedua.

Demikianlah antara bisikan syair di hati saya apabila berkesempatan menghadiri bersama isteri ke Majlis Memperingati Asy-Syahid Obaida, ketika pada masa yang sama ramai mahasiswa termasuk mahasiswa Malaysia menghadiri upacara penuh menghiburkan perasmian Pesta Konvokesyen UIAM sehingga hanya berapa kerat wajah mahasiswa (muslimin) Malaysia sahaja saya temui sanggup hadir ke majlis airmata di Experimental Hall tersebut.

Obaida, seorang graduan Mass Communication seharusnya menerima scroll beliau dalam Konvokesyen yang akan bermula esok di UIAM. Entah siapakah yang menggantikannya apabila namanya disebut... Yang pasti nama anak muda ini akan kekal mengharumkan nama UIAM, bukannya di pentas dunia dan kepentingan duniawi, tetapi di pentas akhirat dan perjuangan jihad. Akhirnya UIAM menelurkan seorang syuhada dari Palestin di bumi Palestin sendiri, itulah Obaida yang syahid ketika sedang menunggu surat tawaran melanjutkan pengajian Master di UIAM dan ketika hampir di gerbang perkahwinan.

Sepanjang 4 tahun menuntut dan berpersatuan di UIAM, saya tidak pernah mengenali dan berkenalan dengan sosok mahasiswa Palestin bernama Obaida. Yang paling saya rapati hanyalah saudara Muslim bekas Presiden Al-Aqsa Society UIAM - sahabat baik Obaida sejak tadika - yang juga Timbalan Presiden MPP UIAM ketika junior dan sahabat saya, Zukhairi Salehuddin menjadi Presiden. Namun pada malam itu entah mengapa, saya terasa sangat dekat dengannya. Obaida yang diceritakan oleh teman-temannya rapatnya sebagai seorang yang lebih gemar bersifat low-profile akhirnya namanya mekar harum di langit dan bumi.

Ucapan saudara Muslim hampir menitiskan airmata saya kerana beliau mengenali Obaida sejak tadika sehinggalah ke sekolah menengah dan ke UIAM. Muslim sememangnya lantang dalam pidato-pidatonya dan pada kali ini beliau menonjolkan dengan jelas pemikiran dan jiwa besar beliau di sebalik meratapi pemergian Obaida.

"Bukan sekadar tentera Israel yang melepaskan 4 das tembakan kepada Obaida sahabat kita. Namun yang sebenarnya menembak beliau adalah pemimpin-pemimpin tali barut Yahudi yang berdiam diri dalam nasib Masjidil Aqsa. Pemimpin-pemimpin yang kononnya mewakili rakyat Palestin sedangkan merekalah yang menjual darah-darah pemuda Palestin dengan begitu murah sekali." - Pidato saudara Muslim malam memperingati Asy-Syahid Obaida


Obaida : Simbolik Kualiti Mahasiswa Antarabangsa Berbanding Malaysia

Asy-Syahid Obaida mempunyai karakter yang sangat utuh dan komprehensif ketika belajar di UIAM. Berdasarkan perkongsian rakan-rakan sebilik dan seperjuangannya pada malam tersebut, terserlah di hadapan saya karakter seorang mahasiswa yang sewajarnya diteladani oleh mahasiswa Malaysia.

1. Mahasiswa yang cemerlang di bangku pengajian sejak kecil. Obaida cemerlang sejak dari pendidikan sekolah menengahnya lagi di Hebron.

2. Mahasiswa yang sangat aktif terbabit dalam persatuan sehingga Obaida menjadi Mainboard dalam al-Aqsa Society di university dan sangat aktif dalam aksi pentas Palestin di UIAM khususnya yang membabitkan pentomen dan nyanyian nasyid.

Asy-Syahid 2 dari kiri di UIAM

Obaida membenarkan janjinya untuk mati di jalan Allah

3. Mahasiswa yang turut menyumbang pada gerak kerja dakwah. Malam itu dipaparkan beberapa kenangan siri lakonan asy-Syahid di UIAM yang memberikan mesej supaya jangan melengahkan solat. Babak beliau dibawa ke klinik UIAM dengan van UIA seolah-olah membenarkan situasi seperti itu tidak lama lagi akan berlaku secara realiti kepada beliau.


4. Menjadi 'motivator' yang berkesan kepada rakan-rakannya sendiri dengan kekuatan kemerduan suaranya. Ketika tekanan exam di UIAM, asy-Syahid tetap bersedia untuk menghadiahkan lagu untuk menghiburkan rakan-rakannya yang lain.


Hargailah Mahasiswa Palestin di UIAM Sebelum Mereka "Pergi"

Sebelum ini saya pernah menceritakan dalam posting sebelum ini pengalaman berforum dengan saudara Marjan, seorang mahasiswa UIAM dari Filipina. Namun rupanya sahabat yang saya berforum itu hari ini sudah berhenti pengajiannya dari UIAM kerana saya mendapat maklumat beliau terpaksa pulang ke kampung halaman beliau untuk menyahut seruan jihad dari MILF mempertahan keluarganya dari serangan tentera kerajaan di sana. Entah hidup mahupun sebaliknya sahabat saya itu, wallahu a'lam. Yang pasti, kenangan bersamanya tidak akan dilupakan. Beliau benar-benar "person who walk the talk".

Telah banyak posting sebelum ini saya menyatakan betapa menyesalnya saya memasuki era undergraduasi di UIAM tanpa saya menyedari terlebih dahulu keunikan suasana, kelebihan bahasa dan keluarbiasaan manhaj ilmunya.

Babak di Experimental Hall malam tadi menambah lagi kedukaan penyesalan saya kerana tidak memaksimakan nikmat besar menerima pendidikan tinggi di UIAM. Apa ada pada sekeping ijazah jika itu yang dikejar sedangkan perkenalan dengan seramai mungkin mahasiswa Islam antarabangsa tidak berlaku?

Ketika mengikuti usrah Pas kawasan Gombak suatu ketika dahulu, guru usrah tersebut pernah berpesan yang saya ingat hingga ke hari ini.

"Kenalilah seramai mungkin saudara-saudaramu yang tidak pernah kamu kenali. Kerana Allah merahsiakan pertemuan kamu dengan wali-walinya. Berkenalanlah dengan seramai mungkin hamba-hamba Tuhan, kerana boleh jadi salah seorang dari seribu orang yang engkau dekati, itulah hamba Tuhan yang akan dimustajabkan doanya apabila dia berdoa agar engkau tidak tergelincir dari titian Sirath menakutkan itu."

RESOLUSI

Mudah-mudahan segala penyesalan itu akan mampu ditebus semula apabila saya kembali ke lapangan M.A hujung tahun ini di UIAM.

Usahlah melihat UIAM pada mahasiswanya kerana mungkin anda akan kecewa, namun lihatlah pada manhaj integrasi ilmu syariatik dan sunnatiknya (INTEGRATION). Lihatlah pada kelebihan berukhuwwah dengan mahasiswa antarabangsa seluruh dunia Islamnya (INTERNALIZATION).

Bayangkan betapa banyak bahasa dunia yang lain boleh dipelajari dengan persahabatan dengan mahasiswa antarabangsa. Betapa banyak perkongsian pengalaman, peradaban, pemikiran (style of thinking) yang boleh dilakukan dalam pertemuan-pertemuan sesama mereka.

Namun apakan daya jika kita terus rasa syok sendiri dan mudah rasa selesa dengan dunia dalam tempurung pemikiran kerdil kita. Tidak sedikitpun rasa bersalah apabila persoalan bahasa Inggeris yang selama ini menjadi penghalang untuk membuka tautan ukhuwwah dengan mereka. Tidak sedikitpun rasa bersalah apabila persatuan kita tidak sedikitpun meraikan mahasiswa antarabangsa mahupun engagement dengan persatuan-persatuan antarabangsa di UIAM. Sedangkan mereka bakal penggubal polisi negara, pegawai diplomatik dan bakal negarawan masing-masing jika diizinkan Allah.

Ayuh rakan-rakanku mahasiswa UIAM.

Andai kalian mencita lahirnya Salahuddin al-Ayyubi yang menyatukan seluruh negara Arab-Islam untuk meraih kemenangan ke atas Jerusalem dari tangan Yahudi, formula itulah juga perlu dilakukan di madrasah UIAM ini.

Kesemua mereka sedang berada di bumi Gombak ini, di bumi yang akan mengajar mereka ilmu SUNNATIK dan SYARIATIK sekaligus walaupun mereka tidak mengambil jurusan pengajian Islam (IRK). Bukankah itu formula berbahaya dan paling digeruni oleh Yahudi , golongan sekular dan musuh-musuh Islam ?

Mereka datang jauh dari pelusuk dunia. Dekatilah mereka kerana akan ada dari kalangan mereka yang akan menemui sebaik-baik kematian iaitu syahid di jalan Allah. Bayangkan doa mereka untukmu ketika mereka berada sangat dekat dengan Tuhan, mereka tidak mati bahkan diberikan rezeqi oleh Allah.

Rapatilah mereka, moga kelak dari tautan ukhuwwah ini akan muncul sebuah pasukan gerombolan negarawan graduan UIAM untuk menyatukan saff ke arah mengembalikan bumi masjid al-Aqsa ke tangan umat Islam.

Ayuh realisasikan impian asy-Syahid Obaida, Ahmad Yassin, Dr Rantisi dan sekalian syuhada Palestin yang tidak mampu mereka lihat ketika hayat hidupnya.


6 April 1453 Al-Fateh memulakan kepungan ke atas Konstantinople. 18 April serangan pertama dilancarkan. 21-22 April 70 buah kapal dipindahkan melalui jalan darat. 6-12 Mei serangan seterusnya digandakan untuk menembusi dinding. 29 Mei Al-Fateh berjaya memasuki Konstantinople dari pintu Topkapi. Ini adalah angka-angka tarikh penting dari Profesor Mehmet Maksudoglu, pengkaji sejarah Usmaniah dari sumber asal Usmaniah itu sendiri (Osmanli History 1289-1922 Based on Osmanli Sources, page 72-73).

NASA pula mengesahkan 22 Mei 1453 berlakunya kejadian gerhana bulan separa. Saya menulis di read1453.blogspot.com dengan meninggalkan persoalan kepada pembaca :

"Petanda buruk dari gerhana bulan adalah suatu kepercayaan tahyul rakyat dan pemerintah Byzantium. Maharaja Konstantinople 11, Paleologos diriwayatkan pernah mengatakan bahawa Kontantinople tidak akan jatuh selagi matahari dan bulan wujud. Demikian besarnya kepercayaan nujum mereka bersandarkan fenomena alam pada bulan dan matahari tersebut.

Adakah Muhammad Al-Fateh sengaja memilih sekitar April hingga Mei 1453 - tidak tahun mahupun bulan lain - sebagai masa paling strategik kempen pengepungan Konstantinople dilancarkan ? Kita sedia maklum Usmaniah pakar dalam taktik pengepungan, mereka sangat arif mengenai kekuatan dan kelemahan mereka, tempoh masa yang mereka perlukan berdasarkan sejarah apabila sesuatu taktik pengepungan dilakukan sebagai 'tempoh bertenang' kepada musuh untuk menyerah secara aman. Kita juga sedia maklum bahawa Al-Fateh arif benar dengan segala post-mortem kegagalan percubaan ayahnya, datuk-datuknya serta pimpinan Islam sejak 11 kali percubaan dilakukan menemui kebuntuan bertubi-tubi.

Al-Fateh juga tahu benar penting aspek moral dan motivasi dalam mempengaruhi kejayaannya dan kelemahan musuh-musuhnya. Kerana moral, beliau menghadirkan pemidato dan pasukan gendang serta para ulama dalam saf para tenteranya. Sudah pasti Al-Fateh sangat pintar untuk turut sama mengenalpasti apa yang boleh meruntuhkan moral musuh-musuhnya, supaya dia mampu melemah dan menumpaskan lawan sebolehnya secara "al-fatah" yakni tanpa pertempuran dan pertumpahan darah, bak kata Sun Zu.

Adakah kejadian gerhana bulan separa telah melemahkan moral Byzantium sekaligus membenarkan mimpi buruk mereka bahawa 1100 tahun empayar mereka akan berakhir?

Adakah pemilihan tarikh kempen sekitar April-Mei 1453, kesemua ini hasil didikan kental ilmu-ilmu SUNNATULLAH khususnya ilmu FALAK, GEOGRAFI serta KAJIAN KEPERCAYAAN (AQIDAH) mengenai Byzantium oleh para ulama terbaik Usmaniah pada beliau ketika kecil ?

Adakah ini siri seterusnya kepintaran taktik, pemikiran strategik dan kegeniusan pimpinan perang yang dipuji oleh Rasulullah S.A.W ?

"There are a number of famous historical events associated with lunar eclipses. On 29 May 1453, a rising Full Moon was eclipsed over Constantinople, then under siege by the Turk army. It is reported that this created such a dip in morale that in a few days Constantinople was defeated, leading to the end of the Roman Empire of Orient after 1130 years." - European Space Agency

"At this time, the fighting morale of the defenders was of major importance. Their fighting spirit was maintained by an old prophecy that Constantinople could never fall while the moon was waxing. Then on May 22, the full moon rose in eclipse, crushing their morale. Some reports say the eclipse darkness lasted for three hours; however, this is considered impossible because the partial phase ended 75 minutes after moonrise. - Thomas Fuller

Rupanya saya tidak berseorangan dalam mengemukakan hipotesis ini. Antara yang cuba mengkaji lebih mendalam hipotesis saya ini adalah saudara Asyraf dengan bimbingan Dr Rowi , pengkaji Falak dari Kelantan, dengan Balai Cerap Mini mereka serta Perisian Starry Night Pro yang telah banyak membantu mereka.


"..alhamdulilah, berikut adalah maklumat penting pada hari kejadian (22 Mei 1453) gerhana bermula pada pukul 3.38pm hingga 9.52pm, klimaks gerhana 7.20pm, matahari terbenam dan waktu bulan naik adalah sama iaitu 7.25pm. nanti kawan saya akan menganalisa peristiwa ini di blognya..." - komentar Dr. Rowi

Saksikan perincian dan penemuan lebih detail dari saudara Asyraf di sini.


Saya berkesempatan menerima jemputan dari rakan-rakan Pkpim yang menganjurkan daurah kecilan baru-baru ini mengenai Syekh Badiuzzaman Said Nursi. Sangat mengejutkan saya pada malam pertemuan ilmiah di UM tersebut adalah speaker jemputan tersebut (maafkan saya, saya lupa nama beliau) adalah wakil dari sebuah NGO Turki yang sangat fasih berbahasa Melayu ketika menyampaikan pembentangan beliau bermula dari terasasnya kerajaan Usmaniah sehinggalah kepada kejatuhannya, bahkan sehingga menyentuh situasi Islam dan gerakan Islam di Turki pada hari ini. Bagaikan mengembara jauh ke Turki, saya dan isteri kali ini mendalami sejarah silam Turki dengan lebih mendalam dari orang Turki itu sendiri.


Terlalu banyak catatan mahu dilakarkan di sini hasil dapatan dari speaker jemputan tersebut. Bayangkan 400 tahun kerajaan Turki Seljuk dan 625 tahun kerajaan Turki Usmaniah mahu disampaikan dalam masa 90 minit, sudah pasti pengajaran terpenting sejarah sahaja mahu dikongsikan.

Namun memadailah antara saya kongsikan dari beliau antaranya:

SECARA UMUM

1. Salib mengkaji rahsia kekuatan Usmaniah dahulu. Mereka mendapati iman masyarakat yang sangat kuat.

Bukan sekadar pemerintah cintakan jihad dan mati di jalan Allah, bahkan rakyat sendiri sudah memperkata mengenai jihad dan bersedia melakukannya. (saksikan sendiri kalangan rakyat Usmaniah di era Muhammad al-Fateh yang berbondong-bondong mendaftarkan diri untuk menjadi tentera melaksanakan visi pemerintah). Jelas, semangat Tariq bin Ziyad ("kami bawakan kepada kamu sepasukan tentera yang cintakan kematian bencikan dunia lebih dari kamu yang cintakan dunia bencikan kematian") wujud pada rakyat Turki Usmaniah berkat didikan ulama yang dicintai pemerintah pada era keemasan Usmaniah dahulu.

Justeru Salib mendapati senjata pemusnah kepada kekuatan ini adalah "nasionalisme", sehinggalah satu persatu negera-negara di bawah naungan Usmaniah keluar darinya kerana diresapi barah berbahaya sebaran proksi Salib pada masa itu iaitu 'musuh-musuh dalam selimut' dari kalangan umat Islam itu sendiri. Armenia yang dahulunya negara paling patuh kepada Usmaniah selama hampir 500 tahun menjadi antara negara pertama keluar dari Usmaniah. Virus "kenapa mesti bangsa Turki memerintah kita" akhirnya memusnahkan Usmaniah sedikit demi sedikit sehinggalah secara tersuratnya pada 1924.

2. Hampir 17,000 ulama mati dibunuh pada masa Mustafa Kamal Attaturk mensekularkan Turki dan mematikan azan dalam bahasa Arab selama 18 tahun lamanya. Ulama-ulama hebat terpaksa lari ke luar Turki seperti Syekh Ramadhan ayah kepada Syekh Said Al-Buti pada hari ini. Syekh Fathi Yakan dan ramai lagi antara para ulama moden yang menerima nasib sedemikian walhal mereka berasal dari Turki.

3. Kenapa ulama-ulama di Turki seperti Said Nursi tidak berjanggut ? Kerana bukan kerana mereka tidak mahu berjanggut, tetapi kerana kedahsyatan sekularis di sana, janggut mereka akan dicabut begitu sahaja dari kepala jika tidak dipotong.

SECARA KHUSUS

Apa yang lebih penting dari pertemuan ilmiah adalah perkenalan lebih mendalam dengan pemikir dan sufi agung Islam, Badiuzzaman Said Nursi.

Rumusan terpenting dari apa yang disampaikan oleh pembentang tersebut adalah bagaimana kejayaan sebuah misi pencerahan minda yang sangat mencabar dilakukan oleh beliau sehingga gerakan Islam di Turki menikmatinya pada hari ini.

Said Nursi bukanlah seorang individu, beliau adalah sebuah institusi pemikiran.

Sebelum ini saya tidak pernah mendengar mengenai "Risalah An-Nur", namun dari perbincangan ini saya mula mengesani "aura" dahsyat 14 jilid kitab itu kepada pemikiran Islam rakyat Turki khususnya pada era pasca kejatuhan Khilafah sehingga ke hari ini.

Sudah hampir 40 bahasa menterjemah kitab aqidah berasaskan ahlus sunnah wal jamaah ini. Dikatakan hampir 35 % dari 56,000 orang yang masuk Islam di Turki adalah kerana pengaruh dan tertarik dengan 'kuasa' Risalah An-Nur.

Kemampuan Said Nursi menerangkan Islam 'hakiki, bukan taqlidi' secara pendekatan "logik, analogik, saintifik" adalah suatu pendekatan unik dan 'tajdid' yang sangat memberikan kesan besar pada masyarakat Turki yang baru sahaja dikarati barah sekularisme.

Sebagai contoh dalam suatu pendekatan menyatakan kewajipan solat. Beliau menggunakan analogi manusia perlukan makanan untuk menghilangkan lapar, jika tidak manusia akan mati kebuluran. Demikianlah manusia perlukan solat untuk menghilangkan kelaparan 'ruh' pada Tuhan, jika tidak ruh dan hati akan mati atau menjerit kesakitan. Jika kita mengucap terima kasih pada mereka yang memberikan kita hadiah, inikan pula Tuhan yang tidak putus-putus memberikan nikmat secara percuma kepada kita. Demikianlah antara yang dibongkarkan oleh pensyarah tersebut.

Risalah At-Thabi'ah pula tidak sepatahpun Said Nursi menggunakan ayat-ayat Al-Quran, namun hakikat pengisiannya secara tersirat akan diakhiri dengan maksud dari ayat-ayat Al-Quran. Kitab ini memberikan kesan besar kepada non-Muslim di Eropah untuk memeluk Islam ketika mereka menyedari rupanya kesemua itu adalah maksud-maksud dari al-Quran.

Rupanya pendekatan seperti itu pun tidak menggamit 'permaidani merah' buat Said Nursi, belasan kali beliau memasuki penjara dan puluhan kali ke mahkamah sebagai mahar perjuangan dakwah beliau tersebut. Ini kerana Said Nursi bukan sekadar bijak melunakkan hati masyarakat mad'u dengan pidato hujjahnya dan menjinakkan pemikiran mereka yang telah rosak disekularkan dengan pendekatan logik. Bahkan ada masa beliau tegar dengan prinsip sehingga pernah menuduh Atatürk sebagai ‘Dajjal dan Pembinasa Agama’.

Ada yang menyatakan Said Nursi hampir 1000 kali turun naik mahkamah dan hampir 29 kali percubaan meracun makanan beliau ketika dalam penjara, namun Allah jua yang menjaganya. Kemahiran "logik, analogik, saintifik" inilah menyebabkan hujahnya digeruni oleh pendakwa di mahkamah sehingga beliau tidak begitu mudah digugat di kamar mahkamah.

Isteri saya, Nurul juga mengambil kesempatan bertanyakan hubung kait tokoh intelektual nombor satu dunia dari Turki, Fethullah Gulen yang gerakan pemikirannya juga sangat berpengaruh di Turki, sejauhmana wujudnya hubungannya dengan Said Nursi.

Perbincangan lebih menarik apabila pembentang mula mengupas isu-isu politik Islam di Turki sehingga perbezaan pemikiran antara Dr Erbakan dan muridnya Erdogan sehingga melahirkan AKP terus menjadi topik memanaskan punggung saya di bilik berhawa dingin tersebut. Namun seperti biasa, saya tidak telan bulat-bulat pandangan pembentang tersebut kerana biasalah jika saya mempunyai pandangan berbeza yang didiamkan bagi menghormati masa yang makin terbatas untuk menambah kehangatan Q & A session.


Apa yang penting yang menjadi tujuan kehadiran saya adalah untuk meningkatkan kefahaman mengenai Turki itu sendiri dari pelbagai sudut, dan lebih penting lagi mengenai tokoh pemikir Islam agung Said Badiuzzaman Nursi.

Nampaknya, saya perlu segera menamatkan bacaan kitab tulisan Ihsan Kasim Shalih, baru layak untuk saya memperkata mengenai kehebatan dan pengajaran dari pemikiran Said Nursi dalam posting akan datang.

"Akhirnya beliau membuat kesimpulan bahawa beliau berkewajipan untuk belajar ilmu-ilmu Sains supaya dapat disinergikan dengan ilmu teras Islam yang lain. Badiuzzaman Said al-Nursi telah meluangkan masa belajar dengan tekun ilmu Geografi, Fizik dan Falak. Beliau seterusnya mengusahakan agar ilmu Sains ini diajar seiringan dengan ilmu agama agar mereka yang tidak dapat memahami kecuali melalui ‘bahasa Sains’ akan dapat juga sampai kepada hakikat Iman." -Di Ambang Keruntuhan Uthmaniyyah: Pengajaran Buat Ummah oleh Ustaz Hasrizal Abdul Jamil pada 4 Februari 2006



Jarang kedengaran pimpinan PAS bersuara secara taktikal perang dalam sesuatu pertempuran pilihanraya kecil khususnya ketika menyinggung keadaan 'padang yang tidak sama rata', khususnya dalam isu undi pos yang sekian lama bergema penentangan ke atas kaedah ini. Kebiasaan yang didengari hanyalah suara protes, boikot dan kenyataan-kenyataan bernada penentangan agresif. Kali ini YB Salahudin Ayub, jeneral perang PAS di PRK Bagan Pinang melakukannya sebaliknya.

Semalam (6 Oktober), beliau membuat kenyataan bukan sekadar bernada "mempertikai" dalam isu pewujudan undi pos dan pengurangan jumlah hari pengundian (defensif), tetapi turut menyerlahkan taktik 'ofensif' dan strategis PAS pada kali. Beliau menyatakan PAS mempunyai "KAEDAH PENYELESAIAN" (suatu istilah yang sudah pasti sangat digeruni Umno-BN) bagi mengelakkan manipulasi berlaku dalam proses pengundian pos.

PAS katanya mempunyai "SISTEM" yang boleh memantau pengundian pos yang mungkin boleh membenarkan pengundian berlaku berulang kali. Ini adalah bagi memastikan kertas undi tersebut diberikan kepada bukan pemiliknya yakni bukan pengundi yang sebenar.


Bagaikan mengimbau sejarah pimpinan-pimpinan agung Islam terdahulu seperti Salahuddin Al-Ayubi, Nuruddin Zinki, Alps Arslan, Muhammad al-Fateh yang tidak pernah kenal erti putus asa kepada keampuhan strategi dan taktik licik musuh.


Muhammad al-Fateh adalah sebaik-baik contoh figura yang sentiasa tidak statik dan stereotaip taktik perang beliau. 53 hari proses pengepungan di Konstantinople adalah hakikatnya sarat dengan pertukaran taktik peperangan Usmaniah berdepan dengan counter-attack Byzantium.

"Tekanan dan kegagalan pengepungan oleh baginda hanya menyebabkan baginda sentiasa berjaya memperolehi idea-idea baru, taktik-taktik licik baru, dari detik ke detik untuk mengatasi lawannya" (kitab Zayyad Abu Ghanimah)

"Byzantium membina menara bergerak tersebut dalam masa sebulan, tetapi tentera Usmaniah mampu membinanya dalam masa satu malam, bahkan kurang dari 4 jam." (Sejarawan Byzantium)

Serangan "bergambar" adalah taktik perang paling berbahaya dan ampuh

Calon dan jentera PAS di Bagan Pinang sememangnya sudah mengatasi Umno dari sudut SQ (doa dan munajat) dan EQ (integriti). Namun untuk menumbangkan calon 'gergasi' mereka di Bagan Pinang tersebut dengan dua faktor tersebut, belum tentu menatijahkan kemenangan di pentas peperangan bernama demokrasi pilihanraya kecil yang sarat dengan tipudaya. IQ dan pengetahuan jentera PAS tentang taktik pergerakan musuh akan memberi kelebihan kepada PAS insya-Allah, di samping keberkatan (SQ dan EQ) kemenangan tersebut.

Syabas Naib Presiden PAS dan seluruh jentera strategis PAS. Pemikiran 'muda' anda makin terserlah.

Daurah "Bongkar UTHManiah 1453" di UTHM

Monday, October 5, 2009

"Kenapa hadis pembebasan Konstantinople disabdakan Nabi ketika keadaan mereka sedang bersangatan penat, letih sehingga mengikat batu di perut masing-masing serta gigih bekerja kuat menggali parit Khandaq yang diideakan dari sahabat Nabi dari Parsi, bukan Arab ?

Apakah simbolik kepada pemilihan waktu segetir ini untuk Allah memotivasikan Nabi mengenai terbebaskan kubu pertahanan terkuat di dunia tersebut ? Kenapa tidak seperti kejadian turunnya ilham-ilham lain yang Nabi terima ketika sedang tidur seperti mimpi pembukaan Makkah?

Pemilihan situasi menggali parit Khandaq sebagai waktu dizahirkan pembukaan Konstantinople bertujuan menonjolkan gerak kerja penawanan kota itu bukan suatu kerja yang mudah. Ia sangat meletihkan, memenatkan seperti keadaan Nabi dan sahabat menggali Khandaq melingkari Madinah. Hanya pemimpin berjiwa besar serta terbuka kepada sebarang idea luar kotak, dan komitmen kerja luar biasa tentera mampu merealisasikan hadis tersebut."


Demikianlah antara ‘feeling process’ yang saya timbulkan supaya para pendengar berfikir seketika dan menanggapi sejarah dengan pemikiran yang segar dan kritis. Di samping pemaparan fakta-fakta ilmiah yang cuba saya sampaikan dengan memaksimakan fungsi 'otak kanan' rakan-rakan mahasiswa di UTHM lantaran saya menyedari bahawa tajuk ketenteraan terbaik pernah dilahirkan di dunia iaitu Usmaniah ini tidak akan menatijahkan apa-apa kesan sekiranya saya tidak kreatif dan rencam dalam pendekatan.

“Muhammad bin Murad bukan tabi’in mahupun tabi’ tabi’en, jauh lagi dari seorang Sahabat. Dia bukan hidup di zaman 300 kurun yang terbaik. Dia bukan orang Arab. Dia bukan keturunan Nabi. Dia manusia biasa.

Tetapi manusia biasa yang berfikir dengan idea yang luar biasa. Dia berfikir dan turut bekerja, sehingga tenteranya memanggilnya ayah. Kerjanya pula adalah kerja yang sangat luarbiasa dengan semangat yang dahsyat yang sudah mampu menggoncangkan dinding Theodosius.

Upaya tenteranya luar biasa. 70 buah kapal sebesar saiz 7 trailer panjang setiap satu kapal, digerakkan oleh tenaga manusia biasa dan haiwan yang tidak berakal, naik dan turun bukit tanpa teknologi kenderaan seperti hari ini, berdepan dengan keadaan cuaca dan angin yang tidak menentu serta keadaan bukit yang tidak stabil, di kemuncak kepenatan selepas hampir 2 bulan berperang tanpa natijah memuaskan.

Namun hanya 1 malam tanpa dikesan musuh, 70 buah kapal muncul di hadapan benteng Konstantinople, tanpa sedikitpun terusik rantai besi kebanggaan Constantine XI.

Al-Fateh manusia biasa. Tenteranya manusia biasa. Al-Fateh berfikir secara luar biasa. Tentera bekerja dengan komitmen luarbiasa.

Namun itu sebaik-baik ketua. Itulah sebaik-baik tentera. Mereka yang dipuji Nabi, bukan orang lain.”

Terharu apabila turut sama hadir rakan-rakan ‘tentera’ UTHM (mungkin boleh dibaca juga ‘UTHManiah”) iaitu rakan-rakan Suksis dan Palapes turut hadir, dengan seorang rakan non-Muslim yang saya meminta hadirin memberikan tepukan gemuruh kepada beliau di atas kesudian hadir dan kekal di atas kerusinya sehingga 3 jam slot bersama saya tersebut tamat tanpa sedikitpun berganjak. Buat kali kedua di hadapan mata saya, mahasiswa Cina sangat rasional dan tenang menanggapi fakta sejarah walaupun ia adalah suatu paparan mengenai jalur pemikiran tokoh Islam. Blockquote

Hampir 90 slide merumuskan adegan lebih 600 tahun empayar Usmaniah saya bentangkan secara pecutan pintas dalam hanya 3 jam, saya sulami setiap pemaparan fakta berat dengan selingan video supaya mampu mengelak kebosanan mahasiswa yang hadir.



"Sejarah membuktikan bahawa generasi terdahulu sememangnya bekerja secara LUAR BIASA untuk memenangkan Islam. Tidak perlu terlalu jauh ke Konstantinople, lihat sahaja usaha memenangkan Islam di tanah Melayu dan Melaka. Lihatlah kesungguhan dan kecerdikan Laksanaman Muhammad Cheng Ho. Kesungguhan menyampaikan dakwah Islam di tanah Melayu dapat dilihat pada saiz kapalnya sahaja sudah memadai. Jiwa besarnya tertonjol jelas dengan kebesaran kapal beliau tersebut yang 4 kali ganda lebih besar dari kapal penjajah British."

Terima kasih kepada saudara Syafik, Muhaimin dan seluruh pimpinan Kelab Iqra UTHM atas jemputan dan perkenalan bermakna dengan saya dan isteri tersayang yang sudi menemani kembara 300 kilometer ke negeri selatan Malaysia itu.


Masa 3 jam yang diberikan kepada saya menyebabkan saya "puas" dengan pembentangan saya dari A-Z secara complete. Moga ada kesempatan bertemu di masa akan datang.




Saya berkesempatan bertemu dengan sifu saya, Ustaz Hasrizal selepas Talk "Muslim U-Turn?" anjuran Ma'ruf Club di UIAM semalam. Berbekalkan pengalaman Ustaz Hasrizal sendiri yang berada dalam bidang pengajian Master ini, saya meminta pandangan topik yang sewajarnya saya buat kajian di peringkat Master nanti kerana berkemungkinan saya akan melakukan 'hijrah akademik' buat kali ketiga dalam hidup saya. Kali pertama di KISAS, dari aliran Sains SPM ke aliran Sastera-Agama STPM. Kali kedua di UIAM, dari bidang pengajian Syariah (sejak dari Madiwa-Al-Azhar) ke Bahasa-Sastera Arab. Kali ketiga juga berkemungkinan di UIAM, dari Bahasa dan Sastera Arab ke pengajian Sejarah dan Peradaban (cabang Sains Kemanusiaan).

Mungkin bagi sesetengah sahabat-sahabat bersangka saya tidak tetap prinsip, namun bagi saya jika sebelum mengambil Master, saya wajar diberikan 'kebebasan' berfikir dan mereka gaya berfikir yang pelbagai disiplin ilmu. Ada disiplin ilmu yang menyebabkan saya melihat sesuatu secara 'mikroskop' dan teliti, ada disiplin ilmu yang menyebabkan saya menyelinap masuk ke dalam kotak pemikiran dan mentaliti manusia, dan ada disiplin ilmu yang mampu menjawap masalah dan cabaran masa depan. Saya mahu mencari-cari erti sebenar kepuasan hidup dengan bidang ilmu yang paling 'ghairah' untuk diterjuni. Namun apabila sudah memasuki period Master, bermulalah fasa fokus dan membina upaya kepakaran diri. Dalam situasi 'lompat akademik' ini, Almarhum Prof Zulkifli Muhammad dan Prof Burhanuddin al-Helmy adalah idola saya.

Mujurlah saya melambatkan pengajian Master. Kalau tidak, saya akan Master dalam bidang yang hakikatnya memberikan 'sijil dunia' kepada saya, tetapi tidak memberi kepuasan hidup kepada saya untuk menyumbang kepada gerakan Islam di Malaysia.

Kerana bagi saya, saya mahu kembali ke dunia akademik tidak lama lagi kerana keinginan mendalam dari benak hati saya sendiri yang mahu melihat dan mencorak masa depan Islam dengan berbekalkan pedoman khazanah sejarah yang jarang diteliti secara mendalam dan 'mikroskop' oleh pejuang Islam kontemporari itu sendiri.

Saya tidak mahu mengambil Master hanya kerana bimbang 'apa kata orang nanti' atau sekadar memikirkan periuk nasi kehidupan mencabar pada masa depan yang menuntut bidang kerja yang lebih kompeten, atau kerana menyahut seruan keluarga, atau kerana ramai sahabat-sahabat saya yang sedangpun mengambil Master.

Pertemuan dengan Ustaz Hasrizal semalam walaupun ringkas sangat bermakna. Pengalaman Ustaz mengambil Master dalam Peradaban Islam di UIAM adalah suatu testimoni yang wajar saya teliti kerana kemungkinan track itulah juga akan saya lalui.


Selain mendapat motivasi dari ustaz agar terus thabat dengan pilihan Master di UIAM kerana kelebihannya dari sudut 'kebebasan berfikir dan sifat akademiknya' yang tidak didominasi oleh mana-mana aliran pemikiran tertentu, di samping kelebihan bahasa Inggeris serta sifat antarabangsa pelajarnya, saya juga dicadangkan oleh Ustaz agar mesti bersedia dengan tajuk kajian sejarah era Usmaniah dengan tajuk yang lebih spesifik, bukan mencapah dan simplistik. Lantaran beban sangat 'menakutkan' andaikata tersilap memilih tajuk, apatah lagi yang mencapah.

Lantas saya meminta cadangan tajuk dari ustaz jika era 1453 atau Sultan Muhammad al-Fateh akan menjadi fokus kajian saya, yang mana kajian tersebut jarang dilakukan di Malaysia, tetapi sangat memaknakan perjuangan Islam di Malaysia.

Sebelum Ustaz mengeluarkan beberapa lontaran idea di hadapan jamuan ringan yang disediakan oleh urusetia (maafkan saya Ustaz jika mengganggu hi-tea Ustaz), Ustaz memberikan ingatan supaya tidak mengkaji Usmaniah secara populis ataupun mencari topik-topik mahupun pendekatan penulisan tertentu yang hanya boleh menyebabkan masyarakat kagum dan berbangga dengan 'hero-hero' Usmaniah, namun mereka pemikiran mereka terus kontang dari pengajaran dan spirit yang cuba disampaikan oleh generasi terdahulu. Kajilah secara akademik dan ilmiah, susah mahupun mudah, sejarah hitam mahupun putih dari apa yang berlaku pra dan pasca 1453.


Ustaz juga mengingatkan saya supaya bersedia dengan subjek "Research Methodology" kerana pengalaman beliau agak 'pahit' dalam subjek di awal semester Master ini.

Antara tajuk-tajuk yang dicadangkan Ustaz Hasrizal untuk saya kaji adalah :

1. Pasca 1453 - Legasi Sultan Muhammad al-Fateh dari sudut polisi pemerintahan dan kesannya pada Muslim dan non-Muslim di bawah empayar Usmaniah

2. Hubungan antara kaum sepanjang pemerintahan Muhammad al-Fateh

3. Sistem ketenteraan Usmaniah pada era Muhammad al-Fateh - membongkar di sebalik maksud "sebaik-baik tentera" oleh Rasulullah S.A.W

Ustaz juga berkongsi cabaran yang perlu dilalui oleh saya kerana Master dalam sejarah Usmaniah di UIAM memungkinkan saya perlu lebih bermandiri dan berdikari, kerana belum pasti ada atau tidak guru yang benar-benar 'faqih' dan 'well-connected' dengan khazanah dari bumi Usmaniah sendiri iaitu Turki.

Kebanyakan pensyarah yang ada - pada saat ini - dalam subjek ini mampu menjadi 'penyampai' yang berkesan dalam kelas, tetapi belum tentu mempunyai hubungan dan pengalaman yang sarat dengan sumber-sumber primari dari Turki sendiri. Ustaz mempunyai ramai Turkish housemate dan kenalan yang kini menjadi pensyarah universiti-universiti di Turki. Di sinilah Ustaz menekankan hubungan saya dengan pelajar-pelajar Turki di UIAM.

Ustaz juga mencabar saya untuk bukan sekadar pergi ke Turki, bahkan belajar bahasa Turki kerana itulah pintu utama menyelongkar khazanah 1453.

Saya menyahut cabaran ustaz insya-Allah.


Sumber gambar : Ihsan dari Facebook adik Abdul Rauf Hassan

Integriti Maya

Sebarang pengambilan mana-mana bahagian daripada tulisan di sini adalah sangat digalakkan untuk disebarkan, namun perlulah mendapat izin daripada Iskandarfateh.

Ataupun, sila beri kredit bahawa anda mengambil mana-mana kenyataan tersebut dari Blog
Iskandarfateh ini.

Terima kasih. Saya sangat hargai kunjungan anda.

Montaj IPTC

Twitter With Me

Profail Blogger


Syaari Ab. Rahman merupakan seorang perunding motivasi terlatih. Profail lengkap beliau di "Hubungi Saya"