Content feed Comments Feed

Seminggu Yang Memenatkan..

Thursday, July 16, 2009

Seminggu yang memenatkan, namun segala kepenatan itu hilang begitu sahaja apabila bertemu dengan isteri tersayang. Inilah pertama kali Allah menguji kami berdua untuk berpisah hampir seminggu, alhamdulillah, isteri saya berjaya mematangkan dirinya untuk mensibukkan diri dengan gerak kerja Ma'ruf Club dan semester baru pengajian sebagai latihan awal kehidupan sebagai rumahtangga pejuang, bukan rumahtangga biasa ahli-ahli jamaah.



Ramai bertanya di mana saya sepanjang seminggu ini, sehingga blog tidak update, kongres tidak kelihatan dan sebagainya ? Saya mohon jutaan kemaafan kerana hampir 'membunuh' peminat blog saya sepanjang seminggu ini. Juga kepada rakan-rakan kepimpinan GAMIS khususnya saudari Munawirah Pengarah Ko-SPIN kerana tidak mampu memenuhi jemputan saat akhir untuk mewakili I.P Minda untuk hadir.

Arahan saat akhir untuk saya mengepalai 3 kem serentak bukan sekadar ujian emosional berpisah dengan isteri, bahkan ujian fizikal kerana kem-kem ini berlaku di luar dari Lembah Klang, bahkan lebih dari itu pesertanya pula adalah para pelajar yang dipilih sekolah sebagai antara 'yang bermasalah' dan seterusnya bersama orang-orang yang telah jauh berusia. Benarlah, ujian ini apabila berjaya dilalui dengan tenang, kematangan yang sangat hebat saya perolehi, khususnya untuk 'merakyatkan' bahasa saya dan merumputkan lagi pendekatan kerana audience saya kali ini berbeza dari sebelum-sebelum ini.


Kenangan 3 hari bersama adik-adik SMK Felda Jengka Pusat dan Jengka 2 di Pusat Pemulihan Aqidah JAKIM di Jelebu tidak akan dilupakan selamanya. Adik-adik yang sebelum ini datang dengan 'pelbagai masalah' akhirnya berjaya didekati dengan pendekatan 'outdoor' games. "Jangan mengharapkan adik-adik yang 'istimewa' ini akan mendengar ceramah dan celoteh kita selagi fokus mereka kepada kita belum diraih, mereka belum mengenali, menghormati dan mula mendekati kita", demikian pesan Ustaz Azlan memandu saya untuk menjayakan kem ini.


Selesai 3 hari di Jelebu, saya bergegas seketika ke Kuala Lumpur. Pengalaman walaupun seketika dengan adik-adik Darjah Enam SRK Bukit Jalil cukup memberikan makna. Saya tidak suka bercerita tentang kehebatan orang lain, saya paparkan sendiri nostalgia bagaimana saya mendapat 4 A dalam UPSR saya di SRK Jalan Raja Muda Abdul Aziz belasan tahun yang lalu. Saya sangat terharu apabila adik-adik memberikan tepukan gemuruh kepada saya di akhir saya mengaitkan kenangan 4 A itu dengan kematian ayah saya selepas meraikan kejayaan saya itu.

Kemudian, esoknya saya terus ke SMK Sri Pantai berhampiran dengan UM untuk memberikan sedikit motivasi kepada para pelajar PMR, SPM dan STPM. Cukup mudah untuk bercerita tentang pengalaman sendiri melalui ketiga-tiga peperiksaan besar tersebut kepada adik-adik di sekolah ini. Kerana keadaan dewan terbuka dan angin kuat menggangu layar slide saya, mujurlah saya telah belajar dari pengalaman lepas bahawa perlu sentiasa bersedia dengan plan B iaitu bercakap tanpa slide LCD. Saya berjaya melakukannya kali ini apabila ramai-ramai adik-adik mahu terus saya hadir ke sekolah ini pada masa-masa akan datang.


Kemudian seterusnya, inilah ujian paling besar kepada saya. Buat pertama kali saya memberikan ceramah korporat kepada Syarikat Air Semenyih (ABASS Consortium) seramai 50 orang di Putrajaya. Alhamdulillah, kerana berminda positif dan yakin saya mampu melakukan, saya berjaya memberikan ceramah dan muhasabah bertajuk "Solat : Journey To Success" sehingga Encik Abas Pegawai Besar bahagian Operasi mahu menjemput saya lagi pada masa akan datang. Pendekatan visualization dan muzikal benar-benar selari dengan jiwa mereka yang selama ini hanya terbiasa dengan ceramah-ceramah seperti kuliah-kuliah di masjid.


Kemudian, datang lagi ujian yang sama, namun kali ini bukan satu slot, tetapi 3 hari 2 malam. Bersama ayah-ayah, ibu-ibu yang telah lanjut usia, yang dikategorikan sebagai penduduk miskin tegar. Kem Motivasi anjuran RISDA Kelantan membabitkan lebih 80 peserta warga 40 tahun ke atas dari Parlimen Tumpat, Pasir Puteh dan Machang. Inilah pengalaman pertama saya menyampaikan seluruh slide, modul I.P Minda menggunakan 100 % bahasa dan loghat Kelantan.


Bagi saya, bahasa adalah jambatan ke hati-hati pakcik makcik saya ini. Jika saya berbahasa luar, mungkin saya mencipta 'barrier' dengan mereka yang 100 % dari kawasan kampung dan luar bandar, miskin dan sangat kurang terdedah dengan pendekatan konsultan dan sewaktu dengannya. Alhamdulillah, pelajaran paling besar saya perolehi di sini adalah pentingnya senyum dan 'merakyat' bersungguh-sungguh dengan mereka jika mahu mesej dakwah kita sampai pada mereka. Jangan tunjukkan sangat sifat 'anak muda' kita pada mereka kerana mereka lebih gemarkan pendekatan 'berbual' dan lawak jenaka.


Demikianlah, seminggu yang memenatkan.


Feedback program boleh dilihat di www.aktivisosial.blogspot.com. Terima kasih




3 - 5 Julai 2009, bagaikan mimpi di siang hari. Suatu yang tidak pernah saya duga seumur hidup saya selepas meninggalkan KISAS, untuk kembali ke KISAS secara rasmi, membantu guru-guru melaksanakan misi dakwah dan tarbiyah kepada para pelajar. Namun, itulah yang berlaku kepada saya dan isteri kesayangan saya. 3 - 5 Julai lepas adalah saat yang terlalu manis, sehingga terlalu berat hati ini untuk meninggalkan bumi waqafan tercinta.

Terima kasih kepada Ustazah Rashidah Nor, Cikgu Jamaliah, Ustazah Nik Hazifah kerana memberikan kepercayaan kepada saya dan sahabat-sahabat Alumni BADAR-MTE untuk mengendalikan kem Motivasi Jatidiri STPM-STAM Tingkatan Enam Atas . Terima kasih tidak terhingga kepada sahabat-sahabat dan adik-adik belakang tabir yang bekerja bersama saya menjayakan program dan LDK sepanjang kem.


Terima kasih pada isteri kesayangan saya kerana menjadi juru post mortem yang berkesan kepada saya setiap kali tamat slot indoor dan outdoor, brainstormer yang berkesan untuk modul-modul ice-breaking dan menyantaikan program, serta AJK teknikal dan kawalan PA System yang berkesan membantu penyampaian mesej suamimu.


Terima kasih Zukhairi kerana hadir dan menampilkan suatu qudwah terbaik pada adik-adik Tingkatan Enam, bagaimana individu yang ditarbiyah selama 4 tahun di KISAS akhirnya cemerlang bukan sekadar di pentas akademik STPM dan pengajian undang-undang, tetapi juga pentas kepimpinan mahasiswa selaku mantan Presiden MPP sebuah universiti Islam dan universiti antarabangsa.


Terima kasih adik Izzat dan Asri, kesibukan mengurus kemasukan ke UIAM tidak menghalang kalian menaiki motor untuk berada lebih awal di BTU KISAS sebelum kami sampai. Kehadiran kalian sesungguhnya banyak membantu aspek teknikaliti pelaksanaan slot dan modul. Tanpa kalian, mungkin aspek teknikal akan banyak mengganggu keberkesanan kem. Terima kasih Mohamad kerana sudi hadir dari jauh nun dari Ardul Kinanah, Mesir semata-mata untuk menegaskan kepentingan institusi ulama dan STAM di KISAS.


Terima kasih Amelin yang turut sama hadir menampilkan qudwah pimpinan muslimat 4 tahun di kolej Islam yang terus istiqomah dengan tarbiyah dan amalan kerohanian. Terima kasih Hanisah yang berjaya menjadi moderator forum "mengembalikan kegemilangan KISAS" yang tidak kering gusi adik-adik melayani lawak jenaka bahasanya.


Terima kasih Zahidah walaupun sibuk dengan pengurusan Konsert GAMIS, namun sudi untuk merempit ke KISAS semata-mata untuk bercakap soal kepentingan tarbiyah sebagai asas untuk cemerlang dalam STPM-STAM dan di alam kampus.

Terima kasih pada semua yang tak mampu saya sebutkan nama-namanya di sini.

Insya-Allah, sedikit masa lagi saya upload video kem yang penuh keceriaan, gelak ketawa di awalnya dan air mata keinsafan di hujungnya. Di samping feedback dari adik-adik, insya-Allah.


Saya telah dilamar oleh saudara Shakir dari PTS Milenia untuk menulis mengenai aspek kepimpinan (leadership styles) yang wujud pada Muhamad Al-Fateh. Saya belum menemui tajuk yang sesuai untuk kajian ini, namun mungkin ia sekitar "Al-Fateh : The Super Leader" atau "Al-Fateh on The Art of War " atau mudahnya "Meneladani Kepimpinan Al-Fateh".


Untuk menghasilkan buku ini, aspek kualiti penyampaian fakta dan keunikan kajian adalah keutamaan saya. Justeru, menjadi harapan saya usrah muslimat UZA Wufi yang menerima 'coaching' dari isteri saya akan sudi menjadi tulang belakang projek besar ini. Sudikah kalian ? :)

Lantaran terlalu ramai sifu dan mahaguru perlu saya dan kita aturkan pertemuan dan brainstormnya dari sekarang seperti Ustaz Hasrizal, Prof Abu Hassan, ahli politik Husam Musa, saudara Rausyanfikir, dan sebagainya perlu berada dalam sasaran fasa pertama projek ini.


Antara manhaj (pendekatan) cadangan yang akan saya lakukan terhadap buku ini adalah :

1. Bermula dengan paparan fakta yang ringkas (quotation) yang jarang diketahui ramai mengenai misi al-Fateh
- leteran fakta tidak akan mendominasi buku ini kerana ia boleh diperolehi dalam buku lain
- fakta yang terlalu banyak dan berat hanya membosankan pembaca
- memastikan fakta mengenai al-Fateh benar, sahih atau sekurang-kurangnya menyatakan sumber

2. Fakta memfokuskan kepada aspek kepimpinan dan cara berfikir yang ada pada Muhammad al-Fateh dan para panglima besarnya

- berkemungkinan saya akan memfokuskan kepada 15 teori kepimpinan berpengaruh yang wujud pada Muhammad al-Fateh dan panglima besar di sekelilingnya

3. Huraian fakta dan perkongsian pengalaman penulis dengan suasana semasa anak muda (mahasiswa)

- sharing moment saya sepanjang 2 tahun dalam dunia aktivisme kampus di UIAM dan 2 tahun dalam dunia aktivisme Gamis dijangka mendominasi kandungan buku sebanyak 60 %, khususnya penulisan-penulisan saya sebelum ini di dalam blog sejak ia wujud sejak tahun 2007.

- perkongsian pengalaman saya secara live adalah kunci utama saya mahu menterjemahkan idea yang wujud dalam sejarah Muhammad al-Fateh dengan lebih realistik dengan suasana semasa

4. Dokumen sokongan bersifat kreatif seperti bantuan gambar rajah, gambar lukisan, mind map, peta, dan aspek-aspek aplikasi "otak kanan" untuk menampakkan dengan lebih jelas idea-idea yang saya mahu sampaikan. Kelebihan yang wujud dalam banyak buku-buku penulisan tokoh oleh penulis-penulis di Indonesia menjadi selera saya.


Antara pembongkaran unik yang berbeza dengan penulisan-penulisan terdahulu (previous studies) mengenai al-Fateh oleh ramai penulis adalah :

1. Pembuktian dan penegasan kekebalan musuh al-Fateh (kehebatan seni perang Rome Byzantium, kekebalan strategik kubu Konstantinople, kegagalan percubaan empayar dunia dan empayar Islam menawannya)

2. Kemenangan di Konstantinople adalah kemenangan sebuah "gerak kerja berpasukan", bukan hanya kelebihan bersifat individu yang ada pada Muhammad al-Fateh. Ini sekaligus menyingkap mukjizat di sebalik pengiktirafan Rasulullah kepada mereka sebagai "sebaik-sebaik tentera".

3. Kehebatan dan kemenangan yang diizinkan Allah berlaku di tangan Muhammad al-Fateh bukanlah berlaku secara ad-hoc taskforce ataupun turunnya miracle dari Allah yang memilih sesiapa yang mahu dipilihnya. Tetapi ia berlaku selepas beberapa ratus tahun proses melahirkan generasi "ulama profesional" berjaya dilakukan Usmaniah serta qudwah yang ditonjolkan sendiri oleh para pemimpin kerajaan Islam Usmaniah sebelum al-Fateh dilahirkan. Al-Fateh hanya menerima baton sebagai pelari pecut terakhir yang perlu memintas dengan lebih pantas.

Pendek kata buku ini juga akan memaparkan kejayaan didikan dua buah institusi penting mencorak pemikiran dan perwatakan al-Fateh iaitu institusi kekeluargaan (khususnya peranan ayah al-Fateh Sultan Murad) dan institusi ulama.

Jika telah wujud penulisan yang menceritakan mengenai kehebatan Hassan al-Banna sebagai suami dan ayah kepada anak-anaknya, bukan sekadar sebagai seorang pejuang dan reformis Islam, justeru sebahagian buku ini juga menghampiri pendekatan sedemikian.

Jika PKPIM mampu berbangga dengan buku "Membina Generasi Salahuddin" manakala Karisma pula dengan buku "Membina Generasi Ulil Albab" yang sangat intelektual sifatnya, maka saya mahu melakukan percubaan untuk mengumumkan suatu panduan berguna kepada Jemaah Islam Kampus dan gerakan Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) meningkatkan aspek kepimpinan masing-masing melalui buku ini. Mungkin inilah secebis usaha saya untuk melihat kembalinya wibawa dan pengaruh dominan gerakan mahasiswa Islam di seluruh menara gading. Saudara Dzul Khairi telah menghitamputihkan secara ilmiah hasrat yang sama melalui buku sulungnya, kenapa tidak saya mengikut jejak langkahnya.

Ada beberapa lagi sasaran keunikan penulisan yang akan saya lakukan, tetapi saya perlu meneliti kelemahan beberapa karya mengenai al-Fateh terlebih dahulu sama ada berbentuk tulisan berat mahupun ringan, dalam bahasa Melayu-Indonesia atau Inggeris mahupun Arab. Alangkah bertuahnya saya sekiranya diberikan peluang terbang ke Turki, menyelinap masuk ke maktabah khazanah Usmaniah dan Sultan Al-Fateh yang pernah disebut oleh Ustaz Hasrizal dalam usrahnya kepada saya dan rakan-rakan kepimpinan pada masa itu bahawa masih terlalu banyak dokumen Usmaniah yang belum didedah dan dikaji.

Antara topik-topik penting yang akan menjadi tumpuan saya meningkatkan "mahu", bukan sekadar "tahu" pembaca adalah cara yang betul mendefinisi dan melihat "sejarah" dan "sirah",
- kenapa ramai bosan dengan paparan sejarah
- kenapa ramai yang lebih gemar bersikap nostalgik dan romantis dengan sejarah (berbangga dengan sejarah orang dahulu, namun gagal untuk melakar sejarah sendiri atau be part of the new history).

Rakan-rakan bloggers yang mahu menyumbang karya kreatif mengenai Muhammad al-Fateh, amatlah saya alu-alukan. Yang terbaik dan menarik, pasti akan saya abadikan bersama dalam buku ini sebagai "tinta aktivis mahasiswa" yang dekat dengan saya. Karya anda sama ada berbentuk sajak atau kartun atau lukisan dan sebagainya yang bermotifkan menguatkan aspek "EQ" (sentuhan emosi) dalam buku ini, bukan sekadar "IQ" (sentuhan intelek) semata-mata.

Namun ia tidak bermakna saya mengambil pendekatan novelis yang sememangnya telah ada penulisan novel mengenai Muhammad al-Fateh.

Sentuhan EQ menjadi doktrin saya dalam penulisan ini kerana pengalaman 4 tahun dalam pengajian bahasa dan sastera Arab, khususnya dalam madah syair-syair Arab di mana saya belajar bagaimana tokoh-tokoh Arab era Islam menterjemahkan idea dan sesuatu mesej dengan lebih berkesan apabila ia diselit dengan nada penuh lunak bahasa menyentuh emosi , hati dan lantas membakar semangat.

Sebarang saranan membina topik-topik besar yang mesti turut sama mendapat perhatian saya, amatlah saya nantikan dari rakan-rakan bloggers sekalian.

Saya berkongsi lagi dengan rakan-rakan aktivis DQ.


Siapa yang mengkaji dengan mendalam kronologi 53 hari pengepungan Muhamad al-Fateh ke atas Konstantinople, nescaya pasti akan menemui suatu penemuan menakjubkan bagaimana dalam peperangan memakan masa 2 bulan bagi menembusi kubu tentera terkuat di dunia ini sarat dengan paparan pelbagai pelan strategik al-Fateh.


Ia bukan sekadar cerita pemindahan 70 buah kapal melalui daratan, bahkan fakta bersejarah strategi pemindahan kapal itu bukanlah kemuncak kepada pelan strategik al-Fateh memecah kebuntuan menawan kubu Byzantium itu.


Benar, ia adalah kemuncak chapter aksi "kebijaksanaan" al-Fateh (aspek sunnatullah), namun chapter seterusnya yang jarang dibongkar sejarawan adalah aksi "keberanian" saat akhir para tenteranya melakukan rempuhan akhir dan serangan istisyhad berbekalkan keyakinan yang tinggi kepada Allah (aspek syariatullah), yang diketuai Panglima Ulubate tatkala hampir kesemua tentera sudah mula berputus asa untuk menembusi kubu Byzantium itu.

Saya sendiri sedang meneliti bahan-bahan sejarah untuk mendalami pembongkaran yang mungkin belum dilakukan oleh sesiapa lagi di Malaysia. Saya akan merujuk Ustaz Hasrizal Jamil dan murabbi-murabbi sejarah Islam yang lain yang ada.

Pembongkaran ini mesti dilakukan kerana ia akan menyerlahkan “mukjizat” sebenar sabda Rasul yang memuji mereka sebagai “sebaik-baik tentera” dan “sebaik-baik raja” yang wajar dicontohi untuk memenangkan Islam pada hari ini.


Saya mungkin akan berbincang dengan Prof Abu Hassan Hasbullah yang berpengalaman dalam pengarahan filem dan teater. Al-Fateh mesti difilemkan untuk memudahkan para pejuang Islam nampak lebih jelas satu persatu taktik dan kesungguhan al-Fateh melunaskan janji Nabi S.A.W.

53 hari bukan sekejap, sarat dengan perpindahan taktik dan kelicikan panglima Ardogan dari Byzantium untuk membolosi taktik panglima-panglima perang al-Fateh. Gagal pelan A, Al-Fateh ke pelan B. Gagal pelan B, Al-Fateh ke pelan C, D dan E. Apa yang menakjubkan adalah soal kesungguhan mereka untuk mencapai visi membebaskan Konstantinople.


Filem ini kelak bukan sekadar memaparkan kehebatan al-Fateh sebagai Sultan yang mengepalai segala keputusan yang bersangkut paut dengan perang menghadapi Konstantinople, tetapi juga “tanzim” di bawahnya. Apa yang lebih penting adalah filem ini bukan sekadar paparan one-man show Al-Fateh, tetapi hakikat yang sebenarnya adalah semangat gerak kerja berpasukan (team work) yang wujud dengan nama-nama besar panglima-panglima Al-Fateh yang banyak didiamkan sejarawan Islam.

Filem ini akan membongkarkan para panglima perang di belakang tabir kejayaan yang jarang disingkap sejarawan. Antaranya :

1. Panglima Zakhanus dengan kepimpinannya mengepalai armada laut al-Fateh


2. Panglima Amir Pasya, pakar negosiasi dan misi tenteranya sebanyak 3 kali memusnahkan rantai gergasi (menggunakan taktik bom meriam Urban, rempuhan, gergaji) menghalang kapal al-Fateh ke Tanjung Emas


3. Panglima Palta Oglu yang menggantikan Amir Pasya yang dipecat al-Fateh serta Panglima Hamzah Pasya (Perdana Menteri yang turut sama berperang) yang menggantikan Palta Oglu yang juga dipecat oleh Al-Fateh kerana putus asanya.

4. Panglima Hassan Ulubate dan armada gempur daratannya, kegigihannya merempuh benteng Kontantinople sehingga kepada kegagalan membuka pintu masuk utama walaupun menggunakan rempuhan kayu balak.


5. Panglima Tharthan yang "master" dalam geografi Konstantinople, banyak membantu al-Fateh dalam mengenalpasti kekuatan dan kelemahan geografik kota itu. Beliau juga bertanggungjawab pada jawatankuasa penggalian terowong rahsia untuk mengambil saintis Urban, pengintipan dan menembusi kubu Konstantinople secara bawah tanah, bukan berdepan.

6. Panglima Khalil Pasya dan bala tenteranya yang menyelam dan menyerang dari belakang Konstantinople dan berhadapan dengan tombak-tombak tentera Genoa.


7. Panglima Sulaiman Oglo dan pembabitannya dalam menara Rumeli Hissari, misi pengeboman benteng Konstantinople, pembikinan menara tinggi bergerak dan misi memanjat dinding benteng.


Filem ini akan memaparkan ketinggian martabat perencanaan berdasarkan “sunnatullah” sebagai catalyst kepada peranan tawakkal, iman yang teguh, permesyuaratan para pimpinan dan ketaatan para tentera, serta segala aspek “syariatullah” yang banyak dinasihatkan oleh Majlis Syura UIama al-Fateh yang diketuai Syekh Syamsudin yang bukan sekadar mengetahui soal hukum hakam dan perkara “fundamental” perjuangan, tetapi turut mengetahui soal peralihan arah angin bagi menjayakan misi paling mustahil dalam sejarah iaitu pemindahan 70 buah kapal al-Fateh dalam masa satu malam melalui jalan daratan yang berbukit bukau.

Para ulama di belakang Muhammad al-Fateh

Antara asakan saya untuk menggerakkan minda rakan-rakan aktivis DQ supaya berfikir adalah asakan pemikiran yang telah diungkapkan dengan cemerlang oleh Syekh Munir Ghadhban dalam Manhaj Haraki (ms 200-209).


Saya merumuskan beberapa “takhtih basyariyy” yang sengaja Rasulullah pertontonkan kepada ummat pejuangnya di akhir zaman, walhal baginda adalah Nabi dan Rasul, Jibril berada di belakangnya untuk mengangkat segera segala doa kepada Allah S.W.T untuk dimustajabkan, baginda mampu diberikan mukjizat apa sahaja untuk lolos dari serangan musuh, namun lihatlah apa yang dilakukan Nabi adalah sebaliknya. :

1. Kenapa Allah S.W.T sengaja mewujudkan skrip Ali tidur di tempat Nabi. Perlukah Nabi mengarahkan Ali tidur di situ walhal Nabi boleh “ghaib” begitu sahaja dari rumahnya ?

2. Kenapa Rasulullah - yang dijaga Allah (ismah) - datang ke rumah Abu Bakar pada waktu tengah hari - ketika masyarakat Quraisy sedang qailulah lantaran musim panas - bukan waktu petang atau pagi yang sebagaimana dilazimi selama ini ? Takutkah Nabi kepada pukulan Quraisy atau ia satu petanda Nabi merencana sesuatu perancangan dengan begitu strategik bagi meloloskan diri dari konspirasi musuh ?

3. Kenapa perlu Nabi keluar dari rumah melalui lubang tingkap, bukan pintu rumah ? Tindakan pengecut atau tindakan 'siasah panjang nafas' ?

4. Kenapa perlu menuju ke gua, bukan rumah persinggahan ? Kenapa gua Thur yang dikenali sebagai gua paling tinggi di Makkah, sukar didaki dan banyak batu besar, itu yang menjadi pilihan Nabi ? Kenapa mesti 3 hari, bukan sehari dua sahaja ?

5. Kenapa jalan selatan (jalan jauh), bukan jalan utara (jalan pintas) yang diambil Nabi untuk ke Madinah ? Tidak bijakkah Nabi atau itulah kebijaksanaan yang sebenarnya ?

6. Kenapa perlu Abdullah bin Abu Bakar dilantik menjadi ejen perisikan maklumat kepada Nabi ? Bukankah Nabi diberikan kelebihan untuk mampu terus “online” direct dengan Allah S.W.T sebagaimana baginda selama ini menerima wahyu ?

7. Kenapa perlu Asma binti Abu Bakar yang sudah tua, bahkan sedang hamil, diarahkan untuk membawa makan minum kepada Rasulullah dan ayahnya di gua Thur, suatu risiko nyawa yang perlu dilakukan untuk didakinya? Kenapa Asma dimandatkan dengan urusan “kebajikan” manakala Abdullah dengan tugasan “membawa maklumat”, kenapa tidak Asma yang sama juga membawa maklumat ketika membawa bersama makan minum ? Berbezakah tahap lelaki dan perempuan dalam “menguasai dan mengungkapkan semula maklumat” ?

8. Kenapa perlu kambing-kambing Amir bin Fuhairah membersihkan jejak Nabi dan Abu Bakar, walhal Nabi adalah Rasulullah, yang dijaga lagi dipelihara Allah dengan segala macam perlindungan langit seperti yang berlaku ketika kafir Quraisy gagal menjatuhkan batu besar dari atas bukit untuk menghempap kepala Nabi yang sedang sujud ?

9. Kenapa perlu seorang musyrikin bernama Abdullah bin Uraiqith digunakan untuk menunjuk jalan Nabi ke Madinah, bukannya muslimin para Sahabat yang sedia ada ?

10. Apa perlu Abu Bakar berkinayah dengan Arab Badawi yang bertanya siapa mereka ? Bukankah Abu Bakar itu gelarannya “As-Siddiq” dan kental imannya kepada Allah, tidak perlu gentar andaikata berterus terang sekalipun ?

Demikianlah sang Rasul memberikan isyarat dan petunjuk kepada kaedah memenangkan perjuangan Islam di akhir zaman. Rasulullah bijak menyusun atur posisi dan potensi tenaga kerja manusia serta melakukan perencanaan strategik dan teliti kerana masa depan skrip 10 tahun Madinah yang akan mensyumulkan wajah Islam itu kesemua bergantungharap kepada berjaya atau gagalnya misi Hijrah.


Persoalan paling besar dari 10 asakan minda di atas, kenapa Rasulullah dan para Sahabat yang pastinya mahu bertemu segera dengan Allah melalui jalan mati syahid di Makkah tidak melakukan istisyhad apabila serangan musyrikin Quraisy kian memuncak ke atas Nabi di Makkah ? Kenapa perlu “skrip” Hijrah diwujudkan Allah yang mengundangkan fasa lebih besar sejarah Nabi iaitu fasa Madaniyyah (fasa kemenangan dan pemerintahan) ?

Demikianlah “mukjizat” Hijrah mendedahkan betapa bertanzimnya gerakan hijrah Rasulullah, bermula bukan sejak turunnya perintah hijrah dari langit, bahkan ketika Rasulullah bersungguh-sungguh memburu wajah-wajah baru lantas mencari “kader-kader” berpotensi dari Madinah yang datang ke Makkah mengerjakan umrah, Rasulullah memperkenalkan Islam dengan skill tarbiyah “promoting” yang diterimanya dari Siti Khadijah ketika berniaga dan berulang-alik ke Syam-Makkah.


Tanzim itu adalah menyusunatur "2 P" dengan efektif :

- “positional” tentera
- “potensional” individu berkepakaran

dalam gerakan. Hijrah memaparkan Rasulullah menyusunatur kedua-dua mafhum tanzim ini dengan baik :

1. Lajnah Siasah
- dalam soal propaganda mengelirukan musuh dengan Ali di tempat tidur, kinayah dalam tutur bicara dengan Arab Badawi yang ditemui ketika musafir hijrah
- dalam soal kerahsiaan pergerakan seperti keluarnya Nabi di waktu tengah hari ke rumah Abu Bakar, keluar melalui lubang tingkap, dihilangkan jejak langkah baginda dengan kambing Amir bin Fuhairah

2. Lajnah R & D – dalam soal perolehan Abdullah bin Abu Bakar terhadap maklumat dan fakta yang sahih mengenai bual bicara masyakarat Quraisy dan misi konspirasi membunuh Nabi, fakta gua mana paling tinggi dan jarang didaki, fakta siapa yang paling mahir jalan dan lorong-lorong ke Madinah walaupun dia bukan Muslim

3. Lajnah Kebajikan - yang dimandatkan kepada Asma binti Abu Bakar untuk membawa makanan dan minuman walaupun beliau sangat tua dan hamil untuk mendaki Gua Thur

4. Lajnah Penerangan – yang dimandatkan kepada Abdullah bin Abu Bakar dan bukannya kepada Asma binti Abu Bakar kerana kelebihan Abdullah dalam mengungkapkan dengan tepat hasil risikan yang dilakukan kepada masyarakat Makkah

5. Lajnah Ekonomi – tarbiyah “the best product with the best promoter” yang diterima baginda sepanjang pengalaman tijarah membantu baginda mempromosi Islam dalam laras bahasa yang ringkas tetapi penuh makna kepada segelintir masyarakat Madinah yang mengerjakan umrah di Makkah sehingga membawa kepada Baiatul Aqabah, peristiwa besar memangkin kepada kejayaan Hijrah

6. Lajnah Tarbiyah – supaya sentiasa tegar keyakinan dengan bantuan Allah selepas segala ikhtiar “sunnatullah” dilaksanakan. “Allah bersama kita walau apa keadaan sekalipun menekan kita” dibuktikan (surah at-Taubah : 40).

Ketika berbicara dengan rakan-rakan aktivis mahasiswa DQ mengenai kepentingan bertanzim dalam perjuangan gerakan Islam, antara asakan pemikiran baru yang saya tegaskan adalah bahawa perjuangan Islam secara bertanzim (dalam definisi kerja berpasukan dan saling kukuh mengukuhkan antara satu sama lain) bukan sekadar tuntutan Syariatullah - yang dalil-dalilnya bersifat “maqru’ah” dari al-Quran dan As-Sunnah dan athar para sahabat - seperti kata-kata terkemuka Saidina Ali mengenai kebenaran tidak bertanzim akan ditumpaskan kebatilan bertanzim, tetapi juga tuntutan Sunnatullah, yakni peraturan Allah di alam semesta raya ini kepada jatuh bangun tamadun dan menang kalah sesebuah perjuangan.

Sunnatullah ini sifatnya “manzhurah” (mesti diteropong), dan sudah pasti asasnya adalah "universal proofs" yang bernama sejarah, khususnya sejarah dan sirah perjuangan Islam itu sendiri. Lantaran itu sepertiga Quran adalah sejarah, sarat dengan secret codes tersirat untuk membaca formula-formula kemenangan.

Sejarah tidak akan menipu, ia akan berulang dan kembali ke "titik mula orbitnya" di zaman ini. Persis seperti bumi yang mengelilingi matahari, bulan mengelilingi bumi, proton dan neutron mengelilingi atom, hujjaj mengelilingi Kaabah, ia pasti akan mengulang putaran dari titik asal ia bermula. Sejarah akan terus mengorbit dan tidak akan berhenti.


Bukan main 'geram' isteri saya apabila mendengar ada celoteh bernada bisikan beberapa muslimat mendefinisi “sunnatulah” dengan begitu simplistik semasa berusrah dengan YB Khalid Samad atas jemputan rakan-rakan aktivis UM baru-baru ini. Ketika seorang rakan mengasak YB dengan persoalan sejauhmana perjuangan PAS menepati syariatullah dan sunnatullah untuk mencapai kemenangan, isteri saya terdengar ada suara muslimat menyatakan “Sunnatullah itu qadha dan qadar Allah. Memang dah tak boleh ubah. Apa yang nak dibahaskan lagi.”.

Penegasan Imam Hassan al-Banna, Syekh Said Hawwa dan Almarhum Fathi Yakan Mengenai Hakikat "Tanzim" Perjuangan Islam Satu Tuntutan Sunnatullah

Imam Hassan al-Banna dalam Majmu’ah Rasail :

“Wahai Ikhwanul Muslimin, kekangilah semangatmu yang membara dengan aqal fikiranmu yang waras. Suluhilah aqal fikiranmu yang waras itu dengan semangatmu yang membara. Dampingkanlah khayalanmu dengan kebenaran yang hakiki dan realiti. Bukakanlah pintu kebenaran itu dengan silauan khayalanmu yang menawan. Janganlah kamu melencong jauh, kelak kamu akan tergantung di awang-awangan. Janganlah kamu MENCANGGAHI KANUN-KANUN ALAM kerana ia sentiasa MENGATASI mu. Sebaliknya hendaklah kamu mengatasinya, MENGALIRKAN ARUSnya dan cuba menggunakan sebahagiannya untuk mengatasi sebahagian yang lain. Sesudah itu tunggulah saat-saat kemenangan, detik kemenangan adalah hampir sekali.”


Syekh Said Hawwa, Memahami Prinsip-Prinsip Amal Islami (Pelajaran Ke -9, Mencari Sunnah Alam dan Bergerak Dengan Berlandaskannya, ms 75 – 79)



“Sesungguhnya setiap suruhan Allah adalah terikat kuat dengan alam sebab musabbab dan sunnah-sunnah Allah di ala mini (yang perlu diperhatikan). Walau bagaimana pun ia seringkali DIABAIKAN oleh sebahagian golongan Islamiyyin. Allah menjadikan kita terikat dengan alam sebab musabbab dan kanun-kanun-Nya. Pun begitu, Allah berkuasa melewati dan mengenepikan kanun alam yang Dia ciptakan seperti yang berlaku pada mukjizat para anbiya’ dan karamah para awliya.

Namun, kita disuruh oleh Allah untuk memperhatikan sebab musabab kanun-kanun alam itu tadi di samping kita meyakini Allah berkeupayaan memberi kemudahan kepada seseorang mukmin yang tidak diberikannya kepada orang lain.
Sebarang pengabaian terhadap jalan-jalan yang telah disyara’kan adalah satu kecuaian.

Kejayaan untuk sampai kepada satu-satu kaedah adalah terikat kuat dengan sunnah-sunnah Alam yang memang mempunyai jalan-jalannya yang tersendiri.
Orang-orang lain telah lama menggunakan jalan ini serta membuat perhitungan yang secukupnya. Malangnya kita cuai dan mengabaikan jalan-jalan dan wasilah yang telah disyara’kan kepada kita.

Begitu juga dalam usaha membentuk jiwa-jiwa manusia, terdapat kanun-kanun sendiri dan berkewajipan kita menyelidikinya. Mencuaikannya adalah satu pengabaian yang jelas. Pertembungan antara umat manusia ada kanunnya. Peperangan ada kanunnya. Penguasaan ke atas sesuatupun ada kanunnya. Kita ingin mencapai beberapa matlamat tempatan dan antarabangsa yang sememangnya sukar, tetapi kita melupakan sebab-sebab yang membolehkan kita sampai ke matlamat tersebut.

Lantaran itu antara tuntutan fardhu kifayah dalam Islam adalah melahirkan mereka yang ikhtisas (professional) dalam semua bidang yang diperlukan umat Islam.



Almarhum Fathi Yakan, Tasawwur Asasi Gerakan Islam (Bahagian Wajib Ada Tanzim Dalam Amal Islami, ms 5 – 6)


“Setiap benda di ala mini wujud mengikut tanzim dan peraturan. Dari bintang-bintang dan planet-planet yang berterbangan di angkasa hinggalah pergantian siang dan malam, dari pertukaran musim-musim, percantuman benih manusia dan haiwan sehinggalah perjalanan hidup dalam tubuh makhluk melalui alat-alatnya hinggalah ke pelbagai undang-undang Allah dalam alam, kesemua tertegak di atas peraturan."

Saya tertarik dengan pandangan kritis Hasbie Muda yang dipaparkan dalam Siasah sebelum ini bertajuk "PAS Anti Perubahan?". Antara kritikan beliau kepada Dewan Muslimat adalah ;


"...Kes kedua – dalam pemilihan Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS sejak 30 tahun kebelakangan ini, tempat Ketua Muslimat tidak pernah diisi oleh ahli dari kalangan non-Ustazah. Dalam PAS tidak sedikit pimpinan-pimpinan Muslimat dari kalangan Profesional yang kompeten. Antaranya Dr Lo’ Lo Ghazali, Dr. Mariah Mahmud, Dr Halimah Ali dan Mumtaz Mad Nawi. Saya tidak pasti apakah kriteria utama yang digunakan oleh ahli-ahli Dewan Muslimat dan membuat pemilihan. Atau apakah calon-calon yang saya sebutkan tadi hanya punyai nilai Al Qowwi (competency) dan tiada sifat Al Amin (integrity).


Walau apapun kriteria yang ahli DMPP gunakan untuk memilih ketua mereka, satu hakikat yang tidak boleh dinafikan adalah Dewan Muslimat PAS masih jauh terkebelakang jika dibandingkan dengan rakan-rakan mereka dalam Pergerakan Wanita UMNO ataupun Sayap Wanita Parti Keadilan Rakyat.

Rakyat tetap akan mentertawakan PAS jika Dewan Muslimatnya hanya menjadi penggerak di belakang tabir dan hanya tahu menguruskan tarbiyah dan dakwah semata-mata. Rakyat juga akan terus mentertawakan PAS jika pimpinan Dewan Muslimatnya hanya mampu bercakap dengan arif tentang hal-hal kekeluargaan, hal-hal akhlak Islamiyah dan soal bagaimana untuk menjaga suami. Jangan marah jika pihak media pun tidak pernah terfikir untuk mencari pimpinan DMPP apabila timbul apa-apa isu besar negara."


Saya membelek Harakah terbaru, kalau-kalau ada sedikit lampiran pembuktian pada kritikan beliau.

Hasilnya, ada benarnya. Saya kaji secara rawak kandungan Harakah terbaru kali ini, saya mencari-mencari kenyataan dari mana-mana pimpinan Dewan Muslimat di celah-celah dominasi kenyataan pimpinan PAS muslimin dalam Harakah. Ternyata, yang saya temui hanya temuramah dengan Senator Mumtaz, kenyataan Senator Mumtaz mengenai virus H1N1 dan kenyataan Senator Zailah dalam isu royalti petroleum negeri Kelantan.

Selebihnya, sebagaimana jangkaan awal persepsi saya pada Harakah terbaru ini, 60 % kandungannya masih berlegar soal Unity Government, tetapi dalam laras isu yang bersifat terbitan dari isu pokok yang telah diselesaikan itu, antaranya cabaran muzakarah dari Pemuda Pas, sokongan kelab penyokong Pas dan dewan Pemuda Pas beberapa negeri pada keputusan memperkukuh PR, dan kenyataan Harussani yang tidak memihak kepada PAS.

Di celahan saki-baki 40 % isu yang membabitkan pemberian 1 juta Dato Jean Todt, isu keputusan dakwaan liwat DSAI, PRK Manik Urai, saya menemui kenyataan seorang pimpinan Dewan Muslimat. Itulah Senator Mumtaz.


Kenyataan beliau ini dapat saya rumuskan kotak cara berfikirnya :

1. Tidak menggemari isu-isu politik kepartian dan isu-isu yang boleh diulas oleh ramai pimpinan yang lain. Pendek kata, tidak suka dicorak oleh arus 60 % tadi. Beliau lebih menggemari isu-isu seperti wabak H1N1 yang kian menyerang Malaysia kerana ia isu "ummah" yang melangkaui jangkaun kepentingan parti PAS sendiri, sesuai dengan statusnya mewakili PAS dalam Dewan Negara (wan).

2. Tumpuan ulasan beliau bukan kepada aspek pemulihan dan rawatan, tetapi pencegahan (root causes).

3. Mampu melihat sesuatu isu dalam kotak pembacaan peranan yang lebih meluas seperti peranan kerajaan negeri dan NGO.

4. Bukan sekadar ulasan membangkang, tetapi mencadang. Be part of solution, not the another problem to the government.

PAS sememangnya tidak tersilap memilihnya ke Dewan Negara. Soalnya, wujudkah pelapis pemikiran, integriti dan kompetensi Senator Mumtaz dalam kepimpinan mahasiswi Islam pada saat ini ?

Integriti Maya

Sebarang pengambilan mana-mana bahagian daripada tulisan di sini adalah sangat digalakkan untuk disebarkan, namun perlulah mendapat izin daripada Iskandarfateh.

Ataupun, sila beri kredit bahawa anda mengambil mana-mana kenyataan tersebut dari Blog
Iskandarfateh ini.

Terima kasih. Saya sangat hargai kunjungan anda.

Montaj IPTC

Twitter With Me

Profail Blogger


Syaari Ab. Rahman merupakan seorang perunding motivasi terlatih. Profail lengkap beliau di "Hubungi Saya"