Content feed Comments Feed
Showing posts with label Politik Kampus. Show all posts
Showing posts with label Politik Kampus. Show all posts


Kesempatan yang diberikan oleh rakan-rakan Majlis Pro Mahasiswa Nasional dimanfaatkan untuk berkongsi beberapa pengetahuan dan motivasi dari bingkisan sejarah tokoh-tokoh negarawan sejak dari era Ashabul Kahfi, Muhammad bin Abdullah Rasulullah, Umar Al-Khattab ke Sulaiman Al-Qanuni sehinggalah kepada Burhanuddin al-Helmy dan Prof Zulkifli Muhammad.

Pendekatan analisa ini saya ambil dengan harapan supaya rakan-rakan yang bakal bertanding dalam Pilihanraya Kampus tidak lama lagi bukan sekadar bertanding atas sikap taat dan patuh pada arahan perjuangan, tetapi lebih dari itu berlandaskan keinginan yang kuat (burning desire) untuk melakar sejarah yang lebih berbisa pada lapangan politik perjuangan Islam dan pada masa yang sama menggandakan penggilapan potensi diri itu sendiri melalui wasilah MPP.

Lantaran apa yang bakal berlaku pada PRK kali ini, khususnya di kampus-kampus 'panas' sudah pasti mampu mencerminkan kepada mood semasa pengundi muda yang akan menjadi penentu utama mood PRU 13 yang dikatakan sedang memberi kelebihan kepada 1 Malaysia dan Najib Razak berdasarkan analisa Prof Abu Hasan Hasbullah semasa Seminar Khas PAS dan analisanya mengenai PR-BN Selangor.


Beberapa bingkisan sirah perjuangan tokoh-tokoh politik dan negarawan dari rahim perjuangan Islam dibentangkan dengan penuh emosi dan visualisasi oleh saya, apatah lagi urusetia mahu saya membuangkan sikap dan mentaliti "pembangkang" (easy to oppose, not easy to propose) yang dikenalpasti mampu merobek kualiti MPP Pro-Mahasiswa. Saranan saya supaya pimpinan mahasiswa membanyakkan "policy-discussion" mudah-mudahan dapat disambut dengan baik supaya mahasiswa bukan sekadar tahu memberikan pandangan balas kepada isu-isu semasa dalam negara dan dalam kampus, bahkan lebih dari itu mampu melihat dan merespons sesuatu isu dengan lebih "bigger picture" dan dari kaca mata yang mampu menyentuh dan menggertak tangan-tangan sang pembuat polisi di atas sana.

Apa yang lebih mengkagumkan apabila bangkit seorang pimpinan mahasiswa yang memberikan peringatan kepada rakan-rakan lain yang hadir bahawa kini bukan masanya untuk berbangga dan romantis dengan penokohan yang telah dilakukan oleh pembentang (saya), tetapi perlu yakin bahawa setiap diri telah diberi upaya untuk menoreh sejarah dan meletupkan potensi diri masing-masing.

Semoga pertemuan singkat kita tersebut membibitkan tautan ukhuwwah yang lebih berkekalan dan lebih penting dari itu meningkatkan stamina dan motivasi rakan-rakan calon Pro-Mahasiswa dari seluruh Malaysia. Kesatuan ketumbukan dan semangat penyatuan yang sangat jelas kelihatan seperti memberikan isyarat akan ada peningkatan semangat jentera dan seterusnya menambahkan bilangan 'kerajaan' MPP Pro-Mahasiswa.


Antara pesanan saya ketika Liqo Kesyukuran Jentera Pro Mahasiswa UIAM pada 22 Januari lepas adalah :

1. Jangan terlalu ghairah dengan kemenangan. Terimalah ia dengan lafaz istighfar dan pujian mutlak pada Allah. Surah Al-Fatah mengisyaratkan bahawa Rasulullah sendiri diminta untuk bersitighfar selepas kemenangan kerana bimbang ada banyak keterlanjuran strategi. Sama ada saraf mahupun propaganda, mungkin wujud tindakan kita di sebalik kemenangan ini yang mengguris hati kawan dan menjarakkan lawan dari keizzahan dan keindahan Islam, sesuatu yang sangat jauh dari motif sesuatu kemenangan Islam dan boleh mengundang kemurkaan Tuhan. Adalah suatu yang sangat membimbangkan andaikata kemenangan ini mengundang lebih ramai lawan dari kawan, kita berlindung dari Allah S.W.T.

2. Ingatlah pesan Syekh Hashim Siddiq, murabbi Sultan Muhammad al-Fateh ketika beliau memberikan peringatan pada Sultan Muhammad apabila baginda dan seluruh kerabat diraja baginda sedang bergembira atas kejayaan menawan Konstantinople. "Walaupun pada hari ini engkau telah mencapai kejayaan paling besar, biarlah aku menjadi satu-satunya manusia yang terus mengingatkan engkau bahawa engkau adalah HAMBA kepada Allah S.W.T..."

Saya bersama individu-individu utama di sebalik
kemenangan Wufi serta bekas aktivis, saudara Amin Idris,
Fadzly Yusof di Liqo Kesyukuran

3. Adakah kemenangan ini hasil kerja kuat dan jihad ahli berkempen mendekati 18,000 mahasiswa di UIAM atau kemenangan ini hanya menumpang tuah mahasiswa UIAM yang masih menerima tempias deras dari tsunami politik 8 Mac lepas, atau gelombang kemenangan Islam di Kuala Terengganu baru-baru ini, atau dari gelombang perubahan di UM 3 hari sebelum itu ?

4. Adakah kemenangan ini memberikan "makna" kepada semua mahasiswa di UIAM atau kemenangan ini hanya dirasai ahli dan memberi makna kepada jentera Wufi sahaja ?

5. Adakah kemenangan ini berasaskan kekuatan mesej dan daya tarikan parti mahasiswa Wufi itu sendiri atau kerana kekuatan calon itu sendiri sebenarnya ?

Moga persoalan di atas menjadi muhasabah pada saya dan seluruh adik-adik yang telah bekerja keras memenangkan Islam di UIAM. Satu kajian mendalam perlu dilakukan terhadap dokumen keputusan pengiraan undi dalam PRK kali ini. Setiap angka yang tercatat kepada calon kita mahupun calon lawan mestilah diteliti untuk mengukur sejauhmana keutuhan pertapakan kita dan penerimaan gerakan mahasiswa Islam Wufi di UIAM pada pandangan massa di UIAM. Kita hanya 2 % dari jumlah mereka, adakah kewujudan kita turut dirasai 98 % untapped market di UIAM.
Saya bersama junior Kisas saya, Mukhlis,
pemenang tertinggi di Kuliyah Undang-undang

Semoga kemenangan ini berasaskan doa para pejuang Wufi di malam hari serta semarak jihad yang benar-benar luarbiasa, supaya kemenangan ini diberkati Tuhan, bukannya istidraj. Saya optimis Wufi akan mencipta sejarahnya yang tersendiri pada tahun ini,lagi hanya berbangga dengan sejarah-sejarah gemilang yang lepas.



Pengajaran Buat Calon PR Kampus

Saturday, December 20, 2008

Jika sentimen kepartian diketepikan, lemah personaliti boleh menjadi punca utama kekalahan ...

"...Beliau masih muda, berkarisma, pemidato yang memikat, peguam yang pintar, punyai ijazah kedoktoran undang-undang dan lulusan universiti terbaik dunia Harvard, penulis yang bijak, back-ground yang memberikan persepsi positif untuk membina hubungan yang lebih konstruktif dengan dunia Islam..Penganalisis politik lulusan Ohio State University, Rizal Mallarangeng menilai kefasihan dan cara Obama berbicara, tekanan suara yang digunakan, gerakan pandangan mata dan gerak tubuhnya, semua ciri yang dimiliki Obama menghasilkan citra pemimpin reformis yang dapat dipercayai dan membangkitkan simpati..." - Taufik Rahman

Saya tidak pasti adakah wujud kajian terbaru mengenai tahap kesedaran politik mahasiswa IPTA selepas Pilihanraya Umum ke-12 baru-baru ini. Sekiranya belum ada, Pilihanraya Kampus (PRK) pada kali ini diharapkan mampu menyediakan jawapan kepada persoalan tersebut.

Sudah pasti kurang tepat untuk bergantung sepenuhnya pada kadar peratusan keluar mengundi sebagai indikator political awareness mahasiswa pasca 8 Mac. Seseorang mahasiswa mempunyai pelbagai sebab dan alasan untuk keluar mengundi atau tidak melihat ia suatu keperluan atau terus memboikot. Seseorang mahasiswa yang keluar mengundi pula mempunyai justifikasi yang pelbagai dalam memberikan undi kepada calon A, bukan B mahupun C (3 penjuru ke atas). Ada yang mengundi kerana wajah dan rupa paras calon, ada yang mengundi kerana tertarik dengan janji manifestonya, ada yang mengundi kerana populariti dan aktivisme calon tersebut dalam kampus, dan ada pula mengundi kerana calon berkongsi ideologi perjuangan atau sentimen kepartian yang sama dengan pengundi, dan tidak mustahil juga ada yang mengundi kerana tawaran kebendaan dan rasuah politik murahan masuk menceroboh kampus.

Peranan pihak universiti sendiri dalam “memfatwakan” hukum mengundi mahasiswa turut sama memberi kesan pada peratusan keluar mengundi. Ada mazhab universiti menyatakan "wajib" dan boleh dikenakan hukuman jika tidak menunaikannya. Manakala kebanyakannya mengambil mazhab "sunat" dan "digalakkan". Kaedah pemilihan anggota Suruhanjaya Pilihanraya Kampus (SPR), kaedah pengesahan penamaan calon bertanding sehinggalah kepada sistem pembuangan undi secara manual ataupun elektronik (e-voting) turut mempengaruhi psikologi calon yang bertanding, jentera dan pendekatan kempennya.

Kesemua faktor di atas sangat mempengaruhi natijah akhir sesebuah keputusan PRK, adakah kemenangan “kem-kem” tertentu mahasiswa, seperti Pro-Mahasiswa ataupun Pro-Aspirasi, sebuah kemenangan demokratik, yang benar-benar mendapat mandat kelompok majoriti mahasiswa atau ia sebaliknya sebuah kemenangan yang tidak berkrebiliti dan penuh pertikaian. Apalah gunanya kem parti A mendabik dada menyatakan mereka menang besar di kebanyakan kampus, walhal peratus yang keluar mengundi merosot. Atau kerusi Majlis Perwakilan Pelajar yang dimenangi itu telah digazetkan fungsinya tidak lebih sekadar “pengawas sekolah” dalam kampus. Atau sistem pertandingan yang diwujudkan anti-demokrasi, anti-intelektual, sarat dengan prima facie berlakunya penipuan di sana sini.

Tidak dapat dinafikan wujud beberapa desas-desus dan ramalan politik kepada PRK kali ini. Antaranya gelombang perubahan rakyat semasa 8 Mac lepas akan ‘berjangkit’ kepada golongan mahasiswa, khususnya kampus-kampus senior di Lembah Klang yang pelaksanaan PRK dengan wujudnya pelbagai parti-parti mahasiswa telah berlaku lebih dari 10 tahun yang lepas. Sindrom “nafikan 2/3 majoriti !!!” atau slogan “wujudkan pembangkang yang kuat !!!” untuk proses semak dan imbang adalah antara slogan-slogan yang diyakini akan meresap masuk dengan mudah dalam benak pemikiran para pengundi intelektual (k-voters) ini.


Ini juga berdasarkan teori mahasiswa bukan sekadar (bahkan tidak sepatutnya) reaktif (terikut-ikut) dan responsif (kena tempias) dengan arus perubahan politik nasional di luar kampus, bahkan sepatutnya mahasiswalah yang menjadi initiator (pencetus), de facto dan pencorak perubahan pemikiran mahasiswa itu sebelum perubahan lebih besar merebak ke dalam pemikiran, sikap dan pendirian rakyat. Namun demikian, siapalah yang berani menyatakan ‘tsunami’ politik 8 Mac 2008 adalah berpunca ‘tsunami’ 2 Oktober 2007 ! Apa sangat ‘tsunami’ politik kampus yang berlaku pada PRK tahun lepas. Ramalan Pro-Mahasiswa akan mengambil alih tampuk pemerintahan MPP kampus-kampus utama di Lembah Klang tidaklah kesampaian. ‘Tsunami’ yang diharapkan berlaku, namun ‘gempa kecil’ sahaja yang dapat dilihat apabila kerusi-kerusi pesaing Aspirasi ini hanya mampu ditingkatkan di kampus-kampus utama di Lembah Klang, tetapi masih gagal memperoleh simple majority untuk membentuk kerajaan.

Ada juga desas-desus sebaliknya mengatakan pergolakan politik Malaysia yang sangat deras kini tidak disambut baik oleh golongan silent majority di IPTA ini. Katanya, mahasiswa fed-up dengan tindak-tanduk politikus di luar sana, sama ada pimpinan parti kerajaan yang tidak sudah-sudah dengan sentimen perkauman dan polisi-polisi baru menekan ekonomi rakyat, mahupun pimpinan parti pembangkang yang tidak sudah-sudah dengan aksi lagak ngeri mereka mengambil alih kerajaan melalui “pintu belakang”. Hanya PRK Oktober ini bisa memberikan jawapan kepada negara dan rakyat apakah sebenarnya pendirian atau pemikiran atau pentafsiran tersirat mahasiswa kepada apa yang berlaku dalam negara ketika ini (seandainya mahasiswa pengundi sudi berfikir lebih besar dari semata kriteria calon mana yang boleh jaga kebajikan mereka....)

Harapan saya PRK kali bukan sekadar meningkatkan jumlah mahasiswa yang celik politik nasional dan politik kampus, tetapi lebih dari itu mahasiswa mampu tampil dalam PRK sebagai golongan yang benar-benar berkecuali dan tidak berkepentingan, sentiasa mampu mencipta suasana "pelik bin ajaib, tetapi benar" , dengan tujuan keunikan yang bisa terzahir dalam PRK nanti dapat dianalisa dengan mendalam dan diambil pengajaran sewajarnya. Terimalah penghakiman bersifat tahunan dari mahasiswa (5 kali selama 5 tahun) melalui sebagai platform muhasabah terbaik para pemimpin negara, BN mahupun PR sebelum anda dihakimi 5 tahun sekali oleh rakyat dalam PRU. PRK mungkin akan menjadi "pengadil" sejauhmanakah peranan yang telah mereka mainkan kepada rakyat umumnya dan mahasiswa khususnya selepas pesta demokrasi 8 Mac dilabuhkan tirai, sama ada suka atau tidak suka dengan keputusannya.

Saya mungkin terlalu idealis... kerana saya sendiri tidak pasti sejauhmana faktor kepartian ini menjadi pengaruh besar kepada golongan atas pagar (silent majority) menumpaskan faktor-faktor lain yang telah saya nyatakan di awal tadi. Bahkan belum tentu sesebuah universiti itu membenarkan wujudnya pelbagai parti-parti dan kem-kem mahasiswa. Apatah lagi memikirkan yang ghairah berparti, berpencak dan bersilat dalam pilihanraya kampus ini hanya sekelompok kecil mahasiswa sahaja, sama ada dari kem Pro-Mahasiswa khususnya mahasiswa Islam, ataupun kem Pro-Aspirasi, atau kem bebas tanpa parti.


Andaikata benar berlaku penurunan peratus keluar mengundi dalam analisis keputusan PRK MPP 2008/2009 nanti, sama ada di sesebuah kampus mahupun penjumlahan dari semua kampus, maka apa yang dikatakan desas-desus nampaknya sudah menemui asas untuk bertukar menjadi sebuah fakta paling menakutkan para pemimpin negara dan politikus pada hari ini, jika sebarang usaha remedy & recovery tidak dilakukan segera. Tidak perlu pelik jika itu yang akan berlaku kerana Pilihanraya Kampus kali ini seperti biasa berlangsung dalam keadaan AUKU adalah AUKU. “Lembaga berhantu” mahasiswa itu tidak sempat menemui ajal pindaannya mahupun pemansuhannya akibat akta DNA yang dilihat lebih penting dan segera oleh Pak Menteri daripada menghadiahkan secebis kegembiraan kepada mahasiswa dengan pemindaan atau pemansuhan AUKU.

Politik tidak boleh dipisahkan dari hidup, hidup juga tidak boleh terpisah dengan politik. Orang yang mengirakan diri mereka sebagai tidak minat berpolitik serupa sahaja. Hakikatnya mereka telah diserapmasuk ke dalam mazhab (budaya) politik yang paling dominan, iaitu mazhab bahawa anda tidak perlu berada apa-apa lagi tentang keadaan di sekeliling anda.” – Pramoedya Ananta Toer, sasterawan dan pejuang Soviet.

Nota
Peratus turun mengundi di 15 IPTA yang bertanding dalam PRK 2007-2008 tahun lepas ialah sejumlah 79.88%. USIM mencatat peratusan turun mengundi yang tertinggi iaitu sejumlah 96.71%.

Integriti Maya

Sebarang pengambilan mana-mana bahagian daripada tulisan di sini adalah sangat digalakkan untuk disebarkan, namun perlulah mendapat izin daripada Iskandarfateh.

Ataupun, sila beri kredit bahawa anda mengambil mana-mana kenyataan tersebut dari Blog
Iskandarfateh ini.

Terima kasih. Saya sangat hargai kunjungan anda.

Montaj IPTC

Twitter With Me

Profail Blogger


Syaari Ab. Rahman merupakan seorang perunding motivasi terlatih. Profail lengkap beliau di "Hubungi Saya"