Content feed Comments Feed
Showing posts with label Bedah Buku. Show all posts
Showing posts with label Bedah Buku. Show all posts



"Ottoman History: Misperceptions and Truths" oleh Ahmed Akgunduz dan Said Ozturk cukup menenangkan. Mengapalah baru sekarang saya baru menemuinya. Nampaknya beberapa 'qaul jadid' mesti dilampirkan dalam "Berfikir Gaya Al-Fatih".


Antara isu-isu yang mendapat penjelasan dan pencerahan yang jelas oleh mereka adalah :


- isu "fratricide" (bunuh adik-beradik untuk naik takhta) dan bughah

- isu agama asal Huma Hatun Isfandeyar Bey (ibu kandung Al-Fatih dan isteri ketiga Sultan Murad)

- isu di sebalik poligami 7 orang isteri Al-Fatih

- benarkah Sultan Murad 'lepas tangan' pemerintahan sebanyak dua kali pada Al-Fatih

- sebab sebenar kematian Sultan Muhammad, benarkah Dr Yaqub Pasha meracuninya

- isu lukisan potret Sultan Muhammad oleh Gentile Bellini ketika ada larangan hadis melukis potret manusia

- benarkah Al-Fatih menghukum bunuh Candarli Halil Pasha yang mencadangkan pengunduran dari Konstantinopel hasil pengalamannya sebanyak 3 kali berhadapan dengan tentera Salib

- fitnah kononnya adegan heroisme Hassan Ulubatli adalah sebuah tokok tambah sejarawan untuk penyedap cerita

- fitnah kononya adegan pemindahan kapal tidak berlaku sama sekali tetapi kapal Othmaniyah berjaya akhirnya memusnahkan rantai penghalang masuk ke Tanduk Emas


Hanya primary sources dari Turki mampu menangkis fitnah kepada Sultan Muhammad yang cukup tegar berpegang teguh dengan syariat Islam hingga ke akhir hayatnya.


Namun demikian, usaha menangkis fitnah ini secara akademik tidak seharusnya menatijahkan pentaqdisan Al-Fatih. Jalan tengah adalah sikap terbaik. Justeru saya juga sedang mengkaji sejauhmana kebenaran kisah Al-Fatih tidak pernah meninggalkan tahajjud sejak aqil baligh. Kesahihan kisah ini penting kerana kes-kes riwayat ala "hero-worshipping" tanpa sunber yang kukuh ini mampu membuka ruang pada ummat untuk membuat kesimpulan yang salah dengan mengatakan "Sukar sungguh meneladani Al-Fatih....".


Nantikan "Berfikir Gaya Al-Fatih" !





BEBERAPA MUTIARA PENTING

1. Janganlah melihat kisah pemindahan 70 buah kapal sebagai sebuah kisah ajaib ala 'superman' yang sesuai dimuatkan dalam majalah Mestika dan seumpamanya. Ia adalah kisah kejayaan SIKAP bersedia lebih awal dan melaksanakan secara profesionalisme dan itqan (teliti)

"Setelah menentukan landasan keseluruhan perjalanan, mereka menentukan pula tapak-tapak penting hentian (transit) perjalanan iaitu bermula di Tophane, kemudian ke Bogazkesen, kemudian turun mengarah ke Barat Daya dari Bogazkesen, kemudian rentas naik bukit menuju Lebon Pastry, kemudian lalui puncak bukit di Pera Palace, kemudian tiba di Karimpasa (Tanduk Emas). Ukuran jarak perjalanan telah dikenalpasti secara tepatnya iaitu 980 kaki dari Tophane ke Bogazkesen, 240 kaki dari Bogazkesen ke Tepebasi, 906 kaki dari Tepebasi ke Kasimpasa. Jumlah keseluruhan jarak perjalanan adalah kira-kira 2156 kaki atau sekitar 3 miles (4.8 kilometer). Justeru, jumlah anggaran kapal yang mampu diangkut dalam tempoh satu malam 21-22 April nanti adalah sekitar 50 - 70 buah sahaja." - "Ottoman History: Misperceptions and Truths", Ahmed Akgunduz dan Said Ozturk

MORAL : Tetapkan visi (big picture), tentukan misi-misi, kemudian lihat pada realiti kekuatan tenaga penggerak dan ukurlah baju di badan sendiri, kemudian laksanakan sehabis baik dan bertawakkallah di hujungnya.


2. Jika merujuk tulisan As-Sollabi ketika membicarakan mengenai ketajaman bacaan spiritual Syekh Syamsuddin, kemenangan pusingan pertama Byzantine pada 20 April sengaja 'dihadiahkan' oleh Allah pada mereka untuk melalai dan melenakan mereka dari 'unexpected strategy' yang sedang direncana Al-Fatih untuk mematikan terus pergerakan askar Byzantine. Jika kemenangan seketika (istidraj) ini tidak diberikan, ada kemungkinan strategi pemindahan kapal akan berjaya diintip, dipintas dan digagalkan dengan apa cara sekalipun.

MORAL : Jangan cepat bersangka buruk dengan apa yang Tuhan taqdirkan pada kita. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, tetapi rupanya Allah menyembunyikan kebaikan yang banyak padanya.


3. Meneliti dokumen Ahmed Akgunduz dan Said Ozturk, saya membuat kesimpulan betapa agungnya pemilihan kalimat "Latuftahanna" oleh Rasulullah yang berasal dari perkataan "Al-Fatah" iaitu PEMBUKAAN. 28 tahun selepas PEMBUKAAN Konstantinopel jualah, Sultan Muhammad Al-Fatih MEMBUKA dua buah empayar besar, MEMBUKA 200 buah bandar besar, MEMBUKA sempadan kerajaan Othmaniyyah sehingga 2,214,000 kilometer persegi (3 kali ganda saiz negara Turki pada hari ini). Kejayaan ini bukan kejayaan "one-man show", tetapi hasil sinergi "most competent leading state officers" dan "spiritual commanders".


David Nicolle, John F. Haldon, Stephen R. Turnbull ada merekodkan (halaman 190) sumber fakta yang menyatakan bahawa meskipun Palta Oglu sudah dipecat oleh Al-Fatih akibat kegagalan merencana keselamatan armada laut Othmaniyah dari serangan kapal-kapal gergasi Genoa, namun Sultan Muhammad memberikan peluang semula kepadanya untuk membaiki reputasinya dengan mengepalai sendiri Unit Elit Janissaries untuk serangan akhir pada 28 Mei 1453 Masihi.

Dapatkan anda meneka karakter kepimpinan bagaimanakah yang ada pada Muhammad Al-Fatih ? Apa pelajaran yang boleh diraih ?



“Ketika anda menyaksikan tanah kasar Ioannina, Shkoder and Bosnia, anda pasti akan benar-benar mengenali betapa dahsyatnya ketelitian dan kecanggihan strategi ketenteraan dan usaha diplomatik (Sultan Muhammad) untuk membuka Balkan.” – Profesor Ilber Ortayli, Pengarah Muzium Diraja Topkapi dan Profesor Sejarah di Universiti Galatasaray


Seorang guru pengurusan dan kepimpinan terkenal di dunia pernah ditanya :

Penyoal : “Tuan, hampir mustahil untuk saya mengubah tabiat lama saya. Adakah modul 7 Habit tuan realistik untuk orang seperti saya ? Atau adakah saya ini seorang yang unik ?”

Stephen R. Covey : “Anda tidak keseorangan. Anda bukan orang pertama merasainya. Biar saya terangkan mengapa.

Pernahkah anda melihat penerbangan kapal angkasa Apollo 11 atau menonton video klip atau filem mengenainya ?

Soalan saya kepada anda, waktu bilakah kapal angkasa itu menggunakan tenaga dan kuasa terbanyak untuk berlepas ke angkasa lepas ?



Adakah ketika ia terbang sejauh suku juta batu ke bulan ? Ketika balik ke Bumi ? Ketika mengelilingi bulan ? Ketika pemisahan dan penyambungan semula modul-modul lunar dan kawalan ? Ketika berlepas ke bulan ? Tidak sama sekali. Malah bukan gabungan dari semua itu.


Ia adalah saat ketika Apollo 11 berlepas dari bumi, dan ia berlaku hanya dalam beberapa minit sahaja. Lebih banyak tenaga bahan api digunakan di dalam beberapa minit pertama untuk berlepas dari bumi. Dalam perkataan lain, bahan api dan tenaga dilepaskan paling banyak ketika beberapa batu pertama pengembaraan daripada apa yang telah digunakan di dalam setengah juta batu untuk beberapa hari seterusnya. 

Kenapa ia terjadi sedemikian pada pandangan anda?

Tarikan graviti beberapa batu pertama adalah sungguh kuat. Lantas ia memerlukan tolakan dalaman yang lebih kuat dari tarikan graviti dan rintangan atmosfera untuk menerjah ke dalam orbit. Namun, setelah berjaya mencecah keluar, ia hampir tidak lagi memerlukan sebarang tenaga untuk melakukan semua perkara-perkara lain itu. Malah, salah seorang dari angkasawan itu pernah ditanya mengenai berapa banyak tenaga yang telah digunakan apabila modul lunar tersebut telah berpisah dari modul kawalan untuk mendarat dan menerokai permukaan bulan. Maka dia menjawab. “Kurang dari pernafasan seorang bayi.”

(Sumber : Tabiat ke 8 Daripada Keberkesanan Kepada Keagungan, Stephen R. Covey, terjemahan Mohamad Radzi Zainal, mukasurat 386-387)

Pengembaraan Apollo 11 tersebut memberikan satu metafora yang jelas dan kuat untuk menerangkan pada kita apakah yang diperlukan untuk berpecah dan berpisah dari tabiat-tabiat lama dan mencipta tabiat-tabiat baru. Tarikan graviti bumi yang kuat boleh dibandingkan dengan budaya-budaya masyarakat dan budaya organisasi yang meluas yang mana kita adalah sebahagian darinya. Ini adalah dua daya yang amat kuat, dan anda mestilah mempunyai tekad dalam diri yang lebih kuat daripada kedua-dua daya tersebut untuk menjadikan proses pelepasan itu berlaku.


Islam dan Ops Sikap

Di dalam tradisi kesufian Islam, proses pelepasan dari sikap negatif dan budaya lama itu dipanggil juga sebagai “takhalli”. Ia bermaksud pengosongan dan pembersihan dari sebarang kekotoran dan pengisian. Ia adalah peringkat pertama dari tiga peringkat untuk mendapat darjat kerohanian yang tinggi. Hati, sebagai langkah pertama, harus dikosongkan. Ia mesti dikosongkan dari kecintaan terhadap dunia dan segala keinginan duniawi yang membinasakan. Hati yang sibuk pada dunia, saat ditinggalkannya, sudah pasti akan dihinggapi kesedihan, kekecewaan, kepedihan dan penderitaan. Justeru ia memerlukan satu keupayaan yang dinamakan “mujahadah”. Kemudian, barulah proses “tahalli” atau ‘installation’ iaitu pengisian hati dengan sikap baru dan budaya baru yang lebih diredhai oleh Tuhan dimulakan.


Proses ‘buang tebiat’ atau ‘OPS SIKAP’ sememangnya sukar, namun ketahuilah saudara, kesukaran dan kesusahan itu hanyalah di ‘beberapa minit’ yang pertama sahaja. Ia bukanlah kesukaran sepanjang masa. Apollo 11 mengajar kita hakikat kehidupan. Kesusahan hanyalah ketika mengendalikan secara ‘manual’ di peringkat permulaan, kemudian anda akan saksikan kenderaan diri anda akan selesa bergerak secara ‘auto’ tanpa perlu anda menggelabah lagi. Tekanan yang anda hadapi di peringkat permulaan kini bertukar menjadi kebiasaan, kebiasaan bertukar menjadi hobi, hobi bertukar menjadi karakter (attitude), dan akhirnya penerbangan diri anda yang ‘baru’ menjadi stabil hingga ke akhirnya. Bahan api yang diperlukan pada permulaan itu hanyalah bahan bakar bernama ‘mujahadah’.


Tuhan yang sama mencipta peraturan untuk Apollo 11 melepasi tarikan graviti dan atmosfera bumi, Tuhan yang sama mencipta peraturan untuk manusia melepasi tarikan graviti nafsu yang sangat kuat dan atmosfera kejahatan yang sering mendatangi diri yang mahu melakukan proses perubahan dan pelepasan.


Pernahkah anda mengetahui pengertian “Ramadhan” yang bermaksud panas membakar ? Mungkin soalan berikut akan memberikan kefahaman kepada kita bagaimana indahnya nama sebuah bulan yang dipilih Tuhan untuk disebut di dalam kitab suci Al-Quran dan seterusnya dijadikan bulan latihan berpuasa.


Masihkah anda ingat ketika anda berpuasa pada 1 Ramadhan lepas ? Bagaimanakah perasaan anda ketika jam menunjukkan 1 petang dan anda pula sudah kepenatan akibat separuh hari anda di pejabat tanpa seteguk air pun mahupun sepinggan nasi menjamah perut anda. Bandingkan pula ketika anda berada di penghujung Ramadhan. Pernahkah anda mengunci jam loceng anda agar berbunyi pada jam 5 pagi, namun jam tidak berbunyi dan anda ketinggalan sahur ? Samakah tahap kekecewaan anda tidak mampu bangun bersahur antara hari-hari pertama Ramadhan dengan hari-hari pertengahan dan akhiran Ramadhan ? Anda tetap dapat meneruskan puasa seperti biasa meskipun anda kekadang tertinggal ibadah sahur.



Bandingkan pula anda baru pulang dari solat sunat ‘Idulfitri pada pagi 1 Syawal tersebut, ibu anda menjemput untuk menjamah kuih tat nenas yang dibuanya di atas meja. Bukankah timbul rasa bersalah dan kekok seketika untuk anda membuka mulut dan menghulurkan kuih tat nenas itu ke pintu gerbang perut anda ? Inilah impak 30 hari anda melatih diri untuk berlapar dan berlapar.


Selama 30 hari anda menghadapi tekanan untuk melawan fitrah anda terhadap makan dan minum, kini anda menyaksikan hasilnya. Bukan setakat itu sahaja medan latihan Ramadhan. Selama 30 malam anda menunaikan solat sunat tarawih di masjid dan surau. Tidakkah anda rasa bersalah untuk meninggalkan solat Isya berjamaah di masjid sebaik sahaja memasuki bulan Syawal dan bulan-bulan seterusnya? Inilah impak maksima latihan pengulangan aktiviti yang sama (the law of repetition of action) yang anda telah lakukan di sebalik kemeriahan moreh dan laungan takbir semasa bertarawih.


Bukan sekadar itu sahaja. Allah Maha Bijaksana, programnya juga sudah pasti Maha Bijaksana dan penuh dengan rahsia yang tidak mampu dibongkar dengan akal saintifik manusia yang terbatas. Selama 30 malam anda terpaksa untuk mengubah rutin harian anda dengan bangun di waktu menjelang Subuh. Anda terpaksa bangun untuk bersahur kerana anda tahu bahawa anda terpaksa makan dan minum secukupnya bagi menahan diri dari makan dan minum selama 13-14 jam di siang hari nanti. Tanpa sahur, anda tidak akan bertenaga di siang hari nanti. Anda tahu hakikat itu. Maka anda terpaksa ‘buang tebiat’ bangun selama 30 malam berturut-turut. Sedar atau tidak, bukankah dengan bangun untuk sahur itu, anda punyai lebih banyak masa dan tenaga untuk menunaikan solat malam dan tahajjud yang cukup sukar dilakukan di selain bulan puasa? Bukankah pada solat malam dan tahajjud itu tersembunyi kelebihan yang dahsyat sehingga Nabi yang dijamin Syurga sekalipun sanggup terbengkakkan kakinya akibat solat tahajjud yang diwajibkan ke atas dirinya sama seperti solat fardhu ?


“Dan bangunlah pada sebahagian dari malam serta kerjakanlah solat tahajud pada waktu itu sebagai solat tambahan bagimu semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkan kamu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.” (Surah al-Israa’: 79)


“Puasa paling utama selepas puasa Ramadan adalah puasa (sunat) pada bulan Allah, iaitu Muharam, sedangkan solat paling utama selepas solat wajib adalah solat malam (tahajud).” Hadis direkodkan oleh Imam Muslim di dalam Sahihnya, nombor 1163.


Apabila memasuki bulan Syawal dan seterusnya, tidakkah timbul rasa bersalah untuk anda meninggalkan rutin anda yang baru iaitu bangun malam untuk bertahajjud meskipun anda sudah tidak perlu bersahur dan berpuasa. Demikianlah sahur itu dinaikkan martabatnya oleh Nabi sebagai ibadah berpahala besar, kerana ia hanyalah sebuah ‘proses’ untuk mencapai ‘objektif’ dan 'big picture' Ramadhan itu sendiri iaitu bangun malam dan bertahajjud di sepertiga malam.

Sabda Rasulullah S.A.W : “Barangsiapa bangun untuk menghidupkan malam-malam Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan diampunkan dosa, nescaya Allah akan menghapuskan seluruh dosa-dosanya yang lepas.” (hadis direkodkan Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah)


Tidak cukup sekadar impak maksima Ramadhan pada pembukaan hariannya dengan sahur dan pengakhiran hariannya dengan tarawih. Impak sebenar Ramadhan adalah ketika proses berlapar dan berdahaga itu sendiri. Bayangkan ketika anda berwudhuk untuk solat Zuhur dan Asar pada bulan Ramadhan, atau anda mandi pada waktu tengahari atau petang ketika anda sedang berada di ‘kemuncak’ kelaparan dan kedahagaan, kenapakah tidak anda teguk sahaja air wudhuk atau air mandi tersebut, sekurang-kurangnya untuk menghilangkan dahaga ? Bukankah tidak ada orang melihat anda ketika di bilik mandi, hanya anda dengan diri anda sahaja. Dari manakah kekuatan untuk anda mengatakan “tidak” kepada air wudhuk dan air mandi itu ketika anda mampu melakukannya secara rahsia ? Tiada suara yang menguatkan anda untuk melakukan “learn how to say no” itu melainkan suara hati anda sendiri. Itulah suara hati yang sedang melalui proses fitrah iaitulah pembersihan dari gangguan suara nafsu yang sedang ditambat kuat oleh proses berlapar dan berdahaga.


Justeru, tidakkah selepas meninggalkan Ramadhan, anda punyai suara hati yang fitrah dan kini benar-benar anda ‘merdeka’ dari terus menjadi ‘tahanan’ dan ‘hamba abdi’ kepada suara nafsu ? Bukankah kini “remote controller” iaitu hati anda ‘merdeka’ dari pengarahan demi pengarahan dari suara nafsu ke atas fikiran, mata, lidah, telinga, kaki dan tangan anda ? Bukankah kini anda benar-benar “kembali pada fitrah” (‘idulfitri), anda punyai kekuatan melakukan perkara yang dihalalkan meskipun nampak pahit laluannya dan meninggalkan perkara yang diharamkan meskipun nampak manis jika dapat menikmatinya. Maka inilah taqwa, maqasid (objektif) sebenar dari pelbagai proses latihan “the law of repetition” perbuatan-perbuatan yang sama selama 30 hari berturut-turut dalam bulan Ramadhan.


“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa” (Surah Al Baqarah, Ayat : 183)


“Umar pernah bertanya pada Ubai bin Kaab, ‘Apakah itu takwa?’ Ubai menjawab, ‘Wahai Amir Al-Mukminin, tidakkah engkau pernah memasuki jalan yang penuh berduri?’ Umar menjawab, ‘Ya.’ Ubai berkata, ‘Apakah yang engkau lakukan?’ Umar menjawab, ‘Aku menyingsingkan seluarku dan memerhatikan kakiku. Aku meletak satu langkah demi satu langkah dengan cermat kerana takut terkena duri.’ Ubai berkata, ‘Itulah takwa!’


Sabda Rasulullah S.A.W : “Siapa yang tidak meninggalkan kata-kata keji dan perbuatan keji, Allah tidak mengendahkan amalannya meninggalkan makanan dan minuman.”

Begitulah hebatnya proses latihan dan pendidikan dalam madrasah Ramadhan. Inilah “IPT” Ramadhan, Institut Penjanaan Taqwa! 30 hari itu tidak lama berbanding 365 hari iaitu setahun. Namun, tempoh 1 bulan latihan penuh ‘tekanan’ itulah yang menjana momentum ketaqwaan 11 bulan selepas Ramadhan. Sebab itulah Ramadhan itu sendiri membawa maksud “bahan api yang panas membakar”, seperti kisah Apollo 11 tadi.

Maka benar dan bijaklah sabda Rasulullah S.A.W yang menyebut :

“Sebaik-baik amalan adalah yang berterusan meskipun sedikit.” (hadis direkodkan oleh Al-Bukhari dan Muslim).


Maknanya, Rasulullah S.A.W sama sekali tidak menyarankan sikap melakukan sesuatu amalan yang banyak tetapi akhirnya tidak konsisten dari sudut penerusannya.


Berfikirlah Positif Pada Setiap Tekanan dan Ketentuan Tuhan
Proses perubahan sikap telah dimaklumi bukan suatu proses yang mudah dan menyenangkan, bahkan ia satu ujian yang getir yang seringkali cuba dielakkan oleh manusia yang lemah semangat dari menghadapinya. Stephen R. Covey pernah memperkenalkan satu prinsip untuk berfikir positif pada setiap tekanan, ujian dan ketentuan Tuhan ke atas kita dalam kehidupan seharian. Ia dinamakan prinsip “90 : 10”. Prinsip ini menurutnya mampu mengubah hidup kita atau sekurang-kurangnya, cara kita memberikan reaksi kepada sesuatu situasi luar jangka yang berlaku seharian ke atas kita. Prinsip ini menyatakan bahawa :


“10% dari kehidupan anda adalah sesuatu yang sememangnya telah ditaqdirkan berlaku kepada anda, anda tidak mampu mengelaknya dengan apa cara sekalipun. Manakala 90% dari kehidupan seharian anda hakikatnya ditentukan oleh bagaimana cara anda memberikan reaksi kepada taqdir yang berlaku tersebut.”


Apakah maksud prinsip ini ? Marilah kita ambil apa yang baik dari guru pengurusan dan kepimpinan terkenal di Barat ini. Ia membawa maksud kita tidak mampu mengawal sedikitpun 10 % apa yang ditaqdirkan berlaku pada kita. Contohnya, kita tidak mampu mengelakkan kereta kita daripada rosak tiba-tiba di tepi jalan. Kita tidak mampu mengelakkan kapal terbang kita yang lewat sampai hingga jadual kita tergendala. Kita juga tidak mampu mengawal keadaan kita yang terperangkap dalam kesesakan lalulintas. Kita tidak mampu mengawal kesemua 10 % itu tadi. Tetapi, baki 90 % lagi adalah berbeza sama sekali. Kita mampu menentukan keadaan 90 % tersebut. Bagaimana ? Jawapannya, dengan menguasai reaksi anda.


Sebagai contoh, anda tidak mampu mengawal lampu isyarat. Tetapi anda mampu mengawal reaksi anda ke atas situasi ini. Jangan biarkan orang lain memperbodoh anda. Anda mampu mengawal reaksi anda kepadanya. Mari lihat contoh berikut pula.


Anda sedang mengambil sarapan pagi bersama keluarga. Tiba-tiba anak perempuan anda berusia 6 tahun menumpahkan kopi ke atas baju kemeja anda. Anda sememangnya tidak mampu mengawal apa yang baru sahaja terjadi. Tetapi, apa yang berlaku kemudiannya, ditentukan sendiri oleh cara reaksi anda. Anda mungkin marah. Anda dengan suara keras memarahi anak anda tersebut kerana menumpahkan kopi hitam pekat ke kemeja rasmi anda. Kemudian, anak anda menangis teresak-esak. Selepas memarahinya, anda pula pergi mengkritik isteri anda kerana meletakkan cawan kopi tersebut terlalu hampir dengan tepian meja. ‘Perang mulut’ akhirnya berlaku. Kemudian anda pun naik ke bilik anda untuk menukar pakaian. Selepas menukarnya, anda kembali ke bawah dan mendapati anak anda terus menangis dan tidak mampu menghabiskan sarapannya. Anak anda ketinggalan bas sekolah kerana lewat menghabiskan sarapannya.


Isteri anda pula telah bergegas ke pejabatnya kerana masanya juga telah terlewat. Anda meluru ke kereta dan membawa anak anda ke sekolah. Disebabkan kelewatan anda,anda memandu 140km sejam dan melebihi had laju yang dibenarkan. Selepas 15 minit terlewat dan menerima surat saman polis RM 150, anda pun tiba di sekolah. Anak anda terus meluru ke kelas tanpa sempat mengucup tangan anda. Selepas tiba di pejabat 20 minit lewat, baru anda sedari anda tertinggal beg pejabat anda.


Hari anda hari ini bermula dengan sangat malang. Nampaknya, keadaan di pejabat juga akan terus menjadi lebih buruk. Anda hanya mampu mengharapkan supaya dapat balik ke rumah segera. Setibanya anda ke rumah, anda mendapati hubungan anda dengan isteri dan anak anda telah sedikit terjejas dan renggang. Kenapa terjadi kesemua ini ?


Jawapannya, kerana reaksi yang telah anda lakukan pada hanya beberapa minit sahaja pada pagi tadi. Sekarang anda menyaksikan buat kesekian kalinya bagaimana benarnya kata-kata pepatah bahawa “permulaan seringkali menentukan pengakhiran”. Kenapa anda memilih untuk memulakan hari anda dengan begitu buruk? Anda tidak dapat mengawal apa yang telah dilakukan oleh anak anda dan air kopi itu. Tetapi reaksi anda yang tidak sampai 5 saat itu telah menyebabkan seluruh hari anda sangat malang.


Berikut adalah apa yang sepatutnya berlaku pada anda.


Kopi tumpah ke baju anda. Anak anda mula menangis teresak-esak ketakutan. Dengan penuh kasih sayang anda berkata :


“Tak mengapa sayang. Kamu hanya perlu lebih berhati-hati pada masa akan datang.”


Anda mengelap tumpahan itu dengan tuala dan kemudian anda pergi menukar baju dengan tenang. Kemudian anda mengambil beg pejabat anda, anda turun ke bawah semula lantas mendapati anak anda kembali tenang dan selamat menaiki bas sekolahnya. Isteri anda juga pergi ke pejabat pada masanya tanpa menyedari anda sudah menyalin baju lain. Anda pula tiba 10 minit lebih awal ke pejabat dan menyapa dengan penuh keceriaan staff di pejabat anda. Dapatkan anda melihat perbezaannya?


Dua senario berbeza. Kedua-duanya bermula dengan kemalangan yang sama. Tapi kesudahan kedua-duanya berbeza. Kenapa? Kerana reaksi andalah penentunya.


Justeru, hadapilah kehidupan ini dengan manfaat dari prinsip “90 : 10” ini. Apa yang disarankan oleh Stephen R. Covey ini sudah dipintas oleh formula agung dari Tuhan sendiri. Cukup tenang seorang Muslim yang berpegang teguh kepada piagam hidup dari ayat dan hadis berikut.


“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah: 216)


“Sungguh menghairankan perihal orang mukmin itu. Sesungguhnya seluruh perkara baginya adalah baik baginya. Dan hal itu tidak dimiliki oleh siapapun kecuali orang mukmin. Jika dia diberi sesuatu yang menggembirakan dia bersyukur, maka ia menjadi baik baginya. Dan apabila ia ditimpa suatu madharat, ia bersikap sabar, maka itu menjadi baik baginya.”(Hadis direkodkan oleh Imam Muslim)


“Aku berada di atas sangkaan hamba-hambaKu, sekiranya mereka bersangka baik pada-Ku, maka akan ditunaikan (sangkaan itu). Jika mereka bersangka buruk, maka turut akan ditunaikan (sangkaan itu).” (Hadis direkodkan oleh Imam Ahmad dan Ibn Hibban)

Justeru saudara, jika seseorang berkata sesuatu yang negatif pada anda, janganlah cepat melatah dan panas baran. Biarkan bidasan itu berlalu bagaikan membuang air dari gelas. Jangan biarkan komen negatif itu mula menguasai reaksi anda. Berikan reaksi sewajarnya supaya kehidupan anda tidak terjejas keseluruhannya. Ingat, perkataan yang dilafazkan adalah doa, ia punyai kuasa yang tersendiri sama ada baik mahupun buruk.

"Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berbicara yang baik atau diam sahaja” (Hadis direkodkan oleh Imam Bukhari)


Ingatlah saudara, reaksi yang silap memungkinkan anda kehilangan kawan baik, atau anda dipecat atau anda sendiri yang tertekan (stress) berpanjangan. Islam adalah agama yang mengajar umatnya kepercayaan dan keimanan kepada qadha’ dan qadar, menyerahkan segala urusan dan ikhtiar kembali pada Allah dengan penuh redha selepas segenap ikhtiar terbaik dilakukan. Hentikan melatah dan menyalahkan orang lain apabila anda mendapati apa yang dirancang pada awalnya tidak berlaku sebaik yang diharapkan di pertengahan jalan.


“Terima Kasih Rotan!” – Muhammad Al-Fatih

Muhammad Al-Fatih melakar sejarah bukan kerana beliau sememangnya punyai kelebihan atau karamah tertentu dari Tuhan yang tidak dianugerahkan kepada orang lain. Kebarangkalian untuk beliau memiliki karamah tertentu itu tidak menjadi fokus penulisan sejarah mengenai beliau dan sejarawan pada zaman beliau. Muhammad Al-Fatih bukanlah ‘Superman’ yang muncul secara tiba-tiba dari langit untuk menjadi penyelamat kepada umat Islam Othmaniyyah dari gangguan demi gangguan kerajaan Rome Byzantine. Al-Fatih adalah manusia biasa yang punyai ‘zaman gelap’ ketika kanak-kanak sehingga belasan guru-guru spiritual dan para pensyarah yang diamanahkan oleh ayahnya, Sultan Murad untuk mendidiknya namun gagal akibat kedegilannya.


“Telah direkodkan bahawa Sultan (Murad) telah memberikan rotan kepada guru puteranya (Sultan Muhammad al-Fateh) dan membenarkannya untuk merotaninya jika diperlukan.” - Lord Kinross ( The Ottoman Centuries, 1977) -


Remaja mana yang suka untuk dirotan. Ia cukup menyakitkan fizikal dan mental apatah lagi jika dirotan di khalayak ramai. Namun akhirnya Al-Fatih terpaksa mengakui hakikat bahawa beliau adalah anak seorang seorang Sultan yang memerintah sebuah empayar yang besar di era kemuncak kegemilangan. Beliau mula memahami bahawa di bahunya diletakkan harapan setinggi gunung untuk menebus harapan jutaan ummat dan titisan darah puluhan ribu syuhada’ dan panglima-panglima Islam zaman berzaman yang mahu membuka kota kebanggaan Hercules itu. Di hadapan matanya, beliau mula menyaksikan bagaimana dirinya benar-benar telah dipersiapkan sebaiknya oleh ayahnya untuk menjadi pembuka kota Konstantinopel yang dimaksudkan Rasulullah S.A.W.


Menyedari hakikat ini, Al-Fatih mengambil keputusan untuk membuat perubahan ke atas dirinya dan berhenti dari meneruskan sikap negatif dan tabiat lama beliau. Inilah saat dan detik terpenting dalam hidup beliau, sebatang rotan yang telah mengejutkan paradigma selesanya dan lenanya yang panjang dari tanggungjawab untuk merealisasikan hadis Nubuwwah. Ternyata Al-Fatih tidak bersikap mengubah ayah atau ibunya, mahupun mengubah sekolah atau tuan gurunya yang menghadapkan sesuatu keinginan yang tidak menjadi keinginannya pada awalnya. Ketentuan ke atasnya telah diterima dengan positif, lantas dia mengubah sikapnya sendiri.


Kuasa Perkataan “Boleh Jadi”
Tuhan menyebutkan bahawa : “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah: 216)


Dalam kehidupan seharian, kita sering didatangi dengan pelbagai lintasan di hati apabila melihat seseorang atau sesuatu keadaan sekeliling. Seringkali yang menjadi lintasan pertama (1st impression) adalah lintasan yang negatif kerana manusia seringkali mendahulukan pandangan nafsu yang seringkali muncul lebih awal dari pandangan matahati. Benarlah pepatah yang menyebutkan “people always judge a book by its cover.” Hanya dengan menyebut perkataan-perkataan yang positif di bibir sendiri atau diperdengarkan dari orang lain akan mampu membantu seseorang melihat dengan pandangan matahati.

 Mat Luthfi dan Tazkirah "Judgemental" Darinya


Kerapkali terjadi suatu dialog antara saya dan isteri ketika berada di dalam kereta setiap kali kami terperangkap dalam lebih 3 lampu isyarat di hadapan stesen minyak Shell Greenwood. Saya cukup marah dengan mereka yang selalu mengambil laluan mudah di sebelah kiri bahu jalan. Jalan raya di situ hanya mempunyai dua laluan dan kebiasaannya mudah sesak kerana kereta dari pelbagai penjuru perumahan dan menjadi pertemuan lebuhraya utama PLUS-DUKE-MRR2. Keadaan menjadi lebih teruk apabila setiap kali waktu pagi dan selepas waktu pejabat.

Saya : "Kau ingat ni jalan bapak engkau ke, ikut suka hati je mamat ni!" (nada penuh kemarahan)

Isteri : "Abang, bertenang. Boleh jadi dia baru lepas bubuh minyak. Mana ada laluan lain lagi dia boleh keluar melainkan laluan bahu kiri jalan. Boleh jadi dia baru selesaikan anak kecilnya nak ke tandas di stesen minyak itu."

Sungguh berubah saya seketika. Dari keadaan marah bertukar menjadi tenang seketika.

"Ada benarnya juga apa yang dikatakan isteriku itu.", bisik hati saya. Kini, saya mula belajar betapa penting kuasa perkataan "boleh jadi", khususnya apabila saya sendiri yang sudah lebih tiga kali terpaksa melalui bahu kiri jalan itu sendiri dan mengharapkan orang lain pula bersangka baik dengan saya.

Inilah kuasa perkataan “boleh jadi”. Hanya dengan dua patah perkataan ini ia mampu menyelamatkan hari anda dari terjadi sebaliknya.


Sebab itu hidup seorang Muslim jika benar-benar mengikut sunnah Rasulullah, dia akan mendapati hidupnya sepanjang 24 jam penuh dengan ungkapan doa, dari mula membuka mata bangun dari tidur hinggalah ketika mahu menutup mata untuk tidur semula. Inilah ejen kawalan dari langit untuk manusia sentiasa berada dalam kebaikan dan menarik kebaikan-kebaikan itu datang kepadanya.


Perkataan adalah doa. Setiap kali ditimpa ujian, keluarkanlah perkataan-perkataan yang positif kerana ia adalah doa yang sedang didengari oleh Yang Maha Mendengar. Allah memerintahkan hamba-hambanya menyebut doa dengan jelas dan yakin ia akan dimakbulkan, dan bukan sebaliknya berdoa dalam hati.


Pernah terjadi satu dialog antara saya dan anak saudara saya, Jazmi :

Jazmi : “Pakcik, bukankah Allah Maha Mendengar, jadi kalau kita hadapi masalah dan kemudian berdoa dalam hati pun tak mengapa kan Pak Cik ?”

 Saya : “Allah menyuruh kita berdoa dengan menyebut dengan jelas bukan kerana Allah itu tidak boleh mendengar jika kita memperlahankan suara. Doa yang diungkapkan itu kembali pada Jazmi sebenarnya, bukan untuk Allah."
 
Jazmi : “Apa maksudnya Pak Cik ?”

Saya : “Dengan mengangkat tangan, menyebut dengan jelas dan terang sehingga didengari oleh telinga Jazmi sendiri, kemudian memahami setiap lafaz-lafaz doa yang disebutkan, sesungguhnya perkataan positif yang diungkapkan dalam doa itu adalah sebahagian dari penyelesaian masalah yang Jazmi hadapkan pada Tuhan.”


Muhammad Al-Fatih adalah pemuda yang menorah tinta emas dalam sejarah Islam membuka Kota Konstantinopel bukan dengan kekuatan kebijaksanaan fikiran dan teknologi persenjataan sahaja, tetapi dengan kekuatan spiritual dan doa yang tidak putus-putus kepada Allah bersama dengan guru besarnya, Shekh Aq Syamsuddin. Solat fardhu dan solat tahajjud yang tidak pernah ditinggalkan oleh Al-Fatih sejak dari aqil baligh adalah bukti bagaimana anak muda itu mengaplikasikan kuasa doa dalam menjana pemikiran positif. Tanpa doa di celahan rakaat solat fardhu dan tahajjud yang kerap kali dikerjakan, sudah pasti anda akan menyaksikan episod demi episod Al-Fatih berputus asa untuk membuka kota Konstantinopel itu berkesudahan dengan baginda mengundurkan diri dari meneruskan asakan 53 hari ke atas benteng terkebal di dunia itu.


Sesungguhnya Barat memanggilnya sebagai “the law of attraction” atau hukum tarikan, Islam memanggilnya sebagai “doa”, dan saya memanggilnya sebagai “the law of pressure” atau hukum tekanan. Berfikirlah positif, anda mampu mengubahnya !


Terima Kasih Konstantinopel

Pembukaan Konstantinopel pada 1453 Masihi ternyata membenarkan sabda Tuhan bahawa pada setiap kesulitan itu ada kesenangan. Kesulitan 53 hari kepungan itu ternyata tidak lama jika dibandingkan dengan 27 tahun kepungan demi kepungan seterusnya dalam puluhan misi ketenteraan dan pembukaan Muhammad Al-Fatih ke atas tanah-tanah Eropah dan Balkan. Namun, pengalaman menguruskan perang ke atas kota yang mempunyai tembok terkebal dunia dan pelbagai lagi kenangan pahit manis sepanjang 2 bulan menggempur Konstantinopel itulah menyebabkan Al-Fatih melihat cabaran seterusnya sudah pasti lebih mudah untuk dilakukan.


Jika proses membuka Konstantinopel melalui jalan mudah, sudah pasti Al-Fatih akan kekok dengan pengalaman-pengalaman baru dan lebih menyulitkan di masa-masa mendatang, dan sudah pasti kekalahan demi kekalahan pasukan beliau akan dirakamkan oleh sejarah lebih dari kejayaan membuka Konstantinopel. Namun hakikatnya yang berlaku selepas 29 Mei 1453 Masihi adalah berbeza. Al-Fatih cuma tumpas sekali sahaja di Belgrade, namun beliau ternyata sukses dalam majoriti misi pembukaan dan peperangan jihad beliau di jalan Allah untuk membuka Eropah dan Balkan.


Kenyataan berikut membenarkan hakikat bahawa pada setiap kesulitan itu ada kesenangan. Ia hanyalah soal bagaimana anda berfikir kerana apa yang anda lihat menentukan apa anda akan perolehi.


“Between 1461 and 1463, the conquest of the Balkans was accomplished in a similar manner. It is not easy to communicate to a large readership what this conquest entailed and to show how Albania and Bosnia were incorporated into the empire. This difficulty is, in fact, only to be expected, an appreciation of history cannot come from reading and listening alone, as one also needs to have knowledge of the geography of an area being studied. For this reason, my advice to young people today is to try to visit the locations in questions. And when they look at the rugged land of Ioannina, Shkoder and Bosnia, they will really come to recognise the masterfulness and sophistication of the military and diplomatic strategies used by Mehmed in this conquest.” (Ilber Ortayli, “Discovering The Ottomans”, halaman 64)


Terjemahan petikan utama :
 
“Sepanjang tahun 1461 dan 1463, penawanan negara-negara Balkan telah disempurnakan oleh Muhammad Al-Fatih dengan cara yang hampir sama dengan cara penawanan Konstantinopel. Sesungguhnya bukan suatu kerja yang mudah untuk memberitahu kepada sidang pembaca bagaimana peristiwa pembukaan Balkan ini dilakukan dan bagaimana hebatnya Albania dan Bosnia mampu diserapkan masuk ke dalam empayar Othmaniyah. Untuk menghargai sejarah, fakta ini tidak boleh hanya diketahui dengan pembacaan dan pendengaran sahaja. Seseorang mestilah mempunyai pengetahuan yang mendalam mengenai geografi negara-negara Balkan itu. Ketika anda menyaksikan tanah kasar Ioannina, Shkoder and Bosnia, anda pasti akan benar-benar mengenali betapa dahsyatnya ketelitian dan kecanggihan strategi ketenteraan dan usaha diplomatik (Sultan Muhammad) untuk membuka Balkan.” – Profesor Ilber Ortayli, Pengarah Muzium Diraja Topkapi dan Profesor Sejarah di Universiti Galatasaray

Sesungguhnya peluang melakar sejarah dalam hidup anda mungkin hanya datang sekali seumur hidup. Kekadang ia memerlukan sedikit kerja keras dan menanggung sedikit malu hanya untuk menorah sejarah yang tidak akan dilupakan oleh anda sendiri buat selamanya. Yakinlah, sejarah emas itu tidak dinukilkan dengan mudah sebagaimana kota Rom tidak terbina dalam masa sehari.


Sumber : Buku "Berfikir Gaya Al-Fatih", akan diterbitkan tidak lama lagi.

Kredit Gambar : Pustaka Alvabet


Insya-Allah, saya akan pastikan semua naskhah penting 1453 dalam Bahasa Melayu ini akan dijual serentak semasa Seminar Ibrah Pembukaan Konstantinopel pada 28 Mei nanti. Selain kertas kerja panel dalam bahasa Melayu, mudah-mudahan beberapa buah buku yang baru diterbitkan berikut akan singgah ke Malaysia buat pertama kalinya bermula dari Seminar ini insya-Allah.



Berikut adalah sinopsis buku tersebut yang telah saya terjemahkan dari Bahasa Indonesia kepada Bahasa Melayu. Sumber asas sinopsis di Facebook Pustaka Alvabet di sini yang telah menterjemah dan menerbitkan buku ini. 

Pada pandangan saya, sebagai pembaca tegar sumber-sumber Islam dan Barat mengenai Sultan Muhammad Al-Fatih, para pembaca disarankan lebih kritikal dan berhati-hati menganalisa sumber-sumber yang dipetik dari sarjana-sarjana Barat kerana berdasarkan pengalaman saya, tidak sedikit sumber penulisan yang dibimbangi ia tidak disandarkan pada fakta yang sebenar yang disebut dalam manuskrip-manuskrip asal Turki mengenai peristiwa tersebut. Wallahu a'lam.

SINOPSIS


Selama lebih dari seribu tahun, Konstantinopel menjadi pusat dunia Barat. Sekaligus ia menjadi benteng pertahanan Kristian terhadap Islam. Selama itu juga, kota ini tidak terlepas dari ancaman. Namun demikian, ia sentiasa selamat dari apa jua serangan yang rata-rata dilancarkan 40 tahun sekali.


Hinggalah akhirnya, Sultan Usmani, Mehmet II, pemuda 21 tahun yang hauskan keagungan, akhirnya menjejakkan kakinya ke tembok pertahanan kota itu dengan bala tentaranya yang sangat besar. Berbekalkan persenjataan baru lagi canggih, pada April 1453, sebanyak 80,000 pasukan Muslim memulai serangan mereka terhadap 8,000 pasukan Kristian di bawah pimpinan Konstantin XI, Kaisar Byzantium ke-57. Konstantinopel akhirnya jatuh, menandakan juga tersungkurnya kekuasaan Byzantium dan berakhirnya dunia Abad Tengah. Bagaimanakah gambaran pertempuran dramatik yang berlangsung selama lima puluh lima hari itu?


Dengan penyelidikan yang sempurna, buku yang ditulis dengan gaya penceritaan novel ini mengisahkan peristiwa besar dalam sejarah dunia yang  dilupakan tersebut. Jatuhnya Konstantinopel ke tangan bangsa Muslim Turki Usmani pada 1453. Buku ini sekaligus menampilkan persaingan dua tokoh inspirasional, Sultan Mehmet II dan Kaisar Konstantin XI, yang berjuang demi keyakinan agama dan kekaisaran. Lebih dari itu, inilah kisah mengenai momentum dan mata rantai kunci berbagai peristiwa penting dalam sejarah dunia yang telah menghantar Timur Tengah menuju dunia moden.



ENDORSEMENT


“Salah satu cerita paling menarik dalam sejarah dunia. Penuturannya dahsyat, membuat iri para sejarawan.” - Noel Malcolm, Sunday Telegraph


“Tulisan yang hidup dan enak dibaca mengenai pengepungan Konstantinopel. Petunjuk yang sangat baik untuk mengetahui mengapa Istanbul menjadi kota Muslim.” - Philip Mansel, Guardian


“Ulasan Crowley sangat memikat, seperti membaca kisah fiksyen yang hidup. Karakter para tokohnya digambarkan dengan sangat terperinci, membuatkan mereka seolah-olah hidup di setiap halaman.” - Michael Standaert, Los Angeles Times


“Pengepungan Konstantinopel ditulis dengan gaya prosa sungguh bersemangat oleh mantan warga Istanbul, Roger Crowley. Dalam buku ini, kita dihadapkan dengan turutan kisah sejarah yang sangat memikat.” - Silvester Christopher, Daily Express


“Crowley menuturkan kembali kisah pengepungan Konstantinopel dengan begitu dramatis.” - San Francisco Chronicle


“Buku yang cerdas dan memesona! Kisah yang agung, dan Roger Crowley menuturkannya dengan paduan memikat antara wawasan, kecerdasan dan kejenakaan, membuat buku ini menyenangkan untuk dibaca.” - History Book Club


“Sangat menarik! Roger Crowley menonjolkan suatu drama melalui kisah yang mengkagumkan. Dengan rujukan yang kaya, buku ini menggabungkan cerita tentang sejarah ketenteraan dan agama yang saling mempengaruhi.” - The Economist


“Segar dan hidup. Mehmed, Sultan Utsmani berusi 21 tahun, tampil sebagai sosok yang kejam tapi inovatif, berang namun fleksibel, dan - di atas segalanya - tak kenal lelah, penerus kepimpinan Alexander dan para kaisar Romawi sebelumnya yang dia sendiri kagumi seperti halnya para pahlawan Muslim.” - Sunday Times


“Penceritaan yang cepat. Panduan ringkas untuk memahami sejarah panjang permusuhan antara Islam dan Kristen.” - Kirkus Reviews



BIODATA PENULIS

ROGER CROWLEY (lahir pada 1951 di Britain) adalah lulusan Cambridge University. Sebaik sahaja menyempurnakan sekolah rendah dan menengah, beliau menghabiskan masa musim panasnya di Greece (Yunani) untuk membuat barang tembikar. 


Sebaik sahaja tamat pengajian di universiti, anak dari keluarga angkatan laut ini berhijrah ke Istanbul dan mengembangkan minat yang besar pada sejarah Turki. Selama bertahun-tahun, beliau berulang alik ke seluruh kawasan Mediteranian dan mendalami pengetahuan geografi dan sejarah masa lalu wilayah ini. Beberapa tahun terakhir, ia melakukan perjalanan kembali ke daerah-daerah berbahasa Yunani, termasuk dua kali kunjungan ke Gunung Athos, rumah spiritual dalam tradisi Byzantium. 


Kesannya, muncullah karya pertamanya, buku ini: 1453 (2005). Ia juga menulis Empires of the Sea (2008), kisah lanjutan dari sejarah dramatik tentang pertembungan besar abad ke-16 antara dinasti Usmani dan dinasti Hapsburg untuk mengendalikan Mediteranian.


Roger Crowley kerap dijadikan sumber penting tentang sejarah kekaisaran di kawasan Mediteranian, antara lain untuk program In Our Time di BBC, Pusat Analisis Naval di Washington, NATO, dan Hay Festival.



DATA BUKU

Judul : 1453: Detik-Detik Jatuhnya Konstantinopel ke Tangan Muslim

Penulis : Roger Crowley

Penerjemah : Ridwan Muzir

Editor : Muhammad Husnil

Genre : Sejarah

Cetakan : I, April 2011

Tebal : 408 halaman


PROMOSI KHAS

VCD 12 JAM (AUDIO) KULIAH “MENELADANI KEPEMIMPINAN MUHAMMAD AL-FATIH”


Adakah anda terlalu sibuk, perlu mengambil masa agak lama untuk menamatkan buku “Kuasa Kepemimpinan Al-Fatih” ?


Adakah anda mengalami kesukaran untuk menghadiri sesi-sesi diskusi bedah buku dengan penulis ?


Atau anda tidak berpuas hati dengan jawapan penulis dalam sesi Q & A yang diadakan - terbatas masa menjawap -  selepas tamat sesi bedah buku bersama penulis ?


Mendengar ceramah penulis “Kuasa Kepemimpinan Al-Fateh” selama 12 jam ini akan membawa fikiran anda mengembara dengan lebih penghayatan berasaskan pengetahuan fakta yang lebih mendalam. Bahkan, terlalu banyak yang mahu diungkapkan oleh penulis yang tidak sempat dicernakan sebelum ini ketika menulis “Kuasa Kepemimpinan Al-Fateh”.


Hampir 40 % pengisian VCD ini tidak sempat dimasukkan dalam buku Kuasa Kepemimpinan Al-Fateh dek kerana terlalu banyaknya manuskrip yang tidak sempat diterokai (mengambil masa khususnya untuk penterjemahan) dan bahan-bahan rujukan terbaru yang diperolehi dari luar negara.


90 % pengisian kandungan VCD ini pula TIADA (tidak akan dimasukkan) dalam manuskrip buku kedua saya mengenai Legasi 30 Tahun Muhammad Al-Fatih (jika diizinkan Allah untuk disiapkan dalam masa terdekat).


Kelainan penting VCD ini adalah ia sememangnya ilmiah dan berat, hanya peminat sejarah dan pengkaji karakter kepimpinan tokoh-tokoh Islam akan ghairah memaknanya. 


JANGAN mengharapkan atau bertanya adakah ia VCD atau DVD aksi visual atau petikan animasi atau filem mengenai Muhammad Al-Fatih, ia 100 % audio suara penulis yang dirakamkan. Dengan imaginasi dan kekhusyukan mendengarnya, anda akan mampu memaknanya sehingga anda akan temui "Al-Fatih" dalam diri anda, sebuah potensi luarbiasa dalam diri yang selama ini tidak dikeluarkan ke tahap maksimum.


Ia BUKANLAH buku "Kuasa Kepemimpinan Al-Fateh" dalam versi suara. Ia adalah dokumentari bersuara secara kronologikal, dihimpunkan dari pelbagai fakta-fakta sejarah dari pelbagai sumber. Pendengar akan terbuka minda dan lebih menikmati rasa "berguru" (berbanding membaca sahaja) khususnya dalam menganalisa pelbagai sumber termasuk kenyataan-kenyataan musuh dulu dan masakini kepada tokoh yang menerima pujian Nabi S.A.W ini.


Apabila anda sudah memilikinya, anda tidak akan jemu untuk mengulanginya berkali-kali. Anda bisa menjadi ‘klon-klon’ penulis untuk berbicara mengenai Muhammad Al-Fatih dengan penuh kejelasan dan kefahaman. Al-Fateh adalah khazanah ummah! Rahsia kejayaannya berhak dikongsi kepada semua masyarakat, khususnya generasi mahasiswa Islam.


Berasaskan 5 sumber teras dan terbaik mengenai sejarah Sultan Muhammad Al-Fateh iaitu tulisan Syekh Ali Muhammad As-Sollabi, Profesor Mehmet Maksudoglu, Profesor Halil Inalchik, Profesor Ilber Ortayli, Profesor Redzuan Osman, serta puluhan rujukan Islam dan Barat, maka penulis menghasilkan edisi tambahan yang wajib dimiliki oleh semua penggemar dan pembaca Kuasa Kepemimpinan Al-Fateh terbitan PTS Milennia. 


Naskhah buku "Kuasa Kepemimpinan Al-Fateh" (PTS Milennia) adalah "pre-requisite" untuk memudahkan anda faham diskusi ilmiah dalam VCD ini nanti.


“Mereka yang biasa mendengar ceramah saya mungkin merasakan ada kelainan gaya antara yang ditulis dengan yang diucapkan. Membaca teks ketika berucap sebenarnya hanya dilakukan kalau terpaksa, misalnya dalam situasi yang sangat formal. Biasanya teks banyak disesuaikan dengan konteks. Malah seringkali fungsi teks hanya sekadar untuk mengingatkan idea-idea pokok yang hendak disampaikan atau petikan kata-kata dan angka yang sukar dihafal, sedang penyampaiannya dilakukan dengan gaya pidato atau ceramah yang punya seni retoriknya yang tersendiri pula.


Ketika menulis dan berguru pula, banyak imaginasi di kepala hadir selepas menulis. Banyak fakta-fakta terbaru yang kini sedang diteliti yang tidak sempat saya kemaskinikan. Ketika berceramah pula, masa 2 jam di hadapan pendengar yang sangat ramai menyebabkan saya terpaksa menyusun aturan ceramah dengan lebih mengutamakan fakta-fakta yang boleh menarik perhatian pendengar kerana pendengar tidak pernah mengenal siapakah Sultan Muhammad dan pada masa yang sama sangat skeptikal dan cepat bosan dengan "fakta sejarah". 


Justeru, atas keterbatasan ini, saya berhasrat merakamkan kuliah saya selama 12 jam ini. Muhadharah ilmiah dalam VCD ini menyebabkan saya dan pendengar sendiri akan lebih fokus kepada sesuatu bab sebelum melompat ke bab lain, tenang dalam penyampaian tanpa keterbatasan dan kekangan apapun, serta lebih objektif, seimbang dan menyeluruh untuk menyampaikan kesemua fakta-fakta beserta sumber-sumber perolehannya yang berkenaan tanpa bersikap selektif.” – Syaari Ab. Rahman



ISI KANDUNGAN VCD

1. Memahami Konsep Ibrah dan Ulil Albab 

2. Kenapa Saya Perlu Baca 5 Buku Rujukan Ini

3. “Zoom In” Uthmaniyyah Sepintas Lalu

4. Golden Age Uthmaniyyah, Antara Titik Putih dan Titik Hitam

5. Konstantinople, Sebuah Visi Agung Nabi di Ahzab

6. 3 Persamaan Antara Misi di Ahzab dan Misi di Konstantinopel

7. Sepintas Lalu 29 Percubaan Dunia dan 12 Percubaan Tentera Islam

8. Kelahiran Muhammad Al-Fatih dan Pendidikannya Ketika Kecil

9. “7 in 1” : Faktor Kekebalan Konstantinopel Pada 1453

10. Byzantine, Maharaja Paleologus dan Haghia Sophia

11. Fasa 1 : Kepungan Rumeli Hissari, Persiapan Strategik Muhammad

12. Fasa 2 : Deklarasi 6 April 1453, Runtuhnya Tembok Likus, Aksi Palta Oglu

13. Fasa 3 : Kekalahan Pusingan Pertama dan Peristiwa 22 April 1453

14. Fasa 4 : Serangan Serentak 28 Mei dan Sempurnanya Penawanan

15. Fasa 5 : Konstantinopel Selepas Detik 29 Mei 1453

16. Sepintas Lalu 30 Tahun Pemerintahan Al-Fatih

17. Siapakah Syekh Syamsuddin dan Guru-guru Besar Al-Fatih

18. Himpunan Kenyataan Prejudis Barat Mengenai Sultan Muhammad Al-Fatih

19. Bisakah Aku Menjadi Al-Fateh, Rumusan Dari Taskopruluzade Ahmed

20. Impian Besar Saya, Ayuh Hulurkan Tangan


Tempah segera sebelum stok kehabisan. Ia tidak dijual di mana-mana kedai, hanya boleh ditempah atau dibeli langsung dari sesi ceramah-ceramah penulis.

20 Topik Ilmiah ! Hanya RM15 !

“Akan dibebaskan kota Konstantinopel itu, maka sebaik-baik raja, itulah rajanya, dan sebaik-baik tentera, itulah tenteranya.” (hadis direkodkan oleh Imam Ahmad)


NOTA

Meskipun baru berusia hampir 2 bulan, buku Kuasa Kepemimpinan Al-Fateh telah berjaya menduduki tangga keenam terbaik Februari 2011 di carta PTS.


Para Rasul Adalah Manusia Paling Bijak

Saturday, September 18, 2010


Para Rasul adalah manusia yang paling bijak dan cerdik yang dipilih oleh Allah S.W.T. Barangsiapa yang benar-benar beriman dengan rukun iman kepada para anbiya' dan mursalin, ertinya dia akan meneladani aspek kebijaksanaan yang wujud pada setiap para Rasul.

Demikianlah sedikit rumusan yang saya perolehi dari kitab Manhaj Haraki karangan Syekh Munir al-Ghadhban ketika ghairah mengkaji fakta-fakta tersurat dan tersirat di sebalik perang Ahzab (Khandaq) yang menyerlahkan beberapa elemen fathanah (kebijaksanaan) Nabi S.A.W.

“Ketika kita menggunakan istilah kebijaksanaan, kita tidak seharusnya lupa bahawa kita sedang berhadapan dengan Rasul yang turun ke atasnya wahyu Ilahi. Sesungguhnya Rasul dilengkapi oleh Tuhannya. 

Namun kita dalam masa yang sama tetap yakin bahawa Muhammad S.A.W adalah penghulu sekalian anak-anak Adam dan beliaulah sebaik-baik manusia. Jika terdapat di kalangan manusia seorang yang amat bijak, maka baginda lebih bijak daripadanya tanpa syak lagi. Hal ini perlu dijelaskan kerana kita sering menyangka bahawa Muhammad hanyalah sebagai alat untuk menerima wahyu Ilahi semata, kemudian menyebarkannya di kalangan manusia. 

Namun hakikatnya ialah sejak awal-awal lagi Allah telah memilih “yang terbaik” dari kalangan makhluk untuk menyampaikan perutusan-perutusan-Nya. Mereka yang terpilih harus memiliki kebijaksanaan (fathanah), kecerdasan dan kepintaran yang tidak dimiliki oleh selain mereka atau ia bersifat lebih dari yang lain.

Firman Allah S.W.T :
"Apabila datang sesuatu ayat kepada mereka, mereka berkata : "Kami tidak akan beriman sehingga diberikan kepada kami serupa dengan apa yang telah diberikan kepada utusan-utusan Allah". Allah lebih mengetahui di mana Dia menempatkan tugas kerasulan..." (surah al-An'am : 124)

Di sini perlu dijelaskan tentang satu poin yang agak penting ketika kita membicarakan topik pemilihan Muhammad sebagai Rasul. Poin ini ialah pemilihannya sebagai ikutan manusia sejagat, di mana semua manusia boleh mengikut atau mencontohi pembawakannya. Manakala dari aspek wahyu Ilahi pula, ia sudah sampai ke titik penghujung ketika wafatnya beliau. Oleh kerana itu Allah telah memilih dari kalangan manusia juga untuk menyampaikan perutusan-Nya, bukan seorang malaikat.

Firman Allah S.W.T :
"Dan tiadalah yang menghalang orang-orang musyrik itu dari beriman ketika datang kepada mereka hidayah petunjuk, melainkan (keingkaran mereka tentang manusia menjadi rasul, sehingga) mereka berkata dengan penuh hairan : "Patutkah Allah mengutus seorang manusia menjadi Rasul ?" Katakanlah (wahai Muhammad) : Kalau ada di bumi malaikat yang berjalan serta tinggal mendiami, tentulah kami akan turunkan kepada mereka dari langit, malaikat yang menjadi Rasul." (surah al-Isra' : 94-95)

Para pendakwah sering dikejutkan apabila mereka bercakap sesuatu tentang Rasul, tiba-tiba terdengar suara-suara sumbang mengatakan, "Itu adalah Rasul, sedangkan kita bukan Rasul." Sesungguhnya itu adalah kalimah yang benar tetapi ia digunakan pada jalan yang batil. Mereka ingin terlepas dari tanggungjawab dan bebas dari menjalankan suruhan Islam (agar turut sama membijaksanakan diri) dengan berlindungkan ungkapan ini. Benar, beliau Rasulullah dan (perlu diingatkan) juga benar baginda adalah ikutan sejagat (ummat sepanjang zaman sebagaimana dalam surah al-Ahzab : 21).

Jika kita merenung perbahasan ini dari sudut (faktor) kemanusiaan yang dimiliki oleh Rasulullah, kesungguhan baginda memerangi musuh serta perancangan untuk merealisasikannya, maka akan muncul satu perbahasan berikutnya iaitu dari sudut berlakunya beberapa siri mukjizat Ilahi yang mengiringi dakwah Rasulullah S.A.W susulan dari (tindakan) sekumpulan orang mukmin yang berjaya (membawa tentera Islam) meraih kemenangan (dengan faktor kebijaksanaan). Oleh itu kita cuba meneladani baginda dari sudut melihatnya sebagai manusia biasa, seperti dalam kesungguhannya berperang dan sebagainya yang telah disebutkan sebelum ini. Bermula dari sinilah dengan kehendak Allah kita akan mencapai bantuan Ilahi dan keramat Ilahiah yang diberi kepada wali-wali Allah, sebagaimana mukjizat kepada para Nabi dan Rasul yang terpilih.

Syekh Said Ramadhan al-Buthi ketika mensyarahkan maksud 'uswah hasanah' Rasululilah memberikan suatu huraian yang cukup bermakna : 

"Sejarah Muhammad S.A.W menghidangkan kepada kita sejambak contoh utama bagi seorang :

1) anak muda yang waras akal fikirannya (model anak muda)
2) peribadi yang dipercayai keluarga dan sahabat (model sahabat dan ahli keluarga)
3) seorang manusia yang menyeru umat manusia ke jalan Allah dengan lemah lembut dan bersopan santun (model pendakwah)
4) seorang pejuang yang mengorbankan sepenuh usaha dan tenaga demi menyampaikan seruan Allah (model pejuang jihad)
5) seorang ketua negara yang mendayung bahtera pemerintahan dengan cekap dan pintar (model ahli politik)
6) seorang suami yang halus pergaulannya (model suami)
7) seorang bapa yang teliti dan bijak menyempurnakan kewajipan pada anak dan isteri-isterinya (model bapa)
8) seorang ketua turus agung peperangan yang cergas, penuh dengan taktik strategi persediaannya (model ketua tentera)

Kesimpulannya, baginda seorang Muslim yang waras lagi bijak membahagikan masa kepada Allah, keluarga dan sahabat handai. Tidak syak lagi bahawa mempelajari sejarah hidup Muhammad S.A.W ialah memahami semua sudut kemanusiaan itu sendiri"


Rujukan : 
1. Bab 23, Kebijaksanaan Perancangan Kepimpinan, halaman 303-306, kitab Manhaj Haraki dalam Sirah Nabi S.A.W (Jilid 2), Syekh Muhammad Munir al-Ghatban (terbitan Pustaka Darussalam Sdn Bhd)
- kitab dalam bahasa Arab (terbitan Darul Wafa') terdapat dalam mukasurat  291-292 dalam bab عبقرية التخطيط القيادي

2. Bab Peranan dan Perlunya Riwayat Hidup Nabi Muhammad Dalam Memahami Islam, halaman 17-20, Fiqh al-Sirah (Jilid 1), Syekh Muhammad Said Ramadhan al-Buti (terbitan Dewan Pustaka Fajar)

Analisa Buku "Armageddon 2012"

Saturday, September 11, 2010


Pada awalnya, saya tertanya-tanya apa istimewanya buku ini sehingga dilancarkan PTS Islamika dalam bulan Ramadhan yang kebiasaannya buku-buku yang dipromosikan mereka sekitar buku-buku mengenai sejarah Ramadhan dan hikmah berpuasa. Namun apabila membaca bab mengenai “Ad-Dukhan" di bulan Ramadhan dalam buku ini, baru saya merasai rasional dan betapa bermaknanya buku ini – yang saya beli pada 20 Ramadhan baru-baru ini dari Tuan Zahiruddin PTS Islamika - utk saya lebih memaknakan Ramadhan yang baru sahaja berlalu dengan lebih baik.


Buku ini – berjajaran dengan penulisnya yang sedang mendapatkan PhD dalam bidang sejarah dan peradaban - membuktikan dengan pelbagai hujah bernas bagaimana 'segarnya’ setiap kisah di dalam al-Quran. Menjadi sifat sejarah sememangnya akan berulang kerana itu adalah hukum Tuhan dan hukum alam sekaligus. Skrip perang Badar digambarkan penulis akan kembali di akhir zaman dan mukjizat Ramadhan sebagai bulan kemenangan umat akhirnya akan diserlahkan jua oleh Allah S.W.T. Penurunan Al-Quran pada bulan Ramadhan (sebagaimana dalam permulaan surah Ad-Dukhan @ asap tebal global) yang sejajar dengan ayat  mengenai ‘penurunan’ besi (surah al-Hadid) dibuktikan secara ilmiah akan berlaku menjelang ‘the end of world’ yang sebenar-benarnya.


Jika tidak kerana filem 2012 Roland Emmerich, saya menjangkakan mungkin buku ini akan ditajukkan dengan tajuk “Ad-Dukhan Menjelang Kiamat : Asap Tebal Memenuhi Bumi” dan seumpamanya kerana inilah topik paling menarik perhatian saya dan bab paling panjang dalam buku ini iaitu hampir 200 mukasurat atau 35-40 % kandungan buku setebal 558 mukasurat ini.


Di sini pembaca akan menyaksikan kehebatan susunan nas al-Quran oleh Allah S.W.T yang pendek tetapi tajam dalam menyampaikan sesuatu maksud, termasuk hikmah penganugerahan Ramadhan dan malam Lailatul Qadar pada ummat Muhammad S.A.W sahaja. Mungkin atas sebab inilah Nabi Musa dan Nabi Isa berdoa supaya diberikan peluang menjadi umat Nabi Muhammad di akhir zaman, namun hanya doa Nabi Isa diperkenankan dan atas sebab itu baginda akan ‘dikembalikan’ di akhir zaman bagi memenangkan umat Islam umat Muhammad (baca pembuktian al-Quran mengenai kedatangan Nabi Isa di akhir zaman di halaman 302 – 309 buku ini) dan membuktikan janji palsu penyamar Nabi Isa iaitu al-Masih Dajjal.


Meskipun dinamakan “Armageddon 2012” (saya tidak pasti adakah ini tajuk asal penulis atau ‘rebranding’ oleh PTS), Tuan Muhammad Alexander tidak menyebut sedikitpun tentang Armageddon. Apa itu “Ar” dan apa itu “Mageddo”. Mungkin ia telah dihuraikan dalam buku beliau sebelum ini mengenai Yakjuj Makjuj (saya tidak pasti kerana sempat menamatkan bacaannya). Atau mungkin penulis beranggapan buku-buku mengenai Armageddon dan seumpama dengannya telah bertaburan dan berselerakan di kedai-kedai buku Indonesia, suatu yang telah menjadi pengetahuan umum rakyat Indonesia yang kuat membaca, tetapi hakikatnya tidak di Malaysia yang purata pembacaan rakyatnya jauh lebih rendah dari Indonesia.


Bagi saya, mengambilkira tajuk besar buku telah dirupakan seperti itu, sekurang-kurangnya perlu ada keterangan mengenai maksud "Armageddon" tersebut, asal usul perkataan itu dan apa kaitannya dengan hadis-hadis ‘al-Malhamah al-Kubra’ dan nas-nas akhir zaman oleh Nabi S.A.W, perang dunia ketiga atau peperangan yang memusnahkan seluruh teknologi persenjataan serta bagaimana heretan dan hubungkaitnya dengan peperangan akhir zaman di benteng Lud antara al-Masih Dajjal dan al-Masih Isa bin Maryam (Tuan Muhammad Alexander memberi pandangan dan bukti mengenai hadis pembunuhan Dajjal di gerbang Lud ini berkemungkinan besar merujuk pada Lapangan Terbang Antarabangsa Ben Gurion di bandar Lud atau Lydda pada saat ini kerana lapangan kapal terbang adalah pintu gerbang keluar masuk sesuatu Negara).


Manakala mengenai 2012 pula, Tuan Muhammad Alexander hanya mengulas filem “2012” dan menyinggung tarikh 20.12.2012 ramalan Maya ini hanya di mukasurat 1- 42 (dalam bab 1 hingga 4 atau dalam kira 7 – 10 % sahaja dari buku ini) termasuk isu planet Nibiru yang tidak disepakati NASA dan senarai panjang dari Tuan Alexander mengenai ramalan-ramalan Kiamat yang batil dan meleset (hampir 30 kes disenaraikan).


Selebihnya buku ini – hampir 90 % khususnya di bab-bab akhirnya - berbicara mengenai gambaran Kiamat yang sebenar menurut al-Quran dan al-Hadis. Kredit pada beliau atas percubaan berani untuk membuktikan kebenaran nas Ilahi serta tafsir muktabar para ulama sekitar Kiamat dengan fakta saintifik dari pelbagai sumber ilmiah. Bahkan lebih dari itu, nilai keunikan buku ini adalah penulis mengkaji pelbagai ayat-ayat Kiamat di dalam Al-Quran dan kemudiannya tampil dengan suatu presentasi ‘tentatif’ kiamat yang teratur dan menggambarkan perjalanan ‘the end of the day’ secara kronologikal hasil analisa beliau pada maksud setiap patah perkataan dan gambaran Kiamat dari kitab al-Quran dan al-Hadis serta pemahaman jelas pada istilah-istilah penting dunia astronomi.


Meskipun tidak ada bab dalam buku ini yang menyatakan manhaj penulisan dan perujukan beliau dalam kajian 2012 ini, namun penulis menyebut dengan jelas ‘punchline’ dan manhaj penulisannya :

"Meskipun tanggal sebenar kiamat adalah suatu misteri, namun masih ada ruang bagi manusia menganalisis proses ataupun fasa-fasa hari kiamat. Ini dapat dilakukan melalui penghasilan kronologi urutan peristiwa dalam hari Kiamat berdasarkan kajian saintifik ke atas maklumat daripada al-Quran dan al-Hadis” (halaman 548). 

Tahniah Tuan Alexander kerana membentangkan hujah-hujah ilmiah untuk memahamkan isu-isu agama  seperti ini yang biasanya akan dipersepsikan masyarakat sebagai berbaur mitos dan penuh misteri. Sungguh kerja ini bukanlah mudah bagi seorang pendakwah bergelar penulis.


Buku ini dimulakan dengan pendedahan serba sedikit mengenai aspek teknologi penghasilan filem 2012 dan asal usul kedatangan tarikh khurafat itu yang menyanggahi aqidah umat Islam. Namun demikian, Tuan Alexander tidak menyatakan siapa sebenarnya Roland Emmerich dan beberapa ‘big boses’ di belakang tabir filem ini, apakah ‘consistent patterns’ dalam rekod filem-filem terdahulunya lantas menyinggung filem ini dari kacamata hubungkaitnya dalam memartabatkan mesej-mesej tersirat ‘satanic worship’ yang menjadi 'manhaj' pendoktrinan' produk-produk industri perfileman Hollywood.


Namun demikian, buku ini sedikit sebanyak telah mengkaji tentang siapakah Maya dan ketamadunan ‘aneh’ mereka dalam lipatan sejarah yang panjang.

“Maya adalah tamadun yang benar-benar wujud. Ini disahkan berdasarkan bukti artifak yang masih utuh hingga hari ini. Artifak-artifak itu menggambarkan bangsa Maya adalah bangsa yang pernah mencapai kegemilangan dengan tamadun yang tinggi. Mereka mampu membina binaan yang menakjubkan seperti pyramid, istana-istana mewah serta menguasai ilmu astronomi dengan mendalam. Beberapa ahli sejarah bangsa Maya menyatakan antara tahun 250 S.M dan 900 M, bangsa Maya sudah mempunyai ahli astronomi yang mampu menghasilkan kalendar angkasa lepas. Mereka mampu mengkaji arah matahari, bulan dan bintang-bintang secara teliti sehingga mampu meramalkan gerhana bulan dan gerhana matahari dengan tepat.” (Muhammad Alexander, halaman 11)

Tuan Muhammad Alexander membawa bukti bagaimana bangsa Maya sebenarnya tidak menjadikan kalendar mereka untuk meramal masa depan seperti 2012, tetapi ia adalah angkara jahat ahli astrologi Barat untuk menyokong pendapat mereka bahawa kiamat akan berlaku pada 21 Disember 2012.


Beliau sendiri menyebutkan (dalam halaman 25) bahawa nyalaan matahari – setiap kitaran 11 tahun sekali - andaikata terjadi akibat wujudnya ledakan dalam matahari, kesannya hanya menjejaskan sistem telekomunikasi global sahaja seperti satelit, tetapi tidak sampai ke tahap membawa kehancuran bumi yang disediakan ‘atap’ pelindung oleh Allah S.W.T sebagaimana yang diistilahkan oleh Van Allen sebagai “Magnetosfera”. 


Namun demikian, buku ini tidak menjawap persoalan yang bermain di benak fikiran saya yang telah banyak memerhatikan 'consistent patterns' (bukan sekadar simbol dan perlambangan 'agama' Lucifer semata) yang wujud dalam filem-filem box-office Hollywood khususnya selepas runtuhan WTC 11 September (projek painting Islam as the new enemy) :


- siapa di sebalik dukun-dukun astrologi tamadun Mayan itu dan dari ‘siapa’ ilmu itu dipelopori dan bagaimana asal usul dan karakter ‘mahaguru’ tersebut sebagaimana disebut dalam dokumen-dokumen bersejarah seperti The Mayan Prophecies karangan Adrian Gilbert dan Maurice Contterel

- kenapa solar flare atau ‘kuasa matahari’ terlalu ditonjolkan sebagai penyebab Kiamat bumi

- apa di sebalik ‘religious symbolism’ (meminjam istilah Shekh Imron Hussein) yang ada dalam filem 2012 seperti keruntuhan patung Jesus di Rio de Jeneiro, St Peter’s Basilica di Vatican dan kuil di Tibet dan kenapa beliau mengecualikan Kaabah, lukisan Monalisa oleh Leornardo da Vinci, adegan kapal John F. Kennedy menghempap White House dan aksi eksiden ala Princess Diana di terowong

- kenapa ada adegan ‘bahtera penyelamat’ (Farewell Atlantis) yang muncul di akhir filem menuju ke benua Afrika.

- lebih penting lagi, kenapa Barat atau lebih khususnya Yahudi yang menguasai Hollywood beria-ria menonjolkan pada dunia ‘something will happen’ pada 2012 (101 hari selepas 11 September 2012).


Saya yakin Tuan Muhammad Alexander sengaja tidak menulis untuk menjawap persoalan di atas kerana itu di luar dari kerangka fokus kajian ilmiah beliau. Setiap orang ada maqam (kelebihan dan kompetensi) masing-masing. Sudah pasti ini bukan satu kelemahan, tetapi satu keunikan kepada buku ini kerana ia lebih fokus dan mahukan pembacanya hanya fokus – jangan mencapah - kepada persoalan harmonisasi antara pandangan syara’ dan pandangan aqal atau sains dalam menanggapi hari Qiamat secara kronologikal yang benar, lantas menguatkan rukun iman kelima ini.


Justeru saya menantikan pula buku Tuan Khalid Yahya (Muhamad Nurani Maarif) utk ‘melengkap’ dan ‘memantapkan’ lagi karangan Muhammad Alexander ini bagi memberikan manfaat besar pada ummah, khususnya bab Imam al-Mahdi al-Muntazar yang belum disentuh oleh Muhammad Alexander (pada masa yang sama terlalu banyak aliran pemikiran (buku) dan ajaran yang terbabas jauh dalam menanggapi Imam Mahdi dari perspektif sebenar syara’). Petunjuk Nubuwwah menjelaskan bahawa sesungguhnya Dajjal itu akan muncul ketika manusia lupa dari mengingati bahaya dirinya dan fitnahnya atau dimatikan usaha-usaha untuk membicarakan mengenai bahaya fitnahnya.


BEDAH BUKU

Buku ini menjanjikan perbahasan berat dan mendalam mengenai 4 dari 10 tanda besar Kiamat iaitu Dajjal, asal (dukhan), penurunan Nabi Isa dan kemunculan Yakjuj dan Makjuj.

Penulis membuktikan dalam bukunya bahawa setiap perkataan Nabi dalam hadis kronologi 10 tanda besar Kiamat (hadis sahih Muslim dari Huzaifah bin Usaid al-Ghifari) adalah bukan sembarangan perkataan yang dilafazkan. Ia adalah mukjizat dan penulis membuktikan bagaimana 4 peristiwa besar itu saling berhubungan antara satu sama lain secara kronologikal saintifik.


ANJAKAN PARADIGMA SEKITAR NAS-NAS DAJJAL

Buku ini mendatangkan nas-nas yang lebih banyak mengenai Dajjal yang membuka paradigma (cara melihat dan cara mentafsir) saya mengenai Dajjal.

1. Antara perbahasan menarik adalah harmonisasi perbezaan pandangan Syekh Yusuf Abdullah dan Dr Umar Sulaiman al-Asyqar mengenai siapa muncul dahulu selepas Imam Al-Mahdi; Dajjal atau Dukhan ? 

Kerana lafaz-lafaz hadis rujukan masing-masing adalah berbeza tetapi keduanya sahih (Muslim). Ada bab khas mengenai hubungkait Dukhan dengan Dajjal dan bagaimana penulis menyinggung hadis riwayat Imam Tabrani mengenai saat Dajjal – yang muncul dari arah Timur - mengatakan “Aku adalah Allah” (kenyataan paling akhir Dajjal selepas menipu manusia beliau sebagai Nabi Isa) dan hadis mengenai Ibnu Shayyad. 

Contohnya saya baru menemui nas mengenai Dajjal berkuasa di atas bumi selama 40 tahun (hadis riwayat Imam Ahmad, Hanbal, Abdul Razak dilaporkan oleh Ibnu Khaitsam). Selama ini yang saya temui dan banyak dihuraikan secara hikmah oleh Shekh Imron Hussein dalam muhadharah-muhadharah beliau adalah nas mengenai 40 hari Dajjal. Juga hadis mengenai ‘kelajuan’ Dajjal seperti hujan yang ditiup angin (hadis riwayat Imam Muslim dilaporkan oleh Nuwas bin Sam’an).

Yang lebih menarik adalah bagaimana ketajaman pandangan penulis dalam menanggapi nas hadis ini dan disesuaikan dengan kefahaman semasa dunia sains dan teknologi pada saat ini, ia menyebabkan anda merasakan sendiri mukjizat al-Quran sebagai kalam Tuhan yang mukjizatnya sepanjang zaman.


2. Juga mengenai kemunculan Dajjal pada era teknologi mencapai kemuncaknya berdasarkan hadis panjang dalam Sahih Muslim riwayat Nuwwas bin Sam’an. Lebih menarik lagi saya ditemukan dengan hadis panjang lebar dari Imam Muslim dalam Bab Mengingati Dajjal, riwayat Abdullah bin Maqnam (menurut Syekh Nasiruddin al-Albani sanad hadis ini lemah dan lafaznya mungkar, Tuan Alexander menyatakan lafaz/bahasa hadis mungkin sukar difahami kerana keterbatasan capaian ilmu pengetahuan pada saat itu yang belum mampu menggambarkan maksud hadis) mengenai kemampuan Dajjal mengklon manusia atau haiwan dengan tongkatnya melalui 6 fasa pengklonan.


3. Juga hadis panjang dari Abi Umamah al-Bahili (riwayat Ibnu Majah dalam bahagian Fitnah 2, juga ada dalam Sahih al-Jami’ as-Saghir) mengenai fitnah Dajjal itu berlaku pada masyarakat pedalaman yang jahil agama dan cetek pengetahuan.


4. Juga hadis mengenai Dajjal ketika berbentuk manusia normal dan belum ada tulisan ‘kafir’ di dahinya, hadis itu mengenai pemuda syahid yang datang kepada Dajjal bagi mendedahkan identiti Dajjal yang sebenar (hadis sahih Muslim yang panjang riwayat Abu Said al-Khudri daripada Qais bin Wahab daripada Abul Wadak).


5. Juga menarik apabila penulis membawa pandangan Imam al-Qurthubi (15 : 325) yang merekodkan komentar Abu Aliya yang memaksudkan kalimah ‘manusia’ dalam ayat 57 surah Ghafir adalah Dajjal, manusia yang diagung-agungkan oleh Yahudi. Ayat seterusnya (58) yang membawa tema ‘buta’ terus menarik perhatian saya.


6. Cukup hebat juga buku ini kerana Muhammad Alexander menjadi orang ketiga yang menulis secara ilmiah mukjizat surah al-Kahfi sebagai pendinding dari fitnah Dajjal selepas Tuan Khalid Yahya (penulis Membongkar Misteri Dajjal) dan Ustaz Hasrizal Jamil. Tulisan setiap sarjana ini dan bagaimana mereka menyinggung dan mengulas pandangan para ulama cukup tajam dan menyerlahkan mukjizat al-Kahfi secara ilmiah.


Juga menarik apabila menemui hadis “Allah akan membangkitkan Dajjal bersama syaitan-syaitan yang dapat bercakap dengan manusia” sebagaimana dinyatakan oleh Syekh Nasiruddin al-Albani dalam kitab Qishah al-Masih al-Dajjal Ulanuzuli Isa as Waqatlihi Iyyahu.


Kepada mereka yang bermusuh dengan perkara yang dijahilkan (seperti tidak percaya era kemunculan Dajjal adalah era teknologi tertinggi dan kemuncak intelektual manusia atau tidak percaya wujudnya kumpulan-kumpulan rahsia naungan Yahudi pelaksana fitnah Dajjal), disarankan membaca buku ini supaya minda kita sedikit terbuka berdasarkan suluhan Nubuwwah dan pandangan sarjana Muslim. Janganlah kemarahan kita pada mereka yang mendokong pandangan ini hanya kerana ketidakpuasan hati melihat ummah terlalu mudah dipengaruhi video-video yang tersebar di Youtube atau teori-teori konspirasi yang belum dibuktikan atau perkhabaran orang-orang fasiq yang tidak bersedia melakukan pembuktian atas dakwaan mereka apabila diminta. 

Sesungguhnya dakwah Islam ini berjalan ‘ala bashirah dan sarat dengan bayyinaat. Yahudi dan bakal ‘raja’ mereka hanya bergembira menyaksikan kita bertelagah dan berpecah dalam menanggapi makar, fasad dan fitnah jahat mereka dari segenap sudut untuk kembali memerintah dunia sebagaimana disebutkan Tuhan dalam surah permulaan al-Isra’. Allah menyebut sifat pemerintahan mereka sebagai "fasad" dan dalam ayat lain Allah menggunakan perkataan "makar" yang bererti perencanaan yang sistematik sama ada sulit atau terang-terangan.


“…selepas solat, Isa alahissalam berkata, “Buka pintunya!” Lalu mereka membuka pintu itu di mana DAJJAL BERSEMBUNYI DI BELAKANGNYA DENGAN DITEMANI OLEH 70,000 YAHUDI. Masing-masing dengan pedang yang berhias dan jubah (mantel). Apabila Dajjal melihat kepadanya (Isa), dia mencair seperti garam yang mencari dalam air…” (hadis panjang lebar ini diriwayatkan oleh Ibnu Majah no. 4128 dan al-Hakim, 4/436, dia mensahihkannya dan dipersetujui oleh Imam Az-Zahabi).


Membaca buku ini tidak saya maksudkan menerima bulat-bulat segala kandungannya, tetapi sekurang-kurangnya membuka minda segelintir kita yang punyai niat yang suci murni – ketika melata dan ‘liberal’nya pentafsiran Dajjal sehingga terbabas dari maksud sebenar yang disabdakan Nabi - agar pentafsiran Dajjal dikembalikan pada landasan al-Quran dan as-Sunnah, tetapi sayangnya nas-nas komprehensif mengenai Dajjal itu sendiri gagal dibaca kesemuanya atau dihimpunkan sehingga jelas ‘big picture’ Dajjal yang disebutkan oleh Nabi S.A.W di pelbagai tempat dan pelbagai pendekatan.


Antara isu-isu ‘panas’ yang disentuh oleh penulis juga menyangkuti peristiwa asap tebal global (ad-Dukhan : 10-11) akibat hentaman kuat meteor besar (ad-Dukhan : 16) pada bulan Ramadhan (ketika tahap imuniti umat Islam paling tinggi sehingga tidak terkesan dengan asap global itu). Bahagian awal surah ad-Dukhan sendiri dibuka dengan pernyataan mengenai malam yang penuh berkat iaitu malam bulan Ramadhan yang diturunkannnya al-Quran. Penulis membawa pandangan-pandangan dari tafsir al-Qurthubi dan tafsir Ibnu Kathir, serta Sayid Qutub. Penulis juga menyinggung maksud “Ramadhan” iaitu panas membakar serta hadis ‘kontroversi’ (di forum maya Internet) dalam kitab al-Fitan yang direkodkan oleh Imam al-Hafiz Nu’aim bin Hammad, salah seorang guru Imam Bukhari.


TEKNIKAL

Secara teknikalnya pula, saya mencadangkan buku yang mencapai piawaian ketebalan lebih 500 mukasurat seperti ini, jika ada kenyataan yang mempunyai footnote, ia terus diletakkan di bahagian bawah mukasurat, bukan di hujung setiap bab kerana agak menyukarkan pembaca yang sangat ghairah untuk menamatkan segera ‘misteri’ buku ini lantas mahu cepat membuat rujukan dan sumber kenyataan tanpa berhempas pulas mencari di mukasurat mana terkumpulnya nota-nota kaki ini.

SARANAN

Sebelum membaca buku ini, saya sarankan kepada teman-teman yang berada dalam disiplin pengajian sains  tulen dan orientasi pengajian ‘base-evidence’, kukuhkan dahulu diri anda dengan asas-asas ilmu usul tafsir dan ulum hadis. Kepada yang sudah berada dalam disiplin pengajian wahyu pula, kukuhkan juga diri anda mengenai kedudukan akal dan ilmu (sains) dalam Islam dan bagaimana aliran-aliran pemikiran yang wujud hasil ketidakseimbangan antara aplikasi pemahaman wahyu dan akal. Kombinasi asas ilmu syariatullah dan sunnatullah ini penting supaya kita mempunyai disiplin pemikiran yang benar ketika membaca buku-buku mengenai peristiwa akhir zaman yang banyak bertebaran di kedai-kedai buku kini. 

Mungkin artikel Ustaz Hasrizal bertajuk "Mana Pintu Mana Tingkap? (Kemaskini)" atau "Belajar Berfikir" sebagai panduan termudah untuk menyuntik mahu kita mendalami disiplin-disiplin ilmu wahyu ini.

Sindrom pembaca menerima bulat-bulat atau menolak bulat-bulat - dan lebih teruk lagi lebih suka percaya perbincangan ‘kedai kopi’ dari membaca sendiri hasil penulisan seseorang yang dikontroversikan itu - banyak berpunca dari krisis kefahaman antara peranan wahyu dan peranan aqal (kajian). 

Syukur pada Allah S.W.T yang memberikan saya peluang untuk mendalami disiplin ilmu Usuluddin (Ulumul Quran dan Ulumul Hadis) serta Syariah (Ayat Ahkam dan Hadis Ahkam) dan Bahasa Arab di KISAS, MADIWA, Al-Azhar (walau seketika cuma) dan UIAM (khususnya dalam bahasa Arab).

PENUTUP
Tahniah pada PTS dan penulis atas gambarajah yang mempermudah otak kanan pembaca memahami kronologi dan perincian setiap kronologi Kiamat ini meskipun saya memahami pandangan penulis bukanlah satu kebenaran mutlaq dan bisa terdedah pada perbezaan pandangan dari sarjana dan masyayikh lain. Apapun Tuan Muhammad Alexander telah melaksanakan tanggungjawabnya untuk memberikan peringatan pada ummah, Allah sebaik-baik pembalas atas usaha jihad pena beliau.

Bagi saya - selepas membaca buku ini, jika mahu dibuat sesi Bedah Buku atau prebiu kepada buku ini oleh Tuan Muhammad Alexander, saya kira penganjur perlu bersedia menyajikan program selama 2-3 hari penuh (seminar pagi sehingga petang) lengkap, barulah Tuan Muhammad Alexander akan dapat menyampaikan hujah dan pembuktiannya serta methodologi kajian beliau sepenuhnya dalam suatu ‘pengembaraan’ yang tersusun tanpa ada seorang penumpang pun terbabas pemikirannya dalam menanggapi buku ini mahupun nas-nas bersangkutan akhir zaman. Kerapkali kontroversi berlaku dan buku ‘terlalu cepat’ laris di pasaran akibat salahtanggapan pembaca pada apa yang ditulis, bukan apa yang didengar sendiri dari lidah penulis. So, “Don’t judge the book by its cover”.

Integriti Maya

Sebarang pengambilan mana-mana bahagian daripada tulisan di sini adalah sangat digalakkan untuk disebarkan, namun perlulah mendapat izin daripada Iskandarfateh.

Ataupun, sila beri kredit bahawa anda mengambil mana-mana kenyataan tersebut dari Blog
Iskandarfateh ini.

Terima kasih. Saya sangat hargai kunjungan anda.

Montaj IPTC

Twitter With Me

Profail Blogger


Syaari Ab. Rahman merupakan seorang perunding motivasi terlatih. Profail lengkap beliau di "Hubungi Saya"