Content feed Comments Feed


Dan binalah persiapan bagi menghadapi mereka dengan apa sahaja kekuatan yang kamu mampu.” Demikian surah Al-Anfal, ayat ke 60 yang direkodkan oleh Maulana Shekh Al-Kurani dari Sultan Muhammad bin Murad dalam suratnya kepada raja Mesir, Al-Asyraf Inal menyatakan dengan jelas faktor kejayaannya membuka Kota Konstantinopel.


Pembukaan kota Konstantinople oleh Sultan Muhammad Al-Fatih merupakan satu peristiwa bersejarah dalam perkembangan Islam. Profesor Redzuan Othman menyatakan bahawa kejayaan yang dicapai Sultan Muhammad ini merupakan gabungan inspirasi yang membakar semangat dari para ulama, perancangan yang rapi berasaskan penyelidikan sejarah yang mendalam, kerja sepasukan yang jitu, pemilihan strategi ketenteraan yang sesuai pada waktunya dan keyakinan yang luarbiasa kepada pertolongan Allah Subhanahu Ta’ala. Dr Siddiq Fadzil pula menyifatkannya sebagai hadiah dari sebuah gerakan kependidikan yang panjang sejak dari pengislaman bangsa Mongol yang memusnahkan Baghdad sebelum itu lagi.


Atas asas ini, sebuah seminar akan diadakan sempena memperingati 558 tahun pembukaan Konstantinopel (kini Istanbul) pada 29 Mei 1453. Seminar “Ibrah Pembukaan Konstantinopel” akan diadakan pada hari Sabtu bersamaan 28 Mei 2011 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Seminar anjuran Ibrah Paradigm Training and Consultancy dan One Heart Creative Solution ini bertujuan mendedahkan kepada masyarakat dan mahasiswa sebuah peristiwa yang telah mengubah perjalanan sejarah umat Islam selepas tragedi berdarah kejatuhan kerajaan Islam Abbasiah pada 1258 Masihi. 


Peristiwa yang membenarkan ramalan Nubuwwah ini wajar menjadi iktibar kepada generasi muda dalam usaha menjadikan nasib umat Islam khususnya di Malaysia pada masa akan datang lebih baik daripada keadaannya pada hari ini. Umat Islam mesti diberikan kesedaran dan pencerahan mengenai hukum sebab musabbab (the law of cause and effect) yang menjadi asas terpenting dalam pengkajian dan pembacaan sejarah jatuh bangun peradaban Islam.


Seminar ini dijangka menganalisa pemikiran strategik Sultan Muhammad sepanjang 53 hari kempen pembukaan kota Konstantinopel dilancarkan. Turut dianalisa adalah faktor-faktor kekebalan kota Konstantinopel sehingga 12 percubaan tentera Islam sebelumnya tidak mampu meruntuhkan keegoan empayar Kristian Byzantine zaman berzaman. Maulana Abul Hassan Ali An-Nadawiyy pernah menyebutkan bagaimana sifat teliti, berhati-hati dan matangnya persiapan taktikal Muhammad jauh mengatasi usianya sendiri yang baru 21 tahun ketika misi diumumkan kepada rakyat jelata. Penyediaan 140 buah kapal perang, 320 buah bot, 150 ribu askar, 12 ribu tentera Janissaries, 4 meriam gergasi, puluhan mortar dan ratusan ekor kerbau, sudah cukup menggambarkan persiapan Muhammad jauh terkehadapan dari masa dan zaman baginda hidup sendiri.


Beberapa pameran ringkas akan dipaparkan di dalam dan luar dewan bagi membawa peserta mengimbau sendiri bagaimana detik-detik pengepungan Konstantinopel pada 1453 Masihi itu yang nyata berbeza dengan 20 pengepungan yang dialami Byzantine sepanjang seabad kekuasaan mereka sebelum ini. Beberapa tayangan multimedia yang diperolehi dari Istanbul sendiri akan dikongsikan dengan peserta bagi memudahkan lagi proses mereka memahami bagaimana proses pembukaan kota terkebal di dunia itu dilakukan.


Selain buku “Kuasa Kepemimpinan Al-Fateh” terbitan PTS Milennia, para peserta seminar juga boleh mendapatkan sebuah buku terbaru bertajuk “Detik-Detik Konstantinopel” terbitan Mazni Irfan Publication, sebuah tesis ilmiah oleh Tuan Abdul Hamid Latip mengenai percubaan percubaan menawan Konstantinopel sejak dari zaman Muawiyah dan Abu Ayyub Al-Ansari lagi.


Seminar ini juga dijangka menganalisa ibrah terbesar dari peristiwa 1453 Masihi tersebut supaya ummah tidak selamanya ditimpa romanticism dan hero-worshipping dari kisah-kisah menakjubkan sepanjang pembukaan Kota Konstantinopel.


Sebagai contoh, ramai kalangan kita yang lebih gemar menganggap peristiwa pemindahan 70 buah kapal Othmaniyyah pada malam 22 April itu sebagai sebuah ‘miracle’ buat Muhammad, ‘tuah’ yang kebetulan diberikan Tuhan padanya dan tidak pada kita pada hari ini. Seandainya kajian mendalam dibuat bagaimana proses penorehan bukit, penebangan pokok, pencurahan minyak dan lemak haiwan, pemilihan masa dan arah peluncuran kapal, pemilihan bukit Galata (Pera) dan Tanduk Emas, nescaya kita akan dapati Muhammad tidak lebih dari hanya menggunakan segenap pengetahuan kejuruteraan, geografi, matematik, dan falak yang ada padanya. Kemudian ia dipadukan lagi dengan disiplin dan kesatuan kerja sepasukan tentera yang tidak pernah kenal erti penat dan lelah walaupun sudah 2 minggu mengepung kota itu tanpa tanda-tanda kemenangan. 


Kesimpulannya, bantuan Allah yang datang kepada Sultan Muhammad dan tenteranya sehingga musuh tidak menyedari peristiwa itu terjadi adalah selepas Muhammad melakukan ikhtiar kemanusiaan mengoptimakan upaya akal fikiran semaksima mungkin untuk memenuhi hukum sebab akibat (sunnatullah). Ternyata ia bukan sebuah kisah karamah seorang wali Allah semata-mata, bahkan kisah kejayaan sebuah proses pendidikan Islam yang menyeluruh dan bermula sejak dari kecil dengan pemantauan yang ketat oleh ibubapanya dan para ulama, serta aplikasi seimbang tanpa dikomoti apa yang disebut pada hari ini dengan ‘aliran agama’ dan ‘aliran sains’.


Menjadi harapan semoga seminar ini berakhir dengan kejelasan peserta mengenai model pendidikan Islam era Othmaniyyah dan mekanisme pembentukan manusia berkualiti hingga melahirkan sebaik-sebaik pemimpin, sebaik-baik tentera dan sebaik-baik rakyat pada masa itu.


Kertas kerja akan dibentangkan oleh panel-panel terbaik dalam pengkajian mengenai Sultan Muhammad Al-Fatih. Mereka adalah Profesor Redzuan Othman, Dekan Fakulti Sejarah dan Sains Sosial, Universiti Malaya dan Ustaz Haji Hasrizal Jamil, Pengarah Urusan Saifulislam Training and Consultancy. Ucaptama akan disampaikan oleh novelis Islam terkenal tanahair iaitu Pak Latip atau Tuan Abdul Latip Talib yang juga menulis novel pertama dalam bahasa Melayu di Malaysia mengenai Sultan Muhammad Al-Fatih.


Seminar ini juga akan diserikan lagi dengan persembahan khas dari kanak-kanak yang telah bertekad untuk menjadikan Sultan Muhammad Al-Fatih sebagai idola hidup mereka. Kanak-kanak ini adalah para pelajar di Khalifah Model School, Ampang, sebuah institusi pendidikan swasta yang unik dan tersendiri dalam membina dan membentuk generasi Islam di tanah air.


Meneladani Muhammad Al-Fatih bererti meneladani minda intelektualnya seiring dengan semangat aktivisme jihadnya. Halil Inalchik pernah merekodkan bahawa Sultan Al-Ghazi ini pernah belajar agama Kristian dari paderi Gennadius dan mengarahkan Amirutzes dari Trebizon, Critoboulus dari Imros dan Ciriaco dari Ancona untuk menulis sebuah risalah mengenai agama Kristian kepadanya. Amirutzes juga pernah diarahkan Sultan Muhammad menterjemah peta geografi Ptolemy padanya dan menyediakan perpustakaan khas istana dengan bahan-bahan manuskrip Latin dan Greek untuk dibacanya. Shekh Lutfi dilantik untuk menjaga perpustakaan yang menempatkan hampir 12 ribu jilid buku sebelum terbakar pada 1465 Masihi. Bagi persiapan peperangan dan pembukaan yang boleh membabitkan kecederaan ribuan tentera, Sultan Muhammad pernah mengarahkan penterjemahan karya Abul Qasim Az-Zahrawi iaitu At-Tashrif fil al-Thibbi ke dalam bahasa Turki, sebuah karya agung memperihalkan alat-alat bedah dan posisi pesakit ketika pembedahan. Sultan yang sama pernah mengarahkan seluruh tenaga pengajar madrasah-madrasah Othmaniyyah supaya memiliki enam buku wajib dalam bahasa Arab iaitu kitab Ash-Shihah, at-Takmilah, al-Qamus dan sebagainya.


Namun demikian, Sultan yang sama jua sentiasa direkodkan gigih meneruskan misi jihad dan tidak berpada dengan pencapaiannya di Konstantinopel dan gelaran Al-Fatih yang diperolehinya. Ternyata gelaran Al-Ghazi menyebabkan Sultan Muhammad sanggup turun dari kuda dan berjalan kaki bersama tentera menaiki bukit-bukau dan hutan tebal menuju kota Trabzon. Bahkan baginda wafat dalam sebuah misi pembukaan sebuah kota di Barat yang tidak diketahui tenteranya sendiri.


Daftarlah segera seminar yang julung-julung kalinya diadakan di Malaysia ini. Seminar ini terbuka kepada semua lapisan masyarakat dan anak muda. Mudah-mudahan seminar ini akan berjalan lancar dan mendapat keredhaan dari Allah Subhanahu wa Taala.


Muhamad Syaari Ab. Rahman
Pengarah,
Seminar Ibrah Pembukaan Konstantinopel 1453
Penulis Buku “Kuasa Kepemimpinan Al-Fateh

Integriti Maya

Sebarang pengambilan mana-mana bahagian daripada tulisan di sini adalah sangat digalakkan untuk disebarkan, namun perlulah mendapat izin daripada Iskandarfateh.

Ataupun, sila beri kredit bahawa anda mengambil mana-mana kenyataan tersebut dari Blog
Iskandarfateh ini.

Terima kasih. Saya sangat hargai kunjungan anda.

Montaj IPTC

Twitter With Me

Profail Blogger


Syaari Ab. Rahman merupakan seorang perunding motivasi terlatih. Profail lengkap beliau di "Hubungi Saya"