"Katakanlah sesungguhnya aku ini MANUSIA seperti kamu, (melainkan) aku diberikan WAHYU padaku..."
Muhammad S.A.W melarang ummatnya dari mendewa-dewakannya seperti apa yang terjadi pada pengikut Isa ibnu Maryam.
Muhammad S.A.W adalah manusia dengan seluruh sifat kemanusiaannya. Peristiwa hijrah (yang dijadikan Khalifah Umar al-Faruq al-Hakeem sebagai tarikh permulaan kalendar Islam) adalah sebesar-besar peristiwa menonjolkan dimensi kemanusiaan Nabi lebih dari dimensi kenabian dan kemukjizatan baginda.
Muhammad S.A.W adalah manusia yang dilahirkan dengan ayah dan ibu yang jelas, bermain dengan kanak-kanak seusianya sejak dari kecil, belajar dan pernah mahu melakukan kesilapan (ditegur dan dijaga Allah), bekerja gigih sehingga laris barangan jualannnya, menikah sehingga terserlah jelas kecemburuannya (bila Aisyah mahu membandingkan dirinya dengan Khadijah) dan romantisnya. Dan baginda memiliki keturunan.
Muhammad S.A.W berjalan di pasar, membawa barang dagangannya, menyapu rumah, menjahit pakaian yang robek, memotong daging yang kering, menyiapkan sayuran di dapur.
Muhammad S.A.W juga merasakan apa yang pernah dirasakan oleh oleh manusia umumnya. Rasa harap dan cemas, rasa miskin dan kaya, lapang dan susah, menyendiri dan bermasyarakat.
Sebagai pemimpin negara, Muhammad S.A.W berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah di hadapan hukum, memperoleh kemenangan dan kekuasaan, merasakan kekalahan dan kesedihan.
Tubuh Muhammad S.A.W tidak terdiri besi tetapi daging dan tulang biasa. Kulitnya pernah robek, pelipisnya pernah terluka parah dan pilihan dan pandangannya pernah kurang tepat, arahannya pernah tidak dipatuhi. Di Uhud, Muhammad S.A.W sebagai Perdana Menteri Madinah adalah manusia paling berani dan paling hampir dengan musuhnya di medan tempur. Utbah bin Abi Waqqas pernah berjaya mengatasi abangnya Saad ketika membaling batu besar ke arah baginda sehingga terluka kepala Muhammad S.A.W. Abdullah bin Syihab hampir berjaya memukul kepala Nabi sehingga dahi Nabi terluka.
Membaca Ar-Raheeq Al-Makhtum karangan Syekh Al-Mubarakfuri rahimahullah mampu menitiskan airmata. Kalau tidak kerana dua lapisan baju besi yang dipakai sebaik sahaja keputusan musyawarah yang tidak menyebelahi pandangan baginda diputuskan, sudah pasti Abdullah bin Qami'ah mencatat nama sebagai pembunuh dan pemenggal kepala Nabi Muhammad S.A.W Rasulillah.
Apakah Allah membiarkan Rasul-Nya pada masa ini ? Sudah pasti tidak. 1001 hikmah buat ummah meneladani dari sakit perit pahitnya roda perjuangan Nabi.
Perbezaannya cuma SATU. Baqinda diamanahkan dengan wahyu (plus mukjizat sebagai alat pembuktian) dan sentiasa 'online' dengan Allah jika melakukan suatu tindakan yang kurang tepat.
Itulah Rasul pilihan, kekasih Allah.