Content feed Comments Feed

Memburu Cinta Ilahi di Bumi Syria

Friday, April 25, 2008

"Sesungguhnya segala amalan (keagamaan) itu (dikira, diterima, diberikan pahala) dengan niatnya; dan sungguh hanya bagi setiap orang (Islam) itu menurut apa yang diniatkannya. Maka barangsiapa yang (berniat, gerak hatinya) hijrah (tujuannya) kepada Allah dan RasulNya maka hijrahnya ialah kepada Allah dan RasulNya” [Riwayat Bukhari dan Muslim]


Mulai esok, 26 April hingga 5 Mei aku akan berada di bumi Syria untuk 10 misi :


  1. Taqarrub

Aku mahu lebih kenali Dia yang mencipta diri dan alam ini. Moga ada ‘kelainan’ dan ‘penambahbaikan’ kepada diri dan amal ini kepada-Nya berbanding sebelum ini, melalui ziarah jasad (maqam) penuh barakah yang tidak pernah reput di dalam tanah, dari kalangan para anbiya, awlawiya’, sahabat dan tabi’in di sekitar sana.


Semoga ada peluang utk kukecapi kemanisan beribadah di masjid Al-Umari (masjid yang pertama dibina di Syria) yang terletak di dalamnya makam Nabi Yahya ‘alaihis salam, menara Isa yang dipercayai menjadi tempat turunnya Nabi Isa ‘alaihis salam di akhir zaman, mimbar empat mazhab, baitulmal, dan mashad Imam Husin radhiallahu anhu.


Semoga ada peluang ku kecapi kemanisan sujud di Masjid Al-Mabrak Al-Naaqah iaitu tempat Rasulullah memberhentikan untanya dan unta yang pertama membawa mashaf Al-Quran yang pertama berhenti di Syria di zaman khalifah Umar bin Al-Khattab radhiallahu anhu). Semoga ada peluang untukku bermunajat di Masjid Umawi atau Jami’ Al-Kabir (the Grand Mosque) dan mengenang perjuangan Nabi Zakariya ‘alaihis salam di maqamnya dalam masjid tersebut.


Moga ada kesempatan untukku menziarahi Masjid Khalid Al-Walid di Homs (bandar ketiga besar di Syria), mengenang kepintaran siasah di samping makam beliau dan sahabatnya, Ubaidullah bin Umar bin Al-Khattab radhiallahu anhuma. Juga masjid Al-Kabir di Hama (antara yang tertua di Syria, yang telah dibina di zaman kerajaan Umaiyyah) dan mencari ketenangan melihat kincir air yang beribu tahun usianya di tebing sungai Orantes (Al-‘Asi).


Semoga aku berkesempatan melawat Buheira Cathedral yang mempunyai sejarah penting sebagai lokasi pertemuan Rasulullah SAW dengan Buheira paderi Nasrani yang memberitahu tentang alamat kenabian pada diri baginda sewaktu kedatangannya ke bumi Syam untuk berniaga bersama bapa saudaranya Abu Talib semasa baginda berumur 12 tahun.


  1. Ruh jihad

Semoga aku mampu mengambil semangat perjuangan dan pengorbanan pejuang-pejuang Islam silam dengan melihat lebih dekat maqam Nabi Allah Yahya a.s, Nabi Allah Ayyub a.s, Nabi Allah Zakariyya a.s, juga mujaddid Syekh Mustafa as-Sibaie di Damsyiq serta para syuhada lain. Juga maqam-maqam di Bab As-Saghir seperti makam isteri-isteri Rasulullah SAW; Ummu Habibah, Ummu Salamah dan Ummu Hafsah radhiallahu anhunna. Juga makam sahabat Bilal bin Ar-Rabah juruazan Rasulullah dan Mu’awiyyah radhiallahu anhu jurutulis wahyu dan para syuhada’ Karbala. Juga Makam Salahuddin Al-Ayobi (pejuang agung Islam yang telah membebaskan Baitul Maqdis dari tentera Salib). Juga Makam Habil (anak Nabi Adam as yang telah dibunuh oleh saudaranya Qabil yang merupakan pembunuhan pertama di dunia) di utara Damsyik.


  1. ILMU

Memugar semula semangat cintakan ilmu sebagai persiapan kembali ke dunia pengajian (Master UIAM) selepas semangat itu kian pudar khususnya ketika di semester akhir pengajian memburu graduasi dan sekeping ijazah.



  1. ULAMAK

Mengenali seramai mungkin para alim ulama’ muktabar di Syria khususnya syuyukh dalam bidang yang diminati, Usul Fiqh seperti Dr. Wahbah az-Zuhayli, Dr. Said Ramadhan al-Buthi, Syaikh ‘Abdul Fattah Abu Ghuddah (Muhaddits besar Syria keturunan Khalid al-Walid) dan lain-lain serta manhaj pemikiran dan cara hidup mereka. Juga menziarahi maqam-maqam ulamak agung Islam seperti Makam Imam An-Nawawi (Imam Mujtahid Mazhab As-Syafi’e dan pengarang kitab Riyadhussolihin, syarah Muslim, Al-Majmuk dll)


  1. PERADABAN

Aku mahu melihat lebih dekat jatuh bangun tamadun Rom sebagai salah satu empayar terbesar dan empayar terkuat dunia yang jatuh ke tangan Islam. Juga tinggalan-tinggalan penting khilafah Turki Usmaniah di Syria. Termasuk juga kesan-kesan tinggalan sejarah di Roman Amphitheatre yang boleh memuatkan 15000 penonton dalam sesuatu masa dan kota kuno Bosra wujud sejak 2000 B.C. Juga Aleppo atau Halab, bandar kedua besar di Syria dan antara tertua di dunia yang berterusan dihuni manusia.


Aku juga mahu ke Crack Des Chavelier Castle (kota dalam kota) yang pada kurun ke 12 ia menjadi benteng terakhir tentera Salib di bumi Arab dan Islam sebelum dibebaskan oleh sultan Malik Zahir Al-Bybar dalam tahun 1271 Masehi lalu menjadi titik tolak penting peralihan kuasa di bumi Anbiya ini kepada umat Islam.


  1. KHAZANAH

Moga aku berkesempatan melihat kebesaran Allah pada tinggalan-tinggalan bersejarah seperti kota Kubu Allepo (Allepo Citadel) yang terletak di atas gunung yang dikatakan Nabi Ibrahim ‘alaihis salam pernah memerah susu di sana), menikmati keindahan bandar Aleppo dari kota kubu atau citadel ini, Caravansaries As-Shouneih yang pernah menjadi hotel persinggahan pedagang laluan sutera yang kini dikatakan merupakan bazaar tertutup yang menjual berbagai hasil kerjatangan masyarakat Syria.


Moga aku berkesempatan ke muzium-muzium perang di bumi Syria seperti Muzium Kebangsaan, Takiyeh Sulaimaniah di Bandar baru Damsyik (sebuah komplek yang dibina oleh Sultan Sulaiman “The Magnificient” kerajaan Usmaniah yang terdiri dari Masjid Sultan Abdul Hamid, muzium perang dan pusat kraftangan dan seni Syria). Juga melihat kebesaran Allah pada kepelbagaian jenis manusia yang akan dapat dilihat bazaar-bazar Arab Bazar Al Hamidiah, Madhat Pasha dan Souq At Thawil sebagaimana pernah aku lihat di Kaherah dan Tanta.


  1. PELAJAR

Berkongsi pengalaman hidup dan idealism perjuangan pelajar di Syria, pengalaman tafaqquh dan talaqqi mereka untuk dijadikan suntikan semangat sebagaimana aku dapat dari Presiden PMRAM, Ustaz Nizam semasa ke Mesir 5 bulan lepas. Apa yang lebih penting tautan hati dengan bakal-bakal ulamak besar Malaysia ini.


  1. FUSHAH

Mendalami dan meningkatkan penguasaan komunikasi bahasa Arab fushah kerana penggunaan Bahasa Arab Fusha kalangan masyarakat Syria adalah tinggi berbanding negara Arab lain memandangkan penekanan khas system pendidikan terhadap bahasa tersebut.


  1. KITAB

Memborong sebanyak mungkin kitab-kitab muktabar yang sedia maklum jauh lebih murah


  1. FILEM

Memborong VCD-VCD ilmiyyah dan filem-filem Islam untuk mengukuhkan lagi khazanah dan persiapan menubuhkan One Saff Production sebagai counter attack kepada pereka-pereka “Fitna”, “Evan Almighty”, dan segala macam filem-multimedia menghina Islam. Filem-filem Islam/Arab seperti Ashabul Kahfi dan Maryam al-Muqaddasah yang menyentuh kalbu diharapkan dapat dibawa pulang sebanyak mungkin, Insya-Allah.


Terima kasih kepada sahabat setiaku, Ustaz Ismail Sabri yang banyak membantu dan memotivasikan musafirku ke sana esok, Insya-Allah. Buat sahabat-sahabat, doakan keselamatan dan keberkatan pemergian dan kepulangan semula kami ke tanah air.


Saya tidak berhasrat mengulang lagi kritikan banyak pihak kepada tindakan Wisma Putra memberikan “lampu hijau” pada “gelombang biru” dari Kelab Liga Perdana Inggeris serta kenyataan Menteri Luar dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang meluahkan rasa "malang” kerana isu kehadiran Chelsea termasuk Pengurus Chelsea, Avram Grant dan pemain pertahanan, Tal Ben Haim dari Israel seolah-olah disifatkan sebagai “pencerobohan politik ke atas dunia sukan” (semacam politik dan politikus itu penuh dengan kekotoran dan tipu muslihat, tidak sepatutnya menyentuh dunia sukan). Saya kira pendukung gerakan Islam hari ini sudah mangli dengan pemikiran ‘sekular’ yang terserlah di sebalik kenyataan-kenyataan tersebut. Tidak ada apa yang pelik jika mereka lebih melihat soal pendirian hubungan diplomatik Malaysia dengan 2 warga Israel tersebut lebih kompromotif dan penting dari soal sensitiviti umat Islam (yang baru sahaja bangkit dari luka “Fitna” Greet Wilders) yang tidak boleh berkompromi dengan wujudnya entiti negara haram dan warganegara Israel tersebut atas titisan darah umat Islam Palestin.


Saya juga tidak mahu memanjangkan lagi pendirian bersetuju dan partisipasi saya kepada demontrasi serta sebarang tindakan agresif lain yang akan dilakukan oleh PAS bagi memastikan ketidakhadiran 2 individu penting Chelsea tersebut tidak berpijak di bumi Malaysia. Atlet Israel pernah dibenarkan memasuki Malaysia semasa kejohanan kriket Trofi ICC pada April 1997 dan gerakan mahasiswa menunjukkan taring sebenar mereka apabila mengadakan demontrasi besar-besaran membantah kehadiran mereka. Pada Februari 2000, 1,500 mahasiswa GAMIS sekali lagi berdemonstrasi di masjid Ar-Rahman membantah kehadiran pasukan ping pong Israel. Pastinya rakan-rakan saya aktivis mahasiswa menantikan 29 Julai 2008 sebagai tarikh penting gerakan mahasiswa sekali lagi menggegarkan Malaysia dengan demontrasi besar-besaran membantah kehadiran Chelsea.



Namun, apa yang menjadi perhatian saya sepanjang ‘engage’ dengan dunia EPL khususnya Chelsea (terus terang saya katakan bahawa dahulu saya adalah peminat Chelsea sebelum ketibaan Grant dan Ben Haim) melalui puluhan rakan-rakan saya kaki bola di UIAM, maka saya melihat dunia bolasepak tidak seperti dunia kriket atau ping pong. Kita perlu lebih berhati-hati kerana ‘circle of crowd’ dalam bolasepak (spesifiknya EPL) jauh dan jauh lebih besar dari crowd peminat ping pong dan kriket. Hati-hati yang saya maksudkan bukan bererti terlalu peramah sehingga condong untuk berlembut dalam perkara prinsip, tapi saya maksudkan hati-hati dalam kenyataan-kenyataan akhbar yang akan dibuat, mesej yang akan disampaikan serta banner-bunting-poster yang akan dibuat dalam menyuarakan pendirian tegas kita. Adakah kita membantah kehadiran Chelsea itu sendiri atau kita membantah 2 individu tersebut sahaja ? Musuh sedang menanti untuk memerangkap PAS melalui kenyataan-kenyataan pimpinan mereka pada bila-bila masa sahaja. Lihat sahaja isu babi di Selangor dan negara Islam PAS dalam Pakatan Rakyat. Ramai yang masih tidak mendapat penjelasan akibat mainan media arus perdana.

Mereka selaku penaja hedonisme melampau penyesat aqidah remaja dan anak-anak muda sehingga mempertuhankan artis dan muzik mengatasi segalanya, pastinya akan terus berusaha mewarnakan PAS sebagai parti (baca = kerajaan) yang tidak mesra remaja, tidak mesra sukan, anti-bolasepak, anti-hiburan, tak faham aspirasi anak-anak muda dan macam-macam lagi yang boleh menarik undi saluran 4 dan 5 kepada mereka pada PRU akan datang.


Justeru saya melihat kerja kita bukan sekadar berdemontrasi dan mengeluarkan kenyataan-kenyataan bantahan semata-mata. Kerja kita yang lebih besar selepas tindakan agresif di atas adalah pemerkasaan agenda dakwah melalui perancangan kesukanan dan pengimejan wajah PAS yang mesra-sukan, mesra-remaja, mesra-bolasepak setelah Umno-BN sudah lama mempromosikan wajah mereka dengan wajah sedemikian rupa sehingga anak-anak muda phobia jika PAS memerintah, segalanya jadi haram. Lihat sahaja faktor undi saluran 4 dan 5 di Selangor (baca = Lembah Klang, pusat pentadbiran Pas dan mahasiswa Islam) yang masih berpihak kepada BN tatkala tsunami politik nasional menimpa saluran 2 dan 3 di seluruh negara.


Saya memuji tindakan MB Kedah yang memulakan agenda merakyatkan perjuangan PAS dengan memberikan tiket percuma kepada puluhan ribu kaki-kaki bola di Kedah untuk menonton pasukan Kedah beraksi menentang Perak baru-baru ini. Juga tindakan Kerajaan Pakatan Rakyat membanyakkan event-event besar PR di Stadium-stadium besar bolasepak Malaysia yang menjadi 'rumah kedua' kebanyakan anak-anak muda pada hari ini. Saya juga terharu satu ketika dahulu apabila Pemuda PAS menganjurkan perlawanan persahabatan bolasepak dengan team artis. Saya cukup yakin ‘gap’ yang selama ini menakutkan belia dengan PAS sudah semakin runtuh dengan tindakan-tindakan 'out of the box' tersebut. Saya berharap ‘jambatan’ yang sudah berjaya dibina dengan baik asasnya ini tidak akan dirobohkan semula 29 Julai ini hanya kerana mengikut emosi ammarah dan semangat semata-mata tanpa persiapan rapi dan teliti menangani 'counter attack' musuh


Jangan menang sorak kampung tergadai secara senyap…Peluru mesti disasarkan pada tempatnya, jangan tersilap menembak orang lain...jangan mencipta musuh baru tatkala musuh yang sama dan utama belum lagi dihapuskan.. there's more than black and white in this world mate

Kalau kita boleh peka dengan nama-nama Israel dalam top-players dalam EPL dan liga-liga Eropah, jangan kita lupa ada juga pemain-pemain Muslim dalam pasukan yang sama. Mereka boleh buktikan bahawa Islam bukan musuh kepada Amerika dan Eropah :

Nicholas Anelka (Chelsea)

Salomon Kalou (Chelsea)

Khalid Boulahrouz (Sevilla, bekas pertahanan Chelsea)

Frederik Kanoute (Sevilla)

Thiery Henry, Eric Abidal, Yaya Toure, Thuram (Barcelona)

Franck "Bilal" Riberry & Ali Karimi (Bayern Munich) – “Islam adalkah sumber kekuatan saya sama ada diluar atau di dalam padang permainan," - Ribery

Kolo, Robin Van Persie, Cygan (Arsenal )

Mohammed Sissoko (Liverpool)

Ahmed Mido Hossam (Boro)

Hossam Ghaly (Totteham Hotspurs)

Hamit & Halil Antiltop (Bayern Munich & Shalke 04)

Mahamaddou Diarra (Real Madrid)

Zlatan Ibrahimovic (Inter)

Hassan "Brazzo" Salihamidzic (Juventus)

Emre Belozoglu (Newcastle)

David James (Manchester City)

Zinedine Yazid Zidane (Real Madrid, bersara)

Ramai lagi………………….


Mungkin dengan menyebut apa-apa sikap atau pemikiran yang baik dari pemain-pemain berikut akan jadi lebih ‘dekat di hati’ kaki-kaki bola selaku mad’u terbesar dari entiti belia hari ini. Kalau cerita-cerita pengorbanan harta para sahabat di Madinah semasa peristiwa Hijrah sukar menyentuh kalbu mad’u kaki bola ini, apa salahnya ceritakan striker Sevilla, Frederick Kanoute yang mengeluarkan wang sebanyak 510,860 euros untuk menyelamatkan satu-satunya masjid di Sevilla..Kalau anak-anak kita payah berpuasa walaupun berkali-kali kita menyebut tentang hukum wajib dan murka Tuhan ke atas orang yang tidak berpuasa, apa salahnya sebutkan pada anak-anak bagaimana Kanoute, seorang pemain digilai di Sepanyol dalam keadaan berpuasa boleh menjaringkan 20 gol antara gol tebanyak Liga Sepanyol saat itu.

Malang sungguh dakwah saya dan kita hari ini. Kanak-kanak lelaki seperti adik saya sendiri lebih hafal biografi Cristiano Ronaldo dari biografi Rasulullah S.A.W dan para sahabat. Dunia bolasepak telah mengarati pemikiran mereka. Maka, bijaklah memilih 'suis' dan maudhu’ dakwah untuk mendekati mereka, jangan jauhkan lagi mereka dari kita. We have the best product, but why we can’t be the best promoter…what went wrong with our marketing plan…

Dari B.A Bahasa Arab ke M.A Usul Fiqh

Friday, April 18, 2008

Alhamdulillah, penantian 5 tahun 'kelana' pengajian tinggi tanpa ijazah akhirnya tamat dengan bantuan Allah jua di bumi ini. Kini aku tamat pengajian ijazah pertama di UIAM dengan jangkaan CGPA sekitar 3.4.

Kini masa untuk meneruskan tradisi kecemerlanganku di dunia pendidikan. Hakikatnya berada di Jabatan Bahasa Arab bukanlah pilihan pertamaku dahulu, hanya kerana kekosongan maka aku masuk menerima tawaran UIAM selepas permohonan pertamaku ditolak mentah-mentah. Hasratku yang gagal menyempurnakan impian menjadi graduan Syariah wal-Qanun di Al-Azhar, Tanta (pindah dari MADIWA) 3 tahun lepas nampaknya akan kembali direalisasikan tidak lama lagi melalui pengajian sarjana (MA) di Usul Fiqh (IRK) di UIAM, bidang yang selama ini aku minati sejak dari mengambil STPM di KISAS dan STU di Maahad Muhammadi Tumpat.

Bertukar angin pengajian bukan perkara baru bagiku. Pernah kulakukan semasa penukaran SPM Aliran Sains ke STPM Aliran Sastera. Bagiku, multi-branches of knowledges adalah servis terbaikku pada ummah pada masa akan datang. Pahit manis yang dilalui dari kemalangan yang mematahkan kaki kananku sebelum masuk UIAM sehinggalah ancaman digantung pengajian kerana aktivisme perjuangan mengajarku bahawa, there is no failure, only success delayed.

TERIMA KASIH UIAM, banyak mengajarku erti kehidupan dan perjuangan.

Integriti Maya

Sebarang pengambilan mana-mana bahagian daripada tulisan di sini adalah sangat digalakkan untuk disebarkan, namun perlulah mendapat izin daripada Iskandarfateh.

Ataupun, sila beri kredit bahawa anda mengambil mana-mana kenyataan tersebut dari Blog
Iskandarfateh ini.

Terima kasih. Saya sangat hargai kunjungan anda.

Montaj IPTC

Twitter With Me

Profail Blogger


Syaari Ab. Rahman merupakan seorang perunding motivasi terlatih. Profail lengkap beliau di "Hubungi Saya"