Content feed Comments Feed


"Ya Syahid Obaida, alangkah indahnya tautan ukhuwwah ini andaikata pernah berkenalan denganmu sebelum ini..."

Ubaidah Mahir Abdul Mu'ti al-Qudsi ad-Duwaik, 25 tahun, bagaikan sebaik-baik syuhada pilihan Tuhan. Graduan UIAM ditaqdirkan pulang ke rahmatullah tidak di Malaysia, tetapi di tanah tumpahnya sendiri iaitu Palestin, bumi yang dinyatakan Rasulullah pahala syahid dua kali ganda berbanding syahid di tempat lain.

Kesyahidan Obaida pula bukan seperti kesyahidan biasa seperti dihempap runtuhan bangunan yang dibom Yahudi, bahkan akibat tepatnya tembakan 4 peluru haram Israel - di perut dan di kepala - ketika menuju masjid Ibrahim untuk menunaikan solat Zuhur dan ketika melepasi sekatan jalan oleh Yahudi.

Obaida seorang yang sangat kental dan berani kerana masjid Ibrahim semenangnya dikuasai Yahudi, hanya yang berani sahaja akan berulang alik melalui sekatan yang telah membunuh ramai penduduk Palestin yang mahu ke masjid itu. Pihak Israel telah menuduh asy-Syahid Obaida dengan cubaan menikam salah seorang tentera Israel yang sedang menjaga sekatan di jalan.

Selepas ditembak, Obaida masih hidup dan dibiarkan selama lebih kurang 30 minit, dan beliau dibelasah.

Obaida syahid di sebaik-baik bulan yakni Ramadhan, dijemput Tuhan pula pada sebaik-baik malam di sebaik-baik bulan iaitu malam 23 Ramadhan sedangkan beliau ditembak pada 5 Ramadhan, koma selama 19 hari, tidak menerima rawatan secukupnya dan dinafikan dari ditemui keluarganya ketika di Hospital Israel. Jenazahnya dihantar pulang oleh Israel 24 jam selepas kematiannya.

Beliau merupakan tahanan yang ke 1167 atau 1168 yang mati di dalam tahanan jahannam Israel.



Allahu Akbar !!!

Suara merdunya bukan lagi akan bergema di dewan-dewan besar UIAM, tetapi juga di kelak di syurga Firdaus mudah-mudahan. Namanya kini bukan sekadar mekar harum di dunia, bahkan kekal harum di Akhirat. Obaida tidak sempat merasai nikmatnya perkahwinan ketika dia sudah hampir untuk melangsungkannya, namun Tuhan mahu menganugerahkanmu 70 bidadari syurga jauh lebih rupawan, menyambutkan di malam Lailatul Qadar mudah-mudahan...


Allahu Akbar !!!

Peluru Yahudi laknatullah sememangnya tepat mensasarkan pemuda-pemuda yang bakal menjadi Salahuddin al-Ayyubi kedua.

Demikianlah antara bisikan syair di hati saya apabila berkesempatan menghadiri bersama isteri ke Majlis Memperingati Asy-Syahid Obaida, ketika pada masa yang sama ramai mahasiswa termasuk mahasiswa Malaysia menghadiri upacara penuh menghiburkan perasmian Pesta Konvokesyen UIAM sehingga hanya berapa kerat wajah mahasiswa (muslimin) Malaysia sahaja saya temui sanggup hadir ke majlis airmata di Experimental Hall tersebut.

Obaida, seorang graduan Mass Communication seharusnya menerima scroll beliau dalam Konvokesyen yang akan bermula esok di UIAM. Entah siapakah yang menggantikannya apabila namanya disebut... Yang pasti nama anak muda ini akan kekal mengharumkan nama UIAM, bukannya di pentas dunia dan kepentingan duniawi, tetapi di pentas akhirat dan perjuangan jihad. Akhirnya UIAM menelurkan seorang syuhada dari Palestin di bumi Palestin sendiri, itulah Obaida yang syahid ketika sedang menunggu surat tawaran melanjutkan pengajian Master di UIAM dan ketika hampir di gerbang perkahwinan.

Sepanjang 4 tahun menuntut dan berpersatuan di UIAM, saya tidak pernah mengenali dan berkenalan dengan sosok mahasiswa Palestin bernama Obaida. Yang paling saya rapati hanyalah saudara Muslim bekas Presiden Al-Aqsa Society UIAM - sahabat baik Obaida sejak tadika - yang juga Timbalan Presiden MPP UIAM ketika junior dan sahabat saya, Zukhairi Salehuddin menjadi Presiden. Namun pada malam itu entah mengapa, saya terasa sangat dekat dengannya. Obaida yang diceritakan oleh teman-temannya rapatnya sebagai seorang yang lebih gemar bersifat low-profile akhirnya namanya mekar harum di langit dan bumi.

Ucapan saudara Muslim hampir menitiskan airmata saya kerana beliau mengenali Obaida sejak tadika sehinggalah ke sekolah menengah dan ke UIAM. Muslim sememangnya lantang dalam pidato-pidatonya dan pada kali ini beliau menonjolkan dengan jelas pemikiran dan jiwa besar beliau di sebalik meratapi pemergian Obaida.

"Bukan sekadar tentera Israel yang melepaskan 4 das tembakan kepada Obaida sahabat kita. Namun yang sebenarnya menembak beliau adalah pemimpin-pemimpin tali barut Yahudi yang berdiam diri dalam nasib Masjidil Aqsa. Pemimpin-pemimpin yang kononnya mewakili rakyat Palestin sedangkan merekalah yang menjual darah-darah pemuda Palestin dengan begitu murah sekali." - Pidato saudara Muslim malam memperingati Asy-Syahid Obaida


Obaida : Simbolik Kualiti Mahasiswa Antarabangsa Berbanding Malaysia

Asy-Syahid Obaida mempunyai karakter yang sangat utuh dan komprehensif ketika belajar di UIAM. Berdasarkan perkongsian rakan-rakan sebilik dan seperjuangannya pada malam tersebut, terserlah di hadapan saya karakter seorang mahasiswa yang sewajarnya diteladani oleh mahasiswa Malaysia.

1. Mahasiswa yang cemerlang di bangku pengajian sejak kecil. Obaida cemerlang sejak dari pendidikan sekolah menengahnya lagi di Hebron.

2. Mahasiswa yang sangat aktif terbabit dalam persatuan sehingga Obaida menjadi Mainboard dalam al-Aqsa Society di university dan sangat aktif dalam aksi pentas Palestin di UIAM khususnya yang membabitkan pentomen dan nyanyian nasyid.

Asy-Syahid 2 dari kiri di UIAM

Obaida membenarkan janjinya untuk mati di jalan Allah

3. Mahasiswa yang turut menyumbang pada gerak kerja dakwah. Malam itu dipaparkan beberapa kenangan siri lakonan asy-Syahid di UIAM yang memberikan mesej supaya jangan melengahkan solat. Babak beliau dibawa ke klinik UIAM dengan van UIA seolah-olah membenarkan situasi seperti itu tidak lama lagi akan berlaku secara realiti kepada beliau.


4. Menjadi 'motivator' yang berkesan kepada rakan-rakannya sendiri dengan kekuatan kemerduan suaranya. Ketika tekanan exam di UIAM, asy-Syahid tetap bersedia untuk menghadiahkan lagu untuk menghiburkan rakan-rakannya yang lain.


Hargailah Mahasiswa Palestin di UIAM Sebelum Mereka "Pergi"

Sebelum ini saya pernah menceritakan dalam posting sebelum ini pengalaman berforum dengan saudara Marjan, seorang mahasiswa UIAM dari Filipina. Namun rupanya sahabat yang saya berforum itu hari ini sudah berhenti pengajiannya dari UIAM kerana saya mendapat maklumat beliau terpaksa pulang ke kampung halaman beliau untuk menyahut seruan jihad dari MILF mempertahan keluarganya dari serangan tentera kerajaan di sana. Entah hidup mahupun sebaliknya sahabat saya itu, wallahu a'lam. Yang pasti, kenangan bersamanya tidak akan dilupakan. Beliau benar-benar "person who walk the talk".

Telah banyak posting sebelum ini saya menyatakan betapa menyesalnya saya memasuki era undergraduasi di UIAM tanpa saya menyedari terlebih dahulu keunikan suasana, kelebihan bahasa dan keluarbiasaan manhaj ilmunya.

Babak di Experimental Hall malam tadi menambah lagi kedukaan penyesalan saya kerana tidak memaksimakan nikmat besar menerima pendidikan tinggi di UIAM. Apa ada pada sekeping ijazah jika itu yang dikejar sedangkan perkenalan dengan seramai mungkin mahasiswa Islam antarabangsa tidak berlaku?

Ketika mengikuti usrah Pas kawasan Gombak suatu ketika dahulu, guru usrah tersebut pernah berpesan yang saya ingat hingga ke hari ini.

"Kenalilah seramai mungkin saudara-saudaramu yang tidak pernah kamu kenali. Kerana Allah merahsiakan pertemuan kamu dengan wali-walinya. Berkenalanlah dengan seramai mungkin hamba-hamba Tuhan, kerana boleh jadi salah seorang dari seribu orang yang engkau dekati, itulah hamba Tuhan yang akan dimustajabkan doanya apabila dia berdoa agar engkau tidak tergelincir dari titian Sirath menakutkan itu."

RESOLUSI

Mudah-mudahan segala penyesalan itu akan mampu ditebus semula apabila saya kembali ke lapangan M.A hujung tahun ini di UIAM.

Usahlah melihat UIAM pada mahasiswanya kerana mungkin anda akan kecewa, namun lihatlah pada manhaj integrasi ilmu syariatik dan sunnatiknya (INTEGRATION). Lihatlah pada kelebihan berukhuwwah dengan mahasiswa antarabangsa seluruh dunia Islamnya (INTERNALIZATION).

Bayangkan betapa banyak bahasa dunia yang lain boleh dipelajari dengan persahabatan dengan mahasiswa antarabangsa. Betapa banyak perkongsian pengalaman, peradaban, pemikiran (style of thinking) yang boleh dilakukan dalam pertemuan-pertemuan sesama mereka.

Namun apakan daya jika kita terus rasa syok sendiri dan mudah rasa selesa dengan dunia dalam tempurung pemikiran kerdil kita. Tidak sedikitpun rasa bersalah apabila persoalan bahasa Inggeris yang selama ini menjadi penghalang untuk membuka tautan ukhuwwah dengan mereka. Tidak sedikitpun rasa bersalah apabila persatuan kita tidak sedikitpun meraikan mahasiswa antarabangsa mahupun engagement dengan persatuan-persatuan antarabangsa di UIAM. Sedangkan mereka bakal penggubal polisi negara, pegawai diplomatik dan bakal negarawan masing-masing jika diizinkan Allah.

Ayuh rakan-rakanku mahasiswa UIAM.

Andai kalian mencita lahirnya Salahuddin al-Ayyubi yang menyatukan seluruh negara Arab-Islam untuk meraih kemenangan ke atas Jerusalem dari tangan Yahudi, formula itulah juga perlu dilakukan di madrasah UIAM ini.

Kesemua mereka sedang berada di bumi Gombak ini, di bumi yang akan mengajar mereka ilmu SUNNATIK dan SYARIATIK sekaligus walaupun mereka tidak mengambil jurusan pengajian Islam (IRK). Bukankah itu formula berbahaya dan paling digeruni oleh Yahudi , golongan sekular dan musuh-musuh Islam ?

Mereka datang jauh dari pelusuk dunia. Dekatilah mereka kerana akan ada dari kalangan mereka yang akan menemui sebaik-baik kematian iaitu syahid di jalan Allah. Bayangkan doa mereka untukmu ketika mereka berada sangat dekat dengan Tuhan, mereka tidak mati bahkan diberikan rezeqi oleh Allah.

Rapatilah mereka, moga kelak dari tautan ukhuwwah ini akan muncul sebuah pasukan gerombolan negarawan graduan UIAM untuk menyatukan saff ke arah mengembalikan bumi masjid al-Aqsa ke tangan umat Islam.

Ayuh realisasikan impian asy-Syahid Obaida, Ahmad Yassin, Dr Rantisi dan sekalian syuhada Palestin yang tidak mampu mereka lihat ketika hayat hidupnya.


5 Responses to Konvokesyen UIAM : Asy-Syahid Obaida Terima "Ijazah" Lebih Besar Dari Allah

  1. Obaida...membuka paradigma,agar kita dapat berusaha bersama menjadikan UIAM sebagai Universiti madrasah Jihad pertama di Malaysia...Melahirkan generasi syuhada'...

     
  2. satu artikel yang memotivasikan IA pada pandangan hamba

     
  3. incek.loyer Says:
  4. ~menangisi sebuah pemergian sebaiknya mengharapkan sebuah kekuatan~ beruntungnya apabila dagangannya dibeli Allah~

     
  5. Anonymous Says:
  6. smoga syahid.. tp betul ke ada hadith yg mati syahid di plastin 2kli ganda dr tempat lain?

     
  7. Anonymous Says:
  8. smoga syahid.. tp betul ke ada hadith yg mati syahid di plastin 2kli ganda dr tempat lain?

     

Posting Sebelumnya

Integriti Maya

Sebarang pengambilan mana-mana bahagian daripada tulisan di sini adalah sangat digalakkan untuk disebarkan, namun perlulah mendapat izin daripada Iskandarfateh.

Ataupun, sila beri kredit bahawa anda mengambil mana-mana kenyataan tersebut dari Blog
Iskandarfateh ini.

Terima kasih. Saya sangat hargai kunjungan anda.

Montaj IPTC

Twitter With Me

Profail Blogger


Syaari Ab. Rahman merupakan seorang perunding motivasi terlatih. Profail lengkap beliau di "Hubungi Saya"