Pada saat-saat genting kegawatan kredit AS dan banyak ketidaktentuan makroekonomi khusus yang ditambah beberapa ketidaktentuan politik domestik saat ini, Pas tidak boleh terus berpada usahanya hanya sekitar mengumandangkan desakan-desakan yang lama dan sama sahaja walaupun diakui ia adalah permintaan yang selama ini dinantiharapkan oleh rakyat sejak PM mengumumkan kenaikan harga minyak secara mendadak beberapa bulan lepas. Dengan melihat krisis ekonomi domestik dan antarabangsa secara "bigger picture" ini, adalah lebih baik untuk Pas segera menampilkan "hero-hero ekonomi"nya untuk mencari titik pertemuan atau melakukan "muqabalah" dengan pimpinan Kerajaan di atas satu tekad yang sama bagi mencari penyelesaian dan formula konstruktif menurut Islam dalam menangani krisis kegawatan ekonomi. Tambahan pula, kerajaan BN-Umno yang tampak desperate akibat projek 16 September DSAI kini dilihat agak sedikit 'lunak' dengan Pas khususnya bermula dengan pemberian permit mingguan kepada Harakah sehinggalah kepada pengisytiharan kemenangan Sanglang dan Manir milik Pas pada tarikh 16 September itu sendiri, walhal ramai penganalisis politik meramalkan pilihanraya kecil akan dilaksanakan di DUN Sanglang sebagai tindakan desperate mengembalikan maruah Umno-BN selepas tumpas memalukan di pilihanraya kecil Permatang Pauh.
Daripada terus melondehkan polemik perbezaan pandangan dan clash of civilization (akibat perbezaan school of thought) di dada Harakah dan media bloggers, khususnya mengenai kewajaran 16 September dan isu-isu sewaktu dengannya, adalah lebih baik gerakan Islam seperti Pas - yang disebut-sebut "waiting goverment" dan "king-maker" dalam politik Malaysia - menonjolkan wibawa kemampuannya mentadbir dan mengemukakan agenda lebih konkrit dan realistik bagi menyelamatkan Malaysia, melalui 'pintu' yang paling dekat pada hati rakyat marhain dan kelompok majmuk pelbagai kaum di Malaysia iaitu pintu ekonomi.
DSAI juga dilihat turut sama melakukan tindakan sedemikian walaupun dilihat masih dalam kerangka kepentingan politik kepartian Pakatan Rakyat melalui agenda "bertempur dengan sistem" (meminjam perkataan Ustaz Yahya Osman mengenai DSAI) dan menumbangkan kerajaan BN-Umno secara "lompat" parti. Selepas formula "simple, but quite effective & attractive" di hati rakyat iaitu "hari ini perintah Malaysia, esok turun harga minyak" semasa Debat Agenda Daily, DSAI terus cuba memikat hati rakyat apabila membacakan semacam "scripts for the next chapters" dalam grand-design plan B 16 Septembernya. Kini, dengan menawarkan pakej pemulihan ekonomi Malaysia yang dilihat 'jalan keluar' kepada kroniknya ketidakstabilan ekonomi Malaysia saat ini, persis pendekatan ala-AKP Turki, beliau membuat kenyataan terbarunya :
"Saya telah bertemu dengan ramai pengurus dana di rantau ini, yang mewakili aset yang berjumlah USD 1 trillion dan mereka telahpun menyatakan sokongan mereka kepada perubahan menyeluruh di Malaysia termasuklah kebebasan kehakiman, media dan pihak polis serta agensi pencegah rasuah yang lebih professional, juga peraturan yang mesra pelabur dan jaminan tiadanya campur tangan ahli politik di dalam pengurusan Bank Negara. Inilah antara polisi yang dijanjikan oleh Pakatan Rakyat untuk dilaksanakan, dan insiatif inilah yang gagal diambil oleh pentadbiran sekarang terutamanya selepas 8hb Mac 2008."
Kini, rakyat pastinya menantikan pula apakah "tawaran" sebuah Parti Islam kepada polemik permasalahan negara dan dunia pada saat ini. Hero-hero ekonomi dalam Pas - seperti YB Husam Musa, YB Dzulkifli Ahmad dan lain-lain lagi - perlulah memainkan peranan lebih pro-aktif dalam mencetuskan gelombang yang tersendiri, momentum yang lebih "berdikari" sifatnya dan lebih fresh untuk dipersembahkan kepada 21 juta rakyat Malaysia berbilang kaum, khususnya kalangan golongan marhain yang mungkin tidak boleh dinafikan ada yang kecewa dengan kegagalan retorika 16 September.
Saya kira rakyat Malaysia - khususnya 90 % manusia untapped market di luar kepompong Pas - akan terkasima dan tersentak seketika, terhapus stigma negatif dan mentaliti stereotaip mereka selama ini kepada golongan ulama dan gerakan Islam seperti Pas untuk mentadbir Malaysia dan menjadi Perdana Menteri (jika masih mahu didebatkan), andaikata icon dan ideolog terpenting Pas seperti Tuan Guru Mursyidul Am ataupun Tuan Guru Presiden mampu membuat bukan lagi semata-mata pukulan kritikan bertali arus kepada kegagalan pengurusan kewangan dan ekonomi Malaysia di bawah kerajaan BN-Umno, tetapi juga kenyataan-kenyataan bersifat problem-solving yang brilliant, saranan formula-formula yang konstruktif untuk merawat ekonomi Malaysia. Golongan-golongan pemikir dalam Pas perlu membantu Tuan-tuan Guru kita dalam mengemukakan gagasan formula solusi ekonomi di atas walaupun dengan laras bahasa mereka sendiri.
Bukankah Islam Is The Way Of Life, Islam Is The Solution, Al-Islam Huwal Hall sebagaimana yang dislogankan dalam perjuangan parti ? Saya optimis golongan ulama jualah lebih layak dan lebih arif untuk mentafsirkan kepada Malaysia bagaimana kegeligaan dan kepakaran Yusuf a.s, Nabi Allah berpangkat Menteri Kewangan Mesir, dalam membina perbekalan dana kewangan pusat tamadun dan peradaban dunia ketika itu, sebelum tiba saat getir kemarau panjang 7 tahun.
Saranan-saranan penulis kritis seperti berikut sangatlah wajar diambil perhatian pimpinan PR.
Kita kurangkan kegiatan politicking dahulu dan cuba kenal pasti beberapa penyelesaian dan langkah-langkah keselamatan dalam menangani krisis ekonomi dunia yang bakal mengheret kita semua, tidak kira Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat ke dalam kancah yang cukup tragik kelak. Dan saya pasti antara golongan yang paling rugi adalah anak muda (baca: bakal graduan) kerana tidak mengerti sepak terajang ekonomi dunia masa kini. Ayuh, kurangkan politik kepartian mari kita selamatkan anak bangsa kita bermula dengan pemahaman ringkas berkenaan masalah ini. - Sosialis Kanan
Sebagai rakyat marhaen dan biasa, perkara yang paling merimaskan kita sekarang ini ialah kekalutan ekonomi negara yang (salah satu faktornya) dipengaruhi oleh kemelesetan ekonomi Amerika Syarikat. Kita sedang mencungap, dalam keadaan apa pun. Dan kerimasan serta ketidakselesaan kita tidak dibantu oleh ahli politik yang telah kita pilih dalam pilihanraya Mac lalu. Kedua-dua belah pihak (mungkin lebih dari dua) terheret dalam perang propaganda yang menjejaskan tumpuan kerja kita, rakyat. Propaganda yang 'berkesiuran di langit politik' ini amat amat amat menjejaskan emosi, fokus, daya kerja dan mood rakyat biasa. Penat menunggu 16 September, dihadapkan pula penunggu baharu 9 Oktober. Dalam kepanikan ekonomi, saya kira negara harus diutamakan dari kepentingan kumpulan sendiri. Bekerjalah dengan apa yang sudah ada. Peluang untuk menunjuk bakat yang diberi oleh rakyat Mac lalu jangan dipersiakan. Negara lebih penting dari parti. Lebih penting dari diri. Tuan-tuan, bekerjalah dengan cara sendiri untuk memajukan Malaysia. Tidak kira apa bangsa dan agama pun kita harus menjadikan Malaysia keutamaan. Memajukannya dalam lapangan apa pun- Faisal Tehrani
Akhirulkalam, sama-sama fikirkan pepatah Inggeris :
“The difference is that a statesman thinks he belongs to the State, and a politician thinks the State belongs to him” -James Freeman Clarke
0 Responses to Krisis Ekonomi : Masa Terbaik Pas Tampilkan "Hero" Ekonominya