Sah, gelombang 16 September bermula dari Pas tanpa diduga, nun jauh di utara dan timur Malaysia, Sanglang dan Manir. Jadual Allah mengatasi jadual manusia.
Sah, jadual 16 September ditangguhkan! PR akhirnya akur pada ancaman tindakbalas huru hara dan "game" mainan intelegen Umno-BN. Silap sedikit sahaja langkah PR menuju Putrajaya pada hari ini, mereka sudah bersiap sedia dengan pelan Mageran, Operasi Lalang 2 dan sebagainya. Mujurlah, alhamdulillah, tenang seketika saya menyaksikan sebab penangguhan melalui surat PR pada PM.
Dalam surat memohon pertemuan pada PM, PR meminta Kerajaan BN tidak menahan ahli-ahli Parlimen yang baru menyertai PR atau sedia ada di bawah ISA, tidak mengisytiharkan darurat dan menggunakan Polis untuk menghalang kemaraan PR membentuk kerajaan. DSAI memberi jaminan PR akan patuh kepada undang-undang negara dan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong. Beliau meminta PM dapat berjumpa dengan PR untuk memulakan proses peralihan kuasa dengan licin dan aman.
Alhamdulillah. Biarlah mungkin dituduh "menipu rakyat" dengan gagasan 16 September, namun keputusan sepakat memilih untuk menerima mudharat kecil dan seketika bagi mengelakkan mudharat lebih besar dan berkekalan seperti pernah berlaku pada Kelantan pada 1977 (yang kesannya adalah bukan 12 bulan, tetapi 12 tahun lamanya) adalah antara siri-siri kebijaksanaan berpolitik yang perlu ada dalam tajribah gerakan Islam. Benarlah kata pepatah Inggeris, "that men do not learn very much from the history is THE MOST important lesson of all history."
Tiada apa yang pelik bagiku jika rata-rata penganalisis politik pesimis pada pelan 16 September kerana tidak wujud "riak-riak" agresif menuju ke arah itu. Yang ada cuma beberapa cebisan aksi dari Ahmad Ismail, Muhyidin Yasin dan Zaid Ibrahim yang mungkin belum mampu menTitanickan BN. Tambahan pula, nama-nama MP BN yang akan hijrah masih terus jadi misteri. DSAI masih merahsiakannya ketika asakan media menghala kepada topik terbesar itu.
Sepi, misteri, rahsia.... semacam tidak wujud apa-apa. Benarkah begitu skrip 16 September ? Mandom ?
Teringat saya kebijaksanaan Nabi S.A.W ketika melafazkan doa penuh 'strategis' (cermin gabungan aqidah yang utuh dan ikhtiar yang strategik) selepas mengemukakan usul tergempar kepada para Sahabah untuk kembali menawan Makkah sebagai respon kepada akurjanji Hudaibiyah yang telah dicabuli musuh.
اللّهم خُذ على قريش أبصارهم فلا يروني إلاّبغتةً ولا يسمعون بي إلاّ فجأة
"Ya Allah cabutlah penglihatan orang-orang Quraisy sehingga mereka tidak akan melihat kedatanganku kecuali dalam keadaan tiba-tiba (elemen kejutan) dan tidak mendengar rencanaku ini kecuali mendadak (elemen kerahsiaan)"
Apalah yang ada pada tarikh 16 September, kata sesetengah bloggers. Aku bersetuju. Betul lah, kenapa nak diagong-agongkan sangat, walhal tarikh-tarikh lain, samada mengikut kalendar sejarah Malaysia, mahupun kalendar sejarah Islam, 16 September tidaklah banyak beza pun dengan tarikh-tarikh lain. Namun, sedar tak sedar, tarikh itu sudah jadi tarikh "berhantu" pada BN. Semacam dah jadi satu bom "C4" yang berjaya mengharubirukan BN (yang sepatutnya Pas tidaklah juga terkena tempias letupan yang dilancarkan itu). Dari isu Ahmad vs Gerakan kepada usul Muhyidin mahu mempercepat peralihan kuasa sehinggalah kepada perletakan jawatan seorang Menteri, sudah cukup menimbulkan tanda tanya pada rakyat, stabilkah kerajaan pemerintah pada hari ini ? Diramalkan, pelbagai lagi aksi-aksi pecah belah dalam BN akan berlaku lagi hanya kerana "tarikh berhantu" itu- walhal ia hanya semata-mata tarikh, suatu gagasan idealistik PR semata-mata.
Ya, itulah elemen "ketakutan", bom itu dilontar terus dalam kubu musuh.
Mengingati Fathu Makkah dan "art of war" Nabi S.A.W, ketika pasukan Islam sudah sampai di pinggiran kota Makkah, Rasul Allah S.A.W memerintahkan 10,000 tenteranya untuk menyalakan api di atas gunung dan bukit-bukit sekitar Makkah dari arah Madinah. Untuk apa Rasulullah melakukan aksi itu ? Perang atau semata-mata propaganda ? Benar, Nabi S.A.W mahu menciptakan rasa gerun pada penduduk Makkah. Baginda juga meminta agar setiap orang dari tentaranya membawa obor di tangan sehingga akan tampak sebuah garis memanjang dari api. Semua itu adalah untuk menunjukkan kepada penduduk Makkah bahwa yang datang kali ini adalah pasukan muslimin dalam jumlah yang sangat besar. Dengan strategi "fear factor" yang berjaya diwujudkan itu, lantas Rasul Allah S.A.W mengutus Abbas, bapa saudara baginda untuk membuat "sidang media" penting di hadapan warga Makkah agar kepimpinan politik Makkah mestilah menyerah diri terhadap pasukan muslimin dan tidak mengadakan perlawanan senjata. Maka berlakulah apa yang berlaku.
Bermula detik bersejarah Fathu Makkah bukan kerana tentera Islam yang dibunuh, tetapi kerana pengkhianatan terhadap rakan-rakan sekutunya non-Muslim (zimmi) dalam "Pakatan" Hudaibiyyah Rasulullah (Bani Khuza'ah) yang diserang proksi Quraisy iaitu Bani Bakar. Namun, kesetiaan Rasulullah S.A.W pada perjanjian dengan Pakatan baginda, disulami jiwa besar baginda dan kebijaksanaan penuh kerapian baginda merencana "counter attack" musuh, akhirnya telah menatijahkan Makkah akhirnya tunduk di tangan Nabi S.A.W.
Marilah kita mendoakan supaya di celahan hiruk pikuk politik Malaysia dalam bulan penuh keberkatan Ramadhan ini, Allah S.W.T mampu memberikan kemenangan yang nyata (fathun mubin) tanpa pertumpahan darah (yang biasanya bermula dengan bibit perpecahan dan ketidakstabilan politik) sebagaimana Dia memberikan kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W 1428 tahun dahulu. Nusrah itu datang selepas Nabi S.A.W menggunakan segenap kebijaksanaan (fatanah) merancang strategi, mencatur penuh kerahsiaan misi menawan Makkah, berpaksikan keyakinan pada hikmah syura dan intelegensia Khalid al-Walid dan para Sahabah yang lain, dan bersuluhkan wahyu Allah S.W.T bagi berhadapan dengan barisan musyrikin Makkah. Akhirnya, Rasulullah memasuki Makkah, dengan menunduk, merendahkan diri karena Allah. Beliau mengulang-ulang bacaan surat Al Fath sampai tiba di Baitullah.
Semoga 20 Ramadhan 1429 H = 20 September 2008 (tarikh paling rajih pada perkiraan jadual manusia dlm PR) mampu mengembalikan nostalgia Fathu Makkah di Malaysia, dalam erti kata yang sebenar-benarnya (fathun mubin). Al-Quran menamakan Fathu Makkah (Pembukaan Makkah) dan tidak menamakannya sebagai 'menawan' atau 'menyerang' atau 'menakluk' bagi menyatakan kejayaan terbesar sesuatu peperangan adalah apabila kemenangan itu berlaku tanpa pertumpahan darah (memetik kata Tsu Dzu "The Art of War").
"Sesungguhnya kami telah berikan kepada kamu kemenangan yang nyata. (Kemenangan ini) Untuk tujuan Allah mengampunkan segala dosa-dosa kamu yang sebelum dan selepas kemenangan itu." - Al-Fatah
0 Responses to 20 Ramadhan 1429 H : Menanti "Fathu Makkah" di Malaysia