“Bacaan Sirah Nabawiyah khususnya peristiwa peperangan Rasulullah S.A.W dan pengurusan strategi-strategi perang baginda kebanyakannya hanya menjawab persoalan "what, when, where, who dan how". Tetapi sangat jarang buku sirah menawarkan jawapan kepada pertanyaan "why" kepada wujudnya pelbagai perubahan-perubahan strategi-strategi perang Rasul.” – Dr. Syahidin, "Muhammad S.A.W On The Art of War" (tulisan Yuana Ryan Tresna)
Hakikatnya banyak rahsia-rahsia perang Rasul yang tidak sampai kepada pengetahuan kita umatnya pada saat ini kerana kehebatan soal kerahsiaan strategi dan gerakan politik Nabi sama ada perang Badar, Fathu Makkah, Perang Tabuk dan lain-lain. Hanya ketajaman minda siasah sahaja dapat menanggapi rahsia-rahsia “the Art of War” Rasulullah tersebut.
Ketika perang Uhud, tatkala situasi berbalik merugikan tentera Islam akibat kesilapan pasukan pemanah, baginda Rasul segera merencanakan “plan B” iaitu menukar kepada formasi pertahanan (alternative defensive), iaitu dengan menempatkan para sahabatnya di posisi belakang mereka sebelumnya (sebelum formasi serangan yang menatijahkan ghanimah) sehingga semua pasukannya yang bertempiaran lari kembali berkumpul di sekelilingnya dan menggagalkan rencana musuh untuk membunuh Nabi S.A.W dan menyapubersih para Sahabat dari muka bumi. Dalam perang Hunain, sekali lagi baginda melancarkan formasi serangan balas (counter attack) dengan kecekapan dan kemahirannya mengumpulkan pasukan yang telah bertempiaran lari sehingga kekalahan menjadi kemenangan. Hakikatnya, jika dikaji kesemua rahsia-rahsia kemenangan perang Rasul, baginda Rasul menggunakan pelbagai formasi (bukan satu dua formasi atau taktik sahaja) untuk pasukan tenteranya secara rasional.
Dalam semua misi perang, baginda berusaha memperkecil risiko kerugiannya. Mempertahan keamanan military adalah keutamaannya. Beliau membentuk unit rahsia, perisikan dan pasukan komando untuk mencapai tujuan ini. Tsu Zu pernah menyebut bahawa “mengalahkan lawan tanpa bertempur itulah puncak kemahiran. Jenderal yang menang setiap pertempuran bukanlah jagoan sejati. Membuat musuhmu kalah tanpa bertempur, itulah kuncinya.”
Itulah prinsip itu sudah diterjemahkan Rasul 1400 tahun dahulu ketika deklarasi-deklarasi perang secara ‘mengejut’ dari Nabi menghancurkan moral dan kemahuan musuh sebelum pertempuran bermula. Penggunaan kaedah propaganda, serangan psikologi, unsur kejutan dan ketangkasan dalam serangan besar atau kecil membuatkan musuh jatuh egoismenya dan terentap mentalnya sebelum berperang lagi. Tujuan utamanya adalah menghentikan serangan musuh dengan kerugian jiwa sekecil mungkin. Baginda menjalankan prinsip ini dengan sangat ketat. Jika musuh telah dikalahkan dan kemampuan tempur telah dihancurkan, baginda tidak pernah mengejar musuh yang melarikan diri untuk membunuh mereka.
Ketika Nabi menerima berita koalisi Khaibar sedang bergabung untuk memerangi Madinah, baginda membuat pengumuman secara terbuka (baca : kenyataan media) kepada para Sahabatnya mengumumkan keinginannya untuk melaksanakan ibadah umrah pada tahun ke-6 Hijrah. Hakikatnya, Nabi S.A.W bukanlah meletakkan umrah itu matlamatnya. Kenyataan membuat umrah hanyalah “political statement” atau taktik perang sahaja. Buktinya, Rasulullah merasa puas hati dengan perjanjian damai Hudaibiyyah walaupun umrahnya tidak terlaksana.
Saya melihat tindakan Anwar mengishytiharkan akan bertanding di Permatang Pauh - bahkan pengishytiharan lebih awal dibuat secara berani sebaik sahaja berada di penghujung Debat Turun Harga Minyak - mempunyai "nilai" politik yang tersendiri. Bagi saya, saya tidak melihat Anwar akan melalui laluan mudah untuk menjadi PM sebagaimana optimisme ramai ahli politik dan bloggers. Anwar membuat kenyataan akan bertanding dalam PRK sebenarnya untuk merapuh dan meruntuhkan moral BN yang sedang giat aktif melancarkan fitnah dan ‘meliwat’ karier politiknya. Pengishytiharan itu juga sebenarnya satu "motivation statement" untuk mengukuhkan semula hubungan PAS-PKR-DAP dalam PR - yang nampak agak rapuh selepas isu muzakarah - melalui kerjasama yang akan terjalin dan ‘bersatu’ semula demi Permatang Pauh menghadapi musuh yang satu. Pengishytiharan itu juga sebenarnya untuk mengukuhkan semula hasrat ahli-ahli Parlimen BN yang mungkin semakin takut untuk melompat ke PR kerana melihat tindakan jahat Umno-BN membunuh karier politik sesiapa sahaja yang meninggal atau melompat keluar darinya.
Justeru, sama ada Anwar mampu bertanding atau dinafikan hak bertanding atau menang dengan majoriti lebih besar atau lebih kecil atau kalah akibat konspirasi SPR atau apa sahaja yang tidak mustahil berlaku, yang penting kenyataan Anwar tersebut hakikat mahu mencapai 3 objektif tersebut.
0 Responses to Di Sebalik Anwar Ke Permatang Pauh...