Content feed Comments Feed

Barang siapa yang memiliki pengetahuan mendalam tentang dirinya sendiri dan musuh nya, maka dia ditakdirkan untuk memenangkan semua pertempuran. Barangsiapa yang memahami dirinya sendiri tetapi tidak dapat memahami musuhnya, dia hanya memiliki peluang sama besar untuk menang. Barangsiapa yang tidak memahami dirinya sendiri dan juga musuhnya, dia sesungguhnya ditakdirkan untuk kalah dalam pertempuran..Kenalilah musuh anda, kenalilah dirimu sendiri dan kemenangan anda tidak akan terancam. Kenali lapangan, kenali iklim dan kemenangan anda akan lengkap..kenalilah dirimua dan musuhmu, maka kamu tidak akan kalah dalam 100 pertempuran." - Intelegen Perang Cina, Sun Zu, The Art of War

Saya pernah menyatakan pandangan saya mengenai KJ dalam posting sebelum ini (klik sini Keberanian Khairy Berdebat Isu PPSMI Wajar Dicontohi).

"Bagi saya, lebih baik Khairy Jamaludin menjadi Ketua Pemuda Umno kerana sosok tubuh ini - berbanding YB Khir Toyo dan YB Mukhriz Mahathir - akan menyebabkan para Pemuda Pas dan gerakan Islam tidak akan mampu bergoyang kaki terus selesa dengan kelahiran para pemimpin muda yang tidak bersedia untuk berdepan hujah secara bersemuka atas apa jua platform Debat Perdana, Hujah (TV9) dan sebagainya. Era gerakan Islam PAS pada masa akan datang adalah lebih mencabar dan berhajatkan seorang pemimpin yang berminda negarawan, mampu berdepan secara bersemuka dengan mana-mana pemimpin parti lawan, membina jambatan antara mereka yang tidak sealiran, mengharmonikan konflik antara pertembungan peradaban, mengkaji pelbagai jenis aliran pemikiran semasa. Debat seperti anjuran TV9 dan Forum seperti anjuran mahasiswa Ma'ruf Club adalah satu siri-siri 'tarbiyah' yang akan menguji sejauhmana kehadiran dan kewibawan Pemuda Pas dalam menyatakan pendirian dan idealisme di hadapan panel lawan dan kelompok audience yang pelbagai, bukannya berceramah secara satu hala tanpa mendengar hujah langsung dari pihak lain."

Tiada apa yang baik mengenai isu integriti (akhlak) kepimpinannya yang tidak perlu saya kupas, cukuplah bloggers pembangkang mengulasnya, ada yang mampu memaparkan fakta-fakta menakutkan mengenai bahananya, tidak kurang juga yang hanya menghentam dengan luahan emosi yang hujahnya simplistik.

Apapun, tiada salah pada aqidah saya mendoakan suatu ketika nanti tokoh muda inilah kelak yang akan memilih perjuangan Islam sebagai pentas akhirnya, sebagaimana Nabi S.A.W mendoakankan supaya salah satu Umar, tokoh politician muda di dalam masyarakat Arab Jahiliyyah menjadi sebahagian dari vertebrata dakwah Nabi S.A.W. Tidak dapat saya bayangkan andaikata tokoh seperti Anwar Ibrahim dan Khairy Jamaludin ini kelak bergabung lantas berada dalam saff perjuangan Islam kalaupun tidak dalam parti Islam. Tokoh dari parti Islam bagaimana ? Jika mengenepikan aspek syariatullah, Khairy Jamaludin adalah pakej pemimpin muda yang lengkap aspek sunnatullah bagi saya.

Apapun, izinkan saya terus mengambil "hikmah yang hilang" dari kepimpinan gerakan Islam tetapi ia ada pada Khairy Jamaludin. Saya berpegang pada kata-kata intelegen Islam Saidina Ali sahabat Nabi S.A.W bahawa ambillah kebenaran walaupun dari lidah musuh kamu.


Apabila Khairy, 36 dilihat pencabar kompeten Anwar, 61

Lihat pandangan unik blogger Mohd Sayuti Omar apabila beliau mengulas implikasi kemenangan Khairy dengan sangat tuntas dan futuristik, sehingga menampakkan Khairy adalah klon Anwar dalam Umno, katanya :

"Ada beberapa perkara menarik tentang Khairy yang meletakkan kemenangan baginya.
  • Ada keberanian dan bersikap terbuka dan melatari suasana semasa.
  • Gigih, tabah menghadapi kecaman ke atasnya terutamanya oleh Dr Mahathir Mohamad.
  • Mempunyai keyakinan diri yang kuat dan sanggup menerjah sesiapa saja dengan pandangan dan akalnya sendiri.
  • Dia juga lebih rapat dan mesra dengan pemuda.
  • Perwatakannya menampakkan kepemudaan berbanding dengan dua calon lain.
  • Mendapat simpati apabila beliau dikacau oleh Lembaga Disiplin.
  • Kerana langsung tidak didokong oleh bapa mertuanya, Abdullah Badawi.

Kehadiran Khairy jangan dipandang sepi oleh parti pembangkang. Tanggapan Umno akan hancur dengan Khairy menjadi ketua pemuda rasanya kurang tepat dan seolah menarik lastik tanpa ada batu dalam pelapiknya. Tanggapan dan tuduhan ini tidak mudah untuk menguburkan Umno di tangan Khairy.

Sudah tentu sebagai seorang yang mempunyai political will yang tinggal Khairy akan cuba memperbaiki dirinya, mempamirkan kepimpinannya dan paling bahaya ialah idea geliga yang ada kepada menantu bakal bekas perdana menteri ini cukup mencabar oposisi.

Petunjuk awal boleh dilihat semasa beliau berucap selepas diumumkan sebagai ketua pemuda Umno baru. Penuh bersemangat, bervisi dan mempunyai gerak body yang sesuai dengan citarasa pemuda dan saya yakin ramai juga puteri yang teruja dengan kemenangan Khairy itu.

Melihat kepada ucapan dan gaya Khairy selepas diumumkan kemenangan itu entah kenapa ingatan saya terhimpau pada tahun 1982 dulu ketika mana Anwar Ibrahim memenangi jawatan ketua pemuda Umno dengan mengalah Suhaimi Kamaruddin. Kalau tidak silap juga dengan undi sekitar 50. Ada aura Anwar di keliling Khairy.

Inilah yang parti pembangkang kena awasi. Terutamanya Pas yang juga akan memilih ketua pemuda baru memerlukan pemuda yang setanding dari segi semangat, kelimuan dan pengalaman politik yang mantap.

Ingat untuk berhadapan dengan Khairy tidak cukup kalau setakat mengungkitkan apa yang dituturkan oleh Dr Mahathir ke atasnya selama ini atau mengungkitkan soal kekayaan Khairy menerusi rangkaian perniagaannya.

Mencerita kekayaan orang lain dengan kita sendiri tidak rajin berusaha adalah kerja kurang cerdik. Keburukan lama seseorang itu akan terhapus dengan wibawa dan keyakinan tinggi yang bakal ditunjukkan dari masa ke semasa "


Faisal Tehrani turut sama mengulas sudut lain kekuatan Khairy :

"Saya berpendapat, dalam konteks dan aspek yang kecil (tetapi penting); setelah mengekori siri ucapan Khairy Jamaluddin; saya dapati beliau bertutur dan berucap dengan bahasa Melayu yang lancar dan fasih. Malah saya berpendapat beliau lebih banyak menggunakan bahasa Melayu berbanding Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri. Ini misalnya saya saring dan nilai menerusi beberapa sidang media kedua-dua pemimpin ini. Di sebalik pelbagai kontroversi mengenai ahli parlimen Rembau, Saudara Khairy ini, setidak-tidaknya paling kurang beliau telah menunjukkan keinginan untuk berbahasa Melayu yang tinggi. Sikap ini meraih minat saya sebagai pengarang sastera Melayu. Saya berharap sikap ini datang dari dalam sanubarinya memandangkan beliau sekarang sedang memimpin parti yang asasnya Melayu."

Kerabu Bersuara pula bagi saya mengulas bagaimana kemampuan KJ mencipta kesilapan dan berani melakukan kesilapan itulah ciri sebenar kepemudaan yang tulen, bukan pemuda yang 'dituakan' terlalu awal sehingga anugerah "akal segar" oleh Tuhan kepada anak muda itu lebih penting dari "tenaga"nya untuk digunakan sebagaimana banyak terdapat dalam pemikiran dan mentaliti "orang-orang tua" :

"Dia dilihat bersedia berhadapan cabaran. Walau pun pernah dilabelkan sebagai beban Umno, nampaknya dia berusaha keras membuktikan sebaliknya. Usahanya menjatuhkan Kelantan dalam PRU yang lalu meletakkannya dalam situasi defensif. Namun, berbekalkan kemudaannya dari segi usia, ketrampilan dan gaya berbanding dua lagi saingannya yang tewas, dia dirasakan mampu menyuntik semangat baru kepada pemuda Umno.

Dari segi gerak kerja politik pula, Khari memang seorang yang tangkas. Lihat, dalam keadaan dia disabitkan rasuah pun dia masih boleh menang. Serangannya kepada Kelantan dalam PRU yang lalu menarik tumpuan khusus Pas untuk berdepan dengannya. Dia menggerakkan secara berkesan jentera Umno untuk menarik orang Kelantan yang berada di luar Kelantan untuk balik ke Kelantan dan mengundi BN. Soal orang yang balik dalam programnya dan tidak mengundi BN itu isu lain, tetapi usahanya itu yang sepatutnya menjadi isu."


Saya tidak nampak pesaing terbaik menggantikan YB Salahudin Ayub kecuali YB Mahfuz Omar. Saya masih tidak melihat siapakah end product tarbiyah jamaah Islam kampus mahupun akademi kepimpinan pemuda Pas yang mampu menyaingi Khairy mahupun Salahudin Ayub, atau kita hanya mampu berdoa dan berdoa Allah akan memenangkan Islam, tanpa keseriusan agenda pembinaan kualiti kepimpinan world-class dan politician statesman dari rahim gerakan Islam itu sendiri, atau kita hanya terus berpuas hati dengan lahirnya ramai amilin dan murabithin, namun terus selesa ketandusan golongan pemimpin, pemikir dan pemidato yang berkesan mengubah emosi, persepsi dan aqidah rakyat ?

Kini bukan lagi masa untuk saya mahu pesimis dan kritis kepada Pas selepas YB Salahudin Ayub akan meninggalkan kerusi Ketua Pemuda Pas muktamar Pas akan datang. Tetapi ingin saya cabar diri saya bahawa "kamulah Khairy dalam gerakan Islam" tersebut. Ya, saya mahu membina persiapan sebelum umur 32 tahun (usia KJ melakar karier baru politiknya kini sebagai bakal Menteri Pelajaran paling muda, atau Perdana Menteri paling muda di Malaysia). Tuhanku, bantulah daku memenangkan Islam dalam era globalisasi maklumat ini.

2 Responses to Usah Remehkan Kemenangan Khairy (Ketua Pemuda UMNO)

  1. ROHAN Says:
  2. Bagus! Tahniah! Beginilah gunanya ilmu analisa peperangan. Peperangan secara politik. Teruskan menganalisa. Saya adalah seorang yang mengikuti analisa anda.

     
  3. authors Says:
  4. ana doakan lebih ramai pemuda-pemuda islam yang mempunyai ciri2 al-amanah dan al-quwwah yg menjadi prsyarat kemengan islam....teruskan usaha ustaz...

     

Posting Sebelumnya

Integriti Maya

Sebarang pengambilan mana-mana bahagian daripada tulisan di sini adalah sangat digalakkan untuk disebarkan, namun perlulah mendapat izin daripada Iskandarfateh.

Ataupun, sila beri kredit bahawa anda mengambil mana-mana kenyataan tersebut dari Blog
Iskandarfateh ini.

Terima kasih. Saya sangat hargai kunjungan anda.

Montaj IPTC

Twitter With Me

Profail Blogger


Syaari Ab. Rahman merupakan seorang perunding motivasi terlatih. Profail lengkap beliau di "Hubungi Saya"