Antara perkongsian saya berikan kepada mahasiswa di Pusat Persediaan Luar Negara, UiTM Shah Alam baru-baru ini adalah bagaimana cara melihat yang betul (shift-paradigm) kepada Ramadhan, tetamu agung yang akan tiba. Saya membawa analogi seorang yang pengotor yang berselerak rumahnya, namun apabila mengetahui pada esok hari tunang kesayangannya akan datang membawa hantaran dan keluarga, usahkan dia akan bertukar menjadi seorang yang sangat kemas, bahkan sanggup untuk tidak tidur malam bagi memastikan "first impression" seorang manusia yang akan hidup selamanya dengannya memulakan persepsi yang baik pada dirinya. Kenapa berlaku perubahan karakter secara tiba-tiba padanya ? Sudah pasti kerana dia sangat mengenal dan menyayangi tunangnya itu, bahkan rasa disayangi. Setiap yang merasai dirinya disayangi akan melakukan apa sahaja untuk memenangi hati yang menyayangi.
Demikianlah juga dengan bulan Ramadhan yang diciptakan dengan sangat istimewa kepada ummat Muhammad, tidak diberikan pada ummat terdahulu. Berbanding bulan-bulan Islam yang lain, bulan Ramadhan adalah bulan yang paling sarat dengan adegan "percintaan" dan sejarah pengorbanan kerana "cinta", bukan antara hamba dengan hamba yang kebanyakannya tersasar dari orbit sang Pencipta, namun antara hamba itu sendiri dengan Pencipta.
Kecintaan yang mengundang rasa mahu bertemu Tuhan lebih penting dari terus kekal di atas dunia, perasaan luarbiasa dan sangat dahsyat menyebabkan rekod kuantiti kemenangan peperangan tentera Islam di bulan Ramadhan berbanding bulan-bulan lain adalah "unbeatable".
Video klip Muslim Youtube Emirates yang sangat membakar semangat dan merubah paradigma kita tentang Ramadhan. Pendekatan animasi berkualiti dahsyat MYE ini mungkin akan menjadi sasaran perbincangan saya nanti untuk penerbitan atau perkongsian bagi menjayakan cita-cita Pawagam Islam .
Aksi Tariq bin Ziyad dalam pertempuran Ramadhan menawan Andalus
Tidak perlu pelik kerana pada bulan inilah juga turunnya "surat cinta" dari sang Pencipta kepada Rasulullah demi keselamatan umatnya di akhir zaman.
Satu persatu saya menceritakan kepada mereka episod percintaan Rasulullah dengan umatnya. Dari kerinduan dan titisan airmata di hadapan para Sahabat kerana mahu bertemu umatnya sehinggalah kepada memohon pada Allah agar umatnya dikurniakan dengan satu malam yang mampu umatnya melakukan amalan menyamai umat yang berumur panjang di zaman dahulu. Dengan rasa cinta itulah, Lailatul Qadar dihadiahkan Allah pada ummat Muhammad.
Bukankah tanda rahmat dan cinta Allah kembali berputik pada kita apabila bila Ramadhan tiba, kita yang sangat jarang menunaikan solat berjamaah, tiba-tiba dianugerahkan "rasa bersalah" jika tidak ke masjid menunaikan solat Isya berjamaah, bahkan solat Tarawikh ?
Bukankah kerana rahmat dan kasih sayang Allah kita yang selalu tidak menjaga solat Subuh pada waktunya, tiba-tiba dengan kedatangan Ramadhan, agenda sahur mendisiplinkan solat Subuh kita ?
Bukankah kerana rahmat dan cinta Allah kita yang selalu jauh dari al-Quran, terlalu jarang membacanya, namun kedatangan Ramadhan menyebabkan kita dihimpit perasaan untuk sekurang-kurangnya untuk membaca al-Quran kalaupun tidak mengkhatamkannya.
Bukankah kerana rahmat dan cinta Allah, kita yang selama ini boros berbelanja makan dan tidak menjaga kesihatan dengan amalan pemakanan yang mengikut hawa nafsu, namun Ramadhan hadir menjadi "doktor" pemakanan paling berkesan pada fizikal dan spiritual kita ?
Sebab itu saya melakukan modul "melihat dengan pandangan mata hati" pada adik-adik UiTM pada malam tersebut, kerana Ramadhan menjanjikan piala dan hadiah yang sangat dahsyat, namun kesemua itu tidak mampu dilihat dengan matakasar, tetapi hanya mampu dilihat dengan mata hati, petandanya ketenangan di dalam sanubari.
Lihat lagi gambar
0 Responses to Ramadhan, "Honey Moon" Hamba Dengan Sang Pencipta