Content feed Comments Feed

Alhamdulillah, Sabtu lepas saya berkesempatan memenuhi jemputan rakan-rakan PKPIM untuk AGM mereka. Walaupun tidak memakai 'jersi' Gamis, namun sahabat-sahabat di sana masih tetap menganggap kehadiran saya, isteri dan saudari Syahidat dari Ma'ruf Club UIAM sebagai mewakili Gamis, tak mengapalah, bukan persoalan besar.


Yang penting, ukhuwwah yang pernah terjalin antara saya dan rakan-rakan lama aktivis Pkpim dalam I.M.A.M (front mahasiswa Wufi-Pkpim-Karisma) di UIAM 3 tahun lepas kembali bertaut di sini. Alhamdulillah, terasa besar sedikit jiwa ini dan terbuka sedikit jaluran paradigma melihat isu-isu besar negara pada saat ini.


Berikut beberapa perkongsian penting dari saya sepanjang di Wisma Belia tersebut :

1. Pada awalnya kami kecewa kerana tidak bersempatan mengikuti pidato YB Dato Saifudin Abdullah, satu-satunya menteri 'intelek' dalam kabinet PM Najib Razak. Apatah lagi mendengar khabar dari sahabat-sahabat Pkpim bahawa Dato Saifuddin menyerlahkan 'dirinya yang sebenar' dalam pidato tersebut, mengungkap dengan jelas dan mantap idealisme dan halatuju perjuangan mahasiswa dan anak muda Malaysia.

2. Apa yang boleh dijadikan iktibar bagi gerakan mahasiswa Islam dan Gamis adalah bagaimana Pkpim bukan sekadar menjadikan muktamar tahunan mereka sekadar perbincangan isu-isu remeh temeh dan permasalahan picisan dan terbitan, bahkan mereka mampu menjadi agenda-agenda besar mempertegas dasar-dasar kenegaraan dan isu-isu penting untuk melatih minda 'negawaran' pada ahli-ahli Pkpim yang datang untuk bermuktamar.

Tidak salah bagi saya andaikata Gamis memulakan muktamar mereka nanti dengan memanggil sifu-sifu aktivis-intelek kita untuk memaparkan terlebih dahulu 'the big picture' Malaysia dan gerakan Islam sebelum persoalan halatuju dan kedudukan Gamis dibincang, dikritik mahupun direncana. Supaya perbincangan dan perbahasan adalah bersifat muhasabah yang futuristik, bukan destruktif. Cadangan ini mengambilkira tidak semua ahli Gamis hadir dalam Kongres Rejuvenasi Gamis baru-baru ini jika nak dibandingkan dengan kapasiti kehadiran ke Muktamar nanti.

3. Slot paling menarik adalah slot 3 pidato selari pada petang tersebut, dan saya memilih kumpulan kecil yang membicarakan soal "integriti dalam pembinaan jatidiri" yang dibentangkan oleh Encik Anuar Haji Ahmad, Pemangku Pengarah Sosiobudaya, Institut Integriti Malaysia dan kemudiannya diulas oleh sahabat saya saudara Wan Ahmad Faysal dan Naib Presiden Pkpim.

Antara dapatan menarik dari Encik Anuar adalah muqaddimah beliau yang menyebutkan kebanyakan empayar-empayar besar dunia secara sunnatullahnya membuktikan kesemua tumbang kerana masalah integriti kepimpinannnya. Lihat sahaja empayar Rom, Parsi, Mongol, Srivijaya, termasuk juga empayar Islam Abbasiyah dan Usmaniah.



Selain itu, perkongsian menarik beliau adalah pengalaman dua bulan beliau dihantar IIM ke Jepun untuk mengkaji sifat integriti dan menghargai masa mereka. Orang Jepun akan berada di pejabat atau sesuatu event lebih awal sejam dari yang dijadualkan. Manakala mereka akan balik secara normalnya pada 2-3 pagi, bukan jam 5 petang seperti kita di Malaysia. Apa yang lebih menarik, bagaimana isteri mereka akan mengutuk suami mereka sekiranya mereka balik lebih awal dari kebiasaan 2-3 pagi tersebut kerana suami mereka sudah tidak beramanah dengan kerja di pejabat. Para isteri di Jepun akan bangun dari tidur mereka untuk menyambut suami mereka, membuangkan stokin dan kasut suami mereka yang kepenatan dan menyediakan sup panas pada suami mereka. Isteri-isteri di Malaysia bagaimana agaknya jika suami balik jam 2-3 pagi ? Pasti 'suruhanjaya siasatan diraja' ditubuhkan :)

Dapatan ketiga adalah apakah rahsia Finland menumpaskan Jepun untuk kekal bertahun-tahun sebagai negara nombor satu bebas rasuah dalam kajian indeks persepsi rasuah antarabangsa. Bila IIM bertanya kepada wakil mereka di Malaysia, jelaslah jawapan mereka bahawa rakyat dan pemimpin mereka menjadikan "religion as the way of life".


Saya dan isteri masing-masing mempunyai satu persoalan kepada Encik Anuar, tetapi kerana menghormati masa dan keutamaan kepada rakan-rakan Pkpim yang mahu bertanya, maka saya menguzurkan persoalan saya iaitu persoalan bagaimana IIM melihat permasalahan kegagalan Pelan Integriti Nasional legasi Pak Lah dan semakin dahsyatnya permasalahan akhlak dan integriti remaja dan mahasiswa pada masa ini dengan peranan Kementerian Pelajaran itu sendiri. Ini kerana mencegah ketika usia masih muda di sekolah adalah lebih mujarab dalam membanteras rasuah dan masalah integriti berbanding projek merawat ketika kesemuanya sudah berada dalam alam kerjaya. Keduanya, saya mahu mencadangkan IIM berbincang dengan Kementerian Pelajaran untuk mengkaji sistem pendidikan di Finland kerana saya yakin di situ letaknya rahsia mereka.

0 Responses to Sejenak Menyelami Dunia Intelektual Di Kongres PKPIM

Posting Sebelumnya

Integriti Maya

Sebarang pengambilan mana-mana bahagian daripada tulisan di sini adalah sangat digalakkan untuk disebarkan, namun perlulah mendapat izin daripada Iskandarfateh.

Ataupun, sila beri kredit bahawa anda mengambil mana-mana kenyataan tersebut dari Blog
Iskandarfateh ini.

Terima kasih. Saya sangat hargai kunjungan anda.

Montaj IPTC

Twitter With Me

Profail Blogger


Syaari Ab. Rahman merupakan seorang perunding motivasi terlatih. Profail lengkap beliau di "Hubungi Saya"