Content feed Comments Feed
Showing posts with label Nota Kuliah. Show all posts
Showing posts with label Nota Kuliah. Show all posts

Gelombang "F.A.T.E.H Values" Melanda UIAPJ

Saturday, August 22, 2009


Pada awalnya saya keberatan untuk menerima sebarang jemputan memberikan ceramah mengenai buku saya, "Kuasa Kepimpinan Muhammad al-Fateh" kerana kajian saya mengenainya hanya baru mencapai tahap 30 %. Namun, saya menerimanya kerana mengambilkira audience saya kali ini kalangan pra-mahasiswa yang tidak perlu lagi saya sumbatkan terlalu banyak fakta-fakta ilmiah dan berat mengenai sejarah 1453 itu.

Saya dimaklumkan ada 3 talk berasingan ketika talk saya mengenai "The Most Imposible Mission of Sultan Muhammad al-Fateh : Revealed THE SECRET" saya bentangkan kepada mahasiswa mahasiswi Pusat Asasi UIAM di Petaling Jaya. Sungguh menakjubkan mengenangkan kehadiran adik-adik sehingga melimpah dewan masjid Kolej Islam di UIAPJ tersebut, situasi yang saya sendiri tak pernah alami sepanjang mendengar ceramah semasa bersama Gamis sebelum ini.

Setia berada di luar dewan di belakang tabir demi mendapat secebis ilmu

Aneh, sikap apakah lagi yang wujud pada mahasiswa UIAPJ ini jika bukan inkuiri yang menebal dan kecintaan yang tinggi pada ilmu serta untuk mendapatkan "spirit" yang segar dari seorang pemimpin muda diraja Usmaniah bernama Muhammad al-Fateh ? Bukankah susuk tubuh itu sudah wafat terlalu lama, namun mengapakah namanya terus harum mekar disebut-sebut oleh para pencinta perjuangan Islam kalaupun ia tidak disebutkan dalam 100 senarai Michael H. Hart.


Bayangkan dengan perubahan tarikh ceramah atas permintaan saya sendiri pada saat akhir, dengan pengurusan program rasmi yang agak terlewat mendapat kebenaran, dan pada masa yang sama saya akan bercakap topik "sejarah" yang sudah pasti membosankan (1st impression) berbanding 3 talk selain itu di kampus yang sama, sudah pasti ada "magnet" tersendiri menarik begitu besar jumlah adik-adik hadir mendengar talk ini.

Selain kerja kuat adik Fathi dan seluruh AJK program serta "branding" tajuk yang lebih catchy (tidak terlalu serius) dengan jiwa mad'u, saya tidak dapat nafikan pemilihan tokoh Muhammad al-Fateh itu sendiri sememangnya menjadi "keghairahan" adik-adik untuk datang, apatah lagi mereka dijanjikan dengan pendekatan "pawagam" di celahan penyampaian ceramah saya.


Persoalan "branding" tajuk-tajuk sejarah atau silibus-silibus fundamental agama dengan penamaan yang lebih menyegarkan dan menjinak hati mad'u adalah testimoni positif saya perolehi dari pengalaman di Pusat Persediaan Luar Negara UiTM semalaman sebelum ke UIAPJ. Kehadiran yang sangat ramai tidak dapat dinafikan apabila tajuk itu sendiri sudah menimbulkan shift-paradigm pada adik-adik, "Ramadhan, "Honey Moon" Hamba dengan Sang Pencipta."

Saya memainkan istilah "The Secret" kerana kebetulan saya sempat melihat DVD dokumentari ini yang membuktikan kuasa "magnet" (the law of attraction) dalam pemikiran dalam mencapai segala impian yang dilihat sebagai mustahil oleh orang lain, termasuk diri sendiri, namun hakikatnya tidak ada yang mustahil dalam dunia ini apabila seseorang mengimpikannya dengan penuh "passion and burning desires". Sejarah tokoh-tokoh inventors dunia telah membuktikan sehingga Einstein menyatakan imaginasi lebih berkuasa dari pengetahuan. Apa yang dimahukan dalam fikiran itu akan "menarik" impian itu makin dekat menjadi realiti, "then the thoughts become things".

"The Secret reveals the natural law that is governing all lives. By applying the knowledge of this law, you can change every aspect of your life." - Rhonda Byrne's discovery of The Secret

Berfikir positif dan keinginan yang tinggi untuk membawa Islam sebagai penyelamat rakyat Kristian Konstantinople dari kezaliman Mahajaraja Konstantine, itulah "the law of attraction" yang menjadi antara faktor terbesar di sebalik cara berfikir Sultan berusia 22 tahun tersebut sejak dari kecilnya.


Sememangnya, pada awal persembahan, saya sendiri menjelaskan "end in mind" lebih awal kepada adik-adik kenapa kita berada di ceramah ini dan kenapa al-Fateh menjadi pilihan kita., dan apa kaitannya dengan bulan Ramadhan. Saya menjelaskan lebih awal persoalan tersebut supaya mereka dapat stay dalam ceramah ini sehingga ke akhirnya, di samping mengambil pendekatan Allah S.W.T ketika memberikan pengarahan "wajib" berpuasa, namun Tuhan melampirkan dengan 2 pendekatan psikologi yang boleh merubah pemikiran negatif dari hanya nampak "diwajibkan...terpaksa...nak buat macamana...."



Dan sememangnya terbukti, yang tidak dapat duduk di luar sanggup berdiri sehingga ke akhir ceramah semata-mata mahu "mengembara" bersama saya mengimbas peristiwa paling mendapat perhatian dunia pada 1453 Masihi tersebut. Alhamdulillah, hasrat urusetia telah saya lakukan sebaik mungkin untuk mengkaji bagaimana Al-Fateh, berkat didikan kuat ayah dan para ulama Usmaniah, mampu akhirnya memenuhi syarat-syarat "sunnatullah" kemenangan.

Untuk modul pertama di UIAPJ ini, saya merumuskan kesemua aksi persediaan al-Fateh sejak kecil dalam kerangka konsep persediaan sunnatullah iaitu IQ (intelectual quotient) dan EQ (emotional quotient) di samping mengukuhkan lagi keteguhan iman iaitu aspek SQ (spiritual quotient). Saya mengemukakan istilah-istilah ini untuk lebih memudahkan pemahaman adik-adik dalam keadaan dunia korporat dan pengurusan organisasi pada hari ini yang sangat kerap memainkan istilah ini dengan pedoman-pedoman dari sarjana psikologi Barat ketika memberikan motivasi kepada para penggeraknya. Walhal Islam mempunyai terlalu ramai figura yang bukan sekadar berkata, tetapi membuktikan kata-katanya dalam bentuk tindakan yang sinergi dan kerja berpasukan seperti al-Fateh.

Akhir sekali, saya mengembalikan audience kepada konsep ketaqwaan itu sendiri yang menjadi PIALA utama untuk direbut dalam bulan Ramadhan Mubarak ini. Saya cuba memurnikan semula pemahaman taqwa iaitu menjaga peraturan dan ketetapan Allah, bukan sekadar dalam pemahaman hukum halal, haram, makruh, sunat, wajib sahaja, tetapi juga peraturan alam dan sains kehidupan itu sendiri. Sebab itu tidak perlu pelik, bulan Ramadhan menjadi bulan kemenangan Islam dalam banyak pertempuran kerana para pejuang pada masa itu memahami konsep taqwa dalam syariatullah dan sunnatulah tersebut.


Lihat sahaja kenyataan "genius" Saidina Umar al-Khattab berpesan kepada jentera Qadisiyyah bahawa taqwa adalah sebaik-baik "bekalan" menghadapi musuh dan sekuat-kuat "tipu helah" dalam peperangan. Baginda menseimbangkan antara kedua-dua peraturan Tuhan yang mesti dihormati tersebut.


Antara ulama yang mengupas dengan sangat cemerlang aspek "menjaga syarat sunnatullah" ini pada Al-Fateh adalah Dr. Ali Muhammad As-Sollabi. Tunggu posting saya akan datang untuk membedah buku ini.


Lihat lagi gambar di UIAPJ

Antara perkongsian saya berikan kepada mahasiswa di Pusat Persediaan Luar Negara, UiTM Shah Alam baru-baru ini adalah bagaimana cara melihat yang betul (shift-paradigm) kepada Ramadhan, tetamu agung yang akan tiba. Saya membawa analogi seorang yang pengotor yang berselerak rumahnya, namun apabila mengetahui pada esok hari tunang kesayangannya akan datang membawa hantaran dan keluarga, usahkan dia akan bertukar menjadi seorang yang sangat kemas, bahkan sanggup untuk tidak tidur malam bagi memastikan "first impression" seorang manusia yang akan hidup selamanya dengannya memulakan persepsi yang baik pada dirinya. Kenapa berlaku perubahan karakter secara tiba-tiba padanya ? Sudah pasti kerana dia sangat mengenal dan menyayangi tunangnya itu, bahkan rasa disayangi. Setiap yang merasai dirinya disayangi akan melakukan apa sahaja untuk memenangi hati yang menyayangi.


Demikianlah juga dengan bulan Ramadhan yang diciptakan dengan sangat istimewa kepada ummat Muhammad, tidak diberikan pada ummat terdahulu. Berbanding bulan-bulan Islam yang lain, bulan Ramadhan adalah bulan yang paling sarat dengan adegan "percintaan" dan sejarah pengorbanan kerana "cinta", bukan antara hamba dengan hamba yang kebanyakannya tersasar dari orbit sang Pencipta, namun antara hamba itu sendiri dengan Pencipta.


Kecintaan yang mengundang rasa mahu bertemu Tuhan lebih penting dari terus kekal di atas dunia, perasaan luarbiasa dan sangat dahsyat menyebabkan rekod kuantiti kemenangan peperangan tentera Islam di bulan Ramadhan berbanding bulan-bulan lain adalah "unbeatable".




Video klip Muslim Youtube Emirates yang sangat membakar semangat dan merubah paradigma kita tentang Ramadhan. Pendekatan animasi berkualiti dahsyat MYE ini mungkin akan menjadi sasaran perbincangan saya nanti untuk penerbitan atau perkongsian bagi menjayakan cita-cita Pawagam Islam .



Aksi Tariq bin Ziyad dalam pertempuran Ramadhan menawan Andalus

Tidak perlu pelik kerana pada bulan inilah juga turunnya "surat cinta" dari sang Pencipta kepada Rasulullah demi keselamatan umatnya di akhir zaman.


Satu persatu saya menceritakan kepada mereka episod percintaan Rasulullah dengan umatnya. Dari kerinduan dan titisan airmata di hadapan para Sahabat kerana mahu bertemu umatnya sehinggalah kepada memohon pada Allah agar umatnya dikurniakan dengan satu malam yang mampu umatnya melakukan amalan menyamai umat yang berumur panjang di zaman dahulu. Dengan rasa cinta itulah, Lailatul Qadar dihadiahkan Allah pada ummat Muhammad.

Bukankah tanda rahmat dan cinta Allah kembali berputik pada kita apabila bila Ramadhan tiba, kita yang sangat jarang menunaikan solat berjamaah, tiba-tiba dianugerahkan "rasa bersalah" jika tidak ke masjid menunaikan solat Isya berjamaah, bahkan solat Tarawikh ?

Bukankah kerana rahmat dan kasih sayang Allah kita yang selalu tidak menjaga solat Subuh pada waktunya, tiba-tiba dengan kedatangan Ramadhan, agenda sahur mendisiplinkan solat Subuh kita ?

Bukankah kerana rahmat dan cinta Allah kita yang selalu jauh dari al-Quran, terlalu jarang membacanya, namun kedatangan Ramadhan menyebabkan kita dihimpit perasaan untuk sekurang-kurangnya untuk membaca al-Quran kalaupun tidak mengkhatamkannya.

Bukankah kerana rahmat dan cinta Allah, kita yang selama ini boros berbelanja makan dan tidak menjaga kesihatan dengan amalan pemakanan yang mengikut hawa nafsu, namun Ramadhan hadir menjadi "doktor" pemakanan paling berkesan pada fizikal dan spiritual kita ?

Sebab itu saya melakukan modul "melihat dengan pandangan mata hati" pada adik-adik UiTM pada malam tersebut, kerana Ramadhan menjanjikan piala dan hadiah yang sangat dahsyat, namun kesemua itu tidak mampu dilihat dengan matakasar, tetapi hanya mampu dilihat dengan mata hati, petandanya ketenangan di dalam sanubari.

Lihat lagi gambar

Antara asakan saya untuk menggerakkan minda rakan-rakan aktivis DQ supaya berfikir adalah asakan pemikiran yang telah diungkapkan dengan cemerlang oleh Syekh Munir Ghadhban dalam Manhaj Haraki (ms 200-209).


Saya merumuskan beberapa “takhtih basyariyy” yang sengaja Rasulullah pertontonkan kepada ummat pejuangnya di akhir zaman, walhal baginda adalah Nabi dan Rasul, Jibril berada di belakangnya untuk mengangkat segera segala doa kepada Allah S.W.T untuk dimustajabkan, baginda mampu diberikan mukjizat apa sahaja untuk lolos dari serangan musuh, namun lihatlah apa yang dilakukan Nabi adalah sebaliknya. :

1. Kenapa Allah S.W.T sengaja mewujudkan skrip Ali tidur di tempat Nabi. Perlukah Nabi mengarahkan Ali tidur di situ walhal Nabi boleh “ghaib” begitu sahaja dari rumahnya ?

2. Kenapa Rasulullah - yang dijaga Allah (ismah) - datang ke rumah Abu Bakar pada waktu tengah hari - ketika masyarakat Quraisy sedang qailulah lantaran musim panas - bukan waktu petang atau pagi yang sebagaimana dilazimi selama ini ? Takutkah Nabi kepada pukulan Quraisy atau ia satu petanda Nabi merencana sesuatu perancangan dengan begitu strategik bagi meloloskan diri dari konspirasi musuh ?

3. Kenapa perlu Nabi keluar dari rumah melalui lubang tingkap, bukan pintu rumah ? Tindakan pengecut atau tindakan 'siasah panjang nafas' ?

4. Kenapa perlu menuju ke gua, bukan rumah persinggahan ? Kenapa gua Thur yang dikenali sebagai gua paling tinggi di Makkah, sukar didaki dan banyak batu besar, itu yang menjadi pilihan Nabi ? Kenapa mesti 3 hari, bukan sehari dua sahaja ?

5. Kenapa jalan selatan (jalan jauh), bukan jalan utara (jalan pintas) yang diambil Nabi untuk ke Madinah ? Tidak bijakkah Nabi atau itulah kebijaksanaan yang sebenarnya ?

6. Kenapa perlu Abdullah bin Abu Bakar dilantik menjadi ejen perisikan maklumat kepada Nabi ? Bukankah Nabi diberikan kelebihan untuk mampu terus “online” direct dengan Allah S.W.T sebagaimana baginda selama ini menerima wahyu ?

7. Kenapa perlu Asma binti Abu Bakar yang sudah tua, bahkan sedang hamil, diarahkan untuk membawa makan minum kepada Rasulullah dan ayahnya di gua Thur, suatu risiko nyawa yang perlu dilakukan untuk didakinya? Kenapa Asma dimandatkan dengan urusan “kebajikan” manakala Abdullah dengan tugasan “membawa maklumat”, kenapa tidak Asma yang sama juga membawa maklumat ketika membawa bersama makan minum ? Berbezakah tahap lelaki dan perempuan dalam “menguasai dan mengungkapkan semula maklumat” ?

8. Kenapa perlu kambing-kambing Amir bin Fuhairah membersihkan jejak Nabi dan Abu Bakar, walhal Nabi adalah Rasulullah, yang dijaga lagi dipelihara Allah dengan segala macam perlindungan langit seperti yang berlaku ketika kafir Quraisy gagal menjatuhkan batu besar dari atas bukit untuk menghempap kepala Nabi yang sedang sujud ?

9. Kenapa perlu seorang musyrikin bernama Abdullah bin Uraiqith digunakan untuk menunjuk jalan Nabi ke Madinah, bukannya muslimin para Sahabat yang sedia ada ?

10. Apa perlu Abu Bakar berkinayah dengan Arab Badawi yang bertanya siapa mereka ? Bukankah Abu Bakar itu gelarannya “As-Siddiq” dan kental imannya kepada Allah, tidak perlu gentar andaikata berterus terang sekalipun ?

Demikianlah sang Rasul memberikan isyarat dan petunjuk kepada kaedah memenangkan perjuangan Islam di akhir zaman. Rasulullah bijak menyusun atur posisi dan potensi tenaga kerja manusia serta melakukan perencanaan strategik dan teliti kerana masa depan skrip 10 tahun Madinah yang akan mensyumulkan wajah Islam itu kesemua bergantungharap kepada berjaya atau gagalnya misi Hijrah.


Persoalan paling besar dari 10 asakan minda di atas, kenapa Rasulullah dan para Sahabat yang pastinya mahu bertemu segera dengan Allah melalui jalan mati syahid di Makkah tidak melakukan istisyhad apabila serangan musyrikin Quraisy kian memuncak ke atas Nabi di Makkah ? Kenapa perlu “skrip” Hijrah diwujudkan Allah yang mengundangkan fasa lebih besar sejarah Nabi iaitu fasa Madaniyyah (fasa kemenangan dan pemerintahan) ?

Demikianlah “mukjizat” Hijrah mendedahkan betapa bertanzimnya gerakan hijrah Rasulullah, bermula bukan sejak turunnya perintah hijrah dari langit, bahkan ketika Rasulullah bersungguh-sungguh memburu wajah-wajah baru lantas mencari “kader-kader” berpotensi dari Madinah yang datang ke Makkah mengerjakan umrah, Rasulullah memperkenalkan Islam dengan skill tarbiyah “promoting” yang diterimanya dari Siti Khadijah ketika berniaga dan berulang-alik ke Syam-Makkah.


Tanzim itu adalah menyusunatur "2 P" dengan efektif :

- “positional” tentera
- “potensional” individu berkepakaran

dalam gerakan. Hijrah memaparkan Rasulullah menyusunatur kedua-dua mafhum tanzim ini dengan baik :

1. Lajnah Siasah
- dalam soal propaganda mengelirukan musuh dengan Ali di tempat tidur, kinayah dalam tutur bicara dengan Arab Badawi yang ditemui ketika musafir hijrah
- dalam soal kerahsiaan pergerakan seperti keluarnya Nabi di waktu tengah hari ke rumah Abu Bakar, keluar melalui lubang tingkap, dihilangkan jejak langkah baginda dengan kambing Amir bin Fuhairah

2. Lajnah R & D – dalam soal perolehan Abdullah bin Abu Bakar terhadap maklumat dan fakta yang sahih mengenai bual bicara masyakarat Quraisy dan misi konspirasi membunuh Nabi, fakta gua mana paling tinggi dan jarang didaki, fakta siapa yang paling mahir jalan dan lorong-lorong ke Madinah walaupun dia bukan Muslim

3. Lajnah Kebajikan - yang dimandatkan kepada Asma binti Abu Bakar untuk membawa makanan dan minuman walaupun beliau sangat tua dan hamil untuk mendaki Gua Thur

4. Lajnah Penerangan – yang dimandatkan kepada Abdullah bin Abu Bakar dan bukannya kepada Asma binti Abu Bakar kerana kelebihan Abdullah dalam mengungkapkan dengan tepat hasil risikan yang dilakukan kepada masyarakat Makkah

5. Lajnah Ekonomi – tarbiyah “the best product with the best promoter” yang diterima baginda sepanjang pengalaman tijarah membantu baginda mempromosi Islam dalam laras bahasa yang ringkas tetapi penuh makna kepada segelintir masyarakat Madinah yang mengerjakan umrah di Makkah sehingga membawa kepada Baiatul Aqabah, peristiwa besar memangkin kepada kejayaan Hijrah

6. Lajnah Tarbiyah – supaya sentiasa tegar keyakinan dengan bantuan Allah selepas segala ikhtiar “sunnatullah” dilaksanakan. “Allah bersama kita walau apa keadaan sekalipun menekan kita” dibuktikan (surah at-Taubah : 40).

Ketika berbicara dengan rakan-rakan aktivis mahasiswa DQ mengenai kepentingan bertanzim dalam perjuangan gerakan Islam, antara asakan pemikiran baru yang saya tegaskan adalah bahawa perjuangan Islam secara bertanzim (dalam definisi kerja berpasukan dan saling kukuh mengukuhkan antara satu sama lain) bukan sekadar tuntutan Syariatullah - yang dalil-dalilnya bersifat “maqru’ah” dari al-Quran dan As-Sunnah dan athar para sahabat - seperti kata-kata terkemuka Saidina Ali mengenai kebenaran tidak bertanzim akan ditumpaskan kebatilan bertanzim, tetapi juga tuntutan Sunnatullah, yakni peraturan Allah di alam semesta raya ini kepada jatuh bangun tamadun dan menang kalah sesebuah perjuangan.

Sunnatullah ini sifatnya “manzhurah” (mesti diteropong), dan sudah pasti asasnya adalah "universal proofs" yang bernama sejarah, khususnya sejarah dan sirah perjuangan Islam itu sendiri. Lantaran itu sepertiga Quran adalah sejarah, sarat dengan secret codes tersirat untuk membaca formula-formula kemenangan.

Sejarah tidak akan menipu, ia akan berulang dan kembali ke "titik mula orbitnya" di zaman ini. Persis seperti bumi yang mengelilingi matahari, bulan mengelilingi bumi, proton dan neutron mengelilingi atom, hujjaj mengelilingi Kaabah, ia pasti akan mengulang putaran dari titik asal ia bermula. Sejarah akan terus mengorbit dan tidak akan berhenti.


Bukan main 'geram' isteri saya apabila mendengar ada celoteh bernada bisikan beberapa muslimat mendefinisi “sunnatulah” dengan begitu simplistik semasa berusrah dengan YB Khalid Samad atas jemputan rakan-rakan aktivis UM baru-baru ini. Ketika seorang rakan mengasak YB dengan persoalan sejauhmana perjuangan PAS menepati syariatullah dan sunnatullah untuk mencapai kemenangan, isteri saya terdengar ada suara muslimat menyatakan “Sunnatullah itu qadha dan qadar Allah. Memang dah tak boleh ubah. Apa yang nak dibahaskan lagi.”.

Penegasan Imam Hassan al-Banna, Syekh Said Hawwa dan Almarhum Fathi Yakan Mengenai Hakikat "Tanzim" Perjuangan Islam Satu Tuntutan Sunnatullah

Imam Hassan al-Banna dalam Majmu’ah Rasail :

“Wahai Ikhwanul Muslimin, kekangilah semangatmu yang membara dengan aqal fikiranmu yang waras. Suluhilah aqal fikiranmu yang waras itu dengan semangatmu yang membara. Dampingkanlah khayalanmu dengan kebenaran yang hakiki dan realiti. Bukakanlah pintu kebenaran itu dengan silauan khayalanmu yang menawan. Janganlah kamu melencong jauh, kelak kamu akan tergantung di awang-awangan. Janganlah kamu MENCANGGAHI KANUN-KANUN ALAM kerana ia sentiasa MENGATASI mu. Sebaliknya hendaklah kamu mengatasinya, MENGALIRKAN ARUSnya dan cuba menggunakan sebahagiannya untuk mengatasi sebahagian yang lain. Sesudah itu tunggulah saat-saat kemenangan, detik kemenangan adalah hampir sekali.”


Syekh Said Hawwa, Memahami Prinsip-Prinsip Amal Islami (Pelajaran Ke -9, Mencari Sunnah Alam dan Bergerak Dengan Berlandaskannya, ms 75 – 79)



“Sesungguhnya setiap suruhan Allah adalah terikat kuat dengan alam sebab musabbab dan sunnah-sunnah Allah di ala mini (yang perlu diperhatikan). Walau bagaimana pun ia seringkali DIABAIKAN oleh sebahagian golongan Islamiyyin. Allah menjadikan kita terikat dengan alam sebab musabbab dan kanun-kanun-Nya. Pun begitu, Allah berkuasa melewati dan mengenepikan kanun alam yang Dia ciptakan seperti yang berlaku pada mukjizat para anbiya’ dan karamah para awliya.

Namun, kita disuruh oleh Allah untuk memperhatikan sebab musabab kanun-kanun alam itu tadi di samping kita meyakini Allah berkeupayaan memberi kemudahan kepada seseorang mukmin yang tidak diberikannya kepada orang lain.
Sebarang pengabaian terhadap jalan-jalan yang telah disyara’kan adalah satu kecuaian.

Kejayaan untuk sampai kepada satu-satu kaedah adalah terikat kuat dengan sunnah-sunnah Alam yang memang mempunyai jalan-jalannya yang tersendiri.
Orang-orang lain telah lama menggunakan jalan ini serta membuat perhitungan yang secukupnya. Malangnya kita cuai dan mengabaikan jalan-jalan dan wasilah yang telah disyara’kan kepada kita.

Begitu juga dalam usaha membentuk jiwa-jiwa manusia, terdapat kanun-kanun sendiri dan berkewajipan kita menyelidikinya. Mencuaikannya adalah satu pengabaian yang jelas. Pertembungan antara umat manusia ada kanunnya. Peperangan ada kanunnya. Penguasaan ke atas sesuatupun ada kanunnya. Kita ingin mencapai beberapa matlamat tempatan dan antarabangsa yang sememangnya sukar, tetapi kita melupakan sebab-sebab yang membolehkan kita sampai ke matlamat tersebut.

Lantaran itu antara tuntutan fardhu kifayah dalam Islam adalah melahirkan mereka yang ikhtisas (professional) dalam semua bidang yang diperlukan umat Islam.
”


Almarhum Fathi Yakan, Tasawwur Asasi Gerakan Islam (Bahagian Wajib Ada Tanzim Dalam Amal Islami, ms 5 – 6)


“Setiap benda di ala mini wujud mengikut tanzim dan peraturan. Dari bintang-bintang dan planet-planet yang berterbangan di angkasa hinggalah pergantian siang dan malam, dari pertukaran musim-musim, percantuman benih manusia dan haiwan sehinggalah perjalanan hidup dalam tubuh makhluk melalui alat-alatnya hinggalah ke pelbagai undang-undang Allah dalam alam, kesemua tertegak di atas peraturan."

Saya pernah menyatakan sebelum ini bahawa jika sekadar mengambil kira fasiliti stadium Melawati tahap "world-class" dan skrin gergasi MSRPS (multi screen rear projection system) yang pernah digunakan oleh Parti Demokrat ketika kempen Obama sebagaimana pernah disebut oleh Pengarah Muktamar PAS Pusat, bagi saya ia belum memadai untuk berbangga andaikata para pembahas di Muktamar PAS belum bermentaliti "world-class" leader.

Namun alhamdulillah, perkampungan saya sehari penuh di Muktamar Pemuda PAS Pusat baru-baru ini - kerana saya tidak mampu berkampung di Muktamar PAS Pusat - membuatkan saya berpuas hati dan mampu saya berikan tribute kepada para pembahas Pemuda rata-rata kualiti perbahasan lebih holistik menyentuh pelbagai sudut isu dalaman PAS, restrospektif dan menyerlahkan pelbagai pattern cara berfikir Pemuda berbanding Muktamar tahun lepas yang saya rumuskan perwakilan Pemuda ketika itu lebih dihanyutkan dengan satu aliran isu perbahasan sahaja iaitu 16 September dan tempias gelombang Anwar Ibrahim dalam PAS. Saya akan membuat posting khas mengenai rumusan perbahasan perwakilan Pemuda Negeri pada pandangan saya dalam posting selepas ini bertajuk "Merumus Persidang Mempersada Perjuangan" walaupun sudah agak lewat untuk dibuat ulasan.

Saya berikan tribute khas kepada Pemuda PAS Wilayah Persekutuan kerana keunikan dan jiwa besar yang ditunjukkan oleh mereka ketika membahas Ucaptama KP dari sudut ekonomi serta usul pemerkasaan ekonomi PAS yang dilihat agak berbeza dari pattern perbahasan perwakilan lain yang lebih gemar bercakap mengenai PAS dari sudut politik berpilihanraya dan soal menang kalah di atas peti undi.

Ustaz Nasharudin Mat Isa mensifatkan Muktamar PAS kali ini sebagai Muktamar terbaik dari sudut perbahasan dan fasiliti. Namun bagi saya, Muktamar PAS masih lagi tetap mengekalkan satu kekurangan yang sewajarnya dibaiki segera, khususnya untuk generasi muda dan mahasiswa Islam yang mengunjungi Muktamar.

Rata-rata puluhan gerai yang dibuka di sekitar stadium Muktamar adalah gerai-gerai makanan, pakaian dan pelbagai jenis perniagaan yang pastinya memberikan pulangan bersifat material kepada ahli-ahli Pas yang mencari nafqah dengan peluang orang ramai yang hadir ke Muktamar.

Namun demikian, bagaimana pula dengan pulangan bersifat intelektual kepada anak-anak muda, mahasiswa dan juga pimpinan PAS sendiri yang datang dari segenap peringkat hadir ke Muktamar PAS ?

Gerai-gerai buku yang dibuka di Muktamar masih mengekalkan buku-buku fikrah lama yang diulangcetak sahaja kebanyakkannya. Selebihnya, buku-buku yang memang baru, namun kebanyakannya telah dibeli atau telah dibaca seperti karya-karya Tuan Guru. Kalau nak dibangga sedikit mungkin usaha yang dibuat oleh Siasah untuk menerbitkan buku-buku yang mengkompilasikan isu kerajaan perpaduan dalam akhbar Siasah, buku Dr Mujahid Yusuf Rawa yang sangat cemerlang pemikirannya dan Ustaz Nasarudin Tantawi yang bercakap soal asas-asas gerakan kepemudaan Islam. Selebihnya, tiada yang baru pada gerai-gerai buku di Muktamar PAS.

Ini jelas menunjukkan budaya ilmu dan intelektual serta budaya menulis untuk mencerahkan minda generasi pelapis PAS dengan pemikiran-pemikiran baru pada masa akan datang, kalangan aktivis dan pimpinan PAS masih berada di peringkat yang belum boleh dibanggakan seperti pimpinan gerakan Islam di Indonesia dan Turki yang pernah saya ceritakan sebelum ini mengenai mereka.

Situasi ini mestilah dibaiki segera kerana perubahan pimpinan bawahan takkan berlaku jika revolusi minda (meminjam istilah forum saya di hadapan 1000 mahasiswa Insaniah minggu lepas) tidak bermula dari pimpinan atasan. Semangat Iqra' takkan berlaku pada aktivis parti dan para peniaga Muktamar tanpa kesungguhan pimpinan di atas untuk melihat suasana Pameran Buku Antarabangsa PWTC itu boleh juga wujud dalam Muktamar PAS Pusat.

Sesungguhnya jika situasi dan suasana pencerahan minda ini dizahirkan dalam Muktamar PAS dengan kehadiran lambakan generasi muda tekun membaca bahan-bahan bacaan yang fresh selain menghalus isi perbahasan Muktamar, ia bukan sekadar membezakan wibawa dan nilai perjuangan PAS yang berasaskan Islam dan tradisi keilmuan, tetapi juga mampu menyebabkan AGM Umno-BN kelak akan kecut perut melihat situasi ini.

Mujurlah isteri saya mempertemukan saya dengan sebuah buku 'luar biasa' di Muktamar PAS Pusat, malangnya ia bukan tulisan mana-mana pimpinan PAS atau diterbitkan oleh maktabah jamaah PAS. Buku tersebut adalah "Generasi Ulul Albab : Segunung Harapan Seteguh Gagasan, keluaran KARISMA Publication, yang bagi saya mampu menyaingi tulisan "Kebangkitan Generasi Salahudin dan Kembalinya Al-Aqsa Ke Pangkuan Islam" terbitan ABIM-PKPIM serta "Mahasiswa Dari Gerakan Ke Negara" tulisan Anis Matta dan sebagainya.


Terlalu banyak gagasan pemikiran baru lagi intelek yang saya dan isteri temui dalam buku ini. Bagi saya, hikmah itu hilang dari orang beriman, sesiapa menemuinya dari sesiapa sekalipun, hatta musuh menurut kata Imam Syafie, dialah berhak ke atas hikmah itu. Yang penting hikmah ini diharmonikan dengan asas tajarrud fikrah perjuangan Islam di pentas demokrasi yang selama ini saya imani.

Dan itulah yang saya dan isteri temui dalam buku ini, kami "kenyang" meratah helaian demi helaian epistimologi ilmiah dalam buku ini walaupun pada asalnya saya hampir berputus asa nak membeli buku ini kerana ketebalan dan kemahalannya, namun pujukan demi pujukan isteri saya mengajar saya akhirnya "don't judge the books by its covers".


Kepentingan buku ini ? Memadai dengan satu kes yang berlaku pada saya ketika dijemput memberikan intelectual talk Ma'ruf Club mengenai "Kau Inspirasiku".

Saya tidak sempat membuat persiapan semantap yang saya impikan melainkan saya hanya sempat bertemankan buku Generasi Ulul Albab ini sahaja. Alhamdulillah, banyak penemuan baru yang saya temui dari buku ini khususnya ketika berkongsi pandangan mengenai konsep "ulama profesional" kepada rakan-rakan ahli Ma'ruf Club di UIAM baru-baru ini.


Antara kenyataan dan penemuan menarik saya di dalam buku tersebut yang saya telah saya kongsikan dengan mereka :

1. Sejak deklarasi Islam oleh Rasulullah Muhammad SAW sampai pada kejatuhan Granada di Sepanyol, peradaban Islam pernah mencapai masa keemasan. Itu fakta sejarah yang cuba dipadamkan Tartar ketika meranapkan Darul Hikmah di Baghdad dan musuh-musuh Islam selepas itu. Hampir tujuh abad lamanya, mulai 750-1500 M (0-700H), Islam terus utuh bertahan sebagai payung dunia kerana elemen penguasaan sunnatullah dan syariatullah yang ada pada pemerintah dan para ulama’nya.

Itulah penterjemahan maksud penurunan besi (aspek saintifik) dan penurunan al-Quran (aspek syariatik) yang diseimbangkan dalam surah al-Hadid ayat ke 25. Dan disebabkan itu jugalah pernyataan hakikat ulama (pengkaji syariatik) jualah yang paling bertaqwa kepada Allah di dalam surah Fathir ayat ke 28 didahulukan dengan pernyataan mengenai warna-warna manusia dan haiwan (kajian saintifik).


2. Rahsia penemuan saintis Islam menjangkaui zaman saintis Barat adalah kerana mereka menghafal terlebih dahulu al-Quran yang sarat dengan bukan sahaja asas-asas hukum syariatik, tetapi juga asas-asas hukum saintifik. Ketika penemuan sainstifik mengenai pelbagai kejadian di angkasa dan di bumi baru sahaja ditemui, 1,400 tahun dahulu seorang manusia yang tidak tahu membaca dan menulis telah memperkatakan mengenainya. Itulah Rasulullah S.A.W.

Sebab itulah saintis Islam mendahului zaman kerana itulah mukjizat al-Quran. Lihatlah Ibnu Sina sahaja, karyanya berjudul "Al-Qanun fil Tibb" diterjemahkan di Rome pada tahun 1593 dan menjadi rujukan utama universiti-universiti Itali dan Perancis selama hampir 300 tahun pada abad ke 17 hingga 19.



4. Mereka bukan sekadar saintis yang pakar (baca : mempunyai "PhD" ) dalam banyak bidang seperti Al-Birunni yang menguasai fizik dan metafizik sekaligus, Ar-Razi yang menguasai fizik dan kimia sekaligus, tetapi antara mereka juga adalah ulama terbilang dalam fiqh dan tasawwuf.

Al-Khawarizmi pencipta kaedah "al-Jabar" merupakan seorang ulama dan fuqaha. Ibnur Rusyd penulis kitab "Ak-Kuliyyat" dalam kaedah-kaedah kesihatan dan perubatan utama di Barat adalah seorang Al-Hafiz. Imam Fakhrur Razi pengarang kitab "At-Tafsir al-Kabiir" dan buku-buku agung usul Fiqh dan Usuluddin adalah seorang doktor dan ahli perubatan terkenal. Ibnu an-Nafis, pencipta sistem sel darah yang terkecil dan penghurai sistem saraf dalam paru-paru adalah seorang faqih dari mazhab Syafie yang diiktiraf oleh Imam al-Subki.



"Hampir lapan ratus tahun di bawah pemerintahan Islam, Islam di Sepanyol telah menjadi satu teladan kepada Eropah, sebagai negara yang bertamadun tinggi dan berilmu.. Penuntut-penuntut dari Perancis, Jerman dan England datang untuk mendapatkan ilmu baik matematik, astronomi, biologi, sejarah, falsafah, dan undang-undang. Saya pasti menyesal bagaimana kesusasteraan Eropah telah merancang dengan teliti untuk menyembunyikan peranan Islam dan sains. Tentu sekali perkara ini tidak dapat disorok begitu lama." - Draper John William, Sejarawan Inggeris, "Histroy of Intelellectual Development Europe.

3. Dalam menjadi mahasiswa yang versatile dan luas pembacaannya, saya memberikan kepada mereka tokoh seperti Al-Jahiz, seorang ilmuwan dan ulama besar Islam yang bergelumang dengan dunia buku.


Tokoh besar ini dikatakan mati akibat tertimpa lambakan bukunya sendiri di perpustakaan peribadinya di Basra pada 869 Masihi pada usia 93 tahun ! Kemiskinan tidak menghalang beliau untuk berjaya. Pernah satu ketika disebabkan ketiadaan makanan untuk dimakan, ibunya telah menghidangkan kertas kepadanya untuk dijadikan "makanan"nya. Sepanjang kehidupannya, al-Jahiz menghasilkan hampir 200 buah judul buku yang meliputi pelbagai disiplin ilmu dan bidang.

Bagi saya buku ini sedang bercakap mengenai soal keperluan "kompetensi" selain soal "integriti" seperti ditegaskan Mantan Ketua Pemuda PAS Pusat, YB Salahudin sebelum ini. Buku ini memaparkan mengenai Generasi Ulul Albab yang dikatakan mempunyai daya ‘kompetensi sebagai teras kegemilangan’ yang diselaputi oleh kekuatan roh dan jasad dan sangat berupaya menempuh apa sahaja bentuk cabaran serta rintangan, walaupun kadangkala sangat mencabar dan mendebarkan.

"Pemuda mesti ada sifat negarawan dimana isu yang dihadapi adalah dalam skala yang lebih besar dan tidak tertumpu hanya kepada politik dan kepartian semata-mata. Oleh itu saya tegaskan kepada Pemuda PAS yang saya tinggalkan bahawa, ini era pertembungan PAS dengan dunia luar maknanya akan ada lebih banyak perdebatan di peringkat pemikiran. Maknanya, pasukan baru mestilah mempunyai kekuatan gagasan intelektual yang cukup kuat. Pemuda perlu kepada pemikiran yang kritis, intelektual dan berinovasi mencipta dan melahirkan idea dan gagasan baru bersesuaian dengan zaman yang kita hadapi." - YB Salahudin Ayub, Wawancara Harakah (sumber dari Ustaz Nazri Chik)

Lampiran Isi Dalam Buku

Coretan Sebuah Idea Kepemimpinan

Thursday, May 7, 2009

Terkadang perlu juga saya menjadikan blog saya ini sebagai medan perkongsian kuliah-kuliah saya, juga sebagai rujukan memudahkan saya kelak jika tajuk yang sama diperlukan. Berikut adalah beberapa coretan tasawwur penting mengenai "Kepimpinan Dalam Islam", 30 % dari kandungan penuh kertas kerja telah saya sampaikan kepada rakan-rakan aktivis penggerak GMI di UPM :


MUQADDIMAH :

"....Kalau kita berbicara tentang anak muda, kita tidak boleh menempatkan diri pada lapangan lokal saja, tetapi harus dilihat pada lapangan global, sekurang-kurangnya benua Asia. Kerana anak muda dihajatkan tidak hanya di dalam negeri, tapi juga di seluruh DUNIA.” – Dr. Anes Baswedan, Rektor Universiti Paramida Indonesia, Kepemimpinan Pemuda Abad 21 Memerlukan Kompetensi Tinggi


MENDEFINISI SEMUA MAFHUM KEPIMPINAN

Gerakan Mahasiswa Islam (GMI) pada saat ini mengalami krisis KEPEMIMPINAN (qiyadiyyah) yang agak meruncing. Kepemimpinan yang dimaksudkan bukanlah semata KEPIMPINAN (qiyadah) dalam kerangka suatu posisi pengurusan, hierarki mahupun struktur yang tinggi dalam organisasi GMI, tetapi kepemimpinan ini bermaksud fungsi, pengisian, dan proses pengupayaan menjadi problem-solver ummah di kampus, lantas berupaya mempengaruhi orang-orang sekeliling dengan idea-idea pemerkasaan gerakan yang segar-bugar.

“Kepimpinan itu posisi (structural), kepemimpinan itu proses (functional). Tiada guna mempunyai pemimpin, tetapi proses ‘mengajar’ pemimpin itu tidak berlaku”

Tiada guna berbangga dengan jumlah kepimpinan yang ramai, tetapi yang benar-benar mempunyai pakej kepemimpinan hanya seorang dua figure sahaja, manakala yang lain hanya menjadi “jaguh kampung”, hidup terus menerus dengan mentaliti “syok sendiri”. Walhal “leader is reader” (pemimpin adalah pembaca). Dunia kampus mestilah dilihat sebagai “training ground” yang sangat ampuh untuk dijadikan medan latihan dan belajar, bukannya merasakan kampus adalah segalanya, fullstop kepada misi membaiki dan mengajar diri sendiri erti sebuah perjuangan dan kepimpinan.

"Belajar sambil mencabar, pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang, bangsamu tidak termaju tanpa pemimpin berpengalaman (mencabar) dan terpelajar.”- Prof. Ungku A. Aziz (1973) -

Kepemimpinan yang dimaksudkan adalah individu-individu yang lahir dari suatu kesedaran dan kecerahan minda yang sangat tinggi (mampu menggunakan pancaindera keenam iaitu matahati) kepada permasalahan ummah yang berlaku di sekeliling mereka, sehingga daya kecaknaan itu menatijahkan semangat untuk berdakwah dan memimpin dakwah tersebut, ibarat sebiji bola yang ditekan masuk ke dalam air, makin kuat ditekan ke dalam, makin kuat lantunan ke luar bola itu.

RUKUN IMAN KETIGA : BERIMANLAH DENGAN CARA KEPIMPINAN RASULULLAH

Durus terpenting permulaan surah Ar-Rum adalah suatu gambaran minda siasah dan daya kecaknaan isu yang sangat luarbiasa ada pada Rasulullah S.A.W dan para Sahabah, walaupun tidak ada sebarang teknologi maya mahupun satelit, namun kecepatan informasi kekalahan Rom sangat cepat sampai ke telinga mereka, bahkan menimbulkan keresahan dan kebimbangan (emotional responses) kepada hati-hati para Sahabah.

"Alif Laam Miim. Telah dikalahkan bangsa Rumawi. Di negeri yang terdekat dan mereka sesudah dikalahkan itu akan menang. Dalam beberapa tahun lagi. Bagi Allah-lah urusan sebelum dan sesudah (mereka menang). Dan di hari (kemenangan bangsa Rumawi) itu bergembiralah orang-orang yang beriman." Surah Ar-Rum: 1-5.


Inilah sifat ‘madrasah’ tarbiyah Rasulullah, madrasah yang membentuk para Sahabah yang bukan sekadar mengambil TAHU apa yang berlaku di sekeliling sehingga melahirkan simpati, bahkan mampu menyentak emosi kesedihan yang mampu membuahkan tindakan(empati), walaupun yang mengalami kekalahan itu bukannya tentera Islam itu sendiri.

Inilah ‘manhaj tarbiyah’ yang sifatnya seperti apa yang disebut Almarhum Bapak Nasir:

“Tiada percetakan dalam kepimpinan. (Lantaran) Pemimpin tidak lahir di bilik kuliah (formal institution) tetapi tumbuh sendiri dalam hempas pulas kancah, muncul di tengah-tengah pengumpulan masalah, menonjol di kalangan rakan seangkatan lalu diterima dan didukung oleh umat.”

Inilah ‘madrasah’ sebenar lahirnya sebuah pasukan kepimpinan paling hebat di atas dunia yang dididik oleh tangan suci Rasulullah S.A.W. Mereka lahir dari hempas pulas kancah perjuangan di Makkah. Dari merekalah, lahirnya sebaik-baik 300 kurun ‘pasukan kepimpinan’ terbaik yang ‘dicetak’ oleh Nabi Muhammad S.A.W.


Rasulullah S.A.W dilantik sebagai pesuruh Allah dan pemimpin segala para Nabi berpedomankan suatu asas permulaan dari “Iqra” (bacalah). Ini menggambarkan kepentingan pembacaan suasana (qiraatul zuruf) yang mendalam kerana di situlah lahirnya pemimpin yang tulen, yang meyakini pada dirinya ada idea penyelesaian untuk dikemukakan kepada ummah sebagai tawaran untuk memulihkan keadaan. Itulah yang berlaku kepada Nabi Muhammad S.A.W. Gua Hira adalah “room for improvement”, tempat beliau bertafakkur bertahun-tahun lamanya, mencari ketenangan dan penyelesaian, selepas sedih dan pilu “Iqra” suasana masyarakat Arab Jahiliyyah.

Inilah konsep kepimpinan yang diserlahkan juga oleh dari Nabi Allah Yusuf alaihissalam. Baginda tahu benar permasalahan yang bakal berlaku 7 tahun kedua selepas 7 tahun pertama kesenangan menimpa rakyat negara Mesir. Lantas keupayaan, idea “problem-solving” dan kepakaran pengurusan ekonomi yang ada pada baginda hasil anugerah Allah S.W.T, baginda menawarkan diri menjadi pemimpin Mesir. Sejarawan menyatakan Nabi Yusuf menerima jawatan Menteri Kewangan Mesir pada usia 24 tahun !
Kincir air zaman Nabi Yusuf

Justeru, kepimpinan hakikatnya adalah keupayaan mencipta pengaruh (John C. Maxwell) berasaskan pengetahuan dan pendidikan masing-masing. Lantas setiap individu itu berpotensi menjadi pemimpin (born to be a leader), dalam erti kata mencipta pengaruh kepada orang lain. Samada ada pengaruh itu baik atau buruk kepada organisasi, ia tetap akan disebut sebagai pemimpin atau individu yang percakapannya, perbuatannya mampu memberikan kesan kepada orang lain (pengaruh), sama ada sedikit atau ramai jumlah yang terkesan.

“Setiap kamu adalah pemimpin. Dan setiap kamu mestilah bertanggungjawab kepada yang dipimpinnya.” (Al-Hadis)

Sebab itulah wujudnya istilah “opinion leader” iaitu pemimpin pandangan, yakni pandangan yang diberikan mendapat sokongan banyak pihak, walaupun yang melontar pandangan itu tidak berada pada posisi kepimpinan atasan sekalipun. Inilah beza besar apa yang dikatakan “pemimpin” (leader) dengan “pengurus” (manager).

Nabi S.A.W telah berupaya menjadi pemimpin yang tulen, dalam erti kata pemimpin yang berjaya mencipta pengaruh walaupun tidak memegang sebarang jawatan besar di dalam struktur kepimpinan masyarakat Jahiliyah Makkah. Kuasa “al-Amin” yang ada pada Rasulullah S.A.W tak mampu ditandingi kuasa pemerintahan yang ada pimpinan politik Arab Makkah pada masa itu. Peristiwa baginda diberikan mandat untuk menyelesaikan konflik peletakan Hajarul Aswad adalah sebesar-besar pengajaran kepada kepimpinan GMI bahawasanya selemah-lemah kepimpinan adalah yang bergantung pada jawatan untuk memimpin (mencipta pengaruh)”

“Sebaik-baik pemimpin adalah yang mampu mencipta pengaruh berdasarkan kepakaran dan pengetahuannya, Selemah-lemah kepimpinan adalah yang bergantung kepada jawatan untuk mencipta pengaruh.” – Ustaz Hasrizal Jamil, Yusuf Memimpin Dengan Kualiti dan Pengaruh, Saifulislam.Com

Sebab itu saksikan pengiktirafan seorang pengkaji teori “pengaruh” yang beragama Kristian, Michael H. Hart apabila membuat kajian mengenai 100 Pemimpin Paling BERPENGARUH di atas dunia, anehnya beliau tidak meletakkan Nabi Isa di tangga nombor satu, mahupun tokoh-tokoh besar dunia seperti Newton (2), Einstein (10), Alexander The Great (33), Aristotles (13), Konstantine Rome (21), Caesar (18), Napoleon Benoparte (34), tetapi yang diletakkan adalah Nabi Muhammad S.A.W sebagai pemimpin paling dahsyat pengaruhnya, sehingga kekal ke hari ini. Bila ditanya kenapa, Michael Hart menyatakan :

“Nabi Muhammad lahir di daerah paling terkebelakang di dunia. Namun, hanya dalam masa sekelumit abad, hanya 23 tahun sahaja, beliau telah mengubah sepertiga peta dunia. Muhammad lah orang pertama dalam sejarah, berkat kekuatan imannya pada Tuhannya, memimpin pasukan Arab yang sangat kerdil jumlahnya melakukan penaklukan yang menyebabkan sejarah tercengang. Di Timur, kerajaan Parsi yang luas tumbang di bawahnya. Di Barat, Rom Byzantium kuasa tentera terkuat dunia tunduk di bawah tapak kakinya. Penggantinya pula menyapu bersih Afrika Utara hingga Lautan Atlantik, dari Selat Gibraltar sehinggalah ke Visigot di Sepanyol.”

“Nabi Muhammad S.A.W adalah pemimpin sejati yang melengkapi kesemua 5 tingkatan kepimpinan agung. Baginda melepasi tingkatan pertama iaitu pemimpin yang diikuti dan ditaati pengikutnya. Baginda melepas tingkatan kedua iaitu pemimpin yang dicintai pengikutnya. Baginda melepasi tingkatan ketiga iaitu pemimpin yang amanah, berintegriti dan berprinsip. Baginda melepasi tingkatan keempat iaitu pemimpin yang mencetak generasi. Akhirnya baginda melepasi tingkatan kelima iaitu pemimpin yang pengaruhnya kekal abadi.” – Dr. Ary Ginanjar Agustian, Rahsia Membangun ESQ

Integriti Maya

Sebarang pengambilan mana-mana bahagian daripada tulisan di sini adalah sangat digalakkan untuk disebarkan, namun perlulah mendapat izin daripada Iskandarfateh.

Ataupun, sila beri kredit bahawa anda mengambil mana-mana kenyataan tersebut dari Blog
Iskandarfateh ini.

Terima kasih. Saya sangat hargai kunjungan anda.

Montaj IPTC

Twitter With Me

Profail Blogger


Syaari Ab. Rahman merupakan seorang perunding motivasi terlatih. Profail lengkap beliau di "Hubungi Saya"