Content feed Comments Feed


Tuan Guru Nik Abdul Aziz menarik semula kenyataan beliau terhadap Ustaz Nasharudin Mat Isa. Tuan Guru Abdul Hadi juga pernah menarik semula kenyataan beliau mengenai idea Kerajaan Perpaduan. Jika demikianlah sikap tawadhu' 2 ulama besar PAS yang kini menggegarkan Malaysia, kita bagaimana ?

Blind spot is the area that cannot be seen while looking forward or through either the rear-view or side-mirror when one is in automobile. On the plain of thought though, it pertains to a subject matter about which one is ignorant of or more often prejudiced about, hence being ‘eclipsed’ from truly appreciating other perspectives.” – Dr Dzulkifli Ahmad, Fomer Director of PAS Research Centre


Ketika saya menulis posting ini, idea kerajaan perpaduan telah selamat “dikuburkan” oleh PR demi kepentingan "perpaduan" PAS terlebih dahulu sebelum perpaduan semua parti dalam UG menongkah langkah seterusnya.


Namun, tidak mustahil apa yang diimpikan oleh sahabat saya Mior Isfandy dalam surat terbukanya kepada Presiden PAS akan berlaku.

"Mungkin Tuan Guru akan meninggalkan idea ini dalam legasi politik PAS dan Malaysia. Tidak mustahil ia akan diungkap kembali daripada generasi kepimpinan PAS yang lain dan pada waktu itulah gagasan politik ini akan menjadi satu realiti yang sangat mahal harganya. Inilah hikmatullah yang mulia. Hanya optimis dan positif melatari perjuangan Islam ini."


Andaikata idea ini berulang kembali suatu ketika nanti di masa hadapan, sekurang-kurangnya saya telah mengarkib dan menostalgiakan beberapa pandangan bernas kedua-dua mazhab pemikiran yang saya temui di media dan alam maya dialbumkan dalam blog saya ini, memudahkan rujukan saya di kemudian hari. Malangnya, saya ketandusan sumber bagi pihak yang berpandangan kontra kepada UG ini. Justeru, rakan-rakan yang mempunyai sumber boleh nyatakan kepada saya. Saya tidak bias kepada mana-mana pandangan, bahkan saya gembira dengan kedua-dua pandangan pada asalnya. Cumanya saya ada rumusan saya sendiri di hujung posting ini.


Arkib Pandangan Bernas Pro UG



Pandangan Pertama : Prof Wan Abdul Rahman Wan Ab Latif, Pengarah Pusat Penyelidikan PAS

"Kedua-dua Tok Guru yang warak dan begitu hampir dengan Allah senantiasa memanjangkan tangan persahabatan kepada Umno atas nama perpaduan ummah. Mereka berdua peka terhadap seruan Allah untuk ummat Islam senantiasa berpegang kepada tali Allah (iaitu Agama Islam) dan jangan berpecah-belah.

Tangan persahabatan dihulur dengan satu syarat yang amat penting iaitu perbincangan mengenai penyatuan ummah Melayu mesti menjadikan al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan terpenting. Keenggangan Umno untuk menjadikan al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan asas dalam perbincangan mengenai perpaduan ummah yang menyebabkan persoalan berkaitan dengan perpaduan ummah adalah persoalan yang tiada penghujungnya.

Apabila Tuan Guru Presiden melontarkan idea kerajaan perpaduan, ia menunjukkan betapa besarnya jiwa Tuan Guru Presiden yang seolah-olah bersedia untuk memaafkan Umno di atas segala kejahatan yang dilakukan ke atas beliau.

Lontaran idea ini bukan sahaja kepada Umno tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia atas keyakinan beliau bahawa sudah tiba masanya untuk Islam (melalui PAS) memimpin perubahan dan salah satu perubahan yang dimaksudkan ialah kerajaan perpaduan. Hujah ini adalah selari dengan hujah Tuan Guru Mursyidul Am."


Pandangan Kedua : Prof Abu Hassan (Pengasas Zentrum Future Studies, Jabatan Pengajian Media UM)

"Idea ini sangat tepat pada masanya kerana abad kini adalah abad pluralisme dalam ecopocial (economy-politic-social), manakala abad singular atau pendekatan primitif "memerintah dengan kelebihan undi walaupun 1 undi" akan gagal.

Idea kerajaan perpaduan (tanpa pembangkang) adalah satu idea permulaan ke arah proses pemerintahan kenegaraan secara lebih liberalitatif dan demokratif. Ini adalah pandangan bijaksana, budiman, penuh hikmah dan wisdom ke arah melahirkan semula suasana politik madani (bertamadun dan beradab) yang mementingkan masyarakat dan rakyat, bukan ahli politik. Kerajaan perpaduan akan membentuk suatu politik baru Malaysia iaitu politik berasaskan kebersamaan, kesaksamaan dan kejernihan.

Pentabdiran negara bukan lagi bersifat individual dan ketaksuban parti atau kepentingan satu pihak tetapi menyeluruh. Idea ini sangat tepat pada masanya, bukan satu ilusi dan mitos bahkan satu keperluan masa depan.

Kita tidak mahu menjadi seperti Indonesia dan Eropah yang "terlambat" membentuk kerajaan perpaduan apabila catastrophy (kepunahan dahsyat dan kronik) telah melanda ekonomi dan sosial masyarakat. Para pengkaji global meramalkan menjelang 2012 akan berlaku kepunahan dahsyat pada sosial, tenaga, dan ini bukan urusan satu pihak sahaja. Di beberapa buah negara maju seperti Australia, Belanda, UK, dan lain-lain, beberapa kekosongan jawatan penting dalam kabinet kerajaan diisi oleh para profesor yang ajaib pemikirannya, tokoh-tokoh NGO dan aktivis masyarakat, termasuk juga ahli politik oposisi, tidak semestinya diisi oleh ahli politik proposisi (parti pemerintah). "Mereka telah lama merobohkan tembok Berlin!

Demikian juga musuh ketat umat Islam, Israel. Israel merupakan negara moden yang paling banyak menggunakan pendekatan "kerajaan perpaduan" sebagai kaedah menyelesaikan masalah dalaman mereka. Secara lebih spesifik, menyelesaikan pertembungan antara Parti Buruh dengan Parti Likud. Kerajaan perpaduan yang dibentuk ialah kerajaan campuran antara dua parti yang dominan ini. Terkini usaha-usaha sedang dijalankan bagi menyatukan Parti Likud dengan parti Kadima."


Pandangan Ketiga (Usernama :Pembela, Sumber : Detikdaily)

"Sesungguhnya para pemimpin dan ahli PAS dan juga parti politik lain seharusnya melihat bahawa idea UG oleh Presiden PAS ini adalah lahir dari seorang kepimpinan yang berjiwa besar dan berfikiran negarawan. Ia perlu dilihat dalam kerangka yang lebih luas, matang dan merentasi kepentingan puak kepartian semata-mata.

Cetusan idea ini bukan kerana ‘gilakan kuasa’ ataupun Presiden PAS mahu mengadai prinsip perjuangan. Sebaliknya ia adalah untuk memberi keutamaan menyelesaikan masalah rakyat ekoran dari kegawatan ekonomi yang melanda negara, di samping isu-isu lain termasuk politik, pendidikan dan sosiol dan sebagainya yang melibatkan rakyat.

UG juga adalah suatu usaha (jika berjaya) untuk semua pemimpin dan parti politik memberi focus kepada membangunan rakyat dan Negara. Walaupun ada setengah pihak berpendapat ia adalah terlalu ‘ideal’ untuk dilaksanakan.

Dapat dikesan bahawa tujuan ‘penyalahertian’ definasi tentang idea dan konsep tersebut oleh pihak-pihak yang berkenaan ialah untuk menyakinkan ahli-ahli PAS supaya idea TGHH yang dipopularkan oleh Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa adalah suatu usaha secara senyap dan sistematik untuk mengUMNOkan PAS seperti yang berlaku di zaman lampau di bawah kerajaan Perikatan. Natijahnya, Ustaz Nasharuddin menjadi sasaran dan dikambinghitamkan oleh tangan-tangan gelap bertujuan untuk politik jangka pendek dan jangka panjang mereka. Maka berbondong-bondonglah ahli-ahli PAS yang terlalu sentimental dengan pemimpin PAS tertentu menghayunkan ‘penumbuk’ politik seperti mana yang sama-sama kita ketahui pada hari ini.




Lebih malang lagi seolah-olah pihak-pihak yang menentang idea kerajaan perpaduan ini tidak menerima langsung pengakuan demi pengakuan oleh pemimpin terintinggi PAS tentang ketidaksudian PAS bergabung dengan Umno kecuali melibatkan seluruh parti utama dalam Negara.

Sesungguhnya mainan definasi yang mengeliru inilah yang menjadi peluru ganas beberapa pemimpin PAS ‘tenggelam punca’ bertindak separuh rasional dan kurang matang samada melalui kenyataan akhbar maupun politik. Bahang penentangan kepada Timbalan Presiden PAS sampai ke kemuncak yang tidak pernah terfikir berlaku dalam PAS sejak ia ditubuhkan oleh Ulamak pada tahun 1951 lalu."


Pandangan Keempat : Mior Isfandy, Aktivis Mahasiswa

"Apa yang saya faham adalah Kerajaan Perpaduan bukan tahalluf siyasi antara PAS dan Umno. Tetapi, PAS membuka pintu rundingan dengan sesiapa sahaja untuk memulihkan krisis politik, ekonomi dan kebejatan rakyat yang melanda negara.

PAS mahu mengajak Umno, KeADILan, DAP, MCA, MIC, Gerakan, PPP dan parti-parti di Sabah dan Sarawak untuk membentuk sebuah kerajaan asalkan meletakkan al-Quran dan As-Sunnah sebagai tunjang. Mesti Islam sebagai asas pembentukan."


Pandangan Kelima : MSO

"Sebagai Presiden, Abdul Hadi tidak perlu tunduk kepada sesiapa. Itu adalah bidang kuasanya yang mutlak. Kalau Anwar Ibahim boleh membawa idea 16 September sebelum ini kenapa tidak dengan beliau mengemukakan apa-apa gagasan alternatif dari umbi pemikirannya? Apakah standard Abdul Hadi dengan Anwar sebagai Penasihat PKR berbeza?


Pemain politik baru kena baca sejarah dan ingat DAP juga pernah membuat tindakan politik meninggalkan Pas pada satu masa dulu apabila parti itu menghitung Pas tidak memberi kebaikan kepadanya. Tindakan itu tidak berdosa kerana dalam mencari kemenangan politik, bukan kemenangan mencapai keredhaan Alllah parti politik boleh lakukan apa saja menuruti lunas-lunas demokrasi sekular."


Pandangan Keenam : Nazree Yunus

"Ada baiknya isu Kerajaan Perpaduan ini ditukar kepada istilah Politik Damai. Ia itu bentuk Politik Damai yang boleh berbeza pandangan tetapi tidak keterlaluan ketegangan sehingga apa sahaja yang dilakukan oleh pihak yang bertentangan dianggap semuanya salah.

Politik Damai yang lebih terbuka untuk perbincangan. Politik Damai ini harus dilakukan dalam bentuk lunas-lunas keadilan sejagat termasuk melihat apakah definisi Islam terkait soal Keadilan.

Parti-parti tidak menumpukan proses ke arah pembinaan karektor pemimpin muda negarawan. Masing-masing ditebalkan dengan semangat parti itulah yang benar dan betul. Apakah tidak mungkin dengan politik damai dan pembinaan kepimpinan muda negarawan, maka terlahirlah jiwa-jiwa ahli dan rakyat yang statemanship yang masing-masing boleh berfungsi secara membina dalam parti dan platform masing-masing. Maka pada ketika itu barulah persoalan Kerajaan Perpaduan ini akan lebih rasional untuk diterjemahkan. Namun hari ini ada hikmah juga isu ini dibangkitkan.

Politik Damai ini juga harus dibincangkan dengan konsep kolektif support. Sokongan kolektif wajar untuk perkara yang sah sebagai kebaikan, tetapi dalam soal pertikaian kemungkaran, sokongan kolektif ini boleh membawa kepada kerosakan seumpama ahli MP Kerajaan tidak boleh berbeza pandangan dengan Menteri daripada Parti yang sama terutama berkaitan dasar kementerian walaupun kadang kala ianya salah.

Ini bentuk-bentuk transformasi politik yang mahu dibuat. PAS sudah mulakan perkara ini. Kenyataan Presiden yang difikirkan ada kekurangan disanggah oleh pimpinan yang lain. Apakah ini bukti PAS mendahului dalam pemecahan konsep sokongan kolektif. PKR juga tidak seberani ini dalam mana-mana pemimpin menyanggah Anwar. UMNO juga begitu terhadap Najib walaupun dahulu menolak Pak Lah."


Pandangan Ketujuh : Akhi Abdul Rahim Hilm


"Saya masih merasai gegaran 16 September tahun lepas. Sepertimana Unity Government, 16 September juga berkongsi matlamat serupa; membetul dan memandu negara ke arah yang sempurna.

Saat itu pernahkah kita didedahkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan strategi pembentukannya, syarat-syarat (tawaran) kemasukan ahli lompatnya, kedudukan ahli lompat dalam kabinetnya hatta siapakah Timbalannya?!. Tidak ada.

Kenapa?

Kerana politik adalah seni serba mungkin. Politik adalah seni menggoda. Politik juga adalah seni perang. Tidak ada jeneral yang memberitahu strateginya kepada para tentera tatkala telinga musuh tertadah di sebelah. Itu jeneral tak mumayyiz namanya.

Apabila DSAI mengumumkan 16 September, tidak ada seorang pun antara kita yang menganggap itu cubaannya yang mahukan kuasa walaupun umum tahu dia akan jadi PM jika PR memerintah. Tetapi apabila Tuan Guru Presiden menggagaskan 'Unity Government' kita anggap dia nyanyuk dan gila kuasa padahal kita tak tahupun kalau jadi pelan itu Tuan Guru akan jadi siapa.

Apabila DSAI berahsia tentang strategi 16 Septembernya, kita anggap itu taktik dan tindakan politik matang. Apabila Tuan Guru berahsia tentang strateginya, kita anggap dia pembohong, lembap dan patut diludah mukanya.

Begitu juga apabila tarikh itu berlalu, DSAI semakin tidak menyebut tentang 16 September. Dan kita mentaatinya dengan tidak berbicara lagi tentangnya kerana kita tahu itu bisa menggugat perpaduan antara parti komponen dalam PR. Kita sanggup bertindak lebih jauh dengan membelasah siapa juga yang cuba mempertikaikan kejayaan 16 september walaupun semua orang tahu tokoh itu betul dalam tekaan politiknya. Tetapi apabila Dato Mustafa Ali meminta kita jangan mempolemikkan 'Unity Government' kkerana ia mengocak keamanan dalam parti, kita anggap dia cuba menutup pelan busuknya. Walhal rayuan tokoh ini selari dengan kenyataan Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah di blog suaminya."


Arkib Pandangan Bernas Kontra UG


Pandangan YB Khalid Samad


"Pakatan Rakyat dalam keadaan sekarang, bagaikan tentera Saidina Ali yang sedang mengasak kedudukan tentera Muawiyyah iaitu UMNO/BN. Kita maju selangkah demi selangkah dan jelas dalam BN ketakutan. Tiba-tiba ada yang mencadangkan perpaduan, perdamaian! Pakatan Rakyat, seperti tentera Saidina Ali, mula berbalah sesama kita. PKR dan DAP terpingnga-pingnga dengan sebutan-sebutan ‘perpaduan’. Malah PAS sendiri pun terbahagi dua dalam menghadapi persoalan ini. Kesatuan yang terbentuk selama ini seolah tergugat dan UMNO/BN dengan segeranya menyatakan persetujuan mereka terhadap perdamaian dan persatuan yang dicadang-cadangkan.

Namun, yang lebih penting untuk kita fikirkan adalah implikasi kepada masa depan PAS itu sendiri. Kita akan kehilangan sokongan masyarakat Cina dan India yang melihat tindakan kita sebagai khianat dan perjuangan Islam akan dilihat sebagai satu perjuangan opportunis yang tidak mempunyai prinsip dan asas yang kukuh. Usaha selama berpuluh tahun akan musnah begitu sahaja dengan sekelip mata.


Maka kita akan dapati diri kita tertipu seperti mana tertipunya Abu Musa As-Syaari oleh Amr Al-As dalam peristiwa tahkim yang berlangsung selepas gencatan senjata di Siffin. Peristiwa tersebut membuktikan keikhlasan sahaja tidak mencukupi. Waraq sahaja tidak mencukupi. Ilmu hukum hakam agama sahaja pun tidak mencukupi. Cerdik politik dan kenal lawan juga amat diperlukan dan saya secara peribadi dengan melihat secara jauh, sudah mula tertanya samada inikah kekurangannya di kalangan pimpinan tertinggi PAS selama ini. Kecuali Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang pendirian dan sikapnya jelas menunjukkan mengapa PAS boleh bertahan di Kelantan berpuluh tahun tetapi tidak di negeri lain.


Rumusan Saya

Politik itu seni mencipta gimik untuk mengalih perhatian dan menimbulkan persepsi. Gimik “kerajaan perpaduan” TGAH (mungkin juga bukan gimik, namun sebuah idea yang jujur dari sanubari TGAH) berjaya membenam gimik 16 September DSAI ketika dahulu orang-orang PAS lebih gemar menyalahkan DSAI atas gelombang ciptaannya untuk merampas kuasa BN tanpa sedar diri untuk mewujudkan gelombang sendiri.

Bahkan impaknya nampak lebih dahsyat bukan sekadar kepada dalaman PAS, tetapi juga kepada PM Najib Razak dan Umno-BN. Lihat sahaja kenyataan Pak Lah yang mahu turut serta perbincangan UG, kenyataan tentangan keras dari MCA dan Karpal Singh, kenyataan Tun Mahathir, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal, Datuk Mukhriz sehingga berakhir dengan kenyataan positif Najib (baca : perangkap intelegen Najib) dan Muhyidin. Rasanya, belum pernah dalam sejarah politik PAS suatu idea itu mendapat feedback hampir semua kepimpinan utama Umno-BN. (baca juga tulisan Azlan Zainal mengenai feedback ini)


Walaupun idea itu kini dikuburkan, saya berpandangan TGAH PAS berjaya membuktikan:

1. Posisi strategik PAS sebagai "the real kingmaker" (sebagaimana diramalkan Fui K. Soong, CEO INSAP think tank MCA dalam the STAR sebelum ini) di persada politik tanah air masa kini.

DAP-PKR akan lebih berhati-hati dengan amaran dan luahan akar umbi PAS selepas ini. Mungkin impak amaran Muktamar PAS tahun lepas belum memadai bagi memberikan inzar pada kaki lompat khususnya dalam PKR, namun UG adalah signal jelas kepada rakan-rakan PKR supaya bersiap sedia dengan segala kemungkinan dalam politik PAS sekiranya rakan-rakan PR melupakan aspek integriti.

Lebih dari itu, PAS kini mempelopori idea kerajaan perpaduan. Berdasarkan kepada pengalaman negara-negara yang pernah bereksperimen dengan 'kerajaan perpaduan' memperlihatkan kepada kita bahawa kerajaan ini bersifat jangka pendek dan hanya bertahan semasa negara sedang mengalami suasana yang mencabar. Selepas keadaan kembali normal, ia tidak lagi relevan.

Justeru, selepas ini, sebut sahaja kerajaan perpaduan, rakyat dan politikus pasti akan mengenang peranan PAS dan TGAH dalam merintis hal ini. Inilah legasi terbesar TGAH yang belum sedia disambut semua pihak selepas Ustaz Fadzil Nor dengan gagasan GERAK.

2. Jika Umno-BN boleh ditumbangkan di luar pentas PRU sebagaimana projek 16 September untuk memecahkan doktrin hanya BN sahaja boleh berkuasa (baca : Hikmah 16 September oleh Zainulfaqar), maka projek UG pula menunjukkan ada juga cara lain untuk ‘melumpuhkan dominasi’ BN secara tersirat juga melalui luar lingkaran PRU. Sekurang-kurangnya, rakyat dididik (atau mungkin juga rakyat bosan) untuk melihat bahawa ada pelbagai cara dan "jalan pintas" untuk menumbangkan Umno-BN jika mereka gagal memaknakan mandat rakyat. Eksperiman politik ini sangat mahal !

3. Wibawa dua orang ulama dan Tuan Guru dalam PAS.

Sehingga ke hari ini kedengaran segenap peringkat kepimpinan PAS membimbangi siapa mampu menggantikan mereka. Inilah krisis besar PR dan PAS khususnya yang lebih suka bersandarkan kepada penonjolan figura-figura tertentu dan tidak nampak kepasukanan sebuah kepimpinan seperti ungkapan Prof Abu Hassan.

Rumusan Prof Wan Abdul Rahman sangat bernas melihat kedua-dua kekuatan dan titik persamaan kedua-dua TG ini

"Walhal, secara realitinya perbezaan pemikiran dan sikap dua orang Tok Guru ini adalah mainan media milik Umno/BN. Kedua-dua Tok Guru sedar akan sepak terajang politik bikinan Umno/BN kerana kedua-duanya pernah mentadbir negeri. Kedua-dua Tuan Guru sedar bagaimana Umno/BN telah menganaktirikan Kerajaan Kelantan dan Terengganu.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz sedar (di awal pemerintahannya) betapa peritnya apabila Umno menghentikan bantuan subsidi input pertanian (baja) kepada para penanam padi yang menyebabkan Kerajaan Kelantan terpaksa mengeluarkan baja sendiri yang melibatkan kos jutaan ringgit.

Tuan Guru Abdul Hadi juga merasakan keperitan apabila wang royalti petroleum ditarik balik oleh Umno dan digantikan dengan wang ehsan.

Tidak mungkin kedua-dua Tok Guru lupa akan pengalaman-pengalaman pahit ini. Ini sekadar satu contoh. Banyak lagi diskriminasi yang terpaksa dilalui oleh kedua-dua Tok Guru semasa memegang jawatan Menteri Besar."


4. Mentaliti pimpinan PAS segenap peringkat akhirnya dibawa kepada persiapan melihat persiapan PAS sebagai kerajaan (sama ada bersama PR atau perpaduan), bukan lagi pembangkang.

Jika 16 September mereka meragui DSAI dan menjustfikasikannya dirinya masih ada bekas Umno-BN untuk tidak membahaskan persiapan PAS-PR menjadi kerajaan, kini apabila satu lagi idea memposisikan PAS dalam struktur kerajaan Persekutuan, datang sendiri dari Presiden mereka, tiada alasan lagi akar umbi Pas tidak boleh membahaskannya.

Walaupun Abdul Shukur Harun menyifatkan Muktamar PAS Pusat baru-baru ini menyebut hanya 20 % perbahasan Muktamar menjurus kepada persoalan kehadiran PAS dalam PR, bukan PAS berdiri sendiri. (lihat "Kecelaruan Muktamar Boleh Dibaiki", Harakah 15 - 18 Jun 2009)

5. Sekurang-kurangnya rakyat, pimpinan dan aktivis PAS mula tahu untuk mendefinisi AWLAWIYYAT AGENDA perjuangan bersama PR yang bukan sekadar berpolitik semata-mata.


Terlalu banyak isu-isu lebih besar membabitkan ekonomi, sosial, keselamatan dan institusi pendidikan negara serta persoalan nasib Ummah di sekitar Asia dan dunia perlu disinggung secara bersama antara semua pihak bernama "ahli politik" samaada BN atau PR.

Kata Prof. Hasbullah (petikan dari "Politik Yang Melampau" oleh Rausyanfikir:

" Isu politik telah mendominasi pemikiran rakyat kita 300%. Ini harus dihentikan".


Keghairahan PRK mestilah diseimbangkan dengan kecaknaan isu kegawatan ekonomi dan 3 catastrophy yang disebut Prof Abu Hassan sebelum ini . Kecaknaan tidak boleh hanya memadai dengan kenyataan akhbar pimpinan sahaja.

UG adalah percubaan TGAH untuk mendedahkan permasalahan lebih besar negara. Masalah negara adalah ghoyah, UG hanyalah taktik.

6. Muhabasah kepada PAS supaya setiap cadangan mesti ada intipati yang konkrit, ada hujung dan ada pangkalnya, blue print yang jelas.

Pendek kata jangan hanya ada bingkai, gambarnya belum ada. TGAH telah mengeluarkan semua pimpinan dari mentaliti kepembangkangan kepada kekerajaanan. Namun sekadar mencadang belum memadai untuk meraih mawqif jamaie (kepercayaan majoriti) tanpa kejelasan idea yang difahami oleh akar umbi. Presiden PAS telah memulakan langkah pertamanya dengan sebuah idea, soalnya sejauhmana Pemuda dan mahasiswa meneruskan pencak seterusnya membantu menjelaskan idea Presiden dalam perbahasan ilmiah. Kaget juga saya UG hampir-hampir memanggil Muktamar Khas, kenapa Muktamar PAS Pusat tidak membahaskannya sahaja..

1 Response to Menostalgiakan “Blind Spot” Di Sebalik Idea Unity Government (UG) TGAH

  1. masya Allah tabarakallah..
    hebat kajian kali ini..
    smg sifat tawadhu' pd kedua-dua tok guru kita ada pada kita semua..amin..

     

Posting Sebelumnya

Integriti Maya

Sebarang pengambilan mana-mana bahagian daripada tulisan di sini adalah sangat digalakkan untuk disebarkan, namun perlulah mendapat izin daripada Iskandarfateh.

Ataupun, sila beri kredit bahawa anda mengambil mana-mana kenyataan tersebut dari Blog
Iskandarfateh ini.

Terima kasih. Saya sangat hargai kunjungan anda.

Montaj IPTC

Twitter With Me

Profail Blogger


Syaari Ab. Rahman merupakan seorang perunding motivasi terlatih. Profail lengkap beliau di "Hubungi Saya"