
Walaupun saya tidak dapat menghadiri forum penting ini, saya tetap memberikan tribute kepada MPP UIAM Pro-Mahasiswa. Secara zahirnya (secara batin atau kualiti perbahasan panel, saya tidak dapat berikan kerana tidak hadir dan belum melihat VCD nya), forum ini - berdasarkan maklumat saya perolehi di media maya - telah memberikan keunikan tersendiri kerana :
1. Ia dianjurkan ketika kegawatan politik menenggelamkan isu-isu yang lebih penting seperti ekonomi negara yang di ambang bahaya.


2. Ia suatu projek kerjasama yang melampau sempadan politik kepartian di UIAM iaitu kerjasama MPP UIAM (dikuasai kem Pro Mahasiswa), PKPIM dan GPMS.
3. Ia suatu cabaran pertama kepada Pemuda PAS dan Ketua Pemuda PAS yang baru, Ustaz Nasarudin Hassan Tantawi. Andaikata akan berlaku lagi forum bukan isu politik seperti ini pada masa akan datang, bersediakah para pimpinan Pemuda PAS untuk dijemput pimpinan mahasiswa berhujah secara intelek, objektif dan membahas secara kritis dan konstruktif dengan galasan idealisme "Islam sebagai Penyelesaian" dengan Ketua Pemuda Umno yang mujurlah gagal mendapat title Menteri Pelajaran atau sang Menteri. Inilah masanya membuktikan "bukan sekadar Khairy, tetapi Najib pun kita sedia hadapi" sebagai yang ditegaskan Ustaz Tantawi di Ucapan Penggulungan Muktamar Pemuda yang saya hadiri baru-baru ini. Hujah Islamis bertempur hujah sekularis, idea Islamis bertempur idea sekularis, itulah yang mahasiswa nantikan.

Namun persoalan seterusnya, sampai bilakah pimpinan mahasiswa hanya akan menjadi moderator mempertemukan tokoh-tokoh politik dan NGO dari jalur pemikiran yang berbeza ? Terbaru, MPMUM tawar diri pada PAS dan SIS untuk mereka berdebat isu usul pengharaman SIS di Muktamar PAS baru-baru ini. Sampai bila mahasiswa hanya menjadi pengerusi debat atau forum, bukannya panel yang berdiri sama tinggi duduk sama rendah, hujahnya dan kualiti pidatonya sedia dihakimi dan dihukumi rakyat bersama panel politician yang lain ?
Moga gerakan mahasiswa UIAM, UM dan kampus-kampus lain akan bersedia memasuki langkah seterusnya untuk berpencak sebagai problem-solver yang benar-benar berkesan kepada setiap permasalahan ummah. Buktikan mahasiswa jurubicara ummah, bukan moderator forum ummah.
Sumber : Gambar ihsan dari YB Nik Nazmi
0 Responses to Khairy Mula Beraksi Dengan Mahasiswa, Pimpinan Pemuda PAS Yang Baru Perlu Bersedia