Saya, Khusairi, Idris dan beberapa pimpinan GAMIS dalam satu sesi braintorming Kongres Pendidikan GAMIS 2 hari sebelum Muktamar Pemuda PAS Pusat
Saya hanya memilih kenyataan-kenyataan tertentu Mantan Ketua Pemuda PAS Pusat ini yang bersangkut paut dengan apa yang boleh dijadikan legasi penerusan yang perlu ada kesinambungan khususnya dalam proses perkilangan bahan mentah gerakan Islam iaitu tarbiyah di kampus.
Pembangkang Konstruktif : Legasi Terbesar YB Salahudin dan Projek Mega Beliau Kepada Pemuda Pas
"Kita telah berjaya menganjakkan pendekatan politik bangkangan konfrontasi kepada politik bangkangan konstruktif. Kita telah mengambil pendekatan untuk bersama-sama dengan kerajaan dalam perkara-perkara yang melibatkan kepentingan negara. Kita juga telah mengambil langkah untuk menyalurkan kritikan yang lebih membina dan mengusulkan cadangan yang konstruktif dalam menangani masalah-masalah pentadbiran negara. Agenda engagement yang kita terokai semenjak enam tahun yang lalu telah membentuk satu persepsi baru terhadap politik PAS – pembangkang yang membina."
Dr Burhanuddin al-Helmy : Akar Pemikirannya YB Salahudin
"Dalam konteks ini, saya ingin mengajak para pemuda semua untuk kita menghayati pemikiran dakwah yang digagaskan oleh al-Marhum Prof Dr Burhanuddin al-Helmy. Beliau amat menekankan keterbukaan dalam pendekatan dakwah yang sesuai dengan naluri masyarakat sebagaimana berhikmahnya Wali Songo yang menggunakan saluran seni hiburan untuk mengajak masyarakat kepada Islam. Pendakwah tidak menghukum, tetapi memujuk dan menasihati. Perbezaan bukan asas kepada perpecahan, tetapi menzahirkan keterbukaan.
“Jangan kerana kita sukakan susu, lalu mengatakan kopi tidak baik, tetapi minumlah susu dan hargailah peminum kopi”.
Itulah keterbukaan yang ditunjukkan oleh Dr Burhanuddin. Beliau dikenali sebagai tokoh reformis, tetapi sangat disenangi oleh ulamak kaum tua. Beliau terkenal sebagai ahli tasawuf, tetapi begitu rapat dengan ulamak kaum muda. Beliau menyusun strategi dakwah dengan mendekati golongan sosialis-komunis, memulakan kerjasama dengan parti-parti bukan Melayu tanpa rasa chauvenis, mendukung perjuangan nasionalis, tetapi kekal sebagai tokoh yang Islamis. Pengikut dan pengkagumnya bukan sekadar orang-orang politik, tetapi juga pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan. Inilah model pendakwah yang mesti dicontohi oleh Pemuda PAS pada masa akan datang."
"Yang Dipertua Agung PAS, Prof Dr Burhanuddin al-Helmy dalam pesanannya ketika merasmikan Kongres (Muktamar) Dewan Pemuda PAS Pusat Kedua di Madrasah al-Ulum as-Syar’iyah, Bagan Datoh pada 13 dan 14 Disember 1957 telah menggaris hala tuju dan peranan Dewan Pemuda PAS. Kata beliau,
“Pemuda dan pemudilah termometer (penyukat suhu) turun naik sesuatu bangsa. Angkatan tua berpusing turun, angkatan muda berpusing naik. Angkatan tua amanah panduan, angkatan muda harapan perjuangan. Angkatan tua banyak pengalaman dan kebijaksanaan, angkatan muda penuh semangat dan keberanian berkorban.
Angkatan tua berfikir cermat dan menimbang, angkatan muda cergas dan nekad maju mekar mengembang. Tua memperkayakan budi dan jasa, pemuda memperkayakan khidmat dan menghargai masa. Tua menghadapi akhirat, pemuda menghadapi dunia dengan penuh harap. Pemudalah yang menyambung dan meneruskan cita-cita perjuangan pesaka orang tua kita.
Dunia ini nikmatnya untuk rebutan pemuda yang penuh dengan harapan dan kepercayaan. Pemuda yang tiada harapan dan kepercayaan kosong dan hampa hidupnya. Harapan dan kepercayaan pemuda itu ialah ideologinya yang hak dan adil”
Pemimpin Yang Mampu Meremajakan Semula Pemuda PAS : Asas Pengunduran YB Salahudin
"Atas asas inilah saya merasakan bahawa sudah tiba masanya untuk kita bersama-sama meremajakan semula Dewan Pemuda PAS. Saya bersedia untuk mengundurkan diri daripada kepemimpinan Dewan Pemuda PAS kerana hasrat saya agar generasi baru yang lebih produktif dengan gagasan-gagasan berjiwa remaja dapat mengambil alih kepemimpinan.
Kita perlukan pemimpin baru yang dapat menghayati naluri dan denyut nadi golongan muda. Kita mahukan pemimpin baru yang memahami kehendak dan keperluan generasi remaja. Kita berkehendakkan pemimpin baru yang berupaya menyediakan program dan aktiviti-aktiviti yang dapat membina dan menggali karismatik golongan belia sebagai pelapis kepemimpinan negara. Saya sangat percaya bahawa pemimpin muda lebih memahami dan menghayati kemahuan generasi muda, kerana itu kita mesti memberikan kepercayaan kepada mereka untuk mengemudikan proses peremajaan ini."
YB Salahudin Tidak Memandang Remeh Upaya Khairy Jamaludin
"Dewan Pemuda PAS sebenarnya sedang menghadapi satu persaingan yang lebih sengit pada masa hadapan, terutama dengan program-program keremajaan yang disusun oleh Pemuda Umno. Kita tidak boleh memandang sepi atau melihat sebelah mata sahaja kepada Pemuda Umno yang kini sedang dipimpin oleh seorang ketua yang lebih muda. Mungkin kita tersenyum kerana Pemuda Umno berketuakan seorang yang telah disabitkan dengan kesalahan politik wang atau seorang ketua pemuda yang dahulunya menjadi menantu Perdana Menteri yang membolot kekayaan negara melalui penguasaan di Tingkat 4 JPM.
Tetapi apa yang mesti kita perhatikan ialah keupayaan dan kebolehan beliau menguasai jiwa golongan muda dengan segala jenteranya, yang mungkin akan meninggalkan kita jauh keterbelakang. Jangan kita nanti menggigit jari sahaja melihat Pemuda Umno merampas semula kepercayaan golongan muda. Kita harus ingat bahawa harimau yang sedang terluka akan melakukan apa sahaja untuk survivalnya, dan canangnya telah dipalu oleh Ketua Pemuda Umno untuk mengembalikan sokongan golongan muda kepada BN. Inilah cabaran nombor wahid dalam gerakan politik Dewan Pemuda PAS untuk tempoh menjelang pilihan raya ke-13 nanti."
YB Salahudin Mendefinisi Citarasa Generasi Baru Malaysia
"Saya teruja melihat pemimpin-pemimpin muda yang muncul dan memimpin AMK dan DAPSY pada masa ini. Mereka adalah generasi baru yang mewakili aspirasi baru Malaysia yang menolak gagasan sempit yang berasaskan kaum atau sentimen-sentimen sempit yang lain. Mereka sekarang sedang bercakap soal ketelusan pentadbiran, keadilan undang-undang, keadilan sosial, kecekapan kerajaan dan kestabilan ekonomi yang menjadi isu pokok ke arah Malaysia sebuah negara maju dan berkebajikan. Isu-isu yang bersifat perkauman, keagamaan yang sempit, sentimen kedaerahan dan seumpamanya sudah tidak relevan kepada generasi baru Malaysia. Inilah persoalan yang membuatkan parti-parti perkauman dalam BN kini kehilangan dukungan rakyat, khususnya golongan muda."
YB Salahudin Mendefinisi 3 Peranan Selain Peranan Dalam Pemuda / Parti
"Bagi Dewan Pemuda PAS, perkembangan ini perlu dilihat secara positif, dan kita sendiri mesti berperanan secara positif juga supaya PAS terus diterima di pentas politik negara. Saya percaya AMK dan DAPSY telah mempunyai rancangan-rancangan kerja jangka panjang masing-masing bagi menangani perubahan ini. Maka generasi baru Pemuda PAS juga perlu membuat kajian dan perancangan yang lebih strategik kerana kita mahu peranan PAS dalam Pakatan Rakyat seluruhnya diperkukuhkan. Kita bukanlah ‛sleeping partner’ kepada Pakatan Rakyat atau sekadar pelengkap sahaja, tetapi kita mahu PAS menjadi tulang belakang kepada kebangkitan Pakatan Rakyat dalam menamatkan kezaliman, penindasan dan penyelewengan BN. Pemuda PAS adalah tenaga utama dalam meningkatkan peranan PAS ini. Peranan kita dalam kerajaan, peranan kita dalam pakatan dan peranan kita dalam mengembleng rakyat semuanya perlu diberikan suntikan perangsang yang baru."
Naib Presiden PAS Yang Baru dan Jiwa "Futurist" Beliau
"Bagi memenuhi matlamat perjuangan yang begitu agung ini, serta kekentalan cabaran yang mendatang, Pemuda PAS memerlukan persiapan dan peningkatan keupayaan yang berkali-kali ganda daripada yang apa yang sedia ada hari ini. Mungkin apa yang kita ada ini memadai dengan cabaran dan keperluan hari ini, tetapi kita harus meletakkan satu unjuran perubahan yang besar dalam masa 10 ke 20 tahun akan datang.
Rasional Dari "Merakyat" Kepada "Mempersada" Perjuangan
"Rakyat telah menerima dan memperakui kepemimpinan PAS sebagai yang lebih telus, beramanah, beriman dan budiman. Kerana itu, sudah menjadi kebiasaan ahli-ahli PAS diberikan kepercayaan untuk memimpin institusi masyarakat yang bercorak keagamaan.
Tetapi, dalam banyak situasi rakyat belum percaya bahawa PAS boleh memimpin dan mengetuai urusan pentadbiran masyarakat, khususnya memerintah negara. Wibawa pemimpin PAS untuk mengendalikan sebuah kerajaan yang belum begitu jelas dalam sanubari rakyat. Mereka tahu pemimpin PAS tidak merasuah, tidak menyelewengkan kuasa atau menyalahgunakan hak rakyat, tetapi keyakinan mereka terhadap kebolehan PAS untuk mengendalikan urusan rakyat masih begitu rendah. Mungkin kerana momokan Umno/BN dan mungkin juga kerana kita belum memperlihatkan kewibawaan kita yang sebenar."
"Saya ingin mencabar minda saudara-saudara semua. Bahawa PAS sebagai sebuah gerakan Islam pada hari ini telah terperangkap di dalam kerangka pemikiran yang menyesatkan ini. Rakyat bukan menolak PAS sebagai sebuah parti politik Islam yang mendukung cita-cita ketuhanan dan kemanusiaan, tetapi rakyat melihat golongan yang mendukung Islam sebagai lebih layak untuk memakmurkan rumah-rumah Allah sahaja, bukannya mencampuri urusan politik kenegaraan. Dan satu hakikat yang harus kita akui ialah kerana para ulamak yang memimpin kita tidak dilihat menguasai ilmu-ilmu alat dalam mentadbir dunia."
Menuju Cita Negarawan
"Apa maknanya? Maknanya ialah ahli-ahli Pemuda PAS perlu bekerja lebih keras bukan sahaja untuk mengajak manusia ke jalan dakwah, tetapi juga untuk meningkatkan keupayaan diri. Imej ‛keagamaan’ sudah cukup kental pada PAS, dan imej ini mesti dipertingkatkan dengan kapasiti atau kapabiliti sebagai seorang negarawan. Apabila Allah SWT memberikan pengiktirafan kepada sifat Tholut, “bastotan fil-ilmi wal jismi”, iaitu kelebihan ilmu dan mempunyai kekuatan fizikal dalam konteks memimpin sebuah pasukan tentera, maka sedarlah kita kepemimpinan mestilah berilmu dalam urusan keduniaan serta mempunyai kekuatan dalam menghadapi cabaran semasa.
Agenda mentadbir urusan dunia dengan agama bukan sahaja berkehendakkan ilmu-ilmu dan kepakaran dalam soal agama yang menjadi satu kewajipan, tetapi mestilah juga diperkasakan dengan keilmuan dalam urusan keduniaan bagi mewujudkan kompetensi kepemimpinan pada masa akan datang. Kemahiran pengurusan, ekonomi, pentadbiran awam, undang-undang, sosiologi dan antropologi, media dan komunikasi, sejarah dan politik adalah begitu relevan untuk diterokai oleh generasi muda PAS bagi membentuk satu generasi baru kepemimpinan yang kompeten. Jika kita berjaya memprogramkan satu perubahan terhadap tingkat keupayaan dan kapasiti kita dalam kepemimpinan sehingga boleh meningkatkan keyakinan rakyat, nescaya masa depan politik korup Umno/BN akan berakhir."
4 Asas Perjuangan Dalam PAS : Rumusan 30 Tahun Perjuangan YB Salahudin dalam Pemuda PAS
"Kita mahu generasi kepemimpinan yang memiliki ciri-ciri ketokohan (karismatik), pengalaman (lama berjuang dalam gerakan PAS), pengetahuan (berilmu dalam ilmu agama dan keduniaan) serta tawaduk (rendah diri dengan kelebihan yang dikurniakan oleh Allah SWT) dilahirkan dalam tempoh yang terdekat ini sebagai persiapan mengambil alih kepemimpinan jamaah pada masa hadapan."
"Pemikiran ini bukanlah suatu yang baru dalam PAS kerana semenjak sekian lama kita telah didedahkan bahawa Allah SWT mengasihi orang-orang yang berjuang pada jalan-Nya secara tersusun. Perjuangan pada jalan Allah SWT hanya dapat dilaksanakan dengan aqidah dan integriti yang dibina melalui tarbiyah. Sedangkan gerakan yang tersusun hanya dapat dilahirkan melalui kemahiran dan keilmuan berasaskan kompetansi diri."
Para pendukung PAS telah membentuk wibawa dalam soal integriti ini, dan tumpuan yang besar mesti dibuat untuk mewujudkan kompetansi sebagai pelengkap kepada kewibawaan PAS. Inilah satu jihad bagi mengaplikasikan fikrah yang telah kita bina semenjak lebih 20 tahun yang lalu. Pada 1996 dahulu, al-Marhum Dato’ Fadzil Mohd Nor telah menyentuh secara panjang lebar bagaimana membangunkan kepemimpinan al-amin sebagai warisan kepemimpinan anbiya’.
Pada hari ini, dalam konteks persediaan untuk mengambil alih pemerintahan negara, saya menyeru supaya nilai kepemimpinan ini diperkasakan dengan aplikasi fikrah yang lebih menyeluruh. Memiliki fikrah keIslaman yang padu sahaja tidak memadai sekiranya kita tidak dapat menterjemahkan fikrah tersebut dalam satu model kepemimpinan ‛al-qawiyyul amin’.
0 Responses to Key Nota Penting Ucaptama YB Salahudin