Isnin, 27 Oktober, MPI Bangi : Saya dijemput merasmikan Ijtimak Idulfitri Himpunan Mahasiswa Institut Perguruan (HAMIP). Program kali membabitkan 8 buah IPG dari Bangi, Cheras, Melaka, Ipoh, Kuala Terengganu, Tengku Bainon dan lain-lain dengan hampir 30 orang.
Antara pembaharuan pendekatan yang saya lakukan bagi menyentak shift-paradigm peserta apabila menganggapi persoalan tarbiyah adalah saya telah menukar slot perasmian selama 2 jam setengah yang diberikan kepada saya kepada slot 'rojak' dengan gabungan LDK, pembentangan dan ulasan saya sendiri. Biar perbezaan pendekatan yang mungkin mengejutkan junior saya, Bukhari, saya janjikan kepada beliau bahawa objektif slot yang beliau mahukan akan tetap saya capai, bahkan mungkin lebih berkesan berbanding pendekatan 'tradisional' perasmian sesebuah program.
Kenapa saya tukar jadi slot rojak ? Kerana saya beriman bahawa slot perasmian tidak ada 'syariat' yang tetap skema dan protokolnya (melainkan jika program bersangkutpaut dengan VVIP). Bahkan saya nyatakan kepada peserta, apa masalahnya jika program kita hazaf slot perasmian jika sekadar hanya 'kerana protokol' atau 'mentaliti lama' yang tidak ada rasional mendesak melatari slot perasmian itu.
Ada 4 objektif slot perasmian yang diberikan adik saya Bukhari iaitu suntikan semangat bekerja dalam IPG secara berjamaah dan sistematik, pendefinisian identiti - fungsi - halatuju HAMIP, peranan mahasiswa selepas PRU 12 dan peranan mahasiswa perguruan selepas graduasi. Maka sejam sebelum saya bertolak, saya minta akh Bukhari pecahkan 30 peserta tersebut kepada 4 LDK dan bincangkan persoalan sekitar objektif tersebut dalam 4 kumpulan terbabit, kemudian dibentangkan apabila saya sampai.
Di muqaddimah saya lontarkan satu lagi buah shift-paradigm kepada peserta selepas saya memecah tradisi perasmian yang membosankan. Iaitu "pernahkan anda membuat LDK sebelum kuliah ?". Ya, kali ini saya meneruskan eksperimen yang pernah saya lontarkan kepada pelaksana program-program tarbiyah PMI UIAM. Antara kesan "LDK sebelum kuliah" adalah peserta sudah 'masak' dengan tajuk yang akan diberikan, lantas penceramah takkan senang duduk kerana asakan soalan spontan peserta yang sudah mengagak 'teks' ceramah penceramah dan peserta sendiri 'membetulkan' penceramah untuk kembali kepada 'tajuk sebenar' selepas beberapa kali tersasar jauh dari topik yang dikehendaki.
Saya berkongsi dengan adik-adik IPG pengalaman LDK dengan mahasiswa Arab semasa saya dan Dzulkhairi berkesempatan mewakili Gamis ke persidangan mahasiswa Islam Sedunia mengenai Palestin di Ismailiyah, Mesir tahun lepas. Saya menyatakan kehebatan mahasiswa dan pemuda Arab, mereka berjaya menukar orientasi program 5 hari yang skrip asalnya 70 % pengisian-perbincangan dan 40 % bengkel-pembentangan kepada 70 % bengkel-pembentangan-soaljawap-perdebatan dan hanya 40 % pengisian. Semangat mereka berbincang dan mengemukakan agenda-agenda besar menyelamatkan Palestin mengalahkan usia muda mereka yang ada antaranya masih belasan tahun tetapi sudah menamatkan pengajian ijazah pertama (malangnya sistem pendidikan negaraku Malaysia). Seorang anak muda 18 tahun berani menyatakan "tidak" kepada pandangan salah seorang 3 panel penilai yang bertitle PhD. Inilah mahasiswa luar negara. Kita bagaimana, wallahu a'lam.
Alhamdulillah, penukaran pendekatan perasmian kelihatan 'merancakkan' kelibat peserta sendiri. Gelak ketawa melihat pembentangan sesama sendiri dan kritikan-saranan dari saya menyerikan lagi proses 'pencerahan' minda yang cuba saya tajdidkan dalam pemikiran mereka.
Ketika membincangkan LDK kewajipan berjamaah, saya cuba "keluar" sejenak dari faktor outside-in (dalil naqli dan aqliyy) kepada mewujudkan faktor inside-out kalangan peserta dalam membincangkan soal hukum wajip ini. Lantas saya meminta 4 peserta bangkit menceritakan apakah 'nostalgia' yang menyebabkan mereka memilih jamaah atau menyertai jamaah. Kerana bagi saya, masuk jamaah kerana "kebetulan" atau tanpa "nostalgia" akan menyebabkan seseorang itu kekadang tidak menghargai kewujudan dirinya sendiri ketika berada dalam jamaah, khususnya ketika sindrom 'down' menimpa (orang tidak menghargai kehadiran dan kewujudan kerjabuat kita). Ada yang menceritakan pengalaman berada dalam jamaah lain, ada yang mengatakan terharu dengan komitmen ibuayah dengan jamaah, ada yang mengatakan kegersangan berada dalam kampus tanpa peminat kerja dakwah dan sebagainya. Saya biarkan mereka bercerita dan terus bercerita, kerana bagi saya story-telling adalah pendekatan terbaik sesuatu slot termasuklah slot perasmian ini kerana menyebabkan seseorang peserta itu rasa dihargai dan 'puas' dengan kehadiran mereka dari jauh.
Sebab itulah antara yang menyebabkan saya suka membaca buku-buku tulisan Anis Matta dan aktivis-aktivis dakwah PKS dan Indonesia adalah kerana mereka membukukan pengalaman naqib mereka dan pengalaman mereka sendiri untuk bacaan generasi akan datang, bukan sekadar hanya membiarkan generasi mutarabbi (anak usrah) mereka terus bergantungharap pada bacaan buku-buku muktabar tulisan ideolog Ikhwan seperti Al-Imam Hassan al-Banna, Syed Qutb, Al-Maududi dan sebagainya (rahimahumullah) dalam keadaan suasana zaman, realiti domestik negara dan pemikiran mad'u semakin pantas berubah dan berubah.
0 Responses to Ubah Gaya Slot Perasmian...