Content feed Comments Feed


Dalam posting terdahulu, saya mengambil kesempatan 17 Ramadhan 2010 untuk menghuraikan pematuhan peraturan Allah dan peraturan alam yang sempurna terjalin dalam aksi  Rasulullah S.A.W dan para Sahabah di peperangan Badar. Kombinasi ampuh aspek syariatullah iaitu SQ (spiritual @ hablumminal Allah) digabungjalinkan dengan cemerlang aksi-aksi pematuhan sunnatullah mencakupi IQ (intelektual @ habluminal alam) dan EQ (emosional @ habluminan naas).

Kali ini saya akan menyinggung perang Ahzab dengan perspektif yang sama, berbetulan bulan Syawal ini menyaksikan perang Khandaq berlaku iaitu pada tahun kelima Hijrah (menurut yang ditegaskan Urwah bin Az-Zubair, Qatadah, Baihaqi, Ibnu Ishaq dan Jumhur Ulama Sirah).

Bukan fakta tersurat akan saya ungkapi (saudara boleh manfaatkan Dr Google untuk mengetahui mengenai perang ini), tetapi beberapa analisa menarik dan segar yang mungkin jarang diketahui oleh komuniti maya. Seperti biasa, saya mensyarahkannya dalam kerangka IQ-EQ-SQ dan bukannya kerangka kronologikal yang telah banyak disentuh oleh penulis lain.
Membaca Sirah Nabawiyah, khususnya peristiwa peperangan Rasulullah S.A.W dalam pembacaan manajemen strategi, memang cukup menarik mengingat kitab-kitab sirah yang ada kebanyakannya hanya menjawab pertanyaan what, where, who, dan how. Akan tetapi, untuk menawarkan jawapan kepada pertanyaan why dalam perspektif manajemen strategi, itu tidak semudah yang dijangkakan.” (Yuana Ryan Tresna, Mohamad S.A.W On The Art of War)


Bagaimana seorang yang tidak tahu membaca dan menulis, tidak pernah memasuki mana-mana akademi ketenteraan, memimpin jumlah tentera yang 3 kali ganda lebih kerdil dari jumlah musuh, tiba-tiba mampu melancarkan formasi taktikal pertahanan terbaik dunia yang tidak pernah dijangka musuh, kemudian dilancarkan perang propaganda pemusnahan pakatan Ahzab dari dalam bagi menyeimbangkan taktik yang sama dilakukan Yahudi. Demikianlah petanda Nubuwwah Rasulillah S.A.W.


ASPEK IQ

1. Memahami Kedudukan Kebijaksanaan (Fathanah) Rasul
“Setiap kali terjun ke kancah pertempuran, beliau selalu dalam kondisi penuh tekad, keberanian dan keghairahan (mencapai kemenangan). Oleh kerana itu, beliau belum pernah mengalami kegagalan kerana salah mengambil keputusan, mengatur pasukan, memilih markas keselamatan dan menyusun strategi peperangan. Perang Uhud dan Hunain hanyalah kerana kelemahan anggota pasukan atau mereka yang melanggar perintah beliau walhal beliau telah tepat membuat keputusan dan memilih strategi tempur terbaik. Ketika pula kaum Muslimin mengalami kekalahan dalam dua perang tersebut, tampak jelas beliau mampu membalikkan situasi sehingga pasukan musuh yang sudah berada di ambang kemenangan tidak berani meneruskan langkah mereka. Walhal, situasi kekalahan telah banyak memberikan pengaruh negatif kepada jiwa para pemimpin sehingga tidak ada pilihan selain segera lari menyelamatkan diri.” (Dr. Muhammad Syafii Antonio, Super Leader Super Manager)

“Ketika kita menggunakan istilah kebijaksanaan, kita tidak seharusnya lupa bahawa kita sedang berhadapan dengan Rasul yang turun ke atasnya wahyu Ilahi. Sesungguhnya Rasul dilengkapi oleh Tuhannya. Namun kita dalam masa yang sama tetap yakin bahawa Muhammad S.A.W adalah penghulu sekalian anak-anak Adam dan beliaulah sebaik-baik manusia. Jika terdapat di kalangan manusia seorang yang amat bijak, maka baginda lebih bijak daripadanya tanpa syak lagi. Hal ini perlu dijelaskan kerana kita sering menyangka bahawa Muhammad hanyalah sebagai alat untuk menerima wahyu Ilahi, kemudian menyebarkannya di kalangan manusia. Namun hakikatnya ialah sejak awal-awal lagi Allah telah memilih “yang terbaik” dari kalangan makhluk untuk menyampaikan perutusan-perutusan-Nya. Mereka yang terpilih harus memiliki kebijaksanaan (fathanah), kecerdasan dan kepintaran yang tidak dimiliki oleh selain mereka.” (Syekh Munir al-Ghadhban, Manhaj Haraki. Baca lanjut di sini)


2. Perencanaan Pro Aktif Rasulullah

2.1 Pelan penggalian parit selama 6 hari berjalan dengan lancar berdasarkan perkiraan tepat (calculated risk) Rasulullah pada jangkaan ketibaan pakatan Ahzab. Parit Khandaq berjalan disempurnakan sebelum kedatangan pakatan Ahzab. Rasulullah membahagikan setiap 10 orang sahabat untuk menggali dan bertanggungjawab pada 40 kaki panjang setiap parit. Bayangkan jika parit tidak sempurna digali dan pakatan Ahzab berjaya memintas pelan Nabi, sudah pasti skrip sebaliknya akan berlaku. Di sini menyerlahkan kepintaran Nabi dalam membaca pergerakan lawan, kehebatan perisikan informater Nabi dan ketegasan Nabi pada kerahsiaan strategi dari diketahui musuh.


2.2 Sikap hazar dan 'research-base' (bertindak berdasarkan maklumat yang tepat) Nabi juga terserlah apabila baginda sentiasa menghantar perisikan – yang terakhir dihantarnya Saad bin Muaz dan Saad bin Ubadah - mengawasi pergerakan Yahudi Quraizah meskipun mereka telah melafazkan perjanjian dan jaminan taat setia bersama Muhammad. Seolah-olah Nabi sudah boleh membaca sikap Yahudi Quraizah yang akhirnya turut sama mengkhianati perjanjian.


3. Sikap anti ‘comfort-zone’ dan ‘continuous improvement’ Rasulullah dalam masa 5 tahun sahaja
 
• Dalam tempoh 5 tahun, kekuatan 30 orang (serangan pertama kafilah Abu Jahal oleh Hamzah Abdul Mutalli) menjadi 3000 orang. Dari hanya 2 orang (perang Badar) menjadi 200 org penunggang kuda. Dari hanya pedang bersarung kain (perang Badar) kepada 500 pedang, 300 baju perang, 1000 tombak, 1500 perisai (pasca perang Bani Quraizah). (halaman 269- 271, Syekh Munir Ghadban dalam bab perang Ahzab, Manhaj Haraki).


4. Dua Situasi Keterbukaan Rasulullah Menatijahkan Kemenangan

Hampir dalam semua peperangan Rasulullah, ada sahaja adegan mesyuarat yang menampilkan keterbukaan Rasulullah meskipun bercanggah dengan pandangan peribadinya sendiri. Dalam perang Badar, kita melihat Rasulullah menyetujui al-Khubbab bin al-Munzir. Kenapa agaknya Allah mensengajakan sejarah (sirah) berlaku sedemikian ?

Dalam kitab al-Fathul Kabiir (jilid III) disebutkan bahawa Rasulullah pernah mengutus dua orang sahabatnya ke Yaman untuk mempelajari teknologi pembuatan senjata bernama “dabbabah”, iaitu sejenis tank yang terdiri atas kayu tebal berlapis kulit dan tersusun dari roda-roda (Mohamad On The Art of War).

Demikianlah gambaran keterbukaan Nabi kepada teknologi terbaik untuk memenangkan Islam di zamannya dan menggambarkan keseriusan Nabi pada persoalan persiapan sunnatullah dalam perjuangan Islam. Dalam perang Ahzab, kita menyaksikan :


4.1 Cadangan Salman Al-Farisi

- Pelan asal Rasulullah adalah sekadar bertahan di Madinah dan melancarkan serangan gerila. Rasulullah menerima cadangan Salman dan melaksanakan idea penggalian parit, meskipun idea ini datang dari taktif defensive tentera Parsi yang menyembah api dan syirik kepada Tuhan. Namun, idea yang tidak pernah dijangka oleh Arab termasuk kafir Quraisy ini digunakan oleh Nabi S.A.W. Jelas, ‘teknologi’ perang Nabi jauh mengatasi upaya zamannya kerana Nabi memaknakan Salman Al-Parsi dan pengalaman perangnya (kompetensi)


- Inilah sebahagian daripada beberapa dalil yang banyak tentang hikmah itu adalah barang yang telah hilang dari orang mukmin. "Hikmah itu adalah barangan yang hilang daripada orang-orang mukmin. Maka di mana sahaja ditemuinya, dialah yang lebih berhak memilikinya."

4.2 Cadangan hadiah kepada Bani Ghatafan

- Pelan asal Nabi untuk minimakan jumlah musuh (10,000 tersebut) dan lebih fokus pada musuh yang lebih utama iaitu kafir Quraisy. Strategi Nabi gunakan adalah perdamaian dengan Bani Ghatafan (mencakupi 40 % tentera Ahzab) melalui hadiah 1/3 tamar Madinah jika berundur dari persepakatan politik Ahzab. Meskipun cadangan Nabi dibantah oleh Saad bin Muaz dan Saad bin Ubadah, namun Nabi telah mengajar kita kuasa fokus dan keutamaan (awlawiyyat).
 
4.3 Juga ada disebutkan bahawa bantuan peralatan menggali parit – sebagaimana diketahui ia adalah suatu aktiviti yang asing dan janggal bagi orang Arab – seperti penyodok, cangkul dan pengangkut tanah didapati di tempat Yahudi Bani Quraizah. Berdasarkan perjanjian yang masih terjalin, Rasulullah memanfaatkan peralatan-peralatan dari kelebihan Yahudi ini untuk melaksanakan idea Salman.


 5. Propaganda vs propaganda

5.1 Propaganda / Taktik Adu Domba Yahudi

- Huyay bin Akhtab, Sallam bin Muyskin, Sallam bin Abi Huqaiq (Bani Nadhir) dengan lebih kurang 20 orang Yahudi memainkan peranan konspirasi pembantaian Madinah dari muka bumi sehingga menghimpunkan 10,000 bala tentera dari Bani Sulaim, Asad, Fazzarah, Asyja’ dan Ghatfan

- Angka 10 ribu adalah angka yang melambang kekuatan maksimum atau angka yang paling maksima pernah dikenali oleh dunia Arab. Itulah angka yang sama seperti jumlah tentera Islam ketika Fathu Makkah, ia menunjukkan “kekuatan maksima yang tidak boleh dikalahkan lagi”.

-Pengajaran : Peranan Huyay bin Akhtab secara belakang tabir membuktikan sikap Yahudi zaman berzaman termasuk hari ini apabila gerakan Yahudi antarabangsa yang gemar merancang kerosakan dan peperangan dunia secara rahsia melalui proksi-proksi rahsianya


 4.2 Propaganda / Taktik Adu Domba Rasulullah

- “Perang adalah tipu helah”. Baca lanjut strategi Nuaim bin Mas’ud di bawah


ASPEK EQ

1. Kemenangan Moral Lebih Penting Dari Kemusnahan Fizikal

Seratus kemenangan dalam seratus pertempuran bukanlah ketrampilan militer yang luar biasa. Tetapi menundukkan kekuatan lawan tanpa pertempuran, itulah ketrampilan militer yang paling hebat.” (Sun Tzu, Jeneral Perang Cina sekitar 500 S.M yang terkenal dengan 36 Strategi Perang)

Perang Ahzab menyaksikan musuh berjaya ditumpaskan dengan diadu-domba antara satu sama lain sehingga pasukan kolisi musyrikin-Yahudi saling curiga antara satu sama lain. Allah S.W.T mempunyai 1001 hikmah di sebalik skrip setiap perang-perang besar Rasulullah. Jika perang Badar membuktikan jihad dalam Islam bukan untuk menumpahkan darah manusia tanpa keperluan dan tanpa batasan (hikmah 1000 malaikat turun bersama Jibril tetapi angka kematian kuffar hanya 70 orang sahaja), maka Ahzab pula membuktikan konsep yang hampir sama, bahkan inilah kemenangan pertama kali tentera Islam yang berjaya dicapai secara faktor taktikal (propaganda) serta bantuan Allah tanpa menerusi pertumpahan darah (peperangan).

Meskipun ada riwayat sahih menunjukkan enam orang dari pihak muslimin dan 10 orang dari pihak musyrikin terbunuh, namun angka itu terlalu kerdil bahkan dimulakan sendiri oleh pihak musuh yang tetap mahu menyeberang parit Khandaq. Peperangan dalam Islam adalah bertujuan pertahanan akibat pencerobohan musuh, dan bukannya untuk mengganas dan menaja keganasan (terrosime).


2. Rasulullah Menguruskan Potensi dan Emosi Para Sahabat

2.1 Potensi

• Potensi 3 anak muda

Dalam perang Badar kita telah menyaksikan peranan 3 anak muda (Umair bin Abi Waqqash, Muaz dan Muawwaz) termasuk kejayaan pembunuhan Abu Jahal.

Al-Mubarakfuri melapor bahawa jumlah 10,000 Ahzab jauh lebih besar dari jumlah penduduk Madinah tmasuk wanita dan anak-anak. Ertinya serangan mereka memang mampu lumpuhranapkan Madinah sekaligus. Dalam perang Ahzab pula, saksikan sekali lagi peranan 3 anak muda utama dalam merencana kemenangan Islam tanpa melalui pertempuran langsung. Salman dengan idea brilliant beliau, manakala Nuaim dan Huzaifah dengan operasi intelegen dan tipu muslihat.

"Salman - idea brilliant taktik defensif Parsi - merupakan "man of the war" di awal perang. Nu'aim Mas'ud - pengaruh magnetiknya pada Ghatafan-Quraizah-Quraisy - "man of the war" ketika peperangan sedang berlangsung. Hudzaifah Al-Yaman - operasi perisikan - adalah "man of the war" di detik-detik akhir peperangan" (meminjam kata-kata sahabat www.brain-news.blogspot.com).

- Salman al-Farisi : Rasulullah mengambil idea bernas daripada Salman Al-Farisi untuk menggali parit di bahagian Utara Madinah. Bahagian lain di sekeliling Madinah dikelilingi oleh gunung-gunung dan kebun-kebun kurma menyukarkan kaum musyrikin memasuki kota Madinah.

- Nuaim bin Mas’ud al-Asyja’ie (Bani Ghatfan) : seorang yang berpengaruh dalam kalangan Bani Quraizah dan orang musyrikin Quraisy yang masuk Islam - bantuan Allah hasil doa dan munajat Nabi – dan kemudian menjadi agen perisikan Nabi dan berjaya pecah belahkan pakatan Ahzab dari dalam (baca tulisan menarik mengenai kebijaksanaan beliau dan Huzaifah al-Yaman di Brain News di sini).

- Huzaifah al-Yaman : Spymaster Rasulullah untuk mendapatkan info-info yang tepat dan pasti sehingga Rasulullah mengirim Hudzaifah ke jantung pertahanan musuh dalam keadaan kegelapan malam yang hitam pekat. (baca sumber rujukan di atas)

Memang tepat kata Sun Tzu dalam buku The Art of War, "Raja dan panglima yang bijak boleh menewaskan musuh jika mereka bergerak dan mencapai kejayaan melebihi orang biasa kerana mempunyai maklumat awal. Maklumat tersebut tidak dapat diperoleh daripada makhluk halus, dewa atau pengalaman mahupun telekan nujum. Ia mesti diperoleh daripada orang yang mengetahui situasi musuh."

• Potensi muslimah (kuasa gerakan muslimat)

- Sekiranya Hudaibiyyah menyaksikan peranan gerakan muslimat yang diiconkan oleh Ummu Salamah, perang Ahzab menyaksikan keberanian muslimah iaitu Sofiyyah binti Abdul Mutallib membunuh seorang ‘agen Mossad’ Yahudi yang mengintip di kawasan kota Hassan bin Thabit (kawasan perlindungan wanita dan kanak-kanak). Bani Quraizah yang melihat dari jauh menjangka Rasulullah juga telah meletakkan askar pertahanan dari belakang. Bahkan lebih dari itu moral mereka terus lemah apabila kepala perisik Yahudi tadi dibaling Sofiyah ke kubu pertahanan mereka.


2.2 Emosi

Kecemerlangan EQ Nabi (bagaimana Nabi sebagai ketua menjaga dan meningkatkan emosi para sahabatnya yang dipimpin ketika latar keadaan perang Ahzab dalam musim sejuk dan bekalan makanan amat kurang)

1. Kisah di sebalik arahan Nabi S.A.W kepada Saad bin Muaz dan Saad bin Ubadah ketika mereka pergi bertemu dengan Bani Quraizah, menggambarkan betapa Nabi sangat mementingkan moral dan semangat tentera-tenteranya

Kalau mereka masih dengan janji mereka, hebahkan berita itu kepada orang ramai. Tetapi, jika mereka mungkir janji, jangan dihebahkan tetapi memadai member isyarat kepadaku yang aku faham mereka sudah mengkhianati.” (Manhaj Haraki halaman 331-333)

2. Kisah di sebalik kenapa Rasulullah bertakbir dengan penuh semangat ketika Saad bin Muaz dan Saad bin Ubadah membawa balik berita buruk pengkhianatan Quraizah (terbuka sudah arah belakang Madinah kepada musuh)

3. Nasyid ‘energetik’ Rasulullah dan nasyid para sahabat

“Ya Allah, jika bukan karena Engkau tidaklah kami terbimbing.
Dan tidak pula bersedekah dan menegakkan shalat.
Maka turunkanlah ketenangan kepada kami.
Dan kokohkan kaki kami ketika menghadapi musuh”

”Jika Rabbku berkata padaku.
Mengapa kau tidak merasa malu bermaksiat kepada-Ku.
Kau sembunyikan dosa dari makhluk-Ku.
Tapi dengan kemaksiatan kau menemui Aku”


4. Hadis “Visionary” Rasulullah membakar semangat para Sahabah


5. Rasulullah bekerja sama kuat bahkan lebih kuat dalam menggali parit. Seorang pemimpin bekerja bersungguh (optimum) bersama orang bawahannya adalah kaedah motivasi paling ampuh. Walk the talk. Action talk louder than voice.

Demikian diriwayatkan oleh Al-Imam Al-Bukhari dalam Shahihnya dari Al-Barra` radhiyallahu ‘anhu:
رَأَيْتُ النَّبيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ الْخَنْدَقِ وَهُوَ يَنْقُلُ التُّرَابَ حَتَّى وَارَى التُّرَابُ شَعْرَ صَدْرِهِ وَكَانَ رَجُلاً كَثِيْرَ الشَّعْر وَهُوَ يَرْتَجِزُ بِرَجَزِ عَبْدِ اللهِ: اللَّهُمَّ لَوْ لاَ أَنْتَ مَا اهْتَدَيْنَا وَلاَ تَصَدَّقْنَا وَلاَ صَلَّيْنَا فَأَنْزِلَنْ سَكِيْنَةً عَلَيْنَا وَثَبَّتِ اْلأَقْدَامَ إِنْ لاَقَيْنَا إِنَّ اْلأَعْدَاءَ قَدْ بَغَوْا عَلَيْنَا إِذَا أَرَادُوا فِتْنَةً أَبَيْنَا يَرْفَعُ بِهَا صَوْتَهُ

“Saya melihat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam pada peristiwa Khandaq sedang mengangkut tanah sampai tanah itu menutupi bulu dada beliau. Dan beliau adalah laki-laki yang lebat bulu dadanya. Ketika itu beliau melantunkan syair Abdullah bin Rawahah sambil menyaringkan suaranya: “Ya Allah kalau bukan karena Engkau niscaya kami tidak mendapat petunjuk Tidak bersedekah dan tidak pula shalat Maka turunkanlah ketenangan atas kami Dan kokohkan kaki kami ketika bertemu (musuh) Sesungguhnya musuh-musuh telah mendzalimi kami Bila mereka menginginkan fitnah, tentu kami menolaknya


“Kita tidak mendapati Rasulullah s.a.w mengarahkan para sahabat untuk menggali parit, kemudian baginda pulang ke istana memerhatikan dari atas menara kemajuan yang dibina, dan seterusnya berehat dan berenak-enakan sahaja. Tidak pula kita dapati Rasulullah s.a.w datang untuk membuat perasmian dengan memegang ulu cangkul kemudian mencangkul sekali sebagai tanda memulakan kerja. Tetapi Rasulullah s.a.w telah bersama-sama berhempas pulas memerah tenaga dan keringat bersama para sahabat r.a. Mereka serentak bekerja sambil bermadah dengan rajaz untuk menambah semangat dan kecergasan. Mereka bersama-sama bermengah-mengah. 

Kerana Allah s.w.t mereka sanggup berlapar dahaga. Inilah dia hakikat memperjuangkan Islam, di mana prinsip persamaan diamalkan di antara pemimpin dan rakyat, antara kaya dan miskin, antara tua dan muda. Kerana dengan inilah pemimpin mengetahui apa yang dilalui rakyat, dan rakyat mengetahui apa yang dilalui pemimpin. Tiada istilah "pemimpin perlu berfikir bukan bekerja", semuanya sama, kerana yang berbeza di sisi Allah adalah taqwanya.” (petikan ulasan blog sahabat Muhammad Abrar Mahmud)

• Bahkan, kegawatan dan kesibukan Nabi dan para sahabat menghadapi musuh – selepas penggalian parit - dalam perang Ahzab sehingga Nabi dan para sahabat terluput solat beberapa fardhu (menurut Musnad Imam Ahmad atau bab Pahlawan-pahlawan Khandaq, hal 286-288 Manhaj Haraki)


SQ

1. Kisah batu-batu keras di dalam Khandaq berkecai dengan hanya semburan air dari Rasulullah

2. Dalam riwayat Ahmad dan An-Nasa`i, dari Abu Sukainah radhiyallahu ‘anhu dari salah seorang shahabat Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam lainnya dengan sanad yang jayyid, disebutkan:


 لَمَّا أَمَرَ النَّبيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِحَفْرِ الْخَنْدَقِ عَرَضَتْ لَهُمْ صَخْرَةٌ حَالَتْ بَيْنَهُمْ وَبَيْنَ الْحَفْرِ فَقَامَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَخَذَ الْمِعْوَلَ وَوَضَعَ رِدَاءَهُ نَاحِيَةَ الْخَنْدَقِ وَقَالَ: تَمَّتْ كَلِمَةُ رَبِّكَ صِدْقًا وَعَدْلاً لاَ مُبَدِّلَ لِكَلِمَاتِهِ وَهُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ. فَنَدَرَ ثُلُثُ الْحَجَرِ وَسَلْمَانُ الْفَارِسِيُّ قَائِمٌ يَنْظُرُ فَبَرَقَ مَعَ ضَرْبَةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَرْقَةٌ ثُمَّ ضَرَبَ الثَّانِيَةَ وَقَالَ: تَمَّتْ كَلِمَةُ رَبِّكَ صِدْقًا وَعَدْلاً لاَ مُبَدِّلَ لِكَلِمَاتِهِ وَهُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ. فَنَدَرَ الثُّلُثُ اْلآخَرُ فَبَرَقَتْ بَرْقَةٌ فَرَآهَا سَلْمَانُ ثُمَّ ضَرَبَ الثَّالِثَةَ وَقَالَ: تَمَّتْ كَلِمَةُ رَبِّكَ صِدْقًا وَعَدْلاً لاَ مُبَدِّلَ لِكَلِمَاتِهِ وَهُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ. فَنَدَرَ الثُّلُثُ الْبَاقِي وَخَرَجَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَخَذَ رِدَاءَهُ وَجَلَسَ، قَالَ سَلْمَانُ: يَا رَسُوْلَ اللهِ رَأَيْتُكَ حِيْنَ ضَرَبْتَ مَا تَضْرِبُ َرْبَةً إِلاَّ كَانَتْ مَعَهَا بَرْقَةٌ. قَالَ لَهُ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: يَا سَلْمَانُ، رَأَيْتَ ذَلِكَ؟ فَقَالَ: إِي، وَالَّذِي بَعَثَكَ بِالْحَقِّ يَا رَسُوْلَ اللهِ. قَالَ: فَإِنِّي حِيْنَ ضَرَبْتُ الضَّرْبَةَ اْلأُولَى رُفِعَتْ لِي مَدَائِنُ كِسْرَى وَمَا حَوْلَهَا وَمَدَائِنُ كَثِيْرَةٌ حَتَّى رَأَيْتُهَا بِعَيْنَيَّ. قَالَ لَهُ مَنْ حَضَرَهُ مِنْ أَصْحَابِهِ: يَا رَسُوْلَ اللهِ، ادْعُ اللهَ أَنْ يَفْتَحَهَا عَلَيْنَا وَيُغَنِّمَنَا دِيَارَهُمْ وَيُخَرِّبَ بِأَيْدِيْنَا بِلاَدَهُمْ. فَدَعَا رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِذَلِكَ. ثُمَّ ضَرَبْتُ الضَّرْبَةَ الثَّانِيَةَ فَرُفِعَتْ لِي مَدَائِنُ قَيْصَرَ وَمَا حَوْلَهَا حَتَّى رَأَيْتُهَا بِعَيْنَيَّ. قَالُوا: يَا رَسُوْلَ اللهِ ادْعُ اللهَ أَنْ يَفْتَحَهَا عَلَيْنَ وَيُغَنِّمَنَا دِيَارَهُمْ وَيُخَرِّبَ بِأَيْدِيْنَا بِلاَدَهُمْ. فَدَعَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِذَلِكَ. ثُمَّ ضَرَبْتُ الثَّالِثَةَ فَرُفِعَتْ لِي مَدَائِنُ الْحَبَشَةِ وَمَا حَوْلَهَا مِنَ الْقُرَى حَتَّى رَأَيْتُهَا بِعَيْنَيَّ. قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِنْدَ ذَلِكَ: دَعُوا الْحَبَشَةَ مَا وَدَعُوْكُمْ، وَاتْرُكُوا التُّرْكَ مَا تَرَكُوْكُمْ


“Ketika Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam memerintahkan penggalian khandaq, ternyata ada sebongkah batu sangat besar menghalangi penggalian itu. Lalu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bangkit mengambil kapak tanah dan meletakkan mantelnya di ujung parit, dan berkata: “Telah sempurnalah kalimat Rabbmu (Al-Qur`an) sebagai kalimat yang benar dan adil. Tidak ada yang dapat mengubah-ubah kalimat-kalimat-Nya dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” Terpecahlah sepertiga batu tersebut.

Salman Al-Farisi ketika itu sedang berdiri memandang, dia melihat kilat yang memancar seiring pukulan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam. Kemudian beliau memukul lagi kedua kalinya, dan membaca: “Telah sempurnalah kalimat Rabbmu (Al-Qur`an) sebagai kalimat yang benar dan adil. Tidak ada yang dapat mengubah-ubah kalimat-kalimat-Nya dan Dia-lah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” Pecah pula sepertiga batu itu, dan Salman melihat lagi kilat yang memancar ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam memukul batu tersebut. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam memukul sekali lagi dan membaca: “Telah sempurnalah kalimat Rabbmu (Al-Qur`an) sebagai kalimat yang benar dan adil. Tidak ada yang dapat mengubah-ubah kalimat-kalimat-Nya dan Dia-lah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” Dan untuk ketiga kalinya, batu itupun pecah berantakan.
 
Kemudian beliau mengambil mantelnya dan duduk. Salman berkata: “Wahai Rasulullah, ketika anda memukul batu itu, saya melihat kilat memancar.” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam berkata kepadanya: “Wahai Salman, engkau melihatnya?” Kata Salman: “Demi Dzat Yang mengutus anda membawa kebenaran. Betul, wahai Rasulullah.” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Ketika saya memukul itu, ditampakkan kepada saya kota-kota Kisra Persia dan sekitarnya serta sejumlah kota besarnya hingga saya melihatnya dengan kedua mata saya.” Para shahabat yang hadir ketika itu berkata: “Wahai Rasulullah, doakanlah kepada Allah agar membukakannya untuk kami dan memberi kami ghanimah rumahrumah mereka, dan agar kami hancurkan negeri mereka dengan tangan-tangan kami.” Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam pun berdoa. “Kemudian saya memukul lagi kedua kalinya, dan ditampakkan kepada saya kota-kota Kaisar Romawi dan sekitarnya hingga saya melihatnya dengan kedua mata saya.” Para shahabat berkata: “Wahai Rasulullah, berdoalah kepada Allah agar membukakannya untuk kami dan memberi kami ghanimah rumah-rumah mereka, dan agar kami hancurkan negeri mereka dengan tangan-tangan kami.” Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam pun berdoa. “Kemudian pada pukulan ketiga, ditampakkan kepada saya negeri Ethiopia dan desa-desa sekitarnya hingga saya melihatnya dengan kedua mata saya.” Lalu beliau berkata ketika itu: “Biarkanlah Ethiopia (Habasyah) selama mereka membiarkan kalian, dan tinggalkanlah Turki selama mereka meninggalkan kalian.” (nukilan hadis dipetik dari www.abufarhah.wordpress.com)


5. Kisah Jabir bin Abdullah

Imam Bukhari telah meriwayatkan dalam hadis sahihnya dari Jabir r.a telah berkata di hari menggali kubu khandaq; “Kami telah direntangi oleh seketul batu pejal, sahabat-sahabat bertemu Rasulullah s.a.w lalu menceritakan: “Ada batu pejal, ya Rasulullah yang merintangi penggali kubu.” Jawab Rasulullah s.a.w: “Akan aku pecahkannya,” kemudian baginda terus bangun sedangkan perut baginda diikat dengan batu (menahan lapar).Tiga hari berturut-turut kami tidak menjamah makanan.”

Rasulullah s.a.w mengambil pemecah batu lalu dicangkul baginda batu itu hingga menjadi hancur. Kemudian aku berkata: “Ya Rasulullah s.a.w, izinkanlah kepadaku untuk pulang ke rumah," selepas itu aku berkata kepada isteriku: “Aku lihat Rasulullah s.a.w sudah tidak boleh menahan lagi. Apakah engkau ada sesuatu untuk dimasak?" Jawabnya: “Aku ada biji-biji barli dan seekor kambing betina.” Aku pun menyembelih kambing dan mengisar biji-biji barli kemudian aku masakkan kambing di dalam periuk. Setelah itu aku datang menemui Rasulullah s.a.w sedangkan tepung yang diuli sudah merekah manakala periuk masih di atas tungku lagi tetapi hampir-hampir masak. Aku berkata kepada Rasulullah s.a.w: "Saya ada sedikit makanan, marilah Rasulullah s.a.w dengan seorang dua lagi." Kemudian Rasulullah s.a.w bertanya: “Banyak mana makanan itu?” Aku pun ceritakan kepada Rasulullah s.a.w. Kata Rasulullah s.a.w: "Sesungguhnya itu banyak, lagi baik. Katakan kepada isterimu jangan angkat turun periuk dan juga roti tersebut, biarkan di atas dapur hingga aku tiba."

Kemudian Rasulullah s.a.w berseru kepada sekelian Muhajirin dan sekelian Ansar; “Ayuh bangun dari tempat kamu.” Di tengah jalan pula Rasulullah s.a.w melaung: “Wahai penggali-penggali kubu, ini dia Jabir telah menghidang makanan! Ayuh kesemua kamu." Bila Jabir masuk ke dalam rumah lalu berkata kepada isterinya: "Apa kata kamu, Rasulullah s.a.w telah datang bersama-sama Muhajirin dan Ansar dan orang-orang lain.” Bertanya isterinya: “Adakah Rasulullah s.a.w telah bertanyakan tentang makanan itu?" Jawab Jabir, "Ya!" Lalu jawab isteri Jabir: “Allah dan RasulNya lebih mengetahui.”

Kemudian datanglah Rasulullah s.a.w dan baginda bersabda: “Ayuh masuk dan jangan teragak-agak.” Rasulullah s.a.w mematah-matahkan roti dan meletakkan masakan daging di atasnya. Manakala periuk dan dapur memasak roti masih bertambah apabila diambil sehingga sekalian yang datang kenyang dan masih banyak lagi bakinya. Rasulullah s.a.w berkata kepada isteri Jabir: “Engkau makanlah hidangan yang baki kerana manusia ditimpa kelaparan.” (dalam riwayat yang lain pula kata Jabir: “Aku bersumpah demi Allah mereka telah memakan masakanku hingga kesemua mereka beredar tetapi periuk kami masih penuh seperti asalnya dan tepung kami masih boleh dibuat roti lagi.” ) – Fiqhu As-Sirah - Dr Muhammad Sa'id Ramadhan Al-Bouti


6. Allah menurunkan para malaikat yang datang berupa angin taufan mencabut semua khemah-khemah musuh memporak-perandakan gerakan mereka. Allah juga mengirimkan malaikat yang menyusupkan perasaan takut di pihak musuh.


Penutup


1. Gaya Penceritaan Allah Dalam Surah al-Ahzab

Perang Ahzab bukanlah peperangan yang membawa kepada kerugian dan keuntungan melainkan ia adalah perang saraf semata-mata, satu lembaran baru peperangan yang sengaja dibuka dan ditonjolkan oleh Allah S.W.T melengkapkan skrip perang pertembungan fizikal di Badar (skrip menang) dan di Uhud (skrip kalah). Tiada pertempuran yang hebat antara kedua belah pihak di Ahzab, namun dalam catatan sejarah Islam ini adalah peperangan yang sangat tegang, yang berakhir dengan kekalahan di pihak musyrikin. Ketegangan, ketakutan, mainan perasaan dan emosi, antara keyakinan orang beriman dan keraguan orang munafiq, tembelang orang Yahudi dan ketakutan orang-orang kafir, kesemua “soal hati” itu menjadi tema utama cara dan gaya penceritaan Allah S.W.T mengenai peristiwa Ahzab ini.

“Iaitu ketika datang kepada kamu dari arah atas kamu dan dari arah bawah kamu, dan ketika penglihatan kamu menjadi kabur, dan hati telah naik ke kerongkong, dan kamu adakan macam-macam sangkaan terhadap Allah. Di situlah orang-orang mukminin diuji dan digoncang perasaan mereka dengan hebat sekali.” (Al-Ahzab : 10 – 11)

Dengan lengkapnya pengalaman peperangan fizikal dan mental ini melalui 3 siri peperangan besar, maka sebab itu tidak pelik Rasulullah menyebut :
Sekarang kitalah yang akan menyerang mereka dan mereka tidak akan menyerang kita. Kitalah yang akan mendatangi mereka.” (Kitab “Rahik Makhtum” oleh Mubarakfuri)


2. Muhammad al-Fateh (kemenangan Islam di bumi Rom) dan perang Ahzab

- Dapatkan buku saya “Kuasa Kepimpinan Al-Fateh” untuk mengetahui hikmah hadis penawanan Rom atau Konstantinopel disabdakan Rasul di perang Ahzab dan tidak dipilih Tuhan di peperangan lain. Rumus yang saya buat adalah banyak akhlak Nabi S.A.W mencakupi spiritual, emosional dan intelektual yang terserlah dalam perang Ahzab diwarisi oleh Muhammad al-Fateh ketika menawan Konstantinople seperti sikap keterbukaan kepada teknologi, fokus kepada musuh, sinergi anak muda dan ulama, keyakinan teguh pada janji Allah dan sebagainya.

- Perang Khandaq meletus pada bulan Syawal tahun ke 6 Hijrah, namun persiapan menghadapi Ahzab – penggalian parit selama 6 hari dan tempoh kepungan musuh selama 45 hari – dipercayai dilakukan sejak dari bulan puasa (Ramadhan). (Peristiwa Bersejarah Ramadhan)

- Pada hari Isnin, 19 Jamadil Awal tahun 757 H bersamaan 28 Mei 1453 M, Sultan Muhammad al-Fatih mengarahkan tenteranya untuk berpuasa pada hari itu sebagai taqarrub kepada Allah dan pembersihan jiwa mereka untuk persiapan serangan terakhir ke atas Konstantinopel pada esok harinya (Mohamad On The Art of War, viii).


Rujukan : 
1. “Manhaj Haraki dalam Sirah Nabi S.A.W” (Jilid 2), Syekh Muhammad Munir al-Ghatban (terbitan Pustaka Darussalam Sdn Bhd)
2. “Fiqh al-Sirah” (Jilid 1 dan 2), Syekh Muhammad Said Ramadhan al-Buti (terbitan Dewan Pustaka Fajar)
3. “Sirah Nabawiyah”, Shekh Hassan Ali Nadwi al-Husaini, terbitan Pustaka Reka
4. “Peperangan Rasulullah S.A.W”. (Ahmad Adnan Fadhil. Riduan Mohamad Nor, MHI Publication
5. “Muhammad S.A.W : The Super Leader Super Manager, Learn How To Succeed in Bussiness and Life From The Best Example”, Dr Muhammad Syafii Antonio, M.Ec (Nio Gwan Chung), terbitan Prohetic Leadership Management Centre
6. “Biografi Muhammad bin Abdullah : Perjalanan Hidup Seorang Nabi”, Zulkifli Mohd Yusoff dan Noor Naemah Abd Rahman (edisi kemaskini), terbitan PTS Islamika
7. “Peristiwa Bersejarah Ramadhan”, Zamri Zainal Abidin dan Imran Azmi, terbitan PTS Islamika
8. “Genius Muhammad bin Abdullah”, Roziah Sidik, terbitan PTS Publication Distributors
9. "Muhammad S.A.W On The Art of War : Manajemen Strategi di balik Kemenangan Rasulullah", Yuana Ryan Resna, terbitan Progressio.

3 Responses to Memakna Syawal : Perang Ahzab Saksi Kombinasi Ampuh SQ-EQ-IQ Rasulullah

  1. Hamba Allah Says:
  2. Assalamualaikum wrt wbt.

    JazakumuLLAH atas pencerahan ilmu yg begitu mantap dan penyusunan idea yg bagus. Cuma di sini akak ada beberapa persoalan yg kurang jelas.

    1. Terdapat sesetengah idea yg dilontarkan spt:

    " Kisah di sebalik kenapa Rasulullah bertakbir dengan penuh semangat ketika Saad bin Muaz dan Saad bin Ubadah membawa balik berita buruk pengkhianatan Quraizah (terbuka sudah arah belakang Madinah kepada musuh)."

    Tidak dinyatakan jwpn kenapa. Hanya menyebut kisah. Para pembaca awal spt akak tidak nampak apa kaitan kisah disebaliknya dgn tajuk kecil 'emosi'kecuali akak sudah tahu kisahnya.

    2. Begitu jg " Hadis “Visionary” Rasulullah membakar semangat para Sahabah" Hadis yg mana dimaksudkan?

    3. Sambungan dr pemimpin dan rakyat saling bahu membahu "Bahkan, kegawatan dan kesibukan Nabi dan para sahabat menghadapi musuh – selepas penggalian parit - dalam perang Ahzab sehingga Nabi dan para sahabat terluput solat beberapa fardhu'"
    Apa kaitan dgn emosi yg enta nak sampaikan di sini? mrk dlm keadaan gawat dan cemas?

    4. Enta tinggalkan soalan buat pembaca tanpa jawapan. Di sini ; "Hampir dalam semua peperangan Rasulullah, ada sahaja adegan mesyuarat yang menampilkan keterbukaan Rasulullah meskipun bercanggah dengan pandangan peribadinya sendiri. Dalam perang Badar, kita melihat Rasulullah menyetujui al-Khubbab bin al-Munzir. Kenapa agaknya Allah mensengajakan sejarah (sirah) berlaku sedemikian ?"

    Atau akak yg tak jumpa jawapnnya;-) Salah silap harap maaf, tp apapun tahniah diucapkan atas artikel yg cukup ilmiah..Allahu akbar

     
  3. Rijal82 Says:
  4. Feedback yang seperti ini ana perlukan. Kerana mahu menguji pembaca kritikal atau tidak atau sebenarnya menjenguk atau tidak apa yang ana tulis.

    Insya-Allah, sebenarnya ada yang sengaja ana tak tinggalkan jawapan kerana masa tidak mengizinkan ana utk menaip dan menghuraikannya. I.allah, pembaca berikan sedikit masa utk saya 'top up' penulisan ini.

    "Emosi" dan "Emotional Quotient" adalah satu perkara yang berbeza berdasarkan sejauhmana kita pernah memahami istilah IQ-EQ-SQ dalam buku-buku pembangunan karakter sumber manusia pada hari ini. Sebenarnya EQ yang ana maksudkan adalah habluminnnas atau bagaimana qudwah bil hal yang Nabi tampilkan untuk membakar semangat para sahabat.

    Ia tidak diperjelas dalam artikel ana ini. Insya-Allah, sedikit masa ana akan perincikan.

    Ana sangat hargai feedback ilmuwan seperti kak Syarifah ini.

     
  5. Anonymous Says:
  6. Assalamua'laikum,
    Bismillah,

    Ana cukup kagum akn artikel ustaz.Rujukan2 disediakan mungkin kepada para pembaca untuk membacanya pada sumber2 asli.

    Ana terdetik hati dalam mengrungkai setiap senjata2 teknologi meliputi aplikasi sains dalamnya bagi setiap peperangan tercetus,setiap era ada tercetusnya peperangan besar antara orang islam dan Kuffar.

    Sbg contoh,seperti kita sedia maklum penggunaan Meriam plg hebat semasa zaman Al-Fateh,Water Cannon semasa pemecahan tembok Bar Lev dsb.

    Zaman moden kali ini, satu ruangan peperangan yakni udara.Jet2 pejuang dsb..bagaimana kesemua aspek sains teknologi ini dapat dimanfaatkan oleh umat islam zaman moden ini untuk menghasilkan senjata2 peperangan yang kehadapan,sekurang-kurangnya musuh "hidden-proksi" akn tergugat akn penciptaan moden dari pihak umat islam sendiri.

    Ana mohon pertolongan dari ustaz,apa saranan2 buku atau link2 mengenai ilmuan2 islam dan peranan saintis masa kini dalam kebangkitan islam khususnya dalam era moden ini. :) akhir kata, ana pelayar setia laman ustaz ini.
    ___________________________________

    MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR
    -kembara seorang muslim-
    http://kembaraseorangmuslim.blogspot.com

     

Posting Sebelumnya

Integriti Maya

Sebarang pengambilan mana-mana bahagian daripada tulisan di sini adalah sangat digalakkan untuk disebarkan, namun perlulah mendapat izin daripada Iskandarfateh.

Ataupun, sila beri kredit bahawa anda mengambil mana-mana kenyataan tersebut dari Blog
Iskandarfateh ini.

Terima kasih. Saya sangat hargai kunjungan anda.

Montaj IPTC

Twitter With Me

Profail Blogger


Syaari Ab. Rahman merupakan seorang perunding motivasi terlatih. Profail lengkap beliau di "Hubungi Saya"