Content feed Comments Feed

Analisa Buku "Armageddon 2012"

Saturday, September 11, 2010


Pada awalnya, saya tertanya-tanya apa istimewanya buku ini sehingga dilancarkan PTS Islamika dalam bulan Ramadhan yang kebiasaannya buku-buku yang dipromosikan mereka sekitar buku-buku mengenai sejarah Ramadhan dan hikmah berpuasa. Namun apabila membaca bab mengenai “Ad-Dukhan" di bulan Ramadhan dalam buku ini, baru saya merasai rasional dan betapa bermaknanya buku ini – yang saya beli pada 20 Ramadhan baru-baru ini dari Tuan Zahiruddin PTS Islamika - utk saya lebih memaknakan Ramadhan yang baru sahaja berlalu dengan lebih baik.


Buku ini – berjajaran dengan penulisnya yang sedang mendapatkan PhD dalam bidang sejarah dan peradaban - membuktikan dengan pelbagai hujah bernas bagaimana 'segarnya’ setiap kisah di dalam al-Quran. Menjadi sifat sejarah sememangnya akan berulang kerana itu adalah hukum Tuhan dan hukum alam sekaligus. Skrip perang Badar digambarkan penulis akan kembali di akhir zaman dan mukjizat Ramadhan sebagai bulan kemenangan umat akhirnya akan diserlahkan jua oleh Allah S.W.T. Penurunan Al-Quran pada bulan Ramadhan (sebagaimana dalam permulaan surah Ad-Dukhan @ asap tebal global) yang sejajar dengan ayat  mengenai ‘penurunan’ besi (surah al-Hadid) dibuktikan secara ilmiah akan berlaku menjelang ‘the end of world’ yang sebenar-benarnya.


Jika tidak kerana filem 2012 Roland Emmerich, saya menjangkakan mungkin buku ini akan ditajukkan dengan tajuk “Ad-Dukhan Menjelang Kiamat : Asap Tebal Memenuhi Bumi” dan seumpamanya kerana inilah topik paling menarik perhatian saya dan bab paling panjang dalam buku ini iaitu hampir 200 mukasurat atau 35-40 % kandungan buku setebal 558 mukasurat ini.


Di sini pembaca akan menyaksikan kehebatan susunan nas al-Quran oleh Allah S.W.T yang pendek tetapi tajam dalam menyampaikan sesuatu maksud, termasuk hikmah penganugerahan Ramadhan dan malam Lailatul Qadar pada ummat Muhammad S.A.W sahaja. Mungkin atas sebab inilah Nabi Musa dan Nabi Isa berdoa supaya diberikan peluang menjadi umat Nabi Muhammad di akhir zaman, namun hanya doa Nabi Isa diperkenankan dan atas sebab itu baginda akan ‘dikembalikan’ di akhir zaman bagi memenangkan umat Islam umat Muhammad (baca pembuktian al-Quran mengenai kedatangan Nabi Isa di akhir zaman di halaman 302 – 309 buku ini) dan membuktikan janji palsu penyamar Nabi Isa iaitu al-Masih Dajjal.


Meskipun dinamakan “Armageddon 2012” (saya tidak pasti adakah ini tajuk asal penulis atau ‘rebranding’ oleh PTS), Tuan Muhammad Alexander tidak menyebut sedikitpun tentang Armageddon. Apa itu “Ar” dan apa itu “Mageddo”. Mungkin ia telah dihuraikan dalam buku beliau sebelum ini mengenai Yakjuj Makjuj (saya tidak pasti kerana sempat menamatkan bacaannya). Atau mungkin penulis beranggapan buku-buku mengenai Armageddon dan seumpama dengannya telah bertaburan dan berselerakan di kedai-kedai buku Indonesia, suatu yang telah menjadi pengetahuan umum rakyat Indonesia yang kuat membaca, tetapi hakikatnya tidak di Malaysia yang purata pembacaan rakyatnya jauh lebih rendah dari Indonesia.


Bagi saya, mengambilkira tajuk besar buku telah dirupakan seperti itu, sekurang-kurangnya perlu ada keterangan mengenai maksud "Armageddon" tersebut, asal usul perkataan itu dan apa kaitannya dengan hadis-hadis ‘al-Malhamah al-Kubra’ dan nas-nas akhir zaman oleh Nabi S.A.W, perang dunia ketiga atau peperangan yang memusnahkan seluruh teknologi persenjataan serta bagaimana heretan dan hubungkaitnya dengan peperangan akhir zaman di benteng Lud antara al-Masih Dajjal dan al-Masih Isa bin Maryam (Tuan Muhammad Alexander memberi pandangan dan bukti mengenai hadis pembunuhan Dajjal di gerbang Lud ini berkemungkinan besar merujuk pada Lapangan Terbang Antarabangsa Ben Gurion di bandar Lud atau Lydda pada saat ini kerana lapangan kapal terbang adalah pintu gerbang keluar masuk sesuatu Negara).


Manakala mengenai 2012 pula, Tuan Muhammad Alexander hanya mengulas filem “2012” dan menyinggung tarikh 20.12.2012 ramalan Maya ini hanya di mukasurat 1- 42 (dalam bab 1 hingga 4 atau dalam kira 7 – 10 % sahaja dari buku ini) termasuk isu planet Nibiru yang tidak disepakati NASA dan senarai panjang dari Tuan Alexander mengenai ramalan-ramalan Kiamat yang batil dan meleset (hampir 30 kes disenaraikan).


Selebihnya buku ini – hampir 90 % khususnya di bab-bab akhirnya - berbicara mengenai gambaran Kiamat yang sebenar menurut al-Quran dan al-Hadis. Kredit pada beliau atas percubaan berani untuk membuktikan kebenaran nas Ilahi serta tafsir muktabar para ulama sekitar Kiamat dengan fakta saintifik dari pelbagai sumber ilmiah. Bahkan lebih dari itu, nilai keunikan buku ini adalah penulis mengkaji pelbagai ayat-ayat Kiamat di dalam Al-Quran dan kemudiannya tampil dengan suatu presentasi ‘tentatif’ kiamat yang teratur dan menggambarkan perjalanan ‘the end of the day’ secara kronologikal hasil analisa beliau pada maksud setiap patah perkataan dan gambaran Kiamat dari kitab al-Quran dan al-Hadis serta pemahaman jelas pada istilah-istilah penting dunia astronomi.


Meskipun tidak ada bab dalam buku ini yang menyatakan manhaj penulisan dan perujukan beliau dalam kajian 2012 ini, namun penulis menyebut dengan jelas ‘punchline’ dan manhaj penulisannya :

"Meskipun tanggal sebenar kiamat adalah suatu misteri, namun masih ada ruang bagi manusia menganalisis proses ataupun fasa-fasa hari kiamat. Ini dapat dilakukan melalui penghasilan kronologi urutan peristiwa dalam hari Kiamat berdasarkan kajian saintifik ke atas maklumat daripada al-Quran dan al-Hadis” (halaman 548). 

Tahniah Tuan Alexander kerana membentangkan hujah-hujah ilmiah untuk memahamkan isu-isu agama  seperti ini yang biasanya akan dipersepsikan masyarakat sebagai berbaur mitos dan penuh misteri. Sungguh kerja ini bukanlah mudah bagi seorang pendakwah bergelar penulis.


Buku ini dimulakan dengan pendedahan serba sedikit mengenai aspek teknologi penghasilan filem 2012 dan asal usul kedatangan tarikh khurafat itu yang menyanggahi aqidah umat Islam. Namun demikian, Tuan Alexander tidak menyatakan siapa sebenarnya Roland Emmerich dan beberapa ‘big boses’ di belakang tabir filem ini, apakah ‘consistent patterns’ dalam rekod filem-filem terdahulunya lantas menyinggung filem ini dari kacamata hubungkaitnya dalam memartabatkan mesej-mesej tersirat ‘satanic worship’ yang menjadi 'manhaj' pendoktrinan' produk-produk industri perfileman Hollywood.


Namun demikian, buku ini sedikit sebanyak telah mengkaji tentang siapakah Maya dan ketamadunan ‘aneh’ mereka dalam lipatan sejarah yang panjang.

“Maya adalah tamadun yang benar-benar wujud. Ini disahkan berdasarkan bukti artifak yang masih utuh hingga hari ini. Artifak-artifak itu menggambarkan bangsa Maya adalah bangsa yang pernah mencapai kegemilangan dengan tamadun yang tinggi. Mereka mampu membina binaan yang menakjubkan seperti pyramid, istana-istana mewah serta menguasai ilmu astronomi dengan mendalam. Beberapa ahli sejarah bangsa Maya menyatakan antara tahun 250 S.M dan 900 M, bangsa Maya sudah mempunyai ahli astronomi yang mampu menghasilkan kalendar angkasa lepas. Mereka mampu mengkaji arah matahari, bulan dan bintang-bintang secara teliti sehingga mampu meramalkan gerhana bulan dan gerhana matahari dengan tepat.” (Muhammad Alexander, halaman 11)

Tuan Muhammad Alexander membawa bukti bagaimana bangsa Maya sebenarnya tidak menjadikan kalendar mereka untuk meramal masa depan seperti 2012, tetapi ia adalah angkara jahat ahli astrologi Barat untuk menyokong pendapat mereka bahawa kiamat akan berlaku pada 21 Disember 2012.


Beliau sendiri menyebutkan (dalam halaman 25) bahawa nyalaan matahari – setiap kitaran 11 tahun sekali - andaikata terjadi akibat wujudnya ledakan dalam matahari, kesannya hanya menjejaskan sistem telekomunikasi global sahaja seperti satelit, tetapi tidak sampai ke tahap membawa kehancuran bumi yang disediakan ‘atap’ pelindung oleh Allah S.W.T sebagaimana yang diistilahkan oleh Van Allen sebagai “Magnetosfera”. 


Namun demikian, buku ini tidak menjawap persoalan yang bermain di benak fikiran saya yang telah banyak memerhatikan 'consistent patterns' (bukan sekadar simbol dan perlambangan 'agama' Lucifer semata) yang wujud dalam filem-filem box-office Hollywood khususnya selepas runtuhan WTC 11 September (projek painting Islam as the new enemy) :


- siapa di sebalik dukun-dukun astrologi tamadun Mayan itu dan dari ‘siapa’ ilmu itu dipelopori dan bagaimana asal usul dan karakter ‘mahaguru’ tersebut sebagaimana disebut dalam dokumen-dokumen bersejarah seperti The Mayan Prophecies karangan Adrian Gilbert dan Maurice Contterel

- kenapa solar flare atau ‘kuasa matahari’ terlalu ditonjolkan sebagai penyebab Kiamat bumi

- apa di sebalik ‘religious symbolism’ (meminjam istilah Shekh Imron Hussein) yang ada dalam filem 2012 seperti keruntuhan patung Jesus di Rio de Jeneiro, St Peter’s Basilica di Vatican dan kuil di Tibet dan kenapa beliau mengecualikan Kaabah, lukisan Monalisa oleh Leornardo da Vinci, adegan kapal John F. Kennedy menghempap White House dan aksi eksiden ala Princess Diana di terowong

- kenapa ada adegan ‘bahtera penyelamat’ (Farewell Atlantis) yang muncul di akhir filem menuju ke benua Afrika.

- lebih penting lagi, kenapa Barat atau lebih khususnya Yahudi yang menguasai Hollywood beria-ria menonjolkan pada dunia ‘something will happen’ pada 2012 (101 hari selepas 11 September 2012).


Saya yakin Tuan Muhammad Alexander sengaja tidak menulis untuk menjawap persoalan di atas kerana itu di luar dari kerangka fokus kajian ilmiah beliau. Setiap orang ada maqam (kelebihan dan kompetensi) masing-masing. Sudah pasti ini bukan satu kelemahan, tetapi satu keunikan kepada buku ini kerana ia lebih fokus dan mahukan pembacanya hanya fokus – jangan mencapah - kepada persoalan harmonisasi antara pandangan syara’ dan pandangan aqal atau sains dalam menanggapi hari Qiamat secara kronologikal yang benar, lantas menguatkan rukun iman kelima ini.


Justeru saya menantikan pula buku Tuan Khalid Yahya (Muhamad Nurani Maarif) utk ‘melengkap’ dan ‘memantapkan’ lagi karangan Muhammad Alexander ini bagi memberikan manfaat besar pada ummah, khususnya bab Imam al-Mahdi al-Muntazar yang belum disentuh oleh Muhammad Alexander (pada masa yang sama terlalu banyak aliran pemikiran (buku) dan ajaran yang terbabas jauh dalam menanggapi Imam Mahdi dari perspektif sebenar syara’). Petunjuk Nubuwwah menjelaskan bahawa sesungguhnya Dajjal itu akan muncul ketika manusia lupa dari mengingati bahaya dirinya dan fitnahnya atau dimatikan usaha-usaha untuk membicarakan mengenai bahaya fitnahnya.


BEDAH BUKU

Buku ini menjanjikan perbahasan berat dan mendalam mengenai 4 dari 10 tanda besar Kiamat iaitu Dajjal, asal (dukhan), penurunan Nabi Isa dan kemunculan Yakjuj dan Makjuj.

Penulis membuktikan dalam bukunya bahawa setiap perkataan Nabi dalam hadis kronologi 10 tanda besar Kiamat (hadis sahih Muslim dari Huzaifah bin Usaid al-Ghifari) adalah bukan sembarangan perkataan yang dilafazkan. Ia adalah mukjizat dan penulis membuktikan bagaimana 4 peristiwa besar itu saling berhubungan antara satu sama lain secara kronologikal saintifik.


ANJAKAN PARADIGMA SEKITAR NAS-NAS DAJJAL

Buku ini mendatangkan nas-nas yang lebih banyak mengenai Dajjal yang membuka paradigma (cara melihat dan cara mentafsir) saya mengenai Dajjal.

1. Antara perbahasan menarik adalah harmonisasi perbezaan pandangan Syekh Yusuf Abdullah dan Dr Umar Sulaiman al-Asyqar mengenai siapa muncul dahulu selepas Imam Al-Mahdi; Dajjal atau Dukhan ? 

Kerana lafaz-lafaz hadis rujukan masing-masing adalah berbeza tetapi keduanya sahih (Muslim). Ada bab khas mengenai hubungkait Dukhan dengan Dajjal dan bagaimana penulis menyinggung hadis riwayat Imam Tabrani mengenai saat Dajjal – yang muncul dari arah Timur - mengatakan “Aku adalah Allah” (kenyataan paling akhir Dajjal selepas menipu manusia beliau sebagai Nabi Isa) dan hadis mengenai Ibnu Shayyad. 

Contohnya saya baru menemui nas mengenai Dajjal berkuasa di atas bumi selama 40 tahun (hadis riwayat Imam Ahmad, Hanbal, Abdul Razak dilaporkan oleh Ibnu Khaitsam). Selama ini yang saya temui dan banyak dihuraikan secara hikmah oleh Shekh Imron Hussein dalam muhadharah-muhadharah beliau adalah nas mengenai 40 hari Dajjal. Juga hadis mengenai ‘kelajuan’ Dajjal seperti hujan yang ditiup angin (hadis riwayat Imam Muslim dilaporkan oleh Nuwas bin Sam’an).

Yang lebih menarik adalah bagaimana ketajaman pandangan penulis dalam menanggapi nas hadis ini dan disesuaikan dengan kefahaman semasa dunia sains dan teknologi pada saat ini, ia menyebabkan anda merasakan sendiri mukjizat al-Quran sebagai kalam Tuhan yang mukjizatnya sepanjang zaman.


2. Juga mengenai kemunculan Dajjal pada era teknologi mencapai kemuncaknya berdasarkan hadis panjang dalam Sahih Muslim riwayat Nuwwas bin Sam’an. Lebih menarik lagi saya ditemukan dengan hadis panjang lebar dari Imam Muslim dalam Bab Mengingati Dajjal, riwayat Abdullah bin Maqnam (menurut Syekh Nasiruddin al-Albani sanad hadis ini lemah dan lafaznya mungkar, Tuan Alexander menyatakan lafaz/bahasa hadis mungkin sukar difahami kerana keterbatasan capaian ilmu pengetahuan pada saat itu yang belum mampu menggambarkan maksud hadis) mengenai kemampuan Dajjal mengklon manusia atau haiwan dengan tongkatnya melalui 6 fasa pengklonan.


3. Juga hadis panjang dari Abi Umamah al-Bahili (riwayat Ibnu Majah dalam bahagian Fitnah 2, juga ada dalam Sahih al-Jami’ as-Saghir) mengenai fitnah Dajjal itu berlaku pada masyarakat pedalaman yang jahil agama dan cetek pengetahuan.


4. Juga hadis mengenai Dajjal ketika berbentuk manusia normal dan belum ada tulisan ‘kafir’ di dahinya, hadis itu mengenai pemuda syahid yang datang kepada Dajjal bagi mendedahkan identiti Dajjal yang sebenar (hadis sahih Muslim yang panjang riwayat Abu Said al-Khudri daripada Qais bin Wahab daripada Abul Wadak).


5. Juga menarik apabila penulis membawa pandangan Imam al-Qurthubi (15 : 325) yang merekodkan komentar Abu Aliya yang memaksudkan kalimah ‘manusia’ dalam ayat 57 surah Ghafir adalah Dajjal, manusia yang diagung-agungkan oleh Yahudi. Ayat seterusnya (58) yang membawa tema ‘buta’ terus menarik perhatian saya.


6. Cukup hebat juga buku ini kerana Muhammad Alexander menjadi orang ketiga yang menulis secara ilmiah mukjizat surah al-Kahfi sebagai pendinding dari fitnah Dajjal selepas Tuan Khalid Yahya (penulis Membongkar Misteri Dajjal) dan Ustaz Hasrizal Jamil. Tulisan setiap sarjana ini dan bagaimana mereka menyinggung dan mengulas pandangan para ulama cukup tajam dan menyerlahkan mukjizat al-Kahfi secara ilmiah.


Juga menarik apabila menemui hadis “Allah akan membangkitkan Dajjal bersama syaitan-syaitan yang dapat bercakap dengan manusia” sebagaimana dinyatakan oleh Syekh Nasiruddin al-Albani dalam kitab Qishah al-Masih al-Dajjal Ulanuzuli Isa as Waqatlihi Iyyahu.


Kepada mereka yang bermusuh dengan perkara yang dijahilkan (seperti tidak percaya era kemunculan Dajjal adalah era teknologi tertinggi dan kemuncak intelektual manusia atau tidak percaya wujudnya kumpulan-kumpulan rahsia naungan Yahudi pelaksana fitnah Dajjal), disarankan membaca buku ini supaya minda kita sedikit terbuka berdasarkan suluhan Nubuwwah dan pandangan sarjana Muslim. Janganlah kemarahan kita pada mereka yang mendokong pandangan ini hanya kerana ketidakpuasan hati melihat ummah terlalu mudah dipengaruhi video-video yang tersebar di Youtube atau teori-teori konspirasi yang belum dibuktikan atau perkhabaran orang-orang fasiq yang tidak bersedia melakukan pembuktian atas dakwaan mereka apabila diminta. 

Sesungguhnya dakwah Islam ini berjalan ‘ala bashirah dan sarat dengan bayyinaat. Yahudi dan bakal ‘raja’ mereka hanya bergembira menyaksikan kita bertelagah dan berpecah dalam menanggapi makar, fasad dan fitnah jahat mereka dari segenap sudut untuk kembali memerintah dunia sebagaimana disebutkan Tuhan dalam surah permulaan al-Isra’. Allah menyebut sifat pemerintahan mereka sebagai "fasad" dan dalam ayat lain Allah menggunakan perkataan "makar" yang bererti perencanaan yang sistematik sama ada sulit atau terang-terangan.


…selepas solat, Isa alahissalam berkata, “Buka pintunya!” Lalu mereka membuka pintu itu di mana DAJJAL BERSEMBUNYI DI BELAKANGNYA DENGAN DITEMANI OLEH 70,000 YAHUDI. Masing-masing dengan pedang yang berhias dan jubah (mantel). Apabila Dajjal melihat kepadanya (Isa), dia mencair seperti garam yang mencari dalam air…” (hadis panjang lebar ini diriwayatkan oleh Ibnu Majah no. 4128 dan al-Hakim, 4/436, dia mensahihkannya dan dipersetujui oleh Imam Az-Zahabi).


Membaca buku ini tidak saya maksudkan menerima bulat-bulat segala kandungannya, tetapi sekurang-kurangnya membuka minda segelintir kita yang punyai niat yang suci murni – ketika melata dan ‘liberal’nya pentafsiran Dajjal sehingga terbabas dari maksud sebenar yang disabdakan Nabi - agar pentafsiran Dajjal dikembalikan pada landasan al-Quran dan as-Sunnah, tetapi sayangnya nas-nas komprehensif mengenai Dajjal itu sendiri gagal dibaca kesemuanya atau dihimpunkan sehingga jelas ‘big picture’ Dajjal yang disebutkan oleh Nabi S.A.W di pelbagai tempat dan pelbagai pendekatan.


Antara isu-isu ‘panas’ yang disentuh oleh penulis juga menyangkuti peristiwa asap tebal global (ad-Dukhan : 10-11) akibat hentaman kuat meteor besar (ad-Dukhan : 16) pada bulan Ramadhan (ketika tahap imuniti umat Islam paling tinggi sehingga tidak terkesan dengan asap global itu). Bahagian awal surah ad-Dukhan sendiri dibuka dengan pernyataan mengenai malam yang penuh berkat iaitu malam bulan Ramadhan yang diturunkannnya al-Quran. Penulis membawa pandangan-pandangan dari tafsir al-Qurthubi dan tafsir Ibnu Kathir, serta Sayid Qutub. Penulis juga menyinggung maksud “Ramadhan” iaitu panas membakar serta hadis ‘kontroversi’ (di forum maya Internet) dalam kitab al-Fitan yang direkodkan oleh Imam al-Hafiz Nu’aim bin Hammad, salah seorang guru Imam Bukhari.


TEKNIKAL

Secara teknikalnya pula, saya mencadangkan buku yang mencapai piawaian ketebalan lebih 500 mukasurat seperti ini, jika ada kenyataan yang mempunyai footnote, ia terus diletakkan di bahagian bawah mukasurat, bukan di hujung setiap bab kerana agak menyukarkan pembaca yang sangat ghairah untuk menamatkan segera ‘misteri’ buku ini lantas mahu cepat membuat rujukan dan sumber kenyataan tanpa berhempas pulas mencari di mukasurat mana terkumpulnya nota-nota kaki ini.

SARANAN

Sebelum membaca buku ini, saya sarankan kepada teman-teman yang berada dalam disiplin pengajian sains  tulen dan orientasi pengajian ‘base-evidence’, kukuhkan dahulu diri anda dengan asas-asas ilmu usul tafsir dan ulum hadis. Kepada yang sudah berada dalam disiplin pengajian wahyu pula, kukuhkan juga diri anda mengenai kedudukan akal dan ilmu (sains) dalam Islam dan bagaimana aliran-aliran pemikiran yang wujud hasil ketidakseimbangan antara aplikasi pemahaman wahyu dan akal. Kombinasi asas ilmu syariatullah dan sunnatullah ini penting supaya kita mempunyai disiplin pemikiran yang benar ketika membaca buku-buku mengenai peristiwa akhir zaman yang banyak bertebaran di kedai-kedai buku kini. 

Mungkin artikel Ustaz Hasrizal bertajuk "Mana Pintu Mana Tingkap? (Kemaskini)" atau "Belajar Berfikir" sebagai panduan termudah untuk menyuntik mahu kita mendalami disiplin-disiplin ilmu wahyu ini.

Sindrom pembaca menerima bulat-bulat atau menolak bulat-bulat - dan lebih teruk lagi lebih suka percaya perbincangan ‘kedai kopi’ dari membaca sendiri hasil penulisan seseorang yang dikontroversikan itu - banyak berpunca dari krisis kefahaman antara peranan wahyu dan peranan aqal (kajian). 

Syukur pada Allah S.W.T yang memberikan saya peluang untuk mendalami disiplin ilmu Usuluddin (Ulumul Quran dan Ulumul Hadis) serta Syariah (Ayat Ahkam dan Hadis Ahkam) dan Bahasa Arab di KISAS, MADIWA, Al-Azhar (walau seketika cuma) dan UIAM (khususnya dalam bahasa Arab).

PENUTUP
Tahniah pada PTS dan penulis atas gambarajah yang mempermudah otak kanan pembaca memahami kronologi dan perincian setiap kronologi Kiamat ini meskipun saya memahami pandangan penulis bukanlah satu kebenaran mutlaq dan bisa terdedah pada perbezaan pandangan dari sarjana dan masyayikh lain. Apapun Tuan Muhammad Alexander telah melaksanakan tanggungjawabnya untuk memberikan peringatan pada ummah, Allah sebaik-baik pembalas atas usaha jihad pena beliau.

Bagi saya - selepas membaca buku ini, jika mahu dibuat sesi Bedah Buku atau prebiu kepada buku ini oleh Tuan Muhammad Alexander, saya kira penganjur perlu bersedia menyajikan program selama 2-3 hari penuh (seminar pagi sehingga petang) lengkap, barulah Tuan Muhammad Alexander akan dapat menyampaikan hujah dan pembuktiannya serta methodologi kajian beliau sepenuhnya dalam suatu ‘pengembaraan’ yang tersusun tanpa ada seorang penumpang pun terbabas pemikirannya dalam menanggapi buku ini mahupun nas-nas bersangkutan akhir zaman. Kerapkali kontroversi berlaku dan buku ‘terlalu cepat’ laris di pasaran akibat salahtanggapan pembaca pada apa yang ditulis, bukan apa yang didengar sendiri dari lidah penulis. So, “Don’t judge the book by its cover”.

2 Responses to Analisa Buku "Armageddon 2012"

  1. ieda Says:
  2. seronok bace care ustaz kupas buku..
    matang.. if i can say,,
    - ur word is quite bombastic
    ( kekadang saya xpaham) =.=
    - mencari yang tersirat dari yang tersurat "melihat dari mata ati"
    - penulisan yg berfokus
    1st tyme comment cz da lupe password google account,, huhu,, (9.9)
    btw, nk tny, cane care plg senang nak download video yg pnjg2 cm movie..
    dyukran..

     
  3. This comment has been removed by the author.  

Posting Sebelumnya

Integriti Maya

Sebarang pengambilan mana-mana bahagian daripada tulisan di sini adalah sangat digalakkan untuk disebarkan, namun perlulah mendapat izin daripada Iskandarfateh.

Ataupun, sila beri kredit bahawa anda mengambil mana-mana kenyataan tersebut dari Blog
Iskandarfateh ini.

Terima kasih. Saya sangat hargai kunjungan anda.

Montaj IPTC

Twitter With Me

Profail Blogger


Syaari Ab. Rahman merupakan seorang perunding motivasi terlatih. Profail lengkap beliau di "Hubungi Saya"