Content feed Comments Feed

"Mudah menjadi pemimpin yang disegani dan dihormati, tetapi bukan mudah untuk pemimpin yang disayangi.

Mudah untuk menjadi individu yang hebat, tetapi bukan mudah untuk menjadi individu yang menghebatkan individu yang lain dan mencetak generasi yang lebih baik darinya.

Mudah untuk menang, tetapi bukan mudah untuk mengisi kemenangan.

Lantas Allah memilih seorang yang sangat muda remaja sebagai pilihanNya - dengan 3 kriteria kepimpinan berpengaruh di atas - bagi merealisasikan penantian 800 tahun firman Nabi-Nya. Dia bukan dari 300 kurun terbaik Nabi, dia bukan sahabat Nabi, dia bukan keturunan Nabi, dia bukan berbangsa Arab. Tetapi, dengan karakter kepemimpinannya yang seimbang IQ-EQ-SQ, dialah sebaik-baik raja pilihan Tuhan dan Nabi akhir zamannya.


1100 tahun Byzantium memerintah dunia Eropah berpusatkan bumi Konstantinopel, 1100 nostalgia empayar Kristian itu musnah dalam sekelip mata dek kerakusan pemerintahnya sendiri. 29 percubaan dunia merebutnya gagal. 11 pimpinan Islam menawannya gagal. 1001 alasan melatari sebarang usaha sesiapa yang retorik mahu lagi menawannya.

“Mustahil” adalah ratib zikir ummat selepas misi dipelopori Abu Ayyub hingga ke Sultan Beyazid.

Namun Al-Fateh membuktikan hakikat jiwa seorang pemuda yang boleh menggoncang gunung ganang. Al-Fateh membuktikan kuasa pasukan ulama di belakangnya. Al-Fateh membuktikan kemenangan sebuah gerak kerja berpasukan, setiap kepakaran disusun atur pada posisi strategik terbaik mampu mendekatkan jadual kemenangan.

Al-Fateh membuktikan bahawa pemuda mampu merealisasikan segala hadis futuristik Nabi dan pemuda tidak boleh memberikan alasan mereka tidak mampu melakukannya.


Al-Fateh bukan sekadar menghijrahkan 70 buah kapal ke Tanduk Emas, tetapi Al-Fateh juga telah menghijrahkan pemuda dari pemikiran jumud dan stereotaip dalam merencana kemenangan gerakan kepada pemikiran kritis, kreatif dan inovatif demi mencapai kejayaan visi dan misi luarbiasa gerakan.


Al-Fateh bukan sekadar menghijrahkan saintis Urban dari pihak yang berkhidmat kepada musuh kepada pihak yang mengabdikan kepakarannya kepada pemerintah yang adil, tetapi Al-Fateh juga telah menghijrahkan pemuda dari satu sikap meremehkan kekuatan musuh kepada sikap lebih teliti, lebih "mikroskop" kajian dan akhirnya bersungguh-sungguh dalam pelaksanaan untuk merobohkan keegoan musuh.

Bukan pemindahan 70 buah kapal yang harus dibanggakan heroismenya. Yang harus dilihat adalah ketajaman pemerhatian dan kepantasan idea yang datang ketika berada di kemuncak keputusasaan serta kekuatan gandingan kukuh pasukan pemikir di sebalik sesebuah lakaran kejayaan."

Saya (3 dari kiri) dan rakan-rakan staf Kementerian Pembangunan Wanita

Demikian petikan sebahagian kecil dari bicara Penutup dalam "Kuasa Kepemimpinan Muhammad al-Fateh" yang telah saya sampaikan dengan penuh 'emosi' (EQ) kepada para peserta Emotional Excellence For Innovative Teamwork Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

0 Responses to Innovative Teamwork Al-Fateh : Nilai Korporat Baru Buat Kementerian PWKM

Integriti Maya

Sebarang pengambilan mana-mana bahagian daripada tulisan di sini adalah sangat digalakkan untuk disebarkan, namun perlulah mendapat izin daripada Iskandarfateh.

Ataupun, sila beri kredit bahawa anda mengambil mana-mana kenyataan tersebut dari Blog
Iskandarfateh ini.

Terima kasih. Saya sangat hargai kunjungan anda.

Montaj IPTC

Twitter With Me

Profail Blogger


Syaari Ab. Rahman merupakan seorang perunding motivasi terlatih. Profail lengkap beliau di "Hubungi Saya"