Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia(GAMIS) menyokong usul Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan yang mendapat sokongan majoriti 411 undi di Parlimen Turki pada awal Februari baru-baru ini untuk membatalkan akta mengharamkan pemakaian tudung di universiti. Apa yang lebih menarik, parti pemerintah yang ‘Islamis’, AK Parti dan parti pembangkang, MHP yang ‘nasionalis’ boleh mencapai kata sepakat bersama menyokong penarikan semula pengharaman tersebut atas spirit hak asasi manusia rakyat Turki. GAMIS melihat tindakan kerajaan Turki perlu diteladani oleh mana-mana parti pemerintah yang menerima ‘mandat besar’ rakyat untuk menggunakan kuasa yang diberikan bagi menggubal atau meminda atau memansuh sebarang akta yang tidak memberikan apa-apa faedah kepada kebajikan, keselamatan dan hak asasi rakyat.
Tudung mula diharamkan di sekolah dan universiti di Turki bermula revolusi tentera 1980. Golongan tentera yang berkuasa pada masa itu, pendokong kuat fahaman sekularism menganggap memakai tudung sebagai satu bentuk penentangan terhadap prinsip sekular Negara Turki. Pada hari ini, atas dasar yang sama juga, hampir 10,000 pendokong ortodok sekularism Turki berdemontrasi menentang keras usul mengkaji semula dan membatalkan pengharaman tersebut. Sedangkan daripada soal selidik yang dibuat terhadap mereka yang memakai tudung, majoriti hanya mahukan kerajaan bersikap liberal dalam hal ini dan bukannya mengubah dasar sekularism negara kepada dasar Islam.
GAMIS menyeru mana-mana pemimpin kerajaan yang akan dipilih oleh rakyat dalam PRU pada 8 Mac ini agar mencontohi amalan demokrasi kerajaan Turki yang mengamalkan dasar keterbukaaan yang tinggi serta mendaulatkan hak asasi manusia yang sepatutnya dikecapi dan dirasai segenap rakyat secara adil dan saksama tanpa mengira fahaman politik.
Setiausaha Agong GAMIS
0 Responses to GAMIS SOKONG PENARIKAN SEMULA PENGHARAMAN PEMAKAIAN TUDUNG DI TURKI