Semenjak graduasi sambil menunggu peluang kerja, isteri saya kelihatan mula berjinak dengan dunia latihan dan motivasi. Dan sudah menjadi kebiasaan saya menjaga Fatihah sepenuhnya ketika Umminya berceramah (sekiranya saya tiada program), atau sekiranya kami berforum sekali, kami akan bergilir mikrofon untuk tujuan bergilir menjaga Fatihah, sama ada di khalayak hadirin atau di belakang tabir. Kami tidak peduli program itu rasmi atau tidak, semampu mungkin kami menghormati protokolnya. Lantaran siapa tidak kenal Fatihah Wajihah, TIDAK akan memberikan 'kerjasama' langsung kecuali pada Ummi dan Abinya sahaja.
Namun situasi esok malam agak berbeza. Saya akan berceramah di sebuah IPTA, bertembung pula dengan isteri saya yang juga akan berceramah di sebuah IPTA. Urusetia kedua-dua program konsisten memaklumkan sejak dari awal jemputan lagi ketidakmampuan mereka untuk menunda ke tarikh lain. Pilihan kedua yang ada hanyalah mencari penceramah gantian. Kedua-dua jemputan pula menyentuh topik yang kami sangat BERMINAT dan telahpun dikuasai dengan baik. Mungkin juga sukar untuk mencari pengganti bersesuaian jika di saat akhir.
Ikutkan hati, saya mahu mengalah kali ini. Benak hati saya mahu membuka ruang dan peluang 'pemasaran' baru kepada isteri saya dalam dunia motivasi dan latihan ini. Masakan tidak, saya sudah tiga tahun dalam dunia ini dan isteri saya baru menemui rentak sebenarnya. Kami meyakini Tuhan mengurniakan kami satu persamaan yang jelas dikongsi bersama, iaitu suka BERPIDATO dan "rumahtangga MIKROFON" !
Namun demikian, atas nama 'ibu', inilah kali ke seterusnya isteri saya dengan rela hati mengalah kepada saya dan memaklumkan dengan penuh rasa bersalah kepada pihak urusetia. Semoga urusetia sudi memaafkan kami atas 'dilema' ini.
Saya meyakini senario seperti ini akan terus menguji dan berulang kepada kami dan boleh jadi kepada mana-mana pasangan dalam "rumahtangga MIKROFON".
Prinsip bahawa "hari ini hari abang, esok hari saya" bukanlah penyelesaian jangka panjang yang efektif untuk "rumahtangga MIKROFON" ini.
Prinsip yang kini saya pegang telah saya terjemahkan dalam bentuk JANJI pada isteri saya bahawa :
"Setiap kali saya berceramah dan mengendalikan kursus di mana sahaja, saya akan mengambil kesempatan yang diberikan pada saya untuk 'memasarkan' beliau, pasukan beliau dan modul-modul beliau ("Khadijah Superwoman" dan "Manajemen Cinta") dengan cara yang terbaik, dengan apa cara sekalipun."
Siapa tahu dengan izin Allah, ada pensyarah atau 'orang-orang besar' universiti mahu mendengar lebih lanjut dan mahu menjemputnya di kemudian hari. Semoga keikhlasan isteri saya menolak satu jemputan demi suami dan anak mengundang sepuluh jemputan menyusul di masa akan datang.
Biiznillah Ta'ala!
Abu Fatihah,
Gombak,
21 Mac 2012
Biiznillah Ta'ala!
Abu Fatihah,
Gombak,
21 Mac 2012
0 Responses to Catitan Rumahtangga "Mikrofon"