Content feed Comments Feed

Merujuk kepada Berita Harian (muka hadapan), 26 Mac 2008 yang melaporkan bahawa Kerajaan berhasrat untuk meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) bagi memberi lebih kebebasan kepada pelajar dan universiti, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) menyambut baik hasrat Kerajaan tersebut dan menggesa perbincangan ke arah pengkajian semula Akta tersebut dapat disegerakan supaya ia tidak lagi dilihat seperti “angan-angan tahi ayam”. Mahasiswa tidak mahu kecewa untuk ke sekian kalinya selepas janji penubuhan satu jawatankuasa khas sekitar 3 tahun lepas untuk mengkaji peruntukan-peruntukan tertentu AUKU, akhirnya berkesudahan dengan pengumuman Timbalan Perdana Menteri bahawa kerajaan tidak bercadang untuk memansuhkan AUKU.


GAMIS bersetuju bahawa tiba masanya Akta berkenaan dikaji semula dalam usaha melahirkan intelektual generasi kedua yang lebih berdaya saing serta mempunyai daya tahan yang tinggi sebagaimana disuarakan Menteri Pengajian Tinggi yang baru, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. GAMIS melihat sekiranya pindaan besar atau pemansuhan total berlaku ke atas Akta yang sudah berusia hampir 37 tahun tersebut, maka ia adalah satu respons strategik Kerajaan terhadap dilema ‘kritikal’ pendidikan tinggi di Malaysia yang pernah dirumuskan oleh Laporan Bank Dunia (Mac 2007) sebagai : “the Malaysian higher education system is at a critical point in its evolution’’. GAMIS berpandangan bahawa agenda memartabatkan semula imej pendidikan tinggi Malaysia ke mata dunia mestilah bermula dengan kebebasan akademik itu sendiri dari sebarang akta yang mencengkam pensyarah atau mengongkong pelajar untuk bebas memberikan pandangan. Dr. Wan Abdul Rahman Wan Muda dari Universiti Sains Malaysia pernah menyatakan bahawa perlaksanaan AUKU menandakan bermulanya parut hitam dalam sejarah kebebasan akademik di Malaysia.


GAMIS juga mencadangkan fokus pengkajian semula AUKU adalah pada seksyen-seksyen baru yang dimasukkan selepas pindaan pada tahun 1975 yang dibentangkan oleh Menteri Pelajaran waktu itu, Tun Dr Mahathir Mohamed, seperti Seksyen 15A, 15B, 15C, 15D, 16A, 16B, 16C dan lain-lain yang jelas bercanggah dengan prinsip keadilan undang-undang. GAMIS juga mengharapkan agar Kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi bersedia mempertimbang apa jua kritikan dan saranan ke atas AUKU dari mana-mana sarjana akademik dan wakil-wakil pelajar tanpa mengira latarbelakang politik mereka.


GAMIS juga mengharapkan agar pindaan AUKU yang akan dilakukan kelak bukan sekadar bermotifkan untuk kepentingan agenda ‘populariti’ Malaysia melalui perancangan Universiti Apex semata-mata, tetapi apa yang lebih penting adalah soal kualiti modal insan (mahasiswa) selaku produk Universiti itu sendiri, keunggulan pensyarah dan barisan professor, serta kurikulum pendidikan yang lebih seimbang antara tuntutan utilitarianisme dan intelektualisme mahasiswa. GAMIS mengharapkan asas utama dalam merangka pindaan AUKU adalah satu perasaan pertanggungjawaban Universiti bahawa mahasiswa bukan sekadar dijadikan 'agen industri' melalui kecemerlangan ‘pointer’ pengajian semata-mata, tetapi mahasiswa juga adalah agen sosial perubah nasib masyarakat yang memerlukan elemen pemikiran kritis dan kreatif untuk membina negara sepanjang mereka di kampus.


Ketidakmampuan universiti Malaysia memenangi Noble Prize Laureates sepanjang 37 tahun AUKU dikuatkuasakan, bahkan menyaksikan jatuhnya ranking Universiti Malaya dari ranking Top-100 Best Universities sehingga dipintas universiti-universiti baru di Singapura, seharusnya menjadi pengajaran kepada Kementerian Pengajian Tinggi dalam proses membuka lembaran baru landskap Institusi Pengajian Tinggi Malaysia. Mekarnya debat-debat politik di universiti-universiti yang mengungguli carta liga perdana universiti terulung dunia seperti Harvard University, Cambridge University, Oxford University sepatutnya dijadikan trademark dalam menentukan halatuju pendidikan tinggi di Malaysia.

2 Responses to PINDA AUKU : GAMIS SAMBUT BAIK HASRAT KERAJAAN

  1. Anonymous Says:
  2. salam perjuangan ya ustaz..

    ayat tinggi sgt. agak berat nak faham, atau ana yang lembab sikit.erm.."utilitarianisme" tu apa?

    bagusla pengisian artikel ni.ana harap, GAMIS boleh sampai ke televisyen berhujah secara terbuka insyaALlah dan ustaz boleh jadi wakil.Hidup suara muda Islam!

     
  3. Rijal82 Says:
  4. insyallah munawirah. kami dah bincang hari tu utk ikhtiarkan sampainya suara kita dalam tv.

     

Integriti Maya

Sebarang pengambilan mana-mana bahagian daripada tulisan di sini adalah sangat digalakkan untuk disebarkan, namun perlulah mendapat izin daripada Iskandarfateh.

Ataupun, sila beri kredit bahawa anda mengambil mana-mana kenyataan tersebut dari Blog
Iskandarfateh ini.

Terima kasih. Saya sangat hargai kunjungan anda.

Montaj IPTC

Twitter With Me

Profail Blogger


Syaari Ab. Rahman merupakan seorang perunding motivasi terlatih. Profail lengkap beliau di "Hubungi Saya"