"Ottoman History: Misperceptions and Truths" oleh Ahmed Akgunduz dan Said Ozturk cukup menenangkan. Mengapalah baru sekarang saya baru menemuinya. Nampaknya beberapa 'qaul jadid' mesti dilampirkan dalam "Berfikir Gaya Al-Fatih".
Antara isu-isu yang mendapat penjelasan dan pencerahan yang jelas oleh mereka adalah :
- isu "fratricide" (bunuh adik-beradik untuk naik takhta) dan bughah
- isu agama asal Huma Hatun Isfandeyar Bey (ibu kandung Al-Fatih dan isteri ketiga Sultan Murad)
- isu di sebalik poligami 7 orang isteri Al-Fatih
- benarkah Sultan Murad 'lepas tangan' pemerintahan sebanyak dua kali pada Al-Fatih
- sebab sebenar kematian Sultan Muhammad, benarkah Dr Yaqub Pasha meracuninya
- isu lukisan potret Sultan Muhammad oleh Gentile Bellini ketika ada larangan hadis melukis potret manusia
- benarkah Al-Fatih menghukum bunuh Candarli Halil Pasha yang mencadangkan pengunduran dari Konstantinopel hasil pengalamannya sebanyak 3 kali berhadapan dengan tentera Salib
- fitnah kononnya adegan heroisme Hassan Ulubatli adalah sebuah tokok tambah sejarawan untuk penyedap cerita
- fitnah kononya adegan pemindahan kapal tidak berlaku sama sekali tetapi kapal Othmaniyah berjaya akhirnya memusnahkan rantai penghalang masuk ke Tanduk Emas
Hanya primary sources dari Turki mampu menangkis fitnah kepada Sultan Muhammad yang cukup tegar berpegang teguh dengan syariat Islam hingga ke akhir hayatnya.
Namun demikian, usaha menangkis fitnah ini secara akademik tidak seharusnya menatijahkan pentaqdisan Al-Fatih. Jalan tengah adalah sikap terbaik. Justeru saya juga sedang mengkaji sejauhmana kebenaran kisah Al-Fatih tidak pernah meninggalkan tahajjud sejak aqil baligh. Kesahihan kisah ini penting kerana kes-kes riwayat ala "hero-worshipping" tanpa sunber yang kukuh ini mampu membuka ruang pada ummat untuk membuat kesimpulan yang salah dengan mengatakan "Sukar sungguh meneladani Al-Fatih....".
Nantikan "Berfikir Gaya Al-Fatih" !
BEBERAPA MUTIARA PENTING
1. Janganlah melihat kisah pemindahan 70 buah kapal sebagai sebuah kisah ajaib ala 'superman' yang sesuai dimuatkan dalam majalah Mestika dan seumpamanya. Ia adalah kisah kejayaan SIKAP bersedia lebih awal dan melaksanakan secara profesionalisme dan itqan (teliti)
"Setelah menentukan landasan keseluruhan perjalanan, mereka menentukan pula tapak-tapak penting hentian (transit) perjalanan iaitu bermula di Tophane, kemudian ke Bogazkesen, kemudian turun mengarah ke Barat Daya dari Bogazkesen, kemudian rentas naik bukit menuju Lebon Pastry, kemudian lalui puncak bukit di Pera Palace, kemudian tiba di Karimpasa (Tanduk Emas). Ukuran jarak perjalanan telah dikenalpasti secara tepatnya iaitu 980 kaki dari Tophane ke Bogazkesen, 240 kaki dari Bogazkesen ke Tepebasi, 906 kaki dari Tepebasi ke Kasimpasa. Jumlah keseluruhan jarak perjalanan adalah kira-kira 2156 kaki atau sekitar 3 miles (4.8 kilometer). Justeru, jumlah anggaran kapal yang mampu diangkut dalam tempoh satu malam 21-22 April nanti adalah sekitar 50 - 70 buah sahaja." - "Ottoman History: Misperceptions and Truths", Ahmed Akgunduz dan Said Ozturk
MORAL : Tetapkan visi (big picture), tentukan misi-misi, kemudian lihat pada realiti kekuatan tenaga penggerak dan ukurlah baju di badan sendiri, kemudian laksanakan sehabis baik dan bertawakkallah di hujungnya.
2. Jika merujuk tulisan As-Sollabi ketika membicarakan mengenai ketajaman bacaan spiritual Syekh Syamsuddin, kemenangan pusingan pertama Byzantine pada 20 April sengaja 'dihadiahkan' oleh Allah pada mereka untuk melalai dan melenakan mereka dari 'unexpected strategy' yang sedang direncana Al-Fatih untuk mematikan terus pergerakan askar Byzantine. Jika kemenangan seketika (istidraj) ini tidak diberikan, ada kemungkinan strategi pemindahan kapal akan berjaya diintip, dipintas dan digagalkan dengan apa cara sekalipun.
MORAL : Jangan cepat bersangka buruk dengan apa yang Tuhan taqdirkan pada kita. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, tetapi rupanya Allah menyembunyikan kebaikan yang banyak padanya.
3. Meneliti dokumen Ahmed Akgunduz dan Said Ozturk, saya membuat kesimpulan betapa agungnya pemilihan kalimat "Latuftahanna" oleh Rasulullah yang berasal dari perkataan "Al-Fatah" iaitu PEMBUKAAN. 28 tahun selepas PEMBUKAAN Konstantinopel jualah, Sultan Muhammad Al-Fatih MEMBUKA dua buah empayar besar, MEMBUKA 200 buah bandar besar, MEMBUKA sempadan kerajaan Othmaniyyah sehingga 2,214,000 kilometer persegi (3 kali ganda saiz negara Turki pada hari ini). Kejayaan ini bukan kejayaan "one-man show", tetapi hasil sinergi "most competent leading state officers" dan "spiritual commanders".
salam.
Saya ada soalan: Di mana saya boleh dapatkan buku ini ya? Nampaknya tidak ada dijual secara online di Amazon atau Barnes and Noble (saya berada di US semasa ini).
Sebarang maklumat adalah sangat dihargai. Terima kasih.
Oh. Tak tahu pula rupanya ada banyak fitnah terhadap Sultan Muhammad al-Fateh. Saya tak pernah tahu bahawa ada tuduhan baginda miliki 9 orang isteri. Juga tak tahu terdapat tuduhan pemindahan kapal melalui jalan darat tidak berlaku.
Jadi dimanakah saya boleh dapatkan maklumat tentang 'fitnah' dan tuduhan yang lebih terperinci terhadap al-Fateh tu. Sebarang website barangkali.. harap saudara boleh bagitahu.