Content feed Comments Feed

"You are potential gardeners of this garden of knowledge and virtue!", demikian kalam wada' Prof Ataullah Boghdan Kopansky di kelas petang tadi.


Seorang profesor yang tahu menghargai setiap muridnya, hampir 45 minit membuat ulasan positif tentang assignment setiap pelajar, 5 minit shj utk 'hint' final exam, selebihnya "map game" yang menyeronokkan. Sudah tidak sabar saya untuk memasuki kelas-kelas beliau selanjutnya dalam perjuangan Master in History & Civilization. 

Kalaulah semua pensyarah mampu menjadi beliau sebagai benchmark.

Mungkin beginilah kaedah pendidikan geografi yang dilalui Sultan Muhammad al-Fateh ketika usia mahasiswanya.

"Janganlah kamu berfoya-foya (korupsi) dan menabur-naburkan (kronisme) wang negara, atau kamu pergunakan lebih (pecah amanah) dari sewajarnya. Sebab semua itu merupakan penyebab utama kehancuran.” (Sultan Mehmed II el-Fātiḥ).

Terima kasih tidak terhingga kepada Prof Abu Hassan Hasbullah, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya (UM) dan Founding Chairman, Zentrum Future Studies Malaysia (ZENTRUM) kerana sudi merakamkan "Prakata" untuk buku saya KEKAL (Kuasa Kepemimpinan Al-Fateh). 

Rakaman itu juga disalin di website beliau di sini.

Berikut saya salin semula tutur bicara Prof dan paradigma beliau kepada Sultan Muhammad al-Fateh :


"Sultan Muhammad ll al-Fatih bukan sahaja merupakan pemimpin (khalifah) agung dalam sejarah Islam, yang menderu buat setiap Muslimin untuk membaca dan mengikuti sejarah dirinya terutama kejayaan baginda dalam melengkapkan perjuangan menegakkan agama Allah, Islam sebagaimana yang diperucapkan oleh Rasulullah s.a.w: 

“Abu Qubail menuturkan dari Abdullah bin Amr bin Ash, ‘Suatu ketika kami sedang menulis di sisi Rasulullah s.a.w, tiba-tiba Baginda ditanya: ‘Mana yang akan dikalahkan terlebih dahulu, Kostantiniah (Constantinople) atau Rumiyah (Rom)?’ 

Baginda menjawab, “Kota Heraklius yang akan dikalahkan terlebih dulu.” Maksudnya adalah Kostantiniah (Constantinople).” [hadis riwayat oleh Ahmad, Ad-Darimi, Al-Hakim]. 

Dan seterusnya RasululLah juga memberi gambaran terhadap diri peribadi Khalifah Muhammad ll Al-Fatih sebagai “Kota Kostantiniah (Costantinople) akan jatuh ke tangan Islam. Pemimpin yang menakluknya adalah sebaik-baik pemimpin dan pasukan (pembesar, tentera, ilmuwan) yang berada di bawah kepimpinannya adalah sebaik-baik pasukan.” [hadis riwayat oleh Ahmad bin Hanbal Al-Musnad 4/335]. 

Setelah hampir 800 tahun lebih usaha-usaha untuk menakluk Kota Constantinople yang bermula sejak Khalifah Muawiyah bin Abu Sufyan pada 668 Masehi, yang turut mengorbankan sahabat RasululLah s.a.w iaitu Abu Ayyub al-Anshari r.a, maka generasi kepimpinan khilafiah yang seterusnya baik dari Bani Umayyah dan Bani Abassiyyah sehingga pemerintahan Othmaniah di bawah Khalifah Murad ll juga gagal untuk menguasai Byzentium sehinggalah akhirnya, sebagaimana yang disabdakan oleh RasululLah s.a.w akhirnya muncul seorang putera Islam yakni Mehmed ll, yang mempunyai kepakaran dalam bidang strategi politik, kejuruteraan militari, sains, matematik, dan pengurusan ekonomi, dan menguasai lebih dari enam bahasa, yang di usia 21 tahun maka berakhirlah kesombongan dan kesesatan empayar Byzentium dan kotanya Costantinople yang seterusnya membuka laluan dari pintu Edirne yang telah ditawan sebagai derap memulakan perkembangan Islam ke seluruh Eropah dan dunia

Tentulah kehebatan Sultan Muhammad Al-Fatih tidak hanya sebagai ‘Sang Penakluk’ tetapi bagi umat Islam masakini hendaknya menjadikan konsep kepimpinan negara yang ditegakkan oleh baginda sebagai model pentadbiran negara Islam, dalam semua aspek iaitu ekonomi, politik dan sosial (ekoposial) dengan teras terpenting yang ditunjukkan dalam ciri-ciri individu beliau sebagai Muslim; konsep, makna, bentuk dan kandungan kepimpinan ekoposial di sepanjang pemerintahannya; kejayaan demi kejayaan buat Islam dalam menerajui dan mendepani masadepan serta meletakkan dunia di paksi yang benar; dengan ruh terkuat yakni Islam sebagai rahmatan lil ‘alamin dan ini hanya akan dapat dicapai dengan pemimpin dan umat Islam memiliki sikap dan akhlak khilafiah iaitu warak, praktikal dan pragmatik. 

Justeru itulah di sepanjang kepimpinan baginda, selain Islam berkembang dengan pesatnya dan manusia mencapai kemajuan dari segala bidang, apabila baginda mengamalkan sistem pemerintahan yang adil, saksama dan ‘beriman’ dengan bukan sahaja memajukan pertanian, perindustrian, malah menempatkan pendidikan sebagai gerakan pemajuan ummah yang terpenting dengan menubuhkan universiti-universiti yang sebahagiannya masih teguh berdiri sehingga sekarang. 

Prinsip-prinsip kepimpinan Islam, yakni siddiq, amanah, tabligh, dan fatanah diamalkan dalam semua proses pemajuan negara dan penghidupan masyarakat. Khalifah Muhammad ll al-Fatih menjadi pemimpin agung yang menunjukkan jalan buat masyarakat hari ini tentang Islam sebagai ad-deen.

Ini digambarkan dalam Piagam (Firman) Pembebasan Bosnia Franscan (28 Mei 1463) sebaik tentera Islam menakluki kerajaan Balkan, bermula di Bosnia, Serbia dan Albania dicatatkan: 

“Beta, Sultan/Khalifah sebagai Pemerintah, dengan ini mendeklarasikan buat seluruh dunia bahawa sanya, seluruh Bosnia Franciscan adalah terjamin di bawah perlindungan Firman (Piagam/Perintah) ini. 

Bahawa sanya dengan ini Beta mengarahkan yang: Tidak akan barang seorang pun yang boleh menganggu dan mengancam semua rakyat termasuk gereja-geraja mereka! Mereka terpelihara dan dijamin untuk meneruskan penghidupan seperti sediakala dengan aman, damai dan sejahtera dalam negara Beta. 

Mana-mana orang sebagai pendatang (imigran), tetap beroleh perindungan keselamatan dan kebebasan. Mereka boleh kembali ke biara-biara (monastri) yang terletak di sempadan-sempadan negara Beta. Tidak ada gerangan seorang pun dari rakyat negara beta, baik bangsawan, wazir-wazir, kerani-kerani (pegawai-pegawai) atau pengasuh-pengasuh (penasihat-penasihat) Beta boleh melanggar hukum ini dengan memberi ancaman kepada mereka! 

Tidak ada gerangan seorang pun yang boleh mengkhianati, mendatangkan bahaya atau serangan terhadap mana-mana orang, harta benda, dan gereja-gereja mereka! Sayugia diingatkan, apa dan siapa yang dibawa oleh mereka ini dari negara mereka mempunyai hak yang sama. 

Bahawa sanya dengan menitahkan firman (Piagam/Perintah) ini, Beta bersumpah dengan pedang Beta di atas nama Maha Suci Allah, Tuhan Maha Mencipta Langit dan Bumi, dan Muhammad Pesuruh Allah, dan 124000 para Nabi sebelumnya, sesungguhnya; tidak ada gerangan seorang pun dari sekalian rakyat beta boleh bertindak atau berkelakuan yang bertentangan dengan firman ini!”

Sultan Muhammad ll Al-Fatih telah membawa pemikiran kepimpinan ekoposial yang praktikal dan pragmatik bagi dunia seluruhnya. 

Lalu pemikiran inilah yang harus dikembangkan sebagai suatu ‘future studies’ oleh umat Islam dalam memajukan sistem, bentuk dan kandungan ilmu-ilmu sama ada dalam pengurusan politik, ekonomi dan sosial, ketenteraan, sains dan kejuruteraan termasuk dalam bidang-bidang perubatan, falsafah, sastera dan budaya juga teknologi komunikasi.  

Tentulah asas terkuat ialah bagaimana tegasnya Khalifah Muhammad ll Al-Fatih membangunkan negara yang bebas dari korupsi, kronisme dan pecah amanah sebagaimana yang dititahkan baginda dalam petikan di atas, sebagai pesanan tentang struktur kenegaraan yang akan menjamin keadilan, kemajuan dan kekuatan bagi menjadi sebuah peradaban agung, masyarakat dan negara. 

Asas-asas tersebut yang hendaknya secara berterusan dikaji, diteliti dan dimajukan untuk menjadi rukun dan hukum dalam sistem pemerintahan nyata diperucapkan oleh Khalifah Muhammad ll Al-Fatih buat pewarisnya, sekali gus mengadiluhung bentuk dan kandungan teoritikal dan praktikal politik, ekonomi dan sosial Islam; 

“Beta sudah diambang kembali ke sisi Allah. Tapi Beta berharap Beta tidak khuatir, sayugia Beta meninggalkan seseorang sepertimu. Jadilah seorang pemimpin yang adil, solih dan penyayang. rentangkan perlindunganmu untuk rakyatmu, tanpa kecuali. Bekerjalah untuk menyebarkan Islam. Sayugia sesungguhnya itu merupakan kewajiban para Khalifah di muka bumi. Dahulukan urusan agama atas apapun urusan lainnya. Dan janganlah kamu jemu dan bosan untuk terus menjalaninya. 

Janganlah dikau angkat jadi pegawaimu mereka yang tidak peduli dengan agamamu, yang tidak menjauhi dosa besar dan yang tenggelam dalam dosa. Jauhilah oleh dirimu bid'ah yang merosak agama. Jauhi pula mereka yang menggodanya untuk memasukinya. Jagalah setiap jengkal tanah Islam dengan jihad. Lindungi harta di baitulmal jangan sampai binasa. Jangan sekali-kali tanganmu mengambil harta rakyatmu kecuali sesuai ketentuan Islam. Pastikan mereka yang lemah mendapatkan jaminan kekuatan darimu. Berikanlah penghormatanmu untuk siapa yang memang berhak... 

Ketahuilah sesungguhnya para ulama’ adalah nadi kekuatan di tengah tubuh negara, maka muliakanlah mereka. Semangati mereka. Bila ada dari mereka yang tinggal di negeri lain hadirkanlah dan hormatilah mereka. Cukupilah keperluan mereka... 

Berhati-hatilah, waspadalah jangan sampai engkau tertipu oleh harta maupun kuasa. Jangan sampai engkau jauhkan ahli syariat dari pintumu. jangan sampai engkau cenderung kepada pekerjaan (perbuatan) yang bertentangan dengan ajaran Islam. Sayugia sesungguhnya Islam itulah tujuan kita, hidayat itulah jalan kita. Bahawa sanya oleh sebab itulah kita dimenangkan... 

Ambillah dariku pelajaran ini. Aku hadir ke negeri ini bagaikan seekor semut yang kecil. Lalu Allah memberi nikmat yang besar ini. Maka tetaplah di jalan yang telah aku lalui. Bekerjalah untuk memuliakan agama Islam ini, menghormati umatnya...” (bersambung dengan petikan di atas).

Khalifah Muhammad ll Al-Fatíh adalah lambang pemimpin agung; adalah model kepimpinan yang sempurna; adalah ilmu pengetahuan yang akan membawa masuk setiap orang dari satu pintu menara ke satu menara yang lain semacam tertakluknya pintu menara Galata sehingga ke Valea Albă Genoese dan Venetia; menakluki semua sisi dan posisi Islam sebagai ad-deen yang merupakan rahmatan lil ‘alamin. 

Sayanglah seandainya umat Islam di hari ini menjadi Yahudi Jacob Pasha yang membawa dan mengembangkan segala kemakaran dan kepunahan dengan sikap dan perilaku, baik sebagai individu maupun pemimpin yang akhirnya menghancurkan dunia."

Wallahu a'lam.

Mudah-mudahan dengan gambaran ini akan boleh diambil perbandingan atau mana-mana aspek positif oleh parti-parti politik, gerakan mahasiswa dan para pensyarah di Malaysia. Ayuh menuju demonstrasi minda kelas pertama, dengan itu kezaliman pemerintahan sekularis di Malaysia kini akan tumbang.

Kredit kepada Prof Abu Hassan Hasbullah atas rakaman ini.

Lagi gambar demontrasi di sini

Hasil pematangan pemahaman pada proses demokrasi negara yang matang, maka baru-baru ini pada 19 Oktober 2010 telah berlaku demonstrasi tanpa "water cannon" babitkan para pensyarah dan mahasiswa Austria kerana membantah pengecilan peruntukan perbelanjaan pendidikan sebanyak 2% dalam Bajet 2011 Kerajaan Austria. 

Sumber video rakaman Prof Abu Hassan Hasbullah sendiri di sini

"Demonstrasi ini melibatkan semua profesor, pensyarah, pegawai universiti dan mahasiswa seluruh Vienna, malah akan berlangsung di seluruh Austria. Demonstrasi ini diadakan kerana membantah pengecilan anggaran perbelanjaan bagi pendidikan dalam BELANJA NEGARA AUSTRIA 2011 sebanyak 2% berbanding tahun 2010.

Apa yang dilihat dari demonstrasi tadi:

1. Dikawal, diiring dan disusun oleh pihak polis.
2. Semua pengangkutan awam dan individu dimaklumkan beberapa hari sebelum demonstrasi.
3. Semua media menghebahkan akan berlakunya demonstrasi, dan menyatakan sokongan terhadap gerakan universiti.
4. Demonstran pun berarak menuju ke parlimen, dan seterusnya ke penginapan Canselor Austria
5. Demonstran melaungkan tuntutan revisi balik Belanja Negara 2011
6. Demonstrasi berjaya menyampaikan suara akalfikir dan akalrasa rakyat secara demokratis dan partisipasi dalam kebersamaan membentuk polisi.
7. Suasana diganti muzik."

Dilaporkan oleh Prof Abu Hassan Hasbullah

Aku (Muhammad al-Fateh) mempunyai 2 sifat. Sifat keras seperti batu iaitu keazamanku untuk mencapai apa yang aku inginkan. Sifat lembut seperti air iaitu ketika aku memohon ampun kepada Tuhanku. Apakah dengan dua sifat ini aku masih tidak boleh mencapai kemenangan?
– Amru Khalid, Pemikir Islam Kontemporari -


Sejak dari pengumuman rasmi Sultan Muhammad mahu menawan Konstantinopel, beliau jelas sangat berhati-hati membina persiapan dan tidak meremehkan sama sekali apa jua faktor yang boleh menggagalkan perancangan biar sekecil mana sekalipun.”

Demikian rumusan yang cemerlang dibuat oleh Profesor Dr. Redzuan Othman dari Universiti Malaya untuk menggambarkan pemikiran strategik Sultan Muhammad Al-Fateh. Buktinya lagi :

1. Bermula dengan strategi diplomatik dengan menjalin pelbagai perjanjian damai dengan negara-negara Barat seperti Serbia dan Hungary. Ini bertujuan untuk menghalang mereka dari memberikan ‘talian hayat’ kepada Konstantinopel apabila mula dikepung Usmaniah

2. Membina Rumeli Hissari bertentangan dengan Anadolu Hissari untuk tujuan menghalang sekali lagi sebarang ‘talian hayat’ kepada Konstantinopel melalui kapal-kapal Byzantine atau sekutunya dari masuk atau keluar dari Selat Bhosporus dan Tanduk Emas.

3. Sultan Muhammad juga mengambilkira dengan sangat serius perhitungan masa dan ketepatan masa setiap pelan. 

Perhitungan Sultan Muhammad – berdasarkan pengalaman sejarah datuk-datuknya - adalah semakin lama tempoh pengepungan dibuat, semakin Usmaniah akan terdedah pada pengkhianatan kuasa Hungary dan Venice untuk membantai semula Usmaniah secara senyap dan membantu Konstantinopel. 

Justeru, pembinaan senjata yang mampu merobohkan tembok Konstantinopel dengan cepat dan tepat adalah sangat diperlukan. Maka atas sebab itu jurutera Hungary, Urban menawarkan khidmat kepada Sultan Muhammad ketika musim luruh 1452 Masihi.

Kesannya, menurut Steven Runciman dalam bukunya “The Fall of Constantinopel 1453”, selepas 3 bulan, satu meriam telah berjaya dipasakkan di atas dinding Rumeli Hissari dan berjaya menenggelamkan kapal-kapal Venice yang cuba lari dari kepungan Usmaniah di Selat Bosphorus.

Kejayaan ini menyebabkan Sultan Muhammad mengarahkan Urban membina sebuah lagi meriam dengan saiz dua kali ganda lebih besar. Meriam yang dinamakan Basilica ini akhirnya berjaya disempurnakan pada Januari 1453, hampir 3 bulan lebih awal menjelang misi penawanan.

Selepas diuji, Sultan Muhammad mengarahkan Basilica dipindahkan dari Adrianople ke Konstantinopel dengan kekuatan 60 ekor kerbau dengan kawalan ketat keselamatan oleh 200 orang komando Usmaniah dan 250 orang tentera untuk melicinkan jalan dan membaiki laluan dan jambatan (selepas dilalui). Perjalanan menuju Konstaninopel mengambil masa 6 minggu!

4. Menurut David Stacton dalam “The World on the Last Day”, Sultan Muhamad juga membina kekuatan armada laut dengan penyediaan 140 buah kapal perang dan 320 buah bot, dengan 150,000 askar penyerang termasuk 12,000 tentera Janissari.

5. Sultan Muhammad juga berjaya meraih kemenangan moral lebih awal apabila perisikan yang beliau lakukan sendiri mendapati tindakan Maharaja Konstantinopel untuk menyatukan antara gereja Greek dan Latin semata-mata untuk meraih bantuan Pope telah mendapat kemurkaan besar rakyat Konstantinopel. 

Menurut Lord Eversley dalam “The Turkish Empire”, upacara rasmi pengishytiharan penyatuan yang telah dihadiri Cardinal Isidore sebagai wakil Pope telah menyebabkan perpecahan penduduk Konstantinopel. Sebab itu tidak pelik sekiranya dari lebih 100 ribu populasi penduduknya, kurang 6 ribu penduduk sahaja yang sanggup mengangkat senjata berjuang dan menyokong tindakan Maharaja ketika perang sudah berkecamuk.

Tidak dapat dinafikan juga kepungan bantuan ini bukan sekadar menjatuhkan moral penduduk dan melemahkan fizikal tentera Byzantine, ia juga telah mematikan sekaligus penduduk dan pemerintah Byzantine dari akses maklumat perkembangan di luar Konstantinopel. 

Pendek kata, rakyat Konstantinopel mula mengalami kerencatan maklumat dan sekatan dari mendapatkan informasi dan media. Justeru tidak pelik, Byzantine tidak mampu meneka dan mengagak kekuatan sebenar tentera Sultan Muhammad yang sudah mengepung Konstantinopel dari segenap sudut tanpa ada ruang lagi untuk lari.

Kesudian jurutera Urban menawarkan khidmat pembinaan senjata dan meriam kepada Sultan Muhammad dan menolak dari berkhidmat dengan Maharaja Konstantinopel mengandungi dua pengajaran yang sangat berharga. 

Pertamanya, kesungguhan untuk memanfaatkan tenaga pakar. 
Keduanya, kekuatan ekonomi untuk mencapai objektif. 

Prof. Redzuan Othman menyebut bagaimana Maharaja Konstantinopel bukan sekadar tidak mampu menyediakan bahan mentah untuk Urban membina senjata baru Byzantine, tetapi beliau sendiri tidak mampu memberikan wang insentif sebagaimana yang dimahukan Urban. 

Sebaliknya Sultan Muhammad bukan menyediakan kesemua bahan mentah yang diperlukan Urban, bahkan ditawarkan kepadanya wang insentif yang sangat luarbiasa. Lihatlah betapa bersungguh, objektif dan bijaknya Sultan Muhammad memahami emosi dan kehendak tenaga-tenaga pakarnya.


CONGAK MATEMATIK SAYA

Perkiraan berikut hanyalah satu contoh sahaja, tidak semestinya menggambarkan keadaan sebenar.

Berdasarkan congak matematik mudah, jika diambilkira jumlah masa untuk proses pemindahan 70 buah kapal katakan 7 jam (10 malam hingga 5 pagi) atau 420 minit bagi jarak sejauh 5 kilometer, maka sebuah kapal Usmaniah memerlukan masa kurang 6 minit sahaja untuk melepasi jarak 5 kilometer dengan selamat.

Lebih dari 6 minit ertinya musuh akan dapat mengesan dari jauh. Ini jelas menunjukkan pergerakan 70 kapal berjaya dilakukan dalam masa semalaman kerana ia digerakkan serentak satu demi satu tanpa putus-putus dan tanpa ada sebarang masalah teknikal walaupun satu kapal ! 

Satu kapal membuat masalah akan menjejaskan 'timing' Sultan Muhammad.




SERANGAN AKHIR

Di awal Subuh 29 Mei itu, tentera pertama Usmaniah yang sangat bersemangat menyahut seruan Sultan adalah tentera menara bergerak dan pemanjat tangga ke dinding Konstantinopel. 

Menurut Profesor Redzuan Othman, percubaan pasukan besar pertama ini meskipun mengalami kekalahan teruk dan angka kematian yang banyak, tetapi mereka telah berjaya mencapai objektif dan strategi Sultan iaitu untuk meningkatkan tahap keletihan tentera musuh dan menggandakan pelepasan jumlah peluru yang mereka ada.

Percubaan kedua menjadi lebih serius apabila dilakukan oleh pasukan rempuh lengkap berbaju besi oleh komando-komando dari unit Anatolian.

 Gambar ini adalah hasil ilustrasi semula penulis. 
Hakcipta terpelihara www.iskandarfateh.com

Percubaan ini juga gagal dan memaksa tentera berundur.

Percubaan ketiga yang menghampiri waktu senja, tiba masanya Sultan menghantar tentera elit baginda, para pegawai keselamatannya, barisan pemanahnya, barisan berkuda dengan tombak serta 12,000 tentera Janissari untuk membuat rempuhan akhir di pintu paling lemah iaitu Topkapi.

Dengan izin Allah S.W.T, Konstantinopel berjaya dimasuki dan dipasakkan panji Usmaniah oleh Hassan Ulubate.


RUJUKAN :
Profesor Dr. Mohd Redzuan Othman, “The Conquest of Constantinople 1453 : The Visions and Strategies of Sultan Mehmed II”, Jurnal Jabatan Sejarah Universiti Malaya, No.5 (1997).


Entah kenapa hati saya tergerak untuk pergi menunaikan solat Jumaat di masjid UIAM tadi. Rupanya Allah mengaturkan pertemuan saya dengan khutbah Syekh Ahmad Badaruddin Hassun, Mufti Besar Syria.

Belum pernah saya mendengar khutbah terbaik dalam hidup saya melainkan inilah saatnya secara 'live'. Tampak suaranya seperti suara Syekh Dr Yusuf al-Qaradhawi yang sedang berpidato lantang. Khutbah yang hampir menitiskan air mata meskipun ia disampaikan oleh syekh dengan penuh semangat, nada fushah yang sangat indah, penyusunan kata yang ringkas tetapi penuh hikmah, dan penuh dengan seni dakwah yang menyentuh hati sesiapa sahaja yang memahami kalimah demi kalimah syekh. 

UIAM belum pernah lagi saya dengar ada khutbah mengenai pesanan untuk menjaga pendidikan anak-anak secara khusus namun itulah yang telah dilakukan oleh Syekh. Suatu pidato yang kena tepat 'ke batang hidung' setiap yang bakal bergelar ayah dan ibu, tepat kepada jalan keluar terpenting permasalahan ummah pada saat ini.

Dalam khutbah pertama, Syekh menyentuh dengan sangat mendalam mengenai kepentingan pembinaan Usrah Saidah sebagai jalan keluar kepada permasalahan ummah hari ini. Syekh menegaskan kepada sidang jumaat (para pensyarah, mahasiswa dan mahasiswi yang hadir) supaya memahami kisah pembinaan Kaabah (yang akan menjadi tumpuan bulan haji tidak lama lagi) sebagai satu mekanisme pembinaan keluarga yang bahagia sebagaimana yang telah disebutkan oleh al-Quran merakamkan Ibrahim membina Qawa'id al-Bait (Kaabah) bersama dengan Ismail, peranan ayah dan anak sekaligus.

Keluarga yang solehah adalah diasaskan cintanya hanya kepada Rabbul 'Alamin meskipun apa jua ujian yang datang. Ujian pertama untuk menguji si ayah, maka Ibrahim tetap thiqah kepada Tuhannya akan menyelamatkannya dari bakaran api Namrud, lantas sejahteralah Ibrahim dan benarlah Islam.

Ujian kedua untuk menguji si ibu, maka Siti Hajar ditinggalkan suami dengan anak yang dahaga di tempat yang kering kontang tanpa tanda-tanda kehidupan, maka Siti Hajar tetap thiqah kepada Tuhannya dan sejahteralah iman dan aqidah Siti Hajar.

Ujian ketiga adalah ujian paling getir untuk menguji si anak. Iman tidak dapat diwarisi tanpa pendidikan yang berterusan, maka itulah natijah yang berlaku pada Ismail apabila diuji untuk disembelih oleh ayahnya. Meskipun usia bersama ayahnya sejak kecil hampir tiada langsung peluang kerana perpisahan dan masa bersama dengan ayah (apabila bertemu semula) sangat singkat, namun Ismail tetap thiqah pada Tuhannya maka sejahteralah iman Ismail.

Lantas, sejahteralah iman si ayah, si ibu, dan si anak dan inilah model keluarga sejahtera yang seharusnya difahami oleh setiap jemaah haji dan umrah.

Khutbah kedua Syekh menyentuh mengenai kepentingan kesatuan ummah hanya dengan menyebarkan salam sesama sendiri dengan penuh kasih sayang. 'Speechless' untuk saya rakamkan di sini indahnya bunga-bunga bahasa, tafsiran al-Quran dan al-Hadis kepada setiap perkataan yang Allah dan Rasul-Nya gunakan. Contohnya kenapa Ihdina, tidak Ihdini. Kenapa Iyyaka na'budu, tidak Iyyaka A'budu. Kenapa Rabbul 'Alamin, dan tidak Rabbul Muslimin. Kenapa Rasul rahmatan lil Alamain, dan tidak lil Mukminin. 

Ketika doa diangkat dalam khutbah tadi, cukup menyentuh hati ketika Syekh mendoakan kemenangan Islam di bumi Palestin. Syekh menyebutkan bahawa Masjidil Aqsa adalah tempat yang menjadi saksi berlakunya Muktamar Para Anbiya, himpunan besar sebaik-baik manusia dari seluruh dunia dari dari pelbagai dimensi masa, dihimpunkan bersama dan mengangkat Nabi akhir zaman sebagai Amirul Anbiya'. 

Suatu seni dakwah yang ditampilkan oleh Syekh adalah memuji kesantunan rakyat Malaysia dan membariskan Malaysia sebaris dengan Syam dalam doanya supaya dipelihara jihad dan iman rakyat negara ini "Antum namuzaj li sya'bi Aasia" (kamulah role-model kepada bangsa Asia)! Motivasi yang jarang sekali kedengaran dari jurukhatib mimbar Jumaat yang banyak melenakan pendengar.

Ya Allah, ummah pasti angkat bangkit jika seluruh khutbah Jumaat di Malaysia ini meneladani model terbaik dari gaya, intonasi, keikhlasan, kesungguhan khutbah Syekh Badaruddin. Rinduku pada bumi Syam kembali berputik.

There was an error in this gadget

Integriti Maya

Sebarang pengambilan mana-mana bahagian daripada tulisan di sini adalah sangat digalakkan untuk disebarkan, namun perlulah mendapat izin daripada Iskandarfateh.

Ataupun, sila beri kredit bahawa anda mengambil mana-mana kenyataan tersebut dari Blog
Iskandarfateh ini.

Terima kasih. Saya sangat hargai kunjungan anda.

Montaj IPTC

Twitter With Me

Profail Blogger


Syaari Ab. Rahman merupakan seorang perunding motivasi terlatih. Profail lengkap beliau di "Hubungi Saya"