Content feed Comments Feed





Ketika saya berada di UIAM dahulu, saya sempat mengikuti satu seminar ilmiah yang membahaskan siapakah Illuminati. Seingat saya, inilah "konspirator" besar dunia yang berada di mana-mana sahaja posisi strategik dunia, tetapi kita sukar untuk mengenali mereka. "The New World Order", dominasi media sebagai mind-controller dan perang melawan "terrorist" (baca : negara umat Islam) sering dikaitkan dengan Illuminati yang bertuhankan Iblis. Saya juga pernah dipaparkan bagaimana setiap Presiden Amerika Syarikat tidak akan dapat lari dari "ikrar taat setia" mereka dengan Illuminati.Wallahu a'lam.

Saya semakin berdebar menantikan pendedahan Profesor Robert Longdon seterusnya selepas novel "menggugat" aqidah Kristian iaitu The Da Vinci Code. Saya cukup meminati filem The Da Vinci Code itu apatah lagi apabila mendedahkan kerapuhan aqidah Kristian. Soal benar atau tidak cerita itu, ia nombor dua bagi saya. Yang penting, aqidah Kristian "triniti" itu sentiasa tidak lekang dari pertikaian. Usah menunggu Syekh Deedat untuk menggeledah kepincangan New Testament, cukuplah "orang dalam" mereka sendiri menulis mendedahkannya.


Novel bestseller "Angel and Demons" (Malaikat dan Iblis) telah saya cari terjemahan Indonesia di tingkat paling atas Pesta Buku PWTC baru-baru ini, denan harapan akan ketemu gerai-gerai buku Indonesia. Namun malang saya tidak ketemu. Adakah pesta buku di Malaysia ataupun secara peluru tepatnya aktiviti penterjemahan di Malaysia semakin mengutamakan bahan bacaan santai dan mudah kepada rakyat dan anak-anak mudanya manakala bahan bacaan berat dan berfakta dahsyat atau ejen-ejen penjualan buku-buku terjemahan karya-karya berat antarabangsa semakin diketepikan ? Wallahu a'lam.


"Angel and Demons" ditulis oleh Robert Langdon yang juga menulis novel Da Vinci Code. Beliau adalah ahli simbologi Universiti Harvard ahli Simbologi yang menyusuri dan menyelidiki apa yang disebutnya sebagai "perkumpulan tertua di dunia" iaitu Illuminati.


Seperti juga pada Da Vinci Code, prolog pada novel ini (mungkin juga filemnya nanti) adalah sebuah pembunuhan keji. Pembunuhan seseorang ilmuwan bernama Leonardo Vetra yang dibunuh dengan keji oleh seseorang dengan meninggalkan petunjuk di dadanya yang terbakar oleh cap Illuminati. Dimulai dari mayat itu, hanya dalam tempoh 24 jam jalan cerita mengalir dengan deras dan perburuan dijalankan dari gereja ke gereja di kota Roma. Macam Prison Break pula.



Illuminati berdasarkan novel ini adalah perkumpulan rahsia yang dibentuk pada saat gereja berkonfrontasi terhadap ilmu dan penemuan saintifik. Setelah pertentangan antara Galileo dengan Gereja, para ilmuwan membentuk kelompok ini. Di kemudian hari, pihak gereja menuduh perkumpulan ini sebagai perkumpulan anti-Kristian dan pemuja Syaitan. Kini mereka bangkit kembali (re-born) untuk melakukan misi membalas dendam terhadap Gereja tersebut. Demi mencegah balas dendam tersebut, Langdon ditemani saintis Vittoria Vetra, pergi ke Vatikan untuk menyelamatkan keadaan.

Semoga filem ini membantu saya mengenali lebih dekat dan lebih mudah (kerana saya mudah lupa fakta jika terlalu ilmiah) siapakah Illuminati. Benarkah ini "Dajjal" (berdasarkan lambangnya bermata satu) di akhir zaman yang dimaksudkan Nabi S.A.W tersebut 1,400 tahun dahulu.


Ataupun filem ini membawa definisi baru kepada Illuminati yang saya fahami selama ini dari para alim ulama Islam ? Ataupun filem ini hanya akan mengecewakan saya ? Wallahu a'lam. Sama-sama saksikan 14 Mei ini dan mengadilinya.


Saya berkesempatan berkuliah dengan adik-adik pelapis perjuangan Islam di salah sebuah kampus baru-baru ini. Tajuk yang diberikan kepada saya adalah "Adab dan Disiplin dalam Berjamaah."

Selepas 70 % pengisian saya mendisiplinkan diri dengan "orbit" fikrah Ikhwani melalui kitab teras Jalan Dakwah Antara Qiadi dan Jundi - suatu buku sharing moment dan luahan dari Syekh Mustafa Mahsyur yang sudi membukukan khibrahnya puluhan tahun menghadapi sepak terajang perjuangan Ikhwanul Muslimin - saya mengemukakan beberapa informasi shift-paradigm.

Tujuan saya supaya minda para aktivis dan pencinta Islam di hadapan saya lebih segar dengan penemuan-penemuan "fresh" yang menguatkan bukan sekadar fikrah, tetapi aqidah perjuangan mereka itu sendiri. Saya cuba untuk mendekatkan adik-adik saya dengan rukun iman mereka sendiri, mudah-mudahan menjadi "treatment" kepada permasalahan disiplin dan komitmen pasif segelintir penggerak dakwah dan jamaah kampus yang kerap kali menjadi topik evergreen ahli-ahli gerakan Islam.

Malaikat adalah makhluk Tuhan. Dalam rukun iman yang kedua, kita diajar untuk beriman dengan Malaikat. Kebetulan semalam saya dan isteri meluangkan masa rehat dengan menonton filem "The Eye", sebuah filem menggambarkan seorang gadis buta yang melihat alam ghaib selepas melakukan pembedahan mata yang tidak dikenalpasti siapa penyumbang mata tersebut. Mungkin filem ini sarat dengan kekarutan dan mistik, tetapi saya cuba membayangkan sesuatu.

Saya cuba bayangkan jika mata manusia ini dibuka tabir yang menghijab perkara-perkara ghaibiyyat, lantas mereka mampu melihat para malaikat turun berbondong-bondong ketika berlaku peperangan tentera-tentera Islam terdahulu dengan musuh-musuh Islam, nescaya kita akan melihat disiplin ketenteraan para Malaikat yang sangat dahsyat. Lantaran mereka tentera-tentera Tuhan yang sangat dimuliakan.

Rapinya kerja buat Malaikat, sifat "itqan", teliti dan berdisiplinnya Malaikat sehingga perjalanan alam semesta ini terus berada dalam keadaan stabil atas pengarahan Allah S.W.T. Saya pernah menyebutkan dalam posting saya sebelum ini bagaimana kajian saintis astrofizik dan professor astronomi, Kenneth Brecher.

"Jika bumi bergerak keluar dari orbitnya mengelilingi matahari, andaikata menjauh 2.5 milimeter sekalipun dari matahari, bumi akan mengalami kesejukan dan kebekuan yang maha dahsyat. Andaikata bumi mendekat 2.8 milimeter sekalipun ke arah matahari, bumi akan mengalami kepanasan dan kebakaran mahadahsyat."

Demikianlah rapinya pentadbiran Tuhan, dengan para Malaikat sebagai bala tentera memegang bumi ini pada tempatnya agar terus stabil mengorbit, tidak berganjak walau satu millimeter pun. Inilah disiplin kerja para Malaikat.

Mencintai Allah Al-Muqiit membawa para
pejuang agamanya tegar disiplin, cermat

kerjabuatnya, mengikut sifat Tuhannya tersebut.

Inilah maksud Ribbiyyuun.


Rasulullah mengajar para Sahabah (baca : manusia- manusia terbaik di dunia) untuk meneladani "karakter" para Malaikat.

Inilah "spirit" disiplin yang mahu kita perolehi apabila membicarakan soal rukun iman yang kedua. Keimanan pada Malaikat, melihat mereka dengan "matahati" kita, seharusnya sudah menjelaskan soal kepentingan beradab dan berdisiplin dalam berjamaah, namun apakan daya apabila rukun-rukun Islam, Iman dan Ihsan hanya mampu bergema kuat di masjid-masjid dan kuliah-kuliah aqidah semata-mata, tidak di tempat lain.

Ayuh, mari kita dalami peranan Malaikat yang disebutkan dalam al-Quran apabila berlaku peperangan. Rukun iman kedua mengajar kita bahawa Malaikat juga berperanan membantu para anbiya terdahulu berhadapan dengan musuh-musuh Allah. Namun, apa yang menarik akan kita dapati dalam al-Quran adalah kenapa dan bagaimana Allah menjaharkan peranan Malaikat serta disiplin penurunan mereka (seperti pemilihan perkataan murdifeen, munzaleen, musawwimeen) ke bumi ketika berlaku pertempuran-pertempuran penting ke atas Nabi akhir zaman dan "final" prophet iaitu Nabi Muhammad S.A.W.

Saksikan firman Allah S.W.T :

"(Ingatlah), ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhanmu, lalu diperkenankan-Nya bagimu: "Sesungguhnya Aku akan mendatangkan mara bantuan kepadamu dengan seribu malaikat yang datang BERIRING-IRINGAN ". (Al-Anfaal : 9)

"(Ingatlah), ketika kamu mengatakan kepada orang mukmin: "Apakah tidak cukup bagi kamu Allah membantu kamu dengan tiga ribu malaikat yang diturunkan (dari langit)?". Bahkan (cukup), jika kamu bersabar dan bertakwa dan mereka datang kepadamu dengan seketika itu juga, nescaya Allah menolong kamu dengan lima ribu Malaikat yang memakai tanda." (Ali Imran : 124 - 125)

Saya mula tertanya kenapa agaknya Allah bukan sekadar hightlightkan peranan Malaikat secara zahir dalam nas-nas seperti perang Badar di atas, pada masa yang sama perjuangan para anbiya terdahulu seperti Nabi Allah Ibrahim dan Musa ketika berdepan dengan musuh-musuh Allah seperti Namrud dan Firaun tidak disebut secara zahir peranan Malaikat mahupun sifat penurunannya ?

Allah berfirman: “Hai api, jadilah dingin dan selamat bagi Ibrahim”. (Al-Anbiyaa’: 69).

Allah berfirman : "Lalu kami wahyukan kepada Musa: “Pukullah lautan itu dengan tongkatmu”. Maka terbelahlah lautan itu dan tiap-tiap belahan adalah seperti gunung yang besar. "
(Asy-Syuara' :63).


Namun istimewa bagi Nabi Muhammad S.A.W, peranan Malaikat yang disebutkan sebagai "murdefeen" dalam ayat sebelumnya, dijaharkan peranan mereka seolah-olah sebagai perantara.

Firman Allah S.W.T : "(Ingatlah), ketika Tuhanmu mewahyukan kepada para malaikat: "Sesungguhnya Aku bersama kamu, maka teguhkanlah (pendirian) orang-orang yang telah beriman". Kelak akan Aku jatuhkan rasa ketakutan ke dalam hati orang-orang kafir, maka penggallah kepala mereka dan pancunglah tiap-tiap ujung jari mereka." (Al-Anfaal : 12)

Kenapa Allah menjaharkan peranan pasukan Malaikat dalam pertempuran yang berlaku kepada Rasul dan tidak menjaharkan peranan mereka ketika mukjizat-mukjizat besar berlaku kepada para Rasul Ulul Azmi terdahulu ?

Kerana Nabi Muhammad S.A.W adalah Nabi AKHIR zaman, baginda Nabi yang terakhir. Ummat akhir zaman sudah tidak mampu mengharapkan akan ada Nabi lain selepas Nabi Muhammad S.A.W untuk menyelamatkan mereka dan memenangkan perjuangan mereka, walau bejat fasad macamana sekalipun masyarakat dan dunia.

Justeru, apa yang berlaku kepada Nabi Muhammad S.A.W, kesemuanya (apa yang disebut sebagai "sirah") adalah PROJEK Allah Yang Maha Penyayang kepada umat di akhir zaman. Apa yang berlaku kepada Nabi pastinya "unik" berbanding para anbiya terdahulu yang diutuskan kepada kaum yang tertentu dan pada masa yang tertentu.

Jelaslah, Malaikat ditonjolkan berganding bahu dengan Nabi S.A.W, dengan elemen "berbondong-bondong" atau bergilir-gilir, dengan ada tanda-tanda pada setiap mereka, adalah satu manifestasi kepada elemen "disiplin tinggi", "taat mengikut arahan dan giliran" dan "aturan dan formasi yang sistematik", suatu asas dan pasak kemenangan kepada perjuangan Islam tanpa Nabi di akhir zaman nanti.

Malaikat adalah makhluk Allah yang memanifetasikan maksud "disiplin" dan "integriti" dalam gerak kerja. Justeru, tidak pelik jika Allah menjaharkan peranan Malaikat. Ia adalah suatu MESEJ kepada para pelapis perjuangan Nabi Muhammad S.A.W, bahawa untuk menang ke atas musuh-musuh Allah, bukan sekadar mengangkat tangan bermunajat mengharapkan bantuan atau "miracle" dari malaikat semata-mata, tetapi mewujudkan spirit "teamwork", "disiplin", "integriti" yang ada pada Malaikat itu dalam jamaah, itu juga sama penting dengan soal pergantungan teguh kepada Allah.

(Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan pada Tuhanmu, lalu Ia mengabulkan permohonanmu (sambil berfirman) : "Akan ku tolong kamu dengan seribu malaikat TURUN BERIRING-IRINGAN… (Anfaal : 9). Sifat beriring-iringan, patuh menunggu arahan giliran, digandingbahukan dengan soal munajat dan pergantungan kepada Tuhan.

Kita kerap kali suka berbicara mengenai "miracle" yang berlaku ke atas Rasulullah dan para Sahabah dalam perang Badar sebagai contohnya. Bahkan siapa yang tidak tertarik apabila penceramah mampu mengungkapkan keajaiban-keajaiban yang berlaku kepada tentera Islam dahulu lantaran peranan para Malaikat. Namun sejauhmana pula kita belajar dari "spirit" disiplin, kebersamaan dan kepatuhan yang ada pada Malaikat tersebut ? Sejauhmana kita mengotakan rukun iman kedua yang dipinta Rasul beriman dengannya ?

“…padahal kepadaNya-lah berserah diri (taat dan patuh) segala apa yang di langit dan di bumi, baik dengan suka maupun terpaksa …” (Ali Imran: 83)

Sedikit perkongsian noktah tambahan ("top-up" note) yang saya sampaikan semasa memberikan taujihat mengenai Kewajipan Berjamaah kepada beberapa aktivis mahasiswa Islam baru-baru ini.

1. Sebelum berbicara mengenai "kewajipan" (outside-in factor) berjamaah, fikirkan dahulu soal "keperluan" (inside-out factor) berjamaah. Supaya kita seimbang antara rasional aqliyyah dan pedoman naqliyyah dari Allah dalam memahami tuntutan berjamaah dalam memperjuang Islam, agama dan cara hidup yang diredhai Allah.

Adalah menjadi fitrah manusia bahawa mereka perlukan “Jamaah”, dalam ertikata mudah hidup berkomuniti lantas sanggup berorganisasi untuk saling melengkapi untuk mengisi keperluan hidupnya. Usahkan Muslim, non-Muslim juga tahu hakikat fitrah ini.

Justeru tidak perlu pelik apabila pakar kepimpinan Barat, John C Maxwell turut berbicara mengenai kepentingan "berjamaah" pada Barat :

Align Center1. Teams involve more people, thus affording more resources, ideas and energy than would an individual.
2. Teams maximize a leader’s potential and minimize her weaknesses. Strengths and weaknesses are more exposed in individuals.
3. Teams provide multiple perspective on how to meet a need and reach a goal, thus devising several alternatives for each situation.
4. Teams share the credit for victories and the blame for losses. This fosters genuine humility and authentic community.
5. Teams keep leaders accountable for the goal.
6. Teams can simply do more than an individual.

Dari mana datangnya fitrah ini ? Setiap pagi Jumaat kita diajar oleh para imam solat Subuh yang membacakan surah as-Sajadah.

“Kemudian Ia memberikan bentuk (sebaiknya pada penciptaan manusia), dan MENIUPKAN ke dalamnya RUH-NYA, kemudian Ia menjadikan pendengaran, penglihatan dan hati…” (As-Sajdah : 9)

Ruh itu datang dari Allah, Allah itu Maha Indah, cukuplah 99 namanya di dalam al-Quran menggambarkan keindahan dan kehebatan-Nya. Salah satu namanya yakni sifatnya yang ditiup masuk ke dalam diri setiap manusia adalah :


Usahkan pejuang Islam, musuh-musuh Islam juga tahu kekuatan "berjamaah" ini untuk mencapai matlamat bersama.

Sebab itu para ulama haraki apabila bercakap mengenai kepentingan berjamaah, hujah mantik kerap dikemukakan iaitu musuh-musuh Islam sendiri bekerja untuk menghancurkan Islam secara "berjamaah". Hujah naqilyyah dari Tuhan sendiri telah mengesahkan kewujudan fitrah ini ini dalam diri orang-orang munafiq, mereka "bekerjasama" untuk amar mungkar nahi ma'ruf (mafhum at-Taubah : 67).

Soalnya, siapa yang lebih bijak menggunakan fitrah "berjamaah" ini untuk mencapai matlamat dan memenangkan perjuangan ? Pejuang Islam atau musuh Islam pada hari ini ?

2. Sebab itu analisa kasar saya kepada kertas-kertas kerja kewajipan berjamaah dan dalil-dalil yang digunakan, kebanyakan dalil-dalil yang kerap digunakan, Allah mahupun Rasul-Nya mendatangkan dalam laras bahasa berbentuk analogi ataupun cerita. Subhanallah !

Kenapa analogi ?

Antara dalil-dalil tersebut adalah :

“Sesungguhnya Allah mengasihi MEREKA yang berjuang di jalan-Nya dalam satu barisan yang TERSUSUN RAPI, seolah-olah mereka sebuah BANGUNAN yang tersusun kukuh.”
(As-Saff : 4)

“Sesungguhnya syaitan itu serigala kepada manusia seperti serigala kepada kambing yang menangkap mana-mana kambing yang JAUH dan TERPENCIL. Maka janganlah kamu memencilkan diri dan hendaklah berjamaah, mencampuri orang ramai dan menghadiri masjid”
(Hadis riwayat Ahmad)

“Barangsiapa yang memisahkan dirinya dari jamaah walaupun sejengkal, sesungguhnya ia telah menanggalkan Islam dari LEHERnya. sekalipun ia solat, berpuasa dan menyangka dia Muslim.
(Hadis riwayat Tirmizi, Nasaie, Ibnu Hibban)

“Beriltizamlah dgn jemaah Muslimin dan pemimpin mereka.” Huzaifah bertanya lagi: “Jika tidak ada jamaah dan imam?” Katanya: “Maka tinggalkanlah semua kumpulan yang ada sekalipun engkau terpaksa "berpaut dengan akar pokok" sehinggalah kamu mati dalam keadaan begitu.” (al-Hadis as-Sahih)

Dan banyak lagi dalil-dalil lain.

Seseorang tidak akan tahu cara mengukuhkan bangunan melainkan perlu ada sedikit keilmuan dalam senibina (arkitek) ataupun kejuruteraan (engineer). Seseorang tidak akan tahu mengenai fenomena serigala (karnivor) yang memakan kambing (herbivor) yang berseorangan melainkan perlu ada sedikit keilmuan mengenai sains gunaan (kajian haiwan). Seseorang tidak akan tahu mengenai kepentingan akar pokok melainkan perlu ada sedikit ilmu mengenai sains pertanian (botani). Seseorang tidak akan tahu kenapa jika salah satu anggota tubuh itu ditimpa sakit, maka seluruh tubuh boleh berlaku demam jika tiada sedikit ilmu mengenai tubuh badan (biologi).

Justeru, apa mesejnya selain mesej tersurat dari ayat-ayat Allah dan Rasulnya ?

Lantaran Allah semacam mahu berbisik kepada penggerak dakwah dan perjuangan Islam bahawa perjuangan Islam secara berjamaah bukan sekadar tuntutan Syariatullah - mukmin perlu mentaati segala dalil-dalil dari al-Quran dan as-Sunnah mengenai perjuangan Islam, tetapi juga tuntutan Sunnatullah di alam ini - yakni menjadi peraturan Allah di alam ini bahawa jatuh bangun, menang kalah sebuah perjuangan bergantung kepada penguasaan ilmu dan kepakaran dalam sesuatu bidang atau strategi untuk memenangkan perjuangan. Sebab itu tidak pelik jika Muhamad al-Fateh bukan sekadar bergantungharap pada doa dan iman yang teguh pada hadis pembukaan Konstantinople, tetapi juga beliau faham benar siapa yang menguasai taktik perang di lautan dan bukit, dia pasti akan menang.

Kenapa pula ayat-ayat berjamaah banyak dalam bentuk "penceritaan" sebuah "pasukan" agama Allah ?

Contohnya :

“Dan ingatlah ketika Isa bin Maryam berkata kepada Hawariyyun, siapakah dari kalangan kamu yang mahu menjadi pembantu agama Allah ? Berkatalah Hawariyyun : Kamilah pembantu agama Allah”
(As-Saff : 14)

"Merekalah (Al-Kahfi) pemuda-pemuda yang beriman teguh kepada Tuhan mereka, dan kami tambahkan petunjuk Kami kepada mereka, dan Kami ikat hati-hati mereka ketika mereka bangun (di hadapan Daqyanus) lantas menyatakan : Tuhan kami adalah Tuhan seluruh langit dan bumi..." (Al-Kahfi : 21)

Kenapa cerita ?

Kerana cerita di dalam al-Quran semuanya adalah peristiwa yang benar-benar telah berlaku. Hanya kesarjanaan manusia sahaja yang lemah untuk mencarigali dokumen-dokumen yang benar mengenai peristiwa-peristiwa bersejarah.

Cerita atau kisah di dalam al-Quran mahupun hadis adalah "historical facts" dan "universal prove" yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun, termasuk pejuang Islam. Sebab itu musuh-musuh Islam cukup takut jika umat Muhammad ini membelek sejarah mereka di era 300 kurun yang pertama. Sebab itu tidak pelik musuh-musuh Islam menjadikan perpustakaan dan gedung ilmu umat Islam sebagai sasaran serangan dahsyat mereka dahulukala.

Jangan kita lupa pada 1257M tentera Mongol diketuai oleh Hulagu Khan menerajang Baghdad dan memusnahkan 'Bait al Hikmah', sebuah perpustakaan awam pertama di dunia yang berjaya membongkar (terjemah) khazanah ilmu dari Greece dan Yunani. Adalah dikatakan dalam serangan Hulagu Khan, sungai Tigris menjadi warna merah bercampur darah manusia. manakalah Euphratis menjadi hitam selama 6 bulan kerana dipenuhi arang dari kitab-kitab ilmu yang dimusnahkan. 200,000 orang insan tidak berdosa dari kalangan penguasa, profesional seperti hakim, jurutera dan para ilmuan lain menjadi korban. Seluruh tamadun yang dibangunkan oleh Islam musnah.


Justeru, apa mesej di sebalik pendekatan "bercerita" dalam ayat-ayat "jamaah" ?

Itulah bisikan Ilahi, bahawa perjuangan Islam jangan mengalpakan soal sejarah dan jejak generasi silam dalam mempelopori rentak perjuangan mereka. Kemenangan generasi dahulu adalah kerana kukuhnya perpaduan, disiplin organisasi dan kejelasan visi antara kepimpinan dan para tenteranya. Sejarah tidak akan menipu dan ia pasti berulang. Tidak akan berlaku perubahan pada sunnatullah mengenai jatuh atau bangun sebuah kemenangan dan peradaban.


3. Akhir sekali, apa itu berjamaah sebenarnya ? Saya cuba mendefinisikannya secara tidak terlalu simplistik ataupun tekstual, tetapi dengan harapan dan garapan para aktivis melihatnya dengan tasawwur tepat dan lebih jauh ke hadapan.

Justeru, saya paparkan seketika 2 video klip ringkas sebagai modul shift-paradigm (ubah cara berfikir) kepada peserta. Satu dari Timur, satu dari Islam. Klip pertama mengenai Red Clif, 30 ribu tentera menang ke atas 200 ribu tentera atas faktor strategi dan perancangan yang rapi. Klip kedua mengenai Muhammad al-Fateh dan 200 ribu tenteranya menang ke atas Konstantinople selepas 800 tahun percubaan untuk membenarkan sabda Rasul gagal. Apakah titik persamaan antara dua kejadian bersejarah itu ? Iaitulah gabungan kepakaran, kebijaksanaan, kekuatan individu disatukan dalam satu pasukan untuk mencapai satu matlamat organisasi.

"Itulah "BERJAMAAH". Jika tiada elemen "tanzim" atau sistematik dalam pengurusan arahan dan sinergi kekuatan antara pimpinan di atas dan tentera di bawah, itu bukanlah "jamaah", itu adalah "jam'iyyah" atau persatuan biasa.", saya mula melakukan misi pencerahan minda pada adik-adik aktivis.

Kejelasan tentera yang pelbagai posisi dan kepakaran
dengan visi Ketua adalah sebab Rasulullah memuji tentera
al-Fateh dengan anugerah piala “nikma’ jaisy”.
Jelaslah, Islam itu takkan menang jika bergantungharap kepada
kekuatan individu seperti al-Fateh semata-mata.


Kita mungkin sangat mengagungkan Stephen R Covey, Peter Drucker, Anthony Robbins, Edward de Bono dan ramai lagi dari pakar pengurusan organisasi Barat. Namun kita lupa, Nabi kita Muhammad S.A.W adalah manusia paling agung dalam semua aspek, khususnya dalam aspek pengurusan organisasi.



Ya, kita mungkin kagum dengan kata-kata terkemuka pakar-pakar leadership training iaitu “It’s easy to get the players; but getting them to play together that’s the tough part.” Namun lupakah kita Nabi Muhammad S.A.W sudah menyatakan suatu analogi indah mengenai asas kepada kekukuhan jamaah dan organisasi apabila menyebut “Perumpamaan orang-orang beriman itu dalam berkasih sayang, mereka ibarat satu jasad. Apabila mengadu sakit salah satu anggota, satu jasad akan terasa demamnya”.

Indah bukan bicara Nabi S.A.W. Nabi sedang berbicara seolah-olah terserlah pada baginda seperti seorang pakar psikologi dan sakit "jiwa" dalam birokrasi organisasi. Nabi cuba menggambarkan kelemahan seseorang atau sesuatu lajnah dalam jamaah itu sebagai "sakit" yang mesti dirasai (empati), bukan sekadar diketahui (simpati). Nabi cuba menyatakan kepentingan "helicopter-view" (mission-centrix) berbanding "street-view" (lajnah-centrix) kepada penggerak amal Islam yang bernama mukminin ini.

Kenapa Nabi cuba menyentuh soal emosi dan elemen "rasa" sakit itu ? Kerana di sinilah kita akan ketemu "the root causes" atau "the real problem" dalam karenah berorganisasi. "Penyakit hati" dalam jamaah sukar untuk dikenalpasti, melainkan ia terzahir dalam bentuk tindakan yang sama ada komited atau pasif sebagai penggerak jamaah.

Itulah uniknya Nabi. Baginda tidak mahu berbicara seperti pakar-pakar pengurusan Barat yang hanya banyak menyebut mengenai masalah pengurusan organisasi secara "external treatment" atau "surface side" sahaja. Stephen R Covey sendiri menulis Tabiat ke 8 walaupun telah terkenal di dunia dengan formula 7 Tabiat Manusia Berkesan tersebut. Rupanya Tabiat ke 8 muncul sebagai satu percubaan beliau untuk masuk ke dalam "jiwa" manusia, menyelami "suara hati" para pekerja organisasi dan mula berbicara mengenai "the God Spot" dalam otak manusia.


Itulah mukjizat ayat-ayat dan hadis-hadis mengenai "jamaah". Kenapa ayat-ayat yang berkaitan alam semesta, kejadian manusia dan segala aspek saintifik di dalam al-Quran sahaja dilihat sebagai mukjizat ?

Nah, wahai-wahai pejuang-pejuang Islam, saksikan dan saksikan mukjizat ayat-ayat, hadis-hadis Rasul mengenai jamaah. Jangan hanya sekadar menghafal untuk tujuan "selamat" bila ditanya oleh pimpinan di atas. Rasalah mukjizat itu di dalam hatimu, emosimu, jiwamu. Lantaran al-Quran itu mukjizat secara holistiknya. "Kami tidak menurunkan al-Quran itu untuk menyusahkan hatimu." (Taha : 2)

TUAN GURU MELEPASI UJIAN PERTAMA : A NEED OF AN "OUT OF THE BOX" IDEA

"Statesman thinks for the next generation". Bukan mudah menantikan sebuah gagasan idea luar kotak yang difikirkan telah tiba masanya seperti kata keramat Victor Hugo sang reformis Perancis. Saya telah mengupas mengenai pandangan ini dalam posting sebelum ini bertajuk "Idea Kerajaan Perpaduan Tuan Guru Abdul Hadi Sangat Ajaib" - Prof Abu Hassan Hasbullah

Namun itu telah dilakukan oleh seorang ulamak besar gerakan Islam merangkap Presiden Parti Islam. Mungkin idea itu satu lontaran shift-paradigm seorang Presiden Parti untuk dibahas dalam AGM PAS di segenap peringkat kawasan dan cawangan saat ini, atau dalam perkataan lain akan mampu memberikan gelombang pada semua ahli dan pimpinan Pas membuat "homework" lebih awal menjelang Muktamar Agung PAS mengenai agenda "kerajaan yang bagaimana" akan Pas lakukan jika memerintah. Beliau telah mengemukakan salah satu wajah dari banyak wajah yang boleh diperbahaskan. Mungkin Tuan Guru tidak mahu isu-isu picisan dan perkara remeh-temeh dibangkitkan dalam Muktamar, bahkan kesemua ahli dan pimpinan menghalakan pemikiran dan persiapan kepada agenda yang lebih besar iaitu PAS sebagai "waiting goverment", bukan lagi bermentaliti pembangkang sepanjang hayat.

Beliau telah melontarkan sebuah idea dengan harapan akan digarap dan dibahas dengan cemerlang oleh grassroots Pas di semua peringkat, khususnya dalam kegilaan politiking BN mahupun PR pada hari, terbaru penangan dari Penanti.

Namun apakan daya, "kesibukan" menjadi BARRIERS idea itu diperhalusi pro dan kontra secara objektif tanpa prejudis kepada "blok-blok" yang diwar-warkan wujud dalam Pas.

"Saya melihat masih ramai yang tidak faham tentang 'Unity Government' termasuk orang PAS sendiri dan di kalangan PIMPINAN pun ada yang masih belum faham lagi. Ini kerana, mungkin mereka SIBUK, tidak berpeluang membaca buku-buku politik dan tidak membaca istilah-istilah politik. " - Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Harakah (terbaru)

Memang benar, saya terasa kesibukan itu. Masakan tidak, saya telah mencadangkan kepada MT Gamis sendiri untuk mendiskusikan idea tersebut dan GAMIS menyatakan pendirian di akhirnya, namun cadangan tersebut tiada susulan pelaksanaan yang agresif, termasuk dari saya sendiri dengan menghormati awlawiyyat komitmen individu-individu dalam pimpinan GAMIS. Jika ini berlaku pada GAMIS, usah pelik keluhan Tuan Guru kepada situasi PAS itu diluahkan, walhal ia tidak menjadi penghalang kepada beliau sendiri yang pastinya manusia paling sibuk dalam PAS, bahkan seorang ulamak rakyat dan Ahli Parlimen Marang, namun laptop dan informasi maya sentiasa tidak lekang di hujung jarinya.


Baru saya terfikir, jika mahu menjadi politician, binalah persiapan sejak dari usia muda kemahasiswaan ini, khususnya pembacaan buku-buku pemikiran dan idea politik yang berat-berat supaya kelak amanah kesibukan bersama rakyat selaku Yang Berhormat bukan menjadi alasan kendurnya intelektual seorang ahli politik. Jika "Gua Hira" di PWTC sekarang ini tidak menjadi kunjungan wajib mahupun fatwa pimpinan kampus kepada ahli supaya pergi, maka saya yakin keluhan Tuan Guru akan terus berulang apabila "another brilliant idea" datang berbondong-bondong lagi selepas ini.



TUAN GURU MELEPASI UJIAN KEDUA : A NEED TO "RE-UNITE" THE GRASSROOTS

Dalam berbicara soal disiplin dan akhlak ahli gerakan Islam kepada ratusan generasi baru bakal aktivis gerakan mahasiswa Islam di UIAM 3 hari lepas, saya menyatakan luahan Syekh Mustapha Mahsyur yang puluhan tahun terjun dalam sepak terajang Ikhwanul Muslimin. Beliau meluahkan satu kalimah agungnya dalam Jalan Dakwah antara Pimpinan dan Ahli :

"Kamu bersatu demi satu pandangan (boleh dibaca : pandangan lama) yang kurang tepat (pada pandanganmu) adalah lebih awla dari kamu berpecah demi satu pandangan (baru) yang difikirkan paling tepat dan benar."

Tahniah Tuan Guru, di sinilah terserlahnya bukan lagi kehebatan minda siasah dan ketajaman bacaan politik Tuan Guru (the power of an idea), tetapi kehebatan sebuah karakter kepimpinan dan akhlak ahli politik Islam (the power of character). 2 elemen ini sukar wujud serentak pada pemerhati politik yang hanya tahu memberikan idea itu dan idea ini, tetapi belum tentu mampu menilai dan menarik semula idea itu apabila ada desakan yang rasional untuk melakukan sedemikian demi maslahat yang lebih besar.

Saya cukup yakin dalam minda Tuan Guru ketika menempuh ujian kedua ini bukan lagi buku-buku Sains Politik yang ada dalam pemikirannya, tetapi apa yang berlaku kepada ulama-ulamak Islam silam ketika berbeza pandangan, menjadi asas beliau membuat keputusan.

Mungkin inilah beza apabila ulamak menjadi ketua gerakan Islam, "beza" itulah keunikan berada dalam gerakan Islam berbanding gerakan, parti dan wadah lain.

Dan demi jiwa dan segala penyempurnaannya. Kami telah ilhamkan kepada jiwa itu jalan keburukan dan jalan ketaqwaan. BERUNTUNGLAH mereka yang mensucikan jiwanya. MERUGILAH mereka yang mengotorkan jiwanya.” - Asy-Syams : 7 – 10

Di manakah fungsi “jiwa” itu dijalankan di otak ? Bahagian manakah yang membuat keputusan mahu melakukan kebaikan atau kejahatan ?

Alhamdulillah, hari ini aku mendapat jawapan yang lebih meyakinkan, bak kata Ibrahim Alaihissalam, "Bahkan Ya Tuhanku, cuma aku mahu hatiku lebih tenang (dengan jawapan dari-Mu).


Aku berkesempatan "berusrah" dengan pakar brain scan bertaraf dunia, Dr Daniel Amin. Beliau mengajarkan kepadaku bagaimana menggunakan SPECT (single photon emission computer tomography) untuk melihat metabolisme otak berdasarkan sikap dan akhlak seseorang.


"Baik, tunjukkan padaku metabolisme otak orang yang suka berbuat kejahatan ?", aku bertanya dengan nada keras.

Dengan tenang, Dr Daniel menjawab : "Brain metabolism of a violent individual is strikingly reduced in many areas, especially in the crucial PREFRONTAL LOBES that normally provide an effective filter against impulsive, aggressive, and violent behavior."


"Tunjukkan pula padaku metabolisme otak mereka yang sebaliknya berbuat kebaikan."



Aku teruja dengan jawapan Dr Daniel. Rupanya Prefrontal cortex ini merupakan CEO kerajaan tubuh manusia itu. Manusia yang sukakan keganasan, panas baran sebenarnya frontal cortex mereka tidak berfungsi, sebab itu mereka selalu membuat keputusan yang tidak bijak.

Bagaimana pula metabolisme dengan mereka yang gila seks, perzinaan dan merogol ? Aku tidak bertanya soalan ini kepada Dr Daniel kerana aku masih ingat kata-kata C.S Lewis :

“Seorang lelaki yang menyerah kepada godaan selepas lima minit sebenarnya TIDAK MENGETAHUI apa yang akan berlaku satu jam kemudian. Itulah sebabnya mengapa orang-orang jahat, dalam satu segi, mengetahui amat sedikit tentang kejahatan. Mereka telah hidup dalam kehidupan yang dilindungi dengan sentiasa menyerah kepada godaan.”
-Petikan dari Tabiat ke 8, Stephen R. Covey, ms 408-

Kini, jelaslah padaku bagaimana kesan ketara dapat dilihat dari sinaran scan metabolisme otak yang mengena langsung bahagian hadapan otak iaitu prefrontal cortex.

1,400 TAHUN DAHULU

Seorang manusia bernama Muhammad telah menyatakan mengenai fungsi pre-fontal cortex

Siapa yang memberikan maklumat itu kepadanya?


Kenapa Allah melalui Zabaniyah malaikatnya tidak tarik bahagian lain di kepala manusia seperti menarik rambut atau mencekik sahaja leher mereka atau mengheret kaki mereka terus dihumban ke dalam api neraka ? Kenapa tidak diheret tangan mereka sahaja yang melakukan maksiat tersebut ? Kenapa tidak anggota kaki yang melangkah ke tempat maksiat tersebut ? Tetapi Allah menarik UBUN-UBUN atau bahagian depan kepala ? Kenapa ?

Ajaib. Seorang manusia agung bernama Muhammad bin Abdullah, Nabi dan Rasulullah akhir zaman, yang meninggalkan al-Quran sebagai mukjizat untuk menggantikan dirinya yang sudah tiada bagi menjadi pedoman kepada umatnya di akhir zaman. Siapakah Muhammad bin Abdullah S.A.W yang sedang berbicara mengenai prefrontal lobe otak ini 1,400 tahun sebelum para saintis otak menemui kebenarannya ?

Bukankah dia seorang ummi, tidak tahu membaca, bahkan terpaksa Jibril mengulang 3 kali kepada Muhammad supaya mampu membaca Iqra ?

Bukankah dia seorang yang tidak tahu menulis, bahkan hingga ke akhir hayat baginda mengarahkan para sahabat menulis kata-katanya sama ada wahyu atau hadis atau sekadar perkataan biasa, kerana dirinya ditentukan Tuhan sebagai tidak boleh menulis ?


Bukankah rumah baginda tidak pernah ditemui mikroskop untuk mengkaji sel-sel mikro atau teleskop untuk melihat kehebatan jagatraya ?

Bukankah rumah baginda sendiri miskin dan dhaif, penuh sederhana hidupnya - namun itulah seorang pemimpin agung dunia yang membicarakan hal-hal ajaib ini yang dahulunya dikatakan kuffar sebagai orang gila ?


Allahu Akbar ! Selawat dan salam selamanya buatmu Rasulullah S.A.W. Dikaulah kalam Tuhan pada akhir zaman ini.

Setelah kagum dengan nas "nasiyah" dalam surah al-Alaq, aku terus mencari mukjizat Allah di surah yang sama, wahyu pertama buat Nabi. Bayangkan jika inilah wahyu pertama sudah begitu BERAT fakta dan kajiannya di kemudian hari, bayangkanlah 23 tahun perjuangan Nabi menerima wahyu dari Tuhan, sarat dengan kalam Allah yang sangat berat.

Benarlah, Nabi terus pulang berselimut kerana takut, gentar dengan suara ketuhanan Yang Maha Besar yang sampai padanya di Gua Hira'. Benarlah, "Inna Sanulqi Alaika Qaulan Thaqilan."

Surah al-Alaq berakhir dengan perintah sujud. Kenapa ? Apakah kesannya?

“Sekali-kali TIDAK ! Janganlah kamu patuh kepadanya (jalan kejahatan), dan SUJUDlah serta dekatkanlah dirimu (kepada Allah)." - (Al-Alaq - wahyu pertama : 19)


Bukan kah ketika sujud bahagian yang paling rendah iaitu prefrontal cortex yang dibincang panjang lebar tadi, bahagian itulah menjadi paling rendah, menjadi dahi yang mencecah bumi? Dengan kedudukan jantung yang lebih tinggi bukankah itu memaksa darah ke bahagian tersebut lantas membaiki, mengaktifkan bahagian tersebut? Hasilnya mukmin boleh membuat keputusan yang lebih bijak, boleh berfikir mana yang baik dan buruk, boleh mencegah dari kemungkaran.

Segala puji bagi Allah yang menurunkan al-Quran, tiada sedikitpun keraguan walau satu perkataan sekalipun, nescaya akan ada mukjizat buat manusia.

Hanya airmata hiba mendengar berita sahabat setia seperjuangan, al-Akh Ahmad Syukri Abdul Kadir, atau Bayyi menghembuskan nafas terakhir lewat petang semalam di rumahnya Kuala Krai...Lebih pedih, perit hati ini kerana tidak berkesempatan berkejar ke Kelantan memberikan penghormatan terakhir buat timbalanku ini yang berjuang bersamaku membawa misi perubahan dalam tarbiyah Wufi 2 tahun lepas...

Terlalu berat jari ini untuk terus mencoret kehibaan hati ini atas kehilanganmu sahabat... Tuhan lebih sayangkan dirimu...Ya Allah, limpahkan rahmah, cinta, maghfirah dan kasihsayangmu kepada Allahyarham Bayyi di alam barzakh sana...Belum pernah saya menemui teman perjuangan yang menjadi contoh mengutamakan diri sahabatnya lebih dari dirinya sendiri selain Allahyarham Bayyi...Inilah qudwah ahli gerakan yang tidak pernah melafazkan alasan dalam gerak kerja jamaah, di posisi mana sekalipun diletakkan, khususnya gerak kerja belakang tabir yang tidak perlu menonjol ke hadapan, Bayyi adalah individu pertama tampil menawarkan diri.


Al-Fatihah....



Bayyi, aktivis Wufi yang tak pernah
lekang dari demontrasi mahasiswa
walaupun sakitnya hanya Tuhan yang tahu.


Bayyi ketika mengepalai Persatuan Mahasiswa Kelantan
dan generasi (batch) kami


Bayyi dan sahabat-sahabat setia beliau
ketika PR Pangkalan Pasir


Aktiviti ukhuwwah dan berjenaka menghiburkan sahabat
adalah keutamaan beliau
.

Sahabat setia dunia dan akhirat...


"Dunia ini hanyalah suatu persinggahan cuma. Kematian bukanlah suatu pengakhiran kepada kehidupan, tetapi ia adalah permulaan bagi kehidupan yang tiada pengakhiran." Ya Allah, tempatkan kami bersama ruh para anbiya, siddiqin, syuhada dan solehin di akhirat nanti. Ameen.


Kali ini saya mahu mengkaji "peperangan" baru antara dua bala tentera, tetapi bukan di medan pertempuran, tetapi di atas padang bola. Saya tidak mahu ambil pendekatan wartawan pengulas berita seperti Shebby, tetapi penganalisa strategik di sebalik percaturan jeneral perang kedua-dua pasukan, Benitez vs Hiddink. Bola sepak bukanlah sekadar tontonan hiburan masa santai individu seperti saya, tetapi medan kajian kepintaran menyusun formasi menyerang dan bertahan sebuah gerakan.

Saya pernah menulis mengenai kekaguman saya kepada Rafael Benitez, pakar taktikal Eropah , khususnya apabila menumpaskan gergasi bolasepak dunia, Eropah dan England pada tahun lepas, Manchester United dengan jumlah gol sebanyak 4 gol selepas ketinggalan 1 - 0 di belakang Manchester. (Lihat "Anwar dan Formula Rafael Benitez")

Namun situasi kemenangan Chelsea membenam Liverpool dengan dua tandukan sama posisi dari individu yang sama selepas ketinggalan 1 - 0 lebih menggamit perhatian dan minda saya.
Apakah rahsia kemenangan Chelsea dan taktik apakah yang digunakan Gus Hiddink ? Sudah pasti nama Branislav Ivanovic, pemain tinggi lampai Chelsea dan tandukan tepat ke gawang gol menjadi bualan hangat.



Apa yang berlaku tidak terjadi secara kebetulan. Persis seperti dunia politik. Hiddink telah mengkaji dan membuat bedah siasat kekuatan dan kelemahan musuhnya, Liverpool. Hiddink adalah pencatur, Ivanovic adalah askar paling penting melaksanakan misi tersirat rajanya, Hiddink.

Mari kita perhatikan kenyataan Hiddink selepas kemenangan itu :

"If you feel that the opponent can be hurt in some parts of their team it would be stupid not to go for that. They have zonal defence at corners and there is no marking. We talked about that. We have players who are tall and are very brave going into the area. It was true we got a lot of benefit in the air from set pieces. You have to analyse where the weapons are with Liverpool and it is not so difficult to see it is Gerrard and Torres. You have to disarm them and Essien was the man who was key for this."

Saya tidak mahu menghurai kebijaksanaan Hiddink dan Chelsea mengatur pertahanan (melalui peranan Essien), yang mahu saya kongsikan adalah kebijaksanaannya mengatur serangan balas (melalui peranan Ivanovic) seketika selepas Benitez mengarahkan pertahanan Liverpool menggunakan sistem mengawal pemain mengikut zon ketika sepakan sudut, bermakna pemain terpaksa mengawal ruang dan bukannya pemain. Ini memberikan peluang Ivanovic bergerak bebas di setiap penjuru dan dia mengambil sepenuh peluang menerusi dua tandukan yang menewaskan Jose Reina.

Ivanovic seperti rakan-rakan sepasukannya, pastinya lemah semangat seketika apabila Torres membolosi gol pertama Liverpool di awal perlawanan. Bermain di tempat lawan pastinya menggugat stamina, semangat dan "fikiran positif" pemain Chelsea termasuk Hiddink yang dikatakan lebih licik dari Jose Mourinho, lagenda pakar taktikal Chelsea sebelum ini.

Namun tidak bagi Ivanovic. Dia adalah askar Chelsea yang faham benar aspirasi ketuanya, Hiddink. Dia memahami rakan-rakan sepasukannya sedang bertempur bukan sekadar dengan kelicikan Gerrard dan ketangkasan Torres, bahkan mereka berdepan dengan "persepsi negatif" dalam diri mereka sendiri untuk sekurang-kurangnya menyamakan kedudukan sesegera mungkin supaya stamina pasukan dapat dikembalikan.

Ivanovic tidak mahu mengikuti rentak suara hati rakan-rakannya. Dia ingat benar pesanan Hiddink untuk memanfaatkan kelebihan ketinggiannya, khususnya apabila berdepan dengan situasi sukar dan mencabar iaitu :

1) Chelsea ketinggalan 1 gol
2) Chelsea sedang bermain di pentas musuh (Anfield)
3) Rekod pertembungan Chelsea dan Liverpool di UEFA yang banyak memihak kepada musuh tradisinya, Liverpool
4) Ketua pasukan perangnya iaitu John Terry dikenakan kad kuning.
5) Ivanovic sendiri tidak pernah berjaya menjaring gol (pengalaman gagal yang sangat banyak)

Namun, "suara hati" Ivanovic adalah "balas" dan "menang". Dia mula berfikir dan mengosongkan mindanya (baca : Zero Mind Process) dari sebarang persepsi negatif di atas penghalang "suara hati"nya menjelmakan tindakan ajaib. Akhirnya, ketika Liverpool mengawal ketat sudut-sudut penting yang diberitahu oleh Benitez ketika sepakan sudut, Ivanovic muncul mengejut ke udara dan "memerdekakan" dirinya dari asakan pemain-pemain Liverpool yang tidak bersedia dengan kehadiran mengejut Ivanovic.

Meskipun dikelilingi dengan begitu ramai pemain Liverpool yang mengemuruni posisi-posisi tertentu di kotak penalti, namun kerana mereka tidak meletakkan fokus pada kekuatan ketinggian yang ada pada Ivanovic, Ivanovic meluncur deras ke udara lantas menanduk bola buat kali dua tepat ke gawang gol. Meskipun secara fizikalnya dia dibelenggu oleh ramainya pemain Liverpool di kotak pertahanan, namun dia mampu berfikir "merdeka" (zero mind process) dari sebarang belenggu negatif.


"We have a great REACTION (to the 1st goal from Liverpool). We know before the game, We need to be positive." - Peter Cech
"We play as a team" - Ivanovic


Mari kita dengarkan seketika bicara genius dakwah Islam kontemporari, Dr Ary Ginanjar mengenai Zero Mind Process yang diajar dalam Islam.





"Suara hati adalah inner voice menurut pakar-pakar pengurusan Barat yang tidak mengenal Tuhan. Suara hati dalam agama kita adalah paksi energi graviti aksi tubuh manusia. Suara hati bertawaf mengelilingi Kaabah (hati) seperti makrokosmos iaitu planet bertawaf mengelilingi matahari dan mikrokosmos iaitu alektron bertawaf mengelilingi atom dan spiritual kosmos iaitu gerakan manusia bertawaf mengelilingi Kaabah." - Dr Ary membuat modul ilusi optik (pengaruh 7 persepsi di sekitar lingkaran God Spot), cerita benar rakannya di kilang fabrik, kisah seekor ikan di dalam akuarium, kisah Alexander Graham Bell (telefon), Wright (kapalterbang)


Dr Ary memperinci belenggu (kufrun) menutupi God Spot (ruh) iaitu pengaruh prasangka negatif, kepentingan (cerita Kapal Selam Kursk Rusia), sudut pandang, pembandingan, pendidikan (Einstein). Dr Ary juga membongkar
falsafah setiap rukun-rukun Haji dan kaitan dengan kehidupan harian kita (cth : ihram adalah pakaian hati). Juga pendedahan kehebatan 7 dari 99
nama Allah yang mana sifat itu semenangnya ada dalam diri manusia, wakil
Allah di bumi (Khalifah).


Kisah menyentuh hati "tawakkal" Kapten Pilot Abdul Razak ketika kapal terbangnya musnah enjin.

Mesej Obama Kepada Mahasiswa Turki

Thursday, April 9, 2009


Saya tidak berhasrat mengulas kenyataan "Amerika will never be at war with Islam" Obama ketika menjejakkan kaki di negara Muslim pertama sejak beliau menjadi Presiden AS, Turki bersama Presiden Turki, Abdullah Gul dan Perdana Menterinya, Recep Tayyib Erdogan.



Saya hanya mengharapkan Obama akan terus mengotakan janjinya untuk membuka "the new chapter of American engagement" lantas melunakkan pendekatan luar Amerika kepada dunia Islam selepas beliau menuntup kem ISA Amerika di Guantanamo.


"States are like big tankers, they're not like speedboats. You can't just whip them around and go in another direction. You turn them slowly, and eventually you end up in a very different place", analogi yang diberikan Obama kepada mahasiswa Turki menggambarkan masa yang diperlukan beliau bagi menjalankan reformasi dasar luar Amerika legasi keparat Bush.


Apa yang menarik bagi saya adalah mesej beliau kepada mahasiswa di Istanbul yang berkesempatan menemui beliau, bahkan menanyakan soalan kepada beliau. Pengharapan anak muda bernama Obama pelakar sejarah baru Amerika ini kepada "kuasa" mahasiswa seharusnya menjadi rangsangan kepada mahasiswa di Malaysia untuk merobah sejarah yang ada kini.

"The world will be what you make of it, You can choose to make new bridges instead of new walls.", ujarnya. Maksudnya : "Anda mahasiswa, penentu kepada keadaan dunia yang kamu mahukan. Kamu boleh memilih untuk membina lebih banyak jambatan-jambatan baru (menghubungkan antara pihak-pihak yang berkonflik) atau kamu boleh terus membina benteng-benteng baru menambahkan lagi halangan-halangan kepada pihak yang berkonflik." (sumber : Huffingtonpost)

Posting Sebelumnya

There was an error in this gadget

Integriti Maya

Sebarang pengambilan mana-mana bahagian daripada tulisan di sini adalah sangat digalakkan untuk disebarkan, namun perlulah mendapat izin daripada Iskandarfateh.

Ataupun, sila beri kredit bahawa anda mengambil mana-mana kenyataan tersebut dari Blog
Iskandarfateh ini.

Terima kasih. Saya sangat hargai kunjungan anda.

Montaj IPTC

Twitter With Me

Profail Blogger


Syaari Ab. Rahman merupakan seorang perunding motivasi terlatih. Profail lengkap beliau di "Hubungi Saya"